Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Rekod Peningkatan Tahap Produktiviti Pekerja - KSN
KUALA NERUS, 10 Mac - Terengganu merekodkan peningkatan prestasi produktiviti pekerja yang memberangsangkan sebanyak 3.4 peratus dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM77,695 berbanding pengembangan 2.8 peratus (RM75,167) pada 2021.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata oleh itu semua pihak mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan ekonomi Negeri Terengganu terus kekal pada pertumbuhan positif.
“Pada tahun ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu berkembang 6.9 peratus.
“Pertumbuhan dijangka akan disumbangkan oleh peningkatan produktiviti antara 4 peratus hingga 5 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan juga sedang melaksanakan inisiatif mempercepatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Justeru itu katanya, pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Kementerian Ekonomi memastikan tidak berlaku ketirisan dan bantuan serta subsidi sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.
“Di Terengganu, terdapat 8,057 keluarga miskin tegar dan lebih 30 ribu keluarga miskin jadi saya berharap inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu menjelang akhir tahun ini,”jelas beliau.
10 Mar 24
197
MyMudah Tingkatkan Produktiviti, Daya Saing Negeri
KUALA NERUS, 10 Mac - Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui Program MyMudah ke arah melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Setiausaha Kerajaan negeri ,Tengku Seri Bijaya Raja berkata pihaknya menyambut baik usaha MPC dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) melalui penambahbaikan peraturan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif ke arah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri juga memberi sokongan penuh terhadap usaha mempermudahkan urusan pelaburan melalui kecekapan peraturan perniagaan. Usaha yang dijalankan ini bukan sahaja menarik minat pelabur tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat setempat serta ekonomi Terengganu.
“Selaras dengan hasrat MPC untuk membantu mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, Kerajaan Negeri bersama-sama PBT telah memberikan komitmen dalam projek penambahbaikan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan dimana ia dapat menyumbang ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif di Negeri Terengganu.
“Setinggi-tinggi penghargaan di atas penubuhan satu Unit MyMudah di peringkat Kerajaan Negeri, tujuh unit MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lapan unit MyMudah di peringkat Pejabat Daerah dan satu unit MyMudah di peringkat Pejabat Tanah. Ini merupakan komitmen padu kami terhadap inisiatif ini.
“Pihak kami yakin usahasama dengan MPC ini bakal membuka peluang baharu serta manfaat kepada rakyat Terengganu sejajar dengan pelan jangka panjang negeri iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030,” katanya di Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini.
Persidangan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali melibatkan 300 penyertaan daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Persekutuan serta persatuan perniagaan turut menyaksikan Tengku Seri Bijaya Raja menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau.
Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya berkata Unit MyMudah bertindak sebagai platform untuk rakan-rakan industri menyalurkan maklumat, cadangan, dan pandangan berkaitan isu-isu kerenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar.
“Kita sedia maklum bahawa terdapat banyak peraturan dan garis panduan di peringkat Kerajaan Negeri dan PBT yang perlu dipatuhi oleh peniaga.
“Justeru, melalui Unit MyMudah, industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan serta bekerjasama dalam menyelesaikan isu dan cabaran peraturan perniagaan tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi,”ujarnya.
10 Mar 24
141
Kerajaan Terus Bantu Pelajar Derita Pecah Saluran Darah ke Otak
HULU TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus komited membantu keperluan Muhammad Amirul Nazmi Sam, 21, yang menderita masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu sehingga menyebabkan pelajar cemerlang itu kini hanya terlantar sakit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya dan PETRONAS akan sentiasa membantu dari segi kos rawatan Amirul dengan sebaik mungkin.
"Pada hari ini sekali lagi saya turun bersama pihak PETRONAS untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga adik Amirul.
"Terbaharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan sebanyak RM500 kepada penjaga iaitu ibunya Wan Murni Wan Ngah, 46, dan untuk Amirul sebanyak RM300 setiap bulan.
"Alhamdulillah, perkembangan kesihatan Amirul semakin baik dan positif. Doakan adik Amirul kembali sembuh dan sihat seperti sediakala," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Strategik Kumpulan Petronas, Nooruddin Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Amirul dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan.
"Pada kunjungan kali ini, kami menyerahkan susu khas, lampin pakai buang dewasa, tisu basah, tracheostomy tube (tiub bantuan pernafasan melalui trakea), kerusi roda boleh laras, tub mandi isian angin (inflatable bath tub) termasuk sumbangan kewangan dari kutipan derma kakitangan petronas.
"Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan penuntut tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar," katanya.
Muhammad Amirul Nazmi dijadualkan menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac dan akan menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom (UK) pada Jun depan.
Beliau yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun sebelum ini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 sekali gus melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang IT di UK.
10 Mar 24
295
Projek Solar : Petronas Perlu Utamakan Syarikat Bumiputera
PUTRAJAYA, 9 Mac – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim melahirkan kebimbangan terhadap kemajuan syarikat bumiputera sekiranya penyertaan mereka dalam pelbagai sektor dan bidang tidak disambut baik oleh syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas.
Beliau berkata di sebalik penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dikatakan menjadi landasan penting bagi memperkasakan ekonomi golongan bumiputera.
Katanya, media melaporkan bahawa cabang tenaga hijau Petronas, Gentari Sdn Bhd telah melantik syarikat bukan milik bumiputera, Solarvest Energy Sdn Bhd untuk memasang sistem kuasa solar di lebih 300 stesen Petronas di seluruh negara.
“Petronas telah memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran terhadap pemasangan sistem solar itu.
“Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah tidak ada satu pun syarikat bumiputera dipanggil untuk mengemukakan tawaran tersebut dan ini adalah satu bentuk penindasan kepada golongan bumiputera,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Amzad, beliau merasa amat kesal dengan pengumuman tersebut kerana pada dasarnya negara ini mempunyai banyak syarikat yang berkepakaran dalam industri tenaga solar seperti Gading Kencana Sdn. Bhd., Uzma Berhad dan lain-lain lagi.
Menurutnya, terdapat kira-kira 60 syarikat Bumiputera yang berdaftar di bawah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) tetapi mengapa Petronas memilih untuk menganugerahkannya kepada syarikat bukan bumiputera tanpa tender.
“Saya turut mengajukan persoalan ini dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli namun jawapan yang diberikan terlalu umum, kabur dan tidak menepati soalan yang ditanya.
“Beliau hanya menjelaskan bahawa Kerajaan sedang mengenalpasti enjin-enjin pertumbuhan baharu untuk melonjakkan penyertaan ekonomi usahawan negara ke dalam rantaian nilai antarabangsa.
"Tambahnya lagi, Kerajaan akan memperhalusi penyertaan usahawan bumiputera mengambil risiko menyertai sektor-sektor seperti peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik.
Amzad berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan, adakah Kerajaan berpendapat bahawa syarikat Bumiputera yang sudah menapak lama dalam industri ini tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek tersebut dengan jayanya?
“Saya mendesak Kerajaan menjelaskan justifikasi Petronas memilih Solarvest Energy Sdn Bhd dan bukannya syarikat Bumiputera kerana Petronas sepatutnya memberikan peluang kepada syarikat Bumiputera memandangkan kewujudan Petronas itu sendiri adalah atas sokongan golongan Bumiputera.
“Saya berpendapat ini adalah langkah yang terbaik untuk merapatkan jurang ekonomi Bumiputera agar mereka tidak ketinggalan," jelasnya.
Tambahan pula, pengerusi Bursa Malaysia telah melaporkan bahawa hanya satu daripada 97 syarikat yang disenaraikan mempunyai majoriti saham bumiputera dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Oleh itu, perkara tersebut amat membimbangkan dan mencerminkan penyertaan sebenar kaum bumiputera dalam sektor perniagaan.
Justeru itu, pihaknya memohon agar syarikat bumiputera diberikan lebih ruang dan peluang untuk terlibat dalam sektor-sektor strategik kerana ini akan membantu untuk melonjakkan ekonomi mereka seterusnya meningkatkan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera di Bursa Malaysia.
09 Mar 24
1125
Pengasas Kalislab Teruja MB Hadir ke Pelancaran Produk
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Pengasas Kalislab FAM Sdn Bhd, Dr Razin Jaafar berbesar hati apabila Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam pelancaran produk baharu mereka.
Dr Razin berkata, pihaknya telah melancarkan Stella Coconut Ghee Chocolate Spread dan juga Stella Matcha Rossa Spread sebagai salah satu produk terbaharu syarikat.
Katanya, majlis pelancaran ringkas telah diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, TTC sempena Karnival Usahawan Sambutan 30 Tahun YPU Terengganu.
“Dalam majlis ringkas ini, pihak Kalislab amat berterima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang banyak membantu dalam promosi.
“Sekali gus menjemput Y.A.B Menteri Besar Terengganu dalam pelancaran Stella,” katanya dalam kenyataan media pada semalam.
Tambah Dr Razin, bersesuaian dengan visi memerdekakan orang dari ubat dan penyakit, Kalislab telah mencipta produk Stella.
“Ilham terhasilnya produk ini apabila saya mendapat feedback dari pesakit tentang bagaimana sukarnya mencari makanan yang selamat dan dalam masa yang sama sedap dinikmati secara jangka panjang," jelasnya
Jelasnya lagi, Stella juga adalah penanda aras bagi produk berkualiti premium dan ia sangat penting untuk menjamin agar public tidak jatuh sakit.
Oleh kerana, kandungan makanan yang tidak bermutu dan akhirnya memaksa mereka membelanjakan hidup mereka memakan ubat sepanjang hayat.
“Stella adalah lambang spesifikasi karbohidrat, lemak dan protein yang selamat dan tidak mencetuskan keradangan serta sesuai dimakan semua golongan pesakit dan segenap lapisan umur,” jelasnya.
Menurutnya, pihaknya juga mencipta makanan-makanan baru yang sesuai untuk pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, stroke, obesiti, kanser, alergik dan lain-lain.
Sementara itu, Produksi dan R&D, Kalislab FAM Sdn Bhd. Mohd Hazim Ahmad berkata bahan mentah dipilih dengan cermat untuk memastikan.
“Kesemua offering mencapai standard premium agar selamat serta sedap dan boleh serta menjadi gaya hidup baru masyarakat.
“Bermula hari ini, para peminat boleh merasai keenakkan Stella di booth Kalislab yang bertempat di Galeri B, Pusat Dagangan Terengganu, TTC," katanya.
Beliau berkata, sempena pelancaran produk baru ini juga, Kalislab menawarkan diskaun sehingga 10% kepada pengunjung untuk setiap pembelian produk.
“50 pembeli Stella terawal juga akan menerima T-Shirt Stella keluaran khas secara percuma.
"Setelah selesai jualan khas Stella di Pusat Dangan Terengganu, TTC selama 3 hari bermula hari ini sehingga 9 Mac nanti, penjualan Stella di platform e-commerce akan bermula pada 10 Mac iaitu di platform Shopee dan TikTok Shop," ujarnya.
Untuk rekod, jenama Kalislab ini telah diasaskan pada tahun 2020 di Bukit Payong, Marang, Terengganu.
09 Mar 24
968
Kekentalan Rakyat Palestin Mengerunkan Zionis Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Zionis Israel gerun dan takut terhadap kekentalan rakyat Palestin ketika berhadapan dengan pelbagai kekejaman, kezaliman dan penindasan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gencatan sejata dan perjanjian damai akan terus menjadi olokan bagi zionis.
"Mereka sebenarnya kalah dalam peperangan ataupun konflik ini walaupun mereka berjaya membunuh begitu ramai rakyat Palestin berbanding rakyat mereka yang terkorban.
"Tetapi dari segi akhlak, moral, budi bicara, politik mereka gagal masyarakat antarabangsa juga memandang zionis ini pada tahap yang begitu hina.
"Sehingga mayarakat antarabangsa tanpa mengira orang Islam ataupun bukan Islam mempertikaikan nilai-nilai yang ada pada negara haram Israel ini kerana selalui mencabuli undang-undang antarabangsa dan mereka tidak pernah mengikut peraturan-peraturan yang ada," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang akhbar Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata, rundingan gencatan senjata di Kaherah untuk menghentikan peperangan di Gaza gagal kerana Zionis Israel sendiri tidak mahu berdamai.
"Kerana mereka begitu selesa dengan tindakan yang dilakukan (membantai umat Islam Palestin), cuma buat kami ini mereka agak bimbang kalau berdamai maka tidak akan dapat satu keadaan sebagaimana yang mereka rasai sebelum ini.
"Saya percaya konflik ini akan berterusan cuma tanggungjawab kita itu yang penting mesti sentiasa menunjukkan kebersamaan dengan saudara kita di Palestin dengan pelbagai cara, melalui doa, sumbangan dan sokongan modal dalam media sosial, insya-Allah," katanya.
08 Mar 24
149
MAIDAM Sumbang RM13.9 Juta Bantu 25,887 Golongan Asnaf
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyumbang RM13.9 juta bagi meringankan beban golongan asnaf di negeri ini untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata seramai 25,887 golongan asnaf akan menerima bantuan tersebut.
“Daripada jumlah itu, seramai 6,924 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima bantuan sebanyak RM300 membabitkan peruntukan kira-kira RM2.1 juta.
"Selain itu, 7,696 KIR pula menerima RM500 membabitkan peruntukan kira-kira RM3.9 juta dan 11,267 menerima RM700 seorang membabitkan peruntukan kira-kira RM7.9 juta,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, kelmarin.
Menurut Shaikh Harun, KIR atau bapa dan ibu tunggal menerima bantuan RM300 manakala KIR yang mempunyai tanggungan dua atau tiga orang menerima bantuan RM500.
Tambahnya, KIR yang mempunyai tanggungan melebihi empat orang pula menerima RM700.
Jelas beliau lagi, bayaran bantuan bagi meringankan beban golongan asnaf akan dikredit terus ke akaun penerima secara berperingkat.
08 Mar 24
201
Kadar Zakat Fitrah Terengganu RM10 dan RM22
KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memaklumkan bahawa kadar zakat fitrah umat Islam di negeri ini mengikut dua kategori iaitu sebanyak RM10 dan RM22.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata kategori pengguna beras tempatan adalah RM10 seorang manakala kategori mereka yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara adalah RM22 seorang.
“Dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari berdasarkan harga gred Super Tempatan dengan lima peratus hancur dalam pasaran.
“Penetapan kadar zakat fitrah itu juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, kelmarin.
Tambah Shaikh Harun, seramai 903 amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah pada tahun ini.
Menurutnya, MAIDAM menyasarkan dapat mengutip zakat fitrah tahun ini sebanyak RM11 juta berbanding hanya RM10.3 juta tahun lalu.
“Kita juga menyarankan semua amil membuat kutipan zakat fitrah dari rumah ke rumah dan bukan hanya memberi tumpuan di masjid atau surau,” ujarnya.
08 Mar 24
336
Tunggakan Royalti, Tunggu Jawapan MOF- Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu jawapan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tunggakan pembayaran royalti minyak atau Wang Ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada Negeri Terengganu untuk tahun lalu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, MOF dijangka akan memberikan maklum balas berhubung status bayaran tunggakan royalti minyak itu pada sidang Dewan Rakyat minggu hadapan.
"Saya taknak bagi komen apa-apa sehingga Yang Berhormat Menteri (Kewangan) akan menjawab pada hari Isnin ini.
"Jadi, jawapan bagi pihak kementerian akan bermula pada hari Isnin selama satu, dua, tiga hari la kalau tidak silap saya sampai Rabu.
"Kementerian Kewangan adalah pada penggiliran yang pertama dalam aturan Mesyuarat pada hari Isnin, sebelum saya beri apa-apa komen, saya akan tunggu jawapan daripada pihak kementerian dahulu, " ujarnya.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kemaman berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.
07 Mar 24
315
Status LPT3 : Kerajaan Persekutuan Kurang Efisien
KUALA LUMPUR, 7 Mac - Jawapan Kerajaan Persekutuan di Sidang Parlimen baru-baru ini tentang kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) menunjukan ia sedang bergerak pada kadar agak perlahan dan kurang efisien.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata untuk rekod, pada tahun lepas iaitu 22 Februari 2023, Kerajaan memaklumkan di dalam Dewan Rakyat bahawa proses RFP (‘request for proposal’) untuk LPT3 akan dimulakan dengan penubuhan pasukan projek sebelum diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
"Namun demikian, lebih setahun kemudian iaitu semalam, Kerajaan berkata bahawa cadangan projek LPT3 masih dalam penelitian dan dalam proses mendapatkan kelulusan prinsip oleh Jemaah Menteri untuk melaksanakan projek LPT3 secara tender RFP.
"Jawapan Kerajaan menunjukkan status kemajuan projek ini sedang bergerak pada kadar agak perlahan dan kurang efisien," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini mengulas sesi pertanyaan Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkenaan status LPT3.
Untuk rekod, kajian mengenai perkara berkenaan telah pun selesai sejak Ogos 2022.
Kata Wan Hassan, jawapan Kerajaan Persekutuan menimbulkan tanda tanya tentang kecekapan dan komitmen Kerajaan terhadap projek yang dijangkakan membawa pelbagai manfaat termasuk limpahan ekonomi kepada rakyat di Pantai Timur ini.
"Bagi soalan tambahan Dr. Ahmad Samsuri tentang model pembiayaan dan model operasi LPT3, Kerajaan menyatakan syarikat pemaju akan membuat pembiayaan pembinaan LPT3 melalui bank.
"Mendapatkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol dan seterusnya akan mengembalikan projek tersebut kepada kerajaan," sambungnya lagi.
Beliau juga berharap agar pertimbangan Kerajaan berkenaan projek LPT3 ini lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak berorientasikan keuntungan semata-mata.
"Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa hal sekalipun, kebajikan rakyat Pantai Timur termasuk di negeri Terengganu adalah paling utama.
"Selesaikan segera permasalahan tentang LPT3 sebagaimana diminta Ahli Parlimen Kemaman dan eratkan kerjasama antara Persekutuan dengan Negeri agar terjaga kesejahteraan dan kemakmuran rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur," ujarnya lagi.
07 Mar 24
1153