Artikel "Utama" Terkini
Banjir Gelombang Ketiga Pulih Sepenuhnya, Semua PPS Ditutup
KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih sepenuhnya apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Kuala Nerus ditutup secara rasmi jam 2 petang tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), PPS tersebut adalah Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah yang sebelum ini menempatkan enam mangsa daripada sebuah keluarga.
“Enam sekeluarga tersebut sebelum ini berlindung di PPS berkenaan ekoran kawasan rumah mereka di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus mengalami hakisan pantai pada 25 November lalu,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu katanya, dua PPS di Dungun iaitu dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pati, Dungun, ditutup secara rasmi jam 9 pagi ini.
" Seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga yang berlindung di dua PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," ujarnya.
Banjir gelombang ketiga yang berlarutan sejak lapan hari lalu telah menjejaskan lebih 10,000 mangsa di semua lapan daerah di Terengganu.
Bagaimana pun JPBNT memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir gelombang yang seterusnya memandangkan musim Monsun Timur Laut masih belum berakhir.
31 Dec 23
129
Lima Mangsa Banjir di PPS Terengganu dijangkiti Covid-19
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – "Sebanyak lima kes Covid-19 dikesan membabitkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu dari 22 Disember lalu hingga semalam,” ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, 15 kes pula dilaporkan di Kelantan menjadikan jumlah keseluruhan yang melibatkan mangsa banjir seramai 20 orang.
“Kesemua kes Covid-19 yang dilaporkan adalah stabil dan terdiri daripada kategori dua (17 kes), kategori tiga (dua kes) dan kategori empat (satu kes).
"Kes Covid-19 kategori empat merupakan pesakit warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal dan dimasukkan ke wad di Hospital Jeli, namun sudah dibenarkan pulang pada Sabtu," katanya dalam satu kenyataan rasmi di laman facebook KKM semalam.
Tambah Dzulkefly, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebanyak 51 fasiliti kesihatan terjejas banjir di tiga negeri melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, di Kelantan sebanyak 23 fasiliti terjejas, manakala di Terengganu adalah 11, dan Pahang sebanyak 17.
“Sebanyak 34 fasiliti kesihatan masih beroperasi seperti biasa, manakala, 16 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi ke fasiliti alternatif, dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan.
“Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa,” jelasnya.
31 Dec 23
149
Kerajaan Negeri Sedia Pelan Jangka Masa Pendek Atasi Isu Paip Pecah
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan jangka masa pendek dan panjang bagi menangani masalah paip pecah di tangki Puteri Baru berhampiran Sungai Lampu, Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata bagi penyelesaian jangka pendek, ia melibatkan pembaikian sementara menggunakan paip ‘high-density polyethylene’ (HDPE )450mm sepanjang 700 meter akan diletakkan di atas jambatan dengan anggaran kos RM500 ribu.
“Ketika ini, kita telah lantik kontraktor secara terus termasuk pembelian paip juga sedang dibuat.Perbincangan akhir adalah pada hari esok...sementara itu, perunding panel SATU sedang merekabentuk pembaikian.
“Kerja-kerja pembaikian paip sementara dijangka mengambil masa 15 hari berkerja dan buat masa ini, lori tangki air terus digerak sementara bekalan pulih sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang kejadian paip pecah di paip air turun dari tangki Puteri Baru bersaiz 600mm berhampiran Sungai Lampu, Besut baru-baru ini.
Tambah Hanafiah, pihaknya sebelum ini pernah melaporkan kerosakan tersebut kepada JBA utk pemasangan baru 2024.
“Kerja pembaikian sukar kerana lokasi berhampiran dengan tebing sungai dan paras air sedang pasang malah kerja pembaikian kekal di dasar sungai dijangka mengambil masa yang lama,”ujarnya.
Susulan kejadian paip pecah, ia menjejaskan 5,028 akaun yang melibatkan dua buah tangki utama iaitu Tangki Kampung Raja (2,358 akaun) dan Tangki Bukit Kluang (2,670 akaun).
31 Dec 23
340
Terengganu Terus Semarak Kempen Indahnya Hidup Bersyariat
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kerajaan negeri mahu terus menyemarakkan slogan 'Indahnya Hidup Besyariat' sebagai moto bagi meninggikan agenda pemerkasaan syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu menjadi matlamat kerajaan negeri sebagai usaha berterusan menyebarkan dakwah dan mengajak rakyat ke arah kebaikan.
"Fokus utama pelaksanaannya adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat.
"Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islami bernula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat, Bicara Daie Ummah Nusantara (Bersempena Ambang Tahun Baharu 2024), di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata semua pihak perlu mengalas amanah dalam usaha memperkasakan syariah.
"Memberikan penekanan yang lebih agar kita semua berganding bahu bersama pihak berwajib dalam memastikan pelaksanaan kehidupan bersyariat dalam rutin setiap rakyat Darul Iman sehingga terbitnya dari sanubari mereka betapa indahnya Islam.
"Ketahuilahh, hidup bersyariat merupakan identiti dan jati diri sebenar orang Terengganu, sejarah juga membuktikan Terengganu sudah terkenal sebagai sebuah negeri yang mengamalkan kehidupan bersyariat sejak lebih 700 tahun dahulu," ujarnya.
30 Dec 23
456
80,000 Rakyat Meriahkan Program Indahnya Hidup Bersyariat
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kemuncak acara Program Indahnya Hidup Bersyariat telah dihadiri kira-kira 80,000 rakyat Terengganu sekali gus mencipta fenomenanya yang tersendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program mega berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.
"Sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi mencapai visi PITAS itu sendiri iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.
"Konklusinya, saya mengharapkan Program Indahnya Hidup Bersyariat : Bicara Daie Ummah bersama Prof Dr. Ustaz Abdul Somad memberi 1,001 manfaat kepada kita semua sejajar dengan kerajaan yang menggerakan agenda dakwah di tangga tertinggi pemerintahan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program tersebut yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'Mohd Nor Hamzah di Dataran Shah Bandar di sini, semalam.
Terdahulu, program berkenaan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Ahzar Idrus bagi mengisi program santai Maghrib sebaik sahaja selesai Solat Maghrib berjemaah.
Selepas Isyak diadakan diadakan solat hajat pertahankan syariat dan solidariti untuk rakyat Palestin.
Dalam pada itu, kerajaan negeri telah memberikan Anugerah Ikon Murabbi Ummah kepada Ustaz Azhar Idrus serta Anugerah Ikon Daie Nusantara kepada Ustaz Abdul Somad.
29 Dec 23
486
Dua NGO Agih Sumbangan Kepada Mangsa Banjir
Oleh: Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU - 29 Disember -Dua badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga bagi menyalurkan bantuan seperti keperluan asas, makanan dan minuman kepada penduduk yang terjejas banjir di beberapa lokasi di kawasan Hulu Berang.
Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata beliau bersama Team Lasak Kuala Terengganu dan Iman Care telah turun padang memberi sedikit sebanyak sumbangan barangan keperluan untuk mangsa- mangsa banjir yang terlibat.
"Kita semua dikhabarkan dengan berita gembira , semalam keadaan air di Hulu Berang sudah semakin terkawal dan laluan utama telah dibuka untuk kenderaan umum.
"Alhamdulillah , syukur kepada Allah SWT masih lagi diberi peluang untuk turun membantu mangsa banjir di hulu berang dengan menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian dan ubat-ubatan kepada mangsa yang terlibat," ujarnya kepada pemberita.
Seramai 30 orang NGO hadir secara sukarela menjayakan program kali ini , berserta 10 buah pacuan empat roda yang membawa barangan bantuan.
Sementara itu, salah seorang penerima Nur Aqilah dari Kampung Menerong berkata sumbangan tersebut membantu meringankan beban yang mereka tanggung sepanjang berhadapan dengan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
"Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada YB Maliaman kerana hadir membantu kami datang melawat keadaan rumah , menghulurkan bantuan kepada kami.
"Kami merasa terharu dan sangat bersyukur atas tindakan YB dan NGO yang terlibat dalam bantuan kali ini," katanya.
29 Dec 23
265
Mangsa Banjir Terengganu Bagi Kerjasama Baik
DUNGUN, 29 Disember – Mangsa banjir di negeri ini terutama di kawasan Dungun mudah terima arahan apabila dikehendaki untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) oleh pihak bomba dan penyelamat berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata penduduk dilihat telah mendapat kesedaran awal untuk berpindah.
Menurutnya, nasihat daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan dimanfaatkan sebaiknya menjadikan pemindahan menjadi lebih teratur,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas operasi menyelamat mangsa banjir di kampung Paya Kemudi di sini semalam.
Tambah Shahrizal, pada tahun lepas, sedikit mengejut apabila aliran air datang daripada Hulu Paka dan Hulu Dungun agak laju.
“Kejadian itu membuatkan penduduk di Kampung Paya Kemudi sedar akan bahaya dan kesedaran mengambil langkah lebih awal.
Terdahulu, mangsa terperangkap banjir berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dalam satu operasi misi menyelamat di Kampung berkenaan.
Operasi menyelamat itu melibatkan sebuah keluarga dengan kanak-kanak perempuan yang berumur enam tahun yang mengalami demam.
29 Dec 23
126
Mangsa Demam Terperangkap Banjir Diselamatkan
DUNGUN, 28 Disember – Mangsa terperangkap banjir berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dalam satu operasi misi menyelamat di Kampung Paya Kemudi di sini hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, operasi menyelamat itu melibatkan sebuah keluarga dengan kanak-kanak perempuan yang berumur enam tahun yang mengalami demam.
Menurutnya, misi menyelamat itu bermula pada pukul 10.30 pagi dan tamat pada jam 11.05 pagi.
“Rumah mangsa tersebut berada di atas bukit yang telah dikelilingi air dan menjadi pulau.
“Pihak bomba perlu mengharungi 500 meter dengan menaiki bot fiber melalui paras ketinggian 4 meter kedalaman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas operasi menyelamat mangsa banjir di kampung berkenaan.
Tambah Shahrizal, seramai tujuh anggota terlibat dalam misi berkenaan dan seorang Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Kemudi.
“Misi tersebut berjalan lancar dan mangsa berjaya diselamatkan," ujarnya.
Ketika ini, hujan sudah mula behenti dan banjir juga semakin surut di beberapa tempat di Dungun.
Sementara itu, Sharifah Abu Bakar 32 yang merupakan ibu kepada kanak-kanak demam itu berkata kedua-dua anaknya telah menghadapi demam dan satunya telah sembuh.
"Kebiasaannya, saya keluar seorang diri jika perlu dengan perahu yang ada.
Namun, apabila anak saya yang mengalami demam, ia sangat membimbangkan dan menyukarkan pergerakan saya," ujarnya.
Dia melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak bomba atas usaha menyelamatkan diri dan keluarganya.
28 Dec 23
150
Tiada Kes Curi Libatkan Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Polis tidak menerima sebarang laporan kecurian mahupun kehilangan harta benda di setiap rumah penduduk yang terjejas banjir.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sepanjang tempoh penduduk terjejas banjir berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di samping anggota pasukan keselamatan mengiatkan rondaan.
"Sekiranya ada sebarang kecurian atau kehilangan harta dan sebagainya boleh membut laporan di balai polis berdekatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagaimana dilaporkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika ditemu bual menjadi tetamu secara langsung dalam siaran Berita Wilayah, di sini, semalam.
Dalam pada itu Mazli yakin tiada sebarang aduan kejadian jenayah kerana pemantauan melalui rondaan yang sering diadakan.
"Kita percaya selama kejadian banjir ini, kita tidak mendapat sebatang aduan berkaitan rumah yang kena pecah masuk dan sebagainya.
"Kerana pihak polis sentiasa membuat rondaan di kawasan-kawasan yang terkena banjir," katanya.
28 Dec 23
144
Ustaz Abdul Somad Kembali Gegarkan Bumi Terengganu Malam Esok
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Pendakwah terkenal, Ustaz Abdul Somad akan kembali mengegarkan bumi Terengganu melalui program 'Indahnya Hidup Bersyariat': Bicara Daie Ummah Nusantara.
Program berkenaan dijangka akan mengulangi semula kejayaan program Himpunan Daie Ummah Nusantara Sejahtera yang turut menampilkan tokoh agamawan dari negera seberang itu dengan mencatatkan kehadiran lebih 50,000 pada waktu itu.
"Dijemput semua warga negeri Terengganu untuk hadir ke program tersebut sempena ambang tahun baru 2024 pada 29 Disember (esok), jam 9 malam di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.
"Semoga malam yang bermakna ini akan terlaksana dan menjadi sejarah bagi menyatakan rasa cinta dan' 'support' kepada majlis ini dan (menunjukkan) solidariti kepada saudara (Islam) kita yang ada di Palestin, pakat maghi ramai-ramai," ujar Ustaz Abdul Somad.
Beliau berkata demikian melalui video ringkasnya yang dimuat naik, di platform media sosila, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, program berkenaan akan turut diserikan dengan 'Santai Maghrib Bersama Murabbi Ummah, Ustaz Azhar Idrus'.
Selain itu pelbagai acara yang akan diadakan bagi memeriahkan program tersebut bermula dari pagi sehingga ke malam.
Antaranya ialah, Deklamasi Sajak Sempena Solidariti Palestine yang akan disampaikan oleh Ustaz Abu Bakar Home Dakwah, Karnival Makanan Halal, Solat Hajat Solidariti Palestine dan Pertahankan Syariat.
Pada sebelah petang akan turut menampilkan Ikon Anak Muda Terengganu yang akan menampilkan pelumba cilik yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Qabil Irfan Azlan dan Pemain Pasukan Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penampilan isterime, Ustaz Hanafiah Abdul.
Selain itu, akan turut diselittkan dengan acara yang sering dinanti-nantikan oleh anak muda di negeri ini iaitu Konvoi Daie bersama Ikon permotoran dimana Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) menjadi lokasi peserta berhimpun dan menunaikan solat Asar secara berjemaah.
Di samping itu, t-shirt percuma yang terhad 300 helai akan diberikan kepada peserta konvoi serta pelbagai cabutan bertuah yang menarik menanti.
28 Dec 23
1039