lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hukuman Sebat Pesalah Syariah di Tempat Awam Dalam Pertimbangan
Hukuman Sebat Pesalah Syariah di Tempat Awam Dalam Pertimbangan
KUALA TERENGGANU, 30 April- Cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di tempat awam sedang dalam pertimbangan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Katanya, kerajaan negeri perlu meneliti beberapa prosedur tertentu sebelum pelaksanaannya. "Benda itu dalam proses dan kita akan tengok daripada semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini ia (hukuman sebat) akan dilaksanakan di tempat yang tertutup di dalam penjara. "Kita akan pertimbangkan untuk di buat di tempat awam. Sebenarnya kalau kita tengok daripada semangat sedia ada atau roh hukuman ke atas orang yang melakukan jenayah dalam undang-undang jenayah syariah ini, ia mesti dilaksanakan di khalayak ramai. "Cuma khalayak ramai itu adalah subjektif. Adakah khalayak ramai itu di tengah kawasan umum macam pasar, masjid atau apa-apa sahaja. Kalau dilaksanakan dalam penjara sendiri pun sebenarnya disaksikan oleh khalayak yang tertentu juga," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2024 di Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Katanya, ketika ini ia tertakluk kepada enakmen sedia ada dan sebarang penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa.  "Jadi di atas dasar itu kita laksanakan dulu apa yang tersedia ada, apapun untuk penambahbaikan kita akan lihat daripada semasa ke semasa. "Kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan lagi dari sudut pemerkasaan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu, " jelasnya. Sementara itu, Wan Mohd Zakri berkata, berdasarkan peruntukan sedia ada, hakim yang menjatuhkan hukuman boleh menentukan tempat di mana pesalah tersebut patut disebat.  "Dalam peruntukan undang-undang enakmen jenayah syariah Terengganu sudah ada, walau bagaimanapun ia tetap dilaksanakan oleh pihak penjara.   "Buat masa ini, jika hakim tidak menyebut di mana pesalah disebat, secara automatik pesalah itu akan disebat di dalam penjara sehingga diperintahkan sebaliknya oleh hakim disebat dimana samada masjid ke, dalam mahkamah ke atau di tempat-tempat khalayak, " ujarnya.
30 Apr 24
180
3,000 Pemilik Motosikal Berkuasa Tinggi Bakal Gegarkan Terengganu
3,000 Pemilik Motosikal Berkuasa Tinggi Bakal Gegarkan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 April - Terengganu Bike Week (TBW) yang diadakan bermula 28 hingga 30 Jun di Dataran Shahbandar bakal menghimpunkan 3,000 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan. Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berkenaaan yang dianjurkan East Coast Motorcycle Club (ECMC) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diyakini mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri. Katanya, program  tersebut juga telah disenaraikan sebagai 'acara signature' dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) negeri Terengganu. "Saya sangat berharap TBW ini akan membantu (kerajaan negeri) untuk mencapai sasaran menarik kehadiran 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara. "Saya hendak sangat 'bikers' datang ke Terengganu, kerana negeri ini selama ini jika diperhatikan sering kali menjadi lokasi pilihan untuk penunggang motrosikal selama ini dari Johor Bahru, Kelantan, malah dari negara luar. "Itulah uniknya Terengganu kerana memiliki keunikan menerusi jalan pantai, jalan tengah dan lebuhraya jadikan penganjuran kali ini kita gunakan sebaik mungkin bagi menjadikan Terengganu terus dikenali sebagai lokasi bikers dari seluruh negara, termasuk dari negara Thailand," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media TBW, di Hotel Paya Bunga, semalam. Turut hadir, Presiden ECMC, Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata acara berkenaan akan turut diserikan dengan program sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun. "Manakala program Tabligh Akhbar TIBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat mahgrib. "Dari sudut hadiah cabutan bertuah pula TBW menyediakan hadiah yang cukup menarik untuk dibawa pulang oleh peserta berdaftar iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, sebuah motorsikal RXZ dan sebuah motosikal Yamaha NVX," katanya. Dalam pada itu, Tengku Seri Temenggong Raja berkata penganjuran TBW yang memasuki tahun ke 12 pada tahun ini ada kelainannya yang tersendiri yang menanti para peserta dan pengunjung. "Setakat ini yang telah mengesahkan kehadiran bukan sahaja dari Malaysia, tetapi dari Singapura, Thailand dan Brunei kita akan juga akan mempromosikan acara ini kepada 'Indonesia Bikers'. "Kita akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan TBW ini ramai orang yang akan datang, walaupun tidak ride tetapi tetap datang dengan mengunjungi booth jualan dan pameran daripada pihak penaja dan vendor. "Berkaitan motorsikal berkuasa tinggi dan pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pelbagai lagi termasuk akan ada pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk IKS Tempatan," ujarnya. Katanya, dari sudut Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya bercadang membawa anak-anak daripada golongan asnaf untuk datang ke tapak program bagi mengembirakan dan menyampaikan sumbangan.
30 Apr 24
6043
Anak Terengganu Ikrar Tak Berdiam Diri Tuntut Royalti
Anak Terengganu Ikrar Tak Berdiam Diri Tuntut Royalti
KUALA TERENGGANU, 29 April - Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) tidak akan berdiam diri terhadap isu royalti yang dipermainkan oleh Kerajaan Persekutuan. Presiden PERANTAU, Dr Mohd Nuri Al-Amin Endut berkata, pihaknya sedang mengerakkan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta anak rantau untuk terus mendesak agar hasil petroleum dikembalikan kepada pemiliknya. Katanya, apa yang dilakukan itu atas semangat memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Terengganu yang selama ini turut diterima oleh rakyat Terengganu di perantauan. "Kami masih berharap agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Dato' Seri Anwar Ibrahim) lebih amanah dan bersikap adil dalam isu royalti ini agar semua negeri (bukan hanya Sarawak yang mempunyai hasil minyak diberikan hak mereka secara telus. "Bagi membolehkan mereka (setiap negeri yang ada hasil minyak) memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat (setelah) memberikan mandat penuh pemerintahan kepada mereka secara demokrasi," ujarnya melalui suatu kenyataan media, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Dr Nuri berkata memang tidak dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran wang ehsan royalti sebanyak RM172.3 juta kepada Terengganu pada awal April lalu, namun ia tidak bertepatan dengan tuntutan tunggakan royalti. "Pembayaran ini dilakukan selepas daripada majlis serahan memo PERANTAU kepada YAB Perdana Menteri melalui Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. "Namun begitu pembayaran tersebut masih belum bertepatan dengan tuntutan tunggakan royalti minyak Terengganu untuk tahun 2023 mengikut perjanjian yang termaktub antara PETRONAS dan kerajaan negeri pad 22 Mac 1975 ( Payment Under Section 4, Petroleum Developement Act, 1974)," ujarnya. Sehubungan dengan itu katanya, PERANTAU merasa sangat terkilan dengan pendekatan Perdana Menteri yang tidak serius dalam melunaskan apa yang termaktub di dalam perjanjian termasuk apa yang pernah dijanjikan ketika masih menjadi ketua pembangkang. "Pembayaran sebahagian daripada jumlah pembayaran baki tahun lepas dilihat hanya sebagai umpan kepada rakyat bagi mempamerkan bahawa Kerajaan Pusat sudah menunaikan tanggungjawab mereka. "Pada hakikatnya pembayaran sebahagian tersebut dan pemberian secara tidang langsung tanpa melalui kerajaan negeri adalah tidak mengikut perjanjian yang telah dimeterai," tegasnya.
29 Apr 24
1096
Terengganu Peruntuk RM100,000 Bantuan Pendahuluan Nafkah
Terengganu Peruntuk RM100,000 Bantuan Pendahuluan Nafkah
KUALA TERENGGANU, 27 April- Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 tahun ini bagi membiayai bantuan pendahuluan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peruntukan itu disalurkan Maidam kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR). Katanya, pendahuluan nafkah itu merupakan bantuan sara hidup yang diberikan kepada ibu tunggal yang diabaikan bekas suami masing-masing. “Majlis penyerahan bantuan pendahuluan nafkah ini kebiasaannya diadakan dua kali setahun. Pada hari ini kita agihkan kepada 16 penerima yang melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM27,000. “Rata-rata penerima bantuan pendahuluan nafkah merupakan suri rumah atau mereka yang berpendapatan rendah dan termasuk dalam had kifayah asnaf zakat. “Penerima bantuan ini juga mempunyak anak-anak termasuk yang masih bersekolah dan merupakan golongan yang perlu dibantu kerana bekas suami gagal memberi nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga JKSTR Siri 1 Tahun 2024 di Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Katanya, pendahuluan nafkah tersebut diharap dapat meringankan beban para penerima untuk menguruskan perbelanjaan anak-anak.
29 Apr 24
806
Royalti : Janji Dibohongi, Akta Diperalat
Royalti : Janji Dibohongi, Akta Diperalat
Isu royalti Petroleum terus hangat dibahaskan di media sosial, sama ada daripada pihak penyokong parti pemerintah di Persekutuan ataupun sebaliknya., tidak ketinggalan pakar perlembagaan. Semuanya bermula selepas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen pada Mac lalu mengatakan Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan sekurang-kurangnya RM700 juta royalti Terengganu. Ia kemudiannya diakui oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memberitahu, daripada anggaran terimaan lebih RM1.5 bilion, Kementerian Kewangan hanya membayar RM786 juta untuk Terengganu. "Kerajaan Persekutuan kekal komited memastikan aliran tunai hasil petroleum diterima dikhususkan untuk tujuan pelaksanaan projek dan program untuk manfaat rakyat,” jelas Amir Hamzah menjawab pertanyaan Ahmad Samsuri. Isu ini makin memuncak selepas Kerajaan Persekutuan masih berlengah untuk melunaskan hak Terengganu, akibatnya Kerajaan Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah. Penolakan itu dikatakan kerana akta berkenaan diperalat pihak tertentu di Putrajaya bagi menafikan royalti minyak yang diterima setiap tahun sebelum ini, walaupun selepas akta itu wujud dan atas nama lain bukan royalti. Sebaik akta itu ditolak, ramai pula yang ‘melompat’ keluar termasuk Pejabat Perdana Menteri yang mengatakan Akta Laut Wilayah 2012 tetap berfungsi seperti biasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) menolaknya sebulat suara.  Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah, ada pihak daripada kumpulan di Putrajaya bersuara menimbulkan persoalan kenapa selama 33 bulan PAS berada di dalam Kerajaan Persekutuan tiada usaha untuk menghapuskan akta tersebut sehingga boleh menghalang royalti disalur. "Salah pemimpin PAS lah kerana tidak bertindak ‘membaiki’ akta itu," demikian maksud kenyataan itu. Persoalan ini menarik untuk diteliti, kerana daripada suara itu ia ada maksud tersirat iaitu pengesahan Kerajaan Persekutuan memang menggunakan (memperalat) akta itu untuk tidak membayar royalti kepada rakyat Terengganu. Sedangkan jika kita soroti bicara dan janji dalam sejarah lampau sebelum pemimpin yang ada di Putrajaya hari ini mendapat kuasa, lain bunyinya. Pada Ogos 2012, iaitu selepas Akta Laut Wilayah 2012 berkuatkuasa, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, royalti petroleum dan gas adalah 20 peratus dan itu diagihkan kepada negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu. “Tertakluk HANYA KEPADA SYARAT KEWANGAN PERATURAN ‘FINANCIAL PROCEDURE’, TIADA SYARAT LAIN YANG BOLEH DIKENAKAN oleh Kerajaan Persekutuan. “Akta Petroleum sudah cukup jelas menetapkan bayaran tunai diberi kepada negeri 20 peratus seperti Sabah dan Sarawak diberi juga kepada Kelantan dan Terengganu,” kata Anwar. Adakah kenyataan ‘tiada syarat lain yang boleh dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan’ juga merujuk kepada maksud ‘Akta Laut Wilayah 2012’ oleh Kerajaan Persekutuan dalam hal ini? Jika benar, kenapa sekarang lain pula nadanya. Kenapa pula akta itu tiba-tiba menjadi halangan untuk disalur royalti? Bayaran royalti (lima peratus daripada hasil minyak) tetap dibayar selepas tahun 2012 walaupun Akta Laut Wilayah 2012 sudah wujud pada 2012. Untuk rekod juga, selepas kewujudan Akta Laut Wilayah 2012, bayaran royalti sebanyak lima peratus sebagaimana Perjanjian 1974 tetap disalur sehingga 2022. Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof pula bersetuju dengan Kerajaan Terengganu yang mengatakan Akta Laut tidak boleh diguna untuk menyekat bayaran royalti kepada Terengganu. "Akta Laut Wilayah 2012 sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada hak royalti petroleum negeri. Peruntukan akta berkenaan mengecilkan sempadan negeri boleh dianggap tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan," tegasnya. Muhammad Husaif Mamat, K.Editor TRDI.
29 Apr 24
398
Terengganu 'Bidik' Pendapatan Baru daripada Silika
Terengganu 'Bidik' Pendapatan Baru daripada Silika
KUALA TERENGGANU, 29 April - Terengganu bertekad untuk mengoptimumkan hasil silika sebagai satu sumber pendapatan baru bagi kerajaan negeri dan rakyat Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam usaha memaksimumkan potensi silika di Terengganu,. Kerajaan negeri telah menetapkan dua fokus utama yang akan menjadi landasan bagi pembangunan industri tersebut katanya termasuk meningkatkan hasil silika sebagai pendapatan utama bagi penduduk tempatan dan kerajaan negeri.  "Kedua, adalah mewujudkan industri pertengahan dan hiliran yang lebih aktif dalam teknologi tinggi silika. "Pihaknya juga berhasrat untuk menyelaraskan pelabur-pelabur dalam bidang 'midstream' dan 'downstream' untuk berinvestasi di negeri ini," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya, pada baru-baru ini. Beliau berkata, ia susulan bengkel halatuju industri silika negeri Terengganu telah diadakan hari ini, dihadiri oleh dua pemain utama iaitu Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd (TSC) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Menurutnya, kedua pemain utama itu bertanggungjawab dalam pengendalian tanah yang mengandungi silika di Terengganu. Nurkhuzaini berkata, ianya satu perkembangan yang baik dan kita berada di atas landasan yang betul untuk memastikan hasil silika yang ada di Terengganu ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat negeri Terengganu dan juga kerajaan negeri. "Langkah ini diharapkan dapat membuka peluang baru dan memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada Terengganu serta membantu dalam pembangunan industri tempatan. “Insya-Allah kita akan susun yang terbaik dan kita akan melangkah seiring dengan moto kita, ‘Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera’,” ujarnya.        
29 Apr 24
3464
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Terengganu perlu menyediakan Rancangan Sokongan (Backup Plan) sebelum Pelan Kontingensi Banjir dilaksanakan di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang bagi mengatasi masalah banjir kilat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan mengadakan rancangan sokongan itu bagi membantu mengurangkan kesulitan rakyat ketika menghadapi bencana tersebut. Ini kerana katanya Pelan Mitigasi Banjir (Flood Mitigation Plan) bertujuan mengatasi masalah  banjir kilat di kawasan tersebut bagaimanapun  pelan itu masih dalam perancangan pelaksanaan kerajaan. "Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035 (Pengubahan 1) sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu. "Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut yang agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau ‘backup plan’ yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun," katanya ketika membahas Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini. Beliau berkata bencana banjir kilat berlaku di DUN Ladang sebelum ini berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh masa terlalu hampir iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. "Jumlah taburan hujan yang agak tinggi telah menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin. "Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga kerajaan," ujarnya. Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir itu termasuk mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai.
29 Apr 24
206
JPINT Buka Jalan Pelajar Sekolah Agama Negeri Sambung Pengajian di Luar
JPINT Buka Jalan Pelajar Sekolah Agama Negeri Sambung Pengajian di Luar
KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah  membuka laluan kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu bagi melanjutkan pengajian ke luar negara misalnya Algeria, UAE, Tunisia dan Jordan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, ini termasuk pelajar lepasan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga berpeluang menyambung pengajian ke Jordan dalam bidang Usuluddin dan juga Perbankan Islam selain ke Mesir dalam bidang Ulum Islamiyyah. Katanya, murid lepasan SMIDI berpotensi menyambung pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selama satu tahun pengajian seterusnya mendapatkan tempat di Kuliah, Al-Azhar dan Markaz Lughah di Mesir dan juga boleh mengambil Ijazah dalam bidang pengajian Islam serta Bahasa Arab. "Bagi pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din pula diberi peluang menyambung pengajian bidang Turath di Al-Azhar As Syarif serta menyambung pengajian Kursus Intensif Bahasa Arab selama dua tahun di Maahad Al-Azhar di bawah kelolaan Markaz Tatwir Al-Azhar. "Selain itu, pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din juga berpeluang menyambung pengajian di Maahad Bu'uth Al- Azhar serta mengikuti pengajian secara bertalaqqi dengan tenaga pengajar yang dilantik terus oleh JPINT di Mesir selama dua tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS- Buluh Gading) yang ingin tahu apakah peluang pendidikan dan kerjaya bagi lepasan pelajar SMIDI, Kolej Al-Quran Terengganu dan Pusat Tafaqquh Fi Din dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini. Tambahnya, pihak JPINT juga telah mengambil tindakan dengan memohon MQA bagi usaha pengiktirafan pensijilan Pusat Tafaquf Fi-Din Tok Sheikh Duyong. "JPINT juga berkolaborasidengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi peluang pengajian di bidang Turath yang dikendalikan oleh UPSI," katanya lagi. Sementara itu, bagi lepasan pelajar Kolej Al-Quran Terengganu (KQT), mereka berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta dalam negara seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UniversitiSultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan lain-lain. "Ini termasuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti luar negara seperti The Wolrd Islamic Sciences Education University (WISE) Jordan dan Universiti Islam Madinah.  "Antara peluang kerjaya yang ditawarkan jawatan di sektor kerajaan dan swasta sebagai guru harian di sekolah agama swasta dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Negeri Gred N29," ujarnya.   
29 Apr 24
407
Sultan Mizan Titah Terengganu Jadi Peneraju Pembangunan Tenaga Hijau
Sultan Mizan Titah Terengganu Jadi Peneraju Pembangunan Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 29 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri mengambil peluang menjadi peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui. Dalam titah Baginda pada Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri, semalam, Baginda berkenan supaya kerajaan Terengganu memanfaatkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Hijau (HETR) yang dijangka dapat membantu Malaysia meneroka pasaran global sumber hijau bernilai kira-kira RM824 bilion menjelang tahun 2050. "Justeru itu, segala tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan hidrogen hijau melalui tenaga boleh baharu perlu diberi penekanan agar dapat dikembangkan teknologi pengeluarannya yang cekap serta mampan.  "Selain itu, untuk pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi pengeluaran, penyimpanan dan pengedaran hidrogen hijau, kerajaan negeri haruslah menjalankan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran ini bagi mempercepatkan pembangunan industri hidrogen hijau. "Dengan usaha yang betul, Beta yakin kerajaan negeri mampu menarik pelaburan dari dalam dan luar negara bagi membiayai pengeluaran hidrogen hijau," titah Baginda di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, pagi semalam. Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berkenan memaklumkan, kaedah pertanian moden 'vertical farming' yang pada hemat Baginda merupakan konsep pertanian masa depan dalam berdepan konflik guna tanah, cabaran kepada perubahan iklim serta keperluan bekalan makanan yang meningkat. "Oleh yang demikian, Beta menyarankan model ini dapat dibangunkan menerusi 'proof of concept' (POC) supaya dapat menjadi contoh kepada pembangunan dengan menggunakan pendekatan yang lebih berinovasi. "Melalui kaedah ini juga dapat mengawal sebarang penyakit secara lebih berkesan dengan pengendalian sisa buangan daripada sisa ternakan dan tanaman digunakan kembali secara komprohensif di dalam sektor 'circular economy' yang lain," titah Baginda. Baginda turut menyatakan harapan dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, lebih banyak peluang pelaburan di dalam sektor pertanian yang dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu.   
29 Apr 24
341
Panglima ATM, Ketua Polis Negara Terima Darjah Kebesaran Terengganu
Panglima ATM, Ketua Polis Negara Terima Darjah Kebesaran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 April- Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendahului senarai penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan ke-62 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) kepada kedua-dua tokoh berkenaan yang membawa gelaran Dato' Seri. Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah. Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut bersama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dalam istiadat tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato' Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut menerima limpah kurnia Sultan Terengganu apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (DSMZ) yang membawa gelaran Dato'. Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) kepada 25 individu yang mana Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah merupakan antara penerimanya. Manakala, ahli parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bersama 20 penerima lain dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ). Pada masa sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) kepada 14 penerima dan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) kepada 13 penerima. ADUN Manir, Hilmi Harun pula menjadi antara 28 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (AMT). Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri yang berakhir pada jam 1.00 petang, hari ini melibatkan keseluruhan 104 penerima.
28 Apr 24
1835