lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Ramadan Medan Insafi Diri, Imarahkan Masjid - Sultan Mizan
Ramadan Medan Insafi Diri, Imarahkan Masjid - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di negeri ini. Bersempena ketibaan Ramadan, Sultan Mizan menyeru umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan dan menghidupkan suasana masjid dengan solat fardu serta sunat tarawih pada setiap malam. Baginda turut menyeru umat Islam di Malaysia mengimarahkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan. "Beta mahu rakyat negeri ini mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadan untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu dan tarawih setiap malam. Perbanyakkan takbir dan tahmid serta amal ibadat lain. "Program tadarus yang dijalankan di masjid-masjid juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa kerana program tersebut adalah satu nilai tambah untuk umat Islam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT," titah baginda dalam Titah Perutusan Sempena Kedatangan Bulan Ramadan. Baginda juga mengingatkan umat Islam supaya menunjukkan teladan yang baik dalam memelihara keharmonian dan perpaduan selain menasihatkan umat Islam untuk menjadi insan berjiwa waja dalam mempertahankan kesucian agama yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW. "Hari ini umat Islam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran.Oleh itu, beta menyeru agar kita semua dapat mempertahankan kesucian Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah," titah baginda. Di samping itu, Sultan Mizan menyeru supaya rakyat Terengganu mendoakan umat Islam di luar sana yang sedang diuji dengan peperangan agar tabah dalam menempuh dugaan. "Marilah kita saling bermuhasabah dan mendoakan agar saudara kita yang diuji dengan peperangan diberi kekuatan serta kesabaran dalam menempuh ujian," titah baginda. Melalui perutusan itu juga baginda menyeru supaya umat Islam memperbanyakkan amalan sedekah dan membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
11 Mar 24
160
Royalti : Terengganu Sambut Baik ‘Janji’ Persekutuan
Royalti : Terengganu Sambut Baik ‘Janji’ Persekutuan
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan Terengganu menyambut baik ‘janji’ Kerajaan Persekutuan untuk kembali berbincang mengenai royalti petroleum negeri itu terutama membabitkan baki bayaran tahun lalu yang belum dilunaskan serta peruntukan untuk tahun mendatang. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menghargai komitmen dan jawapan daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung perkara itu pagi tadi. “Antara intipati penting disebut ialah mereka terbuka untuk melakukan perbincangan atas apa jua perkara mengenai wang royalti ini terutama dalam melaksana projek-projek infrastruktur dan membasmi kemiskinan. “Kita ucapkan terima kasih atas jawapan Menteri Kewangan II, selepas ini kita akan terus melakukan perbincangan bagi merealisasikan hasrat rakyat Terengganu,” katanya kepada media sebentar tadi. Terdahulu, Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Menteri memaklumkan, pihaknya sedia berunding dengan Kerajaan Negeri berkait tuntutan bayaran royalti petroleum. “Seperti yang saya katakan tadi, Kementerian Kewangan sedia berbincang untuk projek-projek yang dapat membantu rakyat terutamanya dalam isu infrastruktur dan rakyat miskin, semoga ia mengurangkan beban rakyat,” katanya Pada 5 Mac lalu, Ahmad Samsuri menyuarakan isu penyaluran royalti petroleum yang diharapkan oleh 1.2 juta rakyat Terengganu ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Ahli Parlimen Kemaman itu berkata wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu agar dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan. Katanya, ia perlu mengikut jadualnya yang diamalkan sejak puluhan tahun. “Untuk rekod, perlu diingatkan bahawa penerimaan dana oleh Kerajaan negeri Terengganu atas nama 'royalti pertroleum' dari Tahun 1978 hingga 1999 adalah secara terus dari PETRONAS tanpa melalui pihak ketiga. “Sudah tentu, Kerajaan Madani yang ada pada waktu ini tidak mahu dibaca dalam buku sejarah oleh generasi yang akan datang, sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti berkenaan, yang masih berbaki untuk tahun 2023,” jelasnya. Berdasarkan rekod juga, Ahmad Samsuri difahamkan sudah kerap kali berbincang tentang isu terbabit dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I pada tahun lalu.
11 Mar 24
3474
Bekalan Air di Terengganu Cukup Hadapi Kemarau
Bekalan Air di Terengganu Cukup Hadapi Kemarau
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Kerajaan Terengganu memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi bagi menghadapi musim kemarau tahun ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana paras air di empangan dan sungai ketika ini masih terkawal untuk kegunaan rakyat di negeri ini. “Kita masih boleh uruskan masalah bekalan air, cuma jika berlaku kemarau berpanjangkan kita kena ada intervensi terutama apabila masuk bulan Ramadan dan nak masuk seminggu sebelum raya tentulah  penggunaan air akan bertambah. “Jadi dalam keadaan kemarau dan penggunaaan air yang bertambah tentulah ianya akan menjejaskan tetapi sebagai Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), SATU sedang mengambil langkah-langkah bagaimana untuk melakukan intervensi temasuklah meminta supaya semua pihak berjimat dan sebagainya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini.  
11 Mar 24
237
23 Pelajar Terengganu di Mesir Terima Anugerah
23 Pelajar Terengganu di Mesir Terima Anugerah
KAHERAH, 13 Mac - Seramai 23 orang pelajar Terengganu di Mesir telah menerima anugerah kecemerlangan mahasiswa ketika Majlis Ramah Mesra Bersama YB dan & Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Terengganu Mesir. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, majlis berkenaan diharapkan akan memberi semangat motivasi kepada semua pelajar untuk terus mengukir kecemerlangan. "Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian kepada pelajar-pelajar anak negeri walaupun berada di luar sana," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkenaan di Wisma Darul Iman Terengganu, Kaherah, yang dihadiri oleh pelajar-pelajar cemerlang dari Terengganu yang sedang menuntut di Mesir. Dalam majlis berkenaan, Anugerah Tokoh Mithali pelajar Tahmidi Peringkat Pengajian Master Fiqh Am di Universiti Al-Azhar, Kaherah turut disampaikan kepada saudari Nurul Faqehah Dzulkefli. Penghargaan itu beriuktan beliau berjaya memperolehi keputusan peperiksaan keseluruhan 'Mumtaz Bilmartabat Syaraf' di peringkat antarabangsa bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Fakulti Syariah Islamiah dan menerima hadiah berjumlah EGP 17,350.00, termasuk kitab rujukan Feqah Bermazhab Syafie yang berharga EGP 7,325.00 dan baucar wang EGP 10,000.00. Beliau dipilih atas prestasi gemilangnya dan keaktifannya dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial di kalangan pelajar juga menjadi faktor penentu dalam penganugerahan tersebut. Selain itu, Anugerah Mahasiswa Cemerlang juga turut diberikan kepada 20 orang pelajar yang dipilih dari pelbagai bidang Pengajian Islam dan Sains Kesihatan. Dua pelajar lain turut menerima Anugerah Pengisi Berkaliber. Penerima-penerima anugerah ini dipilih atas kecemerlangan akademik tertinggi dan sumbangan mereka dalam aktiviti lapangan masyarakat.  
11 Mar 24
243
Ott Kembali Sarung Jersi TFC
Ott Kembali Sarung Jersi TFC
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Pemain tengah, Manuel Gelito Ott bersetuju untuk kembali bersama pasukan Terengganu FC (TFC) selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu selama satu musim bagi mengisi kouta Asean.  Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner berkata beliau bersetuju untuk mendapatkan khidmat Manny Ott pada musim ini dan percaya dengan adanya kualiti pemain kebangsaan Filipina tersebut semestinya dapat memberi tonik kepada pasukan TFC pada musim 2024/2025.  “Pemain ini mempunyai gaya hantaran-hantaran menarik dan kelebihan untuk melepaskan rembatan dari jarak jauh sekali gus memberi impak yang baik pada pasukan TFC pada musim ini. "Manny Ott akan kembali menyarung jersi bernombor 8 bersama pasukan Terengganu FC dan diucapkan selamat berjuang,” katanya dalam kenyataan media TFC semalam. Untuk rekod, pemain berusia 31 tahun itu pernah beraksi bersama Liga Thailand, kelab Ratchaburri dan Liga Malaysia Melaka United, Kedah Darul Aman dan Terengganu FC. "Beliau juga telah berjaya membantu pasukan Terengganu FC layak bagi saingan akhir Piala FA pada musim 2022 dan layak bagi Saingan AFC Champhionship 2023," ujarnya.
11 Mar 24
367
'Duit Yang Terengganu Tuntut Hak Rakyat'
'Duit Yang Terengganu Tuntut Hak Rakyat'
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - "Duit yang Terengganu tuntut ialah hak rakyat dari hasil petroleum dan bukan mengemis," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim. Beliau berkata istilah ‘royalti’ merupakan suatu istilah umum yang paling mudah difahami oleh masyarakat awam bagi maksud bayaran hasil minyak kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar minyak. Katanya, Terengganu mula menerima royalti minyak dari 1978 sehinggalah royalti dirampas pada tahun 2000 ketika PAS mentadbir Terengganu.  "Usul supaya tarik balik royalti diusulkan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000. “Royalti bermakna bayaran tunai langsung sebanyak lima peratus dari hasil petroleum oleh Petronas terus ke dalam akaun kerajaan negeri sebanyak dua kali setahun, dilakukan pada bulan Mac dan September setiap tahun. “Selepas tahun 2000, tiada lagi bayaran langsung oleh Petronas kepada kerajaan negeri dan Wang ehsan mula diperkenalkan. "Selain itu, lima peratus yang sepatutnya diterima langsung oleh kerajaan negeri dari Petronas telah diambil oleh Kerajaan Pusat dan disalurkan kepada JPP dan agensi pusat lain," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Tambah Dr Azman, sejak dari itu, tiada lagi penyaluran terus daripada Petronas kepada akaun negeri sebagaimana maksud royalti yang asal. Menurutnya, apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, wang ehsan disalurkan kepada kerajaan negeri oleh Kementerian Kewangan (MOF) sama ada dalam bentuk tunai atau pun pelaksanaan projek.  Antaranya, kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 bilion adalah menggunakan duit minyak hak Negeri Terengganu sehingga sekarang Kerajaan Pusat masih terhutang RM1.4 bilion kos pembinaan LPT2 kepada Kerajaan Terengganu.  Malah katanya, duit minyak Terengganu juga digunakan untuk pelbagai projek pembangunan perumahan di negeri-negeri lain. “Apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Wang Tunai Petroleum’ pada zaman Tun Mahathir sebagai PM, dengan dipotong 25 peratus sebagai bayaran hutang negeri kepada Pusat tinggalan kerajaan lepas sebanyak RM800 juta. “Sebanyak RM600 juta bayaran hasil minyak Terengganu sempat dipotong oleh Kerajaan Pusat zaman Lim Guan Eng jadi MOF dan dalam masa yang sama, RM1.4 bilion hutang LPT2 Kerajaan Pusat kepada Terengganu masih tidak terusik,” jelasnya. Jelas Dr Azman, apabila berlaku perubahan Kerajaan Pusat selepas 22 bulan PH memerintah, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’ (DKKP).  Tambahnya, bayaran diteruskan apabila Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih teraju pentadbiran negara. “Selepas PRU15 pada November 2022, Kerajaan Pusat pimpinan PMX mentadbir negara iaitu pada Februari 2023, dalam pembentangan Belanjawan 2023 PMX menyatakan bahawa wang hasil minyak akan disalurkan kepada Terengganu setelah dipotong sebahagiannya untuk program basmi kemiskinan.  “Berapa nak dipotong? Dalam pertemuan dengan MB Terengganu, PMX memaklumkan bahawa jumlah yang akan dipotong antara enam hingga tujuh peratus,” ujarnya. Beliau berkata, potongan dibuat tanpa berunding dengan Kerajaan Terengganu untuk apa duit potongan itu akan dibelanjakan.  “Itu pun suatu tindakan yang tidak menghormati semangat federalisme. Kerajaan Pusat boleh berunding dengan Sabah dan Sarawak tapi kenapa tidak dengan Terengganu?. “Bulan Mac 2023 sepatutnya pembayaran royalti dibuat untuk separuh pertama tahun 2023 tapi tak dibuat. “PMX janjikan pula bahawa royalti akan dibayar selepas Pilihan Raya Umum Negeri pada Ogos 2023 dan kita tunggu selepas PRU negeri, tetap juga tak dibayar,” katanya. Jelasnya lagi, setiap bulan pihak kewangan negeri perlu memohon dengan Perbendaharaan Negara dengan mengemukakan pelbagai dokumen. Antaranya, perlu dinyatakan apakah kegunaan wang yang dimohon seperti untuk bayaran gaji dan lain-lain.  “Kita nak minta hak kita tapi perlu bagitahu nak buat apa dan setiap bulan dapatlah sekitar RM50 juta yang cukup untuk bayar gaji sedangkan hak Terengganu dari hasil minyak adalah sekitar RM1.5 hingga RM1.6 bilion setahun. “Janji PMX nak potong enam hingga tujuh peratus sahaja, bakinya akan dibayar kepada Terengganu. “Dengan penyaluran sekitar RM50 juta sebulan, tolak yang nak dipotong enam hingga tujuh peratus, kita boleh kira sendiri secara kasar berapa lagi wang hak Terengganu yang masih berbaki bagi tahun 2023,” katanya. Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga pernah menghantar pihak audit untuk memeriksa akaun kerajaan negeri tetapi tidak menjumpai apa-apa perbelanjaan wang yang menyalahi tatacara pengurusan kewangan. Tambahnya lagi, kini sudah bulan Mac 2024, sepatutnya Terengganu menerima bayaran wang hasil minyak bagi separuh pertama tahun 2024. “Persoalannya, apa yang PMX dapat dengan menafikan hak 1.2 juta rakyat Terengganu? Apakah rakyat Terengganu perlu dihukum?. "Oleh kerana kesalahan kami tidak memilih PH/BN yang telah memberikan mereka angka sifar dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri serta pilihan raya kecil? Hasil dikaut dari perut bumi Terengganu tapi penduduknya dizalimi. “PMX pernah kata: 'Negeri yang berdegar-degar syarah! Gaji pun minta kat saya!',” katanya. Dr Azman berkata, duit yang Terengganu tuntut ialah hak rakyat Terengganu daripada hasil petroleum dan bukan mengemis untuk bayar gaji Dato’ Seri PM.  “Tak kisahlah sama ada atas nama royalti, Dana Khas Petroleum atau wang ehsan, yang penting hak rakyat Terengganu wajib disalurkan.  “Dato’ Seri dulu ketika jadi pembangkang pernah janji nak bagi 20 peratus royalti tapi Terengganu tak tuntut pun 20 peratus. Hanya minta hak kami 5 peratus sahaja.  Katanya, pelbagai pertemuan dan perbincangan telah dibuat oleh YAB MB Terengganu bersama PM tapi natijahnya masih sama. “Dato’ Seri seorang pejuang hak rakyat dari zaman muda lagi maka, tak sayugia rakyat Terengganu didera hanya kerana kami membuat keputusan tidak memilih parti Dato’ Seri dalam PRU.  “Dengan jiwa besar seorang negarawan, Dato’ Seri perlu hormati pilihan rakyat,” ujarnya.  
11 Mar 24
738
Umat Islam Mula Puasa Selasa
Umat Islam Mula Puasa Selasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Selasa (12 Mac 2024). Beliau berkata bagi menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. "Tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut," katanya lapor portal berita Sinar Harian pada hari ini. Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini. Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini, 10 Mac, Ahad bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah. Di Terengganu, Lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA (Mukim Merang, Setiu). Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.          
10 Mar 24
122
Perbanyakkan Amalan Sunat Dalam Ibadah Solat
Perbanyakkan Amalan Sunat Dalam Ibadah Solat
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat yang dapat mempergandakan lagi pahala ketika menunaikan ibadah solat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, banyak amalan sunat yang diajarkan Nabi Muhammad kepada masyarakat Islam. “Penganjuran program bulan penghayatan ibadah solat bertujuan untuk mendidik masyarakat di negeri ini, dimana bila sebut tentang ibadah solat, biarlah solat kita itu mendapat pahala yang lebih di sisi Allah. “Dalam ibadah solat banyak amalan-amalan sunat yang diajar kepada kita oleh Rasulullah tetapi ada masyarakat kita memandang ringan bila sebut amalan sunat sedangkan itulah menambah pahala bila kita tunaikan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadah Solat (Peringkat Hospital) di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini. Malah katanya, program tersebut juga mempunyai objektif yang lebih luas dari sudut dakwah, kesedaran, ilmu dan lain-lain. “Bagi kerajaan negeri kita mengambil bulan Rejab sebagai bulan untuk kita mengadakan  program penghayatan ibadah solat. “Bertujuan untuk menjadikannya sebagai satu dakwah kepada masyarakat Islam di luar sana supaya mereka lebih menghayati dan medalami ibadah solat ini,” ujarnya.  
10 Mar 24
167
‘Abang Besar’ Sesat Berjaya Dipindahkan
‘Abang Besar’ Sesat Berjaya Dipindahkan
BESUT, 10 Mac - Kekecohan orang kampung sekitar Besut rentetan kehadiran ‘Abang Besar’ yang tersesat akhirnya kembali reda setelah ia berjaya ditangkap dan dipindahkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah yang ditangkap di Kampung Dendong, Besut telah dipindahkan ke habitat semula jadi yang sesuai dan jauh daripada konflik dengan manusia. "Operasi perpindahan ini melibatkan 22 orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Terengganu dan seorang kakitangan PERHILITAN Johor. Operasi bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini. "Bagi pihak Kerajaan Negeri saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan Jabatan Perhilitan dan masyarakat awam yang membantu dalam menyelesaikan operasi ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam media sosial miliknya, petang semalam. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, gajah jantan itu telah mengganggu kehidupan manusia dan merosakkan kebun penduduk sekitar. S Katanya, setelah tangkapan berjaya dilakukan, gajah tersebut akan ditenangkan sehari dua sebelum dipindahkan ke Taman Negara. "Tentu akan ada orang kata, puncanya kerana manusia yang musnahkan hutan tempat habitat kehidupan gajah, akhirnya menjadi punca semua ini berlaku. Ini dinamakan faktor penolak (pushing factor). "Dalam konteks Negeri Terengganu, jumlah keluasan hutan simpan kekal (HSK) masih pada paras 42 peratus dari keluasan negeri. Inilah standard kebangsaan yang ditetapkan untuk Terengganu. Ia memadai untuk habitat kira-kira 200 ekor gajah sebagaimana data dari Jabatan Perhilitan. "Kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan juga menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian ia keluar bagi mendapatkan sumber makanan dengan mudah. "Terima kasih Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu yang terus tekun bekerja bagi menyelesaikan aduan rakyat berkaitan gangguan gajah. Disamping tangkap pindah, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) turut dipasang. Ada ketikanya teknik tembak halau digunakan untuk menghalau gajah kembali ke hutan," jelasnya.
10 Mar 24
177
500 Orang Pelajar Terima Beg Sekolah
500 Orang Pelajar Terima Beg Sekolah
Oleh : Ummi Kalthum Mamat BESUT, 10 Mac – Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera telah menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 500 orang pelajar rakyat di daerah tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Noorkhuzaini  Abd Rahman berkata, ia adalah satu inisiatif bagi meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan setiap pelajar memulakan tahun pelajaran dengan penuh keyakinan. "Kami sangat bersyukur dapat menyumbangkan beg sekolah kepada pelajar-pelajar di Kota Putera.  "Ini adalah satu usaha kecil kami untuk memberikan sokongan kepada keluarga yang mungkin menghadapi cabaran kewangan dalam memenuhi keperluan asas pendidikan anak-anak mereka," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kota Putera Square baru-baru ini. Mohd Nurkhuzaini turut menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan generasi akan datang. "Saya turut menyatakan bahawa setiap sumbangan, sekecil mana pun, dapat membantu meningkatkan aksesibilitasi pendidikan," ujarnya. Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Forsy Deraman berkata, beliau bersyukur sangat atas keprihatinan wakil rakyat yang sedikit sebanyak membantu rakyat meringankan beban ibu bapa. "Walaupun hanya beg sekolah tapi ini cukup bermakna bagi kami yang kurang berkemampuan ini. Terima Kasih YB," katanya. Beliau menambah, keberhasilan inisiatif ADUN Kota Putera dalam memberikan sumbangan kepada 500 pelajar tampak jelas melalui sorotan kegembiraan di wajah ibu bapa.  "Ucapan terima kasih daripada mereka turut mencerminkan impak positif yang telah diterima oleh masyarakat," ujar beliau lagi.
10 Mar 24
136