lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dasar Baharu Dijangka Tarik Pelaburan Berimpak Tinggi
Dasar Baharu Dijangka Tarik Pelaburan Berimpak Tinggi
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Negeri sedang melakukan penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar  tersebut dirangka bagi menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMK Ke-12. “Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan menfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke negeri ini. “Selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang ingin tahu mengenai apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di samping MIDA dalam mengalu-alukan dan menarik minat pelabur untuk memilih Negeri Terengganu. Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian negeri akan menawarkan beberapa insentif kepada pelabur. “Antaranya, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.  “Pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar.  “Selain, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur,”jelasnya. Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi yang bertanyakan mengenai kaedah yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke Terengganu lebih mesra pelabur, katanya pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.  “Jadi bukan setakat kita memberi jawapan ‘Yes or No’ kepada pelabur. Tetapi, kita cuba guide, bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan,” ujarnya. Katanya, tidak dinafikan bahawa memang wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan lain. “Kerap kali juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi. Tertakluk kepada pihak berkuasa kerajaan, baru nak cari dana atas sebab-sebab yang lain. “Dan kita juga tak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kita telah menubuhkan Pasukan Khas atau Special Task Force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudahcara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain,” ujarnya.
29 Nov 23
205
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri disarankan menambah kawasan industri di Terengganu, agar pertumbuhan ekonomi semakin rancak dan kebergantungan pada hasil minyak dapat dikurangkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata jika itu berlaku peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat dipertingkatkan.  Katanya, sehingga kini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebahagian besarnya masih lagi bergantung kepada industri minyak dan gas.  “Kebergantungan kepada hasil minyak adalah sesuatu perkara yang merisaukan kita dan mampu memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.Bayangkan jika hasil bayaran Royalti Petroleum ini tidak dibuat bayaran kelak dan kita mengalami keadaan ini dengan hampir RM1 bilion masih belum kita perolehi “Tidak pergi jauh, kali ini, kita terpaksa mengambil Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan ada bantuan-bantuan sebelum ini tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Justeru itu katanya, mempelbagaikan sumber kekayaan perlu diambil kira bagi menjamin kestabilan kedudukan kewangan negeri dengan memastikan bahawa pelaksanaan yang dibuat tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua. Tambah beliau, daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4. “Oleh itu, Pembangunan industri mineral memerlukan suatu anjakan agar kita tidak hanya menumpukan kepada proses pengektrakan bahan mentah semata-mata. “Dasar dan polisi komprehensif berkaitan mineral negara perlu diperkemas dan disesuaikan dengan potensi ekonomi dan kelestarian alam sekitar semasa,”katanya lagi. Dalam masa sama, Ghazali berkata, integrasi pemegang taruh dan pakar-pakar berkaitan seperti agensi-agensi pusat dan negeri, industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan, pertubuhan akademi perlu diperhebat serta dikongsi dengan umum. “Kerajaan negeri juga dicadangkan agar menubuhkan Akademi yang memainkan peranan dalam industri mineral, perlombongan dan galian sepertimana adanya Akademi Sains Malaysia (ASM),” ujar beliau.
29 Nov 23
196
LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu
LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 di Terengganu berjaya menjana pendapatan pelancongan secara efek berganda lebih RM3.5 juta yang menyumbang kepada ekonomi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata acara sukan antarabangsa yang pada kebiasaannya mendapat liputan meluas daripada media asing serta tempatan, secara tidak langsung berjaya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menarik. "LTDL telah membuka peluang penjanaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, pengusaha pelancongan, pengusaha kedai makan, peniaga-peniaga menerusi jualan-jualan produk termasuk penginapan" ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tepuh berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambahnya, kejohanan LTDL juga menjadi platform kerajaan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Land of Cyclists’ menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang tersebut. "Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam kejohanan LTDL merupakan langkah terbaik bagi menonjolkan pencapaian atlet dalam sukan dan berkongsi kejayaan atlet dengan semua pihak,"katanya. LTDL 2023 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak perlumbaan sejauh 1,280 kilometer.
29 Nov 23
412
Penyakit Kelamin 'Gonorrhoea' Dibimbangi Menular di Kalangan Remaja
Penyakit Kelamin 'Gonorrhoea' Dibimbangi Menular di Kalangan Remaja
KUALA TERENGGANU, 29 November – 'Gonorrhoea' adalah salah satu penyakit kelamin yang dibawa oleh bakteria yang boleh menjangkiti lelaki dan wanita semasa melakukan hubungan seksual.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida MD Noor berkata penyakit tersebut dibimbangi menyerang anak muda termasuklah melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri Terengganu. “Berdasarkan hasil dapatan dan statistik daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), anak muda lelaki lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin ini berbanding wanita dan umur yang paling tinggi di antara 18 hingga 24 tahun. “Saya cukup berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan penyakit-penyakit kelamin kepada masyarakat termasuk juga kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi,” jelasnya. Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Zuraida, pelbagai program yang telah dijalankan bagi menangani masalah tersebut seperti program kesedaran sentuhan selamat di kalangan remaja sekolah rendah, Program kesedaran HIV & Penyakit Kelamin dan pelbagai lagi program yang dijalankan. Walau bagaimana pun, antara isu dan kekangan yang sering dihadapi oleh pihak kesihatan, ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tidak boleh membuat saringan penyakit ini tanpa kebenaran ibu bapa. "Bagi kanak-kanak pula, seringkali tidak mendapat kerjasama Ibubapa atau penjaga untuk membenarkan anak mereka disaring sekali gus menyukarkan pihak berwajib memantau kes ini. "Oleh itu, saya ingin mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani permasalahan ini," katanya. Antaranya, beliau mencadangkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai jabatan penggerak dari pelbagai sudut seperti penerapan nilai agama kepada remaja seawal sekolah Rendah atau sekolah menengah. Selain itu, kerjasama dan penglibatan Unit Sukarelawan Kesihatan (MyChampion) dan Program Kesihatan Remaja di dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat juga amat penting. Di samping, kempen kesedaran perlu dilaksanakan di peringkat komuniti untuk mempromosikan ujian atau saringan dan pencegahan penyakit gonorrhoea ini. “Di sini saya ingin mengusulkan agar pendidikan formal kita pada hari ini turut menekankan tentang penyakit-penyakit ini bermula dari peringkat sekolah rendah. “Program pendidikan formal dapat disusun untuk mencakup aspek- aspek penting tentang kesihatan seksual dan hubungan interpersonal,” ujarnya. Jelasnya, fungsi agensi kesihatan penting untuk memantau dan menyiasat penyebaran penyakit dengan lebih efektif dan berkesan.
29 Nov 23
198
UniSZA Bangunkan Aplikasi Semak Ketulenan Melon Manis Terengganu
UniSZA Bangunkan Aplikasi Semak Ketulenan Melon Manis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membangunkan sebuah applikasi yang memboleh pengguna menyemak ketulenan pada Melon Manis Terengganu (MMT) Pensyarah Fakulti Informatik dan Komputeran, Dr. Mohd Kamir Yusof, berkata aplikasi yang diberi nama MMT-UniSZA itu dibangunkan dengan menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) bagi mengatasi masalah ketulenan sesuatu produk. Tambahnya lagi, aplikasi itu turut mensasarkan penggunaan bagi pengusahaan buah-buahan premium lain seperti harum manis dan musang king dengan anggaran kos berjumlah RM 5,000 sehingga RM 10,000. “NFC berperanan menyimpan data atau maklumat dan secara terus berinteraksi dengan Cloud Sever melalui peranti mudah alih.  “Melalui teknologi dan aplikasi MMT-UniSZA itu, ketulenan sesuatu produk dapat di ketahui hanya dalam beberapa saat dengan menyentuh peranti mudah alih pada tag NFC tersebut. “Data yang di simpan di dalam NFC tag telah ditukar ke dalam bentuk encryption yang menggunakan Symmetric Encryption (Blowfish) bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Agropreneur Graduan (Projek Melon Manis Terengganu) antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan UniSZA. Dr. Mohd Kamir berkata, Symmetric Encryption (Blowfish) bertujuan untuk memastikan data tersebut tidak boleh disalin atau diubahsuai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. “Data di dalam NFC tag ini akan dipadankan dengan data di dalam Cloud Server dengan menggunakan peranti mudah alih sebagai perantara. Ianya bertujuan untuk memastikan data yang di simpan di dalam NFC tag adalah sama sepertimana data yang di simpan di dalam Cloud Server.  “Di dalam proses ini, data di dalam NFC tag perlu terlebih dahulu melalui proses decryption menggunakan kekunci rahsia dan hanya aplikasi MMT-UniSZA sahaja boleh melakukan proses berkenaan,” katanya.  Beliau berkata, dengan adanya aplikasi dan teknologi itu, produktiviti Melon di Ladang Agroprenuer, Kampus Besut adalah terjamin dari keaslian dan mampu untuk menembusi pasaran luar negara pada masa akan datang.  
29 Nov 23
114
Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Projek Lambaian Bayu yang bermula dari Teluk Ketapang sehingga ke Pantai Pandak, Chendering bakal menjadi tumpuan sektor pelancongan Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, projek tersebut mempunyai jarak keseluruhan lebih kurang 16 kilometer. “Projek yang bernilai RM200 juta itu sedang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). "Ia membabitkan pembangunan enam zon secara berperingkat iaitu Zon Pesisir Payang, Zon Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Zon Primula Batu Burok, Zon Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak," jelasnya. Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Zuraida, Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang mempunyai pemandangan yang cukup indah sesuai dengan imejnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Tambahnya lagi, projek ini merupakan satu inisiatif dalam memperkasa pengisian bandar bertemakan warisan pesisir air. Katanya, melalui pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada. Beliau berkata, ini menepati sasaran ke empat yang terkandung dalam ucapan belanjawan yang telah dibentangkan iaitu Industri Pelancongan yang perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan pelbagai sumber. Oleh itu, Projek Lambaian Bayu ini diberi perlu diberi perhatian sebagai penggerak ekonomi melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu. “Projek ini semestinya akan menjadi tumpuan pelancong sekali gus menyumbang peningkatan ekonomi rakyat menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan para usahawan. “Apa yang mustahak adalah aspek penjagaan ekosistem juga perlu dititikberatkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang,” ujarnya.                    
29 Nov 23
3025
Lapangan Terbang Kerteh Mampu Bina Sumber Kekayaan Terengganu
Lapangan Terbang Kerteh Mampu Bina Sumber Kekayaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Lapangan Terbang Kerteh berpotensi menjadi lokasi strategik untuk membina sumber kekayaan baharu negeri ini dalam bidang aeronautik (kajian penerbangan). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata sektor penerbangan 'conventional' dan 'green aviation' boleh terus diteroka. Katanya, beliau percaya kerajaan negeri telah mengenal pasti peluang baharu untuk dimajukan kawasan berkenaan. “Komitment berterusan khususnya pihak petronas dan para pelabur perlu dalam memastikan hasrat tersebut dapat disempurnakan dengan lebih baik. “Termasuk pengurusan pemindahan asset dan operasi dengan mengambil kira keupayaannya untuk terus membangun dan berdaya saing,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Tambah Ir Saiful, beliau berharap agar kerajaan dapat mengambil perhatian dalam menyelesaikan masalah berkaitan projek yang masih tidak dapat disiapkan dan terbengkalai seperti ‘Cove Kemasik’ dan Masjid Kampung Baru Kerteh.  “Projek 'Cove Kemasik' bertujuan untuk mendalamkan Kuala Kemasik bagi keselesaan dan keselamatan nelayan. "Para nelayan setiap hari keluar dan masuk di kawasan tersebut termasuk melabuhkan bot-bot mereka," ujarnya. Beliau berharap katanya, tindakan segera boleh dibuat seterusnya kerja-kerja mendalamkan kuala kemasik dapat dilaksanakan secepat mungkin Di samping itu, bagi pembinaan Masjid Kampung Baru Kertih juga perlu kepada tindakan segera kerana dibimbangi berlaku kerosakan, 'vandalisme' dan sebagainya.                        
29 Nov 23
2719
'PAS Letak Dr Sam Untuk Jadi PM' - KJ
'PAS Letak Dr Sam Untuk Jadi PM' - KJ
KUALA TERENGGANU, 29 November - Langkah PAS meletakkan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan semata-mata kerana ingin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tetapi merupakan usaha meletakkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber pada masa akan datang. Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia juga merupakan satu agenda memperkenalkan kepada negara bahawa PAS memiliki calon teknokrat yang sangat layak. Ujarnya, dengan penampilan sulung sebagai Ahli Parlimen nanti akan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam negara ini melalui kewibawaannya. "Apabila dia masuk Parlimen nanti diharapkan (dapat mematikan) segala kritikan terhadap PAS, Perikatan Nasional (PN) tidak reti cakap tentang polisi, teknikal, mengenai sains, soal infrastruktur dan sebagainya. "(Di mana) dia akan menampilkan perbahasan yang menyebabkan orang kata (melihat), eh, boleh terimalah dia (Dr Sam) sebagai Perdana Menteri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran melalui podcast 'Keluar Sekejap', semalam. Mengulas lebih lanjut, Khairy berpadangan bahawa langkah meletakkan Dr Ahmad Samsuri bukan langkah sembarangan sebaliknya PAS mahu membuktikan ada agenda besar untuk negara. "Sebab itu langkah mencaturkan Dr Ahmad Samsuri adalah sesuatu yang sangat signifikan dan jangan kita ingat bahawa PAS letak Dr Sam kerana semata-matang hendak menang PRK Kemaman. "Ini adalah satu langkah jangka masa panjang , suatu kenyataan (menzahirkan) hasrat untuk meletakkan calon Perdana Menteri daripada PAS," katanya.
29 Nov 23
777
Kerajaan Akan Terus Perkasa Wanita Terengganu
Kerajaan Akan Terus Perkasa Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan agenda pembangunan wanita yang bersesuaian dengan prinsip wanita mesra syariah melalui Dasar Wanita Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah ini diambil untuk membolehkan kaum hawa keluar daripada kehidupan yang konvensional, merangkul potensi yang lebih luas, dan menyokong perkembangan holistik mereka. “Kita mengakui Dasar Wanita Kebangsaan mempunyai satu dasar yang lengkap tetapi kita menambah baik lagi dengan menggarap Dasar Pembangunan Wanita negeri untuk menyesuaikan persekitaran yang ada di negeri Terengganu. “Kita tengok dan lihat rata-rata wanita di negeri ini majoriti  muslim jadi kita memperkasakan agenda pembangunan nilai-nilai wanita muslim di dalam Dasar Wanita negeri Terengganu supaya kaum hawa dapat keluar daripada kepompong biasa sama ada sukan, ekonomi dan sebagainya,” jelasnya. Beliau yang juga ADUN Hulu Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Manir dalam Sidang Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Belanjawan Terengganu) di Wisma Darul Iman, semalam. Katanya, Kerajaan negeri menubuh Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) sebagai satu unit tubuh bagi memperkasakan perlibatan wanita dalam pembangunan negeri dan negara. “Beberapa strategi penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu dan penjenamaan Syaidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu.   “Mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu kearah kesejahteraan serta penubuhan Pusat Pembangungan Wanita Terengganu.   “Dan juga strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia serta nilai-nilai ketimuran dan integriti yang tinggi,” ujar Maliaman. Tambah beliau, di peringkat Persekutuan, Jabatan Pembangunan Wanita yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telah melaksanakan fungsi pembangunan wanita di negeri Terengganu.  “Langkah ini dilaksanakan dengan memperkasakan sasaran kepada golongan wanita B40, ibu tunggal, usahawan wanita, dan pelajar sekolah serta universiti,” kata beliau. Justeru itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk memperkasakan wanita dengan bertujuan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.
29 Nov 23
150
TADC, MCT Meterai Perjanjian Bangunkan Rimbunan Kasih
TADC, MCT Meterai Perjanjian Bangunkan Rimbunan Kasih
Kuala Terengganu, 29 November - Jabatan Pertanian Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC)  dan MCT Agriculture Sdn BHd (MCTA)  menandatangani perjanjian bagi Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang, Dungun di Wisma Darul Iman di sini semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim menyaksikan perjanjian tersebut. Dr Azman berkata, Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang merupakan projek pertanian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Iris Corp Sdn Bhd (Iris) di atas tanah seluas 22.8 hektar dengan kemudahan 100 unit kediaman, 26 unit sistem perlindungan hujan dan 400 unit tangki perikanan. Menurutnya projek tersebut bermula pada tahun 2015 dan telah ditamatkan pengoperasiannya pada tahun 2018. Bagaimana pun jelasnya kerajaan negeri bertungkus lumus memulihkan semula projek tersebut pada tahun 2020. "Satu Jawatankuasa Khas telah diwujudkan pada tahun 2020 dan melalui jawatankuasa tersebut, TADC telah dilantik sebagai operator untuk mengoperasikan projek pertanian di kawasan tersebut," ujarnya. TADC katanya berkolaborasi dengan syarikat MCTA dalam pembangunan sektor pertanian dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai rujukan bagi khidmat teknikal. "Bagi Fasa pertama (Fasa 1), projek tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi dibangunkan. "Sebanykan RM3 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih semula semua fasaliti di tapak," jelasnya lagi. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata pengeluaran MMT yang berjaya dihasilkan adalah sebanyak 15 matrik tan sebulan. "Projek itu menjana seramai 25 orang pekerja pelbagai peringkat dan majoriti daripada mereka merupakan penduduk tempatan dari daerah Dungun dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan," ujarnya. Projek itu akan dikembangkan perluasannya ke Fasa kedua (Fasa 2) dengan membangunkan sistem loT serta pembinaan 54 unit sistem perlindungan hujan  (SPH) yang baru di atas tanah berkeluasan 30 ekar.  "Anggaran pelaburan yang terlibat adalah sebanyak RM33 juta dan anggaran pengeluaran hasil pula dijangka sebanyak 63 matrik tan sebulan dengan nilai RM441,000 sebulan," jelas beliau. Selain itu katanya pembangunan Fasa 2 tersebut dijangka mampu menjana 60 peluang pekerjaan baharu merangkumi pelbagai peringkat dalam tempoh 20 tahun bermula dari tahun 2020 hingga 2043. "Ladang itu mendapat persijilan myGAP pada tahun 2021 dan hasil pengeluaran dengan jenama Farmego juga dieksport ke Singapura dan Hong Kong," ujar lagi.
29 Nov 23
408