Artikel "Utama" Terkini
Kenaikan Gaji: Terengganu Tunggu Perincian Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan Terengganu menunggu perincian rasmi daripada kerajaan Persekutuan sebelum mengumumkan pelarasan gaji membabitkan kakitangan awam negeri itu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, setakat ini kenaikan gaji tersebut hanya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.
"Kita tidak dapat maklumat teliti lagi daripada kerajaan Pusat.
"Kita akan lihat dahulu perincian daripada kerajaan pusat, sebab bercakap tanpa perincian menyukarkan kita membuat tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr. Samsuri memberitahu, kerajaan Terengganu akan melakukan kajian penyelarasan gaji setelah mendapat perincian kenaikan gaji berkenaan.
"Kita tengok dulu (perincian kenaikan gaji), baru kita tengok langkah yang kita akan buat," ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.
09 May 24
612
SUKMA Terengganu Sasar Raih 75 Emas
KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Kontinjen SUKMA Terengganu 2024 menyasarkan untuk memungut 75 pingat emas sekali gus merebut kembali kejuaraan SUKMA edisi ke-21, kali ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran yang diletakkan melebihi pencapaian terbaik tahun lalu dengan pungutan 64 Emas.
"Cita-cita kita besar, untuk merampas kejuaraan yang pernah dimiliki Terengganu pada 2018.
"Semua tahu di mana kekuatan negeri Terengganu dan kita ada juga sukan-sukan baru yang kita akan cuba dapatkan pingat Emas.
"(Sukan) pelayaran, basikal, malah olahraga juga tidak kurang pada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan.
Penganjuran SUKMA Sarawak 2024 pada Ogos nanti menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan bola keranjang.
08 May 24
552
MB Terengganu Harap Jenayah Cederakan Atlet Tidak Berulang
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan rasa simpati atas perbuatan berunsur jenayah yang menimpa beberapa pemain bola sepak tanah air.
"Sesiapa jua, ia (kejadian tersebut) tidak patut berlaku dalam negara ini. Kita bersimpati kepada pemain yang menjadi mangsa.
"Pagi ini, saya dapat tahu ada lagi pemain yang menjadi mangsa kejadian seperti ini.
"Saya tidak tahu apakah ia trend atau perkara baru yang berlaku, ia membimbangkan.
"Saya harap ia bukan trend baru, semua pihak harus menghormati satu sama lain termasuk ahli sukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim turut memaklumkan keadaan terbaru membabitkan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid yang cedera disamun baru-baru ini.
"Dalam lawatan yang terakhir, fizikalnya tiada masalah dan ada beberapa luka perlu masa untuk sembuh.
"Cuma trauma memang ada. Jadi, kita bagi masa beliau bersama keluarganya untuk sama-sama membantu memulihkan trauma yang dialami.
"Di samping itu, pihak kita telah memikirkan beberapa sokongan lain terutama dalam sudut pemulihan trauma.
"Saya jangka dalam beberapa perlawanan awal mungkin Akhyar tidak akan sertai, tetapi dia akan mula berlatih selepas sesi pemulihan," katanya.
Beliau merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), juga menyatakan pihaknya telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi perkara terbabit.
"Kelmarin, kita telah selesai taklimat keselamatan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
"Perkara ini dipandang serius pihak polis dan kita ucapkan terima kasih kepada PDRM kerana sangat memperhalusi perkara ini.
"Kita juga akan membuat solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan Akhyar dan pemain-pemain lain termasuk Faisal Halim.
"Walaupun bukan dari pasukan kita, saya menyeru supaya rakyat Terengganu solat hajat dan mendoakan ke arah lebih baik buat Faisal," katanya.
08 May 24
191
Penghuni ‘Tirai Besi’ Terharu Hasil Tenunan Songket Diiktiraf
MARANG, 8 Mei – “Kami hanya penghuni penjara, tetapi hasil kerja kami diiktiraf dan ia satu penghormatan buat kami,” itu antara luahan salah seorang penghuni tirai besi yang mahir dalam tenunan songket.
Rashid (bukan nama sebenar),33, berkata dia bersyukur dengan anugerah kebolehan menenun yang diberikan Allah dan dalam tempoh tujuh tahun belajar di Bengkel Songket Penjara Marang, dia mampu meraih kemahiran walaupun masih perlu banyak belajar untuk menjadi penenun berkemahiran tinggi.
“Tidak pernah terlintas mahu menceburi bidang tenunan yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi saya mula meminati bidang ini selepas empat bulan mempelajarinya.
“Lebih membanggakan apabila songket bernilai ribuan ringgit itu dibeli dan digunakan orang kenamaan,” katanya yang kini sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara.
Tambah Rashid lagi, hasil tenunan songketnya pernah menjadi pilihan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan kepercayaan itu membuatkan dia berusaha sedaya upaya menghasilkan produk tenun yang terbaik.
"Bebas nanti saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tenunan ini sebagai punca pendapatan berdasarkan permintaan yang sedia ada termasuk sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Karim (bukan nama sebenar),35, yang hanya berbaki hukuman penjara dalam tempoh 10 bulan lagi berkata Penjara Marang kini bukan sekadar tirai besi yang menempatkan banduan, tetapi turut melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tenunan songket sejak 2004.
“Saya mengambil masa empat tahun untuk menguasai ilmu tenunan songket dengan bantuan kakitangan dan pegawai di penjara ini.
“Saya cukup berbangga dan teruja dengan kepercayaan yang diberikan pelbagai pihak kepada kami walaupun bergelar banduan,” ujarnya.
Katanya, sejak menyertai bengkel tenunan itu, ia mengajar dirinya untuk bersikap sabar yang secara tidak langsung juga mencetuskan rasa keinsafan dan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dahulu.
Dia yang mula menjalani hukuman pada 2017 berkata, ilmu kemahiran tenun yang dipelajari di penjara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani hari-hari biasa selepas dibebaskan kelak.
08 May 24
261
Songkok Tradisional Mungkin Lenyap
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Satu-satunya pengusaha songkok yang masih mengekalkan pembuatan penutup kepala menggunakan kaedah tradisional bimbang warisan tradisi itu akan lenyap.
Adnan Hussin yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam pembuatan songkok berharap kerajaan Negeri Terengganu melakukan sesuatu untuk menarik minat bakat-bakat muda.
"Di samping itu kerajaan boleh mewujudkan galeri kraf di Muzium yang menjadi tumpuan pelancong-pelancong di dalam dan luar negeri.
"Di galeri itu diadakan kelas-kelas jahitan songkok, tenunan songket dan melukis batik Terengganu untuk menarik minat generasi muda kepada seni budaya Terengganu," katanya.
Beliau yang ditemui oleh pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kedainya di Losong hari ini.
Beliau yang merupakan generasi ketiga pembuat Songkok Warisan mula berkecimpung setelah kematian ayahnya Hussin Mahmud."Saya harap adalah pelapis untuk meneruskan seni jahitan songkok ini," katanya yang menerima tempahan songkok kerabat diraja dan exco-exco kerajaan.
08 May 24
279
ECRL Bakal Lonjak Perkembangan Pelabuhan Kemaman, EPIC
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad sedang merancang secara terperinci bagi membesarkan Pelabuhan Kemaman untuk mengeksploitasi potensi yang dibawa oleh Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata pembesaran itu dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada kawasan sekitar, termasuk peningkatan perdagangan dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Katanya, projek jajaran sisihan laluan (spurline) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah salah satu projek utama EPIC Berhad.
“Landasan keretapi ECRL akan berakhir di dalam Pelabuhan Kemaman. Ini membolehkan kargo-kargo dihantar terus ke pelabuhan dan tiada 'double handling'.
“Faktor ini akan menarik minat pelabur-pelabur yang di sekitar Pelabuhan Kemaman, Terengganu dan negeri-negeri lain untuk menggunakan Pelabuhan Kemaman,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Muhtar, EPIC juga mempunyai tanah-tanah di sekitar kawasan pelabuhan yang boleh digunakan oleh perniagaan-perniagaan yang akan memanfaatkan perkhidmatan ECRL sepenuhnya.
Menurutnya, pihaknya sedang berbincang dengan pelabur yang berpotensi menggunakan tanah tersebut, termasuk pelabur dari dalam dan luar negara.
“EPIC juga dalam proses menaiktaraf fasiliti-fasiliti dalam Pelabuhan untuk melengkapkan keperluan ECRL seperti pembelian kren-kren baharu yang khusus untuk kontena ECRL, membesarkan kawasan terbuka untuk disewa oleh pengguna ECRL.
“Dengan adanya kren-kren baharu setelah terpasang kesemuanya pada 2026, kapasiti pelabuhan akan ditingkatkan dari 4 juta tan metrik (MT) setahun pada masa kini ke 12 juta tan metrik (MT),” ujarnya.
Muhtar berkata, setelah siapnya projek pembesaran pelabuhan yang dijangka pada tahun 2029, kapasiti pelabuhan akan terus meningkat ke 30 juta tan metrik (MT) setahun.
08 May 24
1138
Sultanah Nur Zahirah Lawat Bengkel Songket di Penjara Marang
MARANG. 7 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Bengkel Songket dan Galeri Pameran Songket di Penjara Marang di sini, hari ini.
Baginda tiba di Kompleks Penjara Marang pada 11 pagi dan meluangkan masa hampir dua jam bagi melihat pameran dan tenunan yang dihasilkan banduan di penjara itu.
Turut berangkat mengiringi baginda, paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Turut menyambut ketibaan baginda, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan isteri serta isteri Setiausaha Kerajaan Terengganu,Toh Puan Seri Nor Zaini Abd Latif.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor.
Sultanah Nur Zahirah turut berkenan beramah mesra dengan para banduan yang merupakan penenun songket di bengkel penjara Marang.
07 May 24
208
Pengarah Penjara Terengganu Dahului 149 Penerima Pingat Kebesaran Negeri
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Hamid Taha dan Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat mengetuai senarai 149 individu penerima Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan ke-62 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri kepada 149 individu berkenaan.
Pada istiadat itu, seramai dua penerima dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (PJC), 133 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), tiga penerima Bintang Lama Berjawatan (BLB) dan 11 penerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).
Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Majlis yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu berakhir sekitar jam 12.00 tengahari, dengan jangka masa selama satu jam tiga puluh minit program berlangsung.
Untuk rekod, darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Terengganu dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada mereka yang telah menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negeri Terengganu.
05 May 24
6217
Tomislav Gusar Serangan Sang Penyu Masih Tumpul
KUALA NERUS, 4 Mei - Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan aksi terakhir pramusim menentang Kelantan Darul Naim FC, malam tadi bukanlah 'permainan sebenar' pasukannya.
"Ini bukan yang saya jangkakan, saya tidak tahu apa alasannya kerana kita tidak bermain sepertimana kita boleh dan biasa bermain. Apa yang berlaku kepada Akhyar semalam juga (mungkin mengganggu) dan segalanya kelihatan tidak seperti biasa.
"Sebelum perlawanan, saya bertanya kepada pemain adakah semuanya baik, mereka mengiyakan tetapi apa yang kita lihat dalam perlawanan, ia sebaliknya," luah jurulatih kelahiran Croatia itu.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang berkesudahan seri 0-0 itu, Sang Penyu dilihat masih tumpul di hadapan gawang , lebih-lebih lagi tanpa kehadiran penyerang utama, Ivan Mamut yang dilanda kecederaan.
"Separuh masa pertama, kami mengawal permainan dengan lebih banyak peluang, kami pasukan yang lebih baik tetapi bermain terlalu lembut.
"Selepas itu saya melakukan pertukaran lebih awal untuk mendapatkan tenaga baru tetapi saya tidak dapat apa yang dimahukan, hanya ia keputusan yang baik kerana kami tidak melepaskan gol tetapi, sekali lagi kami mempunyai masalah untuk menjaringkan gol.
"Kami mengalami masalah tanpa kualiti tambahan, saya jangkakan apabila Ivan kembali selepas kecederaan dalam beberapa minggu, akhyar dan Azam Azmi untuk lebih serangan, saya harapkan permainan lebih baik kerana hari ini saya tidak boleh berpuas hati.
"Saya akan cuba mencari sebabnya kerana kami bermain lebih baik menentang Sri Pahang FC dan mengawal permainan walaupun mereka lawan yang baik, hari ini kami banyak peluang tetapi tidak menguasai perlawanan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berharap pemain sayap, Akhyar Rashid yang cedera disamun, Khamis lalu dapat kembali dengan keadaan dan mental yang lebih baik kepada pasukan.
"Sesuatu yang tidak dapat membunuh kamu akan menjadikan kamu lebih kuat, itu pesanan saya kepada pemain dan saya harap Akhyar akan kembali lebih kuat daripada sebelum ini.
"Saya tidak tahu banyak tentangnya, saya harap dia akan kembali segera cuma saya tidak betigu tahu bagaimana tahap kecederaannya, tetapi untuk sistem serangan dia penting pada masa ini.
"Saya tidak mahu terlalu mengganggunya tetapi dia tahu kami semua, pemain, pengurusan dan penyokong sentiasa bersamanya," katanya.
04 May 24
535
Sultan Terengganu Titah Angkat Masjid Sebagai Pusat Komuniti Dinamik Masyarakat
MARANG, 4 Mei - "Selain merupakan tempat ibadah umat Islam, masjid merupakan institusi penting dalam membangun masyarakat. Peranan Masjid termasuklah sebagai agen menyatukan ummah dan membentuk kerohanian, kelimuan dan juga pusat rujukan," titah Sultan Terengganu.
Demikian titah Sultan MIzan Zainal Abidin ketika berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Kampung Padang Mengkuang sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan Baginda, semalam.
Baginda turut bertitah supaya fungsi masjid dapat dikembangkan kepada peningkatan ekonomi dan sosial masyarakat.
"Dalam mengimarahkan masjid, dua perkara perlu diteliti dan dilaksanakan iaitu merancang, membina serta mengislahkan masjid supaya menjadi tempat yang disukai untuk dikunjungi sebagai sebuah pusat komuniti yang dinamik dalam memenuhi keperluan umat Islam.
"Begitu juga masjid perlu diimarahkan dengan pengisian kerohanian, ilmu dan fungsi asalnya kekal sebagai tempat sujud dan beribadah dalam melaksanakan perintah Allah SWT," titah Baginda.
Sultan Mizan juga berkenan menyeru Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi bimbingan kepada ahli jawatankuasa masjid dalam merancang fungsi kewangan masjid untuk lebih relevan dengan keperluam masa kini.
"Program yang melibatkan belia dan kanak-kanak seperti mengadakan Kem Solat dan Fardhu Ain, kelas tuisyen, pertandingan sukan dan lain-lain yang boleh menarik minat mereka dan berkumpul dan beraktiviti di masjid disamping menunaikan solat berjemaah.
"Dalam masa sama, jawatankuasa masjid boleh berperanan membantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyalurkan maklumat ahli kariah yang memerlukan bantuan untuk diambil tindakan seterusnya oleh Pusat Zakat MAIDAM.
"Sekali lagi, Beta mengharapkan setiap program yang dilaksanakan, ia dapat mencapai matlamat untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat agar umat Islam bersatu padu dalam meninggikan syariat Islam di negeri yang kita cintai ini," titah Baginda.
Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Mizan diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan ahli-ahli dewan undangan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh bilal Masjid Abidin, Abdul Hadi Che Abdul Halim dan ucapan alu-aluan oleh Dr. Samsuri.
Sultan Mizan kemudian berkenan menyampaikan titah seterusnya menandatangani plak perasmian diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Baginda mencemar duli bersantap bersama rakyat sebelum berangkat pulang.
04 May 24
369