lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan Terbakar
Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan Terbakar
KUALA NERUS, 28 April - Sebanyak kira-kira 75 peratus kawasan Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan di sini yang seluas lapan hektar sedang terbakar dipercayai disebabkan impak cuaca panas sejak kelmarin. Setakat ini, kebakaran tersebut telah merebak sehingga ke enam hektar tapak pusat pelupusan sampah utama di daerah ini dan Kuala Terengganu tersebut. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar seperti dipetik Kosmo! berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba sedang bekerja keras memadamkan kebakaran tersebut setiap hari sejak Jumaat lalu. “Usaha untuk memadamkan kebakaran berdepan cabaran ekoran sumber air yang agak jauh, cuaca kering dan timbunan sampah banyak. “Kita telah membawa lori tangki yang membawa kapasiti 20,000 liter air dalam usaha mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak,” katanya di sini hari ini.  Hassan ‘As’ari berkata, api kebakaran hanya dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh paling awal pada lusa. Tambah beliau, siasatan awal mendapati kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan berpunca daripada faktor semula jadi ekoran sisa sampah berkenaan terdedah dengan haba tinggi ekoran cuaca panas. “Api kebakaran yang tercetus tambah merebak dengan timbunan sampah yang merupakan bahan mudah bakar. “Kami turut sedang memantau impak asap tebal disebabkan kebakaran itu terhadap pengguna jalan raya dan penduduk setempat,” katanya.
28 Apr 24
397
Anwar, Dr Sam Bakal Adakan Pertemuan Empat Mata
Anwar, Dr Sam Bakal Adakan Pertemuan Empat Mata
KUALA TERENGGANU, 28 April – Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bakal mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Majlis Sambutan Aidilfitri Madani, 9 Mei depan. Ahmad Samsuri berkata pihaknya menyambut baik kedatangan Kerajaan Persekutuan sempena sambutan itu. Katanya, program tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri. “Saya difahamkan akan diadakan sesi khusus kerajaan negeri bersama Perdana Menteri dan juga sesi khusus pertemuan empat mata antara Menteri Besar Terengganu dan Perdana Menteri,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Selepas Penyerahan Memorandum Berkaitan Isu Royalti Terengganu bertempat di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini. Untuk rekod, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 minggu lalu, Ahli Dewan sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012. Ahmad Samsuri berkata penolakan terhadap penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 kerana ia diperalat pihak tertentu untuk menafikan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu. "Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja. "Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. "Tindakan kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya," katanya.
28 Apr 24
433
RM2.4 Bilion Pelaburan Berpotensi Dibawa Masuk Setakat April
RM2.4 Bilion Pelaburan Berpotensi Dibawa Masuk Setakat April
KUALA TERENGGANU, 28 April- Sebanyak RM2.4 bilion nilai pelaburan yang berpotensi, sedang dibawa masuk ke negeri Terengganu setakat April ini. Demikian penjelasan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini. Menurutnya, pembangunan di negeri Terengganu kini berada pada landasan yang tepat dan seimbang, dengan tumpuan diberikan terhadap usaha mengembangkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat. "Kerajaan Tuanku sedang berusaha keras, bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan. "Pada tahun 2023 sahaja, negeri Terengganu telah berjaya mencatatkan, jumlah pelaburan yang diluluskan (total approved investment) sebanyak RM3.75 bilion.  "Bagi tahun 2024, Kerajaan Tuanku berusaha memastikan jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini akan terus meningkat, seiring dengan hasrat bagi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu," katanya ketika berucap dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah,pagi ini. Dr. Samsuri menambah, kerajaan negeri turut menyasarkan seramai 4.5 juta kehadiran pelancong ke negeri Terengganu bagi tahun 2024 berbanding 3.6 juta pelancong yang direkodkan pada tahun lalu. "Sebanyak 12 acara utama dan 62 acara sampingan telah dirancang melalui Kalendar Acara Tahunan 2024 (Calendar of Events 2024), bagi meningkatkan limpahan manfaat, daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026dalam mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama dalam negara. "Selain itu, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 menunjukkan, terdapat beberapa program pertanian, perikanan dan penternakan yang berpotensi dikembangkan pelaksanaannya, bagi perancangan strategik lima tahun mendatang,"ujarnya. Beliau memaklumkan laporan pencapaian Pelan Strategik Pertanian yang melabuhkan tirainya tahun lalu, sedang disiapkan.          
28 Apr 24
245
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
KUALA TERENGGANU, 28 April - Ketiadaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengakibatkan kurangnya minat pelajar dalam memahami dan menyerap ilmu dalam subjek-subjek akademik.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan UPSR mulai tahun 2021 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar dan ibu bapa. "Kita pernah bangkitkan dalam mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negeri. "Bila berlaku tidak ada peperiksaan pelajar tidak mengambil cakna dalam memberi kekuasan dalam mata pelajaran yang sedia ada. Kita nak melihat sejauh mana pelajar menguasai mata pelajaran yang kita tawarkan," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurutnya, tahun 2024 merupakan tahun pertama diadakan UPSRi di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI). "Tahun ini tahun pertama kita bermula UPSRi untuk melihat prestasi pelajar. "Kita buat saringan untuk sambung pengajian peringkat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI). "Tapi setakat ini kita lihat menjadi kesukaran (apabila UPSR dimansuhkan) dalam pemilihan pelajar untuk masuk IMTIAZ ataupun sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dan mereka telah melihat keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)," ujarnya. Beliau menambah, di Terengganu setakat ini, pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan seperti SPM, STAM, dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan keseluruhannya, di mana pencapaian negeri setiap tahun mengatasi di peringkat kebangsaan. "Berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan.  "Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100 peratus lulus semuanya  "Apapun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai  peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula 2018 sehingga 2023," katanya. Untuk rekod jelas beliau, pada tahun 2018 gred purata bagi negeri adalah 4.90, 4.69 (2019), 4.55 (2020), 4.72 (2021) dan 4.59 (2022). "Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik dan kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik berbanding tahun 2022. "Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian ndk semakin baik. Pada 2018, 2.99, 2019, 3.02, 2020, 3.03, 2021, 3.03 dan 2022, 3.04," katanya. "Kita melihat Terengganu muncul satu-satu negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019," katanya.  
28 Apr 24
379
Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam
Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Terengganu menyifatkan kaedah baharu pembayaran royalti petroleum yang ada ketika ini sebagai pelik, menyusahkan negeri dan membebankan penjawat awam di Putrajaya.  Mengambil satu contoh, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di Negeri walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara Kerajaan Negeri dan Kontraktor. "Tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri. "Kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan Negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan Negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan. "Ini dibuktikan dengan dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian, mereka mengesahkan Terengganu sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi ‘Malaysia Open Budget Index’ (MyOBI)," tegas beliau. Ahmad Samsuri berkata demikian dalam ucapan penggulungan Titah Ucapan Perasmian Ke Bawah Duli Sultan Mizan Zainal Abidin di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 15 di sini hari ini. Menurut beliau, di sebalik bayaran secara pelik itu Kerajaan Persekutuan masih berhutang royalti petroleum dengan Terengganu sekurang-kurangnya RM700 juta untuk hasil 2023. "Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal Kerajaan Negeri sebanyak RM1.52 bilion sebagai terimaan Kerajaan Negeri bagi tahun lalu. "Daripada jumlah bayaran tersebut sebanyak RM651 juta adalah untuk emolumen, manakala RM109 juta adalah untuk 'deffered dan scheduled payment' (DSP), manakala RM42.1 juta pula adalah bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan," jelasnya. Katanya lagi, untuk tahun 2024 Kerajaan Negeri menerima bayaran sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran terimaan sebanyak RM762 juta sebagai pemberian pertama tahun ini. "Ini bererti bayaran tersebut masih kekurangan sebanyak RM461 juta, sehingga pemberian yang kedua pada bulan September nanti," jelasnya lagi. Tambah Naib Presiden PAS itu, keadaan tersebut menimbulkan gangguan kewangan kepada Kerajaan Negeri secara mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan telah dibuat.  
25 Apr 24
10704
NGO Serah Memo Desak MB Tuntut Kembalikan Royalti
NGO Serah Memo Desak MB Tuntut Kembalikan Royalti
KUALA TERENGGANU, 25 April - Sekretariat menuntut royalti Terengganu bersama dengan wakil ratusan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu hari ini sebagai gesaan supaya Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menuntut bayaran royalti (wang ihsan) daripada Kerajaan Persekutuan.  Menurut Ahmad Samsuri, memorandum tersebut adalah manifestasi daripada rasa tidak puas hati terhadap penindasan dan penafian hak yang dilakukan terhadap rakyat negeri ini.  "Pelbagai perkara telah dinyatakan disini tetapi saya belum teliti lagi. "Insya-Allah kita akan melaksanakan langkah-langkah seterusnya untuk memastikan royalti Negeri Terengganu dapat kembali ke pangkuan negeri ini. Kita cuba dulu, InsyaAllah, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum yang diserahkan NGO Terengganu selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini. Ketika disoal sampai bila kerajaan Terengganu hendak berdiplomasi dengan Kerajaan Persekutuan, Ahmad Samsuri berkata, setiap langkah mesti memerlukan strategi. "Macam kita hendak naik atas rumah, kita tidak terus melompat atas rumah, ada tangga dia. Naik atas rumah pun buka tingkap dulu, pergi ke dapur tengok suasana dalam rumah, jadi panjang lagi perjalanan. "Pun begitu saya rasa macam yang saya sebutkan sebelum-sebelum ini pun bahawa perkara seperti ini bukan sahaja tidak menyenangkan kerajaan negeri bahkan mendatangkan kesukaran kepada kerajaan pusat kerana terpaksa meneliti dan melayan desakan-desakan.  "Jadi kenapa tidak dikembalikan kepada keadaan yang asal sebelum ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan lebih harmoni, tidak ada gangguan-gangguan yang dianggap oleh kerajaan pusat seperti ini. Dan kerajaan negeri pula dapat mengurus tabdir negeri dengan selesa, itu objektif utama, " jelas beliau.  Katanya, beliau optimis dan akan cuba dengan pelbagai cara termasuk seperti yang disebutkan dalam ucapan penggulungan bahawa kedatangan Perdana Menteri ke Negeri Terengganu untuk raya madani ini akan dimanfaatkan dengan sepenuhnya. "Saya sentiasa sebut dari dulu sampai sekarang tidak menjadi objektif kita untuk berseteru atau mencari pasal dengan mana-mana pihak. "Kita cuma hendak urus tadbir negeri dengan tenang dan baik dan memberi manfaat untuk rakyat. Sebarang masalah yang timbul kita akan tangani dengan pelbagai saluran yang ada, " ujarnya.
25 Apr 24
722
Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum
Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Persekutuan dilihat telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi antara sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan usul menolak akta tersebut. Jelasnya, akta berkenaan juga tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.  "Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.  "Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.  Menurut beliau, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.  "Ini menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu. "Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan Akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain," ujar beliau.  Justeru tegas Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012. Untuk rekod, negeri pengeluar minyak iaitu Sabah dan Kelantan turut menolak akta ini.
25 Apr 24
2346
Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut
Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut
KUALA TERENGGANU, 25 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang telah diluluskan pada tahun 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang menafikan bayaran tunai petroleum Terengganu. Usul penolakan terhadap akta dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika tersebut dikemukakan oleh Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS - Kota Putera) mendapat sokongan semua ahli dewan setelah dibahas oleh empat ahli dewan. "Saya buka usul untuk disokong dan dipersetujukan. Maka dengan ini usul tersebut diluluskan,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah. Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili  yang  membahaskan usul berkenaan berkata,  Akta 750 tidak boleh berkuatkuasa di mana-mana negeri di Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih pemilikan pelantar benua dan wilayah perairan setiap negeri tanpa persetujuan mereka. “Ini kerana, ketika pembentangan Akta 750, Malaysia bukan lagi terikat di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu No.7 1969 dan tidak berada dalam keadaan darurat. “Kita boleh rumuskan bahawa sebelum rang undang-undang seperti Akta 750 dapat dibentangkan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kelulusan setiap negeri hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” ujarnya. Bagi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid yang turut sama membahaskan usul tersebut berkata akta itu adalah merupakan satu jawapan bersifat politik yang mengelirukan dan tersasar daripada fakta undang-undang dan sejarah. "Isu royalti hasil petroleum ini sentiasa dimainkan mengikut musim dan ianya gagal dinokhtahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan. Maksud bermusim di sini ialah sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual menurut Perjanjian 22hb Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.  “Oleh itu kita berpendapat bahawa perlu ada kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri yang melibatkan persempadanan laut wilayah . Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat terlalu tamak dalam menanda persempadanan laut wilayah negeri-negeri yang akhirnya segala hasil kekayaan sesebuah negeri disakau oleh Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya diberi hasil atas dasar belas ihsan semata-mata seumpama kerajaan negeri terpaksa melukut di tepi gantang, ujarnya. Tambahnya, sesebuah negeri memerlukan 200 batu nautika atau lebih bagi tujuan kegiatan ekonominya sebagaimana pandangan Tun Salleh Abbas berkenaan Akta Pelanta Benua 1966. Sementara itu, dua lagi pembahas usul yang terdiri daripada ADUN Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat juga bersependapat Akta 750  bertentangan dengan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan dimana menyebut Parlimen boleh melalui Undang-Undang (b) mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat Badan Perundangan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.  
25 Apr 24
1288
Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan
Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pembaikan runtuhan cerun berhampiran Flat Bukit Kecil perlu diambil langkah yang segera oleh pihak kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memohon pembaikan cerun dilaksanakan secepatnya oleh pihak berwajib, bukan sekadar siri lawatan dan tinjauan sahaja. "Beberapa siri lawatan yang lain juga telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah lawatan dari pihak universiti awam untuk melakukan kajian berkaitan pembaikan cerun atau ‘slope repair research’," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurut Zuraida lagi, satu insiden runtuhan cerun telah berlaku pada malam 15 Disember 2022 di sekitar BLOK A, B dan E Flat Bukit Kecil. "Kejadian yang telah berlaku hampir dua tahun lalu ini melibatkan 87 unit rumah kediaman dengan anggaran jumlah penduduk seramai 348 orang. "Pada 16 Disember 2022 runtuhan kedua telah berlaku di lokasi yang sama. Runtuhan cerun ini berlaku adalah lanjutan daripada jumlah taburan hujan yang agak tinggi pada masa tersebut. "Pelbagai agensi telah melawat tempat kejadian bermula pada tarikh 16 Disember 2022 iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) , Bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," ulasnya lagi.  
25 Apr 24
213
Pemutihan Jeti Haram Langkah Pendek Majukan Pelancongan Setiu
Pemutihan Jeti Haram Langkah Pendek Majukan Pelancongan Setiu
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri kini dalam proses pemutihan jeti-jeti yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terutamanya dari aspek keselamatan.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia merupakan antara rancangan jangka pendek Kerajaan Negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong. "Manakala rancangan jangka masa panjang adalah termasuk meneroka potensi bagi pengurusan jeti secara bersepadu untuk ke pulau- pulau peranginan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusop Majid (BERSATU-Permaisuri) yang ingin tahu apakah rancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong-pelancong dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Sementara itu, mengenai isu muara cetek, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia(JPS) telah melantik perunding dari ZNK Consult Sdn.Bhd bagi menjalankan Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Daerah Setiu.  "Pihak JPS juga telah memohon kelulusan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pemuliharaan Muara Sungai Merang ini . "Status terkini permohonan tersebut dalam tempoh pendekatan pengurusan nilai, peringkat kejuruteraan nilai dan peringkat semakan nilai yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian," tambah beliau.
25 Apr 24
217