lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Meterai Perjanjian Projek Tenaga Hijau dengan Korea
Terengganu Meterai Perjanjian Projek Tenaga Hijau dengan Korea
ULSAN, 22 Mac - Terengganu telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Korea Selatan untuk memanfaatkan kepakarannya dalam mengolah sumber Tenaga Hijau dari Terengganu bagi mengurangkan ketergantungan pada hasil petroleum. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Terengganu akan melancarkan Teknologi Hijau Pelan Induk (PItiH) yang sejajar dengan dasar dan inisiatif negara.  Katanya, tenaga hidrogen ialah salah satu sektor yang disasarkan dalam pelan induk Terengganu. "Inisiatif Terengganu ini selaras dengan dasar negara dan pelan hala tuju, Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. "Saya percaya kerjasama antara kumpulan Star Group Industries Co. Ltd, K-Watercraft dan anak syarikat Terengganu, MBI akan memudahkan realisasi hidrogen kepada projek kuasa di Terengganu. "Terima kasih sekali lagi, atas kepercayaan dan keyakinan kepada Negeri Terengganu," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, industri nadir bumi (REE) dan teknologi hijau adalah antara fokus PITAS 2030 dengan dua subsetnya iaitu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Terengganu atau 'NewIncomeTerengganu (NIT)' dan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITiH). "Kita memanfaatkan aset terbaik negeri ini yang ternyata menjadi teknologi yang paling mendapat permintaan di seluruh dunia dalam tempoh 5 hinga 10 tahun akan datang. "Untuk semua rakyat negeri ini, doakan semoga usaha ini berjalan lancar, insya-Allah," ujarnya. Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. Katanya, pelan itu juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan REE.  
22 Mar 24
1652
Zuraida Cipta Kelainan, Iftar di Rumah Rakyat
Zuraida Cipta Kelainan, Iftar di Rumah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Bulan Ramadan kali ini turut dimanfaatkan dengan aktiviti menyantuni masyarakat melalui Program Iftar Insani atau berbuka puasa di rumah penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata Iftar Insani adalah salah program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang bagi memenuhi taqwim Ihya' Ramadan DUN Ladang kali ini. "Iftar Insani adalah program anjuran PKM ADUN Ladang, di mana kami berbuka puasa di rumah penduduk yang terpilih, mereka ini terdiri daripada kalangan asnaf. "Kami bawakan juadah berbuka puasa dan berkongsi rezeki bersama-sama, pada masa yang sama kami turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf tersebut", ujarnya. Zuraida menyampaikan cenderahati kepada tuan rumah. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. "Kami sudah masuk ke siri kedua Program Iftar Insani ini, sebelum ini kami berbuka puasa di Bukit Besar dan kali ini di Ladang Titian "Insya-Allah kami akan teruskan lagi program ini, menyantuni lebih ramai asnaf dalam DUN Ladang," tambahnya lagi. DUN Ladang telah merencana beberapa program di bawah program induk Ihya' Ramadan DUN Ladang 1445H, antaranya termasuklah Iftar Insani, Ladang Bertadarus, Zikir Munajat dan lain-lain. Zuraida ketika berbuka puasa bersama-sama keluarga tuan rumah.  
22 Mar 24
437
Dr Sam 'Speechless' Dengar Jawapan Anwar Tentang Royalti
Dr Sam 'Speechless' Dengar Jawapan Anwar Tentang Royalti
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - "Saya terdiam dan terkejut besar," demikian respon ringkas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mendengar penjelasana Perdana Menteri tentang royalti. Katanya, beliau tidak dapat menahan perasaan itu selepas berulang kali mendengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya mendengar berulang kali penjelasan YAB PM mengenai hal berkait royalti dan peruntukan untuk Terengganu dan lain-lainnya. "Saya terkesima. 'I was speechless and amazed'," katanya melalui hantaran di Facebooknya. Terdahulu, pagi semalam Anwar menegaskan tidak wujud istilah kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaannya sudah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023 sebanyak RM786 juta. "Pemberian Persekutuan kepada Terengganu (selain wang ihsan) pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta dan 2024 ada tambahan lagi. Zalim macam mana?," soal Perdana Menteri. Untuk rekod, wang ihsan atau bayaran hasil petroleum milik rakyat Terengganu dibayar sekitar RM1.3 hingga RM1.5 bilion setiap tahun. Namun, pada 2023, Anwar mengesahkan hanya melunaskan RM786 juta. Pada 27 November 2023, Ahmad Samsuri dilapor berkata kerajaan negeri pimpinannya hanya menerima RM510 juta royalti petroleum berbanding anggaran royalti petroleum atau wang ihsan dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.524 bilion. Perkara ini mengundang perasaan tidak puas hati daripada rakyat Terengganu.
22 Mar 24
2212
Tiada lagi Bekalan Air Berjadual di Marang
Tiada lagi Bekalan Air Berjadual di Marang
MARANG, 21 Mac - Tiada lagi bekalan air berjadual di daerah ini bermula 15 Mac lalu selepas bekalan di Tangki Air Imbangan Miel dan Gondang di sini beroperasi sepenuhnya dengan mampu menampung keperluan air bersih untuk 31,000 pengguna setiap hari. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Abdul Karim Endut berkata bermula dari tarikh tersebut projek bekalan air  bernilai RM60 juta itu berupaya menyediakan bekalan air yang mencukupi tanpa sebarang gangguan. Katanya pada 15 Mac lepas, Tangki Imbangan Miel beroperasi sepenuhnya tanpa gangguan bekalan air manakala Tangki Air Gondang bermula pada 19 Mac lalu. Sementara itu, proses penurapan jalan (mill dan pave) akibat projek penggalian paip berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari sekarang. "Ia merupakan prosedur  biasa dalam penyiapan projek paip utama. Pembaikian jalan berturap mengikut kaedah mill dan pave selepas paip diuji akan disempurnakan secara berperingkat," katanya ketika ditemui pemberita di Perkarangan Tangki Air Bangan Miel di sini hari ini. Jelasnya, Tangki Air Imbangan Miel dibina pada tahun  2006 berkapasiti 10,000 meter padu air.  "Bermula tahun 2014, tangki tersebut tidak lagi berupaya untuk mengekalkan paras air dalam tangki dengan kadar yang baik kerana permintaan pada masa itu melebihi keupayaan bekalan air yang disalurkan ke tangki tersebut," ujarnya. Katanya, pada tahun itu bermula episod di mana terdapat di sesetengah tempat terpaksa disediakan bekalan air secara berjadual pada waktu malam. "Ini kerana selama 10 tahun Tangki Air Imbangan hanya berjaya mengekalkan paras air setinggi satu meter sahaja pada satu-satu masa kerana air yang disalurkan ke tangki ini terus digunakan oleh pengguna. "Bermula 15 Mac lepas ketinggian air di Tangki Imbangan berjaya dikekalkan pada paras 7.5 meter manakala di Tangki Gondang  pula paras air yang sama dikekalkan bermula pada 19 Mac," jelasnya. Dengan kadar ketinggian itu tambahnya, bekalan air mencukupi untuk kegunaan penduduk tanpa perlu mengadakan bekalan berjadual. Katanya Tangki Imbangan Miel membekalkan air bersih untuk keseluruhan bandar Marang sehingga ke Kampung Pasir Putih Merchang, manakala Tangki Gondang membekalkan air paip sehingga ke Kampung Tirok. Untuk rekod pada tahun 2022 melalui Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara, SATU mula memasang jajaran paip yang baharu berdiameter 900 milimeter daripada Loji Air Kepong ke tangki miel itu sepanjang 15 kilometer. Sementara dari tangki tersebut SATU memasang satu lagi paip jajaran berdiameter 700 milimeter ke tangki Imbangan di Gondang sepanjang sembilan kilometer dengan kapasiti yang sama. Katanya, Tangki Imbangan Miel dan Gondang boleh menampung keperluan bekalan air bersih untuk 31,000 akaun (pengguna). "Tangki miel ini (imbangan) menyediakan  bekalan kepada hampir 18,000 pengguna manakala tangki Gondang untuk 13,000 pemilik akaun," jelasnya.
22 Mar 24
1570
Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Masjid perlu berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) kepada masyarakat, bukan hanya bertindak sebagai pusat keagamaan semata-mata. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa fungsi masjid perlu diperluas, tidak hanya dihadkan hanya untuk aktiviti keagamaan tetapi harus juga mencakupi aspek-aspek lain. "Seperti mana pada zaman Rasulullah SAW dahulu, kita lihat bahawa masjid tidak hanya bertindak semata-mata sebagai tempat sembahyang sahaja bahkan juga mencakupi aspek lain seperti pusat kemasyarakatan, pusat ekonomi dan lain-lain. "Oleh sebab itu, saya sangat menyokong sebarang usaha untuk mendekatkan institusi masjid ini kepada seluruh lapisan masyarakat", ujarnya. Suasana sekitar agihan juadah berbuka di hadapan Masjid Ladang. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Madinah Ramadan Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2024 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), baru-baru ini. Zuraida yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu menyeru rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. "Saya menjemput rakyat Terengganu untuk hadir ke Madinah Ramadan Terengganu yang diadakan sepanjang Ramadan ini, insha-Allah pelbagai pengisian menarik menanti di sana," tambahnya lagi. Zuraida mengagihkan juadah berbuka.  
21 Mar 24
361
Tabung Darah HSNZ Pelawa Orang Awam Terus Menderma Darah
Tabung Darah HSNZ Pelawa Orang Awam Terus Menderma Darah
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mempelawa orang awam termasuk umat Islam yang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan agar terus menderma darah. Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Roslina Remli, berkata ia penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan darah. Menurutnya, Unit Transfusi Darah HSNZ menyasarkan dapat mengutip antara 1,000 hingga 1,500 beg darah sepanjang Ramadan melalui program menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi. “Setakat ini pihak kami telah berjaya mengumpul sebanyak 314 beg darah sejak 1 Ramadan lepas. “Antara lokasi yang terlibat dengan program menderma darah ini ialah Masjid Gong Tok Nasek di sini, Masjid Sultan Ismail (Chendering), Masjid Tengku Tengah Zaharah (Kuala Ibai) dan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak. “Kami berharap lebih ramai individu terutama golongan belia dan pelajar akan tampil untuk menderma darah di masjid-masjid terpilih yang telah dirancang sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Abidin di sini. Sementara itu, sepanjang program berlangsung  di masjid tersebut, seramai 42 orang penderma darah telah hadir pada program berkenaan yang bermula selepas solat sunat tarawih dan pendaftaran penderma ditutup pada jam 11.30 malam. Seorang guru, Norhuda Ismail, 55 berkata, ini adalah pengalaman kali keduanya untuk menderma darah pada bulan Ramadan setelah kali pertama melakukannya pada Ramadan tahun lepas. Katanya sebagai guru yang padat dengan jadual tugasan, peluang untuk berbakti sentiasa dinantikan walaupun di bulan Ramadan dan ia bukan satu penghalang untuk terus menderma darah bagi memastikan stok sentiasa stabil kerana satu beg darah dapat menyelamatkan nyawa tiga orang "Alhamdulillah, selepas selesai solat sunat Tarawih tadi, saya terus mendaftar dan lega apabila dapat menyumbang satu beg darah untuk pesakit yang memerlukan. "Usaha Unit Transfusi Darah HSNZ ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma darah di masjid pada sebelah malam memandangkan umat Islam berpuasa pada sebelah siang,"ujarnya.    
21 Mar 24
175
Kerajaan Digesa Jelaskan Peruntukan Tambahan Fasiliti Kesihatan Terengganu
Kerajaan Digesa Jelaskan Peruntukan Tambahan Fasiliti Kesihatan Terengganu
KUALA LUMPUR, 21 Mac- Kerajaan Persekutuan diminta untuk menjelaskan peruntukan tambahan sebanyak RM523,186,050 kepada Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan termasuk di negeri Terengganu. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia mengalami peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding dengan peruntukan sebelumnya. "Pertambahan bajet hampir setengah bilion itu ialah pada tahun lepas, di mana cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit tidak seteruk hari ini. “Justeru, dengan situasi semasa mengambil kira dua faktor yang saya sebutkan iaitu cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, semalam. Tambah Dr Alias, beliau menimbulkan persoalan adakah peningkatan harga ubat akibat daripada pertukaran wang asing dan juga daripada beberapa cukai yang diperkenalkan. “Saya bimbang dengan kenaikan SST dan juga nilai ringgit ini akan memerlukan pertambahan bajet yang lebih besar pula pada tahun 2024.  “Ini harus kita lihat keadaan ini supaya tidak menekan kepada bajet ataupun kewangan kerajaan itu sendiri,” ujarnya.              
21 Mar 24
178
Petronas Bantu 400 Keluarga 'Sambut' Aidilfitri
Petronas Bantu 400 Keluarga 'Sambut' Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - 400 keluarga berpendapatan rendah (B40) dari Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut menerima bantuan dari Yayasan Petronas bagi melengkapkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata pihaknya menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Memacu Kehidupan : Hari Raya Aidilftri. "Program ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan. "Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya di musim perayaan. "Oleh itu, kami berharap sumbangan asas ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Program Yayasan Petronas Memacu kehidupan Aidiltri yang diadakan sekali dengan majlis berbuka puasa, di Dewan Gamelan 1, Primula yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Mengulas lebih lanjut, Shazly berkata melalui program berkenaan, seramai 1,350 keluarga kurang bernasib baik yang turut membabitkan Kelantan dan Pahang telah menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM1 juta. "Ini merupakan sebagaian daripada fokus Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan komuniti yang dianjurkan bersempenan dengan perayan-perayaan utama di Malaysia. "Di dalam usaha Petronas menyokong, menyemarakkan keceriaan serta membangkitkan perasaan kasih sayang sempena musim perayaan di kalangan rakyat yang selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya. Untuk rekod,dalam majlis berkenaan setiap keluarga selain menerima barangan makanan asas harian mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang. Bagi menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang itu, Petronas turut menyampaikan biskut raya yang disediakan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat).  
20 Mar 24
428
Kuala Terengganu Bandar Paling Bahagia
Kuala Terengganu Bandar Paling Bahagia
KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Kuala Terengganu diiktiraf dan tersenarai antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia susulan, kajian yang dilaksanakan daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia). “Alhamdulillah, walau apapun kriteria yang dilihat dalam menentukan pencapaian ini namun saya amat berharap agar rakyat Terengganu benar-benar merasa bertuah dan sejahtera berada di negeri ini.  “Selamat Hari Kebahagiaan Sedunia buat semua, kita sambut ia dengan rasa syukur kepada Ilahi yang melahirkan rasa tenang dalam diri kita,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Turut tersenarai adalah Jeli, Jerantut, Cameron Highlands, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson, Kulai dan Rompin sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 (PLANMalaysia). Untuk rekod, Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia telah diraikan setiap tahun pada 20 Mac di seluruh dunia sebagai pengiktirafan kepada hubung kait antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk sejagat. Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan disambut secara rasmi sejak tahun 2015.
20 Mar 24
3613
Raja Muda Terengganu Kurnia 300 Baju Raya
Raja Muda Terengganu Kurnia 300 Baju Raya
DUNGUN, 20 Mac – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 300 orang terpilih. Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Pada majlis yang diadakan di Masjid Kampung Pulau Serai, Dungun itu, seramai 300 orang penerima bantuan Aidilfitri daripada dua daerah yang terlibat iaitu Dungun dan Kemaman. Sumbangan tersebut terdiri sepasang baju raya, sebuah sampul surat yang berisi wang ringgit, dan sekotak buah kurma untuk setiap penerima. Para penerima terdiri daripada golongan para pelajar dan peserta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Seramai 200 pelajar penerima dari 15 sekolah terpilih di Dungun dan Kemaman, dengan 100 pelajar dari setiap daerah. Manakala, peserta bantuan JKM pula terdiri daripada 50 orang dari Dungun dan 50 orang dari Kemaman. Program yang bermula pada pukul 6.15 petang itu diawali dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan pengagihan sumbangan kepada 300 orang peserta terpilih dalam program tersebut. Raja Muda Terengganu kemudian berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 orang jemaah yang hadir pada majlis berkenaan. Selepas santapan berbuka puasa, baginda berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih berjemaah. Baginda diiringi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri berangkat dari majlis sekitar jam 10.00 malam.  
20 Mar 24
2896