Artikel "Utama" Terkini
RM2.4 Bilion Pelaburan Masuk ke Terengganu Setakat Mac
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu setakat Mac ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan itu termasuk dalam sektor pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan yang akan membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Katanya, pelaburan bernilai RM2.4 bilion itu mewakili 57 peratus daripada RM4.2 bilion sasaran pelaburan untuk Terengganu tahun ini.
“ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.
“Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Ishamudin Hashim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.
“Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” katanya.
Sementara itu, Baidzawi berkata, beliau yakin peranan dimainkan oleh ECERDC sebagai ‘one-stop agency’ yang memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara ‘end-to-end’ adalah penting dalam merealisasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di negeri Terengganu.
“Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ECERDC untuk menarik pelaburan baharu termasuk sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komitmen kerjasama dalam pembangunan, promosi dan penggunaan Tenaga Boleh Baharu di ECER bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China,” ujarnya.
24 Mar 24
1026
PeliTer2024 : Tanglung 'Licin' Tak Sampai Sejam
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - “Tanglung yang saya jual sebanyak 90 unit untuk satu malam habis dalam masa tidak sampai sejam,” kata peniaga, Hafini Mamat, 39 tahun.
Dia berkata, sambutan pembeli tanglung dalam kalangan pengunjung Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@TTI) di Taman Tamadun Islam amat luar biasa.
“Saya keluarkan sebanyak 90 unit tanglung untuk setiap malam sepanjang lima hari program berlangsung dan telah habis dijual dalam masa yang singkat.
“Alat tersebut sangat susah nak dapat dengan tiada pembekal menyebabkan saya hanya mampu keluarkan 90 unit sahaja untuk satu malam,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam.
Tambah Hafini, dia difahamkan pada tahun lepas program berkenaan tiada yang menjual tanglung menyebabkan tercetuskan ideanya untuk menjual alat tersebut.
“Selain meniaga tanglung, saya juga menjual lilin serta alat permainan dan hasil kutipan jualan saya setiap malam sekitar RM1,500.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pelancongan kerana memberi peluang untuk saya berniaga di PeliTer2024," ujarnya.
Dia berharap, dapat berniaga lagi untuk tahun hadapan pada program PeliTer.
24 Mar 24
374
Kepercayaan Rakyat Bantu Kerajaan Bangunkan Negeri
KUALA LUMPUR, 23 Mac - Kerajaan Terengganu memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha membangunkan negeri itu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri akan membantu kepimpinan mempamerkan pentadbiran cemerlang sekalipun berdepan kekangan daripada kerajaan pusat.
"Cabaran yang ada tidak boleh melemahkan kita, malah perlu menjadi perangsang dalam membina idea, keputusan dan tindakan baru dalam melancarkan perjalanan pentadbiran dan kebajikan rakyat.
"Kita telah menggerakkan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu bagi meningkatkan pendapatan negeri dan sudah pasti ia memakan masa.
"Namun, saya yakin cabaran dan gangguan terancang ini dapat kita rempuh dengan kerjasama semua, seterusnya memberi kelancaran kepada perjalanan kerajaan yang kita bina," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Terengganu di Perantauan di MAEPS, Serdang semalam.
Dalam majlis anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu, sekitar 2,000 perantau diraikan kepimpinan negeri yang turut dihadiri NGO-NGO anak Terengganu.
"Terima kasih kepada urus setia yang menguruskan program ini walaupun berdepan kekangan.
"Mengambil kesempatan ini juga, saya mengajak semua yang hadir untuk memanfaatkan baki bulan Ramadan yang masih ada.
"Gunakan setiap saat yang ada dalam bulan ini untuk meningkatkan amalan, memperbanyakkan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.
24 Mar 24
203
PeliTer 2024 Rekod 150 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@TTI) yang berlangsung selama lima hari di Taman Tamadun Islam, di sini merekodkan jumlah pengunjung seramai 150,000 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kehadiran tersebut meningkat sebanyak 122,000 orang berbanding pada tahun lepas yang hanya mencatat seramai 28,000 pengunjung.
“PeliTer pada tahun lepas yang diadakan di Kampung Budaya Terengganu telah bertukar tempat ke Taman Tamadun Islam (TTI) pada tahun ini untuk memudahkan orang ramai hadir, jadi tidak hairanlah jumlah pengunjung yang hadir begitu tinggi.
“Program tersebut juga telah melebihi sasaran yang kita letakkan seramai 50,000 orang dan ianya adalah satu pencapaian luar biasa bagi pihak penganjur.
“Saya difahamkan bukan hanya pengunjung tempatan sahaja yang datang bahkan dari luar negeri juga hadir seperti Kelantan dan Pahang serta ada juga yang sempat saya bertemu berbuka puasa di sekitar kawasan PeliTer ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Program PeliTer@TTI bertempat di Booth Jabatan Pelancongan Negeri (Sebelah Galeri Khat TTI), Tasik Pahlawan, TTI di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerus, Khazan Che Mat.
Tambah Razali, program tersebut bertujuan bagi mengekalkan tradisi lama yang membawa masyarakat ke zaman lampau.
“Di samping, kita nak bagitau kepada generasi baru bahawa inilah keadaan nenek moyang dahulu ketika menyambut hari raya dengan situasi tiada elektrik yang hanya bertemankan lampu lilin dan pelita sahaja.
“Program ini untuk membawa generasi sekarang merasai zaman dahulu serta memberi pengetahuan seperti pelita paling lama iaitu pelita kelapa turut ada dipamerkan di sini,” katanya.
Beliau berkata, program yang bermula 19 Mac hingga 23 Mac 2024 yang bertemakan Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter itu mengetengahkan konsep Pelita Raya Pesisir Air.
“Ia juga mengambil kira penjenamaan Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air, yang merupakan salah satu kluster pelancongan negeri.
“Peliter@TTI mendapat 10 penyertaan yang melibatkan semua pejabat daerah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu,” ujarnya.
Jelasnya lagi, rekaan replika dan dekorasi bergantung kepada kreativiti masing-masing atau berdasarkan produk daerah.
24 Mar 24
547
Soopa Doopa Tarikan Baharu Madinah Ramadan
KUALA NERUS, 23 Mac - Ruangan 'Soopa Doopa' menjadi tarikan baharu di Madinah Ramadan pada tahun ini bagi menempatkan anak-anak untuk bermain sekali gus memberi keselesaan ibu bapa untuk bertarawih di sana.
Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah berkata, ia disediakan di satu sudut yang selamat.
"Jadi tidak ada halangan untuk ibu bapa membawa anak-anak ke Masjid Tok Jembal ini dengan menempatkan mereka di ruang bermain yang disediakan ini sebagai alternatif bagi mereka yang ingin melaksanakan solat tarawih.
"Tujuannya adalah untuk menggalak dan mempelbagaikan lagi fungsi masjid dalam memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan rumah Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Madinah Ramadan, di sini kelmarin.
Dalam pada itu mengenai lokasi baharu Madinah Ramadan itu, Zulkhairi berkata ia merupakan satu usaha kerajaan untuk melakukan perubahan serta mengubah suasana.
"Madinah Ramadan dilaksanakan pada tahun ini berbeza berbanding pelaksanaan penganjuran siri-siri yang lalu diadakan di Dataran Baru Burok dan Dataran Jambatan Angkat.
"Pada tahun ini kita beralih dengan mengubah suasana dengan diadakan di masjid dan Masjid Tok Jembal dipilih sebagai tempat dan lokasi induk dalam pelaksanaan Madinah Ramadan bagi tahun 2024.
"Bermatlamat bagi mewujudkan satu suasana kemesraan yang lebih erat lagi antara masyarakat dengan masjid," ujarnya.
23 Mar 24
210
Kerajaan Nasihat Peniaga Tidak Naikkan Harga Sesuka Hati
KUALA TERENGGANU,22 Mac - Peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak meletakkan atau menaikkan harga barangan tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung sepanjang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Ariffin Deraman berkata, harga yang diletakkan perlu munasabah supaya tidak membebankan pengguna.
Beliau berkata, peniaga juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.
“Selain bazar Ramadan, terdapat banyak lokasi moreh dan sahur di Terengganu, jadi kita minta kepada peniaga-peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
“Kita tak nafikan berlaku kenaikan barang tapi jangan ambil kesempatan letakkan harga yang tidak seiring dengan kos yang ditanggung mereka.
“Bagi pengguna pula, berbelanjalah dengan bijak ketika membeli juadah sama ada ketika di bazar atau di lokasi-lokasi moreh dan sahur yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Selepek Sahur Payang Walk di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, Selepek Sahur Payang Walk antara lokasi moreh dan sahur yang beroperasi bermula malam tadi sehingga 6 April depan.
Katanya, terdapat lebih 50 gerai yang menjual pelbagai juadah bermula jam 9.30 malam hingga 3.30 pagi setiap hari.
“Selain Selepek Sahur Payang Walk ini, ada banyak lokasi moreh dan sahur di Terengganu yang boleh dijadikan tempat untuk pengguna menikmati hidangan dan bersantai bersama keluarga selepas solat Tarawih,” katanya.
23 Mar 24
105
NGO Yasmeen Bantu Keluarga Miskin Setiu
SETIU, 23 Mac - Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Yasmeen telah menyumbangkan barangan dapur kepada 62 orang golongan kurang berkemampuan di kawasan Setiu.
Menurut ketuanya, Rohani Ramli, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukannya, terutamanya yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.
"Sumbangan barang dapur seperti beras dan barangan keperluan harian lainnya dapat memberikan sokongan yang penting kepada mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.
"Bantuan ini juga turut memberikan dorongan moral kepada golongan yang menerima, membuat mereka merasakan bahawa mereka tidak sendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Felda, Kg Rahmat, baru-baru ini.
Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan kakitangan i-MiTS DUN Langkap bersama qariah Masjid.
Justeru itu kata Rohani, dengan adanya sumbangan tersebut, diharapkan dapat memberi sedikit lega dan meningkatkan kualiti kehidupan golongan yang menerima bantuan.
Tambahnya, majlis diserikan lagi dengan kehadiran Mantan Senator Negeri Terengganu, Ustazah Nuridah Salleh.
Majlis tersebut juga diserikan dengan pelaksanaan solat sunat tasbih, bacaan Yasin, dan sesi munajat.
23 Mar 24
266
Kerajaan Terengganu Ajak Rakyat Beriktikaf
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri mengajak rakyat negeri ini memperhebatkan amalan di 10 malam terakhir dengan beriktikaf di Masjid Baru, Tok Jembal yang dijadikan lokasi baharu Madinah Ramadan pada tahun ini.
Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah berkata, objektif kerajaan negeri adalah bagi mendidik masyarakat agar selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi mencapai negeri maju berkat dan sejahtera.
"Sedikit kelainan pada tahun ini ada penambahan aktiviti (dimana) kita menganjurkan program iktikaf pada 10 akhir Ramadan di Masjid induk (Madinah Ramadan) dan juga di masjid dalam daerah.
"Kita cuba membawa satu proses mendidik dan mengalakkan rakyat dan masyarakat negeri Terengganu ini dalam kita memenuhi aspirasi kerajaan negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Madinah Ramadan di sini, kelmarin
Majlis perasmian berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mengulas lebih lanjut Zulkhairi berkata, melalui slogan Indahnya Hidup Bersyariat, ia memberikan gambaran serius kerajaan negeri mahu memastikan rakyat merasai kehidupan mengikut panduan agama.
"Apabila kita menyemarakkan aktiviti-aktiviti agama (termasuk berpuasa dan melakukan segala amal ibadat) itu merupakan proses dalam meletakkan satu semarak penghayatan terhadap 'Indahnya Hidup Bersyariat'.
"Mudah-mudahan dengan apa yang telah berlangsung ini akan membawa kepada satu perjalanan membentuk rakyat negeri Terengganu menuju kepada dan menjiwai dalam diri sebagai rakyat Darul Iman, negeri yang beriman insya-Allah," katanya.
23 Mar 24
1873
130 Asnaf Dun Bandar Terima Bantuan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Seramai 130 orang dari keluarga yang kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima bantuan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata kesemua mereka diraikan dalam majlis di Mydin Mall pagi semalam.
Katanya, pihak pejabat DUN telah memberikan sumbangan wang tunai untuk membeli pakaian bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Walaupun kerajaan negeri Terengganu tidak semewah tahun lalu akibat royalti yang belum dilunaskan oleh kerajaan pusat.
“Namun, kita tidak pernah mengabaikan golongan mereka (asnaf) dan semoga Allah terima segala amalan kita pada bulan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Mydin Mall petang semalam.
Tambah Ahmad Shah, program ini merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar.
“Saya berharap majlis meraikan anak-anak ini sedikit sebanyak akan menceriakan dan menggembirakan sambutan Syawal yang menjelang tiba,” ujarnya.
23 Mar 24
215
200 Anak Yatim Diraikan ADUN Alur Limbat
ALUR LIMBAT, 22 Mac- Seramai 200 anak yatim diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Anak Yatim DUN Alur Limbat di Masjid Beladau Selat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman menyampaikan sendiri sumbangan tersebut kepada seramai 200 orang anak yatim.
“Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu anak yatim sekalian bagi meringankan beban perbelanjaan membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Anak Yatim DUN Alur Limbat di Masjid Beladau Selat, di sini.
Mengulas lanjut katanya, program berkenaan merupakan acara tahunan Pejabat ADUN Alur Limbat setiap kali menyambut Ramadan yang bertujuan membantu anak-anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan di DUN tersebut. Selain anak yatim, pejaga juga diraikan juga kali ini.
“Sumbangan yang diberikan ini amat istimewa sekali dan begitu bermakna kepada mereka yang memerlukan. Ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban para penerima dan keluarga bagi menyambut Syawal yang akan menjelang tiba," katanya.
23 Mar 24
265