Artikel "Utama" Terkini
Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu ‘terkejut’ dengan komitmen Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang tidak mengadakan perlawanan bola sepak membabitkan Terengganu FC di negeri itu pada malam Jumaat sebagai menghormati dasar kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya menghargai maklum balas AFF yang bersetuju mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, walaupun ia permintaan yang agak kerdil, tetapi ia sangat besar ertinya buat rakyat Terengganu.
“Sebagaimana yang telah maklum, Terengganu FC dan KL City dipilih mewakili negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Kelab Asean, Shopee Cup. Ia merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pasukan beraksi dan sekali gus sebagai satu penghormatan buat Terengganu FC.
“Apa yang menarik, sewaktu sesi lawatan delegasi AFF ke Terengganu pada 19 Mac 2024, pihak Terengganu FC telah kongsikan maklumat berkenaan polisi Kerajaan Negeri melalui yang tidak membenarkan acara berbentuk hiburan diadakan pada malam Jumaat kerana ia dikhaskan sebagai waktu tenteram masyarakat.
“Ia dimaklumkan oleh pihak TFC bagi memberikan kemudahan kepada pihak penganjur untuk menyusun jadual perlawanan selepas ini seandainya membabitkan Terengganu sebagai tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu itu berkata, sebaik sahaja penjelasan polisi itu diberikan kepada pihak AFF, penganjur kemudiannya berkongsi satu ’Special Provision’ yang diberikan kepada Terengganu sempena Shopee Cup.
“Sejujurnya, kami tidak menjangkakan AFF mengambil serius dan sangat menghormati permintaan Terengganu sehingga ia ditayangkan secara langsung dalam sesi taklimat sewaktu undian pada hari kelmarin di Ho Chi Minh City.
“Semua pasukan yang terlibat juga memahami dan memberikan respon yang sangat baik atas permintaan ini. Agenda sukan sebenarnya sangat menyatukan sekalipun berlainan agama dan bangsa.
“Sekali lagi, dirakamkan ucapan terima kasih kepada pihak AFF dan Shopee sebagai penganjur dan penaja utama atas penghormatan yang diberikan kepada Terengganu,” tambah Hishamuddin.
12 May 24
13538
REE : Aset Kekayaan Tersembunyi Terengganu
Siapa sangka, Terengganu di bawah tanah yang subur ini, terdapat kekayaan yang sangat bernilai iaitu unsur nadir bumi (REE) yang memainkan peranan penting dalam pelbagai industri moden abad ini, daripada elektronik hingga teknologi hijau.
Kenapa unsur tersebut dianggap begitu bernilai dan sentiasa menjadi topik hangat setiap kali dibahaskan di dewan negeri mahupun rakyat?
Ini kerana kumpulan unsur nadir bumi terdiri daripada elemen-elemen yang sangat jarang dijumpai dalam kerak bumi! Termasuk Scandium (Sc), Yttrium (Y), serta kumpulan unsur lantanida dan aktinida.
Setiap unsur ini mempunyai sifat unik yang memberikan nilai tambah dalam aplikasi teknologi, seperti kekuatan magnetik, kestabilan termal, dan kemampuan penghantar.
Di negeri Terengganu, kajian dan penemuan terkini menunjukkan bahawa terdapat potensi besar untuk kehadiran unsur nadir bumi dalam tanah dan batuan di beberapa kawasan seperti Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman.
Sekali gus, membuka peluang besar bagi negeri Terengganu untuk memanfaatkan sumber daya alamnya yang kaya ini dalam pembangunan industri dan teknologi.
Penemuan ini juga telah membuka peluang ekonomi baru bagi negeri itu. Dengan menggali dan memanfaatkan sumber daya alamnya yang berharga, Terengganu berpotensi menjadi pemain penting dalam industri global yang bergantung pada unsur-unsur nadir bumi.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 tahun 2023, unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).
“Kajian yang dilakukan terhadap kawasan tanah luluhawa granit di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, menunjukkan bahawa kawasan yang berpotensi tersebut mempunyai keluasan 1,437,500 ekar dan dapat menghasilkan sebanyak 7,187,500 tan REE.
“Kerajaan negeri sentiasa memandang ke hadapan dalam perlombongan REE di Terengganu dengan menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengannya,” jelasnya.
Meskipun kekayaan ini menawarkan peluang yang menggiurkan, ia juga datang dengan tanggungjawab besar! Perlu dilakukan pengurusan sumber daya yang bijaksana dan berkesan untuk memastikan manfaat jangka panjang bagi negeri dan penduduknya.
Ini termasuk mempertimbangkan impak alam sekitar, pembangunan infrastruktur, dan pembangunan kemahiran tempatan untuk mengambil bahagian dalam industri ini.
Dengan pemahaman yang lebih baik tentang pentingnya unsur nadir bumi dalam industri global, Terengganu dapat menjadi pusat penting bagi penelitian, pembangunan, dan pengeluaran unsur-unsur ini.
Pelaburan yang sesuai dan dorongan inovasi, negeri ini berpotensi memimpin dalam pembangunan teknologi yang lebih lestari dan inovatif.
Exco Pelaburan Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan unsur nadir bumi (REE) berhampiran Pelabuhan Kemaman.
“Pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024 dan tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.
"Pihak Star Group juga telah melawat lokasi berkenaan dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ," ujarnya.
Pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di Terengganu mempunyai beberapa kelebihan yang dapat membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
Industri ini memerlukan pelbagai jenis pekerja mulai dari ahli geologi, jurutera perlombongan, ahli kimia dan pelbagai lagi. Ini mencipta peluang pekerjaan yang pelbagai sesuai dengan latar belakang dan kemahiran penduduk tempatan.
Kesimpulan daripada rencana ini, pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di Terengganu tidak hanya menciptakan pekerjaan, tetapi juga memberikan dampak positif yang besar pada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri tersebut.
Muhammad Hafizuddin Rosli | Wartawan TRDI.
12 May 24
13252
MAIDAM Jalin Kerjasama Dengan Dua Syarikat Takaful
KUALA TERENGGANU, 12 Mei – MAIDAM menerusi anak syarikatnya, MAIDAM Property Sdn Bhd (MPSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Grand Gosh Group (M) Sdn Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT) bagi memperluaskan kerjasama dalam sektor perniagaan takaful.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah pada majlis berkenaan.
“Langkah yang diambil oleh MAIDAM ini bertujuan bagi memberikan peluang kepada masyarakat Terengganu untuk memilih dengan bijak dalam mendapatkan perlindungan takaful yang terbaik.
“Malah, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan produk yang mematuhi hukum syarak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman MoU Perniagaan Takaful Antara Maidam Property SDN BHD, Grand Gosh (M) SDN BHD dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad bertempat di Dewan Gamelan 3, Hotel Primula Beach Resort di sini semalam.
MoU ditandatangani oleh Pengurus Besar MPSB, Wan Farid Imran Wan A. Latif, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grand Gosh, Saiful Nizam Shaikh Aladdin, dan Ketua Pegawai Eksekutif HLMT, Mohd Asri Omar.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua MAIDAM merangkap pengerusi Lembaga Pengarah MPSB serta turut dihadiri oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi MPSB serta pegawai-pegawai daripada Grand Gosh dan HLMT.
Dengan termeterainya memorandum ini, MPSB akan menjalankan aktiviti perniagaan baharu iaitu dalam bidang takaful dan mengadakan kerjasama strategik dengan Grand Gosh dan HLMT.
Sekali gus, memperkenalkan, mempromosikan serta memasarkan pelan-pelan Takaful dari HLMT yang sedia ada antaranya i-Flexi Protect, i-Heritage Protector, i-Kudrat, i-Care Hasanah Privilege, i-AcciPlus atau pelan-pelan baharu yang akan dilancarkan oleh HLMT dari semasa ke semasa.
Tambah Shaikh Harun, pihaknya berharap supaya kolaborasi antara MPSB bersama Grand Gosh dan HLMT memberi manfaat yang besar untuk masyarakat Terengganu dan ia tidak terhenti hanya setakat produk Takaful semata-mata.
“Semoga selepas ini ada langkah-langkah susulan daripada kedua-dua pihak untuk mengadakan kolaborasi dalam skala yang lebih besar bagi kepentingan rakyat negeri ini,” ujarnya.
12 May 24
1010
'Pintu Rumah Negeri Kami Sentiasa Terbuka' - Dr Sam
KUALA NERUS, 12 Mei - "Pintu rumah negeri kami sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan yang baik berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi Kesejahteraan Rakyat," ujar Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ujarnya, selama ini apa yang diiltizamkan olehnya adalah memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bertambah baik.
"Pintu rumah terbuka ini juga adalah gambaran keyakinan kami, bahawa hubunagn antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sentiasa positif dan bertambah baik seperti peribahasa Melayu ; tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih.
"Di masa yang sama, terbukanya rumah besar ini bukan bermakna rumah kami tidak bertuan, apabila sahaja rumah ini dikunjungi dan tetamu berada di depan pintu, maka berikanlah salam, insya-Allah salam akan disambut," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, berbeza pandangan dan politik adalah lumrah namun matlamat sama di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu diutamakan agar rakyat tidak menjadi mangsa.
Namun, katanya perbezaan yang ada juga mesti mengikut garis panduan, kaedah dan adabnya.
"Sasaran, yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan, contohnya untuk menokhtahkan kemiskinan tegar di Malaysia termasuklah di Terengganu, merupakan antara satu hala tuju yang sama digariskan oleh pentadbiran kerajaan negeri.
"Begitu juga persamaan dalam usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sebagainya.
"Seharusnya dalam keadaan sebegini, masa dan tumpuan kita dicurahkan pada membincangkan dan melunaskan persamaan ini daripada melebarkan perbezaan yang ada antara negeri dan Persekutuan, apatah lagi perbezaan tersebut adalah perbezaan partisan," katanya.
Justeru beliau yakin jika negara serta negeri ditadbir secara telus maka rakyat akan dapat lebih banyak manfaat.
"Saya yakin, jika kita tulus dan murni hati demi masa depan dan kesejahteraan rakyat secara bersama maka lebih banyak perkara yang dapat kita capai dalam kerangka semangat federalisme," ujarnya.
12 May 24
276
62 'Duyufurrahman' DUN Bukit Tunggal Dirai
Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
KUALA NERUS, 12 Mei – Seramai 62 jemaah duyufurrahman (bakal tetamu Allah) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dirai dalam majlis yang diadakan di Masjid Bukit Kandis Kuala Nerus di sini.
ADUN Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid turut berpeluang hadir bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai serta cenderahati kepada para jemaah tersebut.
Katanya, selamat berangkat kepada insan-insan yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT di bumi Mekah bagi menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.
“Dalam melaksanakan perintah Allah ini, setiap halangan perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya.
“Bagi yang belum ada rezeki, sama-sama kita berterusan tetapkan niat untuk menjejakkan kaki ke sana bagi melunaskan kewajipan sebagai orang Islam,” katanya ketika majlis berkenaan kelmarin.
Tambah Zaharuddin, semoga segala amal ibadah yang akan dilaksanakan di sana diterima serta diberkati-Nya.
Beliau juga turut menekankan pentingnya menjalankan ibadah haji dengan penuh kesabaran dan kekhusyukan.
Majlis diakhiri dengan solat hajat bersama bagi memohon keberkatan dan diterimanya amalan mereka, di mana suasana kesyukuran dan harapan turut menyertai setiap doa yang dipanjatkan.
“Semoga perjalanan mereka ke Makkah diberkati oleh Allah SWT dan ibadah haji mereka diterima dengan sepenuhnya,” ujarnya.
12 May 24
257
Misi Pertama Terengganu FC Cemerlang
KUALA NERUS, 11 Mei- Terengganu FC memulakan misi Liga Super 2024/2025 dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.
Dalam perlawanan tersebut, Pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tuskhtasinov membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nadzli, untuk tuan rumah selesa di hadapan.
Pasukan pelawat cuba untuk menyamakan kedudukan, tetapi tandukan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-36 hanya singgah di palang.
Sang Penyu hampir menambah jaringan pada minit terakhir separuh masa pertama, apabila Marin Pilj yang menerima hantaran lintang Nur Hakim Hassan berjaya menarik penjaga gol lawan keluar, namun umpanannya tidak berjaya disudahkan Manuel Ott.
Memasuki babak kedua, Perak FC cuba bangkit dengan mengukuhkan penguasaan bola.
Pada minit ke-50, Tommy Mawat melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti, namu berjaya dinafikan Syed Muhammad Nasrulhaq.
Bagaimanapun, sepuluh minit kemudian Sang Seladang berjaya memadamkan perbezaan jaringan hasil sepakan penalti Luciano Guaycochea, selepas Manuel Ott melakukan bentesan ke atas Lee Tae-Min.
Terengganu FC tidak menunggu lama untuk kembali menguasai perlawanan apabila pertahanan lawan, Shivan Pillay tertampan bola ke gawang sendiri setelah Haziq menepis bola lintang Nik Sharif Haseefy pada minit ke-65.
Duka bertambah buat pelawat pada minit ke-74 apabila pertahanan, Luiz Henrique dilayangkan kad kuning kedua.
Pada minit ke-80, Terengganu FC 'menguburkan' harapan Perak FC untuk bangkit apabila pemain gantian, Chukwu Chijioke yang baru dimasukkan menewaskan Haziq untuk gol ketiga tuan rumah setelah menerima umpanan Engku Muhammad Nur Shakir.
Keputusan kekal 3-1 sehingga tamat perlawanan menyaksikan Terengganu FC meraih tiga mata pertama dalam aksi sulung Liga Super 2024/2025.
11 May 24
314
KMI Diiktiraf Sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) dinobat sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik di Malaysia pada acara berprestij GlobalHealth Asia-Pacific 2024.
Majlis yang berlangsung di JW Marriott Phuket Resort and Spa baru-baru ini dianjurkan sebagai meraikan kecemerlangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta di rantau Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali yang menerima anugerah penghargaan tersebut bagi pihak organisasi, merakamkan setinggi penghargaan diatas pengiktirafan KMI Healthcare yang dipilih sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbaik di Malaysia.
Menurut beliau, anugerah GlobalHealth Asia-Pacific bertujuan memberi pengiktirafan kepada hospital-hospital swasta yang secara konsisten membudayakan amalan penjagaan dan perkhidmatan perubatan yang cemerlang dan berdaya maju.
"Pengiktirafan KMI Healthcare sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik merupakan medium bagi merealisasikan slogannya iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’ dan mengukuhkan kedudukannya dalam komuniti setempat sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Pilihan yang Dipercayai," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, prestasi KMI Healthcare terus cemerlang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.
"Beroperasi 24 jam sehari, rangkaian hospital KMI Healthcare menyediakan perkhidmatan mudah akses bagi penjagaan kesihatan yang berterusan.
"Sebagai sebuah Kumpulan rangkaian hospital swasta yang sedang pesat berkembang, KMI Healthcare kini beroperasi di lima buah hospital pakar komuniti iaitu, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KM Taman Desa Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre, " ujarnya.
Tambah beliau, ciri utama pendekatan KMI Healthcare adalah penekanan terhadap keselesaan dan privasi pesakit.
"Hospital yang dibina khas turut menawarkan hanya bilik persendirian bagi tujuan keselesaan pesakit ketika berada di wad sekaligus mengurangkan risiko penularan jangkitan.
"Komitmen KMI Healthcare terhadap pengalaman pesakit juga terserlah melalui penerapan Hospital Mesra Ibadah, yang mengintegrasikan amalan keagamaan dalam aktiviti seharian, memastikan kesejahteraan emosi dan rohani pesakit, " jelasnya.
11 May 24
439
Dr Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
KUALA NERUS, 10 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa keluhan, pandangan dan harapan rakyat di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri semalam.
Ujarnya, apa jua suara yang dilontarkan rakyat perlu diberikan perhatian oleh semua pihak sama ada pemimpin di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan.
"Saya rumuskan keluhan rakyat ini dengan kata kunci 'impian kita semua', adalah menjadi impian kita untuk negara dan negeri ini akan terus mencapai kemajuan bertunjangkan keharmonian dan perpaduan antara rakyat yang pelbagai.
"Impian kita, negara dan negeri ini lebih aman dengan menjunjung politik matang yang menoktahkan pengalaman 'Politik MachiaVelli', politik fitnah, politik dendam dan dikriminasi, (juga) impian kita negara ini yang bermula dari Perlis hingga ke Sabah rakyatnya mendapat perhatian yang saksama, tanpa dibaluti warna yang berbeza dan menyisihkan.
"Impian kita, pengalaman dan semangat federalisme yang termaktub kukuh dalam perlembagaan, terus mengakrab dan mempererat, bukan merosak dan menjarak hubungan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Ahmad Samsuri berkata, adalah menjadi impian setiap rakyat agar pemimpin negara dan negeri saling kuat memperkuat.
"Laksanakan amanah dipundak masing-masing dengan penuh integriti, agar kita semua dipertemukan semula di Syurga-Nya nanti.
"Saya percaya inilah impian kita semua yang perlu kita capai, demi 'Malaysia Sejahtera'," ujarnya.
10 May 24
374
Sultan Mizan Berkenan Nikmati Santapan Bersama Warga Istimewa, Fakir Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 400 penerima.
Penerima melibatkan 100 asnaf fakir miskin yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), 200 Orang Kelainan Upaya (OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
09 May 24
1469
Tun Ahmad Faisal Kemudi Kontinjen Terengganu ke SUKMA XXI Sarawak
KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ditauliahkan secara rasmi sebagai Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA Terengganu yang bakal bersaing di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Pentauliahan disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, semalam.
Selain itu, Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Maldiana Abd Patah turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (TCDM).
Pelantikan itu merupakan tanggungjawab kali kedua berturut-turut buat Tun Ahmad Faisal setelah mengetuai kontinjen Terengganu menyandang Naib Juara keseluruhan di SUKMA XX, MSN 2022 yang lalu dengan pungutan 64 Emas, 49 Perak dan 56 Gangsa.
Sekalipun bergelar naib juara, pencapaian 64 Emas menjadi pencapaian terbaik kontinjen Terengganu di temasya sukan itu.
Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim juga menyempurnakan penyampaian Watikah Pelantikan Bapa Angkat dan Jabatan Angkatkepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen serta ketua-ketua jabatan.
Hadir sama dalam sesi terbabit ialah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kewangan negeri, Dato' Nara Setia.
Pelantikan itu menjadi tradisi kontinjen negeri sebagai strategi untuk meraih sokongan moral serta suntikan semangat daripada pelbagai peringkat kepimpinan negeri.
Penganjuran SUKMA Sarawak 2024 menawarkan 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Kontinjen Terengganu akan bersaing dalam 36 jenis sukan kecuali sukan Bola Keranjang.
Kini, kontinjen Terengganu telah memasuki fasa akhir persiapan dan latihan dengan berbaki 100 hari lagi menjelang temasya terbesar peringkat nasional itu.
09 May 24
466