Artikel "Utama" Terkini
'Sedih Sangat, Banyak Harta Benda Musnah'
HULU TERENGGANU, 28 Disember - "Tak tau nak cakap apa perasaan kami sekeluarga setiap kali banjir besar...harta benda banyak yang musnah, sedih sangat," luah seorang mangsa banjir dari Kampung Batu 23, Kuala Berang, di sini.
Rozianah Jusoh, 52, berkata sejak menetap di situ, dia sentiasa berhadapan dengan banjir saban tahun dan tiga kali dilanda banjir besar yang hampir menenggelamkan rumahnya.
"Pada akhir Disember 2021, rumah saya hanya nampak bumbung tapi pada awal Februari 2022, hampir semua rumah kawasan kami tenggelam ketika itu.
"Semua harta benda rosak tak dapat diselamatkan termasuk sarang kelulut yang bernilai lebih RM15 ribu...sampai hari ini masih segar peristiwa tersebut," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di PPS OKB, Kampung Batu 23, hari ini.
Tambahnya, pada banjir gelombang ketiga kali ini, keadaan hampir sama dengan apa yang berlaku pada Disember 2021, hanya bumbung sahaja kelihatan.
"Memang ada bina para besi tapi memandangkan air naik tinggi jadi tak tau apa keadaan dalam rumah sekarang sebab sehingga hari ini masih tidak ada peluang untuk balik memjenguk rumah lagi,"ujarnya.
Sementara itu, Natrah Mat, 47, yang juga mengalami nasib sama turut berkongsi cerita bagaimana dinding rumah dan lantai tercabut akibat arus deras.
"Semalam sempat jenguk rumah, memang terasa sedih bila tengok keadaan rumah apabila ada dinding dan lantai tercabut sama seperti yang berlaku pada banjir besar awal Februari 2022.
"Redha dan pasrah jika terpaksa buang semua barang yang rosak akibat banjir tapi dalam hati sebenarnya saya penat mental dan fizikal apabila ditimpa bencana ini," katanya.
28 Dec 23
211
17 Rumah Terkena Ribut Dibaik Pulih
MARANG, 28 Disember - Sebanyak 17 buah rumah di Kampung Jambu Bongkok, Marang yang dilanda ribut ahad lepas kini sedang dalam proses pembaikan sejak semalam.
Dalam kejadian ribut itu, penduduk kampung yang terperangkap terkejut apabila angin kuat tiba-tiba melanda hingga menerbangkan bumbung rumah.
Azmi Abd Rahman Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Pantai
Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Panti, Azmi Abd Rahman berkata, angin kuat tiba-tiba melanda kampungnya sekitar jam 3 pagi dan ia mendatangkan kerugian kepada mangsa.
"Bencana angin kuat ini berlaku dengan tiba-tiba kira-kira jam 3 pagi dan menjejaskan bumbung di sebanyak 17 buah rumah selepas angin kedua yang datang secara berpanjang bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang.
"Sekarang kami sedang berusaha untuk memasang bumbung rumah mereka dengan seberapa segera," Jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merakamkan ucapan dukacita kepada semua mamgsa dan menyuarakan rasa syukur kepada semua yang terlibat dalam usaha pemulihan.
"Terima kasih buat semua yang terlibat, JPKK, pemuda, dan komuniti setempat yang berusaha untuk menyiapkan pembaikian ini. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan," katanya.
Sulaiman Sulong.
Usaha pembaikan ini dilihat sebagai langkah positif dalam memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas.
Pembaikan bumbung rumah-rumah tersebut dijangka dapat diselesaikan dengan cepat demi memastikan kestabilan hidup komuniti yang terjejas.
28 Dec 23
163
Kem Anak Soleh di 15 Buah Masjid Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Kem Anak Soleh (KASEH) 11.0 akan diadakan di 15 buah masjid di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata semua kanak-kanak yang berada di sekitar masjid berkenaan diminta berkunjung ke masjid untuk menyertai kem tersebut.
Serentak itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung terlibat yang bekerjasama menjayakan program tersebut tahun ini.
"Kita akan adakan KASEH 11.0 dan seterusnya pada setiap tahun jika ada cuti panjang," katanya ketika berucap merasmikan KASEH 10.0 di Masjid Pulau Rusa Kampung Pulau Rusa Hilir di sini semalam.
Seramai 172 kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun menyertai kem tersebut bermula jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang dan seramai 20 orang fasilitator terbabit dengan kem tersebut.
Wan Sukairi berkata kem itu merupakan program tradisi anjuran Pusat Khidmat ADUN Wakaf Mempelam sejak 10 tahun lalu dan sambutannya amat memberangsangkan.
"Hari ini KASEH 10.0 diadakan di Masjid Pulau Rusa Kampung Pulau Rusa Hilir, sementara Kem Bestari Solat (K-BEST) di Surau Al Iman di Kampung Losong Panglima Perang di sini dan sambutannya amat memberangsangkan," ujarnya.
K-BEST melibatkan seramai 154 peserta berumur antara 7 hingga 12 tahun dan dikendalikan oleh 12 orang fasilitator bermula jam 7.15 pagi hingga 5 petang.
Katanya, tujuan program itu diadakan untuk membentuk sahsiah anak-anak supaya menjadi insan yang baik, taat kepada Allah dan kedua ibu bapa mereka.
Ia juga katanya bagi melaksanakan hadith Nabi s.a.w. yang menggalakkan ibu bapa membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang baik dan sentiasa berdoa kepada ibu bapa selepas keduanya meninggal dunia.
28 Dec 23
381
Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Mula Menurun
KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Jumlah mangsa banjir di negeri ini dilihat mula menurun kepada 6,281 berbanding 8,732 mangsa tengahari semalam.
Berdasarkan data dikemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu setakat 8 pagi ini, seramai 6,281 mangsa daripada 1,756 keluarga berlindung di 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.
“Dungun ketika ini mencatatkan paling ramai mangsa dengan 2,849 orang daripada 785 keluarga berada di 31 PPS.
“Diikuti dengan seramai 1,666 mangsa daripada 497 keluarga berada di 10 PPS di Hulu Terengganu.
“Sebanyak enam PPS dengan 843 mangsa daripada 231 keluarga pula berada di enam PPS di Kemaman,” katanya.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus mempunyai 401 mangsa daripada 108 keluarga di tiga PPS.
Beliau berkata, seramai 210 mangsa daripada 55 keluarga berada di tiga PPS di Kuala Terengganu.
“Sebanyak empat PPS yang menempatkan 125 mangsa daripada 30 keluarga di Setiu.
“Marang pula masih mempunyai 121 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang
"Manakala di Besut, seramai 66 mangsa daripada 19 keluarga di PPS Dewan Terbuka Kampung Belaoh ,” katanya.
28 Dec 23
189
Banjir Terengganu: KPDN Sedia 6,000 Stok Makanan Melalui Food Bank
HULU TERENGGANU, 27 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu (KPDN) melalui sekretariat food bank Malaysia menyediakan 6,000 stok bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di daerah terjejas di negeri ini.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata,pengagihan sumbangan berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.
"Kita memilih kawasan terjejas banjir mengikut keperluan makanan yang diperlukan dan hari ini tiga lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) yang terpilih adalah PPS SMK Menerong, PPS SK Menerong dan PPS Masjid Kampung Menerong.
"Serahan barangan makanan bernilai RM11, 000 kepada mangsa banjir di tiga PPS ini melibatkan seramai 721 orang mangsa daripada 186 keluarga,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan 'Food Bank' kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong di sini hari ini.
Tambah beliau, sedikit kelainan pada sumbangan food bank oleh KPDN adalah mangsa banjir boleh menikmati hidangan selain nasi di PPS.
"Terdapat bubur segera, 'Roats Palate Rendang Lamb', Gardenia Numee, Mamee yang boleh disediakan tanpa mengambil masa yang lama,"ujarnya.
27 Dec 23
190
MBKT Hadapi Kesukaran Kutip Sisa Pepejal Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memaklumkan bahawa terdapat gangguan pengoperasian kutipan sisa pepejal di semua kawasan MBKT akibat banjir.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata kebanyakan Tapak Pembuangan Sisa Pepejal (TPS) di Sungai Ikan, Kuala Nerus telah dilanda banjir sejak 24 Disember 2023.
“Buat masa sekarang kerja-kerja pelupusan sisa pepejal harian bagi seluruh kawasan operasi MBKT dilaksanakan di TPS Teratak Batu, Marang.
“Keadaan ini menyebabkan kerja-kerja kutipan sisa pepejal di seluruh kawasan MBKT akan mengalami kelewatan dan berlaku lambakan sampah di pusat-pusat kutipan,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Rosli Latif, pihak MBKT akan terus berusaha untuk memastikan tahap kebersihan dapat diuruskan dengan sebaiknya.
Sehubungan itu, MBKT ingin memohon kerjasama semua penduduk agar menguruskan sisa pepejal dengan baik dan menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.
“Pihak kami memohon maaf atas kesulitan ini dan berharap semua penduduk dapat bersabar terhadap apa yang sedang berlaku pada masa kini,” ujarnya.
27 Dec 23
178
Penyumbang Perlu Elak Beli Barangan di Lokasi Terjejas Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 27 Disember - Semua pihak, termasuk sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir, supaya mendapatkan stok di luar kawasan terjejas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, saranan itu bagi mengelak berlakunya gangguan rantaian bekalan makanan dan keperluan asas di lokasi yang dilanda banjir sehingga menjejaskan penduduk yang terkesan.
"Pihak yang mahu menghantar bantuan banjir ke kawasan yang terjejas supaya dapatkan barang berkenaan di luar Terengganu, jangan beli dalam rangkaian atau tempat berlaku bencana kerana kita takut berlaku kekurangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan 'Food Bank' kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong di sini hari ini.
Tambahnya, pihak NGO juga perlu membuat semakan dengan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau daerahbterlebih dahulu untuk memastikan barangan yang diperlukan di PPS.
"Ini penting sebab kita tidak mahu terjadinya lambakan barangan makanan di PPS sehingga membazir," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa stok bekalan makanan tidak terjejas akibat gelombang ketiga banjir di Terengganu.
27 Dec 23
186
Banjir : Kanvas Jadi Penyelamat Barangan Berharga
HULU TERENGGANU, 27 Disember - Berbekalkan modal RM90, seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan plastik kanvas sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan harta benda setiap kali banjir melanda kediamannya
Berkongsi kisah, Moh Norddin Ahmad, 60, berkata idea itu timbul daripada anak-anaknya ketika banjir besar yang melanda pada awal Februari 2022 yang mana dia tidak sempat mengalihkan kereta persona dan motosikal miliknya ke tempat lebih tinggi.
"Masa itu tak sedar air mula naik, jadi saya mengguna plastik kanvas untuk membungkus kereta dan motosikal... hasilnya kenderaan selamat malah dapat dihidupkan tanpa sebarang kerosakan.
"Untuk banjir kali ini saya membeli satu lagi kanvas besar bersaiz 6 x 6 meter untuk memuatkan sofa, serta barang letrik dan membungkusnya sekaligus supaya rosak jika air mula memasuki rumah,"katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tok Bat di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, dia turut dibantu oleh empat orang anak dan seorang adik sepanjang membungkus peralatan tersebut.
"Alhamdulillah, setakat ketinggian air satu meter dalam rumah, barangan masih selamat...jika tinggi lagi, terpaksa redhalah," katanya.
Moh Norddin yang menetap di kampung itu hampir 18 tahun juga berkata sepanjang tempoh tersebut, dia berdepan dua kali banjir besar termasuk gelombang ketiga kali ini.
"Paling tak dapat dilupakan, banjir awal Februari 2022, air masuk dalam rumah hampir satu meter.
"Jika banjir biasa, air hanya perkarangan rumah sebab kediaman saya saya terletak di kawasan agak tinggi,"ujarnya.
27 Dec 23
281
JPBN Akan Selaras Operasi Pembersihan Pasca Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan menyelaras operasi pembersihan pasca banjir di kawasan-kawasan terkesan negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, tindakan pasca banjir meliputi bantuan pembersihan kediaman dan tempat-tempat awam, aktiviti pembersihan sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) serta tindakan pemulihan perkhidmatan asas.
“Apabila situasi banjir mulai surut di beberapa kawasan yang memerlukan tindakan pasca banjir, sebagaimana biasa semua agensi terlibat bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut di arah untuk bersiap siaga, di peringkat urusetia kita akan mengatur semua pasukan untuk kerja-kerja pembersihan terutamanya di permis kerajaan termasuk sekolah, pejabat dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau operasi Bilik Gerakan Bencana Negeri, hari ini.
Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, proses penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika ini turut berjalan lancar.
“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan mangsa banjir tidak menerima bantuan makanan dan sebagainya, jadi dari segi bekalan makanan tidak ada masalah,” ujarnya.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, setakat pukul 12 tengahari ini, jumlah mangsa yang masih berada di PPS menurut kepada 8,732 berbanding 10,643 mangsa tengahari semalam.
Manakala 98 PPS masih dibuka bagi menampung 2,503 keluarga di semua daerah negeri ini.
27 Dec 23
165
'Harta Boleh Dicari, Nyawa Tiada Pengganti'
HULU TERENGGANU, 26 Disember - "Harta bila-bila boleh dicari tetapi sekiranya hilang nyawa, tiada pengganti, pindahlah walaupun berpengalaman hadapi situasi banjir," ujar Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar.
Beliau berkata secara umumnya operasi menyelamat dan memindah mangsa terjejas banjir berjalan lancar di sepanjang berlakunya gelombang banjir ketiga sejak Sabtu lalu.
Bagaimanapun, terdapat cabaran besar yang dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka telah dinaiki air.
Katanya, kebanyakan mereka akan memberikan pelbagai alasan terutama sekali keyakinan atas pengalaman mereka berdepan banjir sebelum ini.
"Ada antara mereka yang beritahu sudah 30 tahun tinggal di sini dan ikut pengalaman, banjir sebegini hanya bertahan satu malam.
"Keesokan paginya air akan surut macam biasa jadi tak perlu pindah ," katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Bukit Tok Bat di sini hari ini.
Tambah beliau, matlamat utama mereka adalah menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa ‘menahan rasa’ ketika memujuk serta merayu supaya mangsa bersetuju berpindah segera jika situasi semakin tidak terkawal.
Sementara itu, Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadi kesemua lapan daerah di negeri ini terjejas dengan bah gelombang ketiga bermula sejak Sabtu lalu.
Setakat jam 8 malam ini, seramai 10,258 mangsa daripada 2,871 keluarga berada di 118 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
26 Dec 23
217