Artikel "Utama" Terkini
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Idea-idea yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Persekutuan hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk serta dianggap mempersendakan gaya hidup rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, rakyat turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan kerana dianggap tidak peka terhadap keperluan serta aspirasi rakyat.
"Kerajaan PH BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP.
"Di peringkat Kerajaan Negeri, telah lama wujudnya JPKK lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik serta objektif tersebut tercapai," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Hanafiah turut menyoal, mengapa perlu ada dua entiti untuk satu tujuan dan matlamat yang sama.
"Ini merupakan satu elemen dan anasir luar serta persepsi bagi memecah belahkan keharmonian hidup rakyat.
"Sebagaimana kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat peningkatan kos sara diri yang kian meningkat," tambah Hanafiah lagi.
24 Apr 24
5616
Munajat Rakyat Kembalikan Royalti Akan Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri akan meneruskan kembali program 'Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti' setelah ia ditangguhkan pada Ramadan yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, munajat itu merupakan usaha daripada pihak kerajaan yang tidak pernah berputus asa melakukan pelbagai cara bagi memastikan hak rakyat itu dikembalikan semula.
Tegasnya, semua pihak perlu menyedari bahawa doa orang zalim tiada hijab (penghalang) antaranya dengan Allah SWT.
"Insya-Allah, bila tiba masanya kita akan buat. Status kita pada ketika ini seumpama kereta yang duduk (berhenti) di lampu isyarat merah sebab tidak diberi laluan untuk berjalan.
"Tetapi enjin tidak mati, insya-Allah bila tiba masa kita akan buat solat hajat bersama-sama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkenaan program solat hajat secara berjemaah itu setelah ia ditangguhkan sebelum ini pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini.
Sementara menunggu tarikh baru pelaksanaan munajat perdana itu, Khalil berkata setiap rakyat Terengganu pada ketika ini bolehlah melazimi solat hajat secara bersendirian di atas kesedaran dalam diri masing-masing bahawa itu merupakan hak rakyat yang telah dinafikan secara zalim.
"Menafikan hak petroleum Terengganu merupakan perkara yang paling zalim dan melanggar demokrasi, pelanggaran ini sangat serius jika tidak dibendung dan diperbetulkan kelak akan menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai demokrasi dalam negara.
"Dalam konteks ini ialah konsep federalisme dalam hubungan (Kerajaan Perseketuan) dengan negeri, zalim bukan sahaja disandarkan (dikaitkan) dengan pemerintahan 'dictatorship' bahkan pemerintahan demokrasi juga dikira zalim sekiraya meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.
"Mereka beralasan mahu beri (royalti minyak) secara 'direct' kepada rakyat, jika begitu kenapa perlu diadakan pilihanraya? bukankah rakyat Terengganu telah memberi menberi mandat kepada (PAS) Perikatan Nasional untuk mentadbir negeri Terengganu, jelas ini satu pengkhianatan ke atas mandat rakyat," ujarnya.
24 Apr 24
119
Wujudkan Tukun Tiruan Garis Sempadan
KUALA TERENGGANU, 24 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menyarankan kerajaan agar menekuni titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar program pembangunan tukun bergerak ke fasa mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.
"Saya juga suka untuk menasihatkan kerajaan agar menekuni hasrat Tuanku Sultan yang menitahkan projek program pembangunan tukun ini bergerak ke fasa seterusnya iaitu ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," katanya ketika membahas Titah Ucapan Ke bawah Duli Sultan Mizan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Katanya dalam industri perikanan Terengganu, kejayaan dapat dilihat dari pendaratan ikan marin yang begitu ketara, hasil dari rintisan projek pembinaan tukun tiruan di perairan negeri..
Di samping itu menurutnya, dengan penobatan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, kesan langsung dari inisiatif ini dapat dirasai oleh rakyat tempatan di daerah tersebut.
Beliau juga menyentuh penyeludupan ternakan luar ke negeri Terengganu melalui Setiu yang telah merosakkan harga pasaran ternakan tempatan sekali gus menyebabkan jangkitan penyakit kepada ternakan berkenaan.
Katanya, memandangkan daerah Setiu agak dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand, ia memberi peluang kepada penyeludup ternakan luar ke negeri Terengganu.
"Perkara ini bukan sahaja telah merosakkan harga pasaran ternakan, bahkan lebih teruk daripada itu telah memudaratkan ternakan tempatan yang menerima tempias jangkitan penyakit yang dibawa oleh ternakan seludup.
"Oleh itu Langkap amat berharap kerajan negeri mengambil perhatian serius mengenai perkara ini,"ujarnya..
24 Apr 24
151
Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Persekutuan digesa agar menunjukkan kematangan yang lebih tinggi dalam mentadbir negara, dengan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi pertikaian politik tidak berfaedah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, tindakan seperti membakar kelambu kerana nyamuk hanya akan membuang masa dan sumber yang boleh digunakan untuk perkara lebih penting.
"Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang dalam sektor mentadbir negara di mana fahaman politik perlulah diketepikan.
"Rakyat telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat dan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 yang lepas juga iaitu di Kemaman, rakyat Terengganu telah menghantar isyarat jelas.
"Di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan PAS di Terengganu khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya bagi mentadbir negeri ini dengan Keputusan 40-0," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Negeri berusaha segala upaya untuk memastikan royalti minyak, iaitu hak rakyat, dikembalikan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu.
"Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.
"Namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan pembangunan negeri, permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu," katanya.
Justeru itu, beliau menyeru agar hubungan dengan kerajaan pusat perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
24 Apr 24
179
Lebih 24,000 Mohon Bantuan Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 24 April - Tabung Darul Iman menerima lebih 24,000 permohonan dalam tempoh empat tahun bermula 2020 hingga 2023 bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan bantuan perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pada tahun 2020 jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM6,897,275.67 dengan bilangan keseluruhan pemohon seramai 6,439 orang.
"Daerah Besut menerima RM1,108,415.56, Dungun (RM765,349.70), Hulu Terengganu (RM765,699.97), Kemaman (RM831,703.91), Kuala Nerus (RM844,134.49), Kuala Terengganu (RM865,869.97), Marang (RM875,972.90) dan Setiu (RM840,129.17)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam yang ingin tahu berapa banyakkah yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk memberi bantuan melalui Tabung Darul Iman mengikut daerah-daerah dalam Negeri Terengganu bermula tahun 2020 hingga 2023 pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Maliaman berkata, pada tahun 2021 permohonan di daerah Besut menerima RM960,070.42, Dungun (RM528,706.75), Hulu Terengganu (RM608,706.58), Kemaman (RM708,924.41), Kuala Nerus (RM689,795.20), Kuala Terengganu (RM746,743.05), Marang (RM794,919.12) dan daerah Setiu RM733,373.90.
"Jumlah keseluruhan sebanyak RM5,771,239.43 dengan bilangan keseluruhan pemohon pada tahun 2021 adalah seramai 5,237 orang, " ujarnya.
Sementara itu, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan pada tahun 2022 berjumlah RM5,610,477.02 dengan bilangan keseluruhan pemohon adalah seramai 5,979 orang.
"Besut menerima RM968,045.88, Dungun (RM556,422.50), Hulu Terengganu (RM586,049.15), Kemaman (RM639,353.00), Kuala Nerus (RM590,363.80), Kuala Terengganu (RM768,037.77), Marang (RM786,250.80) dan Setiu sebanyak RM715,954.12," jelas beliau.
Sementara itu katanya, untuk tahun lepas jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM7,240,713.90 dengan bilangan keseluruhan pemohon pada tahun 2023 adalah seramai 6,917 orang.
"Permohonan di daerah Besut menerima RM1,136,913.97, Dungun (RM716,053.13) Hulu Terengganu (RM763,688.00), Kemaman (RM959,354.00), Kuala Nerus (RM746,793.80), Kuala Terengganu (RM1,115,870.60), Marang (RM912,256.50) dan Setiu sebanyak RM889,783.90," ujarnya.
24 Apr 24
1009
Kerajaan Negeri Salur Hampir RM1 Juta Baik Pulih Sekayu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri menggunakan dana sebanyak RM926,670 pada tahun 2022 bagi membaik pulih Taman Pertanian Negeri (TPN) Sekayu yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan semula kegemilangan taman terbabit yang pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong di Hulu Terengganu.
Katanya, ketika ini Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan berkaitan sedang merangka pelan bagi membangunkan semula TPN Sekayu sebagai pusat agrotourism.
"Salah satu punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu kerana banyak fasiliti rosak teruk akibat banjir besar pada Disember 2021 dan Februari 2022 sehinggakan sebahagian Taman Pertanian negeri itu terpaksa ditutup.
"Justeru itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan RM926,670 ribu pada tahun 2022 bagi tujuan baik pulih kolam taman tema dan fasiliti yang rosak akibat banjir yang dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2024," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zawawi Ismil (BERSATU-Telemong) yang ingin tahu apakah punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu dan langkah Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan Sekayu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dr Azman juga berkata, pajakan disambung kepada syarikat swasta sedia ada beroperasi di TPN Sekayu bagi mengendalikan program-program 'outdoor' dan perkhemahan oleh pihak sekolah, agensi dan jabatan serta kelab dan persatuan luar.
Jelasnya, kerajaan negeri akan meneliti kembali pelan agrotourism yang dapat diketengahkan oleh TPN Sekayu untuk menarik minat syarikat swasta atau pelabur dengan kelebihannya.
Tambah beliau, pandemik Covid-19 juga menyebabkan pengurangan drastik pengunjung ke taman negeri itu dan terdapat fasiliti utama rosak akibat serangan haiwan liar.
24 Apr 24
188
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Jaga Kepentingan OKU
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri Terengganu telah membentuk Pasukan Khas yang akan bertindak sebagai wakil bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha memperjuangkan hak dan keperluan golongan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyatakan bahawa gabungan daripada lapan anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) OKU dan juga Jabatan-Jabatan Persekutuan dan Negeri telah dipilih untuk membentuk pasukan khas bertindak bagi menjaga kepentingan OKU.
“Pada 6 Mac 2024, kita telah melancarkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT).
“Usaha tersebut bertujuan untuk menjadi platform penting bagi menyatukan usaha dan sumber daya dari lapan anggota tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambah Maliaman, untuk sama-sama membantu OKU, pihaknya juga telah menubuhkan Skuad Upaya sebagai satu entiti baru yang bertujuan untuk mengangkat golongan OKU dari kedudukan sebagai golongan penerima kepada golongan pemberi.
“Skuad ini akan menjadi golongan 'frontliner' yang diberi kebenaran oleh gerakan kebajikan untuk turun ke lokasi bagi menyampaikan bantuan kepada golongan sasar dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.
Beliau berharap kerjasama yang harmoni dalam pemerkasaan MTOT daripada semua Jabatan Kerajaan yang terlibat.
“Hal ini kerana hanya dengan usaha bersama dan sinergi di antara semua pihak, kita dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyokong keperluan OKU dengan lebih baik di Negeri Terengganu,” ujarnya.
24 Apr 24
153
Pelan Tindakan Kebersihan PBT 'Selamatkan' Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Pelan tindakan perkhidmatan pembersihan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat berjaya memastikan persekitaran bersih dan terpelihara ketika sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya ialah dengan penubuhan pasukan ‘taskforce’ operasi yang terdiri daripada 107 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai unit dan jabatan dalaman.
"Tahniah atas usaha PBT meskipun berdepan peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan sehingga tiga kali ganda dengan purata sekitar 300 tan-400 tan sehari berbanding hari biasa.
"Selain itu, usaha juga dilakukan dengan penyusunan semula jadual kutipan sisa pepejal untuk semua zon bermula 1 April sehingga 14 April serta memperkasa proses pembaikian jentera iaitu lori Kompaktor supaya kerja-kerja pembaikian dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM 20,000 kepada Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menampung kos sewaan tong RORO yang ditempatkan di lima belas (15) lokasi titik panas sempena Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Wan Sukairi turut memaklumkan bahawa peruntukan membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada tahun 2024 dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.
"Ia disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan (Sales and Service Tax) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus yang telah berkuatkuasa mulai 1 Mac," katanya.
24 Apr 24
98
196 Tangkapan Bot Asing Sejak 2018
KUALA TERENGGANU, 24 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu merekodkan 196 kes tangkapan bot nelayan asing yang cuba menceroboh perairan negeri ini sejak 2018 hingga 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 181 buah bot ditahan APMM, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) 12 dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (tiga).
Katanya, negara asal majoriti nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu terdiri dari warga Vietnam dan Thailand.
Belau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini.
ADUN Bandar dalam soalannya ingin tahu data tangkapan nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu bermula tahun 2019 hingga 2023 dan negara asal mereka.
Jelas Dr Azman, daripada 181 tangkapan, oleh APMM, sebanyak 64 bot berjaya ditangkap pada tahun 2018, 2021 (35), 2019 (34), 2022 (24), 2023 (13), 2020 (enam) dan 2024 (lima).
Sementara itu katanya, daripada 12 tangkapan DOF, enam tangkapan dibuat pada tahun 2021, masing-masing dua tangkapan pada tahun 2019 dan 2022, satu tangkapan masing-masing pada tahun 2018 dan 2020.
PDRM pula berjaya menangkap tiga bot pada tahun 2019.
24 Apr 24
81
Lapan Strategi Bantu Penanam Sayur
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan negeri melaksanakan lapan langkah dalam usaha menjaga hasil penanaman sayur di negeri ini sekali gus menangani masalah orang tengah meraih keuntungan hingga menyebabkan pekebun menanggung rugi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara strateginya adalah melaksanakan program Ladang Kontrak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan menetapkan inisiatif harga lantai kepada petani yang berdaftar sebagai peserta Ladang Kontrak.
Katanya, golongan terbabit juga diberi jaminan harga di peringkat ladang iaitu 10 hingga 20 peratus lebih tinggi daripada kos pengeluaran bagi komoditi sayur dan buah.
"Selain itu, Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) di mana petani atau penanam boleh terus menjual kepada Rakan Pemasar, RPKP akan menjual terus kepada pengguna dengan tidak melalui orang tengah yang diselia oleh FAMA.
"Juga Program Jualan Terus Dari Ladang bagi memastikan penanam petani mendapat harga jualan yang baik dengan menjual terus kepada pengguna di outlet-outlet FAMA yang terpilih, " ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Mohd Yusop bertanyakan mengenai apakah langkah-langkah yang telah dan akan dibuat oleh kerajaan negeri dalam menjaga hasil penanaman-penanaman sayur supaya harga hasil tanaman dapat dikawal sehingga tidak berlaku orang tengah yang meraih keuntungan sedangkan penanam yang menanggung rugi.
Katanya, kerajaan negeri membantu penanam yang mempunyai masalah logistik dan memasarkan hasil-hasil petani seperti sayur-sayuran, buah-buahan tanaman pelbagai melalui 40 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara disokong dengan kemudahan 215 kenderaaan perdagangan, kemudahan bilik sejuk dan 1,592 outlet pemasaran yang telah dibangunkan oleh FAMA.
Tambah beliau, langkah seterusnya adalah melalui pembangunan ruang pemasaran menerusi Peladang Outlet di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang yang bertanggungjawab dalam bidang pemasaran hasil keluaran pertanian.
"Operasi urusniaga adalah diperlukan bagi menyelesaikan apa-apa masalah pemasaran yang dihadapi oleh petani, penternak dan usahawan kecil industri asas tani," katanya.
24 Apr 24
139