lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kaji Sebelum Laksana Beras Putih Madani
Kaji Sebelum Laksana Beras Putih Madani
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - "Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji secara mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakan Beras Putih Malaysia Madani," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman. Beliau berkata, sebelum ini sudah berlaku beberapa kes yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak diputuskan dengan baik.  “Kita tahu kerajaan mungkin ada kumpulan yang berbincang tetapi apabila Presiden Persatuan Peruncitan Malaysia, bos Mydin kata sendiri beliau tidak dilibatkan sebagai orang pengimport beras, jadi beras tu jadi dilema. "Sepatutnya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa mereka mesti turun ke bawah pergi ke negeri-negeri dan buat pertemuan dengan Bernas supaya istilah di sini ‘jejak sungguh’ baru buat keputusan," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini baru-baru ini. Tambah Ariffin, pihak kerajaan perlu membuat penguatkuasaan di negeri-negeri yang menghasilkan beras. “Ini kerana masih ada penanaman padi di Jabi, Besut kalau di Terengganu walaupun tidak banyak tapi alhamdulillah di Kelantan, Kedah, Selangor dan beberapa negeri mereka banyak sebenarnya mengeluarkan tanam padi sendiri, hasil itu ada. “Jadi soalannya di mana padi itu (beras) yang dihasilkan, jadi sepatutnya penguatkuasaan oleh pihak kerajaan memastikan beras tempatan itu kekal dengan harga murah atau sama dengan harga antara RM24 hingga RM26 dan tidak RM30," katanya. Jelasnya lagi, bila dipantau oleh banyak pihak dan mereka tidak boleh jawab kalau betul RM30 dan dengan keputusan itu adakah boleh bertahan lama beras tu sebab pelbagai isu sebenarnya yang (berlaku). “Kita juga rasa malang sekali, bila saya sebut sesetengah negara mereka bagi subsidi bukan RM30 sepatutnya RM10 sahaja untuk 10 kilogram atau RM20 bagi orang susah,” ujarnya. Tambahnya lagi, perkara itu boleh dilakukan dengan mengenal pasti rakyat yang miskin menggunakan rekod di setiap negeri. “Negeri kita sudah ada senarai kerajaan negeri dan pusat ada yang kita sebut eKasih. Orang yang ada eKasih, kerajaan buat satu kad untuk beli beras dengan harga RM30 ditolak RM20, kita boleh buat macam tu, benda tidak susah untuk dibuat sekarang ini. “Sistem dia keluarkan kad pengenalan, kalau kad Touch N Go pun boleh buat apatah lagi kita meletakkan cip dalam cip, dia (rakyat) tunjuk kad pengenalan automatik boleh tolak RM20,” katanya. Mengambil contoh luar negara, kata Ariffin yang juga Adun Alur Limbat, negara miskin mereka memberi subsidi melalui makanan ruji. “Contohnya Mesir, roti tempayan dulu pernah (dijual) 5 sen kita orang luar beli pun 5 sen, sebiji yang RM3, tapi kalau beli di kedai harga RM1, jadi orang miskin boleh hidup orang kaya boleh hidup,” ujarnya.
22 Feb 24
332
'World Wetlands Day' Bawa Rakyat Terokai Alam
'World Wetlands Day' Bawa Rakyat Terokai Alam
SETIU, 20 Februari – Penganjuran ‘World Wetlands Day’ membawa rakyat merasai sendiri keajaiban alam semulajadi yang memainkan peranan besar terhadap kehidupan manusia. Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata penganjuran tersebut bertujuan mendalami bagaimana kawasan tanah bencah sangat penting dalam menjaga kesejahteraan hidup. Katanya, keluasan kawasan Setiu Wetlands yang berjumlah 23,000 hektar didiami oleh pelbagai lapisan komuniti. "Dengan kekayaan alamnya yang luar biasa, menjadi saksi bisu bagaimana ekosistem sedia ada memberikan manfaat luar biasa bagi kehidupan sehari-hari. “Kawasan tanah bencah bukanlah hanya sekadar pemandangan indah, tetapi juga ia merupakan satu sumber kehidupan yang mana menjadi sokongan utama dalam memastikan bekalan air bersih," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Program Sambutan World Wetlands Day 2024 bertempat di Jeti Kampung Gong Batu, Setiu di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Ahmad Ridzuan Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Ariffin Tengku Dato’ A Rahman. Tambah Tun Faisal, hubungan antara tanah bencah dan kesejahteraan manusia tidak dapat dipisahkan. Jelasnya lagi, air bersih yang digunakan untuk minum, pertanian, dan sokongan terhadap kepelbagaian spesies semuanya bersumber dari tanah bencah. Oleh itu, adalah menjadi satu kewajiban bagi kita untuk melindungi dan menjaga kawasan tanah bencah ini agar terus mampan. Beliau berkata, melalui usaha kolaboratif antara pihak kerajaan, komuniti akan memastikan bahawa taman negeri Setiu Wetlands tetap lestari dan memberikan manfaat jangka panjang bagi kesejahteraan manusia. Bagaimanapun, ini bukan hanya tanggung jawab agensi kerajaan atau segelintir pihak saja, tetapi ia adalah merupakan sebuah komitmen bersama untuk melindungi aset alam yang berharga ini. “Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang berlangsungnya program pada pagi ini sejajar dengan tema sambutan World Wetlands Day 2024 iaitu, 'Wetlands and Human Wellbeing'. “Maka, program ini dilaksanakan dengan memperkenalkan kepentingan dan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai keunikan persekitaran alam semulajadi tanah bencah yang unik di Setiu Wetlands ini,” ujarnya.      
20 Feb 24
239
Outreach Pekerjaan Bantu Masyarakat Keluar Daripada Pengangguran
Outreach Pekerjaan Bantu Masyarakat Keluar Daripada Pengangguran
SETIU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu menganjurkan Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu di Daerah Setiu bagi mengeluarkan masyarakat daripada belenggu pengangguran. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program bersama Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT), Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu telah berlangsung sejak 15 Februari iaitu di Kuala Nerus dan di Besut. "Sebanyak lebih 200 peluang pekerjaan ditawarkan dan sudah diisi kekosongan ini di besut seramai 110 orang, 15 orang di Kuala Nerus dan masih berbaki. kHari ini (semalam) program ini dilaksanakan di Setiu. “Saya mengucapkan terima kasih kepada THRDC, PERKESO Terengganu, Syarikat SONY EMCS (Malaysia) Sdn Bhd dan Pejabat Daerah Setiu yang telah mengadakan program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Daerah Setiu," katanya ketika ditemui media selepas program. Tambah beliau lagi, usaha ini dapat memberi pekerjaan kepada belia dan beliawanis khususnya di Setiu. "Tahniah kepada THRDC dengan penganjuran program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Daerah Setiu," katanya.
20 Feb 24
211
Hanya Satu Hari Lagi Peluang Rakyat Namakan Maskot Penyu
Hanya Satu Hari Lagi Peluang Rakyat Namakan Maskot Penyu
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Hanya berbaki satu hari sahaja lagi peluang untuk rakyat negeri ini menamakan dua ekor penyu, satu jantan dan satu betina yang akan menjadi maskot  pelancongan Terengganu. Pertandingan berkenaan layak disertai oleh semua rakyat Malaysia yang berumur tujuh tahun ke atas kecuali kakitangan pelancongan Terengganu dan ahli keluarga tidak boleh menyertainya. Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hadiah yang dijanjikan ialah wang tunai RM500 dan juga pakej percutian yang menarik dan tarikh tutup pada 22 Februari sebelum jam 5 petang. "Kita mengangkat kembali penyu ini kerana ia melambangkan negeri Terengganu kali ini dengan imej beridentitikan rakyat negeri pakai kain batik, pakai tudung jadi kita ketengahkan kembali ikon ini supaya memberi daya tarikan. "Walaupun sebelum ini kita telah memperkenalkan penyu sebagai simbol pelancongan negeri tetapi pada kali ini kita memperkenalkannya melalui konsep serta nafas baru yang lebih menarik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini. Katanya, langkah mengangkat kembali reptilia itu sebagai ikon sangat bersesuaian dengan usaha kerajaan negeri memulihara haiwan tersebut yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu. "Kita akan jadikan juga aktiviti melepaskan anak penyu sebagai aktiviti yang ada dalam kalendar pelancongan pada tahun ini dengan mengajak pelancong-pelancong untuk bersama-sama melepakan anak penyu. "Bagi memberikan kesedaran dan memupuk kecintaan kepada penyu yang kita tahu sekarang ini mengalami ancaman kepupusan jadi kita mengharapkan melalui usaha pelepasan anak penyu yang dijalankan pada tahun-tahun sebelum ini akan memastikan meningkatnya kedatangan penyu yang dilepaskan," ujarnya.  
20 Feb 24
1077
Akademi Alfateh Tekad Perkukuh Jati Diri Belia Terengganu
Akademi Alfateh Tekad Perkukuh Jati Diri Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Februari -Akademi Kepimpinan Al Fateh sedia meneruskan Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi memperkukuhkan jati diri anak Terengganu mengikut acuan Islam setiap tahun. Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, program yang telah dimulakan sejak tahun 2022 itu telah disertai lebih 1500 orang yang mengikuti program melalui intipati modul yang berkesan serta pelbagai aktiviti lasak yang menarik telah menjadi sebutan dan mendapat sambutan ramai. "Bagi tirai 2024 yang sudah dibuka, pihak kami sekali lagi akan menganjurkan program yang berimpak tinggi ini kepada semua belia-beliawanis di Terengganu sepanjang tahun. "Pengisiannya adalah meliputi 'tarbiyyah Islamiyyah, kenegaraan dan lain-lain bakal bertandang dan nantikan pengumuman terdekat dari Akademi kepimpinan Al-Fateh," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Mengulas mengenai Akademi Kepimpinan Al-Fateh , Mukrim berkata ia merupakan organisasi yang menjadi salah satu mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang mendokong misi dan visi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri. "Diasaskan melalui hasrat Menteri Besar Terengganu dan ditubuhkan sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Terengganu (Incorporated). "Penubuhannya adalah menekankan kepada lima tonggak utama belia iaitu pembenteng agama, menjadi pemimpin masyarakat, pembimbing, pemikir dan peduli ummah. "Cetusan nama Sultan Muhammad Alfateh diabadikan dalam akademi ini merupakan semangat kerajaan Terengganu bagi melahirkan belia dan beliawanis yang berkualiti," ujarnya.  
20 Feb 24
537
Buruh Dihukum Sebat di Bawah Enakmen Syariah Kerana Berkhalwat
Buruh Dihukum Sebat di Bawah Enakmen Syariah Kerana Berkhalwat
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini mengenakan empat sebatan ke atas seorang buruh binaan yang telah melakukan kesalahan khalwat. Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 turut dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda atas kesalahan tersebut. Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat. Walau bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan manakala hukuman sebatan akan dilaksanakan dipenjara selepas tamat tempoh rayuan. Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan kedua tertuduh. Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023. Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Januari lalu. Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  
19 Feb 24
634
Lapor PBT Jika Premis Jual Arak Secara Terbuka
Lapor PBT Jika Premis Jual Arak Secara Terbuka
DUNGUN, 19 Februari - Anggota masyarakat diseru supaya melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika mempunyai maklumat premis perniagaan atau mana-mana entiti yang menjual arak secara terbuka. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata semua pihak sewajarnya sedia maklum dengan ketegasan kerajaan negeri melarang jualan arak secara terbuka lebih-lebih lagi di kawasan majoriti muslim. Katanya, sekiranya masih ada premis perniagaan berdegil walaupun dimiliki oleh bukan Islam, tindakan tegas akan diambil. "Peraturan dan undang-undang kita jelas sekiranya masih ada, kerajaan negeri ingin meminta bantuan kepada orang ramai yang melihat ataupun mengetahui perkara ini sila makum kepada PBT setempat. "Kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya berdasarkan kepada laporan yang dibuat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI, selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini semalam. Tegas Wan Sukairi, adalah diharapkan orang ramai tidak mendiamkan perkara berkenaan bagi memastikan rakyat di negeri ini terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni berlandaskan syariat. "Selama ini pihak kita juga telah mengadakan lawatan ataupun peperiksaan secara berkala, namun jika ada terlepas pandang adalah menjadi tanggungjawab orang ramai melaporkan perkara ini agar penjualan arak secara terbuka di negeri ini tidak berlaku," ujarnya.
19 Feb 24
246
'Messi' Terengganu Berkelana Lagi
'Messi' Terengganu Berkelana Lagi
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Pemain sayap yang digelar 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir bakal dipinjamkan ke pasukan lain dalam usaha memastikan kantung pasukan Terengganu FC tidak berdepan masalah musim ini. Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, seorang lagi pemain yang bakal mengikuti pemain berkenaan adalah tonggak pertahanan, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar. Jelas Mohd Sabri, kedua-dua pemain pertahanan dan sayap itu bakal dipinjamkan kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) selama satu musim sehingga selesai liga pada April tahun depan. "Setakat ini, Arif Fadzilah hampir pasti bakal menyarung jersi skuad Pulau Borneo itu. Manakala, Faiz masih lagi di peringkat rundingan. "Selain Kuching City yang berminat untuk mendapatkan khidmat Faiz, pasukan negeri kelahirannya iaitu Kelantan United FC (KUFC) juga turut berminat untuk mendapatkan bekas pemain sayap skuad kebangsaan itu. "Namun sehingga kini kedua-dua pemain itu masih lagi pemain Terengganu FC dan pada masa sama ada lagi pemain yang bakal dipinjamkan bagi memastikan kantung pasukan tidak terjejas dalam mengharungi kancah Liga M," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum dengan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) di Gong Badak, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ahmad Azhan Suhaili @Ismail. Sementara itu Ahmad Azhan berkata, syarikat KUTT terpanggil untuk menaja TFC selepas melihat pencapaian yang membanggakan pada musim lalu terutama selepas muncul naib juara Piala Malaysia. "Secara rasmi kita menjadi penaja 'silver' Terengganu FC selama semusim sehingga Liga M berakhir," katanya ketika ditemui pada majlis itu.  
19 Feb 24
1205
Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun
Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun
DUNGUN, 18 Februari - Pasar raya milik anak Terengganu, Sabasun akan membuka cawangan baharunya yang ke-enam di Tapak Pasar Malam Dungun. Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, beliau memilih untuk membuka di daerah terbabit kerana menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk Dungun. "Juga merupakan hasrat kita sejak tujuh tahun yang lalu, jadi alhamdulillah baru sekarang kita mendapat tempat yang sesuai dan saya ingin memberikan penghargaan yang besar kepada Majlis Perbandaran Daerah Dungun. "Tempat untuk Sabasun bertapak di Dungun di atas tanah seluas 15,000 kaki persegi ini sangat strategik. "Insya-Allah kita jangka akan beroperasi pada pertengahan September ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah hari ini. Mengulas lebih lanjut Che Salmi berkata, berkonsepkan 'Hyper Runcit Mini Market' seramai 120 orang warga tempatan akan diambil untuk bekerja. "Harapan kami di pihak Sabasun juga agar rakyat Terengganu terus mendokong dan menyokong aspirasi perjuangan membela rakyat yang berada di negara peta luka umat Islam terutamanya Palestin," katanya. Dalam pada itu, Wan Sukairi berharap agar pembinaan Sabasun itu akan berjaya disiapkan mengikut jadual agar rakyat di daerah ini dapat menikmati produk serta barangan yang berkualiti pada harga berpatutan. "Pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pembukaan cawangan baharu ini kerana selama ini Sabasun telah memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk bekerja. "100 peratus tenaga kerjanya merupakan anak jati negeri Terengganu. "Kerana itu pihak kerajaan negeri membantu memudahkan Sabasun untuk mendapat tempat ini, kerana secara automatiknya juga membantu rakyat Terengganu yang sekarang telah mencecah ribuan orang yang telah berkhidmat atau bekerja dengan pihak Sabasun. "Dalam masa yang sama semua pekerja yang merupakan anak jati negeri Terengganu ini sangat dijaga kebajikan mereka oleh pihak Sabasun," ujarnya.  
18 Feb 24
3393
Terengganu Perluas Manfaat Teknologi Digital
Terengganu Perluas Manfaat Teknologi Digital
BANGI, 18 Februari – Terengganu berhasrat untuk menjadi sebuah negeri ‘technologically-advanced economy and digitally-driven state’ iaitu negeri yang akan dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza.  Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata Bengkel Projek E-Government Negeri Terengganu (BPNT) telah diadakan bagi tujuan berkenaan yang melibatkan beberapa buah agensi kerajaan. Katanya, antara agensi terlibat seperti Mentri Besar Terengganu Incorporated (MBI), Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Development (TAJDID), Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOM) dan Top IT Industries Sdn Bhd (TOP IT). “Alhamdulillah, bermulanya bengkel BPNT yang merupakan salah satu di bawah Portfolio saya iaitu Ekonomi Digital yang bertujuan bagi merangka transformasi Terengganu Maju menjelang tahun 2030.  “Antara agenda yang menjadi keutamaan adalah ekosistem perkongsian data yang merangkumi tadbir urus digital dan platform perkongsian data terjamin untuk memperkasa dan meningkatkan perkhidmatan dalam talian sepenuhnya (E2E) ke arah kerajaan berpacukan data. “Pembentangan Bengkel Pertama ini melibatkan pembentangan oleh Jabatan Digital Negara (JDN),” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya. Program yang berlangsung selama dua hari itu bertempat di Hotel Tenera Bangi, Selangor. Tambah Nurkhuzaini, program BPNT berupaya memperkukuhkan lagi bidang kuasa setiap agensi dalam menjalankan gerak kerja. Di samping itu katanya, bengkel itu membolehkan maklumat diselaras dan dikongsi dengan lebih efisien serta berupaya mengurangkan kos penyediaan infrastruktur dan pengintegrasian sistem. “Terima kasih kepada JDN kerana telah berkongsi produk-produknya seperti GOSG, MyGDX, Data raya, myGOVUC, PDSA dan DDMS dalam bengkel tersebut.  “Tidak lupa juga diucapkan terima kasih kepada Jabatan Akauntan Negara dan Cyber Security Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam perkongsian maklumat dalam bengkel ini. “Mudah-mudahan dengan maklumat yang diperolehi dalam bengkel ini dapat memantapkan lagi kerajaan negeri Terengganu dalam penerusan dan perlaksanaan E-Government @ Digital Negeri,” ujarnya.                        
18 Feb 24
271