lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bilal Masjid Putih Pertahan Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
Bilal Masjid Putih Pertahan Juara Tilawah Al-Quran Terengganu
KUALA NERUS, 1 Mac - Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, berjaya mempertahankan kejuaraan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah di sini. Terdahulu, Abdul Hadi, 31, dari daerah Kuala Terengganu telah memenangi kejuaraan tersebut pada tahun lepas. Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Jannah Abd Rahman, 33, dari Setiu. Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala iringan dan sijil penyertaan. Mereka akan mewakili Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini yang dijadual berlangsung pada 23 Mei depan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA). Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dewan Jubli Perak, Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini. Turut mengiringi Baginda, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Terdahulu ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan empat kali dan naib johan tiga kali. "Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya. "Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini," ujarnya.            
01 Mar 24
3169
Aksi STAR Team Tarikan Utama Karnival Maritim Perkasa
Aksi STAR Team Tarikan Utama Karnival Maritim Perkasa
KUALA TERENGGANU, 29 Februari - Persembahan Pasukn Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi tumpuan utama pengunjung di Karnival Maritim Perkasa yang bermula, hari ini. Persembahan aksi melalui teknik 'fast-roping' diikuti letupan pyrotechnic serta pertunjukan aset laut dan udarailik agensi berkenaan akan diadakan sebanyak empat sesi sepanjang tiga hari karnival berlangsung. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kerjasama menyediakan lokasi karnival yang dianjurkan APMM. "Karnival Maritim Perkasa 2024 merupakan platform terbaik bagi membolehkan rakyat memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya APMM dalam merealisasikan apa yang digariskan kerajaan. "Terutama sekali dalam mengawal sempadan perairan negara daripada pencerobohan. "Saya percaya, penglibatan rakyat dan masyarakat adalah penting terutama sekali dalam menyalurkan maklumat. "Rakyat mesti menjadi mata dan telinga kita dan kerjasama ini penting kerana saya percaya tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak boleh terletak 100 peratus kepada APMM, agensi lain seperti polis dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Maritim Perkasa di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama mewakili kerajaan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Ketua Polis Terengganu Dato' Mazli Mazlan. Bertemakan 'Melestarikan Warisan Maritim Negara', karnival turut dimeriahkan dengan forum agama, aktiviti kesenian dan kebudayaan, tayangan teater, temu mesra bersama selebriti dan konsert nasyid Rabbani, NowSeeHeart dan Fareez (Mentor). Selain itu, sebanyak 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan serta 100 gerai jualan produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) turut dibuka sepanjang karnival berlangsung. Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja berbesar hati atas penganjuran program berkenaan. "Saya ucapkan terima kasih kepada Maritim kerana memilih Terengganu sebagai lokasi yang mana merupakan pengiktirafan kepada kerajaan negeri. "Karnival ini membuka lembaran baru dalam kalendar negeri dan kerajaan negeri bersyukur dijadikan tuan rumah kepada acara yang membuka pintu kunjungan pelawat ke negeri Terengganu. "Saya kira, ia satu platform kepada kami untuk memperkenalkan keindahan dan kepelbagaian alam ciptaan Allah SWT di negeri ini. "Ia juga memberi peluang kepada kami mempamerkan budaya dan warisan negeri Terengganu," katanya.  
29 Feb 24
463
Golden Pharos Catat Prestasi Kewangan Tertinggi Sejak 1993
Golden Pharos Catat Prestasi Kewangan Tertinggi Sejak 1993
KUALA TERENGGANU, 29 Februari – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Golden Pharos Berhad (GPB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM29.25 juta (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023),  berbanding RM15.02 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Zaki Hamzah berkata PBT yang dicatatkan bagi TK2023 adalah yang tertinggi bagi Kumpulan sejak GPB disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1993. Menurut beliau, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil Kumpulan berkembang sebanyak 28 peratus kepada RM89.67 juta daripada RM69.81 juta pada tahun kewangan sebelumnya, tertinggi selepas 2014. "Kami gembira untuk melaporkan keputusan kewangan yang begitu kukuh untuk TK2023. "Justeru itu, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dan membayar dividen interim berjumlah 4.6 sen sesaham kepada para pemegang saham untuk FY2023 baru-baru ini," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, Kumpulan juga menjalankan pelbagai inisiatif strategik dalam meningkatkan tadbir urus korporat dan kecekapan operasi. "Antaranya mengukuhkan proses membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan yang berkesan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya. “Melangkah ke hadapan, Kumpulan akan meneruskan komitmennya dalam memastikan Kumpulan mencapai keputusan positif dengan tumpuan yang mendalam terhadap beberapa pemacu utama dalam aktiviti pembalakan dan penuaian huluannya, pengilangan papan tengahnya, kayu hiliran dan operasi kacanya," ujarnya.  
29 Feb 24
767
Mansuh Pencen : Bentang Segera Kertas Putih- Dr Alias
Mansuh Pencen : Bentang Segera Kertas Putih- Dr Alias
KUALA TERENGGANU, 29 Februari- Kerajaan sewajarnya segera membentangkan kertas putih berhubung pemansuhan skim pencen penjawat awam sekiranya tidak mahu wujud sebarang persepsi negatif dalam kalangan rakyat. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menggesa semua pihak menghentikan andaian negatif isu mansuh pencen merupakan kenyataan yang tidak wajar. “Ia kerana ini bukan andaian negatif, tapi tugas kami menyuarakan keresahan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Sementara itu katanya, merujuk kepada jawapan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat, sesi soal jawab lisan semalam, tegas Alias kenyataan dan jawapan Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang melabel soalan beliau sebagai ‘kurang tepat’ adalah tidak menepati realiti sebenar.  "Soalan saya berkenaan inisiatif Kerajaan untuk menarik minat graduan perubatan juga bidang-bidang kritikal lain untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam susulan pemansuhan skim pencen penjawat awam baharu, adalah merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari lepas yang menyatakan bahawa ‘Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu Kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen’,” jelasnya. Tambah Alias, penghapusan skim pencen penjawat awam dijangka memberi kesan yang besar khususnya kepada sektor kesihatan awam negara.  “Dalam keadaan skim pencen masih ada, seramai 54,375 pegawai perubatan telah meninggalkan Kementerian Kesihatan pada tahun 2022.  "Ini berdasarkan data yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, sesi soal jawab lisan, semalam,” ujarnya. Oleh itu katanya, berdasarkan data yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri tersebut, banyak pihak menjangkakan lebih ramai pegawai perubatan yang akan meninggalkan KKM selepas pemansuhan skim pencen penjawat awam kerana khidmat bakti dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada negara tidak setimpal kerana tiada jaminan wang persaraan selepas tempoh perkhidmatan berakhir, maka berkhidmat di sektor swasta akan menjadi satu pilihan yang lebih baik,” ujarnya.        
29 Feb 24
223
'Central Market at Pasar Payang' Cadangan Menteri Belum Muktamad
'Central Market at Pasar Payang' Cadangan Menteri Belum Muktamad
KUALA TERENGGANU, 29 Februari – Cadangan menjadikan atau menamakan Kompleks Pasar Payang sebagai Central Market at Pasar Payang oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming masih bersifat cadangan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan diteliti (masih belum dimuktamadkan) dengan serius mengambil kira pandangan semua pihak. Katanya, beliau faham hasrat Nga mahu menjadikan Pasar Payang lebih dikenali di peringkat antarabangsa sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong. “Saya percaya kita mempunyai hasrat yang sama untuk menjadikan pasar payang sebagai ikonik di negeri Terengganu bukan sahaja di negeri ini bahkan negara kita. “Jadi perkara tersebut kita akan bincang dengan lebih lanjut (belum muktamad lagi untuk tukar),” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat (PBS) Tahun 2024 bertempat di Pasar Payang di sini semalam. Terdahulu, Nga mencadangkan supaya kompleks itu dijenamakan sebagai Central Market Terengganu bagi hub untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan satu hari nanti. Katanya, cadangan tersebut mampu melonjak sosio ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat terutama peniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong apabila kompleks dijenamakan seperti Central Market Kuala Lumpur. "Saya menaruh harapan yang tinggi supaya bangunan ini yang tersergam megah, apabila ia diberikan nama 'Central Market at Pasar Payang' Terengganu pada satu hari nanti, ia juga akan mendapat penarafan sebagai salah satu warisan negara seperti Central Market Kuala Lumpur," katanya. Cadangan Nga menerima respon negatif daripada masyarakat terutamanya rakyat Terengganu yang mahu nama Pasar Payang dikekalkan kerana ia merupakan salah satu identiti negeri terbabit.  
29 Feb 24
357
Pasar Payang : Projek Lama Atau Baru Asal Rakyat Dapat Manfaat
Pasar Payang : Projek Lama Atau Baru Asal Rakyat Dapat Manfaat
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan atau menyiapkan projek tinggalan pentadbiran terdahulu termasuk Kompleks Pasar Payang asalkan rakyat menerima manfaat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara baik yang dimulakan kerajaan lalu walau berbeza parti tetap dijayakan. "Penekanan saya selepas dilantik pada 2018, saya kata mana-mana baik yang dilaksanakan oleh kerajaan lalu termasuklah perancangan bukan sekadar projek yang sedang berjalan kita akan teruskan dengan melakukan penambahbaikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Pasar Payang bertempat di Pasar Payang di sini hari ini. Majlis Penyerahan tersebut telah diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato' Mohd Fadzli Mohd Kenali, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif dan disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Ahmad Samsuri. Sebelum ini ketika wawancara bersama Manis FM, Ahli Parlimen Kemaman itu pernah mengatakan bahawa amalan 'scrape off' atau membatalkan mana-mana projek pentadbiran lampau demi mewujudkan legasi sendiri hanya merugikan kewangan negeri dan membazir wang rakyat. Oleh itu katanya, amalan tersebut perlu dihentikan dan budaya politik matang mesti diwujudkan demi kepentingan rakyat. Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya di majlis terbabit merakamkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran negeri yang lalu dan Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. "Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan kepimpinan negeri sebelum ini dari parti lain yang telah memulakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2016 untuk dijadikan Pasar Payang wajah baharu sebagai suatu realiti. "Dan kami yang mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri dari tahun 2018 meneruskan usaha tersebut dan Kompleks yang sebegini baik ini mula dibina pada 13 Ogos 2019 sehingga disiapkan pada 19 Julai 2023," jelasnya. Ahmad Samsuri berkata semangat kerjasama antara negeri dan Persekutuan juga perlu terus dipelihara mengikut lunas-lunas perlembagaan demi kemajuan dan pembangunan rakyat, negeri dan negara. Bercakap tentang kompleks Pasar Payang berkenaan, Ahmad Samsuri memaklumkan pembinaannya melibatkan peruntukan sebanyak RM70.03 juta. Katanya, kos bagi perunding projek telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Terengganu. "Kerja-kerja pembinaan Pasar Payang 1 dua tingkat ini menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas OKU, eskalator, lif, surau, jam besar, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan serta landskap," jelasnya. Ditanya mengenai nama pasar payang baharu itu, beliau berkata ia akan diteliti dengan serius bersama Nga Kor Ming selaku wakil Persekutuan. "Saya percaya kita mempunyai hasrat yang sama untuk menjadikan pasar payang sebagai ikonik di negeri Terengganu bukan sahaja di negeri ini bahkan negara kita. "Dari segi tarikh dan sebagainya termasuklah libat urus dengan semua pihak, kita akan maklumkan kepada orang ramai tarikh pembukaan untuk orang ramai menyerbu pasar payang 1 dan 2," katanya.  
28 Feb 24
1879
Bahagian Penjagaan Kesihatan Sumbang Kejayaan TDM
Bahagian Penjagaan Kesihatan Sumbang Kejayaan TDM
KUALA TERENGGANU, 27 Februari- TDM Berhad mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2023 (4QTK2023). Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM Berhad menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan terus komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan berpatutan untuk komuniti.  “Bahagian perladangan pula akan terus memberi tumpuan kepada membina asas operasi yang kukuh bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” ujarnya dalam satu kenyataan. Kenyataan tersebut memaklumkan, pada suku keempat tahun lalu pendapatan Kumpulan untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2023 meningkat sebanyak 8 peratus berbanding suku sebelumnya. "Terutamanya disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM14.1 juta atau peningkatan sebanyak 18 peratus. “TDM telah mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM24.2 juta dalam suku tersebut, iaitu penurunan sebanyak RM2.8 juta berbanding PBT sebanyak RM27.0 juta dalam suku tahun sebelumnya,” ujarnya. Kenyataan tersebut turut menjelaskan, pada 12MTK2023, pendapatan Kumpulan sedikit berkurang sebanyak 3 peratus berbanding suku sebelumnya disebabkan oleh penurunan pendapatan dari Bahagian Perladangan sebanyak 22 peratus dan sebahagiannya diselaras dengan pendapatan yang lebih tinggi dari Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak 19 peratus. “Kumpulan telah mencatatkan PBT sebanyak RM15 juta dalam tempoh tahun tersebut, berbanding dengan RM36.2 juta dalam tempoh sebelumnya,” ujarnya.
28 Feb 24
192
Terengganu Inc Peruntuk RM11 Juta Laksana CSR Tahun 2023
Terengganu Inc Peruntuk RM11 Juta Laksana CSR Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 28 Februari- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2023. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, jumlah itu berjaya memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama, dan pemuliharaan alam sekitar di Terengganu. Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah bantuan banjir, sokongan kewangan kepada ibu tunggal di semua lapan daerah, bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak, serta bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Palestin. "Kita turut memberi sumbangan kepada pendidikan dan sukan termasuk biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship (YT-TI) untuk pelajar B40,  penajaan sukan kepada Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Cycling Team (TSG), dan pelumba motorsikal muda negara, Hakim Danish Ramli. "Kumpulan ini tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita di program 'Back To School' di Hotel Permai, semalam. Dalam majlis tersebut, selain meraikan media Terengganu, seramai 30 pelajar dari keluarga kurang bernasib baik daripada Sekolah Kebangsaan Chendering telah menerima kit sekolah dengan barangan yang diperlukan untuk mereka berjaya secara akademik. "Back To School sepatutnya menjadi masa yang menyeronokkan buat kanak-kanak, tetapi ia boleh menyebabkan cabaran kos buat ibu bapa. "Matlamat kami adalah untuk  mengurangkan beban ini buat seisi keluarga dan memastikan pelajar dapat memulakan sekolah dengan persediaan sepenuhnya," katanya. Dalam masa sama, Kumpulan Terengganu Inc turut komited untuk terus memberi sumbangan yang memberi impak pada tahun 2024, dengan perancangan penajaan kepada TFC, TSG, dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).
28 Feb 24
308
Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara
Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara
KUALA NERUS, 28 Februari -Gerakan mencabar Undang-Undang Syariah boleh mendatangkan ancaman yang serius kepada akidah dan syariah umat Islam di negara ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fahaman kumpulan aliran pemikiran yang menolak dan meragukan keabsahan undang-undang Islam itu perlu diberi perhatian dan ditangani dengan sewajarnya. "Mereka ini berusaha untuk mencabar Undang-Undang Syariah dengan pelbagai cara, antaranya menganjurkan fahaman pluralisme agama yang menganggap semua adalah sama dan benar. "Golongan ini juga cuba mengubah metodologi ijtihad dengan menolak atau mengabaikan sumber-sumber syariah seperti ijmak, qiyas, dan maqasid Syariah. "Seterusnya mereka menentang hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan moral, keluarga dan jenayah seperti aurat, poligami, hudud dan qisas  dengan alasan hukum-hukum ini melanggar hak asasi manusia, kesamarataan gender dan kebebasan agama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata dalam menghadapi cabaran yang melanda, umat Islam perlu mengukuhkan diri dengan mengamalkan Islam yang sebenar dan bersih dari sebarang penyelewengan berasaskan kefahaman yang tepat berpandukan al-Quran. "Menyedari potensi kekuatan al-Quran dalam sanubari hati umat Islam (menyebabkan) musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan dengan mencari keraguan untuk melihat umat ini meninggalkan kitab suci itu dan terumbang ambing dalam jahiliah tanpa pedoman dan petunjuk. "Kewujudan gerakan kristianisasi, Islam Liberal, ajaran-ajaran sesat, sekularisme dan pelbagai ideologi yang bercanggah dengan syariat Islam bakal memerangkap manusia-manusia yang tiada pedoman dan sumber pegangan," katanya.      
28 Feb 24
384
Aedes: 200 Kompaun Dikeluarkan di Terengganu
Aedes: 200 Kompaun Dikeluarkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Sebanyak 200 kompaun bernilai RM100,000   dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu membabitkan pembiakan nyamuk Aedes di premis-premis diperiksa sehingga minggu epidemiologi (ME) kelapan 2024. Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 168 kompaun telah dibayar membabitkan kutipan berjumlah RM17,490. Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, jabatan telah memeriksa 31,337 premis dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 649 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk. "Bagi kes demam denggi di Terengganu, sebanyak 60 kes direkodkan dari Januari hingga 24 Februari berbanding hanya 49 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas. "Ia adalah peningkatan sebanyak 11 kes atau 22.4 peratus," katanya ketika dihubungi pemberita. Tambahnya, dalam tempoh sama juga, sebanyak dua episod wabak denggi dilaporkan di Terengganu iaitu di Kampung Gaung Lubuk Kawah di Besut dan Taman Bukit Indah di Marang. "Bagaimanapun, kedua-dua wabak itu adalah terkawal dengan dua kes demam denggi bagi setiap wabak tersebut dilaporkan setakat ini," katanya. Tambahnya, sebanyak 19,604 premis telah dibuat semburan kabus setakat ini manakala 29,514 premis pula terlibat dengan semburan larvasiding. Tambah beliau, kurang kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekeliling menjadi antara faktor peningkatan kes demam denggi di Terengganu. "Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa tempatan akan mengadakan program gotong-royong bersama-sama masyarakat setempat untuk mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko. "Setakat ini, sebanyak 66 siri gotong royong telah pun diadakan untuk mencari dan memusnahkan sarang pembiakan tersebut," katanya.
28 Feb 24
183