Artikel "Utama" Terkini
Berbaki Seminggu Lagi Peluang Rakyat Terengganu Meriahkan Pesta Cahaya
KUALA NERUS, 4 Mei - Rakyat Terengganu masih lagi berpeluang menikmati keindahan dan keunikan pesta cahaya Luna Light Wonderland, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (belakang Stadium Tertutup) sehingga hujung minggu ini.
Pengasasnya, Mark Tan memaklumkan pesta cahaya yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyajikan lebih 1.3 juta lampu LED di kawasan seluas lapan ekar itu akan beroperasi sehingga 12 Mei ini, sebelum bergerak ke Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang sebagai lokasi seterusnya.
"Di sini, kita sediakan lima tema hiasan lampu iaitu tema Animal Kingdom, Vision Ocean, Aquatic, Romance, LUNA Aerospace, Mystery Forest, Aurora Lights dan Main Mascot Luna yang mula dibuka pada hari raya ketiga lalu. Setakat ini, kami menerima reaksi yang baik dan kunjungan setiap hari mampu mencecah sehingga 4,000 pengunjung.
"Cuaca semasa ketika ini agak baik untuk pengunjung menikmati keunikan Luna Light Wonderland bermula jam 7.00 petang hingga 12.00 malam dengan bayaran serendah RM15 bagi dewasa, RM8 (kanak-kanak) dan pengecualian bayaran bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.
Tarikan pelancongan yang 'berkunjung' ke Terengganu ini katanya, seharusnya dilawati rakyat Terengganu kerana ia memegang rekod The Malaysia Book of Record, Penganjuran Pesta Cahaya Terbesar di Malaysia bagi tahun 2023.
Selain itu, Luna LIght Wonderland turut memegang rekod Penganjuran Pesta Cahaya di Taman Tema Air (Melaka) sebelum ini.
04 May 24
3388
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama 2,000 Rakyat
MARANG, 3 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-62 tahun.
Program yang berlangsung di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu dihadiri lebih daripada 2,000 peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.
Terdahulu, Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.
Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Forum bertajuk 'Syariah Islam: Cabaran dan Halangan' itu disiarkan secara langsung di saluran Facebook TV Darul Iman serta beberapa lagi saluran lain.
Mengulas lanjut, forum itu menampilkan Ustaz Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Prof Madya Dato’ Muhamad Asri Abdullah, dan Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa.
Antara intipati forum yang berlangsung selama sejam, dari pukul 9.00 hingga jam 10.15 malam itu ialah penekanan terhadap keunggulan pendidikan dan kehebatan masyarakat di negeri Terengganu.
Menurut Abdullah Munsyi, kehebatan negeri Terengganu terserlah dalam empat perkara utama iaitu yang pertama, kesedaran ilmu pengetahuan rakyat Terengganu jauh melampaui negeri-negeri lain yang pernah dikunjunginya.
Kedua, pelajar-pelajar dari Terengganu menggunakan kitab-kitab dalam bahasa Arab sekali gus mengutamakan keaslian bahasa tersebut berbanding bahasa Jawi.
Ketiga, khat-khat atau tulisan-tulisan Arab Jawi rakyat Terengganu memukau dengan keindahan dan kehalusan seni, memenangi hati melebihi karya dari negeri-negeri lain.
Terakhir, bacaan-bacaan Al-Quran oleh penduduk Terengganu memukau dengan taranum serta teknik tajwid yang cemerlang, menjadikannya terkenal dan dihormati seantero negeri.
03 May 24
2109
Hampir 3,000 Rakyat Marang Meriahkan Jamuan Teh Sultan Mizan
MARANG, 2 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Hari Keputeraan baginda, di Perkarangan Pasar Binjai Rendah di sini, hari ini.
Sultan Mizan yang diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, tiba tepat jam 3 petang.
Turut berangkat mengiringi baginda berdua, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Turut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Ahli Dewan Pangkuan Diraja Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan isteri Toh Puan Azizah Aziz.
Keberangkatan baginda disambut dengan suasana meriah selain diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.
Sementara itu, Norzila Ismail, 45, dari Kampung Binjai Rendah yang pertama kali hadir ke majlis berkenaan, berasa teruja melihat sambutan rakyat terhadap baginda.
Dia yang turut ditemani suami, Mohd Azmi Mat Hassan, 54, turun seawal jam 1 tengah hari menyifatkan hari tersebut akan menjadi kenangan terindah buat mereka dan rakyat Marang.
"Menjunjung kasih Tuanku Sultan Mizan kerana menjemput kami, rakyat ke majlis ini.
"Sesunguhnya patik amat bertuah kerana dapat melihat Tuanku secara dekat sebab selama ini hanya menyaksikan Tuanku dan Sultanah di televisyen dan media cetak.
"Sesungguhnya baginda adalah seorang Sultan yang amat dekat di hati rakyat dan semoga Tuanku Sultan dipanjangkan umur serta sentiasa dikurniakan kesihatan baik," katanya.
02 May 24
2688
JKNT Rekod Lima Kes Strok Haba dan Kelesuan Haba
KUALA TERENGGANU, 2 Mei -Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan lima kes berkaitan cuaca panas sehingga April tahun ini.
Pengarahnya, Dato Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes membabitkan strok haba dan dua kes kelesuan haba telah dilaporkan di Terengganu.
" Ia melibatkan dua orang anggota beruniform, seorang pekerja ECRL, seorang kanak-kanak sekolah, dan seorang warga emas.
"Sebanyak tiga kes telah sembuh dan dua kes lagi masih dirawat di hospital. Tiada kematian dicatatkan setakat ini,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui.
Beliau berkata, golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
"Selain itu, segera dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.
"Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas," ujarnya lagi.
Dalam pada itu beliau turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung, dan lain-lain aktiviti ketika gelombang haba sehinggalah keadaan kembali reda.
Katanya, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.
Berdasarkan laporan cuaca panas daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa daerah di negeri Terengganu pernah berada di Tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga dengan suhu harian tertinggi antara 35-37°C iaitu Besut, Setiu, Dungun, dan Kemaman.
Manakala daerah lain adalah dalam suhu biasa iaitu kurang 35°C dengan suhu harian tertinggi antara 32-34°C.
02 May 24
1767
Lima Individu Alami Keracunan Makanan Selepas Makan Kuih Ketayap
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terenganu memaklumkan terdapat lima individu daripada tiga keluarga dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala keracunan makanan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang telah menerima notifikasi awal kes itu pada 28 April lalu di mana pesakit dikatakan mempunyai sejarah memakan kuih ketayap yang dibeli di Pasar Bukit Payong, Marang pada hari yang sama.
Katanya, sehingga jam 5 petang Isnin lalu, hanya tujuh individu sahaja tampil memaklumkan membeli kuih ketayap dari kedai yang sama.
“Daripada jumlah tersebut, lima orang mempunyai gejala cirit-birit dan muntah, dengan empat orang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan seorang pesakit telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Bukit Payong.
"Kesemua pesakit kanak-kanak dan dewasa yang dirawat di hospital berada di dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan positif.
"Tiga kes telah dibenarkan keluar wad pada Isnin dan seorang lagi dijangka akan discaj pada hari ini sementara pesakit yang dirawat sebagai pesakit luar juga telah pulih sepenuhnya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, pihak jabatan masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian wabak keracunan makanan ini dan pesakit-pesakit lain yang mungkin terdedah.
"Kita juga telah ambil beberapa sampel sama ada makanan, daripada pengendali dan bahan-bahan yang digunakan di premis terbabit," ujarnya.
Menurut beliau, tatacara keselamatan makanan terutamanya tahap kebersihan yang tinggi perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam.
“Orang ramai juga disarankan agar sentiasa peka tentang keselamatan makanan dengan mengamalkan konsep ‘lihat, hidu, dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi serta membudayakan amalan membasuh tangan sebelum dan selepas makan sebagai langkah kawalan kendiri untuk mengurangkan risiko,” katanya.
02 May 24
209
Jangan Biarkan Penyu Pupus
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Semua pihak terutama orang awam perlu memandang serius tentang usaha pemuliharaan penyu yang semakin terancam ketika ini.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, laporan awal mengenai penemuan setiap penyu atau spesies hidupan terancam penting kerana ia dapat membantu menyelamatkan haiwan tersebut.
Menurutnya, tahap kesedaran orang awam mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjumpa penyu atau apa-apa spesies haiwan terancam sama ada hidup atau mati di negara ini masih belum memuaskan.
“Orang awam masih belum mengetahui jabatan atau agensi manakah yang bertanggungjawab dalam menguruskan penemuan tersebut.
"Oleh itu, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlu memperhebatkan lagi program kesedaran agar orang ramai tahu apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya menjumpai penyu atau spesies terancam yang lain di negara ini,”katanya kepada pemberita.
Jelasnya, penemuan yang tidak dilaporkan ini berisiko menjejaskan rekod serta data yang berkait rapat dengan kajian susulan mengenai perkara itu.
Baru-baru ini, satu lagi penemuan bangkai penyu direkodkan di Pantai Maras dekat Kuala Nerus.
Penemuan tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis yang kemudiannya menghubungi UMT untuk tindakan lanjut.
Menurut Mohd Uzair, penyu jantan yang ditemui mati itu merupakan penyu spesies agar yang hanya akan kembali ke perairan cetek di sekitar kepulauan Terengganu ketika musim bertelur khususnya pada bulan Mac hingga Jun.
"Kebanyakan penyu mati disebabkan kecuaian manusia seperti terperangkap dalam pukat dan perbuatan khianat manusia yang memukul penyu untuk mengambil telurnya.
"Sebab itu penting untuk mana-mana individu yang terlibat dengan penemuan ini memaklumkannya segera kepada Jabatan Perikanan melalui talian Hotline Fishcom yang dibuka 24 jam iaitu 03-88885019 atau 03-88704058," katanya.
Tambahnya, laporan yang pantas mampu menyelamatkan penyu yang masih hidup sekiranya kecederaan yang dialami tidak terlalu parah.
"Jangan bersikap ambil lewa mengenai perkara ini kerana setiap penemuan sama ada hidup atau mati sangat penting untuk rekod kami dalam membuat kajian penyelidikan," katanya.
"Musim penyu bertelur tidak sepatutnya menjadi musim penyu mati terdampar. Ia kembali untuk meneruskan kelangsungan populasi, bukan untuk dikhianati,”ujar beliau lagi.
Mohd Uzair berkata negara telah kehilangan khazanah berharga iaitu spesies penyu belimbing yang kali terakhir direkodkan mendarat pada 2017.
"Kita sudah hilang penyu belimbing, jangan nanti hilang penyu agar pula. Usaha menyelamatkan penyu adalah tanggung jawab semua," ujarnya.
02 May 24
163
Persekutuan Masih Hutang Royalti RM1.182 Bilion dengan Terengganu
Kementerian Kewangan pada awal April lalu memaklumkan Kerajaan Persekutuan sudah membayar sejumlah RM302 juta wang royalti petroleum (disebut wang ehsan) kepada Terengganu setakat Mac 2024.
Perkara itu kemudiannya disahkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan balas dan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
“Begitu juga pada tahun ini 2024, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama, iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian kedua pada bulan September.
“Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk projek ‘deffered and scheduled payment’ dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam,” ujar Ahmad Samsuri.
Pemulangan royalti ini sangat dipuji, namun apabila ia diungkit beberapa pihak dengan niat untuk ‘memalukan’ Terengganu, ia sangat tidak wajar dan tidak sedar diri.
Ada juga yang berkata, Kerajaan Terengganu perlu mencari dana sendiri, tak perlu harapkan peruntukan Persekutuan.
“Mujur Kerajaan Persekutuan baik hati beri dana tambahan,” katanya.
Soal dana sendiri kita bahaskan di ruangan lain, di ruangan ini saya ingin menimbulkan persoalan adakah benar dakwaan ini?
Jika diteliti kenyataan itu, seolah-olah duit royalti adalah duit Kerajaan Madani atau milik parti pemerintah di pusat, sedangkan tidak, ia hak Terengganu.
Minyak diteroka dari kawasan Terengganu dan di proses di bumi Terengganu.
Perlu kita fahami, Royalti Petroleum merujuk kepada bayaran wang tunai yang mesti dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia.
Terengganu berhak ke atas Royalti Petroleum ini kerana telah disempurnakan Surat Cara Pemberian Hak, Kuasa, Kebebasan dan Keistimewaan Berkenaan dengan Petroleum antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS pada 22 Mac 1975.
Bahkan terdapat tiga dokumen penting yang menjadi bukti bayaran Royalti Petroleum ini perlu dibuat, iaitu (1) Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144), (2) Surat Cara Pemberian Hak, Kuasa, Kebebasan dan Keistimewaan Berkenaan dengan Petroleum yang telah disempurnakan dan (3) Perjanjian antara mana-mana negeri dengan PETRONAS.
Hak Terengganu ke atas lima peratus hasil minyak ini juga turut disahkan oleh ramai tokoh negara, antaranya Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Hussein, Bekas Pengasas PETRONAS, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas.
Sehubungan dengan itu, berdasarkan catatan dan bukti ini, boleh kita fahami duit royalti adalah hak rakyat dan kerajaan Terengganu, bukan milik parti pemerintah dan Kerajaan Persekutuan.
Jadi, amat malang jika ada pihak bertindak ‘memalukan’ diri sendiri dengan mengatakan duit itu milik mereka, Terengganu hanya mendapat ihsan Kerajaan Persekutuan, umpama pencuri yang mengaku hasil curian adalah miliknya.
Untuk rekod juga, jika dikira nilai sebenar royalti yang patut dibayar kepada Terengganu berdasarkan dokumen-dokumen rasmi, Kerajaan Persekutuan masih berhutang dengan Kerajaan Terengganu sebanyak RM1.182 bilion.
Ini kerana anggaran lima peratus yang patut diterima kerajaan pada 2023 adalah RM1,524.92, tetapi hanya RM802 juta dibayar, bermakna masih berbaki RM722.74 juta.
Bagi 2024 pula, pembayaran pertama iaitu sehingga Mac lalu adalah RM302 juta berbanding anggaran sepatutnya dibayar adalah RM762 juta, belum dibayar RM460.21 juta.
Justeru, ini menjadikan jumlah hutang sebenar RM1.182 bilion, ini baru hutang royalti lima peratus bukan 20 peratus, belum hutang LPT2.
Kita doakan semoga hutang ini dapat dilunaskan mengikut jadual dan tidak 'dibutakan' mana-mana pihak.
Muhammad Husaif Mamat,
K.Editor TRDI.
02 May 24
4026
Terengganu Pasang 'Tracker' Kesan Pergerakan Penyu
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggunakan sejenis alatan canggih yang dinamakan Platform Terminal Transmitter (PTT) bagi mengesan pergerakan penyu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, alat ‘tracker’ yang dipasang pada penyu itu berfungsi memancarkan isyarat terus kepada satelit dalam kajian mengesan pergerakan penyu ke seluruh dunia.
“Setakat ini didapati, penyu yang pernah mendarat di Terengganu kemudian dipasang PTT, dalam tempoh lebih kurang setahun direkodkan pergerakannya berada di Jepun, Filipina serta Vietnam. Sebab itulah penyu digelar perenang yang sangat handal, bukan sebab merajuk. Nanti penyu akan balik semula ke tempat ia menetas,” tulis beliau dalam satu hantaran di laman facebooknya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, pendaratan penyu di Terengganu meningkat.
“Saya ambil contoh spesis Penyu Agar sahaja, bagi 2021 sebanyak 7,301 pendaratan yang menghasilkan biji 429,371 telur.
“Tahun 2022 sebanyak 9,618 dengan 586,430 biji telur. Bagi tahun 2023 meningkat kepada 10,120 pendaratan dengan jumlah telur 750,527 biji telur,” ujarnya.
02 May 24
363
Hukuman Sebat di Khalayak Bukan Untuk Malukan Pesalah
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan syariah yang sedang dipertimbangkan kerajaan negeri bukan bertujuan untuk memalukan pesalah sebaliknya ia merupakan usaha memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerksaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dakwaan segellintir pihak yang merasakan hukuman itu tidak wajar adalah kurang tepat.
Katanya, isu itu perlu melihat kepada falsafah hukuman tersebut secara menyeluruh yang secara tuntasnya bertujuan untuk mendidik dan mempunyai perkaitan dunia dan akhirat.
"Dalam konteks ini kita mahu menyedarkan masyarakat supaya kesalahan-kesalahan maksiat dan kemungkaran ini tidak menjadi satu perkara normal dalam masyarakat
"Jadi bila kita sebut nak laksanakan di khalayak ramai bukan bermaksud ia dibuat sewenang-wenangnya di khalayak ramai tanpa mengambil kira pelaksanaan dalam penjara dan aspek-aspek yang lain ini adalah salah satu daripada hukuman yang boleh dipertimbangkan oleh hakim.
"Jika sekiranya ia sesuai dengan 'maslahah umum' untuk menyedarkan pesalah sebagai contoh mereka yang telah melakukan kesalahan kerap kali, jadi sekiranya lebih daripada tiga kali elok diadakan di khalayak untuk menyedarkannya supaya tidak lagi mengulanginya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka PAS DUN Bandar di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, segelintir pihak yang mendakwa ia tidak wajar dilakukan di khalayak juga perlu sedar dan melihat bahawa ia bukan hukuman mendatangkan kecederaan kepada pesalah.
"Ia bukan (semata-mata) untuk menghukum pesalah tetapi dalam masa yang sama kita mahu memberi satu pendidikan kepada masyarakat bahawa hukuman ini tidak sama dengan hukuman (dijalankan) mahkmah sivil yang lebih menghukum dan menyakiti pesalah.
"Undang-undang dalam jenayah syariah tidak mencederakan, jadi mereka yang dihukum di sisi Islam di atas dunia kemudian dia bertaubat maka dia tidak lagi dihukum oleh Allah di akhirat kelak," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, hukuman sebat bagi pesalah syariah di khalayak ramai itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Merupakan salah satu daripada hukuman yang diberikan keizinan atas tiket budi bicara Hakim Mahkamah Syariah untuk dilaksanakan sekiranya pesalah tersebut pada pandangan hakim adalah bagi mengajar dan memberikan pengajaran kepada masyarakat.
"Maka hendaklah dilaksanakan di khalayak," katanya.
02 May 24
183
Sultan Terengganu Berkenan ke Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 1 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Jamuan negeri yang diadakan di Dewan besar, Wisma Darul Iman bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Baginda.
Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut hadir mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman ; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan Negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), perwakilan pengarah dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan turut hadir.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning.
01 May 24
3829