Artikel "Utama" Terkini
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu.
"Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain.
"Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit.
Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional.
"Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut.
"Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat.
"Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.
30 Nov 23
595
Dasar Pelaburan Baharu Bakal Diwarta Suku Kedua 2024
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri akan melaksanakan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu yang dijangka dapat diwartakan pada suku kedua 2024 nanti
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata langkah tersebut bagi mewujudkan ekosistem mesra pelabur untuk meningkatkan pelaburan ‘Domestic Direct Investment’ (DDI) dan ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) ke Negeri Terengganu
Katanya, walau bagaimanapun, pelabur yang berminat untuk melabur di Negeri Terengganu perlulah dipastikan bahawa pelabur yang ‘genuine’ (tulen) bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat.
“Sebagaimana kerangka, matlamat pelaksanaan dasar tersebut adalah dengan memberi penekanan kepada mengurangkan kerenah birokrasi yang berlaku.
“Tujuan pelaksanaan dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini adalah bagi melancarkan proses pelaburan perindustrian di Negeri Terengganu sama ada dari pihak pelabur yang berminat dan juga kepada Kerajaan Negeri dan agensi atau jabatan berkaitan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Tambahnya, antara intipati kepada pelaksanaan dasar mesra pelabur dengan mengadakan perbincangan langsung dengan pelabur berminat bagi mendapatkan lebih input dan keperluan pelabur.
“Pihak PMINT akan melaksanakan ‘due diligence’ kepada pelabur yang berminat bagi melabur di Negeri Terengganu.
“Ini termasuk kolaborasi yang baik dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan seperti MIDA dan ECERDC melalui perkongsian informasi bagi menarik pelabur berpotensi melabur ke Terengganu,” ujarnya.
Beliau juga berkata proses permohonan pajakan tanah oleh pelabur juga akan dipercepatkan dengan mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan olehnya dengan ahli jawatankuasa melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Teknikal dan MIDA.
“Kita akan mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan ‘submission’ oleh pelabur dengan mewujudkan kemudahan khidmat runding melalui ‘pre-consult’/’fast lane’ di Peringkat PBT bagi kelulusan pelan.
“Selain itu, kita akan melaksanakan ‘Trade Mission’ serta Ekspo Industri seperti MIDA Series dan ECERDC Invest@ECER Series bagi promosi pelaburan,”katanya.
30 Nov 23
186
Paip Air Lama di Setiu Perlu Ditukar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Paip air sedia ada yang lama di daerah Setiu perlu ditukar bagi mengelakkan kebocoran berulang dan menyebabkan kerugian air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, isu itu adalah isu lama yang berlarutan di kebanyakan tempat di kawasan Setiu.
"Saya mencadangkan satu projek penggantian paip-paip ini dapat dibuat dengan kadar segera dalam mempastikan isu kebocoran paip utama ini dapat diselesaikan.
"Apatah lagi permintaan sumber air bersih kini meningkat dengan pertambahan penempatan baharu di pelbagai kawasan di Setiu," katanya ketika Sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2024 di Dewan, di sini semalam.
Jelas Azmi, kerajaan juga perlu meneliti masalah kebocoran paip air yang serius terhadap bekalan air bersih ke Pulau Redang.
"Dianggarkan berlaku kebocoran sebanyak 3 juta liter sehari di dasar laut," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Azmi berkata Setiu memerlukan jajaran paip air baharu bagi menjamin isu kebocoran paip tidak berulang dalam jangka masa yang panjang.
30 Nov 23
402
Bina Taman Industri Hijau di Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh mencadangkan tanah seluas 5,000 ekar di Hulu Terengganu dijadikan sebagai salah satu Taman Industri Hijau (Green Industry Park) negeri Terengganu.
Dr Mamad mencadangkan demikian ketika berucap membahas Ucapan Belanjawan 2024 Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau berkata Hulu Terengganu mempunyai sumber untuk dibangunkan industri baru kerana di daerah tersebut tersedia tenaga elektrik 660 megawat dari Tasik Kenyir.
"Di Hulu Terengganu ada cadangan membangunkan industri tenaga solar, kuasa hidro-elektrik sedia ada dan juga sumber air yang banyak, pengangkutan yang paling dekat dengan Lebuhraya Pantai Timur II (LPTII) dan ECRL di Durian Guling yang jauhnya kira-kira 15 kilometer sahaja," jelas beliau.
Tanah berkenaan katanya berhampiran kira-kira 80 kilometer dari kawasan industri Dungun.
"Jadi dengan tenaga kerja yang murah Kuala Berang mencadangkan satu tanah seluas 5,000 ekar dijadikan 'Green Industry Park'.
"Saya telah sebut di sidang DUN yang lepas yang mana tanah tersebut telah dipajakkan dan sebahagiannya telah diberi kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP)," ujarnya.
Beliau mengharapkan kerajaan negeri mengambil maklum tentang maklumat berkenaan dan mengharapkan wujud industri baru di Hulu Terengganu.
29 Nov 23
354
Program Pertanian Bandar Perkukuh Fungsi Masjid
KUALA TERENGGANU, 29 November - Program pertanian fertigasi dan hidroponik yang dilaksanakan pihak masjid berjaya mengukuhkan serta mengembangkan lagi institusi itu sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Masjid Pengkalan Berangan, Marang antara contoh yang berjaya dengan projek pertanian fertigasi.
"Kerajaan mengajak pengurusan masjid dan ahli kariah agar memanfaatkan tanah atau ruang kosong dalam kawasan masjid dengan aktiviti pertanian yang mana kaedah fertigasi atau hidroponik antara sistem pertanian bandar yang sesuai dipraktikkan.
"Dilaksanakan dibawah Program Pertanian Bandar, peruntukan disediakan kerajaan bagi kategori Individu adalah sebanyak RM500, usahawan (RM5,000), komuniti (RM20,000) dan institusi (RM10,000)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu yang telah merintis Program Pasar Tani Masjid di Masjid Sentul Patah, Marang.
"Ia sangat berkesan ke arah mempelbagaikan masjid sebagai pusat sosioekonomi penduduk setempat.
"Ia selaras dengan galakan kerajaan negeri supaya masjid sebagai pusat pengumpulan hasil tani dalam memperkasakan fungsi institusi masjid," katanya.
29 Nov 23
168
Hilang Hasil RM82.5 Juta Selepas Kecualikan Cukai Pintu
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta dari kutipan cukai pintu rumah kediaman bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian cukai pintu rumah kediaman adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
“Sebaik sahaja memenangi PRU14, kita terus melaksanakan janji tersebut.
"Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri telah kehilangan hasil RM82.5 juta yang sepatutnya dikutip oleh tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Belanjawan) di Wisma Darul Iman, hari ini
Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).
Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti cadangan pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu secara bersasar.
Kata beliau, pihaknya telah menerima banyak cadangan dan perkara tersebut akan dipertimbangkan.
"Kerajaan negeri menerima banyak cadangan dari pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu ini secara bersasar.
"Kita akan mengkaji cadangan-cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad," katanya.
29 Nov 23
427
Pinjaman Tanpa Caj Bantu Belia Ceburi Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan Negeri memperkenalkan kemudahan pinjaman tanpa faedah mulai tahun 2019 bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bagi membantu mereka (anak muda) yang terlibat dengan bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Tumpuan pelaksanaan skim ini adalah kepada aktiviti pengeluaran makanan dan skim bantuan dalam bentuk barangan.
“Pada tahun ini, sebanyak RM 2 juta diperuntuk kepada golongan belia dalam SBMT bagi memulakan projek dalam sektor pertanian,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang ingin tahu mengenai apakah strategi kerajaan bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.
Mengulas lanjut katanya, melalui program Agropreneur Muda pula, kerajaan negeri menyediakan bantuan dalam bentuk geran kepada usahawan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan pertanian.
“Kerajaan melalui kerjasama strategik dengan Agrobank juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian.
“Antara bentuk bantuan untuk golongan belia termasuk pemberian dana kerajaan melalui Agrobank sebanyak RM950,000 sebagai modal permulaan petani muda serta peruntukan pinjaman RM100 juta kepada usahawan di bawah usia 40 tahun,” jelasnya.
Menurut beliau, Agrobank menerusi usahasama dengan para rakan strategiknya turut giat menguruskan Program Pembangunan Belia Tani dalam Kalangan Siswazah (PROBEST), terutama dalam penyediaan dana program di samping membangunkan usahawan belia tani dengan membekalkan latihan dan bimbingan keusahawanan, termasuk pemantauan dan pelaporan program.
29 Nov 23
430
Kerajaan Negeri Teruskan Pemeriksaan Mamogram Percuma Bagi Wanita B40
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri akan meneruskan program pemeriksaan kanser payudara (mamogram) dan penyakit kanser perviks (pap smear) secara percuma kepada wanita B40 di Negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di negara ini.
Katanya, statistik terkini mencatatkan satu daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia.
"Pencegahan awal melalui pemeriksaan mamogram sangat berkesan dan perlu disediakan kepada kaum wanita terutamanya kepada yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terhadap penyakit ini.
"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 menunjukkan kira-kira 75 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram sekali gus memperlihatkan tahap kesedaran yang masih rendah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pembekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Zuraida, di Terengganu, pusat-pusat perubatan yang menyediakan pemeriksaan mamogram terletak di pusat bandar dan keadaan ini menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar untuk membuat pemeriksaan.
Tambahnya, berdasarkan pelaksanaan sebelum ini, selepas mereka membuat saringan kelayakan, mereka yang terpilih akan ke hospital di sekitar bandar Kuala Terengganu untuk membuat pemeriksaan mamogram.
"Ini menyulitkan bagi wanita-wanita yang berada di luar bandar dan pedalaman serta jauh dari bandar Kuala Terengganu termasuk masalah pengangkutan.
"Kos perjalanan yang besar menyebabkan wanita ini tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan mamogram,' katanya.
Justeru itu katanya, beliau mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah program pemeriksaan mamogram ini di kawasan luar bandar atau pedalaman.
Di samping, mengadakan kerjasama dengan pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan mamogram secara mobil atau secara bergerak kepada wanita-wanita ini.
"Dengan kata lain, wanita di luar bandar tidak perlu lagi membuat pemeriksaan mamogram di bandar Kuala Terengganu dengan adanya kaedah mobil ini.
"Semoga dengan usaha secara menyeluruh ini, diharapkan mampu mengurangkan statistik pesakit kanser payu dara di negara kita dan negeri ini khususnya," ujarnya.
29 Nov 23
168
Universiti Tunisia dan Algeria Tempatkan Pelajar Terengganu kini Mendapat Pengiktirafan
KUALA TERENGGANU, 29 November - usaha kerajaan Terengganu mengorak langkah menghantar pelajar ke Algeria dan Tunisia membuahkan hasil apabila kesemua pengajian di universiti yang menempatkan pelajar dari negeri ini mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, hasil yang diusahakan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam bermula tahun lalu dengan seramai 38 pelajar telah dihantar di kedua negara berkenaan di Peringkat Sarjana Muda.
Ujarnya, dengan berita baik itu diharap dapat menjawab spekulasi yang mendakwa bahawa kerajaan negeri ini hanya sekadar menghantar pelajar tanpa mengambil peduli samada diiktiraf ataupun tidak.
"Di Algiers 1 University dan Emir Abdelkader University Of Islamic Sciences (Algeria) membabitkan empat pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam iaitu Usuluddin ; Bahasa Arab ;Ketamadunan Islam dan Syariah.
"Manakala di Ez-Zitouna Universrity (Tunisia) membabitkan empat pengajian Sarjana Muda peradaban Islam iaitu Akidah dan Ilmu Kalam; Al-Quran dan Hadi; Feqh dan usul serta Peradaban Islam.
"Kesemuanya ini telah mendapat pengiktirafan MQA," ujarnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Caption
Sehubungan itu, Satiful berharap agar dengan kesemua pengajian di universiti berkenaan telah mendapat pengiktirafan akan melegakan semua pihak.
"Semoga memberikan ketenangan buat ibu bapa, agensi terlibat serta para pelajar yang baru berangkat serta yang telah belajar di sana bermula tahun lalu," katanya.
29 Nov 23
714
Lebih RM1.3 Juta Diperuntuk Baikpulih Kawasan Pelancongan Hulu Besut
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri memperuntuk lebih RM1.3 juta bagi menambah baik dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia melibatkan peruntukan sebahagian besar dari kerajaan negeri dan selebihnya dari kerajaan persekutuan.
"Sebanyak RM940,000 diperuntuk bagi cadangan projek baikpulih, menaiktaraf kemudahan pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring.
"Ini termasuk cadangan membina dan menyiapkan chalet tambahan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring melibatkan peruntukan RM391,029 yang kedua-duanya dari kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambahnya, di bawah peruntukan kerajaan persekutuan melalui MOTAC negeri, pembinaan dan menyiapkan 'Arca Entrance Signage' dibawah menaiktaraf kemudahan pelancongan dan kerja berkaitan di La Hot Spring.
Selain itu katanya, dua kawasan rekreasi yang berada di dalam kawasan hutan simpanan kekal di Hulu Besut iaitu Taman Eko-Rimba (TER) Lata Tembakah dan Lata Kolam Air Deru Ecopark turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
"TER Lata Tembakah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).
"JPNT sentiasa menaiktaraf dan membaiki kemudahan di TER Lata Tembakah secara berperingkat bergantung kepada sumber peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan (KWPAH) untuk keselesaan pengunjung," jelas beliau.
Menurutnya lagi, bagi kawasan Lata Kolam Air Deru, permit penggunaan diberikan kepada syarikat Big Scope Event And Travel Sdn. Bhd. untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.
29 Nov 23
133