Artikel "Utama" Terkini
Usaha Berterusan Realisasi Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 April- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal yang baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdahulu satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah dibuat pada 14 FebruAri lalu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal iaitu Sr. Zaharuddin Zahid, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan wakil Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.
"Hasil daripada lawatan tersebut, JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah (7.080 ekar) yang dicadangkan oleh ADUN Bukit Tunggal iaitu di Kampung Banggul Baruh, Kuala Nerus adalah strategik bagi pembinaan klinik kesihatan baharu.
"Pihak JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah yang dicadangkan oleh beliau adalah strategik dan kawasan sekitar di dalam tempoh pembangunan (perumahan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid berhubung setakat mana perkembangan berkenaan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam.
Katanya, Zaharuddin turut bersetuju untuk tapak berkenaan diberikan khas kepada KKM setelah didapati Klinik Kesihatan sedia ada berlaku kesesakan dan padat, bagi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien.
"Sehubungan itu, pihak JKNT ini akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan. Namun begitu, terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur jalan ke lokasi tapak cadangan, " ujarnya.
Menurut beliau, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-14 [RMK-14 (Tahun 2031-2035)].
"Pembinaan klinik ini akan dapat menampung pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, " jelasnya.
24 Apr 24
200
Kontinjen SUKMA Terengganu Kini Sedia Bangkit, Rampas Gelaran Juara
KUALA TERENGGANU, 25 April- Dengan slogan 'Hanelang Bangkit 2024', kontijen SUKMA Terengganu disasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Temasya SUKMA XXI di Sarawak dengan pelbagai persediaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata justeru itu latihan awal telah dimulakan pada 1 November 2022 dan kini kontinjen telah memasuki fasa tiga latihan sejak 1 Januari 2024 yang merupakan fasa akhir bagi persediaan atlet dan pasukan.
"Sebanyak 20 strategi persediaan atlet fasa tiga telah dirangka dan sebahagiannya telah dilaksanakan bagi memastikan kontinjen bersedia sepenuhnya.
"Antaranya mengemas kini unjuran sasaran pingat emas kontijen negeri serta atlet saingan secara bulanan yang mana atlet sasaran emas diberikan penumpuan khusus dalam pemantauan, sokongan sains sukan, kebajikan serta ujian-ujian kecergasan dan kemahiran," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Husaimi Hussin (PAS- Hulu Besut) yang ingin tahu bagaimana persediaan kontigen SUKMA Terengganu bagi menghadapi persaingan SUKMA 2024 dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambahnya, program pemantapan pasukan turut diadakan seperti bengkel, kursus, ceramah, ujian kecerdasan serta sesi taklimat kepada pegawai dan atlet yang terlibat sepanjang tahun 2024.
Untuk rekod, SUKMA 2022 menyaksikan kontinjen Terengganu bergelar naib juara dengan meraih 64 pingat emas, 49 perak dan 56 gangsa dalam temasya sukan terbesar tanah air itu bukan sahaja melebihi sasaran, malah ia menjadi sejarah kerana berjaya meraih kutipan pingat emas terbanyak sejak SUKMA 19 edisi lalu.
Penganjuran SUKMA XXI akan diadakan di sembilan bahagian Sarawak yang menempatkan sebanyak 37 kejohanan sukan.
Bagi daerah Kuching, sebanyak 25 sukan akan berlangsung dan selebihnya akan diadakan di Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
24 Apr 24
255
Pembawaan Politik Kuno Pecah Belah Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Segelintir pihak telah mencuba membawa kembali idea politik kuno yang menggalakkan pecah belah dan kekacauan dalam pentadbiran masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, tindakan itu disifatkan sebagai langkah mundur dalam pembangunan politik negara.
"Sekarang bukan lagi Terengganu zaman 80-90 an, di mana perpecahan berlaku dalam masyarakat kerana parti berbeza, ada yang ditarik
bantuan, ada ditukar kerja dan ada dipulau kerana warna politik berbeza.
"Politik anak muda pada hari ini tidak lagi melihat parti dan ideologi parti di depan.
"Yang penting bagi mereka adalah politik idea dan ahli politik yang ikhlas menabur bakti untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam.
Katanya, ketika rakyat masih bergelut dengan cabaran ekonomi dan sosial, pemimpin tidak boleh membiarkan politik menjadi permainan bagi golongan yang hanya mementingkan diri sendiri.
"Cukup-cukuplah permainan politik dan nasib rakyat negeri ini ditentukan oleh pemimpin yang pentingkan diri.
"Biarlah nasib politik kita ditentukan oleh kita sendiri, berpolitiklah secara fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi kebaikan kepada rakyat jelata, bukan berpolitik secara balas dendam.
"Duli Yang Maha Mulia tuanku telah menyatakan berkenaan cabaran ekonomi yang semakin rencam pada tahun ini disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.
"Antara saranan yang telah diberikan oleh Tuanku adalah jalinan kerjasama bersama kerajaan dan agensi persekutuan dalam negara.
Namun katanya, pimpinan tertinggi kerajaan Madani pada hari ini bukan seumpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan,
tempat berlindung kehujanan tapi mereka adalah pemimpin yang enggan berbagi, sama saja ingin menang sendiri.
"Bila egoisme tak diakhiri, pasti ditutup dengan pecah kongsi," tambahnya.
24 Apr 24
225
Pembangunan Insan Perlu Jadi Keutamaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Pembangunan Modal Insan perlu menjadi agenda utama kerajaan negeri dan boleh mengambil contoh dari Korea Selatan dan Jepun yang telah berjaya membuktikan bahawa usaha itu dapat memajukan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, pembentukan individu berketerampilan dan berkualiti akan memastikan Terengganu memiliki masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera.
"Misi modal insan ini dijalankan adalah untuk membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya.
"Pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan individu sahaja, malah ia juga penting untuk pertumbuhan masyarakat dan memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri khususnya)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Ir Saiful Azmi berkata itulah yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan kerana kedua-dua negara itu hanya memiliki aset material yang rendah tetapi berjaya mencapai kemajuan setanding negara-negara maju yang lain.
"Kejayan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.
"Dengan modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai.
"Rakyatnya mempunyai kesetiaan yang tinggi bukan sahaja terhadap negara, malah pekerjaan. Sikap rakyat di kedua-dua negara ini patut dicontohi untuk turut serta memperkembangkan lagi sektor ekonomi negara," ujarnya.
24 Apr 24
322
Kerajaan Negeri Sokong Tingkat Bantuan Pendidikan Anak-Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan negeri menyokong seruan untuk meningkatkan pemberdayaan pendidikan dengan membantu anak-anak asnaf, seperti yang ditekankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam titah diraja pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Isnin lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, dalam upaya mewujudkan akses pendidikan yang adil dan merata, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberi sokongan kepada golongan asnaf dalam memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang setara dengan yang lain.
“Dengan menggariskan kepentingan pemberdayaan melalui pendidikan, titah diraja ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu bagi memastikan setiap anak-anak terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambah Riduan, pendidikan dianggap sebagai alat transformasi sosial yang penting serta sebagai wahana pelengkap sesebuah ketamadunan.
Menurutnya, Terengganu sejak zaman berzaman, dikenali sebagai tempat yang memperjuangkan jihad pendidikan.
“Jajaran pondok dan madrasah di sini dianggap sebagai benteng akidah dan ruang untuk penegasan jatidiri sebagai seorang muslim.
“Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan Terengganu untuk memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada semua pelajar dan tenaga pengajar,” ujarnya.
Dengan langkah ini katanya, diharapkan pendidikan di Terengganu akan terus berkembang pesat, menyumbang kepada pembangunan individu dan masyarakat yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
24 Apr 24
163
Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri disaran menambah baik kemudahan asas dengan tujuan memajukan sektor pelancongan di daerah Besut khususnya DUN Kuala Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penambahbaikan infrastruktur itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.
"Saya ingin menyentuh tentang prasarana untuk kemudahan pelancong, ada yang datang menaiki bas yang sedikit menyukarkan mereka kerana tidak ada sistem pengangkutan yang lebih efisien.
"Pelancong hanya berjalan kaki ke jeti untuk ke Pulau Perhentian dan jarak dari stesen bas ke jeti ialah sekitar 850 meter iaitu mengambil masa lebih kurang 15 minit.
"Hal ini menyebabkan pelancong berpanas dan berhujan untuk ke jeti tersebut," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Dewan Undangan Negeri Terengganu mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 2024, Wisma Darul Iman, semalam.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas seperti yang terdapat di Hatyai, Thailand, di mana perkhidmatan kereta atau van dikenali sebagai Tuk-Tuk disediakan.
"Manakala Pekan Lama Kuala Besut yang terletaknya jeti pelancong dicadangkan untukndiperindahkan dengan warna-warna bangunan ceria dan menarik.
"Jalan raya ditukar dari tar berturap kepada tapak gajah dan disarankan juga membina pintu gerbang sebagai salah satu mercu tanda gerbang pelancongan di Besut," ujarnya lagi.
24 Apr 24
173
Gerakkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat Hingga ke Kampung
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri diseru memberikan penekanan yang lebih besar kepada agenda 'Indahnya Hidup Bersyariat' dengan menggerakkan program berkaitan ke setiap daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penduduk setempat percaya bahawa langkah ini dapat memastikan kehidupan mereka lebih selaras dengan prinsip-prinsip Islam.
"Kerajaan Negeri mengumumkan inisiatif tahun indahnya hidup bersyariat pada tahun ini, disambut baik oleh penduduk Batu Rakit, Terengganu, serta rakyat seluruh negeri.
"Semua program kerajaan, pastikan ia bertepatan dengan syariat terutama dalam sektor hiburan dan sukan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap agenda solat perlu dimasukkan dalam apa sahaja program kerajaan kerana solatlah yang dapat mengubah sikap masing-masing.
"Supaya tujuan kita sampai kepada setiap masyarakat," katanya.
24 Apr 24
134
Kerajaan Digesa Bendung Lambakan Sayuran Dari Thailand
KUALA TERENGGANU, 24 April- Kerajaan Terengganu digesa agar mencari jalan membendung lambakan pelbagai jenis sayuran dari dari Thailand yang memasuki negeri ini hingga mengakibatkan para petani tempatan mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid berkata, tidak dinafikan negara seberang itu memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pertanian sehingga menghasilkan sayur-sayuran berkualiti.
"Kemahiran dari negara terbabit boleh dipelajari dan dicontohi namun bukannya membiarkan produk negara terbabit terus memasuki negeri ini.
"Kerana limpahan produk yang masuk dari negara seberang itu akan menyebabkan hasil usaha petani negeri kita ini tidak mendapat sambutan dan harga untuk pasaran akan dimainkan oleh orang tengah.
"Selain itu adalah perlu untuk diaktifkan agensi pemasaran yang tidak membebankan petani, contohnya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dahulunya aktif, tetapi hari ini kita tidak berapa mendengar agensi ini memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu para petani," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Yusop berkata adalah menjadi harapan para petani supaya pihak FAMA mengaktifkan agensinya supaya dapat membantu para petani mendapat hasil jualan yang sewajarnya.
"Kerajaan negeri juga perlu memberi bantuan yang sewajarnya bagi memastikan industri makanan dalam negeri rancak.
"Kerajaan negeri juga perlu mewujudkan pemantau-pemantau bebas dalam sektor pertanian agar laporan yang diterima adalah tepat, kita tidak mahu orang yang berkait agensi pertanian yang membuat laporan biar ada pihak yang bebas," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga perlu membuat pengezonan pertanian supaya tidak terjadi petani mengusahakan tanaman yang sama yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan harga pasaran.
"Kalau kita dengar rata-rata tanam jagung, tanam tembikai sehingga hari ini harga dia RM1.20 sekilo cuma ketika Ramadan baru ini harganya mencecah RM3 ia berlaku kerana tidak akan pengezonan.
"Juga menjadi kewajipan bagi pihak kerajaan membuat kawalan dan penguatkuasaan supaya petani dapat meletakkan harga yang sesuai.
"Terakhirnya ialah perlu mengerakkan kempen merakyatkan pertanian dalam negeri Terengganu," ujarnya.
24 Apr 24
216
Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) berkualiti merupakan antara sebab Terengganu menerima anugerah bandar paling bahagia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Marang (MDM), dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) atas anugerah yang diperoleh.
“Penghargaan tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha bersama pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk dan keharmonian masyarakat di seluruh Terengganu.
"Saya berharap agar momentum ini dapat menjadi pemangkin untuk usaha lebih gigih dalam pembangunan dan penyelenggaraan bandar di masa hadapan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Tambah Sulaiman, pembangunan tonggak utama dalam mengejar impian kegemilangan dan kesejahteraan.
Jelasnya lagi, seiring dengan perjalanan masa, Terengganu terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bersemangat.
“Melalui usaha gigih dan kesungguhan, kita menyaksikan pembangunan pesat di pelbagai bidang, dari pembangunan infrastruktur yang memudahkan mobiliti penduduk sehingga kepada peningkatan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan.
“Namun, pembangunan sejati tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, ia juga terletak kepada persepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
24 Apr 24
2469
Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri disaran untuk terus mempromosikan nilai-nilai syariah dalam usaha membangun industri pelancongan Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, dengan menerapkan prinsip-prinsip syariah dalam produk dan perkhidmatan pelancongan, kerajaan Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk melancong ke sini.
"Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Exco Pelancongan untuk terus kekal dengan negeri yang mendokong syariat atau mesra syariat untuk berusaha mempopular dan mempromosi 'Islamic tourism' bagi menarik pelancong Muslim dari negara China khususnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Tambahnya, selain daripada sektor pertanian, Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dengan tumpuan kepada produk pelancongan alam semula jadi.
"Usaha mempromosi 'Islamic tourism' perlu diselaraskan dan diatur melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan di sana mungkin kita dapat mengambil manfaat daripada bajet Kementerian Pelancongan," katanya.
Sementara itu, fenomena 'moreh' semasa bulan Ramadan merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia perlu diangkat dalam memperhebatkan 'Islamic Tourism'.
"Banyak tempat dan lokasi khususnya di tempat peranginan menjadi lokasi moreh yang popular," katanya.
Justeru itu, belia mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menjadikan aktiviti sebegini sebagai satu daya tarikan pelancongan khususnya pada bulan Ramadan.
23 Apr 24
258