lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus sebagaimana sasaran ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk meneliti modul-modul yang terdapat dalam kamus KPI HRMIS ditetapkan kepada pentadbiran negeri sebelum dipanjangkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam. “Pentadbiran ini sentiasa memantau pencapaian KPI HRMIS secara berkala kepada jabatan/agensi di bawah seliaan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Terengganu melalui Sistem Analitik Sumber Manusia Sektor Awam (ASSIST) dan naziran kepada jabatan serta mengeluarkan laporan kepada semua agensi. “Selain itu, Pentadbiran Negeri turut mengeluarkan surat pemakluman berhubung tarikh penting KPI HRMIS dan sekiranya jabatan/agensi gagal mematuhi KPI HRMIS yang ditetapkan, jabatan/agensi perlu mengemukakan surat penjelasan kepada Pentadbiran Negeri agar sebarang permasalahan dapat dibantu dan diselesaikan “Kita juga sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama agensi dan mengadakan program bersama agensi di bawah seliaan seperti mengadakan Klinik HRMIS, Bengkel Pendedahan Kepada Kakitangan Baharu dan juga Program Naziran di jabatan/agensi,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Turun Padang HRMIS Care Zone Timur 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini. Seramai 312 peserta daripada 156 agensi di bawah perkhidmatan awam negeri bagi Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan menyertai program turun padang yang dianjurkan oleh pihak JPA itu. Mengulas lanjut katanya, pengenalan modul-modul baharu dan peningkatan KPI HRMIS bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.  “Justeru, Pentadbiran Negeri berharap pihak Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA akan sentiasa membantu dan memberi kerjasama yang teguh kepada negeri dalam usaha memastikan KPI HRMIS dapat dicapai. “Sentiasa memberi informasi terkini kepada Negeri Terengganu supaya tidak ketinggalan dalam menjayakan program yang dirancang diperingkat Persekutuan. “Di samping memberikan latihan secara berterusan mengenai penggunaan pelbagai modul dan submodul HRMIS kepada Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia melalui Program Latihan (Training on HRMIS for user),” ujarnya. Katanya, latihan sebegini akan membantu meningkatkan pemahaman Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia secara ‘hands-on’ dalam mengoptimumkan penggunaan HRMIS.
25 Jun 24
603
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam. Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid. "Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran. "Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz. "Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah. Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. "Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik)  yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan. "Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu. "SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A. "Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.  
25 Jun 24
854
Surau, Hentian Rehat Gantikan Masjid Lama di Jeti Pulau Redang
Surau, Hentian Rehat Gantikan Masjid Lama di Jeti Pulau Redang
KUALA NERUS, 25 Jun – Masjid lama terbiar di Jeti Utama Pulau Redang akan dinaik taraf menjadi sebuah surau dan hentian rehat yang selesa untuk kegunaan penduduk setempat dan para pelancong. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, menjelaskan bahawa tapak masjid lama itu telah lama dibiarkan tanpa penggunaan. “Tapak lama itu sepatutnya dikekalkan sebagai surau atau tempat sembahyang sahaja, tetapi oleh kerana peraturan, kita tutup dan suruh robohkan yang asalnya. “Namun, pihak yang berkenaan tidak merobohkan, jadi tapak itu terpaksa dibiarkan begitu sahaja,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatan rasmi bersama Exco Pelancongan, Datuk Razali Idris ke Pulau Redang di sini semalam  Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ M Rozi Bidin, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli. Shaikh Harun berkata pihaknya sedang merangka peruntukan yang diperlukan dengan pihak-pihak tertentu bagi projek berkenaan. “Fasa pertama kita akan selesaikan bilik air, tempat duduk terlebih dahulu kemudian baru pembinaan surau.  “Surau tersebut tidak akan dijadikan tempat tidur. Jika mahu tidur, mereka perlu mencari chalet, hotel atau rumah penginapan,” tambahnya. Menurutnya, projek itu bertujuan bagi memenuhi keperluan ibadat penduduk setempat dan pelancong serta mempromosikan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim. “Kita mahu memastikan surau-surau di tempat pelancongan tidak kosong dan tidak terabai, supaya masyarakat dapat menunaikan solat dengan tenang dan selamat,” ujarnya. Jelasnya lagi, perancangan awal melibatkan pembinaan ruang sembahyang yang boleh menampung 20 hingga 30 orang, dengan konsep surau terbuka yang boleh diakses pada bila-bila masa. “Dengan kerjasama Datuk Bandar dan pihak-pihak berkepentingan lain, MAIDAM berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin. “Sekali gus, menjadikan Pulau Redang contoh terbaik bagi negeri-negeri lain dalam menyediakan kemudahan ibadat yang lengkap dan selesa di destinasi pelancongan,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, Maaruf Ismail melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kesudian pihak kerajaan negeri untuk menaik taraf masjid yang sudah lama terbiar. "Perkara ini dapat melegakan hati penduduk kampung dan saya sendiri. Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan secepat yang mungkin," ujarnya.  
25 Jun 24
416
Kerajaan Negeri Usaha Selesaikan Isu Tanah Felda
Kerajaan Negeri Usaha Selesaikan Isu Tanah Felda
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk mengembalikan hak rakyat Terengganu dalam isu tanah Felda. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata isu utama ialah tanah seluas 13,686 ha milik kerajaan negeri yang dibangunkan ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985 dan diserahkan kepada FGV.  Menurutnya, sekitar 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri itu tanpa dokumen hak milik sah dan kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya. "Felda sudah tuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun. "Alhamdulillah, usaha kami untuk mengembalikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan berjumlah puluhan juta ringgit semakin menampakkan sinar cahaya di hujung terowong.  "Bagaimana rumit pun masalah, perbincangan dalam senyuman mampu merungkai kekusutan," ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya hari ini. Menurut Dr Azman, bagi pihak kerajaan negeri selain beliau, turut diwakili Dato' Pengarah PTG, Pegawai-Pegawai UPEN, Pegawai Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Perbendaharaan Negeri, Pegawai PTG dan Pegawai Pejabat MB Terengganu. Manakala team Felda diketuai Dato' Mohd Banuri Aris Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Ibu Pejabat Felda, disertai Pengarah Kewangan Felda, Pengarah Undang-Undang Felda dan Pengarah Wilayah Felda Terengganu. 
24 Jun 24
271
Kerajaan Negeri Peruntuk RM10,000 Naik Taraf Surau di Pulau Perhentian
Kerajaan Negeri Peruntuk RM10,000 Naik Taraf Surau di Pulau Perhentian
BESUT, 24 Jun - Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10,000 untuk kerja menaik taraf Surau Awam Long Beach di Pulau Perhentian yang akan dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan orang awam secara bergotong-royong. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan keselesaan dan kemudahan bagi pelancong Muslim yang berkunjung ke Pulau Perhentian. “Naik taraf surau ini akan melibatkan penambahan fasiliti seperti ruang solat yang lebih luas, tempat wuduk yang lebih selesa, dan kemudahan lain yang diperlukan. “Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif pelancongan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Perhentian, yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kehidupan marin yang menakjubkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatan kerja Exco Pelancongan ke Pulau Perhentian semalam. Lawatan kerja itu turut disertai oleh beberapa pegawai kerajaan negeri yang lain serta wakil dari sektor pelancongan.  Razali turut menyatakan bahawa beliau ingin memastikan bahawa pelancong mempunyai pengalaman yang terbaik ketika berada di sini, termasuk kemudahan untuk beribadah. Menurutnya, pihaknya telah meninjau beberapa lokasi utama di pulau tersebut dan berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan industri pelancongan di sana. “Kerajaan negeri berharap dengan adanya kemudahan yang lebih baik ini, ia akan meningkatkan daya tarikan Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.  “Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelancong tetapi juga kepada penduduk tempatan melalui peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan,” ujarnya.                    
24 Jun 24
201
INSTEP Latih 27 Asnaf Dalam Bidang Minyak Dan Gas
INSTEP Latih 27 Asnaf Dalam Bidang Minyak Dan Gas
KUALA NERUS, 24 Jun- Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) berjaya melatih 27 orang asnaf terpilih di negeri ini melalui program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024.  Program pra-pekerjaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) itu memberi pendedahan asas kepada pelatih kemahiran TVET di dalam sektor minyak dan gas. Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Mohamad Nasir berkata, program latihan itu adalah sebahagian daripada usaha INSTEP menyokong agenda Dasar TVET negara di samping membantu golongan asnaf meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja di dalam bidang minyak dan gas. “Kami berharap, program ini mampu menarik minat setiap pelatih untuk terlibat di dalam industri ini, seterusnya meningkatkan kemahiran mereka untuk diterima bekerja dengan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas," ujarnya pada majlis penyampaian sijil tamat latihan kepada pelatih yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM, Norhana Yaakub di INSTEP, hari ini.  Turut hadir, Pengurus Besar INSTEP, Azhar Ahmad . Mohamad berkata, MAIDAM melalui inisiatif Zakat Wakalah, melantik entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat berkenaan untuk mengagihkan sendiri sebahagian kutipan zakat kepada asnaf yang layak.  "Sebahagian zakat yang dibayar oleh kakitangan PETRONAS  kepada MAIDAM itu dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah yang menguruskan zakat kakitangan PETRONAS. "Dana As-Syakirin mengagihkan sejumlah dana yang diterima tersebut untuk melatih asnaf di dalam bidang TVET sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka melalui penglibatan di dalam sektor minyak dan gas.  "Manakala INSTEP selaku pusat latihan teknikal minyak dan gas, dilantik sebagai ejen pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan pembelajaran," ujarnya. Mengulas lanjut katanya, melalui program sepenuh masa yang dijalankan selama empat bulan ini, pelatih didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas di dalam bidang elektrikal dan mekanikal.  "Selain itu pelajar juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).  "Sijil-sijil tersebut merupakan keperluan penting yang melayakkan setiap individu untuk bekerja di dalam industri minyak dan gas," jelas beliau. Katanya, di dalam usaha meningkatkan nilai tambah program, INSTEP juga turut memperkenalkan modul sampingan seperti subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kesedaran Kemampanan.  "Selain daripada itu, aspek pembinaan keterampilan diri dan personaliti yang professional juga turut disertakan di dalam program tersebut.  "Pelatih-pelatih juga turut terlibat di dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di dalam kampus, seperti sukan, riadah serta aktiviti pengukuhan pasukan (team building)," ujarnya. Tambah beliau, sepanjang tempoh program, selain kemudahan penginapan dan makanan, setiap pelatih turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500.
24 Jun 24
380
Jadikan Dasar Integriti Teras Utama Dalam Tugasan
Jadikan Dasar Integriti Teras Utama Dalam Tugasan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Semua pengawai media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) perlu bekerjasama dengan lebih erat dan menghindari sikap saling menuding jari. Pengarah UPDI, Ustaz Harun Isa berkata, dasar integriti menjadi teras utama, dalam segala tugasan yang diberikan berlandaskan penerangan yang betul. "Dasar integriti menjadi teras utama, sama ada mereka di pejabat HQ atau di lapangan, kembali kepada asas untuk memperkemaskan akidah dan perjuangan kita di atas muka bumi Allah SWT. "Kita rasa bahawa pengawasan dan pemerhatian Allah SWT sentiasa berada di atas kita.Kesilapan, kelalaian, dan kealpaan yang kita lakukan semuanya dalam ilmu serta pengetahuan Allah SWT," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Kursus Pengurusan Efektif Siri 2 Dasar Integriti  Darul Iman (DIDI), di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Ustaz Harun juga menyentuh tentang keterbatasan dari segi tenaga kerja dan aset, namun menekankan kesungguhan mereka yang bekerja keras untuk membina generasi di kawasan pedalaman, terutamanya di Sabah. "Kualiti masyarakat di Sabah, walaupun dalam kekurangan, mereka bekerja dengan begitu kuat menjadi motivasi kepada kita yang berada di zon selesa," ujarnya   Dalam masa sama, beliau menekankan pentingnya menggunakan tenaga secara maksima, mengoptimumkan masa, dan berfikir secara kreatif dan kritis untuk memastikan produk berkualiti. "Walaupun orang sekeliling tidak memulakan apa yang perlu di buat, tetapi kita lah yang memulakan kebaikan tersebut. "Kita perlu memastikan orang sekeliling meniru langkah baik dalam hal penerangan," katanya lagi. Ustaz Harun juga mengingatkan tentang tanggungjawab yang lebih besar, terutama dalam memastikan pemberitaan sampai dan membina generasi yang bakal menggantikan kita.  Justeru itu, beliau menekankan pentingnya memanfaatkan aset yang ada dan tidak hanya menumpukan pada perkara baru, tetapi memperbaiki sedia ada untuk lebih baik.
24 Jun 24
57
Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado
Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado
MARANG, 24 Jun - Keputusan meninggalkan kerjaya stabil enam tahun lalu demi minat yang mendalam dalam bidang ternakan ternyata berbaloi buat Aiman Asyraf Kamarudin, 33. Bermula daripada mengusahakan projek ternakan lembu fidlot secara kecil-kecilan pada 2018, kini bekas penyelia projek syarikat swasta itu boleh menarik nafas lega apabila ladang ternakannya, AIDEN Cattle Farm mampu beroperasi secara komersil di Kampung Tok Fakir, Merchang, di mana tumpuan diberi kepada lembu baka Brahman.  Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ternakan, Aiman berkata, semuanya bermula secara kecil-kecilan setelah mendapat tahu bahawa penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya dimport dari pelbagai negara. “Hasil dorongan keluarga, saya nekad berhenti kerja dan selepas projek yang diusahakan mendapat sambutan, saya mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. AIDEN Cattle Farm yang diasaskan oleh Aiman dan tiga adiknya kira-kira enam tahun lalu kini memiliki lapan ekor lembu sado dari baka Charolais dan Limousine serta 35 ekor lembu baka Brahman yang ditempatkan di kandangnya.  Antara keistimewaan ternakan yang dibela di AIDEN Cattle Farm ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia juga turut ‘dihidangkan’ dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.  “Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai progam pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm, daging korban tersebut tidak berlemak, padat dan lembut,” katanya yang merupakan graduan pengajian pembuatan dari sebuah kolej universiti tempatan. Anak muda yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini AIDEN Cattle Farm telah menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini.  Mereka menjual lembu korban setiap kali musim perayaan Aidil Adha serta mengadakan pakej ibadah korban secara bahagian bagi kemudahan penduduk tempatan yang terdiri daripada baka Brahman dan Charolais.  “Berbanding lembu lain, lembu sado ini perlukan lebih perhatian dan suka dimanjakan,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap aktiviti dan rutin harian di AIDEN Cattle Farm boleh diikuti melalui tik tok @aidencattlefarm dan juga Facebook.  Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu Sado turut mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai ‘Kandang Bimbingan’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, awal tahun ini.  Lebih membanggakan, beliau turut dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024.  “Saya terkejut apabila dihubungi pegawai Pejabat Veterinar Daerah Marang minggu lepas untuk dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024 di peringkat daerah Marang. “Saya tidak menaruh harapan besar untuk menang anugerah tersebut kerana ramai lagi penternak ‘otai’ yang turut dicalonkan bagi kategori berkenaan.  “Bagi saya pencalonan ini secara tidak langsung telah membakar semangat untuk saya berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan,” ujarnya.  
24 Jun 24
398
Penyelam Skuba Kutip Sampah Dalam Dasar Laut Pulau Perhentian
Penyelam Skuba Kutip Sampah Dalam Dasar Laut Pulau Perhentian
BESUT, 23 Jun – Sebanyak 215.85 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dari dasar laut dan tepi pantai oleh sukarelawan, termasuk penyelam skuba, melalui 'Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa Kedua Dive Against Debris (DAD)' di kawasan Pulau Perhentian Kecil, Long Beach di sini, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program yang berlangsung tiga hari, bermula dari 21 hingga 23 Jun itu melibatkan 149 sukarelawan dari dalam dan luar negara. "Seramai 32 penyelam skuba yang mengutip sampah di kawasan terumbu karang dasar laut dan 117 sukarelawan di tepi pantai. “Antara sampah yang banyak dikutip adalah puntung rokok, straw plastik, botol plastik, dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan program berkenaan semalam. Turut hadir, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor, Pengarah Program, Ariff Ismail, dan Penasihat Program, Datuk Zuraidah Atan Program itu, mendapat tajaan utama dari Kenanga Investors Berhad serta dikelolakan oleh Black Eye Scuba Team (BEST) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan Pejabat Daerah Besut. Datuk Zuraidah berkata, program tersebut dijalankan melalui tiga peringkat iaitu Dive Against Debris (DAD), Pembersihan Pantai (Beach Cleanup), dan Pendidikan Alam Sekitar (Environment Education). Menurutnya, inisiatif itu bertujuan bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar, khususnya pemuliharaan lautan dan kebersihan pantai selaras dengan slogan ‘Menjaga Pantai dan Laut Bersih, Budaya Mulia, Amalan Kita’. “Program ini bukan sahaja berjaya dalam usaha membersihkan alam sekitar, tetapi juga memberikan pendidikan alam sekitar yang penting kepada semua peserta. “Aktiviti ‘Dive Against Debris’ atau terjunan untuk menaikkan sampah sarap dari laut ini memang menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai penjagaan laut,” tambahnya. Sementara itu, peserta program, Salmizi Saibu, 40, berkata program tersebut melibatkan tiga langkah iaitu yang pertama dive against debris, di mana penyelam-penyelam yang pakar akan mengutip sampah-sampah di dalam laut. “Langkah kedua adalah beach cleanup bersama dengan sukarelawan dari Malaysia dan juga dari luar negara termasuk Jordan, Iraq, Pakistan, China, dan pelbagai lagi negara. “Seterusnya, adalah pendidikan alam sekitar untuk pelajar-pelajar sekolah bersama dengan komuniti kampung,” ujarnya. Beliau yang juga merupakan Ketua Platun RELA Cawangan Pulau Redang, memberi pesanan agar pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Perhentian menjaga kebersihan pantai dan kelestarian alam sekitar.  
23 Jun 24
407
‘Penyelesaian Dua Negara’ Israel-Palestin Dijangka Hangatkan Parlimen Esok
‘Penyelesaian Dua Negara’ Israel-Palestin Dijangka Hangatkan Parlimen Esok
KUALA LUMPUR, 23 Jun - Soalan lisan berkaitan pendirian Kerajaan Malaysia mengenai dasar penyelesaian dua negara (Israel-Palestin) dijangka akan menghangatkan persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok. Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, soalan berkenaan akan ditanya Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 10 pagi. Soalan itu mahu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar ‘two state solution’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, pertemuannya dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Doha, Qatar bulan lalu adalah untuk menjamin penyelesaian berkenaan situasi di Gaza pada ketika ini. "Saya meminta mereka untuk menghormati keputusan negara-negara jiran selain cuba untuk menjamin keamanan, melalukan pertukaran pembebasan tahanan dan menerima 'penyelesaian dua negara'. "Adakah itu satu kesalahan? Adakah saya mempromosikan keganasan? Tidak. Saya merayu kerana saya mempunyai kelebihan, apa kelebihan saya, saya mengenali mereka, mereka menganggap saya sebagai kawan,” tegas Anwar. Untuk rekod, Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyeru supaya penyelesaian dua negara diabaikan Malaysia. "Israel langsung tidak percaya dengan penyelesaian dua negara. Mereka tidak melakukan apa-apa dalam dekad yang lalu untuk menunjukkan mereka komited terhadap penyelesaian dua negara," katanya. Selain itu, badan pemikir Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang menyokong penyelesaian dua negara. "Memandangkan komitmen Malaysia di masa lalu terhadap pemerintahan sendiri dan hak asasi manusia, kami menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula dan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap apartheid Israel," kata Azril Mohd Amin dari Centhra. Beliau juga menambah penyelesaian tersebut hanya boleh berlaku atas dasar mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin.
23 Jun 24
195