Artikel "Utama" Terkini
PITIH Akan Jadikan Terengganu Hab Pelaburan Hijau
KUALA TERENGGANU, 25 April- Kerajaan negeri merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelan tersebut dirangka bagi mencapai kelestarian alam sekitar Terengganu melalui kecekapan tenaga dan pengurusan air.
"Selain itu, PITIH juga dapat menjana pendapatan berskala industri kepada rakyat dan negeri menggunakan sumber hijau dan akan eksplorasi sumber hijau baharu Negeri Terengganu.
"Industri tenaga Terengganu juga akan memfokuskan kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkormesialan tenaga boleh baharu (TBB), pengurusan & pengkormesialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Katanya, Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 akan dilancarkan bersama Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu pada Mei 2024 akan datang.
"Terdapat enam fokus utama dalam PITIH iaitu tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan, sisa buangan dan air, " ujarnya.
25 Apr 24
1503
Isu Tanah Felda : Terengganu Tuntut Hak Rakyat
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri tiada pilihan selain menuntut hak negeri dan rakyat Terengganu yang sepatutnya daripada Felda.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan hasrat itu disuarakan dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Felda antara Kerajaan Negeri dan wakil Felda pada Mac lalu.
"Isu utama ialah seluas 13,686 hektar tanah milik Kerajaan Negeri yang dibangunkan ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985.
"Tanah ini Felda telah diserahkan kepada Felda Global Venture (FGV) pada 2012 dan diistiharkan di Bursa Saham Kuala Lumpur sebagai aset FGV.
"Selama lebih kurang 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri tanpa dokumen hak milik sah dan Kerajaan Negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya," katanya sambil menyatakan, ruang perbincangan yang dibuka oleh kerajaan negeri sebelum ini tak bersambut sebaiknya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, Felda telah menuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun tetapi tuntutan negeri tetap dipandang ringan.
"Mesyuarat baru-baru ini hanya ada dua pilihan yang boleh ditawarkan iaitu berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan.
"Jalan kedua ialah proses undang-undang. Jalan kedua tentu panjang dan berliku tapi kita perlu lalui demi hak negeri ini," katanya.
25 Apr 24
334
Dua Anak Syarikat Majukan Industri Ternakan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 April - Sebanyak dua anak syarikat kerajaan negeri (GLC) melibatkan diri dalam memajukan industri penternakan Negeri Terengganu iaitu Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT) dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, LRT memulakan industri ternakan lembu pedaging pada tahun 2007 dengan jumlah populasi sebanyak 300 ekor dan jumlah populasi terkini adalah sebanyak 3,534 ekor.
Katanya projek khas pembasmian kemiskinan Negeri Terengganu (PPRT) Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bermula tahun 2009 dengan populasi sebanyak 161 ekor dan jumlah semasa sebanyak 417 ekor.
"Projek ini menyumbang 50 peratus keuntungan kepada rakyat miskin negeri Terengganu melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan jumlah yang disalurkan sehingga kini ialah RM184,539.38," ujarnya.
Dr Azman berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di sini.
Dr Riduan dalam soalannya ingintahu setakat mana penglibatan GLC negeri dalam memajukan sektor penternakan Negeri Terengganu.
Dr Azman yang juga ADUN Jabi seterusnya berkata LRT juga program Skim Transformasi Usahawan Sektor Ternakan (TRUST) bermula tahun 2011 dengan jumlah populasi ternakan sebanyak 100 ekor dan populasi semasa adalah 362 ekor.
"Serahan sebanyak 100 ekor kepada penternakan-penternakan," katanya.
25 Apr 24
1300
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terima 270 Pelatih
KUALA TERENGGANU, 25 April - Pusat pemulihan dadah secara holistik di Perkampungan Darul Barakah (PDB), Marang telah menerima kemasukan pelatih seramai 270 pelatih mengikut fasa pengambilan bermula Jun 2021 sehingga sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 48 orang pelatih telah berjaya mengikuti sehingga ke akhir program pemulihan yang telah dilaksanakan.
"Kesemuanya meneruskan program 'aftercare', iaitu telah bekerja dengan masyarakat sekeliling untuk pembentukan ekonomi saradiri dan keluarga.
"Antara pekerjaan yang diteruskan oleh pelatih yang berjaya ialah berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka, dalam bidang pertukangan rumah, perladangan ,pertanian dan pengimpalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ghazali Sulaiman(PAS-Bukit Besi) yang ingin tahu berkenaan pusat pemulihan dadah secara holistik di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan berapakah bilangan peserta yang telah berjaya dipulihkan di Perkampungan Darul Barakah dan adakah terdapat cadangan penambahan tempat baharu bagi membina perkampungan’ oleh Kerajaan Negeri seperti Perkampungan Darul Barakah
dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menjawab tentang penambahan pusat baharu, Dr Muhammad Khalil berkata sehingga kini belum ada cadangan tempat baharu bagi perkampungan oleh Kerajaan Negeri.
"Untuk makluman, tanah PDB masih dalam proses penukaran pemilikan dan dalam proses pembayaran daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada Syankat Sri Miah," ujarnya.
25 Apr 24
280
Kerajaan Laksana Enam Langkah Tingkat Peluang Kerja Buat Belia
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Negeri melaksanakan enam langkah sebagai usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada generasi muda terutamanya di daerah Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu antaranya mengemaskan penyebaran maklumat atau akses kepada peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka.
"Memberi fokus kepada usaha penempatan pekerjaan dalam peluang pekerjaan yang ditawarkan.
"Melaksanakan program pemadanan pekerjaan di peringkat Daerah melalui program Karnival Kerjaya, siri Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat di daerah.
"Pembaikan program yang dijalankan secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan mencapai golongan sasaran, seperti dalam bidang TVET dan bagi golongan muda," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam.
Oleh itu, katanya, bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja, kerajaan negeri sedang merancang untuk meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal.
"Menggalakkan pekerja dalam Sektor Tidak Formal (Gig) supaya menyertai pekerjaan sepenuh masa.
"Meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal seperti Program Persijilan.
"Rakyat melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT)," ujarnya.
Beliau menambah, sebanyak enam program pemadanan pekerjaan telah dilaksanakan di daerah Besut dalam tempoh tahun 2023 sehingga Mac 2024.
25 Apr 24
333
LPT3 : Terengganu Tunggu Repons Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 25 April - "Setakat ini, Jabatan Kerja Raya mengambil maklum berkenaan perancangan untuk pembinaan LPT3 dan menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya, " ujar Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Beliau memaklumkan demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Riduan Mohamad Nor yang ingin tahu apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lanjutan pembinaan LPT3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan kerja awalan bagi lebuh raya pantai timur (LPT3) dengan kos RM35 juta.
"Skop kerja awalan yang terlibat adalah light detection and ranging (lidar survey), ground survey, soil investigation, environmental impact assessment (EIA) study, social impact assessment dan traffic study.
"Kerja awalan ini telah siap pada Disember 2021," ujarnya.
Katanya, pembentangan penuh laporan kerja awalan termasuk penentuan jajaran jalan yang muktamad dan anggaran kos projek kepada agensi pusat telah dibentangkan pada pertengahan 2022 untuk mendapatkan hala tuju dan seterusnya kelulusan pelaksanaan projek.
Hanafiah berkata, pembinaan LPT3 melibatkan anggaran jarak laluan sejauh 122 kilometer (km) bermula di Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dan tamat di Tunjong, Kota Baharu.
25 Apr 24
4939
Pembersihan Sampah di Aidilfitri Terima Respon Positif
KUALA TERENGGANU, 25 April - Pujian-pujian yang meluas di platform sosial, khususnya di Facebook, baru-baru ini menunjukkan kejayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjaga kebersihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, para perantau yang pulang berhari raya memberikan penilaian positif terhadap tahap kebersihan tempat tersebut, menyebabkan pengakuan terhadap kecemerlangan Exco dan seluruh PBT.
"Saya ingin menyentuh tentang Titah Tuanku berhubung dengan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal.
"Kita berharap peruntukan seperti ini akan terus dimanfaatkan oleh semua PBT memastikan kualiti kebersihan di tahap yang optimum sekaligus menarik kedatangan pelancong," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam.
Oleh itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjaga kebersihan negeri ini.
"Tanggungjawab menjaga kebersihan ini bukan sahaja terpikul ataupun terbeban di bahu pihak berkuasa PBT atau pemerintah sahaja.
"Bahkan rakyat dan kita semua bertanggungjawab sebagai ejen kebersihan," tambah beliau.
25 Apr 24
125
Hadiah Cabutan Bertuah Menanti Pembayar Zakat Bulanan
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar zakat secara bulanan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata insentif yang menarik itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan rakyat melakukan pembayaran zakat.
"Selain itu, pemberian wakalah juga akan diberikan kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenalpasti (layak menerima bantuan).
"Antara kemudahan lain yang disediakan oleh MAIDAM ialah mewujudkan Skim Khairat Kematian (Skim Al Hanan) kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam.
Dalam pada itu, Khalil berkata bagi zakat galian, MAIDAM menerima bayaran melibatkan pembayar inidividu dalam skala kecil sahaja.
"Berkait isu zakat petroleum, zakat galian ke atas minyak tidak dikenakan zakat kerana ia merupakan hasil kerajaan," ujarnya.
Tegasnya, selama ini pihak MAIDAM sentiasa memperhebatkan usaha dakwah dalam mengalakkan orang Islam membayar zakat dengan mempergiatkan aktiviti dakwah secara bersemuka dan melalui platform media sosial.
"Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan ke premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga dan usahawan selain memberi peringatan melalui teks khutbah," ujarnya.
25 Apr 24
215
Terengganu Mahu Buka Industri Hidrogen Hijau Bernilai RM1.75 Bilion
KUALA TERENGGANU, 25 April - Terengganu berhasrat untuk mula membuka Industri Hidrogen Hijau pada tahun ini dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bernilai RM1.75 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata, melalui projek tersebut ia akan menjana nilai ekonomi RM2.8 bilion untuk tempoh 10 tahun.
Katanya, industri itu juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk tempatan dan impak rantaian bekalan.
"Terengganu akan menjadi pendahulu dalam teknologi tenaga bersih selaras dengan 'Perjanjian Paris' mengenai perubahan iklim.
"Inisiatif ke hadapan, perjumpaan dan mesyuarat bersama tiga syarikat gergasi Korea untuk kerjasama pengeluaran hidrogen hijau di Terengganu dan pengeksportannya ke Korea Selatan, Perjanjian Persefahaman (MOU) akan ditandatangani dalam masa terdekat.
"Jangkaan projek mula adalah seawal suku keempat 2024 (dengan) kapasiti penuh hidrogen hijau (minima 10,000 tan setahun) menerusi kaedah mini hidro. Kapasiti akan ditingkatkan melalui fasa-fasa terkemudian melalui kaedah solar dan lain-lain tenaga hijau yang berpotensi," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lebih lanjut Khuzaini berkata hidrogen hijau pada waktu ini digunakan di Korea Selatan untuk menjana elektrik dan tenaga untuk bandar pintar dengan reka bentuk dan jaringan paip gas hidrogen serta sistem elektrolizer yang modular.
"Aspirasi Kerajaan Negeri dalam menangani isu global dan merealisasikan teknologi hijau ini akan dapat dijelmakan dalam waktu terdekat," ujarnya.
Sebelum ini katanya, Kerajaan Negeri diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah ke Korea Selatan pada Mac lalu untuk meneroka potensi kerjasama dengan syarikat gergasi di Korea Selatan dalam Industri Hidrogen Hijau.
"Menteri Besar (pada waktu itu) telah menandatangani MOU bersama dengan beberapa pemain industri utama hidrogen hijau di Korea Selatan yang menjadi pereka dan pengeluar sistem elektrolizer hidrogen dengan prestasi kecekapan penukaran air ke gas hidrogen antara yang terbaik di dunia.
"Iaitu menghampiri 90 peratus kecekapan. MOU tersebut adalah untuk membentuk pakatan strategik dan kerjasama bagi projek hidrogen hijau yang berpotensi di Terengganu.
"Kerjasama ini turut menggariskan keutamaan bagi membuka peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi buat anak-anak Terengganu," ujarnya.
25 Apr 24
508
Bekalan Air Bersih di Marang Terjamin
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan bekalan air bersih yang mencukupi bagi penduduk di Marang dan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dengan tegas menyatakan bahawa pembangunan bekalan air bersih yang telah siap sepenuhnya di kawasan tersebut adalah bukti jelas komitmen Kerajaan Terengganu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
“Setiap rakyat Terengganu hendaklah diberi peluang, dilayan dengan adil dan dihormati atas nilai-nilai dan kepercayaan mereka.
“Dengan adanya akses yang lebih baik air bersih, penduduk Marang dan sekitarnya dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti serta meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Tambah Sulaiman, kejayaan ini tidak tercapai tanpa kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk kakitangan kerajaan, agensi yang berkaitan dan masyarakat setempat.
“Semangat yang inginkan kejayaan dihayati oleh semua pihak adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ini.
“Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana telah memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat,” ujarnya.
Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan bersama untuk kebaikan bersama sekali gus menjadi contoh teladan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
24 Apr 24
149