lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

34,827 OKU Berdaftar di Terengganu
34,827 OKU Berdaftar di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 34,827 orang kurang upaya (OKU) didaftarkan di Terengganu sehingga 31 Mac 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata data itu diperolehi berdasarkan pendaftaran dalam Sistem Maklumat OKU (SMOKU). "Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 11,002 orang, diikuti Besut seramai 5,553, Kemaman (5,242), Dungun (4,537), Marang (3,693), Hulu Terengganu (2,607) dan Setiu (2,193). "Masalah pembelajaran merupakan kategori OKU  tertinggi yang didaftarkan iaitu seramai 15,390, fizikal (9,664), penglihatan (2,952), pendengaran (2,556), mental (2,513), pelbagai (1,564) dan pertuturan (187)," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Buluh Gading , Ridzuan Hashim di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata terdapat 47 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menjalankan program kepada kanak-kanak OKU dengan bilangan pelatih 1,178 orang. "Kita juga mempunyai enam buah pusat jagaan OKU yang berdaftar dengan Akta Pusat Jagaan (APJ) 1993 yang menempatkan 117 orang," ujarnya.  
23 Apr 24
255
Aktiviti Merentas Desa Hanya Dibenarkan Selepas 5 Petang
Aktiviti Merentas Desa Hanya Dibenarkan Selepas 5 Petang
KUALA TERENGGANU, 23 April - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) hanya membenarkan  sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas diadakan selepas pukul 5 petang Pengarahnya, Jelani Sulong berkata kebenaran hanya dibenarkan sekiranya keadaan suhu pada hari berkenaan adalah dibawah 35 darjah celcius. Katanya, sebelum ini pihak JPNT telah memberi arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya menangguhkan semua aktiviti luar luar bilik darjah dalam keadaan cuaca panas yang melanda negara kini bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba. "Ia selaras garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba. "Namun, sekiranya aktiviti itu dilakukan selepas pukul 5 petang dan suhu harian adalah di bawah 35 darjah Celcius, maka ia dibolehkan," katanya ketika dihubungi pemberita. Tambah Jelani, JPNT sentiasa memantau rapat semua aktiviti yang diadakan pihak sekolah agar selari dengan pekeliling yang dikeluarkan KPM. "Kita juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa sekiranya ada sekolah yang tidak mematuhi peraturan ini untuk kita menyiasat secara terperinci," katanya. Terdahulu, ramai ibu bapa yang meluahkan kebimbangan mengenai aktiviti merentas desa kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan anak-anak mereka berdasarkan beberapa kes yang berlaku sebelum ini.
23 Apr 24
310
PBT Perlu Capai Penarafan 'Smart City Early Adopter' 2025
PBT Perlu Capai Penarafan 'Smart City Early Adopter' 2025
KUALA TERENGGANU, 22 April - Selaras penyediaan Blueprint Bandar Pintar, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi mendapat penarafan 'Smart City Early Adopter' menjelang tahun 2025. Baginda bertitah, penyediaan Blueprint Bandar Pintar Terengganu sebagai panduan utama kepada semua agensi dan pihak-pihak berkepentingan terutamanya pihak PBT sejajar dengan Agenda perbandaran Baharu (New Urban Agenda) dan Sustainable Developement Goals (SDGs). "Kerajaan Beta (juga) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai hampir 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal. "Beta berharap dengan peruntukan ini dapat memastikan kawasan persekitaran di kediaman, komersial, institusi dan tempat awam sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.  Dalam pada itu dalam usaha meningkatkan kualiti kebersihan ke tahap optimum dan meningkatkan standard piawaian kebersihan, bagi menarik kehadiran pelancong, Sultan Mizan bertitah semua PBT perlu mengambil perhatian serius terhadap penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur awam. "Selain itu, dasar serta amalan yang menekankan prinsip mengurangkan, mengguna dan mengitar semula perlu diperluas dalam usaha meminimumkan penjanaan sisa pepejal. "Beta berharap projek Integrated Island Waste Management di Pulau Redang dan Pulau Perhentian  yang akan beroperasi dapat menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) melalui kemudahan tempat pengumpulan e-sisa, barangan kitaran semula (3R) dan mesin kompos sisa organik," titah baginda.
22 Apr 24
263
Perkasakan Produk Pelancongan Alam Semula Jadi- Sultan Mizan
Perkasakan Produk Pelancongan Alam Semula Jadi- Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April -Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pemerkasaan produk pelancongan alam semula jadi di Terengganu. Titah baginda, langkah tersebut perlu dilaksanakan bagi mencapai kehadiran seramai 4.5 juta pelancong ke Terengganu pada tahun 2024. Baginda bertitah, keunikan baharu yang sedia ada seperti Lata Belatan di daerah Besut, Lata Ulu Kasar di daerah Setiu, Cemerong Berembun Langsir (CBL) di daerah Dungun, Bukit Mentok di daerah Kemaman, Kalang Rengas di daerah Hulu Terengganu, Dataran Batu Putih dan Pantai Angin Berbisik di daerah Marang dan Bukit Maras di daerah Kuala Nerus haruslah dipulihara untuk generasi akan datang. "Penganjuran Sultan Mizan Underwater Photography Awards ( SMUPA) pada tahun lalu merupakan inisiatif yang berjaya dilaksanakan dalam usaha mempromosikan keindahan alam semulajadi maritim di negeri ini. "Dengan penganjuran SMUPA 2024 dengan tambahan kategori yang baharu iaitu ' short video category' dilihat sebagai salah satu yang berkesan untuk meningkatkan bilangan peserta dan peminat selam skuba dari dalam dan luar negara,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Titah baginda lagi, selain itu, pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records bagi kategori Most Students in Malay Gamelan Dance dalam program Seabad Gema Gemalai Gamelan Melayu baru-baru ini amat membanggakan.  "Seramai 152 orang Penari Cilik Tunas SUKTRA dari 13 buah sekolah telah melakarkan sejarah baru kepada peminat kesenian Gamelan untuk berkunjung ke negeri Beta.  "Usaha ini wajar diteruskan bagi mengembangkan kesenian Terengganu agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan selain penekanan dalam menerapkan elemen budaya sebagai komponen penting pelancongan Terengganu," titah Baginda. Sultan Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada terlibat dalam perlindungan, semua agensi yang terlibat pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem di negeri Terengganu.  Titah Baginda, kerajaan negeri telah diletakkan sebagai penanda aras pengurusan alam sekitar yang mampan oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi tahun 2023 yang lalu. "Penghargaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan aset alam semulajadi di negeri ini kekal terpelihara.  "Hasilnya, sehingga 31 Disember 2023 yang lalu, Negeri Terengganu berjaya mengekalkan peratusan kawasan berhutan yang cukup membanggakan iaitu seluas 676,823 hektar yang merangkumi 52 peratus bagi keseluruhan kawasan di negeri Terengganu," titah Sultan Mizan.  
22 Apr 24
206
Terengganu Berpotensi Jadi Hub Pengeluar NR-REE Utama Negara - Sultan Mizan
Terengganu Berpotensi Jadi Hub Pengeluar NR-REE Utama Negara - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda bertitah, dengan memiliki sumber NR-REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) itu, baginda bertitah kerajaan negeri perlu mengambil peluang menjadi pemain utama sektor industri baharu di dalam teknologi moden masa kini. "Dengan sumber mineral baharu ini, kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rangkaian nilai. "Termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-StreaM0 diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Pada 5 Oktober lalu, kerajaan Terengganu menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan. Untuk rekod, kerajaan negeri turut mengumumkan syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan NR-REE berhampiran Pelabuhan Kemaman. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024. Katanya, tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad. "Pihak Star Group juga telah melawat lokasi tersebut dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ. “Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk 'midstream' dan keduanya adalah kilang 'downstream'. “Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat 'cracking' ataupun dioksidakan NR-REE,” jelasnya.  
22 Apr 24
2364
PAS Sokong Mana-Mana Calon Wakili PN
PAS Sokong Mana-Mana Calon Wakili PN
KUALA TERENGGANU, 22 April - PAS menyokong mana-mana calon yang akan diputuskan untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini. Naib Presidennya, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS terbuka untuk menerima siapa sahaja menjadi calon dan akan memastikan jenteranya turun untuk membantu kempen calon tersebut demi memastikan kemenangan PN. "Sudah tentu, PAS akan kerahkan jentera kerana yang akan bertanding nanti adalah PN, daripada parti mana sekalipun itu akan diputuskan oleh kepimpinan dalam mesyuarat khas PN petang ini. "Mesyuarat berlangsung di Kuala Lumpur untuk membincangkan secara terperinci mengenai calon yang akan dipilih. "Namun, saya tak pasti sama ada mesyuarat akan terus umum nama calon atau ada satu majlis pengisytiharan yang lain untuk umumkannya...bergantung kepada ketetapan mesyuarat petang ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri yakin dengan momentum positif PN untuk memenangi PRK tersebut berdasarkan data-data dan respons semasa, kemenangan adalah berpihak kepada PN sehingga kini. "Kajian sikap yang kita buat bagi pihak PN sendiri dan kajian daripada pihak luar termasuk Merdeka Centre juga menunjukkan populariti kerajaan negeri yang ada di Selangor dan Kerajaan Pusat agak menurun. "Itu menjadi 'plus point' pada kedudukan PN untuk mencalonkan individu yang terbaik di PRK Kuala Kubu Baru nanti," katanya. PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon. Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. Pada pilihan raya negeri tahun lalu, mendiang Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda), dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi.
22 Apr 24
240
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia. Baginda bertitah, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid. "Beta melihat perkembangan BESS telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap. "Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkang jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau (maka) satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Baginda bertitah bagi menyokong negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga 2022 hingga 20240 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Industri Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini. "kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan lima fokus industri di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka. "Sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan Beta," titah baginda.      
22 Apr 24
1590
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini. Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua DUN, Dato' Mohd Nor Hamzah. Turut menyambut ketibaan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Ke-29, Brigedier Jeneral Muzamil Ali dan Ketua Polis Negeri DCP, Datuk Mazli Mazlan.   Istiadat dimulakan dengan berkumandangnya lagu kebesaran Negeri Terengganu  sebelum Sultan Mizan berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Kawalan Kehormatan terdiri daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan Terengganu dan Pancaragam Rejimen 512 (Askar Wataniah) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula hari ini hingga 25 April 2024.  
22 Apr 24
231
Pendaratan Ikan Meningkat, Sultan Mizan Hargai Usaha Kerajaan
Pendaratan Ikan Meningkat, Sultan Mizan Hargai Usaha Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas kejayaan perancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin. Titah baginda, sebanyak 13,143 tan berjaya direkod sepanjang tahun 2023. "Justeru itu, program yang dirancang harus diperkasakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Baginda juga bertitah Banci Pertanian kali ke-4 yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara. "Hasil dapatan daripada bancian ini, diharap mampu memberi sumbangan terhadap isu struktur ekonomi import makanan yang tinggi, kenaikan harga dan seterusnya bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Beta di dalam industri ini," titah baginda.
22 Apr 24
161
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan Terengganu
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita apabila Terengganu masih kekal antara destinasi utama pelaburan di Malaysia. Baginda bertitah, walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia  yang penuh dengan cabaran pada tahun 2023, kerajaan negeri masih berjaya menarik ramai pelabur  ke Terengganu. "Dengan pelaburan sebanyak RM3.75 bilion dalam sektor pembuatan, pelancongan, dan logistik, Terengganu masih kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Sultan Mizan juga bertitah keberhasilan dalam pelaburan itu dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri.
22 Apr 24
1763