Artikel "Utama" Terkini
Abdul Hadi Semakin Sihat, Kembali Teruskan Rutin Kuliah Dhuha Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini semakin baik dan dijadualkan akan kembali meneruskan rutin menyampaikan kuliah dhuha pada setiap Jumaat di Masjid Rusila, Marang, esok.
Anaknya, Dr Muhammad Khalil memberitahu, Ahli Parlimen Marang berusia 76 tahun itu baru-baru ini berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan jantung.
"Alhamdulillah, ayahanda tok guru semakin sihat, dan yang penting adalah semangatnya terus kental membawa agenda memartabatkan agama dan politik Islam dalam negara kita.
"Beliau baru sahaja balik dari Kuala Lumpur selepas seminggu yang lalu berada di IJN.
"InsyaAllah, beliau akan meneruskan rutin biasa selepas ini, dan jika diizinkanNya esok ayahanda akan menyampaikan kuliah seperti biasa di Masjid Rusila, " ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan Abdul Hadi pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini.
25 Jan 24
171
10 PPS Dibuka di Setiu
SETIU, 25 Januari - 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Setiu setakat jam 12.00 tengah hari tadi, berikutan berlakunya banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini.
Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu semua PPS di Setiu kini menempatkan 1,048 mangsa daripada 310 keluarga.
"Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap iaitu PPS Asrama SMK Langkap, PPS Dewan Serbaguna Kampung Langkap dan PPS SK Seri Kasar.
"Di DUN Permaisuri pula, tujuh PPS dibuka iaitu PPS Balairaya Kampung Seladang, PPS Balairaya Kampung Padang, PPS Balairaya Kampung Seri Bayas, PPS Balairaya Kampung Besut, PPS Balairaya Kampung Che Long, PPS Perpustakaan Awam Bandar Permaisuri dan PPS Kampung Buluh Hilir.
Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my sebuah sungai di Setiu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap berada di paras amaran.
25 Jan 24
132
Banjir : Enam Sekolah di Terengganu Ditutup
Foto: gambar hiasan
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Gelombang banjir kali keempat di Terengganu menyaksikan enam sekolah di tiga daerah terpaksa ditutup dan diberi cuti bencana hari ini, setelah dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, ia melibatkan penutupan tiga sekolah di Dungun, dua di Hulu Terengganu dan satu di Setiu.
"Tiga sekolah ditutup di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kuala Jengal dan SK Kampung Shukor.
"Selain itu, di Hulu Terengganu melibatkan sekolah seperti SK Bukit Tadok dan SK Kua manakala di Setiu, sekolah yang ditutup pula ialah SK Kampung Buloh," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Sementara itu, Jelani berkata terdapat tiga sekolah di Setiu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penempatan mangsa banjir dalam gelombang keempat kali ini.
"Tiga sekolah yang dijadikan PPS di daerah Setiu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap, SK Seri Kasar dan SK Kampung Bukit.
"Kesemua tiga sekolah itu tetap beroperasi seperti biasa hari it ini kerana mangsa banjir ditempatkan di bangunan yang berlainan dan tidak mengganggu sesi pembelajaran di sekolah," ujarnya.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,559 mangsa daripada 471 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.
Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 32 PPS telah dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
25 Jan 24
859
Indahnya Hidup Bersyariat, Jadi 'Trademark' Dakwah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kerajaan negeri mengangkat slogan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ sebagai ‘trademark’ agenda dakwah sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya simbolik kepada salah satu Teras Strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan dan pelaksanaan Syariah Terengganu.
“Pemasyhuran tema rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat' akan terus disemarakkan dan akan diperluaskan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat.
“Antaranya melalui Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS), Pahlawan Subuh, Kempen Solat Berjemaah, Kempen Tutup Aurat Dengan Sempurna, Penutupan Premis Ketika Waktu Solat Jumaat, Pindaan-pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis tersebut, turut dimasyhurkan logo rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat', hebahan pemakaian Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022 yang mula berkuatkuasa 1 Januari lalu, serta pelancaran Bulan Penghayatan Solat (BPIS) dan pelancaran Terengganu Hijab Day.
Katanya, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ini.
25 Jan 24
567
Guru Sekolah, Guru Al-Quran Johan Tilawah Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 25 Januari - Guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Muhammad Azizi Kamaruddin serta Guru Al-Quran, Tuan Aminah Tuan Endot masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu 1445H/2024M, di sini semalam.
Muhammad Azizi, 26, dan Tuan Aminah, 62, masing-masing akan mewakili daerah Hulu Terengganu ke peringkat negeri sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala iringan, plak cenderahati dan sijil penyertaan.
Kedua-dua johan itu akan mewakili Daerah Hulu Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus Terengganu pada 27 hingga 29 Februari depan.
Azizi menyifatkan kemenangannya tidak dijangka apabila menerima saingan sengit daripada tiga peserta lain.
Beliau yang sebelum ini beberapa kali bertanding di peringkat yang sama berjaya mendapat 82.5 markah dan bertekad untuk memantapkan bacaannya sebelum mewakili daerah ke peringkat negeri pada Februari depan.
“Persiapan untuk ke peringkat negeri, saya berlatih dan terus berlatih seperti biasa, menghadap guru talaqi, rutin sebelum dan selepas tilawah adalah sama sahaja, itulah persediaannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Solat Masjid Pekan Ajil.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat.
Sementara itu,Tuan Aminah juga tidak menyangka berjaya menjadi johan bagi kategori qariah kerana berhadapan persaingan hebat daripada peserta lain.
Beliau yang berasal Kampung Getang Hilir, Telemong turut menyifatkan setiap peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing dengan perbezaan markah yang sedikit.
“Alhamdulillah, tak sangka sebab ramai yang hebat-hebat sebelum ini, rasa macam dia menang ni sebab macam hebat sangat, jadi perasaan tu memang tak sangka langsung," ujarnya.
Naib johan qari dan qariah pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, mock cheque, trofi dan sijil manakala pemenang tempat ketiga qari dan qariah masing-masing beroleh RM800, mock cheque, trofi dan sijil.
25 Jan 24
986
Mangsa Banjir Terengganu Meningkat Kepada 1,313 Mangsa
KUALA TERENGGANU, 25 Disember – Jumlah mangsa di negeri ini terus meningkat kepada 1313 orang daripada 375 keluarga yang terpaksa berpindah ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata lima daerah tersebut melibatkan Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
“Setakat jam 12.00 malam, daerah Besut mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 479 orang daripada 139 keluarga yang ditempatkan di enam PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Hulu Terengganu merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir yang merekodkan jumlah mangsa seramai 262 orang dari 80 keluarga yang dibawa ke lapan PPS.
“Dungun dan Kemaman merekodkan seramai 204 dan 24 mangsa daripada 54 dan enam keluarga yang berlindung di lima PPS dalam daerah tersebut.
“Daerah Setiu pula merekodkan seramai 344 mangsa daripada 96 keluarga yang ditempatkan di lima PPS,” jelasnya.
Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
24 Jan 24
306
Peruntuk RM70 Ribu Bakar Semangat Pelajar STPM
KEMAMAN, 24 Januari – Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM70,000 kepada 140 pelajar yang akan menduduki Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) Yayasan Terengganu Tahun 2023 bagi Daerah Dungun dan Kemaman.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Ahmad Shah Muhamed berkata, setiap pelajar akan menerima insentif pendidikan sebanyak RM500 bagi membakar semangat dengan matlamat momentum kecemerlangan dapat diteruskan.
Katanya, kesemua pelajar tersebut melibatkan 10 buah sekolah menengah dalam dua daerah berkenaan.
“Setinggi-tinggi perhargaan diucapkan khususnya Yayasan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta seluruh komuniti pendidik di atas kejayaan Negeri Terengganu mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 peratus.
“Pencapaian tersebut telah mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.82 peratus pada keputusan STPM Tahun 2022, sekaligus dinobatkan STPM Terbaik Kebangsaan buat empat tahun berturut-turut bermula dari Tahun 2019,” jelasnya.
Beliau berkata demikian Ketika Majlis Penyampaian Bantuan STPM Yayasan Terengganu 2023 bertempat di Dewan Haayati Ilmi SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman di sini hari ini.
Tambah Ahmad Shah, kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya berkenaan kesejahteraan serta pembangunan pendidikan rakyat negeri ini.
“Bermula dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tertiari yang mana telah banyak bukti kejayaan cemerlang dihasilkan saban tahun.
“Semoga Yayasan Terengganu terus mengekalkan budaya organisasi berprestasi tinggi usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti demi kemampanan serta kelestarian pembangunan negeri memacu hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
Beliau berharap, bantuan bernilai RM500 yang diperolehi dapat digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar bagi membantu meningkatkan mutu pembelajaran.
"Oleh itu, kepada semua pelajar yang berada di hadapan saya ini, teruskanlah menuntut ilmu sehingga ke tahap yang termampu tanpa mengenal putus asa," jelasnya.
24 Jan 24
447
Mangsa Banjir Terengganu Meningkat, 8 PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Mangsa banjir di negeri ini meningkat sebanyak 95 mangsa daripada 30 keluarga yang ditempatkan di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan menyaksikan daerah Dungun paling teruk terjejas.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari tiga daerah melibatkan Dungun, Setiu, dan Kemaman.
“Setakat jam 2 petang, daerah Dungun mencatatkan mangsa seramai 53 orang daripada 13 keluarga daripada tiga PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya, Setiu dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 35 dan tujuh orang dari 15 dan dua keluarga yang dibawa di empat PPS.
Ketika ini, hujan mula behenti di beberapa tempat di Terengganu.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.
24 Jan 24
167
54 Mangsa Berlindung di Lima PPS Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Januari- Seramai 54 mangsa daripada 15 buah keluarga di dua daerah ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 pagi ini berikutan kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, tiga PPS daerah Dungun ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang yang menempatkan 19 mangsa daripada lima keluarga.
“Manakala, Balairaya Sura Lapangan Terbang dan Balairaya Jalan Teratai masing-masing menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.
“Di Marang pula, setakat ini dua PPS yang masih beroperasi iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai yang menempatkan seramai 13 mangsa daripada empat keluarga dan SK Padang Mengkuang (enam mangsa, dua keluarga),” ujarnya.
Katanya, keadaan cuaca ketika ini hujan di beberapa tempat.
24 Jan 24
99
EPIC Berhad Suntik Semangat TSG
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menerima suntikan sebanyak RM500 ribu daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) sebagai sebahagian tajaan bagi musim 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali memaklumkan, tajaan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pasukan bertaraf benua tersebut mengekalkan gelaran nombor satu Asia di kedudukan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“EPIC Berhad berbesar hati dan teruja menjadi sebahagian daripada rekod prestasi cemerlang TSG dalam menakluki pelbagai kejohanan berbasikal di seluruh dunia.
"Kami berharap dapat memanfaatkan peluang promosi sektor pelancongan sukan untuk menarik lebih ramai pelabur berpotensi demi pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan, hari ini.
Ridzuan mewakili syarikat hadir ke majlis memperkenalkan barisan pelumba dan penaja baharu selain meraikan kejayaan TSG merangkul gelaran juara Asia serta pasukan benua terbaik dunia 2023 yang diadakan di Permai Hotel, di sini baru-baru ini.
Tambahnya, EPIC Berhad tidak asing dalam menyokong dan merancakkan pembangunan sukan di Negeri Terengganu.
Syarikat itu sebelum ini turut menganjurkan kejohanan berbasikal “International Golden Monsoon Ride 2023” yang berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,500 peminat sukan basikal termasuklah 30 peserta antarabangsa dari China, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam usaha membangunkan industri sukan di Terengganu.
"Selain itu, EPIC Berhad menjadi penaja Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Hockey Team (THT) dan Persatuan Ragbi Daerah Kemaman (Kemaman Rugby) serta pelbagai lagi program sukan tempatan," katanya.
23 Jan 24
218