lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

TBMIC Mudahkan Pelabur Masuk ke Terengganu
TBMIC Mudahkan Pelabur Masuk ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Kerajaan negeri mengadakan Hari Pelaburan Terengganu yang dikenali sebagai TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community) untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dalam usaha menarik pelabur ke Terengganu. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan sebuah program pertemuan perniagaan bersama para pelabur yang bukan sahaja melibatkan MB, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai-pegawai Kanan. Katanya, perjumpaan itu juga melibatkan  pemegang taruh lain seperti agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri (MIDA, ECERDC, Mentri Besar Inc (MBI), Terengganu Inc (TI), PMINT, TSIS dan lain-lain pakar teknokrat. "Sebanyak 12 pelabur dari pelbagai latar belakang industri yang disenarai pendek telah membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang.  "Ia termasuk syarikat gergasi teknologi hijau antarabangsa, pembekal utama komponen kereta elektrik (EV) global, GLC negara seperti TNB Genco dan Petronas Gentari serta pelbagai lagi syarikat dari dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasminya hari ini. Tambahnya, pihak panel memberi panduan dan penilaian awal potensi pelaburan-pelaburan tersebut dilaksanakan di samping mendapatkan maklum balas para pelabur untuk menjayakan projek mereka di Terengganu.  "Kejayaan TBMIC siri 1 ini akan disusuli dengan beberapa siri yang lain sebagai satu kaedah menarik pelabur berprofil tinggi dan menunjukkan keseriusan kita membawa agenda Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera 2030. "Semoga dipermudahkan usaha ini, insya-Allah," ujarnya.
17 Jan 24
2249
TDM Berhad Bayar RM2.9 Juta Perkongsian Keuntungan Kepada LTAWNT
TDM Berhad Bayar RM2.9 Juta Perkongsian Keuntungan Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 17 Januari- TDM Berhad membayar RM2,939,941 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM Berhad sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT. “Keuntungan ini bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.  “Pencapaian ini turut disumbangkan oleh pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Perkongsian Keuntungan Kepada LTAWNT di Wisma Darul Iman, hari ini. Pada majlis tersebut, Najman yang mewakili TDM Berhad menyerahkan cek bayaran perkongsian keuntungan kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @Yusof yang mewakili syarikatnya sambil disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Mengulas lanjut, Najman berkata, menerusi usaha sama yang dimeterai oleh syarikat pada tahun 1996, ladang kelapa sawit tersebut diuruskan oleh bahagian perladangan TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP). “LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Ladang Air Putih, Kemaman milik TDMP,” ujarnya. Katanya, TDM Berhad juga secara strategik akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan jualan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) bagi memanfaatkan premium CSPO dan CSPK yang lebih tinggi. "TDM akan terus mengekalkan momentum dengan memberi tumpuan penuh dalam meningkatkan kelestarian dan jangka hayat Bahagian Perladangan.  “Kami yakin perkara ini dapat dicapai dengan menggunakan teknik inovatif bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan keperluan tenaga buruh, sekaligus mencapai hasil jangka panjang yang maksimum,” ujarnya.
17 Jan 24
384
Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah
Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne menerima respon positif selepas berjaya membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat. Zuraida ketika menyampaikan ucapan perasmian. Katanya, program itu merupakan salah satu cara beliau membantu rakyat dengan mengagihkan pek keperluan makanan seperti beras, tepung dan gula yang secara keseluruhannya bernilai lebih RM10,000. "Selain daripada memberikan bantuan secara 'one-off' (sekali beri), kita juga menggalakkan rakyat untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dengan memberi suntikan insentif  daripada agensi kerajaan negeri. "Agensi kerajaan negeri adalah seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne di Dewan Serbaguna Bukit Kecil, kelmarin. Suasana ketika agihan berlangsung. Ujar Zuraida, program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang, melibatkan 105 orang penduduk DUN Ladang yang terpilih. "Dalam program itu, kita juga bawakan Penghulu Kanan Mukim Bukit Besar untuk memberi taklimat mengenai proses permohonan eKasih dan subsidi air Syarikat Air Terengganu (SATU). "Di samping turut diberikan taklimat oleh Pegawai Cawangan TNB Terengganu mengenai rebat bulanan bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Turut kita selitkan taklimat mengenai kepentingan mengisi Profail Rakyat Terengganu (PRT20) oleh wakil dari Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Ladang," tambahnya lagi. Zuraida turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memberi kebajikan kepada rakyat.  Zuraida menyantuni peserta Ladang Sejahtera.  
16 Jan 24
193
120 Penduduk di Bukit Besi Terima Tanah
120 Penduduk di Bukit Besi Terima Tanah
DUNGUN, 16 Januari - Seramai 120 peserta Rancangan Tanah Baharu (RTB) di Dewan Undangan Negeri Bukit Besi gembira apabila menerima geran tanah hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kesemua penerima melibatkan RTB Pecah Mangkuk, RTB Dendang Sejahtera, RTB Bukit Jelutong dan RTB Kampung Talong bersyukur kerana penantian sejak sekian lama ditamatkan kerajaan PAS Terengganu. "RTB di kawasan setiap mempunyai proses yang berbeza di setiap peringkat, ia perlu melalui beberapa prosedur untuk diluluskan menyebabkan ada permohonan yang mengambil masa yang singkat dan ada juga mengambil masa yang lama. ‘’Tahniah diucapkan kepada 120 penerima geran tanah pada kali ini, ia  jelas termasuk dalam manifesto yang dijanjikan oleh PAS Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas majlis penyerahan geran tersebut. Mengulas lanjut, Ghazali berkata, Kerajaan Negeri berterima kasih kepada para pemohon yang bersabar. "Diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. "Manfaatkanlah tanah ini dengan sebaik mungkin kerana masih ada lagi yang tidak memiliki tanah," katanya.
16 Jan 24
2044
Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu
Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu
Oleh : Suhaimi Taib dan Muhammad Zamarul Hisyam HULU TERENGGANU, 16 Januari - Tahun baharu pastinya memberi kenangan yang cukup manis buat tujuh keluarga di Dewan Undangan Negeri Ajil apabila menerima kunci rumah kediaman daripada kerajaan negeri hari ini. Rofeah Razali, 45, yang merupakan salah seorang penerima melahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah sendiri. Menurutnya, sudah lebih lima tahun dia menunggu untuk detik bermakna itu. "Impian kami sekeluarga akhirnya tercapai juga pada awal tahun ini. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bantuan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) ini," katanya kepada pemberita. Dia berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PPTS di Bukit Che Amin, Kampung Tok Randok Ajil di sini hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata, usaha seperti akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat miskin. Katanya, Kerajaan Negeri dijangka berkolaborasi dengan Skuad Prihatin (PRIHATIN) untuk melaksanakan projek perumahan rakyat dengan harga RM50,000 sebuah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata kos berkenaan termasuk perabot dan kelengkapan lain. Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kewangan dengan jumlah tersebut manakala PRIHATIN menyediakan tenaga buruh binaan untuk menyiapkan rumah berkenaan. "Kolaborasi itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya akan disegerakan tidak lama lagi," katanya. Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan program negeri berkebajikan dengan melaksanakan  pelbagai aktiviti bersama rakyat negeri itu termasuk membina rumah percuma untuk rakyat. ​​​​"Melalui program tersebut rakyat (yang prihatin) membantu orang ramai sama ada secara individu atau melalui badan bukan kerajaan (NGO). "Saya sedang menyusun satu program untuk selaraskan portfolio kebajikan dengan NGO untuk membina rumah rakyat. "Saya telah berbincang dengan Skuad PRIHATIN untuk membantu membina rumah rakyat dengan cara kolaborasi dengan kerajaan," jelasnya. Menurutnya melalui program itu kerajaan bersama NGO membantu rakyat yang memerlukan bantuan bukan kerajaan sahaja berbuat demikian. Walau bagaimanapun ujarnya, program berkenaan akan dilaksanakan dengan syarat tertentu termasuk memiliki tanah sendiri dan tidak pernah menerima rumah bantuan kerajaan.  
16 Jan 24
590
Insiden Gaduh : KESA FC Digugurkan Daripada 'Terengganu Football League'
Insiden Gaduh : KESA FC Digugurkan Daripada 'Terengganu Football League'
KUALA NERUS, 16 Januari - Pasukan KESA FC yang terlibat dalam insiden pergaduhan pada perlawanan menentang NAG FC minggu lalu, digugurkan daripada Liga Terengganu Football League (TFL) 2023. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, hasil mesyuarat kelolaan Jawatankuasa Tatatertib TFL yang disampaikan kepadanya semalam memutuskan pasukan KESA FC didapati bersalah atas kecuaian mengawal pemain dan pegawainya. "Apa yang saya boleh kongsikan, setelah ambil kira dan merujuk kepada pegawai-pegawai perlawanan, video dan meneliti peraturan TFL 2023, perkara 30.5 membabitkan perlakuan ganas, perlakuan tidak tertib pemain pegawai dan penonton, maka kita dapati KESA FC gagal mengawal pemain atau pegawai daripada melakukan tindakan ganas sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada beberapa pemain dan pegawai pasukan lawan. "Hal ini juga telah diambil tindakan serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Terengganu dan diklasifikasikan di bawah seksyen 147 kanun keseksaan. "Untuk mengelakkan perkara tersebut berulang dalam kejohanan ini, pihak jawatankuasa TFL bersetuju secara sebulat suara mengenakan hukuman kesalahan kepada KESA FC. Mereka digantung dan terkeluar daripada saingan liga TFL berkuatkuasa tarikh surat dikeluarkan berdasarkan peruntukan yang ada," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Daerah Kuala Nerus di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini. Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu, susulan keputusan tersebut semua perlawanan melibatkan KESA FC tidak akan diambil kira serta perubahan kedudukan carta liga adalah tanpa melibatkan perlawanan KESA FC. "Pihak persatuan menyokong penuh keputusan yang dicadangkan dan kita harap ia menjadi satu pengajaran penting untuk semua pasukan yang terlibat dalam mana-mana acara pertandingan bola sepak di negeri Terengganu. "Kita tidak campur tangan dalam keputusan ini kerana mereka (TFL) sudah ada peraturan serta sudah dibuktikan, jadi saya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa tatatertib TFL untuk menentukan hukuman sewajarnya dan hukumannya telah ditentukan," katanya. Tambahnya, perlawanan lain bagi saingan liga TFL 2023 yang berbaki satu perlawanan akan berlangsung seperti biasa.  
16 Jan 24
2651
JPKK 'Berkampung' Bantu Ibu Tunggal
JPKK 'Berkampung' Bantu Ibu Tunggal
DUNGUN, 17 Januari - Kerja baik pulih rumah milik Zainab Abdullah, 64 tahun, dilakukan segera selepas kediamannya musnah ditimpa sebatang pokok akibat angin kencang. Zainab, seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungjawab terhadap lapan orang anak, kini menghadapi cabaran yang besar kerana rumahnya kini memerlukan pembaikan segera untuk memastikan keluarga itu dapat kembali hidup dengan aman dan selesa. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerja pembersihan kawasan rumah tersebut segera dilakukan setelah menerima laporan daripada 'Group WhatsApp' Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paka sejurus kejadian berlaku. "Kerja ini perlu dilakukan segera kerana bimbang cuaca hujan yang sedang melanda di kawasan kita. "Kita berdoa agar keluarga Zainab diberi kekuatan untuk menghadapi cabaran ini kita akan menyediakan bantuan secepat yang mungkin dan memastikan mereka dapat kembali ke keadaan normal dengan segera," katanya. Beliau berkata demikian ketika melawat di rumah berkenaan sejurus menerima laporan tersebut. Dalam insiden tersebut, tiada kecelakaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, namun rumah yang mereka tempati mengalami kerosakan akibat tumbangnya pokok berdekatan. "Kita bersyukur kerana tiada kemalangan yang lebih serius berlaku. Saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri keadaan dan memastikan bantuan segera disalurkan kepada Zainab dan keluarganya. "Kita berharap kerja-kerja baikpulih dapat diselesaikan dengan lancar dan keluarga Zainab dapat kembali ke kehidupan normal mereka dengan segera. "Penduduk kampung yang lain juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan, terutama ketika berhadapan dengan cuaca buruk ketika ini," nasihatnya.    
16 Jan 24
240
PSKT Tumpuan Utama Pelancongan Pendidikan
PSKT Tumpuan Utama Pelancongan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari- Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kini menjadi destinasi tumpuan utama pelancongan pendidikan di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya terbukti dengan peningkatan ketara pengunjung ke PSKT daripada 100,000 lebih pengunjung pada tahun 2022 kepada 150,000 lebih pengunjung pada tahun lalu. “Insya-Allah pada tahun 2024, PSKT komited dengan kedatangan yang lebih ramai dan menyasarkan 200,000 pengunjung dengan pelbagai program menarik yang dirancang sepanjang tempoh tersebut.  “Lebih-lebih lagi, ia bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat dari negeri kita, bahkan pengunjung dari Pantai Timur terutamanya pelajar sekolah yang ingin merasai pengalaman menarik melalui pembelajaran sains yang interaktif,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau, hari ini. Menurut beliau, PSKT juga telah membuka Galeri Mini Solar Farm awal Januari lalu hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Terengganu Inc.  “Ia merupakan satu lagi pembangunan ilmu yang ditawarkan kepada pengunjung agar sentiasa memenuhi kehendak dan kepentingan masyarakat. “Tahniah seluruh warga PSKT atas kejayaan membanggakan ini hasil pembaharuan yang dilaksanakan,” tulisnya.  
16 Jan 24
236
Klinik Anak Jati Terengganu Terkenal di Melaka
Klinik Anak Jati Terengganu Terkenal di Melaka
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali  HULU TERENGGANU, 16 Januari - Klinik Pergigian Dental Square yang pemiliknya merupakan anak jati Terengganu, Dr Wan Mohamad Firwan Mohamad Fauzi kini semakin dikenali di Melaka. Dr Wan berasal dari Bukit Besar, Kuala Terengganu telah berjaya menubuhkan sebuah klinik gigi bertempat di 161, Jalan KU2, Taman Klebeng, Melaka.  Katanya, penghijrahan beliau bermula pada tahun 2008 di Kelantan dan beberapa buah negeri lagi sehingga kini menetap di Melaka. "Klinik yang mempunyai tiga orang pekerja ini telah mula beroperasi pada bulan Mac 2023 serta pelbagai tawaran harga diskaun diberikan kepada anak perantau yang datang merawat gigi di klinik ini. "Walau dimanapun kita berada, paling penting jangan lupa pada asal usul kita dan hasrat saya adalah ingin berbakti kepada negeri kelahiran di Terengganu", katanya kepada pemberita ketika kunjungan kerajaan negeri ke klinik berkenaan. Turut hadir dalam kunjungan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim dan Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPDI), Harun Esa. Maliaman berkata, beliau melahirkan rasa teruja kerana dapat melihat sendiri klinik anak jati Terengganu yang berjaya di perantauan. Menurutnya, kos barang-barang kelengkapan untuk klinik ini cukup mahal, dan kelihatan semua lengkap serta terdapat juga bilik studio untuk 'content creator'. Sekali gus, klinik ini mampu mempromosikan melalui laman sesawang dengan mudah dengan kelengkapan dan teknologi yang sedia ada. "Ramai anak perantau yang berjauhan dengan keluarga mereka yang telah berjaya seperti ini. "Di samping itu juga, saya ingin menasihati kepada anak-anak perantau supaya kerap pulang ke kampung halaman menjenguk keluarga di sana," ujarnya.  
15 Jan 24
455
Kanak-Kanak Didera Berisiko Alami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma
Kanak-Kanak Didera Berisiko Alami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma
KUALA TERENGGANU, 16 Januari – "Kanak-kanak yang didera berisiko mengalami Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD), terbantut perkembangan, kurang keyakinan diri dan bersikap negatif terhadap persekitaran," ujar Zuraida Md Noor. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu berkata kesan penderaan kanak-kanak boleh berpanjangan sekali gus merosakkan perkembangan mental dan fizikal. Katanya, mereka memerlukan rawatan psikologi untuk pulih dari trauma yang dialami. "Berita tentang kes penderaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa dan keluarga sendiri sering dilaporkan oleh media arus perdana. “Kajian menunjukkan setakat Ogos 2023, kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan kes tertinggi dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 1,603 kes," katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Zuraida, kanak-kanak wajar diberikan perlindungan dan penjagaan yang betul bagi mengelakkan berlaku kes penderaan. Menurutnya, faktor yang menjurus kepada penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.  Jelasnya lagi, tidak dinafikan, pasca Covid-19, status kesihatan mental masyarakat semakin membimbangkan.  “Ditambah lagi, dengan peningkatan kos sara hidup isi rumah membuatkan sesebuah institusi rumahtangga semakin goyah jika tidak mempunyai asas agama yang kuat serta kemahiran mengurus emosi dengan baik.  "Dalam menangani isu ini, beberapa cadangan perlu diberi perhatian serius dalam mewujudkan Garis Panduan Keluarga Sejahtera di samping latihan dan kursus keibubapaan dipertingkatkan di seluruh negara," ujarnya. Beliau berkata, Jabatan Agama Islam sesebuah negeri juga boleh memainkan peranan dengan menyentuh tajuk kesejahteraan rumahtangga menurut perspektif Islam melalui khutbah Jumaat dan kuliah-kuliah Dhuha di masjid-masjid.  Selain itu, pentingnya peranan ibu dalam memberikan perhatian kepada anak-anak walau sesibuk mana pun tugasan di tempat kerja.  Jelasnya, kanak-kanak merupakan anugerah istimewa dalam sesebuah institusi keluarga malah dan merupakan aset penting buat negara dan masyarakat dalam menentukan corak pembangunan negara pada masa hadapan.                        
15 Jan 24
141