Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Mengeluh Kerajaan Madani Gagal – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi markah gagal kepada Kerajaan Madani.
Ahmad Samsuri yang juga bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan dari segi penilaian objektif dan subjektif kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jelas gagal.
“Pada saya 'failed' (gagal), sama ada subjektif atau objektif… gagal.
“Ini bersandarkan kepada keluhan rakyat yang kita pergi ke pasar, di jalanan dan mereka mengeluh tentang masalah mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika siaran podcast ‘KeluarSekejap’ yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di saluran YouTube pada Rabu.
Tambah Ahmad Samsuri, pemimpin perlu berjiwa besar menerima sebarang kritikan daripada mereka yang tidak sehaluan.
“Ia penting sebagai semak dan imbang supaya kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
“Pada saya itu adalah 'real' testimoni, orang hidup yang melihat masalah mereka tidak selesai,” ujarnya.
Ahmad Samsuri mengakui tentu akan ada pihak yang terganggu perasaan kerana beliau berkata sedemikian.
14 Mar 24
448
Caj Lesen Niaga : Kerajaan Ambil Tindakan Selesai Kemelut
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Kerajaan negeri akan mewujudkan 'win win situation' antara pekedai dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan syarat dan caj berniaga di hadapan kedai di Hulu Terengganu sempena bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, satu pertemuan akan diadakan pada hari ini bagi membincangkan bagaimana penyelesaian keperluan dan kehendak peniaga dan pihak MDHT.
Katanya, ia susulan beberapa aduan pekedai mengenai tindakan PBT di daerah berkenaan yang agak membebankan mereka mencari rezeki.
“Rasa tidak puas hati macam ni, dah biasa berlaku.
“Insya-Allah, kita akan usahakan supaya pekedai boleh mencari rezeki, pihak berkuasa boleh menjalankan tugas mereka dan pelanggan boleh menikmati hidangan yang mereka gemari,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular tentang PBT Hulu Terengganu menggenakan syarat jika ingin membuka kanopi di hadapan kedai milik peniaga termasuk caj yang dikenakan tidak rasional.
14 Mar 24
243
JHEAT Awasi ‘Geng Plastik Hitam’
KUALA TERENGGANU,14 Mac – “Hati-hati 'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa, anda kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sepanjang Ramadan ini,” ujar Pesuruhjayanya, M. Rozi Bidin.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan, terutama terhadap mereka yang ponteng puasa dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa syariah di seluruh Terengganu
Menurutnya, individu khususnya beragama Islam yang sengaja makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai akan diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan Undang-Undang Kesalahan Syariah.
"Kesalahan menjual makanan kepada golongan berpuasa adalah melanggar peraturan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 (Seksyen 19).
"Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata, bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan di setiap daerah juga sentiasa memantau kawasan-kawasan serta kedai-kedai makanan yang dilaporkan menjalankan aktiviti menjual makanan dan minuman kepada ‘geng plastik hitam’.
Justeru itu, semua umat Islam di negeri Terengganu dinasihatkan untuk melipatgandakan ibadah pada bulan ini serta menjauhkan diri dari terjebak dengan jenayah syariah terutamanya dalam kesalahan tidak menghormati Ramadan.
Tahun lalu, JHEAT merekodkan dua tangkapan membabitkan geng plastik hitam iaitu masing-masing satu kes di Besut dan di Kuala Nerus.
14 Mar 24
324
Sekat Royalti Langgar Demokrasi, Susahkan Rakyat Terengganu – Shahril, KJ
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Tindakan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyekat penyaluran dana royalti petroleum milik rakyat Terengganu dilihat sebagai tidak demokrasi dan menyusahkan rakyat.
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kerajaan Terengganu merupakan kerajaan yang sah dan ia dipilih oleh majoriti rakyat, justeru sekatan itu adalah tidak wajar.
Katanya, pentadbiran Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhak untuk menuntut royalti itu mewakili rakyatnya dan menentukan bentuk perbelanjaan duit terbabit.
“(Sekatan pemberian royalti) bukan sekadar hanya menyusahkan rakyat Terengganu, tapi ini soal demokrasi.
“Kerajaan negeri menang 32-0, mereka ada hak untuk tentukan duit itu nak belanja macam mana, bukan mereka perlu ‘request’ (atau nyatakan setiap item) bagi mendapatkan kelulusan Persekutuan untuk membelanjakan duit itu,” jelas Shahril dalam Podcast Keluar Sekejap episode ke-89 bersama Ahmad Samsuri kelmarin.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula sependapat dengan Shahril.
“Ini kerajaan yang sah,semuanya akan melalui proses audit,” tegas Khairy.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, bayaran royalti bagi tahun 2023 yang masih tidak dibayar secara penuh lebih RM600 juta membantutkan perjalanan kerajaan dan menyukarkan rakyat.
“Saya nak sebut, antara perkara yang sudah dijanjikan kepada rakyat tetapi tergendala akibat sekatan royalti ini adalah pembinaan pusat autisme dan juga pusat Quran braile untuk orang kurang upaya mendalami al-Quran.
“Ini antara contoh selain bantuan-bantuan yang kita salurkan kepada rakyat sebelum ini,” jelasnya.
14 Mar 24
1107
UMT Peruntuk RM7,000 Untuk Juadah Iftar Pelajar Setiap Hari
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) tidak melepaskan peluang untuk menyediakan iftar kepada mahasiswa yang memerlukan setiap tahun.
Timbalan Pengarah PISM, Faizah Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan RM7,000 bagi menyediakan juadah iftar kepada 500 hingga 1000 pelajar setiap hari.
“Tahun ini PISM, UMT akan meneruskan tradisi iftar ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan.
”Tajaan iftar adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadhan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM.
“Konsep ini adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda,” ujarnya.
Sementara itu katanya, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun hingga lima tahun.
“Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM.
“Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak disamping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri.
“Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM,” ujarnya.
Justeru katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program pengimarahan masjid UMT.
14 Mar 24
257
Madinah Ramadan Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Ibu bapa yang mahu untuk menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan tidak perlu bimbang untuk membawa anak-anak ruangan khas penjagaan kanak-kanak disediakan kerajaan negeri.
Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, inisiatif itu bagi memastikan ibu bapa dapat menunaikan solat sunat tersebut dengan tenang dan selesa tanpa merasa bimbang mengenai keselamatan anak-anak.
"Kita juga menyediakan petugas (sukarelawan) untuk menyelia dan mengawal kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa yang memiliki anak-anak yang masih kecil berpeluang untuk beribadat.
"Ini antara pendekatan yang kita ambil bagi meningkatkan fungsi masjid dan memastikan masyarakat mesra dan mengimarahkannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual di konti Manis FM, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Ustaz Mohd Zulkhairi berkata apa yang akan menjadikan Madinah Ramadan pada kali ini lebih menarik adalah pihak penganjur dan pihak Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus ialah turut menyediakan Soopa Doopa yang akan menambah keseronokan anak-anak yang hadir.
"Jadi ibu bapa yang selama ini terfikir jika hendak solat tarawih risau anak-anak akan menggangu para jemaah lain jika dibawa tidak perlu lagi bimbang dengan adanya ruang khas untuk anak-anak bermain ini," ujarnya.
13 Mar 24
171
Jual Makanan Sebelum 3 Petang Kena Penjara - MBKT
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Semua aktiviti perniagaan makanan dan minuman melibatkan pengusaha, pemilik dan pelanggan bermula pukul 3.00 petang.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata bagi pengusaha, pemilik perniagaan makanan dan minuman bukan islam tertakluk kepada kelulusan lesen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Katanya, peraturan yang ada melarang pelanggan beragama islam makan dan minum di lremis pada waktu siang hari sepanjang bulan Ramadan.
“Mana-mana pengusaha, pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi pemberitahuan ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah UUK (Establisymen Makanan) MBKT 1991.
“Jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi ringgit Malaysia: dua ribu sahaja (RM2,000) atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada hari ini.
Tambah Rosli Latif, arahan tersebut berkuatkuasa bermula hari ini (12 Mac 2024).
“Ketetapan tersebut dibuat bersempena menghormati kemuliaan bulan Ramadan Al Mubarak,” ujarnya.
12 Mar 24
527
Sekolah K9 Kini Mula Beroperasi di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) mula beroperasi di Terengganu pada sesi persekolahan tahun ini bagi menangani masalah keciciran pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman.
Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata dua sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di Kemaman.
Katanya, menerusi model K9, murid Orang Asli perlu menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pembelajaran bermula tahun satu hingga tingkatan tiga
"Maksudnya murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama.
"Seramai 15 daripada 16 orang murid di SK Sungai Berua yang telah mendaftarkan diri ke Tingkatan Satu (Transisi) di sekolah K9 tersebut.
"Bagi SK Sungai Pergam pula kita ada seramai lima pelajar daripada tujuh pelajar dimana dua daripadanya telah ke Pusat Intelek Pelajar Orang Asli di Rompin (PIPOA)," katanya kepada pemberita.
Tambahnya, seramai empat guru telah ditempatkan di SK Sungai Berua iaitu empat bagi pengajaran aliran menengah dan 11 guru lagi bagi matapelajaran aliran rendah .
"Untuk SK Sungai Pergam pula terdapat seramai empat guru bagi pelajar peringkat menengah dan 12 untuk sekolah rendah," katanya.
Beliau menjelaskan, disebabkan kemiskinan dan jarak yang jauh, ramai murid yang tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah.
Justeru itu katanya, KPM mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama.
Secara keseluruhan terdapat 28 buah sekolah K9 di seluruh negara dengan 10 buah daripadanya mula beroperasi pada Ahad lalu.
12 Mar 24
3099
Gearbox Rahsia Kelazatan Bubur Lambuk Mok Pah
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Setiap kali menjelang Ramadan, Bubur Lambuk Gearbox yang dihasilkan oleh Mok Pah atau nama sebenarnya Zabedah Samad, 63, sering kali menjadi rebutan para peminatnya.
Berkongsi rahsia menghasilkan bubur Lambuk istimewa itu Mok Pah berkata setiap tahun pada bulan Ramadan dia tidak akan menang tangan kerana menerima tempahan sama ada dari masjid-masjid sekitarnya serta daripada jabatan dan agensi-agensi.
"Alhamdulillah Mok Pah sentiasa menerima tempahan, apa yang menjadikan Bubur Lambuk ini istimewa adalah menggunakan herba dan ramuan asli, termasuk lada hitam asli bukannya bahan-bahan moden yang diproses secara komersial seperti lada sulah.
"Juga kita menggunakan dua jenis ikan yang segar iaitu Ikan Selayang dan juga Ikan Aya (Ikan Tongkol), dimana semua bahan-bahan yang dimasukkan itu tidak dicampak sebarangan sebaliknya menggunakan sukatan yang tepat bagi mengekalkan citarasa untuk dinikmati semua orang.
"Mengenai tulang 'gearbox' yang digunakan ini ia menjadi resepi rahsia yang memberikan kekayaan dan tekstur kepada bubur ini,"katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Masjid Abidin (Masjid Negeri), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Mok Pah berkata dia memulakan perusahaan juadah itu sejak 15 tahun yang lalu.
"Sejak itu saya sentiasa mendapat tempahan termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), dan pernah memasak di Stadium dan banyak tempat lagi.
"Kalau hendak dikirakan saya sudah berkecimpung sejak kecil lagi pada tahun 60-an kerana mengikuti arwah ayah yang juga mengambil tempahan membuat bubur,"ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata , agihan Bubur Lambuk itu telah menjadi aktiviti tahunan dan telah memasuki tahun kelapan.
"Sebagai usaha memeriahkan bulan yang penuh keberkatan itu dengan mengagihakan 1,000 bekas selama tiga hari pada permulaan Ramadan ini bermula pada 12, 13 dan 14 April 2024,"ujarnya.
12 Mar 24
292
1,000 Pek Bubur Lambuk Percuma di ‘Drawbridge’
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Pengguna Jambatan Angkat (‘Drawbridge’) di sini dirai dengan 1,000 pek Bubur Lambuk percuma menjelang awal Ramadan semalam yang ditaja oleh Duyong & Marina Resort dan TI Properties Sdn Bhd (TI Properties).
Pengurus Besar Duyong & Marina Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata bubur berkenaan di masak di dapur Duyong & Marina Resort dan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TI properties, Awasi Mohamad serta kira-kira 30 kakitangan dari kedua-dua anak syarikat kerajaan Terengganu itu membahagi-bahagikan makanan tersebut kepada orang ramai di jambatan terebut bermula jam 4.00 petang sehingga habis jam 5.30 petang.
Menurutnya aktiviti itu bukan pertama kali diadakan kerana bulan puasa tahun lalu Duyong & Marina Resort turut berbuat demikian untuk meraikan pengguna Jambatan Sultan Mahmud di sini..
"Ini adalah aktiviti CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) kami di samping turut mempromosikan pakej buffer dan sewaan bilik dengan harga berpatutan menjelang Ramadan tahun ini.
"Semua maklumat berkiatan boleh didapati di laman web Duyong & Marina Resort dari sekarang," katanya ketika ditemui di jambatan tersebut semalam.
Sementara itu Awasi berkata sebagai pengurus jambatan angkat (sejak tahun 2019) TI Properties telah menjalankan aktiviti CSR itu menjelang Ramadan bermula tahun lepas dan ini kali kedua aktiviti tersebut diadakan dengan kerjasama Duyong & Marina Resort.
Katanya, sempena Ramadan bulan yang mulia ini,TI Properties menjemput orang ramai berkunjung ke menara Jambatam Angkat untuk berbuka puasa dengan juadah yang disediakan dengan harga berpatutan.
"Di menara Jambata Angkat ini terdapat galeri 'Skybridge’ yang terletak di menara tinjau jambatan tersebut di samping katering dengan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di menara bersebelahan," jelasnya.
Katanya aktiviti tersebut juga merupakan aktiviti CSR menjelang Ramadan dan pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk menyantuni 90 orang anak yatim dari beberapa dearah di negeri ini.
"Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati pemandangan cantik di samping melawat galeri serta berbuka puasa bagi merasai kelainan di ‘Drawbridge’ Terengganu tahun ini," ujarnya.
12 Mar 24
206