Artikel "Utama" Terkini
11 Barang Disenarai di Bawah SHMMP Tahun Baru Cina 2024
HULU TERENGGANU, 7 Februari - Sebanyak 11 barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Tahun Baru Cina 2024 yang berkuat kuasa bermula 6 hingga 14 Februari di Terengganu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan.
"11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
"Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya Xiri Wakaf Tapai di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, semua pihak diharapkan dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.
Saharuddin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Tambah beliau, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
Justeru itu, seramai 117 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri dikerahkan untuk membuat pemantauan dan melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksnaaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut.
"Pihak kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang
disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
07 Feb 24
249
PMINT Sasar Perolehan RM170 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan melalui sembilan anak syarikatnya sebanyak RM170 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, berkata jumlah tersebut lebih tinggi berbanding perolehan pada tahun lepas yang dianggarkan berjumlah RM100 juta.
“PMINT mempunyai perancangan lima tahun bermula 2022 sehingga 2026 dan sekarang sudah masuk tahun ketiga.
“Untuk tahun ini sasaran perolehan PMINT adalah lebih kurang RM170 juta dan kita akan bergerak lebih agresif berbanding tahun 2023,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen Bicara Jabatan Kerajaan di TV Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, anak-anak syarikat PMINT melibatkan pelbagai sektor termasuk pelancongan, pertanian, pengilangan makanan, kuari, mineral dan galian serta pembangunan perumahan.
Sementara itu Wan Adnan berkata, fokus utama PMINT untuk tahun ini adalah mengurus kawasan industri dengan lebih agresif.
Katanya, kawasan perindustrian yang ditambah baik dan dibaik pulih berpotensi menarik pelabur termasuk daripada luar negara.
“Dengan adanya tambah baik di kawasan indsturi ini dari segi fasiliti, jalan masuk, talian telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya ia akan lebih menarik minat pelabur dengan tawaran dan pakej terbaik yang kita sediakan.
“Apabila pelabur luar negara masuk dan membuat pelaburan yang bernilai ratusan juta di Negeri Terengganu dengan memajak kawasan-kawasan industri sudah pasti ia akan dapat membangunkan lagi sektor ekonomi samada SME dan sebagainya.
“Selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kerana kita sasarkan 70 peratus daripada pekerja dalam industri yang dibangunkan mesti rakyat Terengganu,” ujarnya.
07 Feb 24
386
EPIC Sumbang RM25 Ribu Suntik Semangat Pasukan Hoki Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan Negeri menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyumbang tajaan sebanyak RM25,000 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2024.
Penaung Pasukan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, tajaan tersebut bakal membantu persediaan dan memperkuat lagi para pemain bertepatan dengan liga yang sudah membuka tirai awal Februari lalu.
"Sumbangan tajaan pada tahun ini, ditambah sebanyak RM15 ribu kepada RM25 ribu berbanding tajaan pada tahun 2023 yang berjumlah RM10 ribu.
"Di samping, ia juga merupakan kesinambungan dalam usaha EPIC Berhad untuk merancakkan prestasi dan pembangunan sukan di ngeri Terengganu, sekali gus melahirkan atlet-atlet tempatan bertaraf dunia," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Cek Tajaan kepada Pasukan Hockey Team bertempat di Tingkat 5, Pejabat EPIC Kuala Terengganu di sini hari ini.
Sesi penyerahan tajaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Ir Mukhtar Suhaili, kepada Presiden Persatuan Hoki Terengganu Mohd Fikri Harun dengan disaksikan oleh Penaungnya, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Tambah Ir Saiful, pihak syarikat juga optimis dan yakin dengan barisan atlet baharu pasukan THT.
Menurutnya, sebagaimana pencapaian cemerlang THT merangkul kejuaraan tiga piala musim lalu.
"Cabaran besar untuk musim 2024 adalah untuk mengekalkan kembali ketiga-tiga kejuaraan tersebut apabila sebahagian pemain kita telah masuk ke pasukan lawan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada EPIC Berhad atas sokongan yang diberikan kepada pasukan THT bagi merealisasikan misi memburu kejuaraan musim ini,” ujarnya.
06 Feb 24
362
Golongan Bukan Islam Hidup Aman di Terengganu
HULU TERENGGANU, 6 Februari - Golongan bukan Islam dan bukan melayu di negeri ini hidup aman damai dalam satu komuniti walaupun Terengganu didominasi oleh melayu islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, semua kaum yang ada saling hormat menghormati sekali gus menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa orang bukan islam terpinggir di Pantai Timur.
"Di Terengganu, tidak pernah berlaku masalah perkauman justeru semua rakyat dapat hidup bersatu menjayakan pelbagai aktiviti komuniti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Komuniti Rahmah Bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, di Dewan NGO, Kampung Pengkalan Ajal, di sini, semalam.
Dalam pada itu, mengulas tentang hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini, beliau berkata hubungan sentiasa berlangsung dalam keadaan harmoni atas semangat federalisme.
"Hubungan baik antara kedua belah pihak akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta sentiasa berada dalam keadaan harmoni," katanya.
Ujarnya, kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang amat bermakna kepada kerajaan negeri serta sangat dialu-alukan kerana ia secara tidak langsung menzahirkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berada di dalam keadaan baik.
"Kehadiran Menteri Perpaduan Negara hari ini telah dapat menceriakan masyarakat di sini melalui Program Komuniti Rahmah bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu.
"Dengan jalinan kerjasama ini diharap akan berterusan untuk menjaga keharmonian supaya tiada berlaku pergeseran yang boleh mengakibatkan kerugian dan berlakunya rusuhan yang tiada sepatutnya berlaku di negara mahupun negeri ini," ujarnya.
Sementara itu, Aaron berkata lawatan semalam merupakan lawatan sulungnya ke Terengganu.
"Saya ingin rakamkan jutaan terima kasih kerana Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Ajal telah sudi menjadi tuan rumah bagi Program Komuniti Rahmah.
"Program ini adalah merupakan kluster ketiga di bawah program 'flagship' kementerian iaitu Kembara Pepaduan Melaysia MADANI yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2023, selain daripada kluster Semarak Kenegaraan dan Semarak Perpaduan.
"Dirangka bagi membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah khususnya dalam KRT yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dengan saling menghormati, mengasihi dan menghargai melalui penggemblengan usaha serta tenaga semua pihak," ujarnya.
06 Feb 24
459
Peruntukan Tabung Bencana Pertanian Terengganu Naik 100 Peratus
KUALA NERUS, 6 Februari – Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan Tabung Bencana Pertanian (TBP) yang diperkenalkan sejak 2020 sebanyak sekali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata dana TBP pada 2024 ditambah sebanyak RM1 juta kepada RM2 juta berbanding pada tahun 2023.
Katanya, fokus TBP adalah berkaitan projek agromakanan dalam Dasar Agromakanan Negara serta Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu.
"Ia meliputi tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, ternakan, ternakan akuakultur, nelayan dan industri asas tani (IAT).
“Di samping, kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan perikanan di Negeri Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat 2024 bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Nerus di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh
Tambah Dr Azman, sepanjang tahun 2023, pembangunan padi di dalam jelapang di Terengganu mencapai keluasan sebanyak 4,541 hektar berbanding dengan 6,675 hektar di luar jelapang.
“Bagi keluasan ladang MyGap di dalam jelapang seluas 415.21 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 437 ladang melibatkan 383 orang petani.
“Ia lebih tinggi berbanding luar jelapang hanya 328 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 314 ladang melibatkan 299 orang petani,” ujarnya.
05 Feb 24
222
Mak Su Berputih Mata Lihat Keadaan Rumah
Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
DUNGUN, 5 Februari – Mangsa banjir di Jalan Cermai, Pasir Raja, Hulu Dungun di sini terpaksa berputih mata apabila melihat kediamannya dibadai lumpur mencecah paras lutut setelah banjir besar.
Mangsa, Siti Zubaidah Mat Zin, 74, berkata banjir tersebut antara paling buruk berlaku di kampung berkenaan.
Dia yang juga dikenali sebagai Mak Su berkata kejadian itu berlaku sekelip mata sahaja kerana air naik begitu cepat dan dia terpaksa masuk ke dalam rumah tanpa boleh melakukan apa-apa.
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang membantu membersihkan rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Cermai, Pasir Raja, Hulu Dungun baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata seramai 30 pemuda Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat dalam misi banjir di kampung berkenaan.
"Operasi yang bermula pada jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan beberapa buah rumah berjaya dibersihkan," ujarnya.
Untuk rekod, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.
Selain Kampung Shukor, banjir sama turut melanda Kampung Pasir Raja, Kampung Jongok Batu dan Kampung Belimbing.
05 Feb 24
661
Malaysia Perlu Kekalkan Pendirian Terhadap Israel
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan Malaysia diharap terus mengekalkan pendirian tidak mengiktiraf negara haram Israel sejak dahulu sehingga kini walau menghadapi apa jua cabaran dan ancaman.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ketegasan untuk tidak menyokong 'two-state solution' juga perlu teguh dipertahankan.
"Kita tidak bercakap tentang nama siapa yang memimpin kerajaan pada hari ini cuma kita bercakap atas asas sebagai rakyat malaysia.
"Kita berbangga dengan pendirian negara kita sejak daripada merdeka sehingga ke hari ini, inilah pendirian yang perlu kita (bersama) pertahankan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media, sempena pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia baru-baru ini.
Turut hadir, Penasihat Liga Ulama Palestin, Dr Abdullah Almajedd Alzindani dan Ahli Koordinasi Ulama Palstein, Dr Ahmad Amir.
Dalam pada itu Dr Muhammad Khalil berkata, seluruh dunia pada ketika ini telah sedar akan kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap umat Islam di Palestin ekoran daripada peristiwa 'taufan al-Aqsa'.
"Ini satu kejayaan sebenarnya dari segi hukuman mereka boleh lepas kerana di belakang mereka adanya Amerika yang merupakan kuasa besar dunia.
"Tetapi dari sudut moral, dari segi politik bukan sahaja orang Islam bukan bahkan orang bukan Islam termasuk di barat sudah nampak kezaliman dilakukan oleh Zionis Israel, sekarang orang sudah nampak ini sebenarnya wajah Amerika yang melindungi rejim tersebut," katanya.
Mengenai perkembangan semasa, katanya konflik yang berlaku di Palestin akan berterusan.
"Konflik ini akan berpanjangan antaranya kita melihat kenyataan-kenyataan daripada pimpinan zionis sendiri yang menyebut mereka akan mengembangkan operasi mereka ke Utara Israel dan akan berlaku pertembungan dengan Hizbullah di Selatan Lubnan," ujarnya.
05 Feb 24
135
Terengganu FC Kekal Enam Pemain Import
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Terengganu Football Club Sdn Bhd mungkin akan mengekalkan jumlah enam orang pemain import dalam selaras langkah pasukan untuk berbelanja secara berhemah pada musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Sabri Abas memaklumkan, itu pendirian pasukan setakat ini sebelum Liga Super Malaysia 2024 bermula pada Mei.
"Buat masa sekarang, kita kekal dengan enam (pemain import) sebagai langkah kita berbelanja secara berhemah. Ini kerana, kita bukan hendak penuhi kuota semata-mata, sebaliknya kita kena tengok dari segi kepentingan posisi pemain yang ingin diambil.
"Kita yakin pemain tempatan juga mampu bersaing dengan kelompok pemain import dalam saingan liga Malaysia. Saya sendiri melihat kekuatan Terengganu FC, kita mempunyai skuad 'depth' yang boleh dikatakan cukup berpotensi di setiap posisi.
"Kita mengambil pemain import untuk membantu kita di beberapa posisi tertentu (sahaja)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman 2024/2025 di antara Hijraa Management Sdn Bhd dan Terengganu Football Club, di sini semalam.
Dalam majlis berkenaan, pihak Hijraa Management diumumkan sebagai rakan kerjasama terbaru Terengganu FC dengan tajaan berjumlah RM250 ribu bagi musim 2024/2025.
Ahli lembaga pengarahnya, Dr. Hazmuhaimin Hashim memaklumkan, penglibatan kali pertama syarikat itu sebagai penaja pasukan bola sepak merupakan satu pengalaman baharu yang menarik.
"Pertamanya, sebagai anak Terengganu kita bangga dengan pencapaian Terengganu FC sendiri. Jenama ini (Terengganu FC) adalah jenama yang sedang meningkat dan kita rasa ini peluang terbaik untuk kita bekerjasama disamping memperkasakan perkhidmatan.
"Jumlah penajaan adalah sebanyak RM250 ribu dalam bentuk tunai, dan selebihnya dalam bentuk panel perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM500 ribu," ujarnya.
Setakat ini, Terengganu FC telah menerima tajaan keseluruhan hampir RM7 juta melibatkan tajaan tunai dan keperluan tajaan dalam bentuk lain.
Mohd Sabri turut membuka pintu kepada mana-mana syarikat dan agensi untuk bekerjasama dengan Terengganu FC bagi musim 2024/2025 sebelum liga bermula.
"Kita masih lagi mencari penaja yang sudi berkolaborasi dengan kita menjelang sepak mula liga kerana kita akan melalui musim yang panjang tahun ini yang akan berakhir pada Mei 2025," katanya.
05 Feb 24
701
Terengganu Lulus Peruntukan Bina Rumah Musnah Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman.
“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Green Mobility Roadshow By Gentari di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas tentang kerugian akibat banjir, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan pihaknya masih dalam proses meneliti laporan dalam empat gelombang setakat ini.
"Ia termasuk laporan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan di seluruh negeri ini sebelum menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepada mangsa yang terjejas.
"Kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kali ini ialah Kampung Shukor dan Kampung Raja di Hulu Dungun dan kita sudah mengarahkan pihak PBT untuk menjalankan kerja pembersihan di sana,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mengenai bantuan kewangan pihaknya perlu meneliti keadaan kewangan semasa sebelum menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.
"Untuk bantuan kewangan pula, kita perlu teliti dahulu laporan daripada agensi terlibat tetapi untuk bantu semua mungkin kita tidak mampu kerana memerlukan peruntukan yang agak besar,” ujarnya.
05 Feb 24
228
Bertudung Tanda Kolot, Mundur?
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Memakai hijab atau bertudung sering dimomokkan pihak tertentu sebagai kolot dan ketinggalan zaman, walhal ia bukanlah penghalang kepada kebebasan, sebaliknya mengangkat martabat wanita.
Pengarah program Hari Hijab Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, mengenakan hijab adalah kewajipan dalam agama Islam, mematuhi perintah Allah SWT untuk menutup aurat.
"Berusaha berhijab dengan sempurna, kita akan temui kekuatan untuk terus melangkah merealisasikan impian," jelasnya.
Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berkata demikian dalam laman sosial pada semalam.
Bertudung bukan sekadar tindakan luaran, tetapi ia melibatkan dimensi spiritual yang mendalam.
"Berhijab, adalah ekspresi kepada kekuatan dan identiti seorang muslim yang mempertahankan keyakinan mereka terhadap pegangan agama.
"Bersyukurlah kita masih mampu berhijab dengan sempurna," katanya lagi.
05 Feb 24
788