lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KTSB Mula Operasi Januari 2024
KTSB Mula Operasi Januari 2024
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Kuala Terengganu Support Base (KTSB) yang merupakan salah satu anak syarikat EPIC Berhad sudah mula beroperasi pada 1 Januari 2024. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Ir Mukhtar Suhaili berkata KTSB merupakan fasiliti bagi pertukaran kru offshore. Menurutnya, fasiliti tersebut dikendalikan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB). “Awal Subuh tadi saya telah berkesempatan melawat dan berinteraksi bersama staff, pekerja dan kru offshore di KTSB. “Insya-Allah sesi turun padang sebegini akan diteruskan sebagai komitmen pengurusan tertinggi syarikat untuk mesra pekerja dan kepimpinan melalui teladan,” jelasnya. Beliau berkata demikian melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya selepas lawatan kerja di KTSB semalam. Tambah Mukhtar, ia juga peluang bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan penambah baikan yang boleh dilaksanakan. Katanya, antara perniagaan utama EPIC Berhad ialah pengkalan bekalan minyak dan gas (oil & gas supply base) dan pangkalan sokongan (support base).  Jelas Mukhtar katanya, PBKSB ialah pemilik dan operator Kemaman Supply Base (KSB) dan KTSB.  “Atas segalanya, doakan kami semua agar dipermudahkan Allah dalam melaksanakan tanggungjawab dalam mencari bekal khidmat untuk dibawa sampai ke Akhirat,” ujarnya.                  
03 Jan 24
4148
Kunyit Hidup Rahsia Keenakan Masakan di Kunyek2
Kunyit Hidup Rahsia Keenakan Masakan di Kunyek2
KUALA NERUS, 3 Januari - Masakan bergoreng menggunakan kunyit hidup untuk makan tengah hari? Bunyinya sangat ringkas, tetapi rasanya cukup padu untuk anda sekeluarga nikmati dan pastinya lebih ‘rasa’ pada setiap gigitan. Restoran Kunyek Kunyek  adalah sebuah restoran yang menyajikan hidangan khas Melayu, menggunakan kunyit hidup sebagai resipi utama dalam setiap masakan bergoreng ayam, ikan, daging, tulang, sotong dan udang sejak Mac 2020 di Terengganu. Pemilik restoran, Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along, yang ingin memperkenalkan cita rasa tradisional Melayu kepada masyarakat berkata bukan mudah untuk mecapai kejayaan yang dicapainya pada hari ini. Bermula di Kuala Nerus, kini dia dan suami, Tengku Iskandar Tengku Salim mempunyai tiga lagi cawangan restoran Kunyek2 iaitu di bandar Kuala Terengganu, Jalan Kebun Klang dan di Shah Alam, Selangor. “Jika ditanya apa keistimewaan masakan kami, hanya satu jawapan saya, rahsia keenakannya terletak pada ramuan utama iaitu kunyit hidup yang segar. “Kunyit hidup ni bukan sahaja bertindak sebagai bahan pewarna semulajadi yang mampu untuk mencantikkan makanan, malah ia juga boleh memberikan perisa dan aroma yang menaikkan rasa makanan macam masakan mak-mak kita kat kampung,”ujarnya. Istimewa di Kunyek2, Mariam berkata pelanggan dapat menikmati set kombo yang disediakan bersama bawang goreng, sayur, sambal serta sup untuk dimakan dengan nasi panas dengan harga berpatutan. “Serendah RM10 untuk set kombo makan tengah hari yang sesuai untuk dinikmati semua golongan terutama pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi sekitar restoran kami,”katanya. Ditanya tentang pemilihan nama kunyek2 pada restorannya, dia berkata perkataan tersebut diilhamkan dari kampung suaminya di Hulu Terengganu. “Suami berasal dari Kampung Nibong, Hulu Telemong yang mana orang-orang sana menyebut kunyit sebagai kunyek… bagi saya ada keindahan slanga di situ maka lahirlah nama Restoran Kunyek2,” tambahnya. Mariam juga berkata, bagi memastikan kualiti rasa semua hidangan tidak berubah, dia menggunakan konsep restoran makanan segera iaitu semua bekalan makanan disediakan secara berpusat sebelum diagihkan ke cawangan-cawangan lain. “Konsep ini tak memerlukan tenaga kerja yang ramai atau kepakaran tukang masak, pekerja kami hanya perlu goreng dan hidangkan dalam masa yang singkat,”katanya yang turut memiliki perniagaan katering di sekitar Terengganu. Pasangan suami isteri itu turut menyasarkan 30 cawangan  Kunyek Kunyek di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun dengan  menu mudah dan ‘standard’ buat semua pelanggan mereka.  
03 Jan 24
342
Kekalkan Cara Tradisional Hasilkan Roti Demi Peminat
Kekalkan Cara Tradisional Hasilkan Roti Demi Peminat
KUALA TERENGGANU, 3 Januari- Ketika pengusaha lain rata-ratanya sudah menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan roti, seorang pengusaha dari Kampung Bukit Tunggal, di sini masih mengekalkan cara tradisional iaitu menggunakan dapur kayu. Ramli Embong,63, berkata, perniagaan Kedai Roti Dapo Kayu peninggalan arwah ayahnya yang mesra dengan panggilan Pok Mbong oleh penduduk setempat telah beroperasi lebih setengah abad. “Saya mula mengambil alih sepenuhnya perniagaan yang diusahakan oleh arwah ayah ini pada tahun 1995 dengan menghasilkan roti yang dibakar menggunakan kayu api secara tradisional dan mengekalkan resepi turun-temurun milik keluarga. “Ada juga yang cadangkan supaya saya bakar menggunakan cara moden, guna oven dan sebagainya, tapi lepas berfikir panjang saya membuat keputusan untuk kekalkan cara tradisional ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya, semalam. Ramli berkata, adunan roti yang dibakar menggunakan kayu api membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya yang terdiri daripada penduduk setempat dan dari seluruh pelusuk negeri. “Jika dulu orang kampung sekitar yang menjadi pelanggan tetap tetapi kini peminatnya makin ramai dan ada yang datang dari luar Terengganu semata-mata untuk merasai keenakkan dan kelembutan roti di sini,” ujarnya yang mempunyai empat orang pekerja. Katanya, kekalkan cara tradisional bukan sahaja dapat menjamin identiti Kedai Roti Dapo Kayu tetapi dalam masa yang sama dapat memberi kepuasan kepada pelanggan kerana roti ini ada peminatnya yang tersendiri. “Saya buat secara terhad sahaja iaitu menggunakan lebih kurang 50 kilogram tepung gandum untuk dijual setiap hari kecuali Jumaat.  “Pada masa ini, roti yang dijual mempunyai tiga inti iaitu sekaya, kacang dan kelapa termasuk juga roti paung dan roti kosong,” ujarnya.  
03 Jan 24
610
Kerajaan Negeri Atur Strategi Tambah Pendapatan Negeri
Kerajaan Negeri Atur Strategi Tambah Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. Katanya, pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).  “Dalam penggal yang lalu juga, Terengganu telah berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti dan kita optimis ia akan dapat dikurangkan lagi dengan pelan yang dirancangkan. “Hasrat saya pada tahun 2024 juga, kita sama-sama dapat mendepani cabaran ekonomi dalam lima tahun ke depan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Tambah Ahmad Samsuri, jika penggal lepas kerajaan negeri berusaha untuk mengubah perubahan minda rakyat Terengganu dengan politik matang dan sejahtera. “Justeru, akan datang saya akan memastikan rakyat dapat melakukan perubahan minda untuk mengubah persepsi serta budaya 'cukup sekadar ini sahaja,' dengan merebut peluang dalam kitaran ekonomi yang bakal kita lakukan.  “Kita perlu bersedia dan berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan padigma selaras dengan perubahan persekitaran yang berlaku,” jelasnya. Jelas Ahmad Samsuri, tugas ini tidak mudah dan cabarannya juga pasti banyak, namun jika ia tidak dimulakan, hasilnya tidak akan datang. “Bak kata pepatah, 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian', insya-Allah.  “Dalam pada itu, untuk memastikan perancangan serta agenda ini berhasil, semua pihak termasuk pimpinan di pelbagai peringkat haruslah memainkan peranan masing-masing. “Setiap dari kita perlu bekerja secara bijaksana, menggunakan rangkaian serta bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jentera di lapangan,” ujarnya. Beliau berkata, pemikiran dan kemahiran analitikal serta interpersonal perlu ada apabila mengemudi sesebuah kumpulan mahupun yang lebih besar seperti negeri dan negara. “Kita harus melakukan ubahsuai dalam cara kita memberikan perkhidmatan agar sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi segala keperluan dan harapan rakyat yang berada di hadapan kita.  “Insya-Allah dengannya, kita mampu menawarkan model pentadbiran yang lebih baik,” ujarnya. Akhirnya, ingatlah bahawa tugas kita semua adalah berat dan teruslah bekerja bersama-sama ke arah membina Terengganu ke satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan.                                
02 Jan 24
807
SATU Laksana Langkah Segera Tangani Bekalan Air Terputus
SATU Laksana Langkah Segera Tangani Bekalan Air Terputus
KUALA TERENGGANU, 1 Januari- Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU) akan melaksanakan langkah proaktif bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang. SATU dalam satu kenyataan berkata, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu. Jelas kenyataan itu lagi, kebocoran paip tersebut mengakibatkan 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 Januari 2024 sehingga 21 Januari 2024 sementara kerja-kerja pembaikian dijalankan oleh kontraktor yang dilantik. "Sehingga kini, sebanyak enam buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik sedang ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," ujar kenyataan tersebut, hari ini.  Katanya, SATU akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi kami seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau boleh hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan. Terdahulu, kebocoran paip tersebut turut mendapat perhatian serius Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.  Beliau segera turun padang bagi melihat situasi dan mendapatkan maklumat, info terkini serta berbincang jalan penyelesaian berkaitan isu berkenaan.  "Insya-Allah, kami mengharapkan isu (paip pecah) ini dapat diselesaikan secepat mungkin.  "Semoga mereka (penduduk terlibat) tabah dan sabar dengan ujian ini, " ujar Hanafiah dalam satu hantaran di laman facebook beliau.  Beliau turut menyampaikan bantuan air minuman atau bantuan air bersih untuk diagihkan kepada sebahagian penduduk yang terlibat dengan masalah bekalan air.  
01 Jan 24
328
Sentuh Sensitiviti Umat Islam, Pemuda PAS Lapor Polis
Sentuh Sensitiviti Umat Islam, Pemuda PAS Lapor Polis
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Saranan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham untuk melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri bagi menggubal Undang-Undang Islam dilihat sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Iryad Syafiq Burhanuddin berkata, kenyataan pemimpin DAP itu berkenaan dilihat sengaja mencabar undang-undang perlembagaan serta bersikap biadap. "Ia juga turut menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), saya kira ia satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu. "Sebagai pemimpinan dalam mana-mana parti poltik dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan (sebarang) ucapan (Kenyataan)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mewakili DPPNT membuat laporan berkait isu berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, isu tersebut juga telah mendapat respons daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkait hal ehwal Islam di negara ini. "Sebagaimana kita semua tahu bahawa agama Islam merupakan agama rasmi dalam perlembagaan, sepatutnya ia tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak," katanya. Sehubungan dengan itu juga beliau mengharapkan agar pihak polis serta pihak yang berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut kerana ia merupakan perkara yang serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. "Sekiranya disabitkan kesalahan, kena buat sesuatu termasuk mengambil tindakan tegas supaya perkara ini tidak dipandang ringan oleh mana-mana pemimpin," tegasnya.
01 Jan 24
264
Menyerbak Harum Indahnya Hidup Bersyariat di Bumi Terengganu
Menyerbak Harum Indahnya Hidup Bersyariat di Bumi Terengganu
KUALA NERUS, 1 Januari- Kerajaan Terengganu menyeru rakyat negeri itu supaya bersama-sama menyebarkan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi memulakan Tahun Baharu 2024 ini sebagai satu peningkatan diri dalam kehidupan seharian. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menjelaskan, tema tersebut diangkat bertujuan memberi kefahaman dalam menjalin tabiat beramal berlandaskan syariat Allah SWT. "Slogan ini kita angkat supaya kita sebagai rakyat Terengganu memperbanyak rasa syukur kepada Allah SWT. "700 tahun yang lampau, negeri Terengganu dengan penemuan batu bersurat sudah menggambarkan bagaimana Islam dipraktikkan di negeri ini. Alhamdulillah selepas 700 tahun, 96 peratus rakyat terengganu masih lagi bergelar Muslim dan insya-Allah sebagai umat yang akan terus berpegang dengan Islam. "Sebagai iktibar dengan pengajaran buat kita, bagaimana (jangka masa) 700 tahun yang sama di Andalusia, kita melihat umat Islam di Andalusia, Portugal, Sepanyol seolah-olah terpaksa 'bangkit kembali' menjalani kehidupan sebagai Muslim. "Kita merupakan umat yang beruntung hasil peninggalan serta kerja keras nenek moyang kita, para ulama dan sebagainya, hari ini kita mengharapkan negeri Terengganu akan terus istiqamah pada masa akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi merasmikan ambang Tahun Baharu 2024 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, lewat malam tadi. Tambahnya, usaha sebegini dilaksanakan supaya rakyat Terengganu memahami bahawa kita sebagai manusia, sebenarnya yang berhajat dan memerlukan syariat Allah SWT. "Sebagaimana Allah SWT menciptakan bumi, menurunkan hujan daripada langit, tanah yang subur, bukit-bukau, gunung-ganang untuk keperluan manfaat manusia supaya kita bersyukur kepada Allah SWT. "Islam yang diturunkan sebagai panduan kepada kita dan jika sekiranya kita beramal dengan syariat Allah SWT, kita akan selamat di dunia mahupun di Akhirat," katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berharap, hasrat kerajaan negeri disokong dalam usaha menyempurnakan pelaksanaan syariat di negeri itu. "Aceh pernah mengadakan memorandum kepada rakyatnya dengan persoalan adakah rakyat mahu melaksanakan hukum Islam di negeri itu? 70 peratus menyokong pelaksanaannya. Inilah gambaran apabila rakyat sendiri menerima dan memahaminya. "Kita mahu dengan tema ini, seluruh rakyat Terengganu sentiasa berada di bawah naungan syariat dan mereka gembira melaksanakan syariat serta redha dengan apa yang ditentukan kerana ini bukan penyeksaan sebaliknya, ini merupakan pendekatan taubat kepada mereka yang beriman bagi mendapat keredhaan di dunia dan Akhirat. "Sekiranya undang-undang Islam ini terkena kepada kita tanpa ada kesedaran atau kefahaman, satu hari nanti mungkin kita akan mencela, memaki dan menolak undang-undang Islam yang dikenakan. "Disebabkan itu, kita mahu suburkan dalam kehidupan bahawa betapa kita sebenarnya memerlukan syariat Islam," jelasnya lagi. Beliau juga menyeru agar hasrat kerajaan negeri itu dapat diuar-uarkan dengan bahasa yang lunak dalam memberi kefahaman kepada umum. "Kami mewakili kerajaan negeri merakamkan rasa terima kasih kerana diberi kepercayaan memerintah sepenggal lagi dan kami sentiasa terbuka menerima teguran serta kritikan membina kerana kami memikul amanah rakyat Terengganu yang telah memberi kepercayaan mereka. "Doakanlah, supaya negeri ini menjadi negeri yang maju, berkat di dunia dan Akhirat serta sejahtera dengan semua rakyat dapat memasuki syurga Allah SWT," katanya.    
01 Jan 24
488
Ustaz Azhar Puji Kerajaan Terengganu Tak Takut Ditegur
Ustaz Azhar Puji Kerajaan Terengganu Tak Takut Ditegur
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus memuji sikap kepimpinan kerajaan Terengganu kerana sangat berlapang dada dan boleh menerima setiap teguran dengan baik. Ustaz Azhar berkata, beliau telah beberapa kali memberi nasihat kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung sesuatu perkara terutama melibatkan isu agama. “Sebelum ini saya ada nasihat kepada Menteri Besar (Dato’ Seri Dr Ahmad Mokhtar) dan Exco tentang aktiviti senamrobik yang memerlukan pemantauan dan penambahbaikan. “Alhamdulillah, Ahli MMKN (Exco) tak marah pun, bahkan mereka terima dengan baik sebab mereka faham, ada orang tak faham sebab itu mereka marah, bermakna kerajaan sekarang adalah kerajaan yang baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika program Ambang Malam Tahun Baharu 'Indahnya Hidup Bersyariat' Peringkat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam. Menurut Ustaz Azhar, mana-mana kerajaan boleh ditegur supaya sebarang kelemahan yang ada dapat diperbaiki menjadi lebih baik. “Tetapi ada kerajaan yang marah sebab tak boleh terima teguran, macam-macam dikata untuk menafikan teguran itu. “Setiap teguran adalah untuk kebaikan bersama, tetapi ada juga pihak yang menegur berniat lain, untuk menjatuhkan dan sebagainya,” katanya.  Untuk rekod, sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk ditegur dan dikritik demi penambahbaikan di masa depan. “Rakyat berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki. "Setiap agensi dan jabatan ada sistem perhubungan masing-masing, sama ada melalui portal, website dan sebagainya yang sedia menerima pandangan, kritikan atau teguran daripada rakyat,” ujarnya.
01 Jan 24
16082
Lautan Manusia Banjiri Ceramah Agama Malam Tahun Baharu Terengganu
Lautan Manusia Banjiri Ceramah Agama Malam Tahun Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Lautan manusia membanjiri ceramah agama bersempena Ambang Malam Tahun Baharu 'Indahnya Hidup Bersyariat' Peringkat negeri Terengganu. Program yang bermula pada jam 7 petang itu berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini. Orang ramai mula membanjiri Stadium seawal jam 6.30 petang bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk yang selesa. Ribuan penonton yang hadir turut serta dalam bacaan Yaasin serta solat maghrib secara berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat sekali gus mendoakan saudara seislam di Palestin. Program anjuran kerajaan negeri itu juga turut diselitkan nyanyian nasyid yang dibawa oleh Sheikh Bilal-Hossayny sebelum ke acara utama pada malam tersebut. Acara utama membawakan beberapa figura terkenal tanah air seperti Ustaz Azhar Idrus (UAI), Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Abdullah Khairi yang memberi ceramah berkaitan isu semasa agama bersempena tahun baharu. Seramai lebih 20,000 penonton hadir pada malam tersebut tidak berganjak dari tempat duduk bermula awal program berlangsung. Program Ambang Malam Tahun Baharu 'Indahnya Hidup Bersyariat' dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat yang mewakili Menteri Besar Terengganu. Acara kemuncak malam tahun baharu dimulakan dengan bacaan Asmaul Husna serta bacaan doa penutup yang disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Zuki Wan Ismail.  
01 Jan 24
679
Agih 500 Kampit Beras Kepada Lima PKM
Agih 500 Kampit Beras Kepada Lima PKM
Oleh: Zamarul Hishyam Mohd Safri HULU TERENGGANU, 1 Januari - Tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) turun padang  mengagihkan 500 paket beras jenis 10KG kepada lima Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) di Terengganu bagi membantu mangsa yang terjejas akibat gelombang ketiga banjir baru-baru ini.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pihaknya telah berganding bahu bersama  Team Lasak Kuala Terengganu , Team Iman Care dan Team Maufakat Sejahtera bagi menyantuni mangsa banjir demi membantu mereka yang sedang dalam kesusahan akibat banjir besar tersebut. Menurutnya, lima PKM  yang bakal menerima sumbangan beras ialah PKM Dun Telemong , PKM Dun Kuala Berang , PKM Dun Bukit Besi , PKM Dun Paka dan PKM Dun Rantau Abang.  "Alhamdulillah , syukur kepada Allah SWT kerana diberi kesihatan tubuh badan untuk turut serta dalam mengetuai konvoi misi bantuan banjir Portfolio Kebajikan dan Lujnah Kebajikan PAS Negeri Terengganu bersama NGO.  "Saya merasa bangga kerana dengan adanya pasukan NGO ini , kebajikan rakyat dapat diutamakan , Oleh itu saya berharap PKM Dun yang terlibat dapat  menyalurkan bantuan itu kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Dun masing-masing,” ujarnya kepada pemberita.  Seramai 38 orang sukarelawan NGO  hadir  menjayakan program tersebut , berserta 17 pacuan empat roda  dalam misi pasca banjir kali ini.  
01 Jan 24
317