Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Gerakkan Misi Bersih Rumah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Beberapa siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Terengganu sejak 20 November 2023 hingga 23 Januari tahun ini menyaksikan daerah Dungun paling teruk terjejas terutama kawasan Hulu Dungun.
Dua kampung terletak paling hulu di Dungun itu dilanda banjir lumpur pada 25 Januari lalu menyebabkan hampir 80 peratus rumah penduduk di dua kawasan tersebut mengalami kerosakan termasuk tiga ranap sepenuhnya akibat banjir lumpur berkenaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, pihaknya sedang dalam proses bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir.
"Kerajaan negeri akan ambil semua maklumat dan data-data daripada pegawai daerah.
"Seterusnya kita akan mohon daripada peruntukan bencana untuk mendirikan dan membaiki kediaman yang rosak," katanya.
Setakat ini, bantuan pembersihan rumah sedang dijalankan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan untuk mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, operasi pasca banjir memfokuskan kampung yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang keempat membabitkan Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu.
Katanya, terdapat lebih 500 sukarelawan termasuk Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu turut serta membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta rumah penduduk yang terjejas.
Selain itu beliau turut mengalu-alukan bantuan daripada NGO untuk memberikan kepada mangsa yang terjejas banjir.
Dalam masa sama, kerajaan negeri telah menggerakkan misi membersihkan rumah dan premis terjejas banjir menerusi Terengganu Volunteer (T-Volt) sebagaimana kelaziman setiap kali berlakunya bencana teruk.
Menurut Hanafiah, pergerakan T-Volt akan memfokuskan kawasan yang teruk terjejas dalam beberapa siri melibatkan penyertaan kakitangan kerajaan dan juga sukarelawan.
Sementara itu, penduduk pedalaman daerah Setiu, Besut dan Dungun diingatkan berwaspada kerana terdedah banjir berikutan limpahan sungai susulan hujan lebat di kawasan hulu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata trend banjir ketika ini membabitkan kawasan hulu dan pedalaman akibat hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Tinjauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mendapati paras air Sungai Terengganu di Hulu Terengganu berada pada tahap bahaya.
01 Feb 24
167
300 Sukarelawan Turun Padang Hari Keempat Pasca Banjir Hulu Dungun
DUNGUN, 31 Januari - Kira-kira 300 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan, swasta dan Badan Bukan kerajaan (NGO) turun padang membersihkan rumah penduduk Kampung Pasir Raja selepas empat hari kampung itu dilanda banjir lumpur.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata siri tersebut menyaksikan tidak kurang daripada 10 buah rumah penduduk yang masih ditenggelami lumpur dan dijangkakan dapat dibersihkan sepenuhnya sehingga Jumaat ini.
Katanya, bencana seumpama itu adalah satu ujian buat semua penduduk di kawasan Hulu Dungun pada gelombang banjir kali keempat yang melanda Terengganu baru-baru ini.
"Saya mengharapkan orang ramai yang mempunyai kemampuan kebendaan yang lebih diminta sama-sama membantu penduduk yang terjejas banjir berkenaan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka," katanya kepada wartawan UPDI di lokasi salah sebuah rumah yang terkesan banjir lumpur di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan semua penduduk terlibat bersabar menghadapi ujian bencana tersebut dan banyak pihak sedia tampil untuk membantu meringankan beban mereka dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Abd Mutalib Harun, 60, yang merupakan salah seorang penduduk terjejas banjir di kampung berkenaan mengucapkan rasa syukur kerana bantuan yang tidak putus-putus sejak peristiwa itu berlaku.
Dia yang juga seorang pekebun getah dengan rasa gembira bercampur sedih mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua terlibat dengan operasi pasca banjir dan mengharapkan Tuhan membalas jasa baik mereka.
Katanya yang tinggal di situ sejak lahir kebanyakan peralatan rumahnya musnah akibat banjir lumpur yang hampir melumpuhkan kampung mereka.
Tinjauan UPDI mendapati lumpur setebal 0.34 meter memenuhi rumah Abd Mutalib seluas 111.51 meter persegi memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk dibersihkan sepenuhnya dengan peralatan kebersihan yang cukup termasuk penyembur air, penyodok pasir dan sebagainya.
Didapati sukarelawan kekurangan peralatan bagi membantu membersihkan rumah penduduk di situ.
Banjir melanda rumah penduduk baru-baru ini setinggi kira-kira 3 meter disertai dengan lumpur, merupakan satu tragedi mendukacitakan hampir semua penduduk dengan kehilangan harta benda dan kerosakan rumah masing-masing.
Turut terjejas teruk rumah penduduk di Kampung Syukor dan Jongok Batu.
31 Jan 24
203
UMT Buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif Bantu Lahir Usahawan Di Kalangan Belia B40
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyokong inisiatif dilaksanakan Syarikat Honey Melon World Sdn Bhd dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan belia B40 melalui pembukaan Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini.
Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, Syarikat Honey Melon World merupakan syarikat ‘start-up’ di bawah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UMT yang mana pengurusan tertinggi syarikat adalah dari kalangan para penyelidik UMT.
“Berkat usaha dan keazaman para penyelidik UMT serta kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), syarikat terus berkembang dan telah berjaya menghasilkan produk makanan seperti lasagna daging, jus melon manis Terengganu dan MMT Ice Cream di pusat pemprosesan ini.
“Selain berupaya mengeluarkan produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin dari segi halalnya, pembukaan pusat pemprosesan makanan inovatif ini secara tidak langsung dapat menyokong komuniti setempat melalui galakan dan peluang kepada anak-anak B40 menceburi bidang perniagaan dengan mendapatkan latihan di sini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi.
Mengulas lanjut katanya, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan melalui jalinan kerjasama melibatkan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu.
“Kita sasarkan pusat pemposesan makanan ini bakal mengeluarkan pelbagai lagi produk manakan inovatif yang berkualiti dan dijamin halal,” ujarnya.
“Malah, pusat ini berupaya membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan ini selain memberi manfaat besar kepada usahawan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS),” katanya.
31 Jan 24
260
'Walk For Peace' Tarik 1,400 Peserta
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Program Terengganu Walk For Peace 2024 yang diadakan sempena Karnival Sukan Wanita Terengganu mendapat sambutan memberangsangkan apabila 1,400 peserta menyertai acara berkenaan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer di sekitar Dataran Batu Burok itu disertai oleh pelajar tingkatan satu hingga empat daripada 16 buah sekolah menengah agama di negeri ini.
“Program ini adalah salah satu pengisian sempena Karnival Sukan Wanita pada kali ini dan kita sangat mengalu-alukan program sebegini untuk menaikkan martabat sukan di Negeri Terengganu.
“Selama ini dari segi penglibatan dalam aktiviti sukan ramai lelaki tetapi hari ini dengan inisiatif baru daripada penganjur, dapat kita lihat ramai pelajar perempuan yang turut serta dalam acara yang berbentuk santai sebegini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Penutup Karnival Sukan Wanita Terengganu dan Program Terengganu Walk For Peace 2024 di Dataran Baru Burok, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai Karnival Sukan Wanita Terengganu yang berlangsung pada 25 hingga 28 Januari di Stadium Negeri, Mohd Fadhli berkata, kerajaan negeri tidak sesekali menyekat wanita untuk bersukan tetapi perlu mematuhi konsep pemakaian patuh syariah.
“Karnival ini terbuka untuk semua wanita, kita sangat alu-alukan. Selain untuk menggalakkan wanita terlibat dalam aktiviti sukan, dalam masa yang sama kita hendak dedahkan kepada rakyat Terengganu bahawa wanita juga layak untuk bersukan tetapi perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“InsyaAllah kita akan usahakan supaya karnival ini menjadi acara tahunan yang akan memfokus kepada wanita sahaja dengan menambahbaik acara dan aktiviti yang diadakan,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa pertandingan seperti bola jaring, bola tampar dan ping pong telah berlangsung dalam suasana meriah sepanjang empat hari karnival.
29 Jan 24
283
Kes Jenayah Komersial di Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Kes jenayah komersial di Terengganu tahun lalu merekodkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, ujar Polis Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebanyak 1,237 kes jenayah komersial membabitkan jumlah kerugian RM33.32 juta sepanjang tahun 2023, berbanding 1,311 kes dengan kerugian RM24.32 juta pada 2022.
Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu menunjukkan peningkatan kerugian pada tahun 2023 sebanyak RM8.9 juta atau 37 peratus berbanding tahun 2022.
"Bagi tangkapan kes jenayah komersial pula seramai 658 tangkapan bagi tahun 2023, berbanding 536 tangkapan pada 2022 iaitu peningkatan seramai 122 tangkapan atau 18.54 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Mazli berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Januari tahun ini, sebanyak 393 laporan polis telah diterima dan 94 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta.
Katanya, penyumbang utama kes jenayah komersial adalah melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan penipuan kes skim pelaburan tidak wujud didapati menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kerugian.
Justeru katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa peka, berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi, selain mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan.
29 Jan 24
369
'Air Naik Begitu Cepat Ranapkan Rumah Kami'
DUNGUN, 29 Januari - "Air naik begitu cepat sehingga menyebabkan saya dan isteri terus menaiki kereta untuk ke tempat lebih tinggi dan tidak sempat selamatkan apa-apa," ujar Mohamad Zubir.
Mangsa banjir, Wan Mohamad Zubir Wan Suhaidi, 31, berkata ketika kejadian, tanpa menyedari baru 10 minit berlalu, air banjir telah mencapai paras dua kaki dalam kediamannya.
"Kesemua barangan dalam rumah kami telah mengalami kerosakan termasuk barangan elektrik, sofa dan lain-lain akibat banjir itu," jelasnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika sedang membersihkan rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam.
Dia yang tinggal bersama isterinya berkata banjir besar yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada kali ini merupakan paling teruk berbanding tahun 2014.
Tambah Zubir, banjir luar biasa itu menyebabkan paras air melepasi bumbung rumahnya sehingga tiada kekuatan untuk melakukan apa-apa.
“Kami sekeluarga terpaksa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sehingga kejadian banjir beransur pulih,” ujarnya.
Sementara itu, lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor.
Sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).
29 Jan 24
163
EPIC Peruntuk RM2.3 Juta Untuk CSR 2023
KUALA NERUS, 29 Januari- Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) peruntuk RM2.3 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbanding tahun sebelumnya RM2.2 juta.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Bin Mohamed @ Hashim berkata peningkatan itu berdasarkan kadar pertumbuhan prestas yang berjalan lancer dan berjaya mencatatkan keuntungan lebih besar.
“Dengan peruntukan itu, kami mensasarkan untuk meluaskan lagi usaha murni ini agar mereka terjejas beroleh manfaat dan merasai nikmat kehidupan yang lebih baik,
“Saya juga berharap menerusi penganjuran pelbagai lagi program dapat memantapkan kerjasama holistik antara pihak EPIC Berhad dan kerajaan negeri dalam membantu golongan-golongan bersasar, badan-badan atau institusi-institusi lain di Negeri Terengganu,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “EPIC Back to School 2024” di Raia Hotel di sini hari ini.
Dalam program tersebut, seramai 100 murid kurang bernasib baik di Kemaman dan Kuala Terengganu yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di bawah inisiatif “EPIC Celik” menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berupa baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman, beg sekolah dan juga hamper makanan bernilai RM500 setiap satu.
Ahmad Amzad berkata, sesi pertama program telah dijalankan semalam di premis operasi syarikat di Kemaman bersama 50 murid dari SK Bukit Mentok.
"Pada hari ini pula, 50 murid dari
tujuh buah sekolah iaitu SK Pusat Chabang Tiga, SK Paloh, SK Wakaf Mempelam, SK Durian Burung, SK Rengas Bekah, SK Pulau Rusa, dan SK Bukit Losong.
“EPIC Berhad mensasarkan murid-murid dari keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu bagi memastikan murid-murid kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam membuat persediaan untuk kembali ke sekolah," ujarnya.
29 Jan 24
442
Kerajaan Terengganu Akan Bina Semula Rumah Terjejas Banjir
DUNGUN, 29 Januari – Kerajaan negeri sedang meneliti untuk membina dan membaik pulih kediaman penduduk yang terjejas dalam bencana banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata bencana tersebut menyebabkan beberapa buah rumah musnah dan mengalami kerosakan akibat banjir.
Katanya, pihaknya sudah meminta laporan mengenai kediaman penduduk yang terjejas ini dibuat dan pegawai daerah akan hantar kepada kerajaan negeri.
“Seterusnya, kita akan mohon daripada peruntukan bencana untuk mendirikan dan membaiki kediaman yang rosak.
“Saya harap mereka yang terkesan dapat bersabar kerana mengambil sedikit masa dan kita akan usaha untuk baiki dengan kadar segera,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Ops Pasca Banjir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bertempat di rumah mangsa banjir semalam.
Tambah Hanafiah, pihaknya mengalu-alukan sebarang bantuan dari semua pihak untuk mereka yang terkesan banjir.
Setakat ini, bantuan pembersihan rumah sedang dijalankan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan untuk mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Untuk rekod, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.
Selain Kampung Shukor, banjir sama turut melanda Kampung Pasir Raja, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing.
29 Jan 24
231
Terengganu Bakal Laksana Projek Gabungan Solar dan Pertanian
DUNGUN, 29 Januari – Terengganu bakal melaksanakan projek solar agrivolta yang berintegrasi untuk pembangunan solar dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia akan menjadi projek pertama seumpamanya di negeri Terengganu.
Katanya, ia bertujuan bagi menjimatkan tanah supaya bukan hanya memanfaatkan ladang solar sahaja bahkan dapat integrasikan dengan pertanian.
“Insya-Allah ia akan menjadi satu pilot projek dan satu KPI bagaimana integrasi ini boleh digabungkan sekali gus memberi manfaat dari segi teknologi hijau dan keterjaminan makanan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja Projek Penanaman Tanaman Kontan Berasaskan Peladangan Agrivolta bertempat di Ladang Rimbunan Kaseh Rantau Abang, Dungun di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Besar TADC, Azhar@Wahab Jusoh.
Tambah Dr Azman, projek integrasi antara ladang solar dan pertanian akan dibangunkan secara komersial yang dijangka akan menelan kos sekitar RM200 juta di atas sebidang tanah seluas 200 ekar di Mukim Merang, Setiu.
Tambahnya lagi katanya, bahagian atas akan dibina tenaga solar dan di bawah akan ditanam dengan beberapa tanaman kontan antaranya markisa, melon manis Terengganu dan juga jagung.
“Insya-Allah, kita sasarkan pada suku ke empat tahun 2024 projek ini akan dapat dimulakan.
Tambahnya lagi katanya, pihaknya juga meletakkan keyakinan untuk TADC dan MCT Agriculture membangunkan projek ini di atas dasar rekod kejayaan bagaimana dapat memulihkan projek yang gagal dan terbengkalai di Rimbunan Kaseh di Dungun.
Katanya, untuk menjadi satu kawasan pengeluaran melon manis Terengganu yang utama di negeri ini.
“Jadi kejayaan kita membangunkan kembali Rimbunan Kaseh ini juga menjadi satu penanda aras bagi kerajaan negeri untuk memberi peluang yang lebih besar kepada TADC dan MCT Agriculture untuk kita lebih maju selangkah lagi.
“Di sini pun kita sudah gunakan teknologi IOT (Internet of Things) sepenuhnya dan teknologi yang sama akan dibawa ke Setiu ditambah dengan teknologi solar farm di bahagian atas dan pertanian di bahagian bawah,” ujarnya.
29 Jan 24
464
Kempen Derma Darah TI Properties Kumpul 130 Beg Darah
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Bertemakan “Kindness In A Pint : A Gift Of Life”, TI Properties berjaya mengumpulkan sebanyak 130 beg darah melalui program Komuniti Kempen Derma Darah di Elysium Menara Utara, Kuala Terengganu Drawbridge
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties. Awasi Mohamad, ia merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan syarikat dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Katanya, kempen itu adalah sebagai usaha membantu Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapatkan bekalan darah mencukupi untuk kegunaan pihak hospital.
“Program derma darah ini juga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan dan kepentingan pendermaan darah bagi menjamin bekalan darah mencukupi untuk kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukan.
“Dan yang menarik kali ini adalah pemilihan lokasinya tidak hanya memberikan suasana yang unik dan menarik, tetapi juga membolehkan masyarakat menikmati pemandangan yang indah dari enam landskap geografi yang berbeza, yang dapat dilihat dari atas menara,”katanya kepada pemberita.
Tambah Awasi, pihaknya juga mendapat sokongan dan penajaan dari banyak pihak termasuk
syarikat 4 Fingers Malaysia yang menjadi penaja utama dengan menaja 150 pek ayam dalam inisiatifnya menyokong kempen tersebut.
“Ini termasuk tajaan daripada Pizza Hut, Syarikat Air Terengganu (SATU), Duyong Marina Resort (DMR), Hospital Pakar SALAM, Primula Hotel, Paya Bunga Hotel, Permai Hotel, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Persatuan Sukarelawan Siswa Unisza (PERSIS).
“Setiap penderma darah yang berjaya layak mendapat pek makanan serta hadiah yang disumbangkan oleh penaja-penaja bagi memeriahkan acara,”ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, program itu turut melibatkan Persatuan Orang Buta (PERTIS) sebagai inisiatif syarikat dalam program pembangunan vendor.
“Ianya merupakan langkah positif yang tidak hanya memberi manfaat kepada masyarakat kurang upaya tetapi juga mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang lebih luas.
“Dengan adanya program pembangunan vendor yang melibatkan lebih ramai individu termasuk mereka yang kurang upaya, ianya akan dapat mencipta peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,”jelas beliau.
29 Jan 24
93