Artikel "Utama" Terkini
Hospital Baharu Dungun Dijangka Beroperasi Mulai Ogos 2024
KUALA LUMPUR, 20 Mac - Hospital Baharu Dungun yang tertangguh sekian lama dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai Ogos 2024.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata beliau menerima jawapan secara bertulis dari Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni semalam.
"Alhamdulillah kita telah mendapat maklum balas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan status pembinaan Hospital Baru Dungun," ujarnya.
Menerusi surat berkenaan, juga Lukanisman memaklumkan, Jabtan Kerja Raya (JKR) telah melantik kontraktor penyelamat dan sehingga 15 Februari 2024.
"Kemajuan fizikal projek telah mencapai 89 peratus berbanding jadual 87 peratus iaitu mendahului jadual sebanyak 2 peratus, projek ini dijadualkan siap pada 2 Mei 2024," katanya.
Wan Hassan berharap dengan tarikh baru ini, Hospital Baru Dungun dapat beroperasi dengan sepenuhnya.
20 Mar 24
1139
Tiada Aktiviti Mencurigakan Babitkan Ajaran Ayah Pin
BESUT, 18 Mac - Isu 'ajaran Ayah Pin' yang dikatakan aktif semula sebagaimana dakwaan segelintir pihak di media sosial sedang diambil perhatian oleh pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau telah bertemu pihak berautoriti di kawasan kegiatan Ayah Pin untuk mendapatkan kepastian.
"Saya bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Besut, Pejabat Agama Daerah Besut dan termasuk Pejabat Daerah Besut, bagi menyiasat isu ini.
"Alhamdulillah hasil daripada pertemuan tersebut saya boleh rumuskan secara fizikalnya tidak ada di sana aktiviti-aktiviti yang mencurigakan cuma lebih kepada khabar angin.
"Tidak ada laporan secara jelas wujudnya aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut-pengikut Ayah Pin satu ketika dulu," ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan tersebut di 'Perkampungan Ayah Pin', Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini semalam.
Namun begitu katanya, pemantauan akan terus dilakukan bagi membendung ajaran terbabit.
"Kita perlu menyedari bahawa bagi kita pihak berkuasa, kita hanya mengukur secara fizikal apa yang dapat dilihat. Apa yang dalam fikiran kita tidak tahu, kita hanya ukur secara zahir
"Usaha-usaha untuk memberikan kesedaran, pendidikan, bimbingan kepada mereka ini hendaklah dilakukan secara berterusan," katanya.
Beliau turut berpesan kepada seluruh umat Islam sama ada di Terengganu ataupun luar negeri itu supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti mencurigakan dan boleh menyebabkan terpesong daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Katanya, sebagaimana maklum 'ajaran Ayah Pin" adalah satu ajaran yang diklasifikasikan sebagai sesat dan bercanggah dengan akidah Islam.
"Jadi saya harap supaya seluruh umat Islam perlu berwaspada dan kita hendaklah sentiasa mendampingi majlis-majlis, kuliah-kuliah, program-program agama untuk memupuk akidah Islam dan kefahaman Islam dalam diri kita,
"Dan menyelamatkan kita daripada fahaman-fahaman dan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Islam," jelasnya lagi.
19 Mar 24
296
‘Harap Tak Guna Duit Royalti’
KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Kerajaan Negeri berharap pemberian insentif sebanyak RM5.23 juta oleh Kerajaan Persekutuan kepada 766 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Terengganu kelmarin tidak melibatkan duit royalti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau juga berharap insentif urus tadbir sempena penubuhan JPKKP di Terengganu itu juga tidak melibatkan permainan politik.
“Baguslah diberi kepada rakyat Terengganu, kita harap ia tidak dipolitikkan dan tidak menggunakan duit royalti,” respon beliau ringkas ketika di Facebook rasminya hari ini.
Kelmarin, Zahid menyerahkan insentif tadbir urus kepada JPKKP Terengganu pada Majlis Santunan Kasih Ramadan bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2024 di Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.
Hadir sama dalam majlis terbabit ialah Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku dan Penasihat UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.
Sebelum ini, rata-rata rakyat Terengganu mahu Kerajaan Persekutuan melunaskan bayaran royalti yang menjadi hak negeri.
Peniaga pasar tani, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri.
Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan.
"Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat.
"Kita minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran.
Sementara itu, bagi rakyat biasa, Mohd Shah Abdul Ghani berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri untuk diuruskan.
"Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak, itu duit negeri dan untuk kegunaan negeri, bukan duit Persekutuan dan bukan untuk kegunaan mana-mana wakil Persekutuan," katanya.
Untuk rekod, kerajaan negeri masih mengekalkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai agensi negeri biarpun kerajaan Persekutuan menubuhkan JPKKP sebagai wakil Kerajaan Persekutuan di negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu mampu menguruskan sendiri segala perbelanjaan JPKK termasuk menyalurkan peruntukan dengan ditanggung oleh kerajaan negeri.
19 Mar 24
17748
Jambatan Marang : Rakyat Diminta Sabar Hadapi Musim Perayaan
MARANG, 19 Mac – Projek menaik taraf jalan dan Jambatan Sungai Marang berjalan dengan lancar dan rakyat diminta agar bersabar dengan sebarang kesesakan lalu lintas berlaku.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apabila musim cuti sekolah, perayaan dan waktu puncak, Jambatan Marang akan sesak dengan kenderaan.
“Segala kesulitan hari ini, Insya-Allah untuk kemudahan akan datang,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Untuk rekod, Projek menaik taraf jalan dan jambatan Sungai Marang membabitkan kos RM338.5 juta dan dijangka siap pada 2025 sekali gus dapat mengurangkan kesesakan laluan berkenaan.
Terdahulu, ketika Majlis Pecah Tanah Projek berkenaan, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer itu dijadualkan mengambil masa 42 bulan untuk siap.
Beliau berkata, jambatan Sungai Marang antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti permohonan Kerajaan Terengganu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) susulan pertambahan trafik.
“Projek ini menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan. Struktur jambatan ini sempit dan menyumbang kepada kesesakan di bandar Marang.
“Jambatan yang dibina pada 1960 dan berusia 62 tahun ini tidak mampu menampung jumlah trafik yang kian meningkat dengan sebanyak 31,387 kenderaan melalui jambatan berkenaan setiap hari berdasarkan Bancian Lalu Lintas pada 2020,” katanya.
19 Mar 24
4110
160 Peniaga Bazar Ramadan Manir Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 19 Mac - Semangat dan keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 160 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini apabila menerima sumbangan kurma dan takwim daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir petang semalam.
ADUN Manir, Hilmi Dato’ Harun turut mengambil peluang menyantuni serta menyempurnaan sumbangan kepada para peniaga di bazar berkenaan,
Beliau berkata program yang turut mendapat kerjasama daripada penganjur bazar, Persatuan Kebajikan Dan Rekreasi Pasar Manir juga mengedarkan apron kepada semua peniaga di pasar ini.
"Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga dan para pengunjung yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir," katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Tambah Hilmi, rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program yang dilaksanakan oleh pihak PKM DUN Manir itu.
"Di samping, cara ini juga dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," ujarnya.
Tambahnya, program tersebut merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.
19 Mar 24
189
Madinah Ramadan Sedia Juadah Berbuka Percuma, Ringankan Beban Golongan B40
KUALA NERUS, 18 Mac - Madinah Ramadan di Masjid Baru Tok Jembal di sini, mampu menjimatkan perbelanjaan iftar bagi penduduk dan pelajar universiti sekitar.
Pengerusi masjid itu, Hafizatul Najmi Pizat berkata sejak dibuka Selasa lalu ramai dari kalangan pelajar termasuk dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) berhampiran berkunjung ke masjid itu untuk mendapatkan Iftar percuma yang disediakan pihak masjid setiap hari.
Katanya pada hari biasa pihak masjid menyediakan pelbagai juadah berbuka untuk 500 hingga 1,000 pengunjung.
"Hari Khamis ini, pihak masjid menyediakan peruntukan RM30 ribu bagi juadah berbuka untuk 2,000 pengunjung yang akan mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus sempena madinah ramadan di masjid itu.
"Dari jumlah itu kira-kira 700 kakitangan kerajaan akan hadir di perkarangan masjid untuk berbuka puasa bersama Ustaz Azhar pada hari Khamis ini," katanya ketika ditemui selepas majlis iftar di masjid berkenaan di masjid itu di sini hari ini.
Sementara itu tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati pengunjung menyambut baik aktiviti Madinah Ramadan itu sambil menyifatkannya yang terbaik bagi bulan Ramadan tahun ini di masjid berkenaan.
Salah seorang penduduk Tok Jembal. Khalid Jusoh, 58, berkata pengunjung masjid itu bertambah lebih dari biasa untuk iftar, solat terawih dan mengikuti kuliah Ramadan di masjid tersebut.
"Madinah Ramadan adalah program terbaik sempena Ramadan di masjid ini dengan kehadiran ahli qaryah bertambah dari sebelum ini," ujarnya.
Seorang pelajar dari UniSZA, Siti NurSabreena Wahab, 23, berkata iftra percuma meringankan beban golongan B40 dan pelajar universiti berdekatan di samping mereka dapat bersolat terawih dan mendengar kuliah Ramadan di masjid tersebut.
Bagi Ahmad Ibrahim Md Tahir, 22, juga dari UniSZA berkata pelajar universiti dapat berbuka puasa seperti biasa dengan berkunjung di Madinah Ramadan walaupun mempunyai masalah kewangan.
"Dengan adanya Madinah Ramadan, pelajar universiti seperti saya dapat berbuka puasa seperti biasa walaupun duit PTPTN belum masuk dalam akaun bank saya," jelasnya.
Justeru itu beliau bagi pihak pelajar mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana meneruskan program Madinah Ramadan walaupun menghadapi kekangan kewangan.
18 Mar 24
312
KMI Healthcare Catat Prestasi Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menunjukkan prestasi kewangan yang luar biasa bagi tahun suku keempat yang berakhir 31 Disember 2023 (4QTK2023).
Pengerusi KMI Healthcare, Dato’ Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan melalui pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan.
“Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pemulihan ekonomi global pasca-pandemik, KMI Healthcare telah menunjukkan daya tahan dan pencapaian kejayaan yang luar biasa dengan pertumbuhan ketara merentas metrik kewangan utama,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pada 4QTK2023 pendapatan KMI Healthcare meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM332.8 juta, berbanding dengan RM279 juta pada tahun yang sama sebelumnya.
“Keuntungan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan dalam bilangan pesakit dirawat (meningkat 13% YoY), kadar penghunian katil (meningkat 15% YoY), dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam (meningkat 9% YoY).
“EBITDA juga turut meningkat sebanyak 49 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM52.9 juta. PBT juga turut meningkat secara mendadak kepada RM31.3 juta daripada RM16.5 juta pada TK2022,” jelasnya.
Katanya, KMI Healthcare mengendalikan pengurusan operasinya dengan cekap yang seterusnya menghasilkan margin yang lebih tinggi.
"Kami sangat teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. KMI menyasar untuk menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pesakit dengan menambah baik perkhidmatan klinikal dan melaksanakan program titik sentuh (customer touchpoint) pelanggan. Dedikasi dan komitmen pasukan telah membolehkan kami memberikan hasil yang cemerlang.
"Reputasi Syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan telah dikuatkan lagi oleh pencapaian rekod enam anugerah yang diterima pada TK2023. Ini termasuk anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan dalam reputasi jenama dan inovasi penyediaan perkhidmatan kesihatan termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards,” ujarnya.
18 Mar 24
610
Pelita Raya Terengganu Beralih Ke TTI
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Program Pelitara Raya Terengganu akan diteruskan pada tahun ini dengan menjadikan Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai lokasi baharu.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, program kali ini dijangka lebih meriah dengan menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui jabatannya itu dengan kerjasama rakan strategik TTI, Pejabat Daerah, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan negeri telah bersetuju ia diadakan pada lapan hingga 12 Ramadan.
"Program kali ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, ia diawalkan dan bertukar lokasi ke Tasik Pahlawan, TTI sebagai langkah mahu menghormati hari-hari terakhir Ramadan dan malam Lailatul Qadar selain mendengar pandangan orang ramai agar ia diawalkan.
"Sudah tentu, Tourism Terengganu (TT) sentiasa cuba mencari atau mengadakan kelainan pada setiap acara dianjurkan dengan kali ini melibatkan 11 penyertaan membabitkan lapan Pejabat Daerah, Tourism Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Ridzwan berkata program Pelita Raya itu akan dijenamakan sebagai PELITER@TTI bertemakan 'Tradisi Diwarisi, Comeynya Pelita'.
"Juga akan menonjolkan kepelbagaian jenis-jenis pengcahayaan pelita yang akan dipasang secara kreatif mengikut kesesuaian tradis, budaya dan seni warisan di setiap daerah yang akan dipamerkan sebagai bahan pameran dan barangan jualan sepanjang program berlangsung," katanya.
Mengenai pertandingan yang akan diadakan, katanya ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu ' Pertandingan Pelita Raya' dan 'Pertandingan Media Sosial (Facebook & TikTok) dengan hadiah keseluruhan RM11,500 membabitkan Pejabat Daerah, GLC dan orang ramai dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Oleh itu, diharapkan warga negeri dan pelancong mengambil peluang untuk datang dan melihat keunikan program ini yang agak sukar dilihat di negeri-negeri lain, malah di kawasan kampung pun sudah jarang kita lihat suasana orang memasang pelita seperti zaman dahulu kala.
"Semoga dengan penganjuran PELITER@TTI2004 ini akan dapat mempromosikan lagi TTI dan destinasi pelancongan sekitar terutama Kampung Budaya Terengganu dan Muzium Negeri," ujarnya.
18 Mar 24
1595
Pelajar UniSZA Nikmati Juadah Berbuka Puasa Percuma Sepanjang Ramadan
KUALA NERUS, 18 Mac - Lebih 1,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijamu dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pelajar dan warga kerja UniSZA setiap hari sepanjang bulan Ramadan berlangsung.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, penyediaan juadah berbuka puasa itu dibiayai dana hasil sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UniSZA dan pelbagai lapisan masyarakat dengan membabitkan kos sebanyak RM216,000.
Katanya, program tersebut dilihat berjaya dan seiring dengan objektif untuk mengimarahkan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UniSZA.
“Setiap hari, pelajar akan menyediakan sebanyak 1200 pek juadah Iftar untuk diagihkan kepada pelajar di kampus Gong Badak.
“Juadah iftar ini kita turut agihkan secara berbungkus kepada pelajar di Kampus Besut, Kampus Perubatan, Petugas Keselamatan, Pelajar Tadarus, Petugas Hospital Pengajar UniSZA, Komuniti Luar di sekitar kampus” katanya.
Menurutnya, program itu membabitkan lebih 50 sukarelawan pelajar setiap hari yang akan bergotong royong memasak seawal jam 11 pagi sehingga jam lapan malam.
"Pada masa sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program ini secara konsisten," katanya.
Dr. Fadzli Adam berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma bukan sahaja kepada pelajar dan staf UniSZA, malah juga kepada komuniti di sekitar kampus.
18 Mar 24
316
Polis Tubuh ‘Task Force’ Cegah Kes Curi Tabung Masjid
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Polis Terengganu menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi mencegah kegiatan pecah dan curi tabung masjid di Terengganu sepanjang Ramadan kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, usaha itu dibuat menerusi kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Beliau berkata pengaktifan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) akan membantu polis membuat rondaan untuk mengekang jenayah tersebut selain menjamin keselamatan penduduk.
“Pasukan khas ini akan mengadakan rondaan terutamanya pada waktu malam, manakala pada waktu siang rondaan akan dijalankan pihaknya menerusi program 1 Masjid 1 Polis,” katanya.
Sementara itu katanya, jawatankuasa rumah ibadah khususnya masjid dan surau dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.
“Seperti memasang CCTV di kawasan strategik, menggunakan tabung yang diperbuat daripada bahan yang kukuh dan sentiasa mengutip sumbangan secara harian dan menyimpan di tempat yang lebih selamat,” ujarnya.
18 Mar 24
162