lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
BESUT, 22 JUN - Penasihat Program DIVE AGAINST DEBRIS, Zuraidah Atan, kira-kira 150 sukarelawan dan pelancong dari luar negara telah bergotong-royong membersihkan Pulau Perhentian dekat Kuala Besut dan kawasan sekitar melalui program Dive Against Debris (DAD). Dalam program ini, mereka mengumpul sampah di dasar laut dan di pesisir pantai. Pada hari semalam, berjaya dikutip sebanyak 70 kilogram (kg) sampah di Pasir Panjang, Pulau Perhentian.    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Azbi Salleh, usaha itu akan memastikan pulau tersebut akan terus terjaga akan keindahan serta kebersihannya untuk terus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara. berkata, "Misi lebih besar kita ialah menjaga ekosistem dan konservasi laut. Di Pulau Perhentian Kecil ini, keindahan laut begitu penting untuk mengekal dan menambah bilangan kehadiran pelancong dari seluruh dunia. "Di sini, adalah salah satu tempat pilihan mereka menyelam. Kita mahu pelancong berkongsi cerita dan berita mengenai keindahan Pulau Perhentian Kecil ini, bila mereka pulang ke negara masing-masing. "Dengan kecangihan teknologi maklumat (IT) hari ini, saya harap program ini dihebohkan atau diviralkan secara meluas ke seluruh dunia. Kita tidak mahu bilangan pelancong terjejas hanya disebabkan kita gagal menjaga kebersihan laut dan pantai di sini," ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini, baru-baru ini. "Melalui program ini, saya berharap kegiatan D.A.D dan pembersihan pantai ini akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang supaya menjaga kebersihan laut dan mewujudkan laut yang bebas daripada sampah sarap. "Daripada penjelasan penyelam, mereka dapati banyak barangan buangan dan sampah sarap di dasar laut kita seperti plastik, pukat, botol, besi, kayu, kasut, dan bermacam-macam lagi. "Oleh itu, kita mesti galakkan generasi hari ini dan bakal generasi akan datang supaya menanam sikap membersihkan laut dan benci kepada kekotoran laut," katanya. "saya memberi jaminan bahawa sekiranya program seperti ini hendak dijalankan lagi, di mana-mana pulau di Terengganu darul Iman ini, saya percaya ia akan mendapat sokongan daripada Jabatan Pelancongan. Kalau hendak diadakan di Besut, Insya-Allah, saya sedia membantu, Kita mahu menjadikan laut di negara ini, khasnya di Terengganu Darul Iman ini sentiasa bersih sama ada pada permukaan atau di dasar laut. Kita berharap nama Malaysia akan berada sebaris dengan beberapa negara lain seperti di Indonesia, Filipina, Maldives, Thailand, Australia dan negara Eropah seperti di England, Sepanyol, Itali, Croatia, dan beberapa negara lain dalam melaksanakan kegiatan D.A.D ini," Ujarnya lagi. Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Besut, selaku peneraju utama program ini bersama SALAM BEST serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program ini. "Syabas dan Tahniah kepada Kenanga Investor Berhadkerana menjadi penaja utama dalam program ini buat kali kedua dalam program DIVE AGAINST DEBRIS (D.A.D) dan pembersihan pantai di Pualau Perhentian. "Dengan sokongan yang diberikan oleh Kenanga Investor, syarikat ternama yang menguruskan kegiatan sekuriti, nasihat pelaburan, perancangan kewangan, dan sebagainya bagi menjayakan program ini. "Terima kasih Kenanga Investor kerana komited untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar di darat dan di laut," katanya lagi. Untuk rekod, DAD merupakan gerakan sains warga bawah air terbesar di dunia yang memerangi pencemaran marin. Sejak 2011, lebih daripada 90,000 penyelam dari seluruh dunia telah menyumbang data mengenai jenis dan jumlah sampah yang dikeluarkan dari persekitaran bawah air. Data ini memainkan peranan penting dalam mengisi jurang maklumat mengenai sampah laut. Kita semua boleh menyertai gerakan ini dengan menjadi penyelam dan menyumbang kepada kebersihan bawah laut.  
22 Jun 24
211
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kemerosotan terburuk Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2024 memperlihatkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejatuhan tujuh anak tangga ke kedudukan 34 dan menjadi yang tercorot dalam sejarah negara itu perlu diberikan perhatian segera. Kataya, bagi memastikan negara berkeadaan baik, pandangan serta teguran yang membina daripada pelbagai pihak harus dipandang serius. "Saya rasa kerajaan perlu bersifat terbuka untuk menerima teguran kerana selama ini banyak perkara yang berlaku seolah-olah kerajaan menutup mata dan telinga daripada melihat apa yang disampaikan oleh mereka yang pakar tentang aspek pelaburan, tata kelola dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Tapak Pembukaan Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Amzad berkata negara kini sedang menuju ke belakang lantaran tindakan yang diambil tidak melbatkan urus tadbir yang baik. "Diterima secara negatif oleh pasaran, misalnya kenaikan harga diesel yang terlalu mendadak seolah-olahnya dilihat tidak ada mekanisma libat urus yang baik. "Jadi setelah dinaikkan dahulu harga diesel baru timbul satu persatu isu di kemudian hari. "Ini merupakan susuatu yang kita bimbang memberi mesej tidak elok tentang pendekatan pentadbiran negara kita yang memberi kesan kepada daya saing negara," katanya.
20 Jun 24
300
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata langkah itu diambil setelah menerima aduan serta rungutan orang ramai mengenai kemudahan tempat beribadat di kawasan rekreasi terbabit. Katanya, surau beserta tandas baru itu dijangka boleh digunakan bermula Ogos. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak EPIC kerana telah memperuntukkan belanja untuk satu projek yang sangat bermakna di dalam Parlimen Kuala Terengganu. "Saya tengok pada pelan pembinaan surau dan tandas ini sangat selesa untuk kegunaan muslimin dan muslimat. "Juga telah dimaklumkan pihak EPIC turut bermurah hati bagi menanggung sepenuhnya berkait utiliti , penyelengaraan dan sebagainya supaya surau ini boleh berjalan dengan sempurna," ujarnya. Beliau yang juga merupakan pengarah EPIC berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Tapak Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini. Menurut Amzad, bagi memastikan keadaan surau itu terpelihara dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan bersih pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil juga telah bersetuju menjaganya termasuk memastikan ia sentiasa diimarahkan. "Kita akan menyerahkan kepada pihak yang akan menguruskan surau ini, kita tidak mahu ia akan dijadikan sebagai tempat tidur percuma kepada golongan gelandangan tanpa penjagaan rapi. "Surau ini boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu-satu masa, yang akan turut dilengkapi penghawa dingin yang lebih baik dari sebelum ini," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama katanya syarikat EPIC telah membelanjakan sebanyak RM2.3 juta setakat tahun ini bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Menurutnya antara CSR yang telah dijalankan ialah di Padang Astaka di Jerteh, Sekolah Ittifaqiyah dan Sekolah Seri Budiman serta beberapa sekolah pondok yang telah dibantu bagi melengkapkan keperluan yang dikehendaki.    
20 Jun 24
557
Kumpulan EPIC Catat Perolehan RM344 Juta
Kumpulan EPIC Catat Perolehan RM344 Juta
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) mengumumkan perolehan sebanyak RM344.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023(TK2023), peningkatan daripada RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022 (TK2022). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Muhtar Suhaili menjangkakan, pertumbuhan perolehan akan meningkat lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat. Menurutnya, ia diperlihatkan oleh Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh pada jumlah RM81.0 juta mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan. "Apa yang paling memberangsangkan bagi TK2023 ialah lonjakan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) kepada RM8.9 juta yang mana ia lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada TK2022. ""Prestasi kewangan yang kukuh pada TK2023 dan lima bulan pertama TK2024 jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi. "Pihak syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan," katanya. Makluman berita baik itu dijelaskannya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 yang dipengerusikan Pengarah EPIC Berhad, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, di sini hari ini. Dalam AGM berkenaan, turut dibentangkan bahawa Kumpulan EPIC mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 23% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Keuntungan kasar pula naik 42% kepada RM67.0 juta, manakala Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) direkodkan mencapai RM24.0 juta, 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu. "Tinjauan prestasi lima bulan pertama tersebut berakhir dengan rekod cemerlang PAT sebanyak RM15.5 juta, kenaikan ketara melebihi sasaran keseluruhan PAT yang diluluskan bagi tahun 2024 iaitu pada jumlah RM14.5 juta. "Melangkah ke hadapan, EPIC Berhad optimis untuk mengekalkan trajektiori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan, termasuklah projek-projek yang sedang berjalan dan dirancang terutamanya Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman, Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau ‘Green Ship Recycling Facility’ (GSRF) serta proses menaik taraf fasiliti-fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu oleh rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," ujarnya. Tambahnya, pihak syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan, di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong sebagai pasaran masa depan.
20 Jun 24
341
Rakyat Dedikasi Lagu 'Diesel Naik Harga' Buat Kerajaan
Rakyat Dedikasi Lagu 'Diesel Naik Harga' Buat Kerajaan
Biarpun sudah lebih 10 hari berlalu, rakyat Malaysia masih belum puas bercakap tentang isu kenaikan harga diesel. Bukan hanya orang muda yang bersuara, malah masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang turut mempamerkan pandangan serta rasa ‘geram’ masing-masing. Justeru sebagai tanda ‘mengingati’ tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, wujud beberapa individu dan kumpulan menghasilkan banyak lagu yang memperlihatkan 'kesakitan' dilalui oleh rakyat. Lagu-lagu berkenaan juga secara sinis mengingatkan semula pemimpin tentang janji yang pernah dilaungkan ketika bergelar pembangkang. Respons yang diterima daripada pendengar pula amatlah mengejutkan, rata-rata masyarakat suka dan sangat bersetuju dengan lirik serta penghasilan lagu tersebut yang mengambarkan isi hati mereka. “Wah, terbaik lagu ini, kena dengan suara dan perasaan rakyat ketika ini. “Dulu berjanji lain, sekarang buat perkara lain, mempermainkan hati kami,” komen seorang pengguna TikTok di klip video lagu berkenaan. Selain itu, ada juga rakyat yang bersuara supaya lagu-lagu seperti itu diperbanyakkan agar pemimpin yang berada di puncak kuasa sedar dan tidak lupa diri. “Tularkan lagu-lagu ini, biar semua orang sedar apa yang sedang berlaku. “Kita bukan ‘patung’ untuk dibuat mainan sesuka hati, rakyat ada hati dan perasaan,” jelas individu itu. Tinjauan di media sosial mendapati sekurang-kurangnya lima lagu dan klip video yang berkisar tentang kenaikan harga diesel. “Setiap hari ada lagu baru, ingatkan seminggu sekali, kreatif sungguh rakyat Malaysia,” ujar seorang pengguna media sosial. Apa-apa pun, ini adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat kepada pemerintah yang sepatutnya diberi tumpuan. Jiwa ‘memberontak’ ini muncul dek kerana janji yang bukan hanya tidak ditepati, tetapi melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan harapan rakyat. Lidah Pengarang.
20 Jun 24
241
1,500 Pek Daging Korban Diagih Kepada B40
1,500 Pek Daging Korban Diagih Kepada B40
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 20 Jun – Sebanyak 1,500 pek daging korban telah diagihkan kepada rakyat kurang berkemampuan dalam Majlis Korban Perdana Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang diadakan di Surau Kampung Pak Tuyu semalam. ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 10 ekor lembu dan dua ekor kerbau telah dikorbankan dalam majlis tersebut. “Sebanyak tiga ekor lembu juga telah berjaya dikorbankan dalam satu majlis ibadah korban yang diadakan sehari sebelumnya di Kampung Sungai Ikan,” katanya kepada pemberita ketika majlis berkenaan. Tambah Hishamuddin, terdapat beberapa agensi lain yang turut menyumbangkan lembu korban sempena majlis tersebut. “Bagi pihak DUN Tepoh, kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Terengganu Inc, Ladang Rakyat, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), EPIC dan GPQ Sdn Bhd yang menyumbang lembu korban sempena majlis kali ini,” tambah beliau. Selain itu, terdapat pelbagai pihak lagi yang turut menjayakan majlis tersebut dari melapah, membungkus dan mengagihkan daging.  “Antaranya adalah Pengerusi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) , Ulama’ PAS Dun Tepoh, Muslimat PAS Dun Tepoh, Pemuda PAS Dun Tepoh, Ameerah Dun Tepoh, Jabatan Amal, jamaah Surau Kg Pak Tuyu serta seluruh penduduk sekitar,” ujarnya.    
20 Jun 24
167
Operasi Dua Kren Baharu Tingkatkan Kecekapan Pelabuhan Kemaman
Operasi Dua Kren Baharu Tingkatkan Kecekapan Pelabuhan Kemaman
KEMAMAN, 19 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah melancarkan operasi dua kren gantri baharu dan tali sawat (conveyor belt) di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, dalam meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengendalian pelabuhan, baru-baru ini. Pengurus Besar Kanan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, Ashari Mohammad berkata penyediaan insfrastruktur ini mengoptimumkan operasi pengangkutan kargo secara lebih lancar dari pelabuhan ke fasiliti kilang. Menurutnya, tali sawat sepanjang 8.2 kilometer yang siap dipasang April lalu kini menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan kilang Eastern Steel Sdn Bhd ("ESSB").  “Dua kren baharu yang mula beroperasi pada 5 Mei 2024 dan dijangka meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 4 juta tan metrik ("MT") setahun kepada 7 juta MT setahun tersebut telah menunjukkan impak transformatif terhadap aktiviti pelabuhan, dengan pengendalian kargo tiga kali lebih tinggi daripada penggunaan kren kapal.  “Hasilnya, tempoh kapal berlabuh dapat dikurangkan sebanyak tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan kapasiti pelabuhan, memendekkan turnaround time dan meningkatkan produktiviti keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  Jelas beliau, kemajuan itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga meletakkan syarikat di landasan strategik untuk mencapai pertumbuhan dan memenuhi permintaan masa hadapan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Haji Muhtar Suhaili menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat dan menekankan bahawa pencapaian tersebut adalah satu komponen kritikal dalam strategi pertumbuhan yang lebih meluas. “Pencapaian ini adalah bukti dedikasi yang dikongsi bersama dan ia pasti akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan Kumpulan,”ujarnya lagi. Dalam masa sama, EPIC Berhad mempunyai perancangan kukuh untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan bagi dimanfaatkan oleh pelanggan sedia ada dan baharu pada masa hadapan.  “Dijangka pemasangan empat lagi tambahan kren Level-Luffing di Dermaga Timur yang akan dijalankan dalam beberapa tahun mendatang.  “Kren-kren baharu ini akan meningkatkan keupayaan pengendalian pelabuhan kepada 12 juta MT setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan EPIC Berhad sebagai pemain terkemuka dalam industri,” tambah beliau.
19 Jun 24
284
Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel
Kerajaan Digesa Wujud Jawatankuasa Selesai Isu Penyeludupan Diesel
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Kerajaan disyorkan mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian kepada isu penyeludupan diesel. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ucapan Menteri Ekonomi yang mendakwa berleluasanya kegiatan penyeludupan diesel di kalangan nelayan di tengah laut adalah satu dakwaan serius. "Menteri Ekonomi boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan.  "Bukan itu saja, malah profesion sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara telah dimomokkan dengan dakwaan begitu negatif," ujarnya. Jelas beliau, Jabatan Perikanan menguruskan pemberian Lesen Nelayan manakala LKIM adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan.  "Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, TLDM dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut berada di bawah beberapa Kementerian," katanya.
19 Jun 24
179
Sultan Mizan Solat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Mizan Solat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
KUALA NERUS, 17 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, hari ini. Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 7.50 pagi. Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Turut menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai kanan kerajaan negeri. Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar mengimamkan solat sunat Aidiladha dan menyampaikan khutbah bertajuk Aidiladha: Kemuncak Kejayaan Seorang Hamba. Sultan Mizan bersama Tengku Muhammad Ismail berkenaan menunaikan solat sunat bersama kira-kira 1,500 rakyat Terengganu. Selesai menunaikan solat sunat, Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda bersalaman bersama jemaah yang hadir sebelum mencemar duli menziarahi Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mizan berangkat pulang sekitar jam 9.00 pagi.  
17 Jun 24
318
Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam
Perhimpunan Terbesar di Padang Arafah, Lambang Kekuatan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Kerajaan negeri menyeru umat Islam untuk merebut peluang keampunan yang terbuka luas pada Hari Arafah, sambil menegaskan bahawa perhimpunan besar umat Islam di Padang Arafah adalah lambang kekuatan umat Islam di seluruh dunia. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah juga mengingatkan manusia tentang perhimpunan besar pada hari kiamat, di mana semua manusia akan dikumpulkan di hadapan Allah untuk dihisab. “Perhimpunan di padang Arafah adalah gambaran kecil dari perhimpunan besar itu. Marilah kita muhasabah diri dan memperbanyakkan amal soleh agar kita termasuk dalam golongan yang berjaya di akhirat kelak,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, pada Khamis. Tambah Dr Khalil, Hari Arafah adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan.  “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah’. “Hadis riwayat Muslim ini menunjukkan betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah pada hari Arafah. Pada hari tersebut, Allah membuka pintu-pintu keampunan seluas-luasnya,” katanya. Dr Khalil juga menyentuh mengenai ibadat wukuf di padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun haji, di mana para jemaah haji berkumpul untuk berdoa, berzikir, dan memohon keampunan daripada Allah.  “Walaupun tidak semua dapat bersama-sama dengan jemaah haji di sana, umat Islam masih dapat mengambil iktibar dan melaksanakan ibadat sunnah sempena Hari Arafah. “Saya menyeru kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat di Negeri Terengganu untuk turut sama-sama berpuasa pada 9 Zulhijjah ini, yang merupakan hari wukuf di Arafah," ujarnya. Beliau berkata, Sabda Nabi SAW, puasa pada hari tersebut, iaitu Hari Arafah, akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.  Dr Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penganjur dan seluruh jemaah yang hadir memenuhi masjid pada malam tersebut untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Arafah.          
16 Jun 24
248