Artikel "Utama" Terkini
Beri Peluang Baharu Untuk Kembangkan Perniagaan Koperasi
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad disaran meneroka peluang-peluang baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan koperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penerokaan peluang-peluang berkenaan penting dalam memastikan perkembangan pesat koperasi agar tidak terhad di bawah beberapa perniagaan sahaja.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dan memastikan peluang baharu tetap wujud untuk koperasi.
"Mereka boleh mencuba bidang penternakan atau pertanian
memandangkan sektor berkenaan menawarkan potensi besar susulan peningkatan permintaan setiap tahun.
"Kita berharap jika koperasi melebarkan sayap ke dalam sektor perniagaan lain, kedudukan mereka akan berubah, dan lebih ramai akan menjadi ahli apabila koperasi menampakkan hasil yang lebih baik,"ujarnya.
Ariffin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Koperasi Tunas Islam Negeri Terengganu Berhad 2023 di Menara Drawbridge di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, sebagai menghargai pemegang saham utama koperasi, sebanyak 10 peratus agihan dividen dilaksanakan daripada hasil keuntungan sehingga 31 Mac 2023.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada Pasti daripada NGO Iman Care sempena program Wakaf Al Quran yang dijalankan pada tahun 2023 dan pelancaran Umrah Haramain PASTI Negeri Terengganu.
15 Feb 24
221
Pemain Belanda Perkuat Benteng TFC
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Pemain asal Belanda, Matthew Rudolf Maria Steenvoorden bakal memperkukuh benteng Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan itu.
Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata Steenvoorden telah menjadi pilihan utama pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk ditempatkan di benteng pertahanan terakhir pasukan TFC.
Katanya, pemain yang berumur 31 tahun yang berketinggian 1.88 meter itu merupakan bekas pemain kelab Feyenoord dalam Liga Belanda musim 2012 hingga 2015.
"Beliau akan beraksi buat kali kedua di pentas Asia selepas tahun sebelum ini bersama kelab Uzbekistan, Pakhtakor Tashkent FC.
"Ketika beraksi di liga utama Uzbekistan itu beliau turut membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut," ujar kenyataan itu.
Tambahnya, Matthew Steenvoorden juga pernah beraksi di liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC dan SC Cambuur Leewarden sebelum berhijrah ke Croatia pada tahun 2019.
"Pencapaian itu cukup membuktikan beliau seorang pemain yang mempunyai pengalaman yang luas di eropah dan turut pernah menyertai Skuad bawah 19 tahun Belanda.
"Dengan harapan yang tinggi, beliau yang bakal menyarung jersi bernombor 4 menyatakan ingin menggunakan peluang ini sebaik mungkin membuktikan kualiti yang beliau ada bagi memantapkan lagi jentera pertahanan tengah pasukan ini," jelasnya.
Pihak Pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Steenvoorden dan selamat berjuang.
15 Feb 24
233
TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000
HULU TERENGGANU, 15 Februari- Pasukan Bola Sepak, Terengganu FC (TFC) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, jumlah penajaan itu adalah bagi tempoh semusim.
"Selain wang tunai bernilai RM250,000, tajaan yang diterima daripada pihak Rimba Razia membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan TFC.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini pasukan TFC telah berjaya mengumpul kira-kira RM7 juta penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 23 syarikat.
Sementara itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, sebagai peminat tegar bola sepak, tajaan tersebut merupakan salah satu sumbangan syarikatnya kepada pembangunan sukan bola sepak negeri selain diharap dapat membantu mempromosikan zoo miliknya itu.
"Kami mengharapkan agar sumbangan kecil daripada syarikat kami ini akan meransang lagi pasukan TFC dan pemain-pemainnya untuk berjuang dalam pertandingan musim hadapan ini dengan lebih cemerlang.
"Sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, insyaAllah kita akan tambah lagi penajaan pada musim-musim akan datang," katanya.
15 Feb 24
347
Terengganu Terima Kunjungan Duta Palestin
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Kerajaan Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Palestin ke Malaysia, TYT Walid Abu Ali bersama rombongan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata TYT Walid menceritakan sedikit sebanyak tentang isu global yang sedang berlaku kini sekali gus menimbulkan rasa pilu apabila mengenangkan keadaan saudara kita di sana.
“Beliau juga meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada kelompok yang mempertahankan dan menyumbang kepada rakyat di sana.
“Semoga hubungan antara Malaysia dan Palestin dapat diperkukuhkan demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau meminta agar rakyat teruskan berdoa dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing sama ada dari segi kewangan, fizikal dan sebagainya.
Untuk rekod, Terengganu berjaya mengumpulkan sumbangan RM2,414,300 untuk disalurkan bagi membela nasib umat Islam yang sedang ditindas dan sedang berjuang demi membebaskan bumi al-Aqsa.
Tabung yang dilancarkan pada 13 Oktober itu telah diserahkan kepada Sekretariat #Aid4Palestin di Masjid Rusila, Marang pada 5 November lepas.
15 Feb 24
134
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'.
"Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
"Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini.
"Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.
15 Feb 24
1073
Terengganu Jalin Hubungan Dengan Indonesia
SUMATERA BARAT, 15 Februari - Kerajaan negeri telah mengadakan hubungan kerjasama dengan kerajaan Indonesia bagi membantu mempekasakan usaha-usahawan kecil di Terengganu melalui langkah strategik dalam dunia perdagangan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kunjungan hormat kepada Gubernur Sumatera Barat, Mahyledi Ansharullah baru-baru ini amat bermakna sebagai langkah permulaan yang baik.
"kunjungan ini adalah peluang keemasan untuk menjelajahi potensi kerjasama yang dapat dijalin keranaTerengganu dan Sumatera Barat memiliki banyak persamaan.
"Terutama membabitkan produk tempatan yang kaya akan nilai budaya. Melalui inisiatif ini kita dapat meningkatkan skala usaha kecil kita dan membuka lebih banyak peluang yang besar di pasaran komersial dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, sewaktu berkunjung di Rumas Dinas Gubernur Sumatera Barat Berkenaan yang juga merupakan Kepala Dinas Pariwisata serta Kepada Dinas Perindustrian dan Perdagangan dan juga Kepala Dinas Koperasi.
Sementara itu Gubernur Mahyeldi dalam kunjungan itu telah menekankan pentingnya kerjasama antara wilayah dalam menghadapi cabaran global pada ketikan ini.
"Kami menyambut baik inisiatif dari Terengganu dan siap untuk bekerjasama dalam bidang perdagangan. Ini adalah langkah awal yang baik untuk memperkuat hubungan antara kedua belah pihak," ujar Mahyeldi.
Untuk rekod Sepanjang kunjungan tersebut, kedua belah pihak saling bertukar fikiran dan pengalaman dalam berbagai potensi kerjasama usahawan, termasuk pertukaran produk kraftangan, pembangunan usaha bersama, serta program pertukaran pengetahuan dan keahlian di antara pengusaha kecil dan industri besar dari kedua wilayah.
kedua-dua belah pihak mengharapkan perbincangan berkenaan akan membuka peluang baru bagi usahawan-usahawan kecil untuk memperluas jaringan dan meningkatkan kapasiti produksi mereka.
Antara sebahagian daripada agenda kunjungan, YB Ustaz Ariffin juga mengunjungi beberapa lokasi usaha lokal di Sumatera Barat untuk melihat langsung praktik terbaik yang dapat diadopsi oleh usahawan Terengganu. Ini termasuk kunjungan ke pusat-pusat produksi kopi dan tenun, yang merupakan produk eksport asli Sumatera Barat.
Kunjungan hormat YB Ustaz Ariffin Deraman ke Sumatera Barat ini menandai awal yang baru dalam hubungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam memperkuat kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk kesejahteraan rakyat di kedua wilayah.
15 Feb 24
169
Pemuda Raih Pendapatan Lumayan Cebur Bidang Penternakan
SETIU, 15 Februari - Seorang anak muda dari Kampung Bahagia meraih pendapatan lumayan apabila menceburi bidang penternakan ayam daging secara komersil.
Hisyamudin Mat Isa, 30 berkata, beliau mewarisi bidang penternakan ayam daging daripada bapanya sejak tahun 2018.
"Reban yang sedia ada sekarang ini kita mampu memuatkan 10,000 ekor ayam dalam satu-satu masa.
"Kita mempunyai tiga reban dan saya bercadang untuk menambah lagi reban bagi membolehkan lebih banyak ayam dapat diternak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Penternakan ayam daging yang diusahakannya turut mendapat pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.
Tambahnya lagi, masa yang diambil untuk ayam membesar dan boleh dipasarkan adalah selama 35 hari.
15 Feb 24
411
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut.
Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu
"Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan.
"Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap.
Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
383
I-MiTS, KWSP Perkukuh Hubungan Rakan Strategik
KUALA TERENGGANU, 14 Februari- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) komited dalam memperkukuhkan hubungan bersama rakan strategiknya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengarah I-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata, matlamat utama kerjasama tersebut adalah untuk menjalin hubungan baik I-MiTS bersama kerajaan negeri, melalui portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional dengan pihak KWSP.
“Pada minggu lalu kita telah mengadakan pertemuan bersama pihak KWSP bertempat di Wisma Darul Iman.
“Dalam perjumpaan tersebut, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Rahmat Ali telah berkongsi beberapa perkara antaranya memberi penerangan mengenai produk-produk yang ada di KWSP untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
“Beliau turut memaklumkan terdapat 10 produk KWSP yang perlu diketahui oleh orang ramai,” ujarnya.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu KWSP sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan sebarang program demi untuk kebajikan rakyat.
“Selari dengan misi memperkukuhkan celik pengurusan kewangan terutamanya yang berada di sektor tidak formal melibatkan pelajar, bekerja sendiri, suri rumah dan lain-lain,” ujarnya.
14 Feb 24
306
Bina Penempatan Baharu Mangsa Banjir Hulu Dungun
HULU DUNGUN, 13 Februari - Kerajaan dicadang untuk mewujudkan perumahan dan penempatan baharu bagi penduduk terkesan banjir termasuk dari Kampung Pasir Raja dan Kampung Syukur serta sekitarnya bagi mengelakkan mereka terbeban dengan kerugian harta benda serta masalah sama setiap tahun.
Serentak itu, penduduk kedua-dua kampung terlibat bersetuju sekiranya kerajaan negeri berhasrat mewujudkan rancangan tersebut di kawasan penempatan baharu yang lebih selamat daripada banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani, 62, berkata penduduk Kampung Pasir Raja bersedia menyahut seruan kerajaan negeri sekiranya kerajaan berhasrat membina kawasan perumahan baharu untuk mengatasi masalah tersebut.
Katanya, penduduk bersedia mengenalpasti kawasan yang sesuai dan akan membuat cadangan tersebut melalui JPKK kampung itu jika perlu.
Menurutnya penduduk bersedia membayar sewa beli rumah berkenaan dengan harga berpatutan sebagaimana syarat biasa memiliki rumah kerajaan.
"Walaupun pendapatan penduduk kampung tidak seberapa namun mereka bersedia membayar kadar sewa beli rumah yang berpatutan jika kerajaan bersedia membantu menyelesai masalah mereka dengan mengadakan perumahan mampu milik di kampung kami," katanya ketika ditemui di kampung Pasir Raja di sini hari ini sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris di kampung tersebut.
Sementara itu Timbalan Pengerusi JPKK Syukur Che Wan Baderi Che Wan Hassan, 62, berkata lebih 100 penduduk kampung itu menerima tanah untuk perumahan seluas kira-kira 140 ekar di Kampung Bukit Tiong Sungai Perlis daripada kerajaan negeri.
JPPK Syukur dan penduduk kampung katanya memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan berhasrat menjadikan tanah tersebut sebagai kawasan penempatan dan perumahan baharu supaya masalah terkesan banjir dapat diatasi.
"Kami bersedia membayar sewa beli rumah tersebut sebagaimana kesanggupan yang dibuat penduduk Kampung Pasir Raja," ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Setiap tahun penduduk kampung Pasir Raja dan Syukur menghadapi masalah banjir mengakibatkan rumah mereka ditenggelami air dan paling teruk tahun ini rumah mereka berhadapan dengan banjir lumpur.
Tinjuan UPDI mendapati keadaan rumah penduduk kedua-dua kampung tersebut ada yang belum pulih sepenuhnya dan masih terdapat kesan-kesan banjir di sekitar rumah mereka termasuk lumpur dan timbunan peralatan rumah yang rosak.
Untuk rekod, sebelum ini Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk membina dua buah rumah yang musnah akibat banjir baru-baru ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dua kediaman tersebut membabitkan daerah Kemaman.
“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Negeri telah memberi peruntukan untuk membina dua kediaman mangsa banjir yang musnah di daerah Kemaman," jelasnya.
14 Feb 24
339