lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Cuaca Cerah, Pengundi Dinasihat Keluar Mengundi Awal
Cuaca Cerah, Pengundi Dinasihat Keluar Mengundi Awal
KEMAMAN, 2 Disember - Cuaca cerah pada pagi ini diharap memberi peluang kepada seramai 141, 043 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman untuk keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kewajipan itu perlu disegerakan dalam keadaan cuaca di Terengganu yang tidak menentu. "Alhamdulillah, pada pagi ini cuaca sangat baik, kita berharap supaya ia bertahan sampai ke petang, kita sama-sama berdoa. "Minta pengundi keluar awal, sebab (cuaca) tidak dapat dijangka. Kalau boleh semua dapat keluar lebih awal,  sekiranya berlaku hujan pada sebelah petang sekurang-kurangnya semua sudah 'cover'," ujarnya. Beliau berkata demikian  ketika ditemui pemberita semasa tiba di Pusat Pengundian, Sekolah Kebangsaan (SK)Kertih, di sini, hari ini. SK Kertih merupakan salah satu daripada 18 pusat pengundian yang dilawati oleh Calon PAS. Mengulas mengenai jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tehadap peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, ujarnya beliau berharap peratusan itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa. "Memang cabaran dalam mana-mana PRK ini memang berdepan cabaran berkenaan. "Cuma kita berharap suasana di Terengganu berbeza kerana kesedaran dalam kalangan pengundi, saya berharap keadaanya lebih baik dan ramai yang akan keluar mengundi," jelasnya.
02 Dec 23
322
PRK Kemaman Bawa Hasrat Rakyat Malaysia Tolak Kezaliman
PRK Kemaman Bawa Hasrat Rakyat Malaysia Tolak Kezaliman
KEMAMAN, 1 Disember – Rakyat Kemaman bukan hanya mewakili Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan bahkan mewakili rakyat Malaysia yang menolak kezaliman. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassurudin Daud berkata ia berikutan ketidakadilan yang wujud dalam negara Malaysia sekarang. Katanya, ekonomi semakin teruk dengan nilai ringgit juga semakin merundum dan apa lagi yang rakyat Malaysia nak harapkan. "Oleh kerana itu, saya berharap pengundi-pengundi di Kemaman membuat pilihan yang tepat memilih pemimpin yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar pemerintahan. “Al-Quran dan As-Sunnah merupakan dasar paling tinggi yang diletakkan dalam perlembagaan PAS itu sendiri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana ‘Grand Finale’ PRK P.040 Parlimen Kemaman di Padang Astaka Chukai di sini malam ini. Tambah Nassuruddin, calon PAS yang dipertandingkan itu merupakan yang terbaik dengan pencapaian yang luar biasa dalam bidang akademik dan politik. “Rakyat Terengganu juga dilihat telah membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas dengan memberikan kemenangan yang luar biasa terhadap parti PAS. “Kita berharap tekad yang dibuat oleh rakyat negeri ini pada pilihan raya yang lalu dapat dibuat pada PRK Parlimen pada pagi esok. “Saya menyeru kepada semua rakyat Kemaman supaya mengekalkan kemenangan PAS dalam PRK Kemaman, Insya-Allah," ujarnya.                    
01 Dec 23
197
Dr Sam Layak Jadi Perdana Menteri – Tun M
Dr Sam Layak Jadi Perdana Menteri – Tun M
KEMAMAN, 1 Disember – “Dr Sam dah memang layak jadi Perdana Menteri,” ujar Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata calon Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai keperibadian yang lengkap sebagai seorang pemimpin tertinggi. Katanya, beliau menyeru kepada semua rakyat Kemaman agar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember bagi mengubah nasib negara. "Walaupun saya bukan ahli PAS mahupun Bersatu namun saya menyokong penuh perjuangan kedua-dua parti tersebut. "Nasib kita diselesaikan dengan mudah sahaja yang tidak memerlukan peperangan seperti di negara lain iaitu cuma keluar mengundi sahaja. "Sekiranya kita tidak keluar mengundi seperti seolah-olah kita tidak mempedulikan nasib negara kita," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana ‘Grand Finale’ PRK P.040 Parlimen Kemaman di Padang Astaka Chukai di sini malam ini. Tambah Tun Dr Mahathir, walaupun pilihan raya ini bukan menentukan kerajaan namun kita ingin menunjukkan kepada umum bahawa rakyat Malaysia ingin memilih parti yang baik menjadi kerajaan. Tambahnya, ia berikutan kerajaan yang ada sekarang bukanlah berjuang untuk bangsa, agama dan negara tetapi berjuang untuk mendapat tempat sebagai Perdana Menteri. "Tiada satu pun yang dilakukan selama 365 hari beliau menjadi Perdana Menteri melainkan ucapan yang dapat kita dilihat di sidang media, akhbar dan lain-lain. "Namun segalanya ucapannya itu adalah perbohongan dan tidak ada satu pun tindakan yang dilaksanakan beliau. Tun Dr Mahathir berkata pilihan raya ini peluang bagi rakyat untuk menunjukkan pendirian bahawa masalah yang ditimpa oleh masyarakat mesti diutamakan khususnya melayu. Beliau berkata, kita ingin negara kita dihormati dan dipandang tinggi oleh seluruh dunia dan tidak mahu agama kita dicemar ataupun dihina oleh sesiapa.    
01 Dec 23
699
Kesal Tindakan Menteri Kesihatan Khianati Janji Hapuskan Tabiat Merokok
Kesal Tindakan Menteri Kesihatan Khianati Janji Hapuskan Tabiat Merokok
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Rata-rata Ahli Parlimen menzahirkan perasaan kesal dan kecewa atas tindakan Menteri Kesihatan, Zaliha Mustafa yang tidak menunaikan janji bagi menghapuskakan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia jelas menunjukkan tiada kesungguhan daripada pihak Kerajaan Madani ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (RUU KPDMKA) baru-baru ini hanya mengawal produk merokok. Ujarnya, Generasi Penamat Rokok (GEG) tidak lagi diperuntukkan dalam RUU tersebut yang telah pun pernah dibahaskan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. "Malah RUU yang hampir sama telah pun dibentangkan oleh Menteri Kesihatan pada 12 Jun 2023 yang lalu, GEG adalah satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan penggunaan Produk Merokok dalam kalangan generasi musa secara beransur-ansur sehingga tahun 2045. "Lebih mendukacitakan saya dan persatuan-persatuan berkepentingan jelas melihat Menteri Kesihatan tidak jujur apabila membuat kenyataan menangguhkan bacaan kedua yang sepatutnya dibacakan pada hari kedua dalam sidang Dewan Rakyat pada kali ini. "Dengan alasan memberikan laluan aturan mesyuarat lain di dalam senarai aturan mesyuarat, walhal memang sudah ada perancangan untuk menggugurkan GEG daripada RUU KPMDKA ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Tegas Dr Alias, sikap ditunjukkan Menteri Kesihatan itu jelas tidak konsisten serta tidak bertanggungjawab. "Saya mengecam tindakan ini kerana telah mengkhianati janji dan komitmen beliau untuk melaksanakan GEG dalam RUU KPTM (Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok) yang telah pun dibentangkan dalam parlimen pada 6 Oktober yang lalu. "Dengan pengguguran GEG ini maka sasaran untuk mengurangkan jumlah perokok sehingga kurang daripada lima peratus menjelang tahun 2045, pada pendapat saya adalah sukar untuk dicapai," katanya. Tambah beliau, GEG adalah wajar untuk diteruskan kerana ia lebih berhemah, berkesan dan mendasari kesihatan rakyat berbanding KPMDKA yang tidak meletakkan had generasi umur bagi individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2027. "Kerana ia menekankan pendidikan, kesedaran, sokongan dan pencegahan bagi mengurangkan permintaan dan penawaran Produk Merokok dalam kalangan generasi muda. 'Pada pendapat saya GEG tidak menjejaskan hak dan kebebasan individu untuk membuat pilihan sendiri berkenaan dengan penggunaan produk tembakau," tegas beliau.  
01 Dec 23
174
Terengganu Tawar Pelabur Bangun Pulau Bayas
Terengganu Tawar Pelabur Bangun Pulau Bayas
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada mana-mana pelabur yang berhasrat untuk membangunkan Pulau Bayas bagi merancakkan pembangunan industri pelancongan di Tasik Kenyir Hulu Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri  mengalu-ngalukan mana-mana pelabur yang berhasrat berkerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan pulau tersebut dan permohonan mereka akan dberikan pertimbangan sewajarnya. "Kerajaan negeri membuka peluang seluas-luasnya untuk membuat 'joint venture' atau 'smart partnership' dengan agen-agen ataupun GLC negeri Terengganu untuk mempastikan pembangunan di Pulau Bayas diteruskan," katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.   ADUN Telemong Zawawi Ismail dalam soalan asalnya ingin tahu status terkini Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir Hulu Terengganu dan perancangan kerajaan negeri di masa hadapan. Razali yang juga ADUN Kijal berkata kerajaan negeri juga merancang untuk membuka peluang kepada pelabur-pelabur yang mengemukakan cadangan pelaburan di Pulau Bayas, Tasik Kenyir serta memperomosikannya tasik itu sebagai 'Geo-Park' bertepatan dengan pengiktirafan Jawatankuasa Geo-Park Kebangsaan pada 30 Mei 2023 yang lalu. Menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Berang berkaitan pencawang elektrik ke Pulau Bayas Datuk Razali berkata kerajaan negeri sedang mengkaji proses penyiapan projek berkenaan. "Kita (kerajaan negeri) telah menerima beberapa syarikat yang berminat dan kita akan teruskan seperti mana cadangan Yang Berhormat Kuala Berang," jelasnya. Untuk rekod banyak projek di Pulau Bayas terpaksa dihentikan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
30 Nov 23
1835
Atlet Terengganu Ikuti Pengajian Agama
Atlet Terengganu Ikuti Pengajian Agama
KUALA TERENGGANU, 30 November - Bagi memastikan atlet Terengganu berkualiti tinggi serta tidak hanya cemerlang dalam lapangan sukan kerajaan negeri turut menekankan pendidikan agama. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas melalui unit bimbingan di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bertanggungjawab memastikan perkara itu terlaksana. "Antara program yang dilaksanakan oleh MSNT ialah Kelas Fardu Ain secara berkala bagi atlet yang menginap di asranama, Solat Zohor dan Asar secara berjemaah setiap hari bekerja di dalam dewan arena MSNT dan program motivasi kerohanian secara berasingan untuk setiap sukan. "(Selain itu) kelas pengajian al-Quran setiap Isnin dan Rabu, Solat Duha dan Solat Hajat setiap Khamis, pengajian berkitab setiap pagi Khamis. "Melaksanakan qiamulali setiap kali kem diadakan, amalan doa dan zikir harian, program 'Ihya Ramadan', Solat Tasbih dan seumpamanya, inilah di antara beberapa program yang dikelolakan untuk membentuk atlet yang berkualiti," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, kesungguhan melahirkan para atlet adalah mengikut bimbingan Rasulullah SAW. "Semangat kesukanan ini sudah tentu kita mengambil bimbingan daripada Nabi Muhammad SAW yang telah memberi ajaran ajarkan anak melalui aktiviti memanah, menunggang kuda ini dari sudut fizikal. "Dari sudut kerohanian Nabi SAW ada menyebut bukan dikatakan seseorang itu hebat kerana pandai bergusti tetapi dikatakan kuat apabila dia mampu mengawal dirinya ketika marah. "Ini yang diterapkan dalam memastikan kecemerlangan sukan di negeri Terengganu, dengan menekankan semua aspek latihan (mencakupi) fizikal, kekuatan mental dan juga pemantapan rohani," katanya.  
30 Nov 23
608
Terengganu Berjaya Kumpul RM771 Ribu Bantu Rakyat Palestin
Terengganu Berjaya Kumpul RM771 Ribu Bantu Rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU, 30 November - Terengganu berjaya mengumpulkan kutipan derma melalui ‘Tabung Terengganu Aid4 Palestine 2.0’ sebanyak RM771,000. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata kutipan derma itu bertujuan bagi membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.  Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk kutipan yang telah dibuat masjid-masjid di negeri ini. “Kita jangkakan selepas daripada ini akan mencapai jumlah sasaran yang kita letakkan sebenyak RM1 juta. “Kutipan itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang telah terlibat secara langsung di bumi Palestin. “Apa yang dilakukan beliau sangat proaktif serta beliau menyediakan laporan penuh perjalanan sumbangan yang kita berikan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Derma Tabung ‘Terengganu Aid4 Palestine 2.0 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) pada hari ini. Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah. Terdahulu, kerajaan negeri melancarkan ‘Tabung Terengganu Aid4 Palestine 2.0’ pada 25 Oktober yang lepas setelah daripada serangan rejim zionis terhadap bumi Palestine. Tambah Hishamuddin, inisiatif ini diambil di atas kebersamaan umat Islam di Palestine melalui kerajaan negeri Terengganu. “Usaha tersebut merupakan kali kedua dilaksanakan di negeri ini selain memberi peluang kepada rakyat untuk menyalurkan sumbangan ke saluran yang tepat,” katanya. Sementara itu, Mohd Nor berkata sumbangan tersebut melibatkan lebih daripada 40 agensi, 27 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dan 44 Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk ‘non muslim'. Beliau berkata, ini membuktikan bahawa besarnya solidariti rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan saudara kita di bumi Palestine. “Saya berharap bahawa usaha ini dapat diteruskan dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya.            
30 Nov 23
224
Terengganu Kawal Padi Dijual Keluar
Terengganu Kawal Padi Dijual Keluar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi daripada dijual keluar dengan kerjasama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan tersebut diambil adalah disebabkan hasil padi tidak mencukupi dalam kalangan pengilang tempatan dalam negeri. Ujarnya, tindakan tersebut adalah melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu yang dipengerusikan beliau melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi di negeri ini. "Berdasarkan justifikasi ini, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri melaksankan beberapa langkah kawalan (antaranya) arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu. "Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994. "Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambah Dr Azman, selain itu bahagian Kawalselia Padi dan Beras turut menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan. "Bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan dan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan," ujarnya.
30 Nov 23
757
Tangguh Bayar Royalti Susahkan Rakyat
Tangguh Bayar Royalti Susahkan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 30 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki bayaran royalti petroleum kepada Terengganu dilihat seolah-olah seperti mahu menyusahkan rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Persekutuan mesti memulangkan dana itu langsung kepada Kerajaan Terengganu yang direkodkan sebagai hasil negeri dengan mengikut jadualnya seperti menjadi amalan sejak sekian lama. “Mengenai Royalti Petroleum, walau apa juga nama yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sama ada Wang Ehsan, Bayaran Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, suka saya tegaskan bahawa ia adalah hak rakyat dan Negeri Terengganu. “Tindakan bertangguh-tangguh menyerahkannya dan dalam jumlah yang jauh sangat sedikit berbanding yang dianggarkan seperti bayaran ansuran bulanan, umpama sengaja mahu mengganggu dan menggagalkan pentadbiran kerajaan negeri dan kesannya adalah kepada rakyat,” ujar Ahmad Samsuri. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan terus berbincang dan berunding dengan beberapa pendekatan berasaskan Perlembagaan dan semangat federalisme sehinggalah Kerajaan Persekutuan menyerahkan kembali hak rakyat Terengganu ini. Untuk rekod, dan berdasarkan kadar harga minyak yang turun naik, pada tahun 2018, Kerajaan Terengganu menerima Royalti Petroleum sebanyak RM1.374 Billion, RM1.497 Billion (2019), RM1.226 Billion (2020), RM1.287 (2021), RM1.393 Billion (2022), dan setakat ini pada tahun 2023 berjumlah RM0.56 Billion. Dalam pada itu katanya, Kerajaan Terengganu akan memperkasakan sumber sedia ada dan meneroka sumber baharu sebagai strategi untuk menjana pendapat baharu kepada negeri. “Kita telah mempunyai Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu pada 7 September 2023 untuk dijadikan strategi utama bagi meningkatkan hasil kerajaan. Kerajaan optimis bahawa kita berupaya untuk meningkatkan pendapatan negeri secara berfasa. Namun begitu, kita perlu realistik dalam perkara ini,” ujarnya. Jelas beliau, kesemua perancangan ini ada yang boleh dilaksanakan segera dan ada yang memerlukan masa yang lebih panjang, kerana ia melibatkan banyak pihak dan proses di pelbagai peringkat. “Untuk memastikan perancangan ini benar-benar bermanfaatkan dan memberikan keuntungan kepada rakyat dan negeri, kita akan sentiasa cermat dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil tindakan dan keputusan terutamanya melibatkan hasil baharu,” katanya.  
30 Nov 23
426
Tujuh Strategi Jana Pendapatan Baharu
Tujuh Strategi Jana Pendapatan Baharu
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu mewujudkan portfolio pendapatan baharu bagi menjana pendapatan negeri dengan merancang tujuh strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030. Katanya hala tuju pendapatan baharu adalah dengan mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Ir Saiful Azmi dalam soalannya ingin tahu definisi dan hala tuju portfolio pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri. Mohd Nurkhuzaini yang juga ADUN Kota Putera menjelaskan bahawa definisi pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri ialah hasil yang diperolehi daripada sumber sedia ada dan baharu yang berpotensi menjana hasil pendapatan kepada negeri, selain mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. "Bidang tugas bagi portfolio ini adalah bertanggungjawab merancang, menyelaras dan menjayakan pelan penjanaan pendapatan baharu negeri serta membangunkan industri baharu selain minyak dan gas seperti galian dan sumber alam sekitar," jelasnya. Katanya dua fokus utama terkini adalah di dalam sektor Teknologi Hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE). Menurut beliau pada tahun 2030, permintaan minyak di Terengganu dijangka menurun sebanyak 25 peratus. "Sehubungan dengan itu, satu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu telah diluluskan di Mesyuarat Majlis Tindakan PITAS bertarikh 17 Januari 2023 dengan tujuan merangka strategi penjanaan pendapatan baharu kepada negeri," ujarnya lagi.
30 Nov 23
235