lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Situasi Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Amat Menyedihkan
Situasi Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Amat Menyedihkan
KUALA LUMPUR, 7 Disember - Situasi terkini di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) diibaratkan seperti bendang yang amat menyedihkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata perkara itu mengundang tawa banyak pihak. “Gambar padang stadium itu juga telah tular dalam pelbagai medium media sosial.  “Perlawanan akhir tersebut akan menjadi tumpuan banyak pihak khususnya di kalangan peminat bola sepak antarabangsa.  “Saya jangka ia akan menjadi bualan hangat seluruh peminat bola sepak dan kecederaan padang ini bakal menjadi bahan tawa peminat sukan berkenaan seluruh dunia,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Hishamuddin, perkara yang paling ditakuti oleh semua pasukan sama ada TFC mahupun JDT ialah kecederaan yang mungkin terjadi buat pemain mereka, mohon dijauhkan. “Ia juga memungkinkan semua pemain lebih berhati-hati dan menyebabkan permainan hambar untuk aksi perlawanan akhir," ujarnya. Beliau meminta pihak bertanggungjawab dan semua pihak terlibat untuk menjaga padang untuk stadium utama negara ini. Meskipun begitu katanya, pihaknya tidak ingin mengambil kesempatan atas politik kepartian mengenai isu berkenaan.                      
07 Dec 23
499
Karnival Silat Gegarkan Gong Badak
Karnival Silat Gegarkan Gong Badak
  KUALA NERUS, 7 Disember - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) dan Yayasan Al Amin dengan kerjasama Kerajaan Terengganu akan menganjurkan Karnival Silat Kebangsaan (KSK) Kali Pertama 2023 di Stadium Tertutup Komplek Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak selama empat hari bermula 14 hingga 17 Disember ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamudin Abdul Karim berkata Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan merasmikannya dengan slogan 'demi penyatuan, dakwah dan jati diri'. Katanya, pengajuran karnival tersebut diuruskan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Negeri Terengganu. Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Sukan Malaysia XXI (SUKMAXXI), Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli,  Pengerusi PEKIDA Terengganu, Ahmad Fadrul @ Damak Md Taha dan Penasihat I KSK, DCP (B) Dato' Abdul Razak Mohd Yusoff. Hishamudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh berkata aktiviti karnival tersebut termasuk acara kejohanan silat kebangsaan kali kedua, pameran agensi dan korporat, pameran senjata Melayu, both jualan makanan dan minuman, pertunjukan silat, forum dan ceramah, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah. "Saya dimaklumkan bahawa karnival ini lebih kepada  memupuk semangat jati diri Melayu dan penyatuan ummah, jadi ia adalah satu 'event' yang cukup bermakna kepada rakyat negeri Terengganu. "Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, kita akan memberi kerjasama mana yang perlu untuk membantu menjayakan karnival tersebut," tambah beliau. Kerajaan Terengganu juga katanya kagum dengan usaha gigih pihak pengajur untuk merealisasikannya pada tarikh yang ditetapkan itu. Justru beliau menyeru rakyat Terengganu hadir beramai-ramai bagi merai dan menjayakan  karnival yang cukup bermakna itu. Sementara itu, Abdul Razak berkata dijangka 3,000 ahli persatuan silat dari seluruh negara akan menyertai karnival tersebut pada tarikh tersebut. "Masih ramai yang ingin menyertai karnival berkenaan tetapi penyertaan terpaksa ditutup kerana kapasiti stadium tidak mengizinkan penyertaan melebihi had tersebut untuk acara dan pertandingan," jelasnyge widget
07 Dec 23
723
Terengganu Sertai 36 Acara di SUKMAXXI Sarawak
Terengganu Sertai 36 Acara di SUKMAXXI Sarawak
KUALA NERUS, 6 Disember - Terengganu dijangka menyertai 36 daripada 37 acara Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak tahun depan bagi merampas kejuaraan sukan berprestij itu dari negeri Johor. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamudin Abdul Karim berkata, sasaran emas adalah dirahsiakan bagi mengelakkan pasukan lawan mengatur langkah bagi mengekang kemaraan Terengganu menjuarai semula sukan tersebut. Beliau berkata demikian di Sidang Media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran, Bandar Al Wathiqu Billah di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Terdahulu dari itu dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Hishamudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh berkata atlet SUKMA Terengganu kini memasuki latihan Fasa kedua dan akan diikuti dengan latihan fasa ketiga sedikit masa lagi. "Dalam fasa ini atlet didedahkan dengan pertandingan yag banyak dan pemilihan pertandingan bersesuaian sangat penting terutama untuk membuat penilaian sebenar sama ada pasukan kita atau pasukan lawan lebih baik," jelasnya. Katanya dalam fasa tersebut juga ada kemungkinan kerajaan akan membenarkan  latihan dan pertadingan di luar negara. "Namun begitu jurulatih perlu pandai memilih pertandingan di luar negara yang berkualiti, sesuai dengan keperluan dan tahap atlet kita," ujarnya. Pendedahan sebegini katanya mampu melonjakkan prestasi atlet terpilih terutama atlet sasaran emas. Hishamudin menjelaskan bahawa Terengganu perlu menyorok prestasi sebenar etlet negeri dengan mengurangkan penyertaan dalam kejohanan dalam negara sekali gus lebih mendedahkan pertandingan di luar negara. "Ini bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita (atlet Terengganu) sehinggalah pada hari kejohanan sebenar," tambahnya.
06 Dec 23
357
'Pemain Perlu Fokus Mental dan Fizikal'
'Pemain Perlu Fokus Mental dan Fizikal'
KUALA NERUS, 6 Disember - Pemain-pemain pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) harus menyediakan fizikal dan mental yang ampuh dalam usaha menyaingi pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 nanti. Itu nasihat yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim. "Buat masa ini, saya lihat jurulatih memberikan tumpuan sepenuhnya dan beberapa pemain yang cedera diberitakan telah pulih serta boleh terlibat (dalam perlawanan). Cuma, saya harap mereka capai kecergasan sepenuhnya. "Dalam perlawanan akhir ini, mereka perlu fokus dan memastikan tidak diusik pelbagai gangguan dalam padang. "Seperti kita tahu, Johor DT sebuah pasukan yang cukup lengkap dan mereka juga memiliki keupayaan mengusik emosi.  "Jadi ,harap mereka mengekalkan tumpuan dalam perlawanan," katanya. Dalam pada itu, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner lega dengan kembalinya tiga tonggak pertahanannya yang dilanda kecederaan sebelum ini. "Shahrul Nizam, Safwan Mazlan dan Azam Azmi, hanya Alif Zakaria yang masih cedera. "Semua tahu tentang Johor DT, mereka ada pemain berkualiti dan menewaskan kami beberapa kali. "Tetapi, kami tahu bagaimana kami perlu bermain. Kami perlu lebih agresif, lebih fokus, lebih banyak berlari dan sedikit tuah untuk menewaskan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di LTSM, tengahari tadi. Bagi menghadapi aksi akhir yang berlangsung Jumaat ini, pasukan 'Sang Penyu' berlepas ke Kuala Lumpur dengan Hishamuddin serta sebahagian ahli lembaga pengarah Terengganu FC Sdn Bhd turut menghantar pasukan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.  
06 Dec 23
154
Taska Permata WDI Kekal Operasi Di Premis Sama
Taska Permata WDI Kekal Operasi Di Premis Sama
KUALA TERENGGANU, 6 November- Kerajaan negeri menjelaskan bahawa Taska Permata Keluarga Wisma Darul Iman (WDI) kekal beroperasi di premis sama pada tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah itu sebagai penyelesaian kepada isu sebilangan ibu bapa yang didakwa tidak menerima tawaran bagi penempatan anak masing-masing untuk kemasukan tahun 2024 di taska terbabit. “Operasi taska ini akan diteruskan macam biasa pada tahun hadapan di premis sedia ada, jadi bagi ibu bapa yang telah menghantar anak di sini dan mengisi borang permohonan pada Oktober lalu boleh menghantar anak mereka macam biasa. “Walaupun bangunan baru dalam proses pembinaan tetapi tahun depan memang kita tidak pindah lagi, diharap penjelasan ini melegakan ibu bapa yang selama ini ada tanda tanya berkenaan penempatan anak mereka dan operasi taska,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Taska Permata Keluarga WDI, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai pemindahan taska ke premis baru memandangkan premis yang masih dalam pembinaan itu saiznya lebih kecil berbanding premis sedia ada. “Tempat baru (taska) bulan 5 atau 6 tahun hadapan baru siap fizikal. Jadi kemungkinan tahun 2025 baru boleh operasi. “Jumlah kanak-kanak di taska ini kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja, jadi kita akan ambil perjalanan untuk selesaikan isu ini,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, ibu bapa diharap dapat memberikan kerjasama kepada pihak taska bagi memastikan anak-anak mendapat penjagaan yang sempurna. “Pastikan anak-anak dihantar dalam keadaan yang bersih kerana ianya turut mempengaruhi emosi dan psikologi mereka, selain dapat ringankan tugas pengasuh. “Selain itu, luangkanlah masa untuk turut serta dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan taska,” ujarnya. Katanya, taska ini diwujudkan oleh kerajaan negeri untuk mempermudahkan kakaitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman.
06 Dec 23
352
Surau Berusia Lebih 100 Tahun Jadi Tarikan di Terengganu
Surau Berusia Lebih 100 Tahun Jadi Tarikan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Surau Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif yang berusia lebih 100 tahun telah menjadi tarikan dan ikonik baharu di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sudah ramai rakyat Terengganu khususnya di Kuala Terengganu ini yang tahu akan surau tersebut yang tular kebelakangan ini.  “Surau tersebut telah dibaik pulih dengan masih mengekalkan bentuk asal serta konsep melayu tradisional yang telah memakan kos sebanyak RM1.3 juta.  “Surau yang sebelum ini yang telah kelihatan uzur telah dibuat penambah baikan dengan mengambil masa selama setahun setengah untuk disiapkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Wan Sukairi, semalam beliau berpeluang ke surau tersebut dan menyampaikan sedikit bicara sebagai peringatan semua jemaah.  “Memang comel sungguh surau ini serta terasa sangat nyaman dan tenang. “Yang mana berhajat nak mari, jemput datang ke Kampung Losong Haji Long ini,” ujarnya. Untuk rekod, Surau Haji Wan Abdul Latif dinamakan sempena nama pengasasnya, Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif Haji Wan Endut iaitu seorang ilmuan dan tokoh agama terkenal suatu ketika dahulu.  
04 Dec 23
7154
Taska Permata WDI Akan Berpindah April Ini
Taska Permata WDI Akan Berpindah April Ini
HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan negeri bakal memindahkan operasi Taska Permata Wisma Darul Iman (WDI) ke premis baharu April ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata premis berkenaan berhampiran dengan premis sedia ada tetapi saiz premis tersebut lebih kecil berbanding premis tersebut. Katanya, jumlah kanak-kanak di taska itu kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja. "Ibu bapa berkenaan diminta bertenang dan beri kepercayaan kepada kerajaan untuk cuba membantu untuk menyelesaikan masalah berkaitan ," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Graduasi Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Yayasan Salim, Taman Hadhari Tok Randok di sini hari ini. Turut hadir Pengarah YPK Ahmad Faris Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak YPK, Siti Khatijah Sapei dan Pegawai YPK Hulu Terengganu Faizal Haron. Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata kerajaan sedang mengumpul maklumat berkaitan permasalahan di Taska terbabit dan kesulitan ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan akan diperhalusi dan diselesaikan secepat mungkin. "Saya sedang mengumpul maklumat dari pegawai saya dan meneliti segala maklumat tersebut sedikit masa lagi," ujarnya. Menurutnya taska terbabit telah beroperasi selama dua tahun dan mendapat sambutan mengalakkan dari kakitangan pejabat kerajaan negeri itu.
04 Dec 23
517
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
KEMAMAN, 4 Disember - Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan menyaksikan anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan lima rakan industri bagi membangunkan Pelabuhan Kemaman. Menteri Besar Terengganu itu berkata, kerjasama dengan BOID Global Sdn Bhd, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH), JXR Manufacturing Sdn Bhd (JXR) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bakal merancakkan Pelabuhan Kemaman.  Katanya, jalinan kolaborasi antara organisasi-organisasi yang terlibat meliputi aspek advokasi, pembangunan kapasiti, pembekalan dan penyenggaraan serta perkhidmatan media. "Tahniah atas jalinan kerjasama strategik antara semua pihak selain perkembangan operasi di Kumpulan EPIC dengan kehadiran dua kren gantri di Dermaga Timur (yang dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan). "Operasi kren gantri tambahan ini akan menambah lagi kecekapan Pelabuhan Kemaman kepada sekali ganda sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk daerah ini. "Kekerapan kapal-kapal (kargo) masuk ke sini akan bertambah sekali gus memberi kelebihan kepada pemain-pemain industri di kawasan," katanya ketika ditemui di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman di sini hari ini. Ahmad Samsuri berharap perkembangan Pelabuhan Kemaman dapat mendorong lebih banyak syarikat untuk melabur dan melebarkan operasi mereka di Kemaman. "Ia membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada warga tempatan," tambah beliau.    
04 Dec 23
2487
Terengganu Kekal Tak Kutip Cukai Pintu Rumah Kediaman
Terengganu Kekal Tak Kutip Cukai Pintu Rumah Kediaman
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Pengecualian cukai pintu rumah kediaman di Terengganu tetap diteruskan walaupun negeri kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta daripada kutipannya bagi tempoh 2018 hingga 2023. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian itu adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. Justeru itu katanya, sebaik PAS memenangi Terengganu pada PRU14, pihaknya telah menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bagi melaksanakan janji berkenaan. “Kita perlu mengambil kira pelbagai faktor yang memberikan ‘win-win situation’ untuk kebaikan rakyat dan juga negeri.  “Walau kelihatan seperti kehilangan pendapatan buat negeri, namun langkah itu juga  antara usaha kerajaan negeri meringankan beban hidup rakyat,”katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika dihubungi. Beliau berkata demikian ketika  diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Kerajaan Terengganu sedang mempertimbangkan cadangan untuk kembali melaksanakan kutipan cukai pintu kediaman secara bersasar yang tular di media sosial. Jelasnya, isu tersebut timbul ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bajet baru-baru ini apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri yang mencadangkan perkara itu bagi mengatasi masalah kekurangan hasil yang agak besar. “Ia disebabkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki pembayaran royalti hak rakyat kepada negeri. “Setiap cadangan yang diterima, pihak kami akan kaji dan pertimbang dengan teliti sebelum mengambil keputusan muktamad,” ujarnya lagi. Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta). Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.
04 Dec 23
2167
Dr Sam 'Suara Baru' Rakyat Terengganu Ke Parlimen
Dr Sam 'Suara Baru' Rakyat Terengganu Ke Parlimen
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan wakil terbaharu rakyat Terengganu ke Parlimen Malaysia. Ahmad Samsuri berkata kejayaan semalam adalah sebuah kemenangan yang diimpikan kerana ianya antara jambatan untuk terus teguh menyampaikan suara rakyat. Katanya, sesungguhnya amanah ini berat dan takkan mampu dilakukan seorang diri tanpa kalian.  “Saya anggap semua yang hadir semalam adalah mereka yang akan sentiasa sokong dan merealisasikan hasrat bersama. “Nasihat dan tegurlah saya sekiranya diri ini lari dari landasan dan buat kesilapan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, mempertahankan kemenangan ada liku-likunya, mengisi kemenangan pasti lebih mencabar. “Minta maaf dan terima kasih, daripada saya Ahmad Samsuri wakil Kemaman yang baharu, insya-Allah. “Kepada para perantau yang dalam perjalanan pulang, semoga selamat sampai ke destinasi,” ujarnya. Ahmad Samsuri yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berjaya memperoleh undian sebanyak 64,968 melalui 249 jumlah peti yang diterima mengatasi pencabarnya sekali gus majoriti sebanyak 37,220. Calon Barisan Nasional, Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hanya mendapat undi 27,778.                    
04 Dec 23
181