lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

14,457 Kakitangan Awam Terengganu Dapat Bonus RM2,000
14,457 Kakitangan Awam Terengganu Dapat Bonus RM2,000
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Seramai 14,457 penjawat awam Terenganu menerima khabar gembira apabila kerajaan Negeri mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,000. Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata bayaran itu bakal dibayar pada Mac nanti. "Kita (kerajaan) telah membuat ketetapan sebagaimana yang disebut  oleh Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) (pemberian) mengikut pentadbiran, kita akan ikut apa yang disarankan oleh Kerajaan Persekutuan (pemberian bonus) sebanyak RM2,000," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada  media selepas Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya, bagi tujuan itu kerajaan negeri akan mengikut sebagaimana dipekelilingkan Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, Dr Ahmad Samsuri ketika berucap membentang Belanjawan Negeri Terengganu 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun lalu berkata beliau tidak membuat pengumuman pemberian bonus kakitangan awam seperti biasa kerana keadaan semasa itu tidak mengizinkan beliau berbuat demikian. Katanya, pemberian bonus itu mengikut pentadbiran kerajaan dan tidak diumumkan jumlahnya. Ketika itu Dr Ahmad Samsuri bertanding sebagai calon Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dan kempen pilihan raya tersebut sedang berjalan, dibimbangi menimbulkan implikasi Undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
11 Jan 24
320
Premis Bukan Muslim Tidak Tertakluk Arahan Tutup Setiap Jumaat
Premis Bukan Muslim Tidak Tertakluk Arahan Tutup Setiap Jumaat
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan premis perniagaan bukan Islam tidak terbabit dalam penguatkuasaan penutupan premis selama dua jam pada hari Jumaat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif tampil memberikan penjelasan bahawa ia hanya melibatkan semua pasar raya, restoran, kedai makanan atau gerai makan Muslim termasuk restoran makanan segera. Menurutnya, arahan bagi penutupan operasi sementara dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dilaksanakan bagi menghormati ibadah solat Jumaat selain memberi kemudahan bagi rakyat Terengganu memenuhi tuntutan ibadah berkenaan. "Namun, ia tidak tertakluk kepada hotel kerana ia melibatkan orang yang bermusafir dan ia merupakan premis tertutup ini termasuklah kedai-kedai dimiliki bukan Muslim. "Manakala, premis-premis makanan milik bukan Muslim yang mempunyai pekerja Muslim tertakluk kepada peraturan ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat MBKT, hari ini. Tambahnya, arahan tersebut akan berkuatkuasa bermula 12 Januari (Jumaat) ini dan pada hari Jumaat seterusnya.  "Kita sedar sebahagian besar ekonomi bergantung kepada industri makanan, tetapi kita lebih mengejar keberkatan Allah SWT. "Kita menerima aduan daripada orang ramai dan membuat arahan berdasarkan keperluan sekarang mengambil kira semua faktor dan kepentingan sektor-sektor yang akan turut menerima kesan daripadanya (pelaksanaan). "Jadi, jika ada yang ingkar, kita akan kirim suratlah," katanya. Jelas Rosli, ketidakpatuhan kepada pengenaan syarat-syarat tersebut membolehkan premis perniagaan terlibat dikompaun maksimum sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan, bergantung kepada tahap keseriusan pelanggaran kesalahan. Hukuman berkenaan dikenakan merujuk kepada Undang-undang Kecil berkaitan yang diguna pakai MBKT iaitu Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MBKT 1991, Undang-undang Kecil (Penjaja) MBKT 1980 dan Undang- undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBKT 2013.    
10 Jan 24
684
MAIDAM Nafi Seleweng Wang Zakat
MAIDAM Nafi Seleweng Wang Zakat
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menafikan dakwaan penglibatan agensi itu dalam penyelewangan wang zakat sebagaimana laporan pihak media massa pada 4 Januari baru-baru ini. MAIDAM dalam satu kenyataan berkata siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes seleweng kutipan zakat lebih RM9.7 juta di Selangor, Terengganu dan Perak tersebut tidak melibatkan agensi terbabit di Terengganu "Pengesahan yang diperoleh daripada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 5 Januari 2024 jam 8.48 pagi, kes yang dilaporkan di Terengganu merujuk kepada kes seorang pekerja di sebuah syarikat swasta yang tidak membayar zakat ke atas wang yang diamanahkan oleh majikannya. "Berdasarkan kenyataan tersebut adalah ditegaskan bahawa kes yang dilaporkan ini tiada kaitan sama sekali dengan  sama ada kakitangan, amil zakat mahupun ejen zakat MAIDAM," ujar kenyataan itu. Dalam masa sama, penjelasan tentang perkara ini telah disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 jam pada 5 Januari 2024.  
10 Jan 24
1005
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan setahun yang lalu terus mengorak langkah dalam membantu anak-anak autisme dalam Negeri Terengganu. Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata Pusat Autisme Sejahtera Terengganu itu telah hampir genap setahun usia pelancarannya,  Pelancaran Pusat Autisme Terengganu pada 25 Julai 2023 yang lalu. "Setelah empat tahun kita bertungkus-lumus untuk menubuhkan pusat ini akhirnya, Allah mengizinkan jua untuk pusat ini berdiri megah. "Baru-baru ini, kami telah pun selesai permukiman (retreat) Pusat Autisme Sejahtera Terengganu untuk kita perincikan gerak kerja, meliputi pelan tindakan strategik juga program-program yang bakal dilaksanakan," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Pada masa yang sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada pusat tersebut. Peserta pemukiman Pusat Autisme Sejahtera Terengganu. "Saya sangat terhutang budi kepada semua individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penubuhan pusat ini. "Kesemua kesusahan dan kesulitan kita harungi bersama, elemen inilah yang menjadi penaut kepada kita untuk terus kuat bersama. "Insya-Allah, kita cuba bantu ibubapa yang mempunyai anak autisme untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," ulasnya lagi.
09 Jan 24
411
SPM ’Tiket’ Untuk Hidup
SPM ’Tiket’ Untuk Hidup
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sekurang-kurang kelulusan untuk meneruskan kehidupan bagi rakyat Malaysia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa SPM adalah tiket penting kalau mahu bekerja. Katanya, majikan mahu yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya SPM, apatah lagi jika mahu menyambung pelajaran. "Oleh hal yang demikian, SPM adalah sekurang-kurang kelulusan yang bagi saya wajib ada untuk seorang rakyat Malaysia," katanya. Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Jalan Sultan Omar, baru-baru ini. Bergambar bersama-sama para peserta Program Tuisyen Rakyat DUN Ladang. Ujar Zuraida lagi, beliau agak risau dengan keadaan mutakhir ini, apabila generasi muda seakan tidak berminat mahu belajar ditambah pula dengan pengaruh buruk yang dibawa oleh sesetengah pempengaruh media sosial. “Saya doakan mudah-mudahan semua para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM nanti, dipermudah segala urusan dan semoga peroleh keputusan yang cemerlang, “Antara tujuan utama penganjuran Program Tuisyen Rakyat ialah sebagai pecutan terakhir kepada para pelajar menjelang peperiksaan sebenar tak lama lagi,” tambahnya lagi. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri berkata bahawa Program Tuisyen Rakyat ini diadakan di kesemua 32 DUN dalam Negeri Terengganu. Sebahagian daripada peserta Tuisyen Rakyat DUN Ladang. Program tersebut telah berjaya mengumpulkan peserta lebih 50 orang peserta dari pelbagai sekolah, bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.30 petang dan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ladang.
09 Jan 24
245
Premis Perniagaan Islam Perlu Tutup Dua Jam Setiap Jumaat
Premis Perniagaan Islam Perlu Tutup Dua Jam Setiap Jumaat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan premis perniagaan membabitkan majoriti Islam dalam kawasan pentadbirannya menutup operasi selama dua jam pada setiap Jumaat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, semua premis perniagaan perlu dihentikan operasi bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap jumaat. Jelasnya, arahan terbabit yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu itu bukan sahaja membabitkan pasar raya, tetapi turut melibatkan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan. "Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini. Mengulas lanjut Rosli Latif berkata, MBKT akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan dikeluarkan. "Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang digunapakai," katanya.
09 Jan 24
683
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
Bina Tembok Penghadang Ombak Selamatkan Perigi 101 Tahun
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Satu  tembok penghadang ombak akan dibina dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan perigi lama berusia lebih seratus tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus daripada musnah akibat masalah hakisan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata beliau difahamkan masalah hakisan pantai yang berlaku semakin kritikal sehingga mengubah struktur tanah di sekeliling kawasan perigi itu. "Sebagai langkah awal, kita akan bina sebuah tembok penghadang di kawasan perigi ini secepat mungkin bagi melindungi ia kekal pada kedudukan asal dan tidak dihanyutkan ombak. "Proses pembinaan tembok itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, GPQ Sdn Bhd di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi. Menurut Razali, cadangan pembinaan tembok penghadang itu telah dipersetujui oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam industri pembinaan. "Mereka telah bersetuju untuk membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal dan tidak terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal ketika ini," ujarnya. Difahamkan, sekitar awal tahun 1970-an, perigi lama itu berada pada kedudukan antara 100 hingga 200 meter dari pantai. Kawasan di sekitar perigi yang dipercayai dibina mengikut kalendar Islam pada 1345 Hijrah itu semakin terhakis sehingga mencecah dasarnya sejak musim tengkujuh melanda bermula hujung November tahun lalu. Perigi sedalam kira-kira lima meter itu akan runtuh sepenuhnya sekiranya banjir melanda dan berlaku perubahan cuaca akibat Monsun Timur Laut (MTL) jika tiada usaha segera dilakukan bagi memulihara segera bahan peninggalan sejarah itu.  
09 Jan 24
626
Ahli Parlimen Dungun Jumpa PDTD Bincang Isu Tanah
Ahli Parlimen Dungun Jumpa PDTD Bincang Isu Tanah
DUNGUN, 8 Januari - Ahli Parlimen Dungun mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Daerah dan Tanah Dungun bagi membincangkan isu tanah yang membelenggu rakyat di daerah terbabit. Wan Hassan Mohd Ramli yang mengetuai kunjungan berkenaan berkata kunjungan tersebut lebih kepada membina hubungan dan kerjasama antara PAS Kawasan Dungun dan dua agensi Kerajaan Negeri Terengganu bersama Pejabat Daerah dan Tanah Dungun. "Pertemuan bersama Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan Pegawai Pentadbir Tanah Daerah Dungun membincangkan isu berkaitan tanah dan cadangan untuk membangunkan tanah di Daerah Dungun," katanya. Beliau juga Yang Dipertua PAS Dungun berkata demikian menerusi hantaran 'facebook'nya di sini, hari ini. Turut hadir dalam kunjungan itu adalah PAS Dungun, UPDI Daerah Dungun dan I-MITS Parlimen Dungun Menurut Wan Hassan, beliau juga berbincang beberapa isu yang penting iaitu isu bayaran tanah premium, isu pelancongan di Dungun dan isu tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB). "Insya-Allah selepas ini jika ada apa-apa isu yang timbul berkaitan dengan tanah, kita akan rujuk semula kepada pihak Penguran Pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Dungun. Pihak mereka sedia menerima aduan dari rakyat Dungun. "Semoga dengan kunjungan ini, dapat membuahkan hasil yang lebih baik demi memastikan kesejahteraan rakyat di Daerah Dungun," jelasnya.
08 Jan 24
317
'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion
'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Selepas menerima 'Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’ pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023 pada Disember lalu, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Kumpulan TI) meneruskan langkah positif apabila mencatat prestasi cemerlang bagi tahun kewangan 2022. Menurut laporan yang telah diaudit, hasil anak syarikat Kerajaan Terengganu itu meningkat kepada RM1.55 bilion berbanding RM1.17 bilion pada tahun 2021. Selain menjadi pencapaian tertinggi syarikat tersebut di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berbanding kerajaan terdahulu, Kumpulan TI juga mencatatkan peningkatan secara konsisten selama lima tahun berturut-turut sejak 2018 dengan perolehan hampir RM1 bilion sepanjang tempoh itu. Nilai keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak RM13 juta kepada RM21 juta pada tahun 2022, berbanding RM8 juta pada tahun sebelumnya. Lebih menarik, keuntungan berkenaan 'dipulangkan' semula kepada rakyat Terengganu apabila Kumpulan TI membelanjakan sebanyak RM11.4 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membayar zakat sebanyak RM4.5 juta.   Kumpulan TI juga berjaya meningkatkan kembali aset bersih (net asset) mereka mencapai RM1.6 bilion setelah mengalami penurunan sepanjang tahun 2019-2021. Bagi tahun-tahun mendatang, Kumpulan TI akan melibatkan diri dengan lebih aktif dalam teknologi hijau dengan meneroka secara aktif tenaga boleh diperbaharui  dalam menyokong agenda negara dalam mengurangkan pelepasan karbon. Selain itu, syarikat berkenaan turut bergiat aktif dalam bidang keterjaminan makanan bagi menyokong matlamat negeri Terengganu menjadi negeri pengeluar makanan. 
08 Jan 24
3863
JKNT Kenal Pasti Punca Keracunan Makanan di RNR Perasing
JKNT Kenal Pasti Punca Keracunan Makanan di RNR Perasing
KUALA TERENGGANU, 8 Januari –Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesan wujud pelanggaran dalam etika pemakanan sehingga berlaku kes keracunan makanan yang meragut nyawa seorang wanita berusia 54 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah menjalankan siasatan terhadap premis yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan isu ini.  Katanya, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan. "Keputusan makmal menunjukkan wujud pelanggaran dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Kasemani, JKN Terengganu juga menasihati para pengusaha dan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan dan keselamatan makanan minuman yang dijual. Di samping, memastikan makanan disediakan adalah bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan kepada pelanggan khususnya dan orang ramai amnya.  “Tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan. “Sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” ujarnya. Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.  Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ sebelum membuat keputusan membeli makanan dan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi rosak.                      
08 Jan 24
1079