Artikel "Utama" Terkini
Exco, 500 Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir
DUNGUN, 28 Januari – Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat bersama lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor, Dungun di sini.
Hanafiah Mat yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).
Katanya, operasi pada jam 8 pagi itu bermula dengan membersihkan masjid dua tingkat di kampung berkenaan.
"Keadaan di masjid agak teruk dengan beberapa peralatan dan karpet masjid yang tidak dapat digunakan lagi sehingga terpaksa dibuang.
“Seterusnya, operasi pembersihan dijalankan ke balai raya, sekolah serta lima buah rumah yang terjejas banjir sehingga selesai,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Ops Pasca Banjir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bertempat di rumah mangsa banjir hari ini.
Tambah Hanafiah, sebahagian penduduk kampung memberitahu bahawa gelombang banjir keempat ini lebih besar berbanding tahun 2014.
Tambahnya lagi katanya, sejak 60 tahun tidak berlaku banjir seteruk ini di Kampung Shukor dengan lumpur selebar dua kaki bahkan di masjid yang dibersihkan tadi lumpur setinggi dua kaki lebih atas karpet.
Untuk rekod, Dungun merupakan daerah yang masih terjejas banjir dengan merekodkan bilangan mangsa seramai 955 orang daripada 281 keluarga yang ditempatkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
28 Jan 24
241
Pusat Tafaqquh Fi Din Dijangka Dibuka 1 Februari
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Perkampungan Ilmu Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man di sini dijangka mula beroperasi untuk fasa pertama mulai 1 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata perkampungan tersebut meliputi tiga fasa.
Katanya, fasa pertama sudah siap dan kerajaan negeri menunggu kelulusan masuk daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
"Fasa pertama boleh menampung kapasiti antara 60 hingga 80 pelajar dan buat sementara ini pelajar kelas tafaqquh berkenaan sudah sampai sesi pengajian kedua.
"Kita (kerajaan) telah hantar pelajar sesi pengajian pertama ke Mesir baru-baru ini untuk mengikuti pengajian di sana dalam pelbagai bidang pengajian Islam dan sesi kedua sedang beroperasi di tempat sementara Masjid Seberang Takir Kuala Nerus," jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Imaratul Ilmi Ke 4 Kolej al Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini hari ini.
Kerajaan Negeri katanya akan meneruskan pembangunan fasa kedua dan fasa ketiga pusat pengajian tersebut.
Walau bagaimanapun jelasnya, kerajaan berhasrat untuk menggabungkan pembangunan fasa dua dan fasa tiga secara serentak untuk tujuan menjimatkan kos pembinaan.
Menurutnya, fasa dua melibatkan pentadbiran, galeri ulama dan asrama banat (wanita), sementara fasa tiga melibatkan warga emas berkonsepkan pendidikan sepanjang hayat melibatkan kapasiti 100 pelajar.
"Secara automatik Masjid Kristal (di TTI) boleh digunakan sebagai tempat untuk solat berjemaah dan solat Jumaat dan ini akan menjadi pusat daurah untuk pengajian Kitab Turath (kitab kuning) di masa akan datang," jelasnya.
Kerajaan juga katanya berhasrat mewujudkan cawangan kelas tafaqquh fiddin di setiap daerah sebagaimana dinyatakan dalam manifesto pilihan raya negeri baru-baru ini.
"Kerajaan mungkin memilih daerah Kuala Nerus atau Marang untuk 'pilot project' kemudian setelah melalui peringkat tertentu mereka menyambung pengajian di Perkampungan Ilmu Tok Syeikh Duyong pula dan kemudian seterusnya mereka dihantar belajar di Mesir," ujarnya lagi.
Tambahnya, pusat pengajian tersebut berkonsepkan eko-tuorism bersesuaian dengan TTI antara destinasi menarik negeri Terenagganu yang perlu dilawati pengunjung dari luar dan dalam negeri.
Pusat tersebut katanya akan menjadi pusat aktiviti Islam dan perhimpunan ulama bersama umat Islam di negeri tersebut di masa akan datang bukan sekadar destinasi pelancongan semata-mata.
28 Jan 24
1338
Warga Asing 'Perguna' Gadis Tempatan Demi Halalkan Bisnes
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Wanita di negeri ini diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis yang diungkapkan warga asing kerana ada niat terselindung di sebalik modus operasi mereka itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara taktik licik di sebalik ikatan cinta itu adalah bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di sini sekali gus memberi lesen untuk golongan terbabit menjalankan aktiviti perniagaan.
Ujarnya, pihaknya mengambil serius dan memberi perhatian terhadap aduan serta rungutan orang ramai yang melihat perniagaan warga asing mula berkembang di sekitar Terengganu.
"Apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan kebanyakan mereka berniaga dengan menggunakan lesen atas nama isteri.
"Saya mengharapakan agar wanita-wanita tempatan berfikir panjang dan mengambil kira banyak faktor jangan sekadar terpikat dengan rupa paras yang hensem supaya tidak menyesal pada masa akan datang.
"Kita tidak menolak ketentuan jodoh itu di tangan Allah, tetapi perlu berfikir sebelum mengambil keputusan yang kelak akan memberi kesan yang tidak baik lantaran warga-warga asing ini sengaja mengambil peluang untuk berada di negeri ini dengan sah dan menjadikan kaedah perkahwinan sebagai alat.
"Bagi menghalalkan keberadaan mereka di sini dan tanpa ada niat untuk bersungguh-sungguh mendirikan rumahtangga yang akan mengakibatkan berlaku pengabaian, akhirnya menyebabkan rumah tangga porak peranda, tanpa ada kebahagiaan dan kesejahteraan itu yang perlu kita bimbangi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bersama PBT, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Azhar Abdul Hamid dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Mengulas lebih lanjut kata Wan Sukairi, masalah yang timbul ini mengakibatkan rakyat merasa terancam dan rimas dengan kebanjiran mereka.
"Ini juga menyebabkan timbulnya panggilan 'mini Dhaka', juga akan menjadi punca ekonomi akan mula dimonopoli warga asing sekali gus cukai dan zakat tidak dibayar," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, pertemuan yang diadakan pada hari ini adalah untuk melakukan penyelarasan segala gerak kerja di lapangan dan mewujudkan kolaborasi diantara semua PBT bersama-sama dengan pihak imigresen.
"Insya-Allah melalui kolaborasi ini apa-apa misi atau operasi yang akan dibuat akan disertai bersama antara JIM dan PBT jadi saya harap ia akan melancarkan lagi gerak kerja di lapangan bagi memastikan Terengganu akan sentiasa berada di dalam keadaan yang aman dan damai.
"Bagi memastikan ewujudan warga asing tidak akan mengganggu-gugat keselamatan rakyat dan menjamin keselesaan anggota masyarakat untuk meneruskan kehidupan," ujarnya.
28 Jan 24
499
KQT Diiktiraf IPT Berdaya Saing 2022
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiiktiraf Kolej al-Quran Terengganu sebagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berdaya saing di bawah penilaian Malaysian Quality Evaluation System (MyQuest) tahun 2022 sekali gus diklisifikasikan dalam kumpulan IPT cemerlang dan memenuhi kriteria penilaian di bawah penarafan IPT Malaysia.
Serentak itu Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat mengucapkan tahniah kepada KQT di atas penganugerahan tersebut.
“Tahniah saya ucapkan kepada KQT kerana dinobatkan sebagai IPT yang Berdaya Saing di bawah penilaian Malaysian Quality Evaluation System atau MyQuest bagi tahun 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Ia diklasifikasikan dalam kumpulan IPT yang cemerlang dan memenuhi kriteria penilaian di bawah penarafan IPT Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Imaratul Ilmi Ke 4 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ab Rasid Jusoh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed, Senator Dato’ Husain Awang dan Pengarah MBI Modal Sdn Bhd, Mazli Zakuan Mohd Nor.
Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, hampir 80 peratus graduan KQT berjaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). KQT kini juga menawarkan program diploma di dalam bidang Tafsir al-Quran, Pengajian Hadis, Akidah Islamiah, Syariah Islamiah, Bahasa Arab dan Dakwah selain Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz dan Bahasa al-Quran.
“Program-program tersebut juga bakal menjadi platform dalam melahirkan bakal-bakal pemimpin yang menjadikan al-Quran sebagai tonggak utama,” ujarnya.
KQT juga katanya menawarkan pengajian Diploma Eksekutif Pengajian Tafsir Al-Quran, menyasarkan golongan orang awam bekerja dan berhasrat melanjutkan pengajian di dalam bidang tafsir al-Quran.
Menurut beliau, KQT sedang giat membangunkan Program Ijazah Sarjana Muda dengan usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menawarkan juga sedang giat dibangunkan oleh KQT.
"KQT juga bergerak maju apabila mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar waktu belajar termasuk Pertandingan Invention, Innovation & Design on e-Learning (IIDEL) di UniSZA Kuala Terengganu, 23 hingga 24 Ogos 2023 lalu, Kejohanan Sukan Mahasiswa Zon Timur 2023 di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kota Bharu, Kelantan dan International Mawahib Competition 2023 sempena World Arabic Language Day yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Selangor baru-baru ini," jelasnya.
Seramai 422 graduan Pengajian Ulum Al- Quran dan Dirasat Quraniyyah, program Kulliyyah Al-Furqan, 81 graduan program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat serta Diploma Tahfiz dan Bahasa Al-Quran, serta tiga orang graduan Program Seni Kaligrafi Terengganu menerima ijazah dan sijil masing-masing di Majlis Imaratul Ilmi Ke-4 itu.
28 Jan 24
486
ATM Bantu Mangsa Kanser Terperangkap Banjir di Dungun
DUNGUN, 27 Januari - First Responder Batalion Ke-18 RAMD (Para) menyelamatkan mangsa warga emas pengidap kanser prostat yang terperangkap banjir di Dungun.
Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, ia akibat daripada laluan utama Kampung Lintang telah dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan termasuk ambulan.
Katanya, operasi menyelamat tersebut melibatkan dua pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat yang telah diaturgerak bagi melaksanakan Operasi MURNI di sektor Dungun akibat banjir gelombang keempat ini.
“Dalam operasi tersebut, pihaknya menggunakan aset kenderaan tujuh tan bagi membawa keluar warga emas tersebut ke jalan utama sebelum dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
“Warga emas tersebut yang mengalami masalah kesihatan disarankan untuk mendapatkan rawatan kerana tiada selera makan sejak sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambah Mohd Zaki, First Responder 18 RAMD (Para) sedang giat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Dungun siang dan malam sejak gelombang keempat melanda pada Rabu lalu.
Untuk rekod, Dungun merupakan daerah yang masih terjejas banjir dengan merekodkan bilangan mangsa seramai 1,324 orang daripada 391 keluarga yang ditempatkan ke-12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
27 Jan 24
164
Politeknik Dungun Cipta Kereta Elektrik
DUNGUN, 28 Januari 2024 – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya mereka cipta sebuah kenderaan eletrik (EV) berkonsepkan ‘green mobility’ bagi kegunaan dalaman.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, projek berkenaan adalah hasil rekaan empat orang pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di bawah seliaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Hasanul Isyraf Mat Junoh.
"Ia telah berjaya menggondol Anugerah Industrial Revolution (IR4.0) dalam pertandingan Student’s Project Competition on Innovation & Invention
Design (SPEED)," katanya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada UPDI kelmarin.
Menurutnya lagi, kenderaan itu menggunakan bateri 48V dan digerakkan menggunakan 1000W 'brushless direct current' (BLDC) motor.
"Ia mampu mengecas semula bateri dan boleh mencapai kelajuan sehingga 30km/j.
"Kenderaan yang direkabentuk 'buggy' ini telah menjadi kegunaan dalam kawasan
PSMZA dan menjadi politeknik pertama yang berjaya merekacipta
kenderaan eletrik," ujarnya.
Katanya lagi, seiring dengan hasrat kerajaan bagi menggalakkan penggunaan EV dalam pelbagai sektor, PSMZA juga mengambil inisiatif memperkenal dan mempromosi Mini EV-Car di Wacana Pengukuhan Organisasi Politeknik dan Kolej Komuniti(POLYCC) yang
telah diadakan di Politeknik Besut Terengganu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Mohd Zahari Ismail yang sempat memandu uji Mini EV-Car tersebut turut melahirkan rasa bangga di atas kejayaan tersebut.
"Ini membuktikan pelajar lulusan Technical and Vocational Education and Training (TVET) mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan sangat baik," pujinya.
Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman, turut berpuas hati dengan
pencapaian tersebut dan menekankan peranan penting TVET sebagai asas
dalam membentuk tenaga kerja mahir dan mendorong kepada pertumbuhan
ekonomi.
"PSMZA turut berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi bersama industri berkaitan bagi memberi nilai tambah yang lebih baik
kepada para graduan PSMZA khususnya," ujarnya lagi.
27 Jan 24
369
Banjir Hulu Dungun Lebih Teruk Dari 2014
DUNGUN, 27 JANUARI- Banjir yang melanda Hulu Dungun pada tahun ini lebih teruk berbanding tahun 2014.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, perkara itu berlaku disebabkan hujan turun tanpa henti selama dua hari berturu-turut.
"Seramai 226 orang mangsa daripada 61 keluarga di Kampung Shukor telah berpindah ke Pusat Perpindahan Sementara(PPS), manakala 199 orang mangsa daripada 69 keluarga dari Kampung Pasir Raja pada kelmarin.
"Keadaan Kampung Jongok Batu dan Kampung Rantau Panjang air telah memasuki kawasan mereka, dan sudah ada beberapa keluarga yang berpindah ke PPS," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mengetuai Jawatankuasa DUN, KHIDMAT Malaysia Dungun dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) di Bilik Mesyuarat Pejabat Pusat Khidmat ADUN Bukit Besi kelmarin.
Menurut Wan Hassan, 'Emegency Respond Team' (ERT) telah diaktifkan sejak turun untuk misi menyelamat mangsa banjir.
"Insya-Allah Jabatan Amal Dungun akan sediakan bot mereka untuk misi bantuan menyelamat mangsa banjir untuk berpindah dan akan turut disertai Khidmat Malaysia Dungun, PADAT dan petugas sukarelawan dalam misi ini.
"Doakan semoga Allah permudahkan segala urusan kami dan urusan mangsa banjir," ujarnya.
27 Jan 24
463
Rumah Berusia 42 Tahun Dihanyutkan Banjir
DUNGUN, 26 Januari - Beberapa buah rumah berusia 42 tahun di Kampung Shukor musnah selepas dihanyutkan banjir dalam kejadian kelamrin.
Mangsa, Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, berkata hampir keseluruhan rumahnya hanyut dan menyebabkan dia hilang tempat berteduh.
Katanya, ketika dimaklumkan air sungai mula melimpah pada jam 2 petang dan selang dua jam berikutnya arus banjir mula deras.
Turut mengalami nasib sama, Tengku Muhd Zulkarnain Tengku Man, 58, yang merupakan jiran kepada Tengku Alwi.
Dia turut menerima kesan akibat bahagian rumah yang hanyut merempuh rumahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya akan mengenalpasti dengan lebih teliti dan tindakan segera akan diambil.
"Saya telah melaporkan kejadian itu ke Tabung Bencana Negeri Terengganu melalui Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat merangkap ADUN Chukai.
"Insya-Allah tindakan segera bagi bantuan atau pembinaan rumah atau rumah sementara sedang diusahakan," katanya.
27 Jan 24
279
Tim Perubatan 18 RAMD Para Bantu Mangsa Banjir di Hulu Dungun
DUNGUN, 26 Januari – Forward Medical Team (FMT) 18 RAMD (Para) melaksanakan pemeriksaan kesihatan terhadap kesemua mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Pasir Raja, Dungun di sini hari ini.
Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, Tim Perubatan Hadapan (FMT) dari 18 RAMD (Para) diketuai oleh Kapt (Dr) Izzul Islam bin Bakri bersama Tim Perubatan 705 Pusat Perubatan ATM (705 PPAT).
Katanya, tim tersebut terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota Lain-lain Pangkat.
“Pemeriksaan kesihatan ini merupakan salah satu gerak kerja dalam atur gerak Op MURNI yang diselaraskan bagi membantu mangsa yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan kesihatan.
“Di samping, bagi memastikan taraf kesihatan mangsa-mangsa banjir sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Mohd Zaki, FMT yang berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melaksanakan bantuan pemeriksaan di PPS yang terjejas akibat banjir.
Untuk rekod, jumlah mangsa yang terjejas banjir di Terengganu terus meningkat kepada 2,166 orang pada petang ini berbanding 1,760 mangsa pada pagi tadi.
"Dungun merupakan daerah paling teruk dilanda banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 952 orang membabitkan 266 keluarga yang masih berlindung di enam PPS," ujarnya.
26 Jan 24
264
Banjir, ATM Bantu Usung Jenazah
HULU TERENGGANU, 25 Januari - Jenazah seorang wanita berusia lingkungan 80-an terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) hari ini berikutan kawasan kediamannya di Kampung Bukit Tadok dilanda banjir.
Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh, berkata pihaknya menerima permohonan bantuan menguruskan jenazah Kalthom Mat, 84, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 9 pagi tadi.
“Kami dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.
"25 anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Mejar Shah Hadi Shah Budin membawa jenazah menggunakan trak dari rumah arwah ke masjid untuk pengurusan jenazah seterusnya membawa jenazah menggunakan bot ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tadok," ujarnya
Tambah Mohd Zaki, pihaknya juga tidak ketinggalan memberi bantuan kepada mangsa- mangsa banjir di Terengganu dengan kehadiran mereka di lokasi-lokasi yang terlibat.
Sementara itu, anak lelaki arwah, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata laluan keluar ke tanah perkuburan dan masjid mula dinaiki air sejak semalam menyebabkan keluarganya mengalami kesulitan untuk membawa keluar jenazah.
"Agak buntu pada mulanya memikirkan bagaimana nak uruskan jenazah ibu tetapi tak lama kemudian penghulu memaklumkan anggota ATM sedia membantu untuk membawa keluar arwah ibu ke Masjid Kampung Bukit Tadok untuk dimandi dan dikafankan seterusnya ke kubur.
"Alhamdulillah dan terima kasih ATM sebab sudi bantu kami sekeluarga, sanggup harungi banjir sedalam lebih satu meter mengusung arwah ibu sebelum dibawa dengan trak, dan akan harungi sekali lagi banjir menggunakan bot untuk ke kubur nanti,"katanya.
25 Jan 24
321