Artikel "Utama" Terkini
Destinasi Pelancongan Terjejas Banjir Bakal Dibaik Pulih
HULU DUNGUN, 14 Februari - Kerajaan negeri komited untuk membaik pulih dan memulihara destinasi pelancongan di Hulu Dungun yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini..
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kolaborasi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sedia terjalin akan berusaha bagi mengekalkan keaslian destinasi pelancongan di daerah itu.
"Begitu juga penduduk setempat memberi kerjasama yang baik bagi memastikan keaslian alam semula jadi di sini terus terjaga," katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan pelancongan terjejas banjir di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim dan beberapa pegawai lain dari agensi kerajaan persekutuan dan negeri Terengganu.
Razali berkata kolaborasi dan pemuliharaan kawasan tersebut perlu dilaksanakan segera kerana banjir yang melanda daerah itu adalah luar biasa sekali gus usaha bagi membaik pulih kawasan pelancongan itu memakan belanja yang begitu besar.
"Pejabat Daerah sebagai tuan rumah bersama agensi-agensi terlibat dengan pembangunan di kawasan Pasir Raja ini, perbincangan mereka dan pelaksanaan pemulihara destinasi pelancongan akan dilaksanakan sebelum hari raya Aidilfitri ini," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai perancangan pelancongan pasca banjir di daerah itu, Razali berkata Hulu Dungun merupakan hutan hujan Asia Tenggara terbaik yang masih tidak tercemar dan perlu dipelihara sebagai aset pelancongan negeri Terengganu.
"Justeru itu kita (kerajaan) akan meneruskan agenda pelancongan berasaskan komuniti (Community Base Tourism) yang dimiliki oleh penduduk sendiri," tambahnya.
Justeru katanya kerajaan akan memberi penjelasan cara pengurusan pelancongan supaya Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan NGO setempat mengambil bahagian mengurus kawasan tersebut sebagai pendapatan tambahan mereka.
Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur mempunyai destinasi pelancongan menarik untuk anak muda yang suka aktiviti lasak termasuk 'jungle trecking', aktiviti pacuan empat roda, memancing dan sukan air.
Justeru katanya kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan lain akan menyusun aktiviti pelancongan untuk manfaatkan keaslian alam semula jadi di daerah itu sebagai daya tarikan pelancongan popular negeri Terengganu.
14 Feb 24
216
Ismaheel Akinade Senjata Baru Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Belum reda dengan berita kemasukan duo pemain sayap Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid ke Terengganu FC, kelab gergasi pantai timur itu tampil mengumumkan penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade sebagai penggempur baharu pasukan.
Ismaheel, 30 pernah menjadi tonggak utama bagi pasukan Kelantan United dan juga Kelantan FC musim lalu dan menjaringkan 10 gol dan enam bantuan gol dalam 25 penampilan bagi kedua-dua pasukan.
"Saya tidak sabar menunggu musim baharu dan sangat teruja bersama kelab besar ini. Saya menentang kelab ini pada musim lalu dan kini gembira menyertainya musim ini. Saya berharap kita akan kembali layak ke Piala AFC lagi.
"Apa yang perlu dilakukan ialah cuba memperbaiki dan membantu pasukan dalam apa jua keadaan. Selagi kami bersama sebagai satu pasukan, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan lihat apa yang berlaku nanti, semoga kita berada di puncak atau setidaknya di sekitar puncak menjelang akhir musim nanti," katanya.
Berketinggian 1.90 meter, Ismaheel dilihat berpotensi dibangunkan bersama Ivan Mamut di barisan hadapan oleh pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner.
Dengan Ivan yang menyumbang 17 gol untuk Terengganu FC musim lalu, mampukah Ismaheel menyaingi penyerang kelahiran Croatia itu atau sekurang-kurangnya menyuntik lebih sokongan dalam membina duo yang ampuh buat Sang Penyu musim ini?
14 Feb 24
318
Pelajar Pecah Saluran Darah Otak Terima Bantuan Kerajaan, Petronas
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Kerajaan Terengganu dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus memberi sokongan dan bantuan kepada salah seorang pelajar tajaan, Muhammad Amirul Nazmi Sam yang kini terlantar di rumah beliau di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil sejak Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian pelajar cemerlang Terengganu itu.
Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan media, memaklumkan sejak Amirul Nazmi dimasukkan ke hospital, pihaknya terus memantau dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan beliau.
Katanya, pihaknya juga menerima sokongan perubatan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
“PETRONAS sentiasa komited dalam menyokong pelajar tajaannya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga semasa dalam keadaan sukar.
“Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan pelajar tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar ini,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, Amirul Nazmi yang merupakan seorang pelajar cemerlang yang menerima tajaan PETRONAS dan bakal melanjutkan pengajian di sebuah universiti di England, kini terlantar di rumahnya.
Menurut ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46 berkata anaknya telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University.
Jelasnya lagi, imbasan pihak hospital mendapati saluran darah ke otak anaknya pecah sehingga mengakibatkan anaknya itu lumpuh sebelah badan bahagian kanan.
13 Feb 24
618
Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah bersama Terengganu Football Club (Terengganu FC) bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.
Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata kedua-dua penyerang itu diikat masing-masing selama setahun secara pinjaman dari kelab JDT.
“Safawi kini sekali lagi akan menjadi anak didik Tomislav Steibruckner buat kali kedua dimana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di dalam pasukan T-Team FC pada tahun 2015.
“Akhyar pula dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya lagi, jika tiada sebarang masalah, kedua pemain itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama Sang Penyu bermula 15 Februari ini.
Menurutnya, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 manakala Akhyar pula bakal menyarung jersi bernombor 33 bersama pasukan Terengganu FC.
“Kedua-dua pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner.
"Sekali gus, meletakkannya mereka dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025,” jelasnya.
Pihak pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang buat kedua-dua pemain dan semoga berjaya membawa kejuaraan buat pasukan gergasi pantai timur itu.
12 Feb 24
334
Pesta ‘Maing Ujang’ Tarik Pelancong Musim Tengkujuh
SETIU, 11 Februari – Pesta 'Maing Ujang' merupakan satu inisiatif bagi membawa pengunjung untuk datang ke Setiu pada musim tengkujuh dan bermain pelbagai aktiviti yang disediakan di sini.
Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, penganjuran tersebut berjaya mempromosikan budaya dan tradisi Terengganu kepada lebih 100 peserta dan pengunjung luar di sini.
Katanya, kesemua peserta itu terdiri dari seluruh negara yang membangunkan lebih 70 buah khemah.
“Pesta Maing Ujang juga diperkenalkan sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Setiu, sekaligus mempopularkan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan eko yang baharu.
“Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti mencari lokan dan kepah, ‘monsoon river cruise’, pertandingan menghias khemah, 'flying fox', 'jungle trekking' dan pelbagai lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Pesta ‘Maing Hujang’ Setiu Wetlands Race dan Setiu Adventure Park bertempat di Desa Pancaran Delima, Kampung Mangkuk, Setiu di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Pogram tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari di beberapa buah Kampung di daerah Setiu.
Beliau melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama di bawah portfolio pelancongan kerana sokongan serta peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan program berkenaan.
Di samping katanya, membuka peluang kepada pemain-pemain industri yang berniaga makanan, cenderamata serta para pengusaha bot yang rata-rata merupakan penduduk tempatan di daerah Setiu.
“Program ini merupakan kali pertama diadakan hasil daripada turun padang exco pelancongan yang meminta untuk melaksanakan aktiviti bagi menarik pelancong pada musim tengkujuh ini," jelasnya.
Jelasnya lagi, pihaknya bersama exco pelancongan sempat berkunjung ke Rumah Botol Ayahku dan juga bermain beberapa aktiviti berkait komuniti setempat.
Menurutnya, lokasi tersebut sering mencuri tumpuan pengunjung di Desa Pancaran Delima dengan keindahan panorama Pantai Mangkuk.
"Mangkuk di daerah Setiu memang terkenal dengan keunikan lanskap yang memukau.
"Maka tidak hairanlan Setiu, Merang dan Penarik merupakan antara model eko tourism yang terkandung dalam National Ecotourism Master Plan 2016-2025," ujarnya.
11 Feb 24
349
Kemenangan Nik Elin Beri Kesan Negatif Sistem Perundangan Syariah
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kes pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negara termasuk Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tanpa hilang hormat kepada institusi mahkamah, keputusan itu sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia dan ia merupakan hari kelam dan peristiwa hitam (Black Friday) yang akan dikenang oleh semua.
“Sekiranya ada kes liwat di Terengganu dan pelaku didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu, pelaku boleh merujuk kepada keputusan kes Nik Elin bagi mengelak hukuman.
“Sekali gus membatalkan undang-undang sama di Terengganu walaupun undang-undang terbabit telah dipersetujui dan mendapat perkenan Tuanku Sultan di negeri masing-masing,”katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Dr Khalil, sekiranya berterusan, kita juga bakal menyaksikan Mahkamah Syariah hanya gah pada nama tetapi tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini.
Tambah Dr Khalil, Itulah kesan daripada keputusan kes hari ini yang seharusnya diinsafi seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik.
“Ini juga merupakan satu jentikan kepada kita untuk bersatu bangkit melawan serangan musuh Islam yang semakin rancak saban hari.
“Saya juga menggesa Kerajaan agar serius untuk mengkaji suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah kerana sekarang bukan lagi masa untuk bersikap ‘acuh tak acuh’ seperti sebelum ini walaupun banyak nasihat dan amaran sudah diberikan oleh pelbagai pihak,” jelasnya.
Beliau berkata, Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif juga perlu menyokong usaha dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini.
“Langkah itu perlu bagi memperkasakan sistem kehakiman Syariah agar sebarang tuntutan atau petisyen terhadap bidang berkenaan dapat dipatahkan,” ujarnya.
09 Feb 24
701
Menteri Terkejut, Exco Terengganu Tampil Beri Penjelasan
KUALA NERUS, 8 Februari - Exco Kerajaan Terengganu hari ini tampil memberi penjelasan berhubung laporan berita yang mengatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terkejut dengan permohonan geran naik taraf saliran dan tukar rumput stadium dari negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, beliau percaya Hannah mungkin 'terkejut’ Terengganu masih memohon penambahbaikan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dikatakan sudah berada dalam keadaan 'tip top'.
"Sebenarnya tiada apa yang perlu terkejut. Sewaktu Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 pada 9 Januari lalu, saya mengambil peluang bertanyakan soalan dalam sidang mesyuarat ini.
"Antara yang saya timbulkan adalah padang untuk SSMZA tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia kerana rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah memadai.
"Walaupun begitu, jika geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini boleh dimanfaatkan untuk kami 'upgrade' padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat itu untuk cuba dahulu memohon atas semangat objektif yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Hishamuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, permohonan geran itu benar dan tidak membabitkan perkara-perkara lain melainkan sistem saliran padang dan menaiktaraf rumput sedia ada.
"Soal amaun, terpulang pada pandangan pihak kementerian. Usaha kami lakukan terlebih dahulu untuk memohon. Melihat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan secara jelas," katanya.
Tambah beliau, permohonan itu juga dibuat kerana pihaknya mahu memastikan SSMZA berada di tahap paling berkualiti walaupun sudah ramai pemerhati bola sepak memuji keadaan semasa stadium terbabit.
"Sewaktu proses baik pulih padang stadium ini dilaksanakan pada tahun 2018-2019, ia tidak melibatkan sistem saliran secara sepenuhnya.
"Ia masih mengekalkan sistem saliran yang lama. Oleh kerana itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten.
"Tawaran geran KBS ini kami sambut kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetatif.
"Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian, satu kawasan 'nursery' dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang," ujarnya.
Jelas Hishamuddin lagi, beliau percaya pihak KBS di bawah pimpinan Hannah amat menyokong usaha-usaha bersama ini demi melihat agenda pembangunan bola sepak negara terus diperkasakan.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Hannah terkejut dengan Terengganu yang berminat dengan geran naik taraf sistem saliran dan rumput stadium.
"Keputusan skuad Sang Penyu untuk menyahut perubahan berkenaan menarik perhatian kerana rumput jenis Bermuda Princess 77 yang digunakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu merupakan antara yang terbaik.
"Saya pun terkejut kerana dalam media sosial, orang ramai mengatakan ia memiliki kualiti cukup baik. Tetapi, dalam peruntukan disediakan, kami ada dua tujuan sahaja.
"Satu, ia adalah untuk sistem saliran dan satu lagi adalah untuk penukaran rumput supaya liga boleh berjalan," katanya.
08 Feb 24
309
Impian Pelajar Cemerlang Ke UK Hancur Dalam Satu Detik
Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU, 8 Februari - Hasrat seorang pelajar, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21 yang ingin melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) tidak kesampaian akibat kesakitan yang dialami.
Ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46, berkata sebelumnya Amirul tidak pernah mengalami sebarang penyakit namun peristiwa pada tarikh 18 Disember 2023 menyebabkan segalanya berubah dalam satu detik.
Katanya, Amirul telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University dan hasil dari siasatan hospital mendapati salur darah dalam otaknya telah pecah.
"Doktor menjelaskan kepada saya bahawa tengkorak di bahagian otak Amirul pula tidak mengalami sebarang retak namun punca pendarahan itu masih belum diketahui lagi.
"Amirul telah dibawa ke Sunway Medical Centre Unit Kecemasan dan dipindahkan ke Hospital Cyberjaya pada hari sama kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rumahnya pada hari ini.
Turut hadir menziarahi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Merangkap ADUN Ajil, Maliaman Kassim.
Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian Amirul.
Beliau juga mendoakan Amirul agar cepat sembut dan kembali sihat seperti sedia kala supaya dapat merialisasikan impianya.
"Di samping, semoga dia dapat menjalani kehidupan seharian seperti orang-orang lain," ujarnya.
08 Feb 24
1965
Utamakan Keselamatan Dalam Keghairahan Bercuti
MARANG, 7 Februari - Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan kecelakaan dalam kesibukan pulang bercuti.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, keselamatan perlu diutamakan dalam dalam keghairahan sambutan musim perayaan.
"Kita harap semua akan berhati-hati kerana keselamatan jalan raya banyak bergantung kepada pengguna itu sendiri.
"Tambah-tambah, jalan raya kini turut dilalui lembu, binatang lain yang membuatkan kita bimbang risiko yang menanti.
"Kita harap semua pengguna memahami aspek keselamatan termasuk kecuaian manusia, kalau tidak berhati-hati mungkin akan mengakibatkan kecelakaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Musim Tahun Baru Cina di perkarangan Shell Wakaf Tapai, hari ini.
Kempen diadakan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan pelbagai agensi dalam usaha membina gelombang kefahaman bahaya di jalan raya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu; Dato' Wan Rukman Wan Hassan, Pengarah JPJ Terengganu; Zulkarnain Yasin,
ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifli Isa.
Kempen itu turut melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri antaranya Terengganu Inc, Syarikat Air Terengganu (SATU), TDM Berhad dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).
08 Feb 24
255
Rewcastle-Brown Dipenjara 2 Tahun Fitnah Sultanah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Keputusan itu dibuat Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri selepas Rewcastle-Brown, 65, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Nik Mohd Tarmizie kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.
Perbicaraan kes dijalankan secara 'in absentia' (tanpa kehadiran) dibawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.
Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.
Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud Baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Mohd Khairuddin Idris dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali.
Sebelum ini, Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.
Bagaimanapun, Rewcastle-Brown membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagimemandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021. - Berita Harian.
07 Feb 24
367