Artikel "Utama" Terkini
123 Warga Hulu Besut Terima Hak Milik Tanah
BESUT, 24 Februari – Seramai 123 peserta di 12 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut telah menerima dokumen hak milik atau geran tanah pada hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kesemua peserta di 12 RTB yang terlibat adalah di RTB Sungai Kerian, RTB Durian Telor, RTB Sungai Lah, RTB Bukit Merah dan beberapa lagi RTB.
Katanya, beliau juga difahamkan pelbagai golongan peserta RTB kali ini, termasuklah golongan muda yang baru berkahwin dan berhasrat untuk membina kediaman sendiri atas tanah yang diterima.
“Kerajaan negeri sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai, bukan sahaja kepada agensi kerajaan atau swasta, malah kepada semua individu.
“Oleh yang demikian, Kerajaan negeri sentiasa prihatin akan perkara ini dan akan memastikan sebarang isu berkaitan dengan pemberimilikan tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tanah kepada penduduk DUN Hulu Besut bertempat di Padang Astaka Pasir Akar, Kampung Pasir Akar, Besut di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
Tambah Ahmad Samsuri, prosedur berkait dengan tanah memakan sedikit masa serta perlu diuruskan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan berlaku.
Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua rakyat yang sentiasa memahami dan bersabar dalam urusan ini.
“Tanah di Terengganu ini bukanlah milik saya, Yang Berhormat (YB) atau pegawai-pegawai melainkan kami hanya diamanahkan sahaja untuk menguruskan tanah kerajaan ini,” katanya.
“Tuan-tuan dan puan-puan selaku pemilik berdaftar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tanah tersebut, haruslah menjaga tanah dengan sebaiknya, serta tidak membiarkan tanah terbiar tanpa sebarang usaha," jelasnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepadanAdun Hulu Besut, Pejabat Tanah dan Daerah Besut dan Pejabat DUN kerana berjaya menyelesaikan sejumlah besar permohonan tanah RTB di Daerah Besut.
Ahmad Samsuri berharap kerjasama dan komitmen yang diberikan dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
24 Feb 24
382
KBTM Sasar 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) yang diadakan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Februari di Dataran Shahbandari dijangka dihadiri lebih 150,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu.
KBTM yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu menyajikan puluhan aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, persembahan silat, dikir barat, demontrasi anyaman kercut, wayang kulit, cabutan bertuah dan pelbagai lagi acara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata rekod tiga tahun sebelum ini sangat cemerlang kerana ia dihadiri lautan manusia.
"Penganjuran ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri di samping dapat memperkenalkan seni budaya dan warisan yang terdapat di Terengganu.
"Karnival ini juga menjadi platform bagi memperkenalkan dan memasarkan pakej serta perkhidmatan berkaitan pelancongan yang disediakan oleh para pemain industri kepada pengunjung karnival," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan, KBTM 2024, di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata peluang penganjuran KBTM ini perlu diambil kesempatan oleh semua pengusaha dan penggiat pelancongan.
"Platform inu sebagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus menjadikan KBTN ini sebagai satu peluang untuk memasarkan dan menjual produk, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata jumlah pengunjung yang disasarkan akan dapat dicapai kerana diadakan sempena cuti sekolah dan turut dimeriahkan dengan 'Havoc Food Festival 2024'.
"Dengan penganjuran KBTM ini diharap dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.
"Daripada 3.6 juta pada tahun lalu kepada penetapan sasaran baharu kerajaan pada tahun ini iaitu seramai 4.5 juta pelancong," ujarnya.
24 Feb 24
351
Terengganu, Korea di Fasa Akhir Muktamadkan Kerjasama Pelaburan
BESUT, 24 Februari – Kerajaan Negeri bakal memuktamadkan kerjasama dengan pelabur dari Korea Selatan dalam sektor berkaitan Hidrogen Hijau.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah melakukan beberapa perbincangan serius dengan pihak pelabur dari negara berkenaan.
“Sebenarnya pelbagai pelabur yang sedang berunding dengan kerajaan negeri dari pelbagai sektor termasuk pembuatan, industri beras dan pelbagai lagi.
“Ada beberapa potensi pelabur dari Korea dan saya sendiri akan pergi ke sana (Korea) selepas ini sebagai keputusan akhir,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Baru Jertih, Besut bertempat di Jertih, Besut di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Tambah Ahmad Samsuri, terdapat dua bidang kuasa berkaitan pelaburan iaitu di bawah bidang kuasa negeri dan pusat.
“Bagi bidang kuasa pusat, pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk berbincang dengan kerajaan pusat untuk berunding apa jua projek.
“Kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pemilihan kontraktor yang mampu kerana kebanyakan projek tergendala kerana kontraktor yang tidak mampu,” ujarnya.
24 Feb 24
479
Pasar Besar Jerteh Pulih, Peniaga Senyum Lebar
BESUT, 24 Februari – Kerajaan negeri pada hari ini merasmikan pembukaan Pasar Besar Jerteh yang merupakan antara projek terbengkalai yang berjaya dipulihkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai isu menyebabkan pasar yang sepatutnya siap pada 2019 tertangguh kerana COVID19 sehinggalah bersambung awal tahun 2022 dan siap sepenuhnya penghujung 2023.
Katanya, sebanyak 74 peniaga yang sudah ditempatkan berniaga di pasar berkenaan dan terdapat 34 lagi kekosongan.
“Keutamaan diberikan kepada peniaga yang sedia ada namun diberikan keutamaan juga kepada peniaga yang sudah meniaga di tempat yang kurang selesa.
“Sebanyak RM150 sahaja sewa yang dikenakan supaya tidak membebankan para peniaga dan berpatutan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Baru Jertih, Besut bertempat di Jertih, Besut di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor dan ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Tambah Ahmad Samsuri, dengan pembukaan pasar tersebut dilihat berpotensi membantu rakyat dari pelbagai sudut khususnya ekonomi.
"Saya difahamkan Pasar Besar ini menyediakan 114 ruangan niaga.
“Ia terdiri dari tingkat bawah yang terdapat 40 bahagian basah serta tingkat satu pula ada 10 bahagian ‘food court’ dan 24 bahagian pelbagai manakala tingkat dua pula tersedia 40 bahagian pakaian atau pelbagai,” ujarnya.
Untuk rekod, dua tahun lepas kerajaan negeri merasmikan Dataran Jerteh Square yang baru siap dibina ketika itu.
Menurutnya, dengan adanya pembangunan Jerteh Square, kita dapat menyelesaikan masalah peniaga yang terpaksa berpindah randah di bangunan sementara hampir 30 tahun.
“Alhamdulillah, kita juga telah berjaya menempatkan mereka secara kekal di 142 premis ruangan niaga.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan fasiliti perniagaan dan ekonomi rakyat di Jerteh ini dapat kita lunaskan," ujarnya
Beliau berharap pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT seterusnya dapat membantu meningkat ekonomi dan tahap sosial lebih ramai rakyat.
24 Feb 24
668
Ahad Diangkat Sebagai Hari Batik Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, untuk fasa pertama pihaknya mengalakkan penjawat awam, pekerja swasta, usahawan dan mereka yang bekerja sendiri untuk memakai batik.
Katanya, ia merupakan inisiatif bagi memajukan kembali industri Batik Terengganu.
"Bagi mengangkat kembali Batik Terengganu yang saya fikir industrinya kini malap kerana kemasukan batik dari Pakistan, India dan sebagainya.
"Fasa pertama ini kita galakkan dahulu rakyat Terengganu pakai batik, untuk fasa kedua kita tengok bagaiamana nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata adalah diharapkan dengan menjadikan hari Ahad sebagai hari batik ia menjadi medium promosi kepada penghasilan Batik Terengganu yang selama ini merupakan salah satu produk bermutu tinggi dan berkualiti.
"Kita pilih Ahad kerana ia merupakan hari cuti bagi pelancong dari luar Terengganu, jadi apabila mereka hadir melihat rakyat negeri ini ramai memakai batik jadi dengan sendirinya tertarik dan ada keinginan untuk membelinya," ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri untuk membantu pengusaha.
"Kita sarankan kepada pengusaha buat yang 'simple sahaja' tidak payah buat semak-semak (banyak corak) supaya dapat dijual dengan murah dan dapat dimiliki oleh semua orang termasuk golongan B40," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, dengan memperkenalkan Ahad sebagai hari batik di negeri ini tidak akan mengubah arahan Kerajaan Malaysia mengenai kewajipan memakai batik pada setiap Khamis sepertimana yang telah diarahkan.
24 Feb 24
913
Awang Nelang, Mek Ara Jadi Maskot Penyu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Maskot Terengganu iaitu penyu jantan dan betina kini telah memiliki nama iaitu Awang Nelang dan Mek Ara.
Melalui Pertandingan Mencipta Nama Maskot Penyu, dua nama tersebut telah dipilih dan Norasyikin Sulong, 32, dari Kemaman serta Suraya Hanum Zarudin, 34, dari Selangor telah dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 beserta pakej pelancongan di Primula Beach Resort.
Norasyikin berkata, dia tidak menyangka pemilihan nama Awang Nelang kepada penyu jantan telah membawa tuah kepadanya.
"Tertarik dengan nama Awang kerana ia sinonim dengan panggilan untuk orang lelaki Terengganu, saya percaya nama itu juga menjadi pilihan kepada peserta yang lain kerana nama itu dekat dengan masyarakat di negeri ini.
"Manakala meletakkan 'Nelang' di belakangnya kerana ia membawa maksud berani atau gagah, bagi mengekalkan identiti 'Terengganu' Awang Nelang dijadikan pilihan saya kepada penyu jantan ini," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut di Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di sini, semalam.
Sementara itu bagi pemenang Pertandingan Mencipta Nama Maskot kategori penyu betina, Suraya berkata dia mengetahui pertandingan berkenaan melalui Facebook dengan syarat yang begitu mudah dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Mendapat ilham menamakan penyu betina sebagai 'Mek Ara' melalui pencarian dan bacaan daripada artikel di internet berkaitan Penyu Karah di Terengganu yang jarang dapat dilihat," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pada asasnya pihaknya sendiri ingin memberikan nama kepada maskot penyu itu namun akhirnya dibuka kepada orang ramai dengan lebih 1,300 menghantar penyertaan.
"Maskot ini kita akan bawa ke setiap daerah melalui untuk perkenalkan kepada seluruh pelancong dimana penyu ini telah menjadi ikon sejak dahulu.
"Bila disebut sahaja Terengganu pastinya orang akan ingat dan tahu mengenai penyu yang begitu sinonim dengan negeri ini," ujarnya.
24 Feb 24
2068
THD ; Sejajar Dasar Wanita Terengganu Pegang Peranan Penting Kaum Hawa
KUALA NERUS, 23 Februari- Program Hari Hijab Terengganu (THD) yang diperkenalkan pada enam tahun lepas, sejajar dengan Dasar Wanita Terengganu pada 29 Disember 2022 memegang peranan penting dalam membentuk jati diri wanita.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ia berlandaskan keilmuan, keimanan, amal, ketakwaan dan nilai-nilai murni.
Katanya, program ini tidak hanya menjadi satu inisiatif, tetapi juga menjadi landasan utama dalam membina wanita yang memiliki keperibadian kukuh.
"Wanita memainkan peranan yang besar dalam pembentukkan keluarga dan masyarakat.
"Justeru perlu satu usaha yang holistik dan berstrategik dalam memastikan agenda ini terlaksana," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Hari Hijab Terengganu yang diadakan di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, pada semalam.
Tambahnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kasim yang komited dan begitu cakna kebajikan, pembangunan serta pemerkasaan wanita Terengganu.
"Besar harapan kami bagi pihak pihak penganjur (Kerajaan Negeri Terengganu) agar kita semua bersatu padu dan menyokong segala usaha dalam memperkasakan wanita
dengan ilmu serta akhlak yang murni," ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama menghayati setiap mesej yang disampaikan oleh pempengaruh dijemput khas untuk program ini.
"Hijab bukan hanya sekadar kain yang meliputi kepala, tetapi ia adalah simbol ketakwaan, ketinggian martabat, dan kebanggaan dalam menjalani peranannya sebagai hamba Allah.
"Slogan THD iaitu 'Indahnya Berhijab' bertepatan dengan slogan kerajaan 'Indahnya Hidup Bersyariat'.
"Saya ingin mengajak semua hadirin untuk sama-sama kita menghayati betapa indahnya syariat Islam yang sebenar," tambah beliau lagi.
23 Feb 24
206
RXZ Member 6.0 Kembali Gegar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Negeri Terengganu sekali lagi akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran program himpunan motosikal RXZ Member 6.0 yang akan berlangsung pada 14 September depan.
Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penganjuran tersebut bakal diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Beliau turut mengumumkan hadiah utama yang menanti peserta pada program berkenaan.
“Iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire 2.5L, dua buah motosikal Yamaha RXZ dan pelbagai lagi hadiah lumayan lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi platform media sosial RXZ Members-Official pada malam Khamis.
Sebelum ini, penganjuran program himpunan RXZ Member 5.0 juga diadakan di lokasi sama pada 8 dan 9 September 2023 yang menghimpunkan lebih 60,000 pengunjung.
Namun, pengajuran pada tahun tersebut menjadi kontroversi apabila motosikal peserta ditahan pihak berkuasa.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata kerajaan negeri akan sentiasa menyokong kepelbagai program yang ingin diadakan di Terengganu.
“Sama ada aktiviti anak muda atau mana-mana aktiviti yang positif pihak kerajaan negeri akan menyokong.
“Ini termasuk RXZ Members yang mendatangkan impak yang baik untuk semua khususnya membawa limpahan ekonomi untuk rakyat Terengganu,” ujarnya.
23 Feb 24
4116
Hijab Bukan Sekadar Sehelai Kain
KUALA NERUS, 22 Februari - Hijab bukan sekadar sehelai kain tetapi merupakan maruah kaum wanita.
Timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan, Wanita dan Perpaduan Nasional negeri Zuraida Md Noor berkata perkataan hijab adalah sinonim dengan kaum wanita, walau bagaimanapun kaum lelaki sebagai pemimpin kepada wanita dan bertanggungajawb memastikan kaum hawa yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna.
"Bila kita sebut sahaja Terengganu Hijab Day (THD), kebanyakan respon kaum Adam tak apalah kami lelaki tak pakai hijab... hijab untuk orang perempuan sahaja.
"Persepsi ini perlu kita tepis kerana kaum lelaki adalah wali atau pemimpin kaum wanita sekali gus menjadi tanggungjawabnya cakna terhadap wanita di bawah jagaannya," katanya dalam satu kenyataan media sempena Majlis Penutup THD bertema Indahnya Berhijab di Dewan Ar Riyadah Residence di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Wan Nur Sakinah Din.
Hadir sama di majlis itu ADUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman, ADUN Langkap, Azmi Maarof, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah-pengarah Unit Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.
Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, THD juga bertujuan memberi kesedaran kepada para wali supaya lebih cakna tentang kewajiban ahli keluarga untuk menutup aurat dengan sempurna mengikut syariat Islam.
Katanya, apa yang dilaksanakan ini bertepatan dengan teras strategik ke-7 dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu peningkatan kedayaan wanita.
"Kedayaan wanita memberi tumpuan kepada peningkatan institusi kekeluargaan dan martabat wanita selaras dengan perinsip Islam dan nilai murni masyarakat," ujarnya.
Menurutnhya Program THD juga selari dengan matlamat Dasar Wanita Terengganu yang dilancarkan pada 29 Disember 2022.
Ini katanya, termasuk membina jati diri wanita berteraskan keilmuan, keimanan, amal ketaqwaan serta nilai-nilai murni yang diterjemahkan dalam kehidupan.
"Saya menyeru agar pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu disambut baik oleh semua pihak di negeri ini dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan keperibadian dan akhlak golongan wanita," tambahnya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berucap menutup program itu dengan menyeru orang ramai memberi perhatian kepada amalan memakai hijab yang sempurna mengikut syariat Islam.
22 Feb 24
225
JHEAT Laksana Bengkel Asah Pengamal Pengubatan Islam
KUALA TERENGGANU, 22 Februari – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Bahagian Undang-Undang Keluarga (UUK) bakal melaksanakan Bengkel Pemantapan Pengamal Pengubatan Islam Peringkat Negeri Terengganu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga, Moktar Salleh berkata bengkel tersebut akan dilaksanakan pada 3 Mac 2024 bertempat di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus.
Katanya, penceramah khas bagi bengkel berkenaan merupakan Timbalan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar.
“Permohonan terbuka kepada semua pengamal pengubatan Islam yang tinggal atau beroperasi di negeri Terengganu.
“Borang permohonan boleh didapati di bahagian Unit Undang-Undang Keluarga, JHEAT dan borang hendaklah dihantar sebelum 25 Februari ini,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Tambah Moktar, bengkel tersebut bertujuan bagi meningkatkan mutu bacaan ayat-ayat rukyah atau surah-surah pilihan yang diamalkan dalam proses pengubatan Islam.
“Di samping, memberi pendedahan tentang amalan umum dan amalan khusus supaya tidak bertentangan dengan syariah.
“Peserta hanya terhad kepada 50 orang sahaja dengan yuran dikenakan sebanyak RM50 bagi seorang,” ujarnya.
22 Feb 24
562