Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Sedang Nilai Kerugian Akibat Banjir - Dr Sam
MARANG, 21 Januari - Jumlah kerugian yang ditanggung oleh pelbagai sektor akibat bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini masih dalam proses penilaian.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berdasarkan maklumat awal yang diterima pihaknya, sektor pertanian dan penternakan merekodkan kerugian lebih kecil berbanding ketika bencana sama melanda sebelum ini.
“Berkaitan bencana banjir gelombang ketiga kita belum lagi menerima laporan penuh kerugian yang terpaksa di tanggung oleh pelbagai sektor. Kita ada anggaran kerosakan kepada sektor pertanian penternakan, tetapi kadar kerosakan terhadap dua sektor itu jauh lebih kecil berbanding yang dulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang sempena Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompk (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga masih mengumpul bilangan keluarga terjejas akibat bencana tersebut.
“Kita masih kumpul lagi bilangan keluarga terjejas, tidak lebih dari 1,000 orang terkesan akibat kerosakan rumah mereka dan sangat minima berbanding dengan sebelum ini.
“Kerajaan negeri akan bantu dan tidak sama setiap orang kerana kerosakan berbeza, ianya sedang diuruskan oleh pihak kerajaan dengan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
21 Jan 24
143
Senandung Terengganu Berjaya 'Pikat' Hampir 10 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu berjaya menambat hati lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari berkampung di KTCC Mall, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, berkata program tersebut merupakan acara utama dalam 12 acara ikonik malah menjadi pembuka tirai acara pelancongan dan kebudayaan (COE 2024) negeri.
"Budaya dan manusia berpisah tiada, atas semangat inilah seni, budaya dan warisan menjadi antara lima kluster utama pelancongan yang diberi fokus oleh kerajaan negeri sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri.
"Seiring peredaran waktu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri kembali mengangkat Senandung Terengganu sebagai satu jenama yang akan terus dipopularkan sebagai payung kepada pelbagai pengisian program berkait keseniaan, kebudayaan dan warisan negeri.
"Ini termasuk memperlihatkan keindahan seni muzik Gamelan Melayu yang menjadi lambang kepada pembudayaan masyarakat Melayu kepada pengunjung yang datang ke sini," ujarnya kepada pemberita.
Dalam masa sama, turut diadakan majlis pelancaran Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Program yang diadakan di KTCC Mall bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2024 itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Lembaga Muzium Negeri, dan pelbagai agensi lain.
Menurutnya, antara segmen yang mendapat perhatian pengunjung adalah Flash Mob Tarian Gamelan Topeng oleh pelajar-pelajar sekolah rendah (40 orang) dan menengah (30 orang).
"Persembahan 10 minit itu menggabungkan tarian dan muzik gamelan dari Tunas Cilik Gamelan SUKTRA yang merupakan salah satu daripada program pengembangan budaya oleh unit Kebudayaan, Tourism Terengganu.
“Antara sekolah yang terlibat dalam program ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam, SK Tok Jembal, SK Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dan SMK Kompleks Gong Badak termasuk anak-anak Kakitangan SUKTRA,” ujarnya.
Jelas beliau, mereka merupakan generasi pelapis dan pewaris seni gamelan yang menjadi bukti semakin bertambahnya pembabitan generasi muda untuk sama-sama berganding bahu untuk memelihara khazanah muzik gamelan ini.
Selain itu katanya, terdapat juga pengisian program seperti permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan dan program penggalakan penyu Terengganu.
"Orang ramai turut disajikan dengan demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu, dikir hulu dan banyak lagi dalam memperkenalkan seni budaya yang terdapat di negeri ini," jelasnya.
21 Jan 24
600
11,640 Botol Plastik Dikutip Di Pantai Tanjung
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sebanyak 11,640 botol plastik berjaya dikutip hasil daripada aktiviti 'plogging' di Pantai Tanjung anjuran Geng Plastik Ija (GPI) yang diadakan pada Jumaat lalu.
Ketua GPI Kuala Terengganu, Zalina Zakaria menjelaskan, program pembersihan pantai di Tanjung itu turut dapat mengutip 900 kilogram (kg) yang terdiri 241 kg sisa sampah dan sebanyak 658.8 kg botol plastik telah berjaya dikumpulkan menggunakan 194 beg plastik.
"Program kali ini, GPI Kuala Terengganu bekerjasama dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP/FRU) Wakaf Tapai di Pantai Tanjung (belakang Menara MBKT).
"Matlamat utama program ini adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai berkenaan yang dipenuhi dengan sisa sampah bawaan air selepas monsun," terangnya lagi.
Turut hadir ialah Ahli Majlis MBKT, Mohamad Umbaidah Tengah.
Bagi Pegawai Penjaga Terup 6A, Unit 6 FRU Terengganu, Asp. Mohd Hafis Zamri, usaha 'turun padang' bersama 57 orang anggotanya menyertai gotong royong tersebut adalah untuk memastikan pantai-pantai di sekitar Kuala Terengganu dalam keadaan bersih.
"Hasil inisiatif pelbagai pihak terhadap kebersihan pantai, para pengunjung di sekitar Kuala Terengganu ini dapat menikmati keindahan pantai-pantai di negeri ini.
Beliau turut berharap supaya semua pengunjung, pelancong serta penduduk di sekitar menjaga kebersihan pantai bagi memastikan kelestarian khazanah alam itu berterusan.
20 Jan 24
322
Program Tahunan Tilawah Al-Quran Jadi Tumpuan Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari – Acara tahunan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat negeri Terengganu 1445/2024M sentiasa menjadi tumpuan rakyat di negeri ini setiap kali dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata acara tersebut merupakan satu usaha berterusan oleh pihak kerajaan ke arah mengangkat martabat kitab Al-Quran yang suci.
Katanya, keupayaan menjayakan program itu memberi impak positif bahawa syiar Islam di Malaysia sentiasa berkembang secara progresif.
“Al-Quran merupakan perkara yang terpenting buat manusia daripada kecil kita dipaaksa oleh ibu bapa semata-mata untuk melihat anak-anaknya pandai mengaji Al-Quran.
“Walaupun hari ini kita telah berjaya membaca Al-quran, akan tetapi wajib juga ke atas kita mempelajari ilmu-ilmunya agar bacaan kita menjadi betul dan memahami isi kandungannya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan menyampaikan hadiah pada Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu bagi tahun 1445H/2024M di bertempat di Masjid Tok Ku Tuan Besar di sini kelmarin.
Tambah Ahmad Shah, sejak kedatangan Islam di zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke hari ini, sejarah merakamkan bahawa penghayatan dan pemahaman ajaran agama telah menjadi paksi kepada umat Islam di Malaysia.
Jelasnya sehingga kini, Malaysia telah dikenali sebagai negara Islam contoh yang menjadi sumber rujukan kepada negara-negara Islam yang lain.
“Pengiktirafan yang diberi bukan sahaja dilihat dari sudut pembangunan negara, bahkan juga dari sudut penghayatan Islam secara teras dan dasar di tengah-tengah masyarakat majmuk yang berbilang kaum.
“Umat Islam kini perlu terus menyemarakkan roh Al-Quran dalam kehidupan seharian sebagai wahyu dan mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad S.A.W, Al-Quran adalah panduan hidup yang lengkap, padat dan tepat,” ujarnya.
Beliau berkata, sebagai umat Islam kita wajib meyakini bahawa Al-Quran adalah perlembagaan dan inti sari makna kehidupan di dunia dan akhirat.
Di samping katanya, Al-Quran juga merupakan jawapan kepada pelbagai masalah dan persoalan duniawi.
20 Jan 24
485
62 Acara Disenarai Dalam Kalendar Pelancongan 2024
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sebanyak 62 acara pelancongan dan kebudayaan yang meliputi seluruh segmentasi pelancongan disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata penyenaraian COE 2024 itu telah mengambil kira semua elemen, antaranya kekuatan dan impak penganjuran acara tersebut dalam usaha menarik minat pengunjung malah sumbangan terhadap sosio ekonomi rakyat negeri.
"Ia turut mengandungi 12 acara ikonik dan setiap acara yang dibuat akan menampilkan keunikannya tersendiri.
"Budaya dan warisan menjadi antara lima kluster utama pelancongan yang diberi fokus oleh Terengganu sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kalendar Pelancongan dan Kebudayaan Negeri (COE 2024) di KTCC Mall, di sini hari ini.
Antara acara ikonik lain yang akan berlangsung di Terengganu adalah Karnival Beautiful Terengganu (23-24 Februari), Pelita Raya Terengganu (19-23 Mac), Jaguh Ngail Terengganu (April), Festival Candat Sotong (18-19 Mei), Kenyir Geopark Eco-Fest (29 Mei- 1 Jun) Terengganu International Bike Week (28-30 Jun), Karnival Pantai Terengganu (Ogos), Kejohanan Tour Gateh D'Tranung (September), Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan (24-27 Oktober), 4x4 Rainforest Challenge.
Tambah Razali, Senandung Terengganu, Gema Gemalai Gamelan Melayu membuka tirai acara COE 2024 dan turut disenaraikan sebagai acara utama dalam 12 acara ikonik yang akan diadakan sepanjang tahun itu.
Berlangsung selama dua hari, program yang diadakan di KTCC Mall bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2024 itu mendapat kerjasarna daripada pelbagai pihak, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Perikanan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Lembaga Muzium Negeri, dan pelbagai agensi lain.
Pelbagai pengisian program seperti permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan, program penggalakan penyu Terengganu, demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu, dikir hulu dan banyak lagi disajikan kepada pengunjung.
20 Jan 24
535
Jangan Cuba Jadikan Pulau di Terengganu Sarang Persundalan
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Kerajaan memandang serius dan tidak akan membiarkan sebarang aktiviti tidak bermoral dilakukan sindiket persundalan di pulau peranginan di negeri ini sebagaimana didedahkan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Kerajaan Negeri sangat menghargai kejayaan pasukan polis Terengganu mengesan dan mencegah aktiviti maksiat itu yang disyaki baru mula bertapak.
Ujarnya, operasi dilakukan sindiket berkenaan dikesan berjalan secara atas talian menggunakan beberapa hotel bajet.
"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan panggil semua pengusaha hotel untuk berbincang dan memberikan amaran bagi memastikan segala perkhidmatan yang disediakan hanyalah yang halal di sisi agama sekali gus mematahkan sebarang cubaan untuk membuka pintu ke aktiviti haram.
"Saya menyeru kepada mana-mana pemegang taruh (pelancongan) sama ada hotel ataupun 'travel agency' untuk merancakkan kempen melancong ke negeri Terengganu dengan kita menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong sama ada domestik ataupun asing.
"Justeru jangan cuba hendak mengambil kesempatan dengan kehadiran ramai (dalam) kerancakan ekonomi pelancongan negeri Terengganu ada pihak cuba membawa perkara maksiat ke negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan sesi kunjungan hormat Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin, Pengarah UPDI, Mohd Harun Esa dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Pengurusan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Jusoh.
Mengenai lawatan diadakan itu, Razali berkata pihaknya telah mendapat penjelasan terperinci daripada PDRM dan JHEAT.
Katanya, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi operasi pencegahan bagi memastikan aktiviti tidak bermoral itu tidak bertapak di negeri ini.
Sementara itu, Rozi berkata, JHEAT akan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk memastikan Terengganu bebas daripada apa-apa kesalahan jenayah syariah yang bercanggah dengan moral dan tatasusila.
"Perancangan kita untuk diadakan hebahan kepada semua bagi memastikan mereka patuh kepada garis panduan dan juga apa-apa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang telah dikuatkuasakan agar negeri ini bebas daripada maksiat dan perkara yang tidak bermoral," tegasnya.
Dalam pada itu, Mazli berkata PDRM akan terus melakukan operasi berterusan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman negeri supaya mendatangkan kebaikan kepada Kerajaan Negeri sekali gus untuk negara.
Untuk rekod, sebelum ini pihak polis telah menumpaskan sindiket persundalan dengan menahan tujuh wanita warga asing terdiri daripada empat warganegara Thailand, Indonesia (2) dan Laos (1).
Kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember tahun lalu dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat seks.
18 Jan 24
2152
DUN Bandar Bakal Tubuh JPKK Tambahan di Kawasan Padat
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tambahan di kawasan yang padat penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, DUN Bandar mempunyai bilangan JPKK paling sedikit berbanding dengan DUN lain dengan seramai 17 orang merupakan lantikan baharu daripada 200 Ahli Jawatankuasa.
Katanya, pihaknya telah berbincang di peringkat pusat khidmat mengenai cadangan melahirkan JPKK baharu di beberapa kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai.
“Ia bagi meringankan beban JPKK dalam mengawasi penduduk.
“Kita telah berada di penggal kedua di bawah kerajaan negeri dan sudah pasti ini tanda rakyat ingin melihat kita memberikan khidmat yang seterusnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli JPKK DUN Bandar bertempat di Tingkat 7, Hotel Paya Bunga kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Tambah Ahmad Shah, tanggungjawab itu sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras semua pihak.
Menurutnya, JPKK bukan hanya menjadi mata dan telinga kerajaan sahaja bahkan melibatkan semua anggota bagi memastikan setiap permasalahan dan keluhan masyarakat ditangani dengan baik.
“Ia bertujuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik.
“Semoga pelantikan dan penyerahan watikah ini dapat menyuntik semangat baru buat JPKK-JPKK di dalam Dun Bandar,” ujarnya.
18 Jan 24
256
Pesta Maing Ujang Tarikan Baharu Ke Setiu
SETIU, 18 Januari - Setiu kini mempunyai satu lagi daya tarikan baharu iaitu menerusi penganjuran Pesta Maing Ujang Sesohor Setiu yang berlangsung 9 sehingga 11 Febuari depan.
Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Raja Faisal Raja Haron berkata, pesta yang julung kali diadakan itu bakal menjadi tarikan pengunjung ke daerah ini.
"Kita akan mengadakan 'Setiu Monsoon Fest' pada 9 & 10 Febuari di Setiu Wetland dengan pelbagai aktiviti menarik seperti 'Monsoon River Cruise', Monsoon Survival Camp', 'Tourism Village Fun Race in The Rain', pameran kraftangan dan pesta jualan makanan tradisional.
"Di Setiu Adventure Park Ulu Kasar pula kita perkenalkan program 'Camping in The Rain' pada 10 dan 11 Febuari. Peserta akan bertanding khemah terbaik selain menikmati 'stargazing' dan busking campfire' pada waktu malam.
"Peserta juga berpeluang menjalankan aktiviti 'flying fox', river tubing, 'river trekking', 'cup cross kampung style' dan kayak", tambahnya ketika dihubungi wartawan pagi tadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata aktiviti tersebut sebenarnya menambah daya tarikan kepada kawasan pantai dan sungai yang menjadi nadi kekuatan Setiu dalam menarik kedatangan pengunjung dari seluruh negara.
Katanya, penganjuran aktiviti ini berpontensi dijadikan sebagai program tahunan sekiranya sambutan menggalakkan dan diharap dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang menjalankan perniagaan.
18 Jan 24
338
100 Asnaf Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat TM
KUALA TERENGGANU, 18 Januari- Seramai 100 asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini menerima sumbangan zakat daripada Telekom Malaysia (TM) Berhad Cawangan Terengganu berjumlah RM15,000.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah bersama Pengurus Besar TM Berhad Cawangan Terengganu, Maliki Harun di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, hari ini.
Wan Sukari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai berserta barangan keperluan bernilai RM 150.
“Terima kasih kepada pihak TM kerana memilih DUN Wakaf Mempelam sebagai sebagai salah satu DUN untuk menerima sumbangan zakat daripada pihak syarikat.
“Kita harapkan dengan penyampaian agihan ini akan memberi sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya penerima zakat yang merupakan asnaf dalam DUN ini,” ujarnya selepas menyempurnakan majlis agihan tersebut.
Sementara itu, Maliki berkata, pihaknya akan mengadakan program agihan zakat dari semasa ke semasa berdasarkan pendapatan diperoleh syarikat.
“Ini adalah sebahagian zakat yang kita sumbangankan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan sebahagiannya kita dapat balik untuk buat program agihan sebegini.
“Pada hari ini kita bekerjasama dengan DUN Wakaf Mempelam, dan kalau ada rezeki lebih kita akan perluaskan lagi ke kawasan lain,” ujarnya.
18 Jan 24
262
Johan Tilawah Al-Quran Marang Tidak Lupa Jasa Nenek
Oleh : Abay Cik / Mohd Fauzi Mat Adam
MARANG, 18 Januari - Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Marang, Wan Amirul Shamnie Wan Rosli tidak lupa jasa nenek dan ibu bapa yang gigih membimbingnya mendalami al-Quran sejak kecil sehingga timbul minat yang mendalam bagi menguasai bacaan kitab suci itu.
Amirul yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Agama di Masjid Khalifah Kuala Terengganu berkata, usaha gigih sejak kecil itu telah membuahkan hasil apabila muncul johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat daerah sekali gus melayakkan diri ke peringkat negeri.
"Alhamudlillah, kemenangan ini amat bermakna dan ini adalah usaha gigih sejak kecil lagi apabila didedahkan oleh nenak serta kedua-dua orang tua saya sehingga timbul minat yang begitu mendalam.
"Di peringkat seterusnya nanti, saya ingin melakukan yang terbaik untuk terus mengharumkan nama Daerah Marang," ujarnya ketika ditemui pemberita, selepas dinobatkan sebagai juara dalam majlis tilawah al-Quran tersebut, di Masjid Kampung Sentul Patah, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.
Dengan kemenangan itu, Amirul telah berjaya membawa pulang piala pusingan beserta piala iringan, serta wang tunai RM2,000 bersama sijil penyertaan.
Sementara itu bagi kategori Qariah pula, Nur Afifah Zaki dari Kampung Rawai telah menewaskan peserta-peserta lain.
Beliau yang merupakan guru Sekolah Rendah di Lembah Klang juga bertekad mahu melakukan kejutan di peringkat negeri pada tahun ini dan tidak mahu hanya sekadar menjadi johan daerah.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata sudah menjadi tradisi setiap tahun bagi kerajaan negeri memilih Qari dan Qariah terbaik.
"Bukan sahaja yang menang tetapi boleh menguasai al-Quran secara keseluruhannya selain itu program ini juga bertujuan untuk menanam kecintaan kepada masyarakat dengan al-Quran daripada kalangan anak kecil sehingga ke peringkat yang tua demi melahirkan masyarakat yang terbaik," ujarnya,
18 Jan 24
506