lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sabasun 'Buang' 100 Peratus Produk Berkait Israel
Sabasun 'Buang' 100 Peratus Produk Berkait Israel
DUNGUN, 18 Februari - Sabasun bertegas untuk memboikot sepenuhnya segala produk dan barangan berkait negara haram Israel bermula Mac ini. Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, ia termasuk produk daripada jenama Nestle yang tidak akan dijual lagi. Ujarnya, Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman coca- cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada zionis Israel "Bermula 1 Mac ini akan boikot 100 peratus termasuk barangan Nestle yang sebenarnya berpengkalan di Switzerland namun malangnya mereka melabur dengan begitu banyak kepada Israel. "Kita pernah menghantar surat kepada ibu pejabat Nestle di Switzerland bermula tahun 2006 hingga 2009 agar mengeluarkan pelaburan mereka agar tidak lagi terlibat secara langsung dengan negara haram terbabit tetapi pada tahun 2016 mereka menambah saham mereka menjadi 100 peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Mengulas lebih lanjut, Che Salmi menegaskan pihaknya tidak akan memenuhi lagi permintaan pelanggannya yang masih lagi bergantung harap kepada beberapa produk daripada jenama Nestle. "Kita tidak pernah melihat pada peradaban moden ini sebarang bentuk kezaliman yang begitu kejam sebagaimana dilakukan Israel terhadap lebih 30 ribu nyawa orang awam termasuk 12,000 kanak-kanak. "Mereka tanpa segan silu melakukan kedurjanaan ini, tidak pernah kenal undang-undang antarabangsa, hak kemanusiaan dan undang-undang perang walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan lebih 200 amaran namun tidak diendahkan," ujarnya. Dalam pada itu katanya, pihak Sabasun mengharapkan agar rakyat terus menderma melalui tabung Palestin yang dikhaskan di Sabasun dan terus mendoakan Palestin di samping bertekad akan memboikot sepenuhnya segala barangan berkait Israel. "Teruskan bercakap mengenai isu yang berlaku di Gaza ini agar tidak mati sebegitu sahaja, jangan ulangi sebagaimana yang pernah berlaku suatu waktu dahulu hampir tidak ada yang mengambil peduli mengenai apa yang terjadi di Palestin. "Dengan berlakunya taufan Al-Aqsa ia kembali membangkitkan masyarakat dunia, teruskan berdialog, berpidato agar Palestin akan sentiasa ada dalam hati kita, insya-Allah," ujarnya.
18 Feb 24
4157
Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu
Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu
BESUT, 18 Februari - Pesta Main Selut Bukit Tanah berpotensi dijadikan tarikan agro pelancongan berikutan keunikan yang ditampilkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, ia dibuktikan dengan kemeriahan acara basikal titi dalam penganjuran tahun lalu yang tular di seluruh negara. Jelasnya, pesta itu boleh dibangunkan sebagai satu agro pelancongan dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan industri penanaman padi negara. "Dalam masa sama, kita jemput orang ramai turun ke sawah sebelum kita mulakan musim menanam. "Setahun demi setahun kita menuju ke arah itu dan tidak mustahil kita mampu menjadikannya festival yang bukan setakat bertaraf nasional tetapi mungkin bertaraf antarabangsa. "Ini kerana, pelancong-pelancong luar yang datang suka melihat keunikan budaya dan tradisi masyarakat," katanya. Dr Azman menunjukkan kebolehannya bermain bola dalam lumpur. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam pesta yang berlangsung di Baruh Padi Gong Telikung, semalam. Tambah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu, pesta berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dibantu pelbagai badan komuniti sebagai usaha menghimpunkan masyarakat kampung dalam suasana santai di kawasan jelapang makanan Terengganu. "Acara tanpa batas sempadan usia ini nampaknya berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni dan merapatkan ukhuwah. "Kita kembalikan memori alam kanak-kanak yang penuh keriangan dengan pelbagai acara antaranya bola sawah, 'igak' itik, 'gagau' ikan, basikal titi, pukul bantal, tarik upih, memancing dan beberapa lagi. "Insya-Allah, kita akan jadikan acara tahunan sebelum musim menanam padi baru," katanya. Antara acara yang menarik perhatian ramai. Dalam pada itu, pengerusi JPKK Kg Bukit Tanah, Muhammad Shairi Othman berkata, penganjuran edisi kedua itu ternyata lebih meriah dengan kehadiran sekitar 500 warga kampung. "Alhamdulillah semua boleh 'mari belaka' kerana program begini tidak ada sekatan berdasarkan warna politik. "Sebelum ini mudah dah (bekerjasama di kalangan penduduk), tetapi kalau ada program sebegini akan memudahkan lagi kerja-kerja JPKK dalam menguruskan kampung tambah-tambah YB kawasan juga mudah dan sentiasa bersama masyarakat," katanya. Program setengah hari itu juga disertai 15 anggota dan tiga pegawai Batalion Kedua, Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Sri Tembila yang mengadakan pameran dan dorongan kepada anak-anak muda kampung untuk menyertai pasukan itu selain turut menyertai acara yang diadakan. Lawan tarik tali dalam lumpur agak sukar untuk menentukan pemenang.    
18 Feb 24
1553
Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera Tarik Lebih 10,000 Pengunjung
Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera Tarik Lebih 10,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) menerima lebih 10,000 pengunjung selama tiga hari program berlangsung yang bermula 15 hingga 17 Februari bertempat di pasaraya KTCC di sini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, seramai 24 orang usahawan terpilih dalam program tersebut yang terdiri dari belia dan beliawanis Terengganu. Katanya, karnival jualan U-BES ini merupakan program julung kalinya dianjurkan oleh pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang menghimpunkan Usahawan Belia Sejahtera di bawah satu bumbung. “Rata-rata peniaga meluahkan perasaan puas hati kerana sambutan yang meriah ditunjukkan dari kalangan para pengunjung yang hadir. “Beberapa gerai yang menjadi tumpuan pada karnival tersebut antaranya gerai kek lapis, kuih-muih tempatan, pakaian batik dan sebagainya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketik sidang media selepas Menghadiri Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi. Tambah Ariffin, penyertaan para peniaga yang mendaftar di bawah U-Bes juga amat memberangsangkan dan lebih ramai pada tahun ini. “Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Insyaallah pihak YPU Terengganu akan menganjurkan lagi program sedemikian rupa pada masa akan datang. “Terima kasih diucapkan kepada semua usahawan yang terlibat dalam menjayakan Karnival Jualan U-BES ini,” ujarnya.  
18 Feb 24
328
Didikan Awal Berhijab Bermula Dari Rumah
Didikan Awal Berhijab Bermula Dari Rumah
SETIU, 18 Februari - Didikan awal berhijab bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga memegang peranan utama dalam membimbing anak-anak mengenai nilai-nilai menutup aurat, pemahaman tentang keagamaan dan mengajarkan kehormatan diri. Ketua Nisa' kawasan Setiu, Siti Mardhiah Mohd Zain berkata, langkah proaktif itu bagi memastikan anak-anak membesar dengan kesedaran yang kukuh terhadap pentingnya menutup aurat sebagai aspek utama dalam kehidupan beragama. "Semuanya bermula dari rumah.Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan awal berkenaan berhijab. "Apabila dari rumah sudah kita asuh dan didik dengan baik maka ia akan menjadi amalan dan ikutan serta amalan yang baik sedari anak-anak kecil sehinggalah dewasa kelak," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Sambutan Hari Hijab Terengganu Peringkat Daerah Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10, pada kelmarin. Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain bin Abdul Kadir, Pegawai Pejabat Agama Daerah Setiu, Ustaz Mohd Shaharuddin Zainal, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Hamiz Zahiruddin Zahari. Tambahnya, risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita turut diedarkan pada orang ramai. Selain itu, stokin tangan dan kaki turut diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang datang membeli belah. "Terima kasih juga diucapkan kepada Pejabat Daerah Setiu dan juga Majlis Daerah Setiu yang telah menyediakan kemudahan untuk para peserta yang hadir. "Insya-Allah jumpa lagi di program program akan datang," tambah Siti Mardhiah lagi.  
18 Feb 24
130
Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa
Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa
BESUT, 18 Februari - Kenyataan yang saling bercanggah dalam isu utama negara terutama melibatkan sumber makanan ruji negara seperti beras tidak boleh diterima sama sekali. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menegaskan, percanggahan keputusan dalam kementerian lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan utama akan memberi impak kepada seluruh rakyat. "Di kalangan teraju yang menjaga sektor makanan negara tidak sepakat, baru-baru ini ada seorang keluar kenyataan (Ahli Parlimen Bukit Gantang), semalam pula menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan-KPKM), keluar kenyataan menafikan kenyataan itu. "Saya tengok ada sesuatu isu yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian, bagaimana seorang boleh mengeluarkan kenyataan dan apakah dia berautoriti dalam bidang kuasanya? Tanpa kelulusan kabinet dan menteri pula hari ini memberi kenyataan tidak merestui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini. "Bagaimana boleh tidak sepakat dalam perkara ini, selesaikanlah. Jangan jadikan rakyat keliru serta buat satu solusi yang terbaik," katanya. Belilau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Main Selut Bukit Tanah 2024 yang diadakan di Baruh Padi Gong Telikung, semalam. Tambah Dr. Azman, keputusan tersebut seharusnya dikaji semula oleh kementerian terbabit sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas ini kerana sebarang keputusan akan memberi impak besar kepada rakyat. "Kita tidak dapat elak situasi pembelian panik berlaku kerana ada kemungkinan harga akan naik pada suatu tarikh yang ditetapkan apabila ia berkuatkuasa. "Semoga ia dikaji semula kerana dilihat tiada kesepakatan. Daripadakenyataan dikeluarkan sebelum ini (oleh Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)) seolah-olah mendapat restu Perdana Menteri, tetapi hari ini dinafikan pula. "Kita harap mereka tengok semula kepentingan rakyat, jangan kita jaga kepentingan taikun-taikun yang akhirnya menekan rakyat dengan sektor makanan ruji seperti ini," nasihatnya. Sebagai rekod, pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL mengumumkan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara. Namun, hari ini Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara itu. Jelasnya dalam kenyataan itu, kerajaan belum ada ketetapan yang dibuat atas cadangan Datuk Syed Abu Hussin, sebaliknya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membincangkan secara kolektif isu Beras Putih Malaysia Madani dalam Mesyuarat NACCOL akan datang. Nota: Kluk klek merupakan loghat Terengganu yang bermaksud tidak tetap pendirian. 
18 Feb 24
500
Terengganu FT Pertaruh Kudrat 'Anak Malaysia' Hadapi MPFL 2024
Terengganu FT Pertaruh Kudrat 'Anak Malaysia' Hadapi MPFL 2024
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Terengganu Futsal Team (Terengganu FT) tampil sebagai satu-satunya pasukan tanpa pemain import dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 yang bermula hari ini. Ketua jurulatih, Rozairi Ahmad menyifatkan, ia satu cabaran besar buat pasukan terbabit dalam menempatkan diri di kalangan pasukan terbaik Liga Futsal Kebangsaan itu berikutan ketujuh-tujuh pesaing memiliki tenaga import. "Untuk tahun ini, persedian pasukan menampilkan sepenuhnya pemain tempatan dengan 80 peratus merupakan tonggak bawah 21 tahun (11 pemain) yang bersaing di Sukan Malaysia (SUKMA). "Manakala, hanya 30 peratus 'muka lama' yang dikekalkan dari tahun lepas. Boleh dikatakan ia merupakan pasukan baharu yang diketengahkan. Dari segi senior, ada dua pemain baru iaitu Alif Mat Amin dari Pahang Rangers dan bekas pemain KL City FC, Akram Mukhriz. Tetapi dari segi positifnya, ia merupakan pendedahan awal terutama kepada pemain SUKMA, mungkin jika ia tidak berhasil di MPFL kita akan dapat sesuatu di SUKMA pada Ogos nanti," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum dan Persefahaman KOMII sebagai penaja kit rasmi Pasukan Futsal Terengganu bagi musim 2024 di DSH, Batu Burok, baru-baru ini. Majlis ini ditandatangani oleh Pengarah Urusan KOMII, Ameer Asraf Abllah dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya yang disaksikan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim. Menurut Rozairi, pertemuan menentang KL City FC malam ini bakal menguji langkah pertama skuad kendaliannya. "Kita tidak lawan mereka tahun lalu kerana berlainan kumpulan, tetapi kalau tengok pada rekod, kita bagus melawan mereka lebih-lebih lagi kita ada kelebihan sebagai tuan rumah pada perlawanan pertama ini. "Cuma, kita tidak tahu tentang duo import mereka yang dimaklumkan daripada Korea Selatan dan Afghanistan, tetapi kekuatan kita di rumah sendiri agak tinggi," katanya. Justeru, beliau berharap penyokong futsal Terengganu dapat menggamatkan Stadium Negeri malam ini dengan sorakan yang mengentarkan lawan.          
17 Feb 24
310
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
KUALA NERUS, 16 Februari - Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu. Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC). "Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara 'outreach' di sini sebelum ke Besut dan Setiu. "Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. "Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam. Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada. "Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain. "Ini  merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun," katanya. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan. "Program secara 'outreach'  ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja," ujarnya.    
16 Feb 24
7182
Beras Madani Buat Rakyat Makin Tersepit
Beras Madani Buat Rakyat Makin Tersepit
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Keputusan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara bakal menyebabkan rakyat tersepit kerana tiada pilihan dalam mendapatkan sumber makanan ruji itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dahulu rakyat yang kurang berkemampuan boleh membeli beras tempatan berharga murah. "Apa pun, kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi tiada pilihan. Hendak tanak nasi, inilah saja beras yang ada.  "Beras adalah sumber makanan ruji rakyat. Kenaikan ini meletakkan rakyat dalam situasi memikul bebanan perbelanjaan tambahan demi mendapatkan bekalan makanan ruji, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos hidup yang sudah sedia membebankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Tambahnya, kerajaan perlu memberi penjelasan samada Beras Putih Malaysia Madani itu merupakan beras tempatan atau beras import, atau beras campuran keduanya. "Kalau ia beras tempatan, bermakna ada kenaikan harga kira-kira RM1 bagi setiap kg berbanding harga sebelum ini RM2.50/kg. "Sekiranya beras import, bermakna ada penurunan harga kerana sebelum ini beras import biasanya dijual sekitar RM3.80/kg.  "Saya tak merasakan ia adalah beras import kerana kuantiti import beras kita hanya sekitar 33 peratus dari keperluan negara," ujarnya. Menurutnya lagi, jika ia dihasilkan daripada campuran tempatan dan import, komposisi campuran tentunya 60-70 peratus ialah beras tempatan dan bakinya adalah beras import. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keputusan memperkenalkan Beras Madani pada sidang media, dua hari lalu. Serentak itu, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg),  berkuat kuasa Isnin ini. Dalam sidang media tersebut, Syed Abu Hussin Hafiz memaklumkan, penetapan harga siling muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan. Beliau turut memberitahu media bahawa ketetapan dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dan perkara berkenaan sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
16 Feb 24
970
Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program
Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program
SETIU, 16 Februari - Penganjuran Terengganu Hijab Day (THD) bukan sekadar program berhijab atau bertudung tetapi mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda itu berjaya dijalankan. "Tahniah kepada pihak penganjur NISA' Setiu atas program yang dijalankan pada hari ini dengan bersama turun padang menggerakkan kempen Terengganu Hijab Day pada hari ini. "Dalam masa yang sama, kita semua sedang menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat sebagaimana yang disuruh dalam Islam Amar Maaruf Nahi Mungkar," katanya ketika berucap pada majlis ringkas THD peringkat kawasan Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10. Hadir sama Pegawai Agama Daerah Setiu, Mohd Shaharuddin Zainal. Dalam pada itu, turut diadakan soal jawab kuiz, edaran risalah dan agihan belon khas sempena THD 2024. Kemuncak sambutan THD akan diadakan pada 22 Februari nanti bertempat di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus yang akan dirasmikan oleh Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri.
16 Feb 24
382
Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri sudah merangka pelan pembangunan bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ini termasuk dengan membina laluan cabang landasan (spur line) di lokasi ke Pelabuhan Kemaman. “UPEN juga sedang menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan-kawasan sekitar stesen ECRL di Jerteh, Permaisuri, Dungun, Kerteh dan Chukai.  “Pembangunan yang dirancang akan menyokong kepada industri pemprosesan, pelancongan, pengumpulan produk tani dan berbagai aktiviti-aktiviti komersil,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) susulan kunjungan hormat kerajaan negeri ke atas CEO Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di pejabat beliau di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Delegasi tersebut turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Harun, Pengurus Kanan Lembaga Pelabuhan Kemaman, Mohd Idi Amin Salleh dan Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ridzuan Ali. Tambah Tun Faisal, pelan cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaaan Malaysia Negeri Terengganu (MOTAC), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECER). Jelas Tun Faisal lagi, status pelaksanaan untuk jajaran ECRL di Terengganu adalah mengikut jadual Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mewujudkan ‘spur line' dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat. Menurutnya, apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum. “Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.  
16 Feb 24
3597