Artikel "Utama" Terkini
238 Unit RMM Bukit Gasing 2 Dijangka Siap Oktober
MARANG, 18 Mac – Projek Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing 2 dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Oktober 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 buah unit rumah.
Katanya, kesemua unit rumah tersebut terbahagi kepada dua jenis iaitu A dan B.
“Jenis A mempunyai 133 buah rumah manakala jenis B pula berjumlah 65 unit rumah.
“Dalam taklimat yang dimaklumkan tadi, projek yang telah dimulakan pembinaan pada tahun 2021 lalu berlaku kelewatan daripada jadual asal yang sepatutnya siap lebih awal daripada ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja di Tapak Perumahan RMM Bukit Gasing 2 bertempat di Perumahan RMM Bukit Gasing 2, Marang di sini semalam.
Tambah Wan Sukairi, punca dan beberapa isu berlaku akibat kelewatan telah dinyatakan oleh pihak kontraktor.
Tambahnya lagi, perkara tersebut tidak dapat dielakkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan.
“Kita mengharapkan komitmen yang diberikan oleh pihak kontraktor dapat dilaksanakan sehingga Oktober.
“Seterusnya, kita akan melihat keseluruhan 238 unit RMM jenis A dan B ini dapat disiapkan sepenuhnya.
“Sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu bakal menduduki rumah yang disediakan oleh pihak kerajaan ini,” ujarnya.
18 Mar 24
639
Polis Pantau Dakwaan Gerakan Hidupkan Semula Ajaran Sesat 'Ayah Pin'
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Polis Terengganu sentiasa memantau berhubung dakwaan terdapat gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ di daerah Besut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata setakat ini aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kg. Batu 13, Besut masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat
“Polis sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu.
“Pihak kami menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan perkembangan ini dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan 'Kerajaan Langit'.
Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 1997 telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
18 Mar 24
165
Elak Jual Makanan Basi di Bazar Ramadan
MARANG, 17 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu ini agar tidak menjual makanan dan kuih-muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuka kaunter aduan di kesemua 55 bazar Ramadan di seluruh Terengganu.
"Orang ramai dinasihatkan membuat aduan samada mengenai makanan atau harga kepada petugas PBT yang ditempatkan di setiap bazar Ramadan untuk tindakan selanjutnya.
"Kita (kerajaan) berharap peniaga bazar Ramadan menyediakan juadah yang bersih dan tidak menjual semua jualan yang tidak habis pada keesokan hari...dan tidak meninggalkan imej buruk kepada negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kebersihan Dan Keselamatan Makanan, di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini.
Menurut Wan Sukairi, pihaknya ada menerima aduan tidak rasmi melibatkan kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan pada kali ini.
"Satu kejadian di Marang dan satu lagi di Kuala Terengganu namun tiada aduan diterima sehingga kini dan kita akan menyiasat kes keracunan dan makanan basi tersebut walaupun laporan rasmi belum dibuat,"ujarnya.
Tambah Wan Sukairi lagi, pihaknya juga mengadakan kempen keselamatan mengenai peralatan yang digunakan seperti bahaya ubat stapler yang kini banyak digunakan bagi menggantikan lidi untuk pembungkusan makanan.
"Pernah terjadi kes ubat stapler tersangkut pada halkom, oleh sebab itu penggunaannya perlu diambil kira atas faktor keselamatan," jelasnya.
17 Mar 24
166
Selain Royalti Minyak, Terengganu Giat Jana Pendapatan Baharu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Dakwaan sesetengah pihak bahawa Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum (wang ehsan) semata-mata adalah tidak benar kerana Jabatan Audit Negara telah mengesahkan Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kebergantungan negeri itu dengan hasil minyak sebanyak empat peratus.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, data pada 2018 hingga 2021 berbanding 2014 hingga 2017 merekodkan penurunan penggunaan hasil petroleum dalam perbelanjaan negeri.
“Ini hasil yang kita perolehi, bagi orang luar ia mungkin tak banyak, tetapi kita mencuba di samping terus mencari pendapatan baharu,” katanya dalam audiosiar KeluarSekejap baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata antara usaha yang telah dibuat bagi menjana pendapatan baharu untuk negeri ialah dengan menggubal Enakmen Sumber Air Terengganu 2020.
Katanya, kesan penggubalan itu Terengganu dijangka mampu menjana RM100 juta setahun daripada pelbagai sumber air yang ada.
“Melalui ini kita mengenakan caj pada penggunaan air, bukan sahaja kepada air terawat tetapi juga melibatkan air tak terawat seperti air sungai dan air laut yang digunakan kapal-kapal untuk pembersihan kapal dan apa-apa akitiviti lain.
“Enakmen seumpama ini sebenarnya sudah lama diperkenalkan di Selangor. Sebelum melaksanakan enakmen ini pun kita sudah melakukan libat urus bersama pihak yang terlibat bagi memastikan ia berjalan dengan baik,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Terengganu juga telah menubuhkan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) yang merupakan pusat pengurusan Infrastruktur Utiliti Negeri Terengganu dan merupakan Pusat Sehenti Berpusat untuk permohonan korek gali utiliti.
“Insya-Allah ini akan menjadi hasil tambahan kepada negeri,” ujarnya.
Katanya lagi, Terengganu juga mempunyai sumber mineral, namun cukai berkaitan bahan itu sudah berbelas dan puluhan tahun tidak dikaji.
“Apabila dibuat perbandingan dengan negeri-negeri lain, Terengganu masih lagi di paras sangat rendah, jadi insya-Allah kita telah buat kajian untuk menaikkan kadar-kadarnya mengikut kesesuaian dan kemampuan rakyat.
“Kadar fi sumber hasil tanah dan hutan umpamanya, sudah berbelas tahun tidak dikaji, kita kaji semula untuk memberikan lebih pulangan hasil kepada Negeri Terengganu.
Bercakap mengenai Unsur Nadir Bumi (REE), Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, berdasarkan data Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Terengganu mempunyai sekitar 44 peratus REE yang belum diterokai daripada seluruh semenanjung.
“Kerajaan sedang meneliti sumber ini dengan cara yang terbaik bermula daripada pemprosesan sumber ‘raw’ walaupun ia agak sukar kerana teknologinya hanya ada di China, kita sedang cari langkah terbaik,” katanya.
17 Mar 24
2018
Cacat Penglihatan Tidak Halang Raih Pahala Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Tidak nampak di mata, tetapi terang di hati, golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan turut tidak mensia-siakan kehadiran bulan Ramadan dengan bertadarus menggunakan al-Quran Braille.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, tadarus dilakukan dengan bimbingan 10 orang guru al Quran di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus.
"Selain mempelajari tajwid dan membaca al Quran dengan tartil, guru juga akan memberi penerangan tentang kisah di sebalik turunnya sesuatu ayat tersebut.
"Ini penting untuk kita lebih memahami dan menghayati sirah Rasulullah SAW dan kisah nabi-nabi yang lain untuk diambil iktibar.
"Kami berazam untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al Quran pada setiap Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan mahu menyemarakkan lagi kesucian bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya, Pertis Terengganu mempunyai 400 orang namun setakat ini, hanya 70 ahli sahaja yang menyertai program tadarus Ramadan tersebut.
Tambah Mohd Fauzi lagi, kelas Tadarus diadakan tiga kali setiap minggu dan menghimpunkan semua peserta yang datang dari seluruh Terengganu.
"Insya-Allah, Pertis Terengganu sentiasa istiqamah dalam memperkasakan penguasaan OKU cacat penglihatan membaca al Quran melalui kelas tadarus sepanjang Ramadan ini," katanya.
17 Mar 24
121
Terengganu Pantau Usaha Hidupkan 'Ajaran Ayah Pin'
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Kerajaan Negeri sedang memantau dengan serius usaha untuk menghidupkan semula ajaran 'Ayah Pin' yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun 1997.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, pihaknya serta pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara terbabit.
"Usaha daripada pihak tertentu untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan konsep ‘Kerajaan Langit’ sedang dipantau dengan rapi oleh kerajaan.
“Perkara ini sudah dalam makluman dan sedang dalam tindakan pihak berwajib,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor ketika ditanya Urus Setia Penerangan Darul Iman berkata gerakan Ayah Pin telah lama menyepi namun kebelakangan ini, beberapa pihak tertentu cuba menghidupkan kembali gerakan yang disebut perjuangan ayah tersebut.
Menurutnya, pihak kerajaan tidak akan berkompromi dengan ajaran sesat dan tindakan tegas akan diambil kepada masyarakat yang terlibat.
Di samping katanya, beliau dan pihak berkuasa akan mendidik masyarakat supaya menjauhi ajaran Ayah Pin yang bercanggah dengan syariat Islam.
“Pihak pentadbiran daerah juga telah bermesyuarat dengan pihak keselamatan untuk menangani gerakan hidupkan kembali ajaran Ayah Pin.
“Kumpulan mereka didakwa telah cuba mengambil ahli-ahli baharu untuk bergabung dalam kelompok mereka.
“Walaupun ajaran ini berpusat di Kampung Batu 13, Besut tetapi ramai ahli-ahli mereka berada di luar kawasan,” jelasnya.
Jelasnya lagi, tindakan pertama kerajaan negeri pada Jumaat, 15 Mac telah dibacakan perwataan Pejabat Agama Daerah Besut oleh Pegawai Daerah tentang ajaran ini semakin menular.
“Seluruh warga Besut mesti memastikan tiada ahli keluarga dan kelompok kampung mereka terlibat ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh pihak berkuasa agama pada tahun 1997,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sebelum ini, telah melaksanakan langkah proaktif iaitu pernah menziarahi dan bertemu kelompok Ayah Pin di Kampung Batu 14.
“Kerajaan negeri juga mempunyai perancangan bagi memastikan masyarakat terutama di Hulu Besut tidak terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin.
"Sekarang ini mengikut risikan, ajaran ini mula dikembangkan di luar daripada Kampung Batu 13 serta merebak di kawasan Jerteh pun ada, dan juga di sebelah Pahang iaitu pekan Rompin.
Untuk rekod, pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74, atau Ayah Pin meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.
Bagaimanapun, selepas kematian Ariffin timbul desas-desus bahawa ajaran yang menyeleweng daripada Islam itu masih lagi 'bernyawa'.
17 Mar 24
646
KSN Dilantik Pro Canselor UMT Baharu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2027.
Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan anak jati Terengganu itu telah mendapat perkenan Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Menurut Mazlan, pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran kerajaan telah melayakkan Mohd Zuki menerima pelbagai anugerah sehingga dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019.
“Dari segi latar belakang perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011 dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 hingga 2016.
“Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 2016 dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan pada 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Katanya, UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Mohd Zuki, pelantikan tersebut akan membantu dalam melonjak citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan disegani global.
Tambah beliau, selain Mohd Zuki UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman.
Mohd Zuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
17 Mar 24
259
Terengganu Berdepan Cuaca Panas Hingga Mei
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Negeri ini dijangka mengalami cuaca panas dan kering berteruskan sehingga mencapai kemuncaknya pada bulan Mei depan.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, sehingga kini, suhu tertinggi yang direkodkan oleh Stesen Cerapan Automatik adalah 35.5 darjah Celsius di Felda Tenang, Besut, dan 34.6 darjah Celsius di Ketengah Bukit Besi, Dungun, pada 6 Mac yang lepas.
Katanya, ia bukan rekod tertinggi dalam sejarah, namun jika dibandingkan purata suhu bulanan, rekod itu lebih tinggi yang pernah dicatatkan.
“Mengikut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), kesan El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ia mempengaruhi corak cuaca termasuk di Terengganu,” katanya lapor portal berita harian pada hari ini.
Tambah Rosli, bagi untuk mengelak terdedah risiko mengalami kelesuan haba dan strok haba, pihaknya menyarankan supaya kurangkan aktiviti yang terdedah terus kepada sinaran matahari.
Jelasnya, terutama pada suhu tinggi iaitu pada waktu tengah hari dan awal petang.
“Kalau boleh aktiviti-aktiviti itu buat dalam kawasan tertutup selain, mengingatkan orang ramai tidak meninggalkan anak atau barang yang berisiko meletup termasuk telefon di dalam kenderaan bagi mengelak keadaan tidak diingini.
“Kalau boleh, sebarang aktiviti hendaklah dijalankan di kawasan tertutup,” ujarnya.
Selain itu katanya, orang ramai perlu diingatkan supaya tidak meninggalkan kanak-kanak atau barangan yang berisiko meletup termasuk telefon, di dalam kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
15 Mar 24
352
PASRelief Sumbang RM545,000 Kepada Pelarian di Yaman
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – PASRelief berjaya menyampaikan sumbangan sebanyak RM545,000 kepada 470 keluarga mangsa konflik perang saudara di Yaman dalam delegasi kemanusiaan ke negara itu baru-baru ini.
Pengerusi PASRelief Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak RM145,389 sumbangan orang ramai dari negeri Terengganu untuk membantu meringan beban mangsa berkenaan.
Katanya, Misi tersebut diketuai oleh Pengarah PasRelief Malaysia, Mohd. Yusni Mat Piah serta disertai oleh sembilan anggota termasuk dari Dewan Muslimat PAS Malaysia, Iman Care dan Madinah Prihatin bermula 8 hingga 13 Mac lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, beliau cukup tersentuh apabila menyantuni pelarian-pelarian yang berada di kem perkhemahan terbesar di Ma’rib khususnya di Kem Al-Jufainah yang menempatkan lebih 15,000 buah keluarga.
“Dengan sumbangan-sumbangan yang diamanahkan kepada kami, telah kami sampaikan terus kepada rakyat Yaman yang terlibat dengan isu kemanusiaan disana dengan bantuan dari NGO di Yaman iaitu Human Access.
“Antara bentuk bantuan yang diberikan termasuklah pemberian pek makanan untuk Ramadan kepada 300 buah keluarga, bantuan perubatan di Hospital Ma’rib dan Hospital As-Syahid Muhamamad Hail sebanyak 4 unit mesin incubator dan pendingin hawa dan pemberian susu nutrisi kepada 50 orang penerima selama tiga bulan yang bertujuan untuk pembesaran yang lebih sempurna kepada anak-anak di kem pelarian," katanya.
Katanya lagi, PASRelief juga telah menyampaikan sumbangan bantuan 120 buah tangki air bagi tempat tinggal di kem pelarian tersebut kerana akses untuk mendapatkan bekalan air bersih sangat terhad dan dicatu.
Untuk rekod sejak ditubuh tahun 2017, PASRelief telah menyampaikan bantuan kemanusiaan mangsa perang di negara Rohingya, Syria, Mindanao dan Palestin.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang menyumbang melalui tabung Kemanusiaan Terengganu Untuk Yaman atau melalui terus kepada PASRelief.
“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menyumbang dan membantu saudara kita di Yemen. Insya-Allah, misi seperti ini akan diteruskan pada masa mendatang melihatkan keadaan mereka yang masih memerlukan komitmen dari rakyat Malaysia ini,” ujarnya.
15 Mar 24
334
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Rata-rata rakyat di negeri ini mahu Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menghentikan penganiayaan yang sedang berlaku dengan mengembalikan sepenuhnya royalti minyak Terengganu.
Seorang peniaga, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.
Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan.
"Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat.
"KIta minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran, di sini semalam.
Bagi Md Rani Awang, 65, Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat terus bermain politik dengan 'membuli' rakyat Terengganu sedangkan mereka juga merupakan warganegara yang sah dan hidup di negara demokrasi.
"KIta minta supaya jangan abaikan orang Terengganu yang majoritinya merupakan Melayu Islam, kerana apabila terus bermain politik menyebabkan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat tidak tercapai.
"Apatah lagi ia akan mengakibatkan orang Terengganu dianaktirikan dan akan menjadi rakyat paling miskin, jangan cuba beri tuba kepada rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Ramlah Abdullah, 61, berkata rakyat tidak ada masalah untuk terus menyokong pemerintahan kerajaan hari ini ini sekiranya berlaku adil kepada seluruh rakyat.
"Tindakan menangguhkan duit royaliti ini menekan kami, maka kesianlah rakyat Terengganu, pelbagai bantuan tidak dapat disalurkan.
"Harapnya tunaikanlah segala apa yang telah dijanjikan sebelum ini, sekarang ini rakyat melihat bahawa Perdana Menteri hanya pandai berjanji sebagaimana janjinya jika menang hari ini, esok minyak akan turun," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid Awang, 60, berkata perbezaan parti antara kerajaan negeri dan persekutuan tidak sewajarnya dijadikan isu bagi menafikan hak rakyat Terengganu.
"Walaupun berbeza parti kena mempunyai semangat federalisme, kita ini tinggal dalam satu bumbung (negara) jadi kena layan sama rata antara anak sendiri dan anak tiri.
"Kembalikan hak rakyat Terengganu kerana itu merupakan duit Terengganu yang menjadi hak semua orang di negeri ini untuk mendapat kebaikan daripada royalti itu," katanya.
Mohd Shah Abdul Ghani pula berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri ini untuk diuruskan.
"Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak," katanya.
15 Mar 24
424