Artikel "Utama" Terkini
Dua PPS Dinaiki Air, lebih 400 Dipindahkan
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Seramai 447 mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, terpaksa dipindahkan selepas PPS berkenaan turut dinaiki air, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, dua PPS tersebut adalah PPS Batu 23(146 mangsa) ke Sekolah Kebangsaan Seri Berang dan PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil (301 mangsa )ke SMK Menerong.
"Pemindahan semua mangsa banjir di PPS tersebut dilakukan pasukan penyelamat melibatkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di lokasi terjejas banjir di Kampung Bukit Tok Bat.
Sementara itu, beliau berkata hasil pemantauan setakat petang ini, paras air bertahan namun di Hulu Berang, keadaan air masih lagi tinggi.
"Saya difahamkan aliran air deras dan menuju ke arah Kuala Berang atau terus ke Kuala Terengganu.
"Di Besut dan Setiu, trend air sungai menurun jadi bilangan mangsa banjir pun statik namun berbeza di Kemaman.
"Di Kemaman menunjukkan trend air sungai utama menaik dan air dari hulu juga turun agak laju ke kawasan Kuala Kemaman," ujarnya.
Justeru itu, Hassan menasihatkan mereka yang tiggal di kawasan rendah yang sentiasa berwaspada dan sedia untuk berpindah jika diarahkan.
26 Dec 23
1394
Tiga Sekawan Ubahsuai Motosikal Guna Hos Mesin Basuh Redah Banjir
HULU TERENGGANU,26 Disember - Hebat dan kreatif, bermodalkan RM8, tiga anak muda di Kampung Pengkalan Ajal, berjaya mengubah suai motosikal milik mereka dengan memasang hos mesin basuh pada bahagian enjin karburator supaya dapat digerakkan ketika meredah banjir.
Muhammad Hanif Azhar Abdullah, 22 berkata, dia dan rakan-rakannya terfikir idea untuk mengubahsuai motosikal jenis Honda EX5 itu bagi memudahkan pergerakan untuk pemindahan ke lokasi selamat apabila kawasan kampung mula dinaiki air.
Menurutnya yang dibantu dua lagi rakan iaitu Mohd Rizuan Zailan, 22 dan Fakrol Hafizee Mazlan, 18, memasang hos pada enjin motosikal untuk membolehkan ia bergerak ketika meredah air banjir.
"Kami terfikir untuk pasang hos tu lagipun kosnya murah dan mudah didapati dalam masa dua hari sebelum banjir melanda bagi membantu penduduk angkat barangan penting ke tempat selamat.
"Lagipun kalau nak pindah dan bawa barang-barang ke PPS (pusat pemindahan sementara) dengan berjalan kaki redah air agak jauh bagi penduduk di kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Tambahnya lagi, hasil selepas diubahsuai, motosikal tersebut boleh meredah banjir sehingga air ke paras bahagian 'handle' motor.
"Biasanya, kalau air dah naik motosikal lain tak boleh lalu, tapi kali ini boleh lepas dengan selamat,"ujarnya.
Setakat jam 2 petang pada Selasa, seramai 10,283 mangsa banjir dari 2,817 keluarga dipindahkan ke 130 buah PPS di tujuh daerah di Terengganu.
26 Dec 23
499
Lebih 10,000 Penduduk Terengganu Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Situasi banjir di negeri ini makin kritikal apabila jumlah mangsa melepasi angka 10,000.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 12 tengahari ini menyaksikan 10,643 mangsa daripada 2,913 keluarga berlindung di 134 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.
“Hulu Terengganu menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,133 mangsa daripada 895 keluarga terpaksa dipindahkan ke 34 PPS berbanding hanya 768 orang (257 keluarga) petang semalam.
“Banjir di daerah Dungun juga semakin buruk dengan mangsa terus bertambah kepada 2,357 orang (625 keluarga) di 27 PPS berbanding 1,220 orang (319 keluarga) sebelum ini,” katanya.
Di Besut katanya, mangsa terus meningkat dengan mendadak iaitu 1,712 orang (384 keluarga) di 27 PPS berbanding hanya 240 orang (53 keluarga) petang semalam.
Beliau berkata, banjir di Setiu juga semakin buruk apabila 2,280 mangsa (661 keluarga) kini dipindahkan ke 31 PPS berbanding hanya 302 orang (85 keluarga) sebelum ini.
“Begitu juga berlaku di daerah Kemaman apabila mangsa bertambah kepada 1,068 orang (322 keluarga) di 10 PPS berbanding hanya 361 orang (113 keluarga) petang semalam.
“Namun, banjir masih terkawal di daerah Marang kerana hanya 68 mangsa daripada 18 keluarga berada di dua PPS berbanding 12 orang daripada tiga keluarga di satu PPS sebelum ini manakala di Kuala Nerus, mangsa yang berpindah hanya 25 orang (lapan keluarga) di tiga PPS,” katanya.
26 Dec 23
188
Banjir: Patuhi SOP Covid-19 Ketika Berada di PPS
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Polis menasihatkan mangsa-mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata setiap PPS ada menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan untuk pantau mangsa banjir.
"Jadi bila mangsa tiba untuk daftar, pegawai terbabit akan buat pemeriksaan lebih awal dan pemantauan ketat terhadap tahap kesihatan mereka.
"Kalau tahap kesihatan mangsa banjir kurang memuaskan kita cadangkan mereka dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut",katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan ke PPS Kampung Bukit Tok Bat, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai yang sedang bercuti di luar kawasan dan rumah mereka terjejas dengan banjir, menghubungi pihak berkuasa supaya dapat memantau kediaman mereka.
"Mangsa banjir tidak perlu bimbang tentang keselamatan (harta benda) kerana kita beri jaminan pemantauan akan dilakukan setiap masa," ujarnya.
Banjir yang melanda Terengganu sejak empat hari lalu semakin buruk apabila 10,278 mangsa dipindahkan membabitkan 2,791 keluarga dan 134 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buka setakat jam 12.00 tengahari tadi.
26 Dec 23
139
14 Stesen Aras Air Di Terengganu Lepasi Baras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Sebanyak 14 Stesen di 11 sungai Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini susulan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.
Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan, di Daerah Besut stesen terlibat termasuk Sungai Besut di Jambatan Keruak yang mencapai paras 35.34 meter (m), Sungai Besut di Kampung La di paras 22.56m.
“Manakala di Daerah Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap mencatat paras 21.76m, Sungai Nerus di Kampung Bukit di paras 13.84m sementara Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri mencatat paras 9.21m.
"Di Daerah Hulu Terengganu pula, Sungai Berang di Kampung Menerong telah mencapai paras 25.68m, Sungai Peneh di Felda Mengkawang (38.01m), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (22.43m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping pula mencatat paras 21.06m," ujarnya.
Menurut laporan itu, tiga stesen di Daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak mencapai paras 18.68m, Sungai Kemaman di Jambatan Air putih di paras 14.40m dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman mencatat paras 4.24m.
"Sementara, Sungai Terengganu di Drawbridge Kuala Terengganu mencatat paras 2.27m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun mencatat di paras 13.88m," katanya.
26 Dec 23
481
Banjir Hulu Terengganu: TNB Tutup Bekalan Elektrik di Dua Lokasi
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Susulan banjir buruk yang melanda Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik di kawasan tersebut pada Isnin.
TNB dalam satu kenyataan berkata, penutupan bekalan itu bermula jam 11.30 malam semalam.
"Manakala satu lagi lokasi melibatkan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah yang terpaksa ditutup bekalan elektrik awal pagi tadi.
"Langkah itu bagi memastikan keselamatan para pengguna," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kua akan diberi bekalan elektrik menggunakan 'portable genset' 5kW.
26 Dec 23
652
Bah di Terengganu Semakin Memburuk, Mangsa Meningkat
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding semalam.
Kuala Nerus menjadi daerah terbaru dilanda banjir gelombang ketiga kali ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di tujuh daerah meningkat kepada 8,808 orang daripada 2,402 keluarga setakat 8
pagi ini.
Menurutnya, Hulu Terengganu menjadi daerah paling terjejas dengan 3,005 mangsa daripada 874 keluarga ditempatkan di 34 PPS, diikuti Dungun melibatkan 1,725 mangsa (444 keluarga) berteduh di 25 PPS dan seramai 1,609 mangsa (364 keluarga) ditempatkan di 24 PPS di Besut.
Di Setiu, 1,432 mangsa (410 keluarga) berada di 30 PPS, di Kemaman, 964 mangsa (290 keluarga) berlindung di 10 PPS dan di Marang seramai 48 mangsa (12 keluarga) di dua PPS.
Manakala di Kuala Nerus hanya 25 mangsa daripada lapan keluarga di tiga PPS.
26 Dec 23
184
14 Jalan Terjejas Banjir Di Hulu Terengganu Ditutup
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Sebanyak 14 jalan di daerah ini ditutup kepada kenderaan selepas tenggelam akibat banjir.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, jalan-jalan yang ditutup itu ditenggelami air antara sedalam 0.25 hingga 1.25 meter (m).
Katanya, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 12 jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala dua ditutup untuk kenderaan ringan.
“Ia membabitkan Jalan Kampung Jak yang dinaiki air sedalam 1.25m sepanjang 350m ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga dengan Jalan Kampung Pengkalan Ajal melibatkan laluan sejauh 300m dengan paras air 1.1m.
“Jalan yang ditutup bagi semua kenderaan turut melibatkan laluan sejauh 250 meter di Jalan Kampung Batu 24 serta Jalan Kampung Nibong dan Jalan Kampung Bukit Tadok-Paloh Nyior yang dinaiki air 0.5m sejauh 200m.
“Laluan lain yang turut ditutup kepada semua kenderaan juga ialah Jalan Kampung Tapah Felcra Bukit Kapah, Jalan Kampung Kepah-Kuala Ping, Jalan Kampung Felca Pasir Pelata, Jalan Kampung Pereh-Menerong, Jalan Kampung Felcra Bentong, Jalan Kampung Kua – Pengkalan Ajal serta Jalan Persimpangan Paya Besar, ” ujarnya.
Katanya, jalan ditutup kepada kenderaan ringan pula ialah Jalan Paya Besar yang dinaiki air sejauh 300 meter serta Jalan Kampung Lubuk Periuk-Kampung Felda Mengkawang membabitkan laluan sejauh 100m.
26 Dec 23
422
PPS Dinaiki Air, Tentera Bantu 220 Mangsa Pindah Ke Lokasi Lain
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD)(PARA)telah diatur gerakkan untuk menyelamatkan mangsa banjir Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil, apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS)mereka mula dinaiki air.
Ketua Ops Murni Sektor Hulu Terengganu, Mejar Mohd Amir Mohd Alid berkata operasi bermula pada jam 3 hingga 8 pagi tadi dengan kekuatan tiga pegawai dan 33 anggota Lain- Lain Pangkat.
"Seramai 220 mangsa daripada
40 keluarga berjaya dibawa keluar setelah mendapat panggilan pada jam 5 petang.
"Kesemua mangsa telah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong,"katanya ketika dihubungi pemberita.
Setakat jam 8 malam, mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu terus melonjak kepada 4,294 orang daripada 1,147 keluarga.
Mereka kini ditempatkan di 69 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini.
25 Dec 23
109
Banjir Terengganu Makin Teruk, 5,170 Mangsa Terpaksa Pindah
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Jumlah mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 5,170 orang daripada 1,382 keluarga yang terpaksa berpindah ke 84 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata enam daerah tersebut melibatkan Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
“Setakat jam 10.30 malam, daerah Dungun mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,340 orang daripada 350 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Besut dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 1,155 dan 516 orang dari 245 dan 153 keluarga yang dibawa ke 23 PPS.
“Hulu Terengganu antara daerah teruk dilanda banjir yang merekodkan seramai 1,494 mangsa daripada 456 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS.
“Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 18 dan 647 mangsa daripada empat dan 174 keluarga yang berlindung di 17 PPS dalam daerah tersebut,” jelasnya.
Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
25 Dec 23
173