Artikel "Utama" Terkini
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Tuntutan kembalikan royalti minyak hak milik Terengganu berkumandang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini selepas beberapa wakil rakyat membangkitkan isu terbabit.
Paling mencuri tumpuan, wakil rakyat muda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang mempersoalkan kewujudan keadilan apabila hasil petroleum, tanah dan pertanian semuanya dijarah oleh Kerajaan Persekutuan tanpa diberikan hasilnya kepada negeri.
"Adakah Kerajaan Persekutuan sekarang sudah bertukar menjadi penjajahan bentuk baru? Mungkin ramai dalam dewan ini yang tidak terasa, namun kalau kita melihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan bantuan dana i-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang.
"Tapi harapan tinggal harapan apabila hasil disekat oleh Kementerian Kewangan (sehinggakan) ada guru-guru al-Quran yang tertunggak elaun mereka selama berbulan-bulan tanpa pembelaan, sama juga yang berlaku kepada sekolah-sekolah di bawah Yayasan Terengganu, peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan.
"Biasiswa yang sepatutnya diberi kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang juga terpaksa dikurangkan, tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan Tabung Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa 'politik balas dendam'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.
Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pula berkata, dalam pembentangan bajet 2024 Kerajaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperuntukkan RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang sepatutnya disalurkan melalui hasil royalti petroleum.
"Namun hasil petroleum tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
"Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin sebagaimana yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku," ujarnya.
Bagi ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu adalah tersangat zalim.
"Perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir ... Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin beragama Islam," ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghayati semangat federalisme kerana sering mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Justeru katanya, pelaksanaan pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjanaan Pendapatan Baharu negeri bersama dengan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta memberikan nafas baru kepada rakyat.
"Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme," ujarnya.
Walaupun berdepan isu kewangan disebabkan royalti, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pula berharap agar kerajaan negeri akan tetap terus serius dan fokus dalam melaksanakan perancangan dan program yang ditetapkan.
"Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan, manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek kementerian.
23 Apr 24
3361
Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan
KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu berjaya menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui hasil pelaburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Noor berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mengumumkan Terengganu merealisasikan nilai pelaburan berjumlah RM2.4 bilion di negeri ini sehingga Mac lalu.
“Nilai tersebut telah melebihi 50 peratus daripada RM4.2 bilion yang disasarkan bagi tahun ini.
“Selain merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik, saya berharap Kerajaan negeri juga mengoptimumkan peluang ini untuk mengukuhkan rantaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat nasional dan global,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Zuraida juga menyuarakan kebanggaannya terhadap usaha yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan beberapa pihak lain dalam merancang untuk memajukan industri nadir bumi (REE).
Menurutnya, langkah ini disambut baik sebagai upaya bersama dalam meningkatkan potensi ekonomi serta pembangunan industri strategik di Terengganu.
“November tahun lepas, Menteri Besar menyebutkan perkara ini dalam Ucapan Belanjawan 2024, Januari tahun ini sudah diadakan perbincangan dengan pihak pelabur dan pada Mac lalu pula disusuli dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).
“Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini.
Tambah Zuraida, melihat kepada momentum yang semakin baik dalam sektor perindustrian, perdagangan, dan pelaburan, serta peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri, beliau optimis bahawa ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” ujarnya.
23 Apr 24
1402
Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 Negeri Terengganu mencatatkan Gred Purata Negeri 2.79 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.09.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata peningkatan itu secara tidak langsung menonjolkan potensi STAM untuk terus bersaing dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Lebih membanggakan ialah apabila Gred Purata Sekolah (GPS) Sekolah Agama Negeri Terengganu mencatatkan prestasi yang lebih baik iaitu 2.48 berbanding Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 2.52.
“Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar STAM 2023 dan juga kepada para pendidik atas pencapaian ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Tambah Zuraida, beliau percaya bahawa sektor pendidikan akan terus menjadi perhatian utama dan keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkasakan potensi pendidikan di Terengganu.
“Ia dizahirkan melalui titah ucapan Tuanku Al-Sultan semalam yang sentiasa menekankan kepentingan kecemerlangan pendidikan yang berterusan.
“Sehubungan dengan itu, saya berharap agar infrastruktur dan kurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dapat ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sokongan kewangan daripada sumbangan semua pihak," ujarnya.
23 Apr 24
460
Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang
KUALA TERENGGANU, 23 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengusulkan tiga langkah bagi mengelakkan tragedi lemas di pantai berulang kembali di negeri ini.
Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil ialah memperbanyakkan pemasangan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan, memasang bendera merah ketika laut bergelora dan menubuhkan lebih ramai skuad pasukan penyelamat pantai atau 'lifeguard' di pantai yang berisiko.
“Serta di kawasan tumpuan terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air.
“Skuad penyelamat pantai ini tidak terhad kepada Angkatan Pertahanan Awam (APMM) sahaja, tetapi perlu melibatkan agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sebagai satu gabungan tenaga yang komprehensif untuk memastikan keselamatan di pantai,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Tambah Zuraida, situasi kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengenal latar belakang individu.
Selain kesedaran individu katanya, agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di manamana sahaja lokasi.
“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu, Marang.
“Elok sekiranya zon selamat ini diperluas ke pantai-pantai kawasan panas atau ‘hotspot’ (dengan izin) yang selalu berlakunya kejadian lemas,” ujarnya.
23 Apr 24
193
Masyarakat Perlu Lapor Aktiviti Bom, Tuba Ikan
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri menyeru masyarakat menjadi 'mata dan telinga' pihak penguatkuasa bagi membanteras aktiviti haram seperti bom, tuba dan karan/ elektrik kan daripada berleluasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, masyarakat perlu sedar bahawa sumber perikanan yang ada hari ini perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
"Ini adalah kegiatan yang menyumbang kemusnahan sumber perikanan darat. Semuanya adalah kesalahan berdasarkan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 pindaan 1993. Kita ada undang-undang yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
"Tetapi dari segi geografi, Negeri Terengganu mempunyai sungai, parit, tasik dan kolam yang sangat luas. Tak mudah untuk dipantau dan dikawal 24 jam secara efektif oleh pihak berkuasa. Sebab itu, kerjasama masyarakat setempat sangat penting dalam membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan (DOF) dan Polis Marin bagi memelihara ekosistem dan sumber perikanan.
"Masyarakat setempat perlu jadi mata dan telinga bagi menyalurkan aduan jika mendapat maklumat berkenaan aktiviti terlarang. Sumber yang ada bukan hanya untuk makan hari ini sahaja. Ia perlu dijaga untuk diwarisi oleh generasi anak cucu nanti. Hendak buat apa-apa, kena fikir apa yang akan jadi di belakang hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambahnya, di samping pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat, rondaan secara berkala turut dipergiat DOF dan Polis Marin di kawasan titik panas aktiviti terlarang berkenaan seperti Tasik Kenyir, Sungai Terengganu dan Sungai Kemaman.
"Pertama, kita kawal supaya tidak rosak dan kedua, kita kena tambah sumber melalui program pelepasan anak benih ke perairan umum.
"Dalam tempoh tiga tahun terakhir, tahun 2021 kita telah melepaskan 1,700,548 anak benih, tahun 2022 sebanyak 660,100 anak benih dan tahun lalu sebanyak 374,215 anak benih," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri secara keseluruhannya telah melepaskan sebanyak 2,734,863 anak benih terdiri daripada antaranya spesis Lampan Sungai, Baung, Kelah, Udang Galah, Patin, Siakap, Haruan, Sebarau serta Ketam Nipah.
Beliau berharap usaha kerajaan itu dapat menambah sumber perikanan dan menjadi salah satu sumber rezeki nelayan darat.
23 Apr 24
104
Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM
KUALA TERENGGANU, 23 April- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu hari ini memberi penghormatan terakhir dan membacakan surah Al Fatihah terhadap mangsa-mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pagi tadi.
Ucapan rakaman takziah itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi. ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.
"Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter milik TLDM di Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita terkorban.
"DUN Sura ingin mengambil perhatian sidang dewan agar kita semua dapat membaca al-Fatihah untuk perajurit kita yang terkorban. Salam takziah daripada kami, ADUN Terengganu," katanya.
Dalam kejadian tersebut, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas.
Seramai 10 kru terbabit insiden iaitu tujuh kru Helikopter HOM TLDM manakala tiga kru Fennec TLDM.
Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
23 Apr 24
95
‘Jaga REE, Jangan Biar Dirompak Seperti Royalti Minyak’
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan Negeri dinasihat supaya sentiasa berjaga-jaga dengan memelihara sebaik mungkin sumber unsur nadir bumi (REE) agar ia tidak ‘dirompak’ seperti hasil petroleum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memberi peringatan itu di sebalik usaha dan momentum berterusan Kerajaan Terengganu untuk memacu ekonomi negeri dalam sektor terbabit.
“Melihat kepada momentum perindustrian, perdagangan dan pelaburan yang semakin baik ini, ditambah pula dengan peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri kita yang memberangsangkan, saya optimis ia berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri kita mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Terdahulu Zuraida berkata, beliau amat berbangga usaha proaktif Kerajaan Terengganu dalam memajukan industri REE di negeri.
Ujarnya, keseriusan Terengganu kini sudah mula menampakkan hasil melalui dua perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat gergasi luar negara.
“Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini,” jelasnya.
Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama REE di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik.
Baginda bertitah, dengan memiliki sumber REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pelaksanaan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu (NIT) merupakan satu langkah bijak bagi menguatkan ekonomi negeri.
“Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme.
“Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25 peratus menjelang 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Ini akan memberi kesan kepada pendapatan Negeri Terengganu dalam tempoh masa yang panjang,” tambah beliau.
23 Apr 24
882
Dasar Perumahan Baharu di Terengganu Ditambahbaik
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri telah merangka dasar perumahan baharu bagi menambahbaik dasar yang sedia ada bagi menggalakkan pembangunan perumahan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dasar perumahan yang sedia ada telah berkuatkuasa pada 1 September 2019 manakala rangka penambahbaikan dasar perumahan yang baru dijangka siap pada bulan Julai 2024.
"SUK (Bahagian Perumahan) dengan kerjasama pihak Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) juga telah mengadakan Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu pada 1 dan 2 April 2024 yang turut melibatkan pelbagai jabatan agensi kerajaan.
"Skop perbincangan bengkel tersebut merangkumi penambahbaikan dasar dan polisi perumahan Terengganu, penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik (RMM) serta penambahbaikan proses kelulusan dan pelaksanaan projek," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun yang ingin tahu apakah kerajaan negeri ada merangka dasar perumahan baru bagi menggalakkan pembangunan di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam penambahbaikan dasar perumahan kali ini adalah Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, PLAN Malaysia Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).
"Selain itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Pesuruhjaya Bangunan, Indah Water Konsortium (IWK), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," ujar Wan Sukairi.
23 Apr 24
686
JHEAT Sentiasa Pantau Kewujudan Ajaran Sesat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April- Ajaran sesat seperti Ajaran Mohib Khouli, Ajaran Kanzun Makhfiyyan dan ajaran-ajaran lain yang telah diwartakan kerajaan negeri Terengganu melalui Jabatan Mufti Terengganu sentiasa dipantau Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) bagi memastikan ia tidak diamalkan oleh masyarakat negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ia disebarkan mengikut Seksyen 10 (Menghina atau Mengingkari Pihak Berkuasa Agama) dan Seksyen 12 (Pendapat Yang Bertentangan dengan Fatwa) oleh PPS.
"Kita diperingkat kerajaan negeri sangat serius memandang isu yang berkait dengan ajaran sesat ini supaya umat Islam di negeri ini terpelihara akidah mereka.
"Sebagaimana kita sedia maklum, ajaran sesat Ayah Pin pernah menggemparkan negara kita. Kita menerima laporan dan juga kerisauan masyarakat tentang ajaran ini dihidupkan kembali.
"Untuk makluman, ia telah diwartakan sesat pada tahun 1997, kemudian setelah kematian Ayah Pin ajaran ini tidak aktif lagi. Tindakan telah diambil antaranya untuk memberikan kesedaran kepada bekas-bekas pengikut dan pihak penguatkuasaan juga sentiasa berwaspada sekiranya sebarang kemungkinan yang timbul ajaran ini dihidupkan kembali," katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, di samping adanya seksyen dan undang-undang untuk kerajaan negeri mencegah ajaran-ajaran sesat, kegiatan dakwah seperti kuliah dan pengajian agama juga dijalankan begitu aktif dalam memberi kesedaran kepada umat Islam supaya berwaspada daripada ajaran-ajaran ini," katanya.
23 Apr 24
200
Wujudkan Majlis Tindakan OKU, Bukti Kerajaan Negeri Cakna
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) pada 6 Mac 2024 selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penubuhan majlis tersebut bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Katanya, ahli Majlis terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pakar perubatan dan ahli akademik yang berkaitan dengan OKU serta wakil OKU daripada Pertubuhan Sukarela Kebajikan OKU.
"Antara fungsi dan peranan MTBOKUNT seperti menyelia pelaksanaan dasar negara, dasar negeri dan pelan tindakan yang berhubungan dengan OKU, membuat syor kepada kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU.
"Kita juga memantau aktiviti semua jabatan, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU.
"Majlis ini juga boleh mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut Maliaman lagi, MTBOKUNT juga berperanan membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU.
Dalam masa sama, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bagi memberi latihan kemahiran dan pemulihan kepada OKU khususnya anak-anak klien jabatan yang keciciran dalam pelajaran.
"Kita telah memperuntukkan sebanyak RM1,404,410.50 pada tahun 2023 dan RM1,199,618.40 bagi tahun 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan pengoperasian bengkel ini.
"Ini membuktikan kerajaan negeri sangat komited dan cakna terhadap golongan orang kurang upaya dalam memastikan kebajikan mereka terjamin dan dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera serta mampu berdikari," ujarnya.
23 Apr 24
196