lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Wan Hassan Persoal Bila Hospital Dungun Boleh Beroperasi
Wan Hassan Persoal Bila Hospital Dungun Boleh Beroperasi
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Hospital Dungun yang baru masih lagi tidak dapat beroperasi walaupun tarikh yang ditetapkan sudah habis tempohnya. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata demikian dalam ucapan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam. Katanya, beliau membawa suara rakyat Dungun dengan menaikan isu kesihatan setempat yang berlarutan lama iaitu Hospital Baru Dungun yang telah berulang kali dianjakkan tarikh permulaan operasinya. "Antara jawapan yang telah di umumkan oleh menteri pada sidang dewan rakyat yang lepas. "Jawapan pada 18 November 2021, di katakan telah siap 98.2% dan dijangka beroperasi pada April 2022. Manakala pada 19 September 2023 pula di katakan telah siap 99.86% dan dijangka beroperasi pada hujung Februari 2024. “Hari ini sudah masuk hari ke-4 kita keluar dari bulan Februari 2024, malangnya didapati bahawa Hospital Dungun masih belum beroperasi sehingga kini," ujanya. Wan Hassan memohon menteri berkenaan memberi penjelasan berkenaan tarikh baru Hospital Dungun mula beroperasi. "Selain itu, memandangkan pembinaan hospital ini memakan masa yang terlalu lama. Pohon penjelasan sama ada jumlah kemudahan dan doktor pakar yang bakal berkhidmat di Hospital Baru Dungun ini telah dikemas kini supaya mampu menampung keperluan penduduk Dungun yang berjumlah hampir 190,00 orang," katanya.
05 Mar 24
666
Terengganu Pantau Tahap Kebersihan Makanan di Bazar Ramadan
Terengganu Pantau Tahap Kebersihan Makanan di Bazar Ramadan
MARANG, 5 Mac- Kerajaan negeri akan meningkatkan aktiviti pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan secara bersepadu dan berkala di seluruh bazar Ramadan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi membabitkan 4,086 peniaga sepanjang bulan Ramadan kali ini. “Sebagaimana sedia maklum, Bazar Ramadan merupakan tempat tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa setiap saban tahun dan risiko kejadian keracunan makanan mudah berlaku berpunca dari makanan dan minuman yang tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat.  “Justeru, pemantauan akan dilakukan oleh agensi utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Kerajaan Tempatan), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Bazar Ramadan di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Daerah Marang di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan peniaga melaksanakan inisiatif mesra alam anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti tidak menggunakan beg plastik dan penyedut minuman, larangan penggunaan bekas styrofoam dan program kitar semula sisa pepejal di Bazar Ramadan PBT. “Peniaga terlibat diwajibkan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat pemeriksaan kesihatan serta pelalian tifiod, mempamerkan lesen perniagaan, kad kesihatan, dan sijil kursus.  "Selain itu mereka juga perlu mematuhi kehendak-kehendak perlindungan makanan seperti tidak membiarkan makanan dan minuman terdedah, perkakas dan peralatan yang digunakan tidak tercemar dan mengelakkan makanan terdedah pada suhu bilik melebihi empat jam", katanya.  Beliau berkata, peniaga juga digalakkan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) untuk mengurangkan risiko pencemaran silang. “Kita juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga menyewakan lot niaga kepada warga asing,” ujarnya. Tambah beliau, sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan, tindakan perundangan seperti pengeluaran notis dan kompaun akan dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Kesihatan dan PBT di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja.
05 Mar 24
176
Dr Sam Seru Persekutuan Bayar Royalti Ikut Jadual
Dr Sam Seru Persekutuan Bayar Royalti Ikut Jadual
PUTRAJAYA, 5 Mac – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan isu penyaluran royalti petroleum yang diharapkan oleh 1.2 juta Rakyat Terengganu di sidang Parlimen pada hari ini. Ahmad Samsuri berkata wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu agar dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan. Katanya, ia perlu mengikut jadualnya yang diamalkan sejak puluhan tahun. “Untuk rekod, perlu diingatkan bahawa penerimaan dana oleh Kerajaan negeri Terengganu atas nama 'royalti pertroleum' dari Tahun 1978 hingga 1999 adalah secara terus dari PETRONAS tanpa melalui pihak ketiga. “Sudah tentu, Kerajaan Madani yang ada pada waktu ini tidak mahu dibaca dalam buku sejarah oleh generasi yang akan datang, sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti berkenaan, yang masih berbaki untuk tahun 2023,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (Sesi Pagi) di Dewan Rakyat di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, beliau meminta penjelasan daripada Perdana Menteri yang juga merupakan menteri kewangan terhadap dua perkara. "Sila jelaskan kepada kami yang pertama iaitu apa kebaikan atau objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan pusat dengan memberikan kesukaran kepada negeri Terengganu sedemikian rupa. "Kedua, adakah langkah menekan negeri ini adalah tidak berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang merupakan dua dari enam rukun Malaysia Madani," katanya. Untuk rekod, sehingga Oktober Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan hak rakyat negeri Terengganu sekitar RM1.5 bilion. “Tetapi Kerajaan Negeri hanya menerima RM510 juta, jumlah ini adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022. "Terimaan ini juga jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690," ujarnya.                
05 Mar 24
3536
MSNT Sedia Khairat Kematian Buat Wan Muhammad Haikal
MSNT Sedia Khairat Kematian Buat Wan Muhammad Haikal
Foto: Gambar hiasan daripada MSNT KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Bahagian Kebajikan Atlet telah menyediakan bantuan khairat kematian berjumlah RM2,000 sebagai bantuan awal dan akan diserahkan kepada keluarga pesilat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia, malam tadi. Selain itu, terdapat skim bantuan lain termasuk perlindungan insuran secara berkelompok yang disediakan MSNT bagi membantu keluarga Allahyarham. Kenyataan media dikeluarkan MSNT hari ini, turut memaklumkan bahawa laporan perubatan yang baru diterima mengesahkan kematian atlet tersebut berpunca daripada pendarahan dalam kepala (diffuse subarachnoid heamorrhage). "Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini. MSNT masih menunggu laporan penuh kronologi kes dan akan membuat penelitian terperinci memandangkan ia adalah kes pertama yang berlaku dalam sukan pencak silat. "Manakala, sebagaimana dimaklumkan Exco Sukan Terengganu, pengurusan jenazah dan urusan membawa pulang akan duruskan MSNT dengan bantuan Majlis Sukan Negeri Sembilan," jelas kenyataan tersebut. Allahyarham Wan Muhammad Haikal merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi SUKMA 2024 dan dijadualkan bertanding dalam kategori Putra I (85-90 kg). Petang semalam, Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan semasa menyertai Kejuaraan Pencak Silat Pra SUKMA Jemputan Kebangsaan Negeri Sembilan yang sedang berlangsung di Seremban. Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, awal pagi tadi.  
03 Mar 24
997
152 Penari Cilik Tunas SUKTRA Catat Rekod MBOR
152 Penari Cilik Tunas SUKTRA Catat Rekod MBOR
KUALA TERENGGANU, 2 Februari- Seramai 152 penari cilik Tunas Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra) berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Bilangan Pelajar Paling Ramai Dalam Tarian Gamelan Melayu. Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, program tersebut diadakan bagi memperkenalkan seni warisan gamelan Melayu yang mula bertapak di negeri ini semenjak tahun 1920-an di Istana Kolam di sini. “Sebenarnya tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memastikan pemuliharaan terhadap seni budaya kita terutamanya gamelan tidak akan pupus. “Jadi, kita hendak pastikan bahawa bukan sahaja dapat mengekalkan (tarian gamelan Melayu) tetapi mengembangkan lagi samada di peringkat negara mahupun di seantero dunia,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Se-Abad Gema Gemalai Gamelan Melayu-Senandung Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta wakil MBOR, Nazrul Hafizi. Pada majlis itu para penari cilik Tunas Suktra mempersembahkan tarian gamelan bertajuk 'Ketam Renjong' selama lebih kurang lapan minit dengan diiringi 17 pemuzik. Murid yang berumur lapan hingga 12 tahun dari 13 buah sekolah terpilih itu telah memulakan latihan sejak setahun lalu dengan bimbingan 18 jurulatih Suktra yang kini dibawah kelolaan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.  
03 Mar 24
489
Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia
Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Atlet silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan semasa perlawanan dalam pertandingan Kejohanan Pra Sukma. "Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita dan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Wan Muhammad Haikal. Allahyarham merupakan atlet fasa akhir Sukma Terengganu dan akan bertanding dalam kategori Putra I (85-90kg) serta merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi negeri ini. "Laporan kemalangan ini telah disampaikan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada saya petang kelmarin. Laporan kematian pula dimaklumkan pada pagi ini. Buat masa ini, secara terperinci kronologi kes belum diterima, pihak MSNT akan memperhalusi selepas ini secara menyeluruh," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya, hari ini. Menurut Hishamuddin,  ini kes pertama yang berlaku dalam aktiviti sukan silat berdasarkan rekod MSNT. "Ia amat mengejutkan semua keluarga sukan Negeri Terengganu. Bagi perkara ini, urusan membawa pulang jenazah dari Negeri Sembilan, pengurusan jenazah dan kebajikan keluarga akan diuruskan oleh pihak MSNT," katanya. Berdasarkan kenyataan berita kematian Allahyarham di Sinar Harian, beliau difahamkan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu. Allahyarham diberitakan rebah selepas terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.  
03 Mar 24
737
Sultan Mizan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala MB
Sultan Mizan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Piala MB
SETIU, 2 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli mengambil bahagian dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu. Baginda telah berkenan mencemar duli menyertai dalam Kategori Antarabangsa Championship Endurance  National (CEI 1*100)  Kilometer (KM) dengan memakai jersi bernombor 115. Di samping itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut bagi kategori Championship Endurance National (CEN) 80 KM dengan memakai jersi nombor 20. Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Menteri Besar Terengganu ini bagi kedua-dua kategori telah disertai seramai 84 peserta. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyempurnakan Pelepasan Kejohanan Kuda Lasak bagi dua kategori berkenaan pada petang ini di Terengganu International Endurance Park, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.  
02 Mar 24
291
600 Nelayan Terima Bantuan di Kemaman
600 Nelayan Terima Bantuan di Kemaman
KEMAMAN, 2 Mac – Seramai 600 Nelayan di daerah Kemaman menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas oleh kerajaan negeri bagi membantu serta meringankan beban mereka. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan tersebut disumbangkan oleh anak syarikat kerajaan negeri yang terdiri daripada EPIC Berhad, Ladang Rakyat, Syarikat Air Terengganu (SATU), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT). Katanya, kesemua 600 nelayan tersebut terdiri daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Chukai dan Kemasik. “Negeri Terengganu dan nelayan tidak dapat dipisahkan dan ianya telah menjadi sinonim sejak berabad yang lalu berikutan faktor geografi negeri kita yang terletak di pesisiran pantai.  “Pihak kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada kebajikan para nelayan di negeri ini, kita juga sentiasa berusaha menangani dan menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dengan sedaya upaya kita,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Santuni Nelayan Pantai Daerah Kemaman di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal, Kemaman di sini semalam. Tambah Ahli Parlimen Kemaman itu, sejak 2018 yang lalu, apabila PAS mengambil alih kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan di bawah bidang kuasa Exco Pertanian Negeri melalui sektor perikanan khusus kepada para nelayan di negeri Terengganu. Antaranya jelas beliau, kerajaan menyelesaikan pemberian 600 lesen sampan nelayan yang merupakan isu yang tidak berkesudahan selama lebih 40 tahun yang lalu. “Termasuklah juga fokus kepada memperkayakan sumber perikanan dengan melabuhkan unjam dan tukun di tempat-tempat strategik di laut Negeri Terengganu.  “Usaha ini membuahkan hasil apabila Terengganu mencatatkan jumlah pendaratan ikan bernilai RM237.8 juta tahun lalu. "Sebanyak 46.7 tan metrik tangkapan direkodkan tahun 2023 berbanding hanya kira-kira 33.5 tan metrik pada 2022,” ujarnya.                  
02 Mar 24
865
Nama Pasar Payang Kekal - MB
Nama Pasar Payang Kekal - MB
MARANG, 2 Mac – Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang sebaliknya mahu menjadikan pasar tersebut sebagai pasar utama bagi negeri Terengganu. Terdahulu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan Pasar Besar Kedai Payang dijenamakan sebagai Central Market@Pasar Payang agar nilai komersialnya setanding dengan Pasar Seni Kuala Lumpur. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang dicadangkan oleh pihak menteri atau mana-mana pihak yang memberi cadangan, pihaknya akan mendengar dan meneliti dengan baik apa yang dicadangkan. "Namun, akhirnya sebarang keputusan itu adalah dari pihak kerajaan negeri. "Nama Pasar Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang semalam. Tambah Ahmad Samsuri, tiada timbul sebarang perubahan apa-apa dari sudut penjenamaan, namun apa yang kita buat ialah memperkasakan pasar tersebut. “Iaitu bagaimana kita mengisi Pasar Payang itu supaya menjadi pusat tumpuan masyarakat dari dalam dan luar Terengganu serta antarabangsa. “Pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pelancongan dan sebagainya. “Pasar Payang tersebut merupakan ikonik bagi negeri ini sebagai aktiviti pelancongan dan sebagainya sesuai dengan sifat serta sejarahnya di kedudukan tengah negeri Terengganu dan pesisir pantai timur," ujarnya.                
02 Mar 24
435
Remaja Muslimah Harapan Ummah
Remaja Muslimah Harapan Ummah
Oleh ; Noreini Abu Bakar Dan Farhah Najihah DUNGUN, 29 Februari - Remaja muslimah adalah harapan ummah untuk menjadi generasi muda yang menyintai diri, keluarga, negara dan agama. Pengarah Kem Remaja Islam Solehah (KRIS) peringkat DUN Rantau Abang, Safuraa Mohamad berkata, remaja banyak terdedah dengan pelbagai gejala negatif yang menyebabkan mereka hilang jati diri Islam.  "Hanyut dibuai arus jahiliah moden sehingga mengabaikan tuntutan agama dan cara hidup hidup.  "Justeru, semoga dengan pelaksanaan program Kem Remaja Islam Solehah (KRIS) dapat dijadikan platform membantu para beliawanis ke arah cara hidup Islam yang sebenar," jelasnya.  Safuraa yang juga Pembantu Penyelia Hal Ehwal Beliawanis, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) berkata demikian ketika dihubungi di sini hari ini mengulas lanjut kem yang diadakan di Villa Anjung Tamu, Sura di sini, selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Februari.  Katanya, kem yang terbuka kepada remaja perempuan yang berusia 14 hingga 21 tahun itu adalah anjuran bersama Beliawanis dan Ameerah DUN Rantau Abang telah berjaya menarik 38 orang peserta.  Beliau turut berharap peserta-peserta mendapat input bermanfaat dan membantu meningkatkan kefahaman mereka tentang cara hidup dan berketerampilan dengan imej Islam.  "Impaknya, akan dapat meningkatkan rasa tanggungjawab untuk mengangkat martabat ummah," ujarnya lagi.
01 Mar 24
219