lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerja Baik Pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Berjalan Lancar
Kerja Baik Pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 8 Januari- Kerja pembaikan cerun dan kerosakan infrastruktur di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir yang runtuh ketika bencana akhir Februari serta awal Mac 2022  sedang berjalan dengan lancar. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Katanya, bagi kerja-kerja baik pulih yang melibatkan TNB, mereka bermula sejak 27 Februari 2022  dan fasa pertama meliputi empangan dan alur limpah telah siap seratus peratus. "Kini TNB telah memasuki fasa seterusnya yang melibatkan hampir 60 peratus cerun dibawah  kawasan seliaan mereka. "Sementara itu, bagi lima cerun di kawasan seliaan JKR, kerja-kerja baik pulih bermula pada Oktober tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM42 juta, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke tapak projek bagi kerja baik pulih SJSM bertempat di Jenagor di sini hari ini. Hanafiah turut berkata penilaian terkini mendapati struktur empangan juga kekal utuh dan tidak berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat. "Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehinggakan mencetuskan suasana panik berhubung tentang keselamatan empangan. "Empangan Kenyir masih dalam keadaan selamat dan terkawal serta pihak TNB sentiasa memantau paras air di empangan tersebut secara berkala," katanya. SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari. Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.
08 Jan 24
764
Krisis Air Kota Putera Dijangka Selesai Hujung Bulan
Krisis Air Kota Putera Dijangka Selesai Hujung Bulan
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Isu bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dijangka selesai menjelang hujung bulan ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini AB Rahman berkata, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) beriltizam menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh tiga minggu bermula 2 Januari lalu. "Hasil perbincangan dengan SATU, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts Abdul Karim Endut menjelaskan pihaknya akan membuat saluran pirau (bypass) dari lokasi kebocoran sedalam 10 meter di dasar sungai ke atas jambatan melibatkan sambungan sejauh 720 meter. "Jadi, ia dijangka selesai sekitar 23 Januari dan kita berharap usaha dilakukan berjalan lancar dan menepati jangka masa ditetapkan kerana ia akan mencecah sebulan jika berganjak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau itu memaklumkan, sejak krisis bermula pada 28 Disember lalu, beberapa tindakan segera telah dilakukan bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat. "Sebaik sahaja kedua-dua tangki (Tangki SATU Kampung Raja dan Loji Air Bukit Bunga) ditutup, pihak DUN memanggil pegawai SATU memberi taklimat dan pihaknya meletakkan tangki-tangki statik di lokasi terpilih. "SATU mendapat bantuan segera daripada Setiu dan Kuala Terengganu dengan kekuatan enam lori tangki bagi mengisi tangki-tangki statik yang ada. Di pihak DUN, sukarelawan kami telah berusaha mengambil air dari loji SATU dan bergerak dengan tiga buah lori dan lima buah kenderaan pacuan empat roda pada awalnya. "Pada 2 Januari, pihak DUN berjaya mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) yang menyediakan dua lori tangki berkapasiti 20,000 liter serta satu lori tangki daripada ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk beroperasi sehingga hari ini," ujarnya. Beliau memaklumkan, pihak DUN turut mendapat kerjasama NGO Khidmat Malaysia Terengganu dan Jabatan Amal Malaysia dengan membuka pusat operasi di Dataran Limbungan sepanjang tempoh krisis bekalan air yang beroperasi sehingga jam lima pagi. Untuk makluman, krisis bekalan air Kota Putera bermula apabila berlaku kebocoran paip pada kedalaman 12 meter di dasar Sungai Besut berlokasi di Jambatan Lampu. Ia disedari berikutan berlakunya tekanan rendah pada 23 Disember. Dalam tempoh penyiasatan pihak SATU, kebocoran semakin parah menyebabkan dua tangki terpaksa ditutup pada 28 Disember. Masalah bekalan air melibatkan kawasan Kampung Raja dan Keluang dengan sebanyak 2,570 pengguna melibatkan 10 buah kampung terjejas sepanjang krisis berlaku, tetapi tangki Kampung Raja dapat diselamatkan kerana sebahagiannya sempat disalurkan kepada tangki berdekatan.        
08 Jan 24
362
Tiada Syarikat Terengganu Diberikan Lesen Benih Padi Sah
Tiada Syarikat Terengganu Diberikan Lesen Benih Padi Sah
KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Tidak ada syarikat dari Terengganu yang diberikan lesen benih padi sah walaupun Malaysia mempunyai 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. Sedangkan katanya, Terengganu memiliki 500 hektar sawah yang menghasilkan padi benih. “Bila padi benih ini dituai, ia di hantar untuk diproses Syarikat Gerbang Selatan di Johor. Bila pesawah Terengganu hendak tabur benih, padi benih dibawa semula ke Terengganu. Main gi mari gitu jah. “Di Terengganu kita ada Loji Pemprosesan Benih Padi di Ajil, Hulu Terengganu. Tapi tak ada syarikat dari negeri ini diberikan lesen benih padi sah,” ujar Dr Azman dalam satu hantaran di laman facebook rasminya. Mengulas lanjut katanya, bekalan benih padi sepenuhnya bawah bidang kuasa kementerian dan bukannya dibawah bidang kuasa negeri.  “Bagaimanapun, dengan kemampuan yang ada, Kerajaan Negeri berusaha sebaiknya bagi memajukan sektor padi Terengganu.  “Contohnya, bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri memperuntukan lebih kurang RM6 juta kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi pembangunan sistem pengairan dan saliran dibantu oleh Kerajaan Persekutuan lebih kurang RM600 ribu. “Peruntukan Kerajaan Negeri 10 kali ganda lebih besar. Ini terjemahan dari keseriusan kita,” jelasnya.
08 Jan 24
213
Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu
Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama para pelabur daripada China bagi membincangkan mengenai Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mereka merupakan pelabur yang telah mempunyai hubungan startegik bersama Malaysia sebelum ini. Menurutnya, beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu.  “Semoga perbincangan ini dapat membawa kemajuan dan kestabilan buat negeri ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Terdahulu, berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu. Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 lepas. Katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengan perlombongan industri berkenaan. Beliau berkata, ia bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.                
07 Jan 24
560
Rakyat Terengganu Bantu Bina Rumah Mangsa Banjir di Thailand
Rakyat Terengganu Bantu Bina Rumah Mangsa Banjir di Thailand
NARATHIWAT, 5 Januari - Sekumpulan rakyat Terengganu sedang berkampung di Pekan Tanjung Mas di sini bagi menggerakkan misi bantuan dan membina rumah mangsa banjir Thailand. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman yang turut serta dalam rombongan itu berkata, usaha diketuai Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu, Surau Al-Hikmah dan GTN Care selepas selesai misi di Terengganu dan Kelantan. Katanya, 105 anggota sukarelawan bersama 30 buah kenderaan daripada beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain akan menjayakan misi itu  "NGO yang turut serta adalah Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia Wakaf Mempelam, kami disambut baik sebaik tiba hari ini. “Tujuan kami turun misi banjir untuk misi membina rumah, pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan membina rumah, membersih dan agihan keperluan. “Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana. "Pakaian ini telah pun dikumpul terlebih dahulu dan menyusun mengikut jenis pakaian oleh pihak Surau Hikmah yang turut serta dalam misi ini," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas taklimat operasi dengan wakil wilayah Narathiwat hari ini. Ariffin juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda dan wanita unuk tidak merasa serik memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan. "Mangsa-mangsa banjir di sini berkata air tidak biasa naik 15 tahun dahulu, tahun ini hari pertama sudah banjir paras pinggang. "Empangan Yala telah dibuka, paras air semakin melonjak dan ia merupakan banjir terburuk di selatan Thailand sejak 50 tahun. “Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak. “Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO seperti Prihatin, Jabatan Amal, dan pelbagai lagi di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” jelasnya lagi. Untuk rekod, Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dan GTN Care adalah dua NGO yang aktif dalam misi kebajikan di Malaysia. Sebelum ini, NGO terbabit telah membina beberapa buah rumah di Pahang dan Terengganu selain misi bantuan biasa.  
05 Jan 24
351
Parkir : Peniaga Sokong Kenakan Caj Jika Kena Cara
Parkir : Peniaga Sokong Kenakan Caj Jika Kena Cara
KUALA NERUS, 5 Januari - Rata-rata peniaga di Dataran Rimba Square tidak menghalang sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahu melaksanakan parkir berbayar di kawasan tersebut jika menggunakan kaedah yang tepat. Wakil pengusaha, Muhd Shamiza Ali, 42, berkata, beliau berharap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapatkan nasihat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkenaan kaedah yang bakal dilaksanakan nanti. Beliau menegaskan, para peniaga risau sekiranya kaedah kutipan menggunakan pondok atau khemah yang menimbulkan kekecohan sebelum ini, berulang kembali. "Kami tidak menghalang PBT mengenakan caj parkir, tetapi kaedah kutipan itu yang dipertikaikan. Kita faham, Kerajaan Negeri perlukan dana, cuma kaedah yang digunakan perlu bersesuaian. "Kami juga telah memberi cadangan kepada YB Wan Sukairi dalam pertemuan sebelum ini bahawa peniaga bersedia menyokong dengan membeli lot parkir daripada MBKT sekiranya diperlukan. "Kami belum dapat satu jawapan, sistem bagaimana yang akan digunakan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama sebahagian pengusaha di Dataran Rimba Square, semalam. Tambahnya, kaedah mengutip bayaran parkir menggunakan pondok secara tidak langsung akan turut memberi impak kepada sistem pentadbiran negeri, padahal ia dilakukan oleh pihak kontraktor swasta  Dalam pada itu, pengusaha kedai alat permainan, Rafiuddin Wan Muhammad, 39, menyifatkan, pihak MBKT seharusnya melakukan kaji selidik kewajaran dan kesesuaian kaedah sebelum mengenakan caj di sesuatu kawasan. "Sebelum ini, berlaku penurunan jualan sebanyak 50 peratus di kalangan majoriti peniaga hanya dalam tempoh dua hari pondok kutipan beroperasi. "Bahkan, boleh dikatakan purata satu kedai di kawasan ini terpaksa 'menutup pintu' sejak enam bulan lalu impak penutupan pasaraya di sini dan kaedah ini semakin membebankan peniaga. Jadi, apa kriteria yang wajib ada untuk melayakkan sesuatu kawasan dibuat parkir berbayar dan bagaimana kaedahnya?. "Kami akan sokong sepenuhnya sistem parkir berbayar sekiranya menggunakan sistem elektronik yang digunakan secara meluas di seluruh negara dan ternyata memudahkan pengguna. "Ketika sistem pondok dijalankan, kami memerlukan masa sehingga setengah jam untuk keluar dari parkir," katanya sambil berharap masalah sama tidak berulang. Beliau turut memuji langkah bijak Majlis Daerah Besut (MDB) yang mengetengahkan sistem parkir pintar 'Smart Besut' yang dilihat semakin memberi impak positif kepada daerah berkenaan. Isu pondok kutipan parkir di Dataran Rimba Square awal bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila membebankan pengunjung yang datang ke kawasan tersebut. Isu itu berlanjutan dengan pelbagai aduan yang berakhir dengan tiga pondok kutipan dibakar oleh individu tidak dikenali.  Wan Sukairi berhasil meredakan keadaan selepas pertemuan dengan para pengusaha terlibat dan berjanji untuk membawa 'suara' mereka ke peringkat pengurusan tertinggi PBT.
05 Jan 24
1879
Jalan Rosak : Keresahan Penduduk Jalan Rosak Bakal Berakhir
Jalan Rosak : Keresahan Penduduk Jalan Rosak Bakal Berakhir
MARANG, 4 Januari - Keresahan penduduk berkenaan jalan tidak rata di sekitar Kampung Undang ke Kampung Atas Tol akibat proses naik taraf paip air bakal berakhir sebelum Mac ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Dato’ Mohd Nor Hamzah. Beliau berkata, pihak kontraktor telah berjanji untuk memulakan fasa pembaikian jalan selepas kerja penggalian selesai. Katanya, jika kontraktor gagal memenuhi janji tersebut, tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). “Projek mengorek tanah dan jalan bagi menaik taraf tersebut bermula dari bulan Ogos 2022 bagi menghubungkan loji air Kepong ke tangki takungan air di Bukit Kor berakhir malam ini,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu Mohd Nor yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu menghadiri majlis makan malam di tapak kerja-kerja akhir proses pemasangan paip sekaligus meraikan para pekerja dan kontraktor SATU yang terlibat. Tambahnya lagi, semua pengguna diharapkan dapat memahami situasi yang dihadapi dan mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.
04 Jan 24
432
Kerajaan Negeri Peruntuk RM140,000 Bina Rumah Mangsa Tanah Runtuh
Kerajaan Negeri Peruntuk RM140,000 Bina Rumah Mangsa Tanah Runtuh
KEMAMAN, 4 Januari – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM140,000 bagi membina rumah mangsa yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku di Felda Neram 2 Kemaman pada Sabtu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi Tabung Bencana Negeri yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan. Menurutnya, seramai dua keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut. “Pihak Felda Neram juga bersetuju untuk menggantikan dua bidang tanah bagi tujuan pembinaan semula rumah kedua-dua keluarga tersebut di tapak yang baharu. "Sehubungan itu, pembinaan dua buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina bagi keluarga mangsa,” katanya memetik laporan portal berita rasmi Astro Awani semalam. Tambah Hanafiah, pembinaan rumah dijangka akan memakan mangsa antara enam hingga 10 bulan untuk disiapkan. Terdahulu, kira-kira jam 12 malam, dua buah keluarga di Felda Neram 2 berdepan detik cemas apabila tanah di belakang rumah mereka runtuh secara tiba-tiba. Justeru, menyebabkan bilik, dapur dan tandas di salah sebuah kediaman runtuh lalu terjunam ke dalam cerun di belakang rumah mereka.
04 Jan 24
3666
Terpikat Aroma Roti Dibakar Kayu Api
Terpikat Aroma Roti Dibakar Kayu Api
KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Adunan roti yang dibakar menggunakan kayu api membangkitkan aroma tersendiri memikat sesiapa saja yang melalui Kedai Roti Dapo Kayu milik Ramli Embong,63, yang terletak bersebelahan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal. Malah, roti yang dijual panas-panas oleh Ramli itu pasti membuatkan orang ramai tertarik untuk mencubanya. Pelanggan tetapnya dari Kampung Padang Nenas, Hasan Muda, 72, berkata, Kedai Roti Dapo Kayu yang turut dikenali dengan nama Kedai Roti Pok Mbong cukup sinonim kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan roti sebagai hidangan minum petang. “Saya dan penggemar roti ini biasanya datang awal dan sanggup menunggu walaupun kedai dibuka bermula jam 11 pagi sehingga 1 tengahari. Jika datang selepas itu, pasti ada yang kempunan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kedai tersebut. Sementara itu, Sharul Ezat,34, dari Kuala Lumpur mengakui, kedai itu menjadi lokasi wajib untuk membeli roti setiap kali pulang ke kampung isterinya di Kubang Parit. “Setiap kali balik kampung, saya akan singgah sini untuk mencari roti yang punya aroma dan keenakannya yang tersendiri. “Walaupun jauh saya sanggup juga datang untuk rasa roti yang sedap ini kerana dia punya rasa, lembut memang tidak dapat jumpa di tempat lain. Memang puas hati dan berbaloi kalau beli,” katanya yang akan membeli dalam kuantiti lebih untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.  Bagi Abdul Halim Abu Bakar,63, Kampung Gong Nangka, Marang, dia teringin mencuba roti berkenaan kerana terkenang nostalgia zaman kanak-kanaknya.  “Saya datang sini sebab teringat-ingat roti dapur kayu yang dibuat arwah datuk nenek masa budak-budak dulu kerana nenek saya waktu itu juga buat roti ini untuk dijual. “Sebenarnya sudah dua minggu saya rancang untuk datang beli roti ini, tapi baru berkesempatan untuk rasa buat pertama kali,” ujarnya.  
04 Jan 24
304
Jentera Penerangan Negeri SG4 Mainkan Peranan Penting
Jentera Penerangan Negeri SG4 Mainkan Peranan Penting
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Peranan dimainkan jentera penerangan di empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau 'State-Goverment 4' (SG4) iaitu kerajaan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis amat penting khususnya dalam menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerjasama yang dicapai juga perlu meliputi semua segmen termasuk penerangan selari dengan hasrat kepimpinan PN.  “Kita telah bertemu dengan kesemua Exco Penerangan di empat negeri ini. Apa yang penting adalah penyelarasan kerja dan perkongsian dari sudut ilmu dan pengalaman untuk kita lihat kesesuaian bagi dilaksanakan di negeri masing-masing. “Fokus yang paling utama adalah menyebarkan agenda kerajaan negeri supaya ia sampai kepada rakyat dibawah sana,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Retreat Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Primula Beach Resort, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan, Razuan Awang Hamat. Mengulas lanjut katanya, jentera penerangan adalah sendi penting kepada kerajaan negeri dan mereka perlu memasang niat yang betul melaksanakan tugasan yang diamanahkan. “Tugas yang dimainkan jentera penerangan di setiap negeri termasuk UPKN dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di peringkat negeri Terengganu adalah tugas yang mulia. “Sebab itu apabila kita (jentera penerangan) menyebarkan agenda kedua-dua kerajaan negeri ini yang meletakkan Islam sebagai dasar dan dengan niat yang betul, kita akan dapat pahala,” ujarnya.
03 Jan 24
194