lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sukan Bukan Tempat Bertumbuk
Sukan Bukan Tempat Bertumbuk
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menasihati penggemar dan pengamal sukan di negeri itu memperkasakan disiplin serta ketahanan mental bagi mewujudkan suasana harmoni dalam penganjuran kejohanan dan program sukan, "Bersukan bukan untuk saingan pergaduhan. Ia bermatlamat untuk mengukuhkan persaudaraan dan menjalin hubungan yang lebih erat walaupun dengan pasukan lawan. "Sekalipun sukan yang melibatkan perlawanan tempur, seperti Muaythai, silat, taekwando dan seumpamanya, ia tetap ada disiplin dan peraturannya sendiri. Tamatnya perlawanan, yang menang atau kalah tetap menjalin hubungan persaudaraan bukannya menyambung pergaduhan. "Sukan menuntut setiap yang terlibat menajamkan fokus, ketahanan mental, kelasakan fizikal, pecutan kelajuan, kemahiran (skills) dan pelbagai lagi yang perlu diperkasakan. Penguasaan emosi paling utama," jelasnya melalui kenyataan dikeluarkan di laman Facebooknya, semalam. Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, insiden pergaduhan yang berlaku dalam saingan Terengganu Football League (TFL) antara pasukan NAG FC dan KESA FC di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, pada Jumaat lalu amat mendukacitakan. "Ia sewajarnya dielakkan oleh semua pihak yang terlibat. "PBSNT akan memperhalusi insiden ini dengan menyerahkan mandat siasatan kepada Jawatankuasa Tatatertib TFL untuk meneliti semua laporan sebelum ia diputuskan secara muktamad di bawah PBSNT. "Anasir tidak sihat ini amat mendukacitakan kami dan berharap ia tidak berulang. Kami anggap ia sebagai kes serius dan akan berusaha menanggani dengan cermat dan tidak berkompromi," katanya. Dalam pada itu, pihak TFL menjanjikan tindakan tegas terhadap pelaku terlibat dalam aksi 'gusti' sehingga mengakibatkan tiga anggota Pasukan NAG FC iaitu Muhammad Alauddin Roslan (pemain), Muhammad Zarif Adib Chek Azman (Ahli Fisio) dan Ronny Irwan Husni@ Abdul Rahman (Pegawai Admin) cedera. Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, TFL memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dilakukan melalui laporan pegawai perlawanan dan pihak keselamatan. Penganjur liga itu turut komited meningkatkan protokol keselamatan bagi mengelakkan insiden itu berulang pada acara dianjurkan di masa akan datang.      
14 Jan 24
146
KHIDMAT Marang Ke Besut Hantar Bekalan Air Bersih
KHIDMAT Marang Ke Besut Hantar Bekalan Air Bersih
MARANG, 14 Januari- Pusat Khidmat Masyarakat Alur Limbat mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk terjejas susulan masalah paip air bocor yang berlaku di dasar sungai dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut sejak minggu lalu. Wakilnya, Sabudin Ahmad berkata, misi membawa bantuan air ke  Besut itu disertai seramai 15 orang dari Khidmat Malaysia Malaysia membabitkan Dewan Undangan. Negeri (DUN)Alur Limbat dan juga Rhu Rendang. "Manakala jentera yang terlibat terdiri empat buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang setiap kenderaan ini dilengkapi dengan tangki air," ujarnya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.   Mengulas lebih lanjut, katanya bekalan air bersih telah berjaya diagihkan ke lebih 200 buah rumah pengguna melibatkan dua kawasan iaitu di  Taman Marwadah dan Taman Setia di DUN Kota Putera. "Jadi dalam operasi kali ini kita akan hantar air dari rumah ke rumah, " ujarnya.  Terdahulu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kebocoran paip tersebut telah mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di daerah tersebut. Katanya,  kebocoran paip bersaiz 600 mm itu mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Januari nanti, sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik. Bagaimanapun katanya, sebanyak enam lori tangki air dan 49 tangki statik sedang ditempatkan di kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.mage widget
14 Jan 24
207
PAS Kini Bukan 'Parti Kampung' – Dr Sam
PAS Kini Bukan 'Parti Kampung' – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 14 Januari – "Parti Islam Se-malaysia (PAS) kini bukan lagi dianggap sebagai ‘parti kampung’ dan ianya adalah lebih dari hanya sekadar parti,” ujar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menteri Besar Terengganu itu berkata sebenarnya dalam PAS, terdapat ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang.  Katanya, kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.  “Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini.  “PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden,” Katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, beliau merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018. Beliau berkata, PAS sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan. “Ada juga yang beranggapan PAS sebuah parti ekstrimis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan PAS dengan parti Islam lain di dunia ini.  “Ianya 100 peratus tidak benar sama sekali dengan menyamakan parti PAS dengan Taliban seumpamanya merupakan satu kesilapan,” jelasnya. Menurut beliau, PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang mendokong. “Kami amat memahami, untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia,” ujarnya.                      
14 Jan 24
101
Sewakan Motosikal 'Biak' Penunggang Warga Asing Tanpa Lesen
Sewakan Motosikal 'Biak' Penunggang Warga Asing Tanpa Lesen
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir warga tempatan yang memberikan sewaan kenderaan kepada warga asing menyebabkan mereka berani menunggang motosikal dan memandu kereta secara berleluasa tanpa memiliki lesen memandu yang sah. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, dakwaan itu disuarakan susulan pihaknya mengesan kewujudan kegiatan yang menyewakan motosikal kepada warga asing di negeri itu. Dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa), yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam, JPJ Terengganu berjaya menahan dan menyita 79 kenderaan melibatkan 66 motosikal dan 13 motokar di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. "Dalam tempoh dua hari, kita telah memeriksa 567 kenderaan yang dipandu warga asing. Sebanyak 284 saman dan 79 notis atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan pada operasi tersebut. "Kita juga telah mengesan satu individu yang disyaki mungkin membuat sewaan motosikal. Semakan kita mendapati individu ini memiliki 40 buah motosikal didaftarkan atas nama beliau. "Jadi, JPJ sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk pastikan apakah ada kegiatan atau sindiket yang membuat sewaan kepada warga asing," katanya. Tambahnya, JPJ Terengganu telah mengeluarkan 39,028 saman dan 33,213 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu dengan tiga kesalahan tertinggi direkodkan ialah penggunaan cermin gelap, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.        
14 Jan 24
256
Proses Pembaikan Paip Air Pecah di Sungai Besut Capai 30 Peratus
Proses Pembaikan Paip Air Pecah di Sungai Besut Capai 30 Peratus
BESUT, 14 Januari - Status kerja-kerja pemasangan dan pembaikian paip bersaiz 600 milimiter (MM) di dasar sungai Besut kini memasuki 30 peratus dan dijangka siap antara tempoh tujuh hari hingga 10 hari. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan memberikan kelegaan kepada 2,670 akaun pengguna yang terjejas. "Setakat ini semuanya mengikut perancangan, telah mencapai kemajuan 30 peratus dan prosesnya cepat walaupun pada  peringkat permulaan sahaja  yang mengambil masa, tetapi bila dah bergerak itu, insya-Allah akan cepat disiapkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika melawat ke lokasi paip pecah, di Jambatan Kampung Lampu, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan penduduk yang terjejas dengan bekalan air tersebut tidak perlu khuatir dan bimbang tidak akan mengulangi sebagaimana di Kuala Terengganu sebelum ini. "Kita cuba yang terbaik, cuma situasi yang berlaku di Kuala Terengganu dahulu,  ia agak kompleks sikit, tetapi di sini kita buat dengan cara agak berbeza sedikit dan ia lebih cepat, insya-Allah," ujarnya. Terdahulu, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 MM di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu telah menyebabkan berlaku gangguan air bermula 1  sehingga 21 Januari.
14 Jan 24
330
SATU Rancakkan Kerja Pembaikan Paip Dasar Sungai Besut
SATU Rancakkan Kerja Pembaikan Paip Dasar Sungai Besut
BESUT, 13 Januari – Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikian dan pemasangan paip bersaiz 600mm dasar Sungai Besut sedang berjalan. Jurucakap SATU berkata penyediaan reka bentuk berjaya disiapkan 100 peratus manakala paip 'Mild Steel & HDPE' pula telah berada di tapak dan bersedia untuk kerja pembaikian. Katanya, pihaknya juga telah melantik pembekal untuk projek berkenaan. "Pihak SATU telah berjaya melaksanakan persempadanan kawasan bekalan air dengan mengurangkan impak gangguan air menerusi persempadanan semula Zon Bubus. "Ia bagi meminimakan kawasan yang dijangka akan mengalami masalah tekanan air rendah," katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambahnya, proses persempadanan semula ini telah berjaya mengurangkan impak sehingga 2,000 akaun. Selain itu, bantuan alternatif sebanyak 102 buah tangki statik dan 11 buah lori tangki telah ditempatkan bagi kawasan terlibat dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal. Terdahulu, bekalan air terputus berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 mm di dasar Sungai Besut berhampiran dengan Jambatan Kampung Lampu. Kebocoran paip tersebut mengakibatkan 2,670 akaun pengguna menghadapi gangguan bekalan air yang bermula pada 1 Januari 2024 sehingga 21 Januari 2024. SATU akan memaklumkan perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua media rasmi SATU seperti mySATU, Facebook dan Instagram atau hubungi Careline di 1300-88-2111.
13 Jan 24
449
Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang di Awal Tahun Baharu
Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang di Awal Tahun Baharu
MARANG, 11 Januari - Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 3 petang hari ini. Tarmizi Musa, 43, berkata mereka empat beranak ketika itu sedang berehat di rumah di Kampung Atas Tol. Katanya, mereka sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut manakala anak sulongnya yang berumur 17 tahun masih belum pulang dari sekolah “Saya sedar akan kebakaran diawalnya dan cuba untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di tingkat atas namun api merebak terlalu cepat,. "Apa pun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya. Menyedari akan hal itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah segera mengusahakan penempatan sementara buat mereka lima beranak di rumah tumpangan berdekatan. Menurutnya lagi, pihaknya akan usahakan bantuan bina rumah melalui bantuan JKM dan MAIDAM secepatnya buat mereka sekeluarga.  
11 Jan 24
586
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu
'Indahnya Hidup Bersyariat' Pacu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Melalui slogan 'Indahnya Hidup Bersyariat' memberikan penjelasan mengenai usaha untuk memacu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera secara konsisten. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memberikan pendedahkan kepada seluruh rakyat mengenai betapa pentingnya melaksanakan syariat Islam. "Kalau kita hendak maju, hendak ada keberkatan, hendakkan kesejahteraan mestilah melaksanakan syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi kita (Muhammad) SAW. "Maka di situlah kita hendak memberikan gambaran kepada rakyat bahawa segala yang dilakukan dalam kehidupan daripada kita makan dan minum, tidur, di pejabat, ketika di rumah, berada di pasar, bermain semuanya ada kaitan dengan syariah. "Kita akan menyedari betapa indahnya syariah Islam ini yang memberikan kebaikan kepada kita (rakyat) dan menolak (menghindari) keburukan berlaku ke atas diri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui video pendek yang dimuat turun di facebook rasminya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Dr Muhammad Khalil berkata dua unit tubuh berada di bawah portfolionya iaitu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) telah membincangkan kerangka umum mengenai program yang akan dijalankan pada tahun ini selari dengan tema 'Indahnya Hidup Bersyariat' . "Antara yang menariknya ialah sempena dengan israk dan mikraj kita akan buat program kesedaran tentang isu al-Quds melalui minggu al-Quds, Madinah Ramadan. "Kemudian kita akan teruskan program yang telah diadakan pada tahun lepas iaitu Terengganu International Summit yang akan membincangkan topik tertentu. "Kemudian program-program rutin yang lain seperti 'Badar Qubra', Nuzul Quran, hari Wukuf Arafah, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan lain-lain lagi di samping itu (mengekalkan program sedia ada) kita juga akan mengenegahkan beberapa pembaharuan daripada penggal yang lepas untuk kita kita ketengahkan kepada rakyat," jelasnya.  
11 Jan 24
217
Sektor Awam Tulang Belakang Kerajaan
Sektor Awam Tulang Belakang Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan Terengganu berharap semua anggota Perkhidmatan Awam menjadikan sektor awam sebagai tulang belakang kerajaan yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan rakyat. Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kerajaan memerlukan kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan kuat daripada semua agensi. "Ia adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dapat disediakan kepada rakyat negeri Terengganu khususnya dan negara Malaysia amnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Tahun Baru 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nara Setia, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Ishamudin Hashim, Timbalan SUK (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan SUK (Pengurusan) Ab Rasid Jusoh dan kira-kira 1,300 kakitangan awam negeri Terengganu dari pelbagai jabatan. Terdahulu, Tengku Seri Bijaya Raja mahu penjawat awam menterjemahkan saranan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa pentadbiran kerajaan penggal ini sudah masuk 'gear tiga'. "Ini bererti kakitangan awam perlu melaksana tanggungjawab selari dengan dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri. "Maka, segala dasar, arahan dan halatuju kepimpinan negeri harus selari dan serentak mungkin lebih baik dan ke depan diterjemahkan, dilaksanakan oleh jentera pentadbiran iaitu kakitangan awam," ujarnya. Beliau juga membuat perumpamaan secara asasnya nisbah gear tiga ialah 1:1 iaitu tayar berputar perlu sama dengan kuasa kuda (CC) injin sesebuah kereta. “Apa yang istimewanya gear tiga ni, secara asasnya nisbah gear tiga adalah 1:1 dan tork yang sampai pada tayar sama dengan enjin. "Mungkin sedikit berbeza mengikut jenis kereta atau CC enjin, kalau enjin putar 3000 RPM, maka tayar pun akan berputar dengan nilai hampir sama," jelasnya.
11 Jan 24
272
Awas Ancaman Ulat Bulu Laut Ketika Beriadah di Tepi Pantai
Awas Ancaman Ulat Bulu Laut Ketika Beriadah di Tepi Pantai
KUALA NERUS, 11 Januari - Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati ketika beriadah di tepi pantai susulan penemuan dua ekor ulat laut (fireworm) terdampar di pantai di sini, semalam. Ketua Unit Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan, Prof Madya Dr Izwandy Idris berkata, ulat bulu laut ditemui itu dipercayai daripada spesies 'Amphinome Rostrata' (Pallas 1766) itu dijumpai oleh sukarelawan pusat berkenaan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Katanya, bahagian ulat bulu yang digelar 'chaetae' berbentuk tajam serta rapuh mudah melekat pada kulit apabila disentuh. "Spesies  ini mempunyai kelenjar bisa (venom gland) yang mana ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan chaetae yang patah. "Gabungan luka akibat chaetae yang patah dan bisa dari kelenjarnya boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, pengunjung pantai dinasihatkan agar berhati-hati sekiranya terjumpa A. rostrata atau mana-mana organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu tersebut. Katanya,Ulat bulu laut merupakan nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut (Annelida, Polycheata) yang mempunyai struktur seperti kuku (cheatae) di seluruh badan yang menyerupai ulat bulu. "Namun, dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil fireworm (cacing api) kerana rasa sakit seperti terkena api apabila menyentuh atau memegang haiwan itu. Elakkan daripada menyentuh haiwan ini serta jauhkan dari kanak-kanak," katanya. Izwandy yang juga Pensyarah Biologi, Diversiti dan Ekologi Invertebrat Bentik UMT berkata, haiwan berkenaan dipercayai dihanyutkan ombak yang kuat sehingga terdampar di pantai Terengganu. "Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Laut China Selatan ketika ini menyebabkan banyak organisma dan benda-benda lain dihanyutkan ke pesisir pantai disebabkan arus dan ombak yang kuat. "Amphinome rostrata merupakan spesies yang banyak berasosiasi (berhubungan) dengan teritip angsa (Goose Barnacle) yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut (marine debris) dan dijumpai di lautan seluruh dunia," katanya.  
11 Jan 24
660