Artikel "Utama" Terkini
Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan imam dan bilal di negeri ini terjaga.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha bagi memberikan peruntukan 'one off' kepada imam ke-3 memandangkan peruntukan daripada JAKIM hanyalah kepada imam 1 dan imam 2 sahaja.
"Kita juga sedang mengkaji untuk memberikan kenaikan imbuhan dan elaun imam bilal yang tiada pendapatan tetap dan juga kemudahan-kemudahan lain yang boleh dipertimbangkan.
"Di samping itu, turut dilaksanakan juga program Tahsin Pegawai Masjid bagi memastikan imam dan bilal dapat menambahbaik mutu bacaan dan tugas masing-masing, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri.
"Pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan 'smart township mosque' juga akan dilaksanakan kerja-kerja awal pembinaan dan bakal menjadi pusat bagi Bandar Baru Bukit Besar," ujarnya.
04 Dec 23
809
Kejutan Menanti Qabil Irfan
KUALA NERUS, 4 November - Kerajaan negeri bakal memberikan insentif khas buat Qabil Irfan Azlan, 11 yang dinobatkan sebagai juara dunia FIM MiniGP World Series 160cc 2023, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia merupakan satu penghargaan kepada usaha keras pelumba cilik berkenaan dalam mengatasi saingan peringkat antarabangsa pada perlumbaan yang berlangsung di Valencia, Sepanyol itu.
"Kita sangat berbangga dengan pencapaian adik Qabil, baru baru ini.
"Oleh kerana jadi juara, negeri bersetuju memberi insentif khas yang akan diumumkan dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sewaktu menyambut ketibaan Qabil, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap Qabil dan lima lagi pelumba cilik kelahiran Terengganu akan akan mencetak nama di peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, Qabil yang tiba dari Kuala Lumpur melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut.
"Saya tidak sangka saya boleh buat sebab sebelum itu saya duduk di belakang.
"Sebelum ini, saya cuma menyasarkan masuk peringkat akhir dan tidak sangka jadi juara.
"Terima kasih ibu ayah dan semua yang sokong saya, saya akan cuba naik kategori dan berlatih yang terbaik lagi," katanya.
Bapanya, Azlan Abdul Rahman,47 pula menyifatkan kejayaan yang dikecapi amat bermakna.
"Keadaan cuaca ketika itu agak sejuk di mana Qabil berlumba dalam suhu enam darjah celcius dan keadaan litar yang masih basah.
"Untuk perancangan tahun depan, mungkin Qabil akan main pada kategori 190cc. Tetapi segalanya akan ditentukan oleh Zulfahmi Khairuddin, iaitu pihak ZK Racing yang mengelola latihan dan perlumbaan Qabil," katanya.
Musim ini merupakan musim kedua Qabil bersaing di MiniGP World Series selepas menduduki tempat keempat keseluruhan pada tahun lalu.
04 Dec 23
366
Polis Terengganu Tumpas Sindiket Dadah, Rampas Pil Yaba
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berjaya menumpaskan sindiket dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Jerteh, Besut, Rabu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mazli Mazlan berkata, ia susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu.
“Pihak polis telah melancarkan dua serbuan di lokasi sama iaitu di tepi jalan Kampung Kubang Depu, Jerteh.
"Pada serbuan pertama, sebanyak 1,760 gram pil yaba bernilai RM93,500 berjaya dirampas, manakala pada serbuan kedua sebanyak 5,335 gram pil sama dirampas berjumlah RM291,500.
"Sebuah kenderaan jenis Honda City turut dirampas dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR berjaya disita dari salah seorang suspek," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mazli berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 November lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Dipercayai dadah yang dirampas ini adalah untuk kegunaan sehingga 58,000 individu tempatan yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu,” ujarnya.
Menurut beliau, polis Terengganu berjaya melumpuhkan tujuh sindiket pengedaran dadah di seluruh Terengganu dan telah menangkap 18 ahli sindiket termasuk dengan tangkapan terbaru itu bermula Januari hingga November tahun ini.
04 Dec 23
770
'Tak Pernah Terfikir Nak Jadi PM'
KEMAMAN, 3 Dismber - Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah terfikir untuk menjadi Perdana Menteri apabila menceburi bidang politik.
Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya atau meminta untuk menjawat jawatan itu.
"Saya rasa dah jawab beberapa kali soalan (mengenai calon PM)target saya menyertai politik ini bukan untuk menjawat jawatan yang begitu tinggi.
"Walaupun begitu, sekiranya di masa akan datang diberikan amanah oleh parti dan juga rakyat, saya akan pertimbangkan perkara itu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diumumkan menang dalam PRK Kemaman, di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, semalam.
Mengulas mengenai perkara yang akan dibawa ke parlimen, ujar Dr Samsuri ia bukan hanya berkait dengan parlimen malah akan turut berkaitan dengan agenda pentadbiran negeri.
"Nanti saya masuk parlimen dulu, insya-Allah ada pekara berkait bukan sahaja Parlimen Kemaman tetapi negeri Terengganu sendiri.
'Serta akan bersama dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain bersama saling membantu untuk kesejahteraan Negara Malaysia," ujarnya.
03 Dec 23
178
Tanggungjawab Besar Menanti Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyampaikan mesej kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa ada tanggungjawab lebih besar sedang menanti.
Perkara itu disampaikan beliau susulan kemenangan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan kemenangan besar 37,220 majoriti undi.
Ujarnya, peningkatan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum (PRU)Ke-15 jelas menunjukkan rakyat menyenangi Menteri Besar Terengganu dan menolak kerajaan Perpaduan.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada pengundi atas kemenangan yang besae dalam PRK Kemaman," ujarnya melalui hantara di facebook, semalam.
Dalam pada itu , Abdul Hadi turut merakamkan ucapan tahniah kepada jentera yang telah bersungguh-sungguh melakukan gerak kerja dalam mengekalkan kemenangan PAS di Kemaman.
"Tahniah kepada jentera yang bertugas dengan penuh kesungguhan bagi memastikan kemenangan terus kepada PAS dan Perikatan Nasional,"katanya.
03 Dec 23
289
181 Graduan Tamatkan Pengajian SPAIT
KUALA NERUS, 3 Disember – Seramai 181 graduan berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil bersempena Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Pelajar Batch Kedua Tahun 2023.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke program berkenaan.
Keberangkatan tiba baginda disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin dan Yang Dipertuan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Program yang bermula pada jam 10.00 pagi itu berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini.
Majlis bermula dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Johan Tilawah Qariah Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M Nor Hidayah Abd Rahman.
Shaikh Harun berkata SPAIT merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIDAM bagi mewujudkan satu platform khas pembelajaran agama Islam secara formal dan berstruktur.
“Program ini ditawarkan kepada masyarakat Terengganu yang berusia 25 tahun dan ke atas serta program ini juga telah menjangkau usia 12 tahun” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.
Tambah Shaikh Harun, sistem pembelajaran dan pengajian ini mengadaptasikan konsep Kelas Agama Dewasa dan Kelas Malam yang pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an.
"Para graduan pada hari ini merupakan mereka yang telah berjaya menamatkan tiga sesi pembelajaran iaitu ibtidai (permulaan), mutawassit (pertengahan) dan mutaqaddim (lanjutan).
"Program ini telah mencapai kejayaan tersediri dengan pembukaan 47 kelas melalui 35 masjid terpilih bagi proses pembelajaran dan pengajaran SPAIT," katanya.
Manakala jelasnya, jumlah pelajar yang tekun mengikuti pengajian adalah seramai 1690 orang dan jumlah pelajar berjaya bergraduasi ialah seramai 234 orang.
Pada majlis itu, turut diserikan dengan persembahan kumpulan nyanyian nasyid daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
Yang Dipertuan Muda diiringi Ahli-Ahli Majlis Kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri berangkat pulang dari Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, pada jam 12.30 tengahari.
03 Dec 23
938
'Terima Kasih Rakyat Kemaman' - Dr Sam
KEMAMAN, 3 Disember - "Saya mengambil kesempatan pada malam ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Kemaman," ujar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Calon PAS PRK Kemaman tu berkata demikian sebaik sahaja diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kemaman apabila menang dengan majoriti 37,220.
Katanya, kemenangan itu adalah untuk rakyat di daerah berkenaan yang terpaksa berdepan dengan suasana PRK selama dua minggu.
"Kita ucapkan terima kasih atas kemenangan besar ini walaupun peratusan keluar mengundi itu kecil berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lepas.
"Kita menjangkakan target yang dicapai sebagaimana yang diletakkan dalam kalangan pimpinan dengan majoriti 30,000.
"Jadi dengan majoriti yang diperolehi ini adalah melebihi daripada sasaran awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Pusat Penjumlahan Undi, di Dewan Berlia Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Dr Sam berkata, dari jumlah keluar mengundi adalah rendah berbanding sebelum ini.
"Kita jangkakan yang keluar mengundi sekitar 72 hingga 74 peratus, tidak mencapai target peratusan keluar mengundi tetapi majoriti diperolehi adalah lebih daripada jangkaan.
"Saya tak nak komen mengenai perkara itu, tetapi boleh ditafsirkan dengan pelbagai perkara, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku," ujarnya.
Dalam pada itu, di atas kejayaan sulungnya sebagai Ahli Parlimen beliau juga turut berterima kasih kepada jentera PAS dan Perikatan Nasional.
"Seluruh jentera-jentera yang telah datang sama ada daripada penduduk tempatan mahupun dari dalam dan luar negeri.
"Daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang telah bertungkus lumus membantu dalam memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya pada kali ini,"ujarnya.
02 Dec 23
257
Pentadbiran Berjalan Seperti Biasa, Tiada Cuti
KEMAMAN, 3 Disember - Pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa dan tiada sebarang pengumuman berkait cuti akan dibuat, ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Katanya, tiada pengumuman cuti walaupun beliau telah mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Ujarnya, tindakan itu bagi mengelakkan berlakunya 'conflict of interest'.
"Saya faham mengenai cuti itu, tetapi kerana berkait dengan saya sebagai calon yang bertanding dalam PRK.
"Saya rasa ia akan memberikan signal 'conflict of interest', memberi cuti hanya kerana saya yang bertanding,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kemaman, di Pusat Penjumlahan Undi PRK Kemaman, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Sam berkata jika diumumkan cuti, ia seperti meraikan kejayaan peribadi.
"Seolah-olah ini merupakan pencapaian peribadi saya, sedangkan kita nak (beri) cuti 'is not about one individual'.
"Tetapi (mestilah) tentang pekara yang lebih besar," ujarnya lagi.
02 Dec 23
2002
Dr Sam Singkir Calon BN Dengan Majoriti 37,220
KEMAMAN, 2 Disember - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kemenangan PAS di Kemaman dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 37,220.
Dr Sam yang juga merupakan Naib Presiden PAS memperolehi undi 64,968 melalui 249 jumlah peti yang diterima mengatasi pencabarnya.
Calon Barisan Nasional, Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hanya mendapat undi 27,778
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanya Pilihan Raya bagi PRK P040 Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 65.76 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.
02 Dec 23
354
PRK Kemaman : Polis Tak Benar Berarak Rai Kemenangan
KEMAMAN, 2 Disember - Penyokong parti diingatkan agar tidak mengadakan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya gangguan ketenteraman awam.
"Pihak polis akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengawal ketenteraman dan keselamatan awam.
"Seramai 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi untuk memastikan keadaan aman dan harmoni," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir membuat lawaran ke tempat pusat pembuangan undi, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Metok, di sini, hari ini.
Tegasnya, tindakan akan diambil jika didapati melanggar arahan.
"Sama ada kita akan ambil terus (tindakan) atau bukakan kertas siasatan apabila ada laporan polis, dan tindakan akan diambil kemudian," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, orang awam dinasihatkan tidak berada di pusat mengundi selepas jam 6 petang serta bagi memberikan kerjasama untuk memastikan proses seterusnya berjalan dengan lancar.
"Apabila selesai penutupan pusat-pusat mengundi pihak polis akan menutup jalan ke Pusat Penjumlahan Undi Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman secara berperingkat.
"PDRM akan mengaturkan kawalan daripada pasukan lalu lintas bagu memastikan kawalan yang teratur," ujarnya.
Terdahulu, beliau berkata, untuk PRK ini PDRM telah mengatur gerak kekuatan seramai 1,113 anggota termasuk dari Bukit Aman
02 Dec 23
312