Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Lebur 'Mimpi' Perak
KUALA NERUS, 14 Jun- Terengganu Football Club (Terengganu FC) bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menang tipis 2-1 ke atas Perak FC dalam saingan Piala FA, malam ini.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner membuat perubahan besar apabila penjaga gol utama yang pulih dari kecederaan, Mohd Suhaimi Husin diturunkan buat kali pertama musim ini mengemudi kubu Terengganu FC.
Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Yusri Che Lah mengejutkan 20,150 penyokong yang hadir apabila mendahului tuan rumah seawal minit kelima.
Gol pertama perlawanan itu bermula dengan sepakan percuma Sunday Afolabi yang disudahkan Luiz Henrique.
Terengganu FC terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk menyamakan kedudukan.
Kesilapan Tommy Mawat menjatuhkan Manuel Ott dalam kotak penalti pada minit ke-33 dihukum oleh Safawi Rasid dua minit kemudian untuk kedudukan 1-1.
Ibarat tonik, Sang Penyu terus menggandakan asakan dan pada minit ke-42, Marin Pilj melakukan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk Terengganu FC selesa dengan kelebihan jaringan pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Seladang lebih agresif mencipta peluang mencari jaringan penyamaan.
Pada minit ke-69, kekasaran Muhammad Firdaus Saiyadi ke atas Nurillo Tuskhtasinov seakan-akan membantutkan peluang pelawat apabila pemain sayap itu dilayangkan kad merah.
Perak FC cuba menghidupkan harapan dengan kemasukan penyerang, Clayton da Silva dan Nur Azfar Fikri.
Namun, gandingan pertahanan tempatan diterajui Shahrul Nizam, Ubaidillah Alias, Safwan Mazlan, Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terengganu FC menanti pertemuan Sabah FC dan KL Rover FC esok untuk menentukan lawan mereka di peringkat suku akhir Piala FA nanti.
14 Jun 24
558
Hampir 100 Banduan PBSL Terengganu Berjaya Teruskan Hidup
MARANG, 13 Jun- Hampir 100 peratus banduan yang mengikuti program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Terengganu berjaya meneruskan kehidupan di luar 'jeriji besi' setelah dibebaskan.
Pengarah Penjara Terengganu, PKK Hamid Taha berkata, hanya lima prospek yang masuk kembali daripada jumlah banduan dibebaskan setakat ini.
"Sehingga kini, telah lebih 1,500 orang mengikuti program ini. Alhamdulillah statistik hanya menyatakan lima orang sahaja yang masuk kembali.
"Faktor utama yang menjayakan program ini adalah peluang pekerjaan. Kita lihat, walaupun peluang pekerjaan di Terengganu agak terbatas (namun), kerjasama majikan dan keluarga memberi ruang untuk syarikat-syarikat luar ambil mereka bekerja.," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha di Penjara Marang, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Penjara Marang, PKK Mohamad Jusoh Ismail.
Tambahnya lagi, lebih 40 majikan di Terengganu memberikan kerjasama dalam 'membina' semula kehidupan para banduan.
"Alhamdulillah, lebih 90 peratus dari mereka bekerja dan dapat peluang menyara keluarga," ujarnya.
Untuk makluman, seramai 118 orang prospek dari seluruh negeri Terengganu mendapat pembebasan secara lesen dari keseluruhan 882 orang di seluruh Malaysia, hari ini dengan Terengganu merekodkan jumlah pembebasan tertinggi.
13 Jun 24
541
'Spin' Kenyataan MB, Media Ditekan Tangan Ghaib?
Semalam tular beberapa berita memaparkan tajuk dan konteks laporan yang salah berkait kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang kenaikan harga diesel.
Alhamdulillah, semakan semula hari ini terhadap berita-berita itu mendapati tajuk dan konteks sebenar telah diubah walaupun masih ada bibit-bibit untuk menampakkan Ahmad Samsuri menyokong tindakan menaikkan harga diesel di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup.
Berbalik kepada penyelewengan berita, sebaik keluar laporan salah tersebut, Ahmad Samsuri menerusi ruangan Facebooknya telah menerbitkan satu kemaskini yang memaparkan berita 'Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel' dengan kapsyen 'apa sahaja tindakan yang dibuat, perlulah ada data dan kajian berkesan bagi mengurangkan impak kepada rakyat'.
Ini sekali gus mengesahkan bahawa tajuk berita 'Penyasaran Subsidi Diesel Langkah Tepat, Berani' adalah tersasar jauh daripada maksud asal Ahmad Samsuri.
Semakan juga telah dibuat pada video asal kenyataan Menteri Besar (MB), memang benar laporan berita memutar belit kenyataan MB.
Ketika ditanya wartawan, tentang penarikan subsidi diesel MB berkata, 'di saat rakyat terbeban dengan kos sara hidup, ini bukan masa terbaik, kena cermat dan bukan kajian sebelum melaksanakan tindakan ini', tetapi media melapor 'penyasaran subsidi diesel langkah tepat dan berani - MB Terengganu'.
Ahmad Samsuri juga menyebut, 'secara dasarnya semua (PM) bersetuju dengan penyasaran subsidi minyak kerana demi mengelakkan ketirisan, tetapi perlu dibuat berdasarkan kajian dan dengan cermat...', jawapan ini merujuk kepada soalan wartawan yang berbunyi, 'apa pandangan MB, apabila Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berkata PM-PM sebelum ini pun setuju nak buat rasionalisasi subsidi, tapi tak berani'.
Jelas jawapan bersetuju ini berkait dengan persetujuan PM terdahulu dengan langkah rasionalisasi subsidi, bukan MB bersetuju dengan tindakan PM hapus subsidi ketika ini.
Di pihak rakyat pula, ramai tidak berpuas hati dengan laporan berita tersebut yang didakwa seolah-olah mahu menjatuhkan reputasi beliau di saat rakyat sangat marah dengan kenaikan harga diesel.
Hasil semakan juga mendapati berita asal yang ditulis wartawan di lokasi jauh berbeza dengan apa yang diterbitkan.
Seolah-olah apa pihak yang sengaja menukar konteks berita tanpa pemakluman.
Jika benar, ini adalah budaya tidak sihat yang makin mengcengkam pihak media, wujud 'tangan ghaib' mengatur naratif jahat bagi memberi keuntungan kepada pihak tertentu.
Lama-kelamaan jika ini berterusan, media sudah tidak lagi bebas, kita semua akan berada di dalam 'penjara' dan ditekan agar menuruti kehendak pihak tidak bertanggungjawab ini.
Kelab Wartawan perlu bangkit bersatu keberanian menyatakan bantahan bagi membela nasib wartawan di bawah jika merasa penganiayaan ini tidak sepatutnya berlaku.
Lidah Pengarang.
13 Jun 24
502
KMI Kuala Terengganu Menang Anugerah Kecemerlangan Industri 2024
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) meraih Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, anugerah berprestij yang diiktiraf di peringkat nasional bagi menghargai sumbangan industri terhadap pembangunan ekonomi negara.
Kejayaan KMI Kuala Terengganu itu diumumkan pada satu majlis yang diadakan di The Majestic Hotel yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pengurus Besar KMI Kuala Terengganu, Salina Long berkata, AKI adalah pengiktirafan penting oleh kerajaan bagi meraikan syarikat-syarikat yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor masing-masing.
“Memenangi anugerah ini mengukuhkan dedikasi KMI Kuala Terengganu untuk menetapkan piawaian tertinggi dalam perkhidmatan kesihatan dan misi yang berterusan bagi meningkatkan penjagaan pesakit dan kecemerlangan operasi.
“Pengiktirafan berprestij daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini turut menandakan pencapaian luar biasa Pusat Perubatan KMI Kuala Terengganu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan inovatif kepada masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, penilaian untuk AKI 2024 adalah berdasarkan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sebuah kerangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang digunakan untuk mempromosikan amalan terbaik global dalam kecemerlangan perniagaan.
"Kami amat berbesar hati menerima AKI 2024 dan penghargaan ini adalah bukti kerja keras seluruh pasukan yang komited terhadap kecemerlangan, memastikan sentiasa memenuhi keperluan pesakit dan kepentingan semua pemegang taruh.
“Kami juga berbangga menjadi syarikat pertama dari Terengganu yang merangkul anugerah nasional, sangat bersyukur atas pengiktirafan ini dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap aspek perkhidmatan," jelasnya.
Katanya, KMI Kuala Terengganu diketengahkan kerana perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, amalan pengurusan yang inovatif, dan peranannya dalam memajukan industri kesihatan di Malaysia.
Tambah beliau, pencapaian tersebut tidak akan dicapai tanpa sokongan staf KMI Kuala Terengganu yang tekun bekerja, pesakit yang menaruh kepercayaan dan pemegang taruh yang sentiasa menyokong usaha untuk memperkukuhkan industri kesihatan di Negeri Terengganu.
13 Jun 24
1769
Terengganu Antara Negeri Terawal Perkenal Kad Perniagaan NFC
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu antara negeri terawal memperkenalkan kad perniagaan yang mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan urusan pertukaran maklumat digital dan meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan awam.
“Melalui usahasama TAJDID Corporation Sdn Bhd, kita telah bangunkan platform kad perniagaan NFC sebagai satu produk digital yang menggabungkan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi pengkomputeran awam bersama kad fizikalnya.
“Kalau sebelum ini apabila berjumpa dengan tetamu/pelanggan kita memberikan ‘business card’ (kad perniagaan) tetapi dengan keupayaan teknologi NFC kita hanya menggunakan satu kad sahaja yang mana segala maklumat peribadi boleh disimpan terus ke dalam telefon,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kad Perniagaan NFC Bagi Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, semua pegawai kerajaan negeri digalakkan untuk menggunakan kad NFC tersebut bagi mengukuhkan sistem pengurusan dan memudahkan urusan komunikasi di kalangan pegawai-pegawai kerajaan.
“Bagi peringkat permulaan kita memperkenalkan kad ini di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum diperluaskan kepada jabatan, agensi, pejabat daerah, GLC dan lain-lain dalam masa terdekat,” ujarnya.
Katanya, penggunaan kad NFC juga secara tidak langsung dapat menjimat kos di peringkat pentadbiran.
“Pengunaan kad NFC juga akan mengurangkan kos perkhidmatan kepada pentadbir contohnya, apabila berlakunya pertukaran kakitangan awam daripada suatu jabatan ke jabatan lain, kalau guna ‘business card’ yang konvesional perlu ‘print’ baru, tetapi yang ini hanya hubungi TAJDID untuk kemaskini maklumat,” ujar beliau.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan agensi kerajaan persekutuan untuk turut sama menggunakan Kad NFC dalam usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan digital khususnya di agensi kerajaan dan seluruh warga kerja.
13 Jun 24
704
Kenaikan Diesel, Dr Sam Ucap 'Good Luck' Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - "Good luck," itu respon bersahaja Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya yang bakal meninggalkan kesan berangkai kepada rakyat.
Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ucapan itu dibuat kepada pentadbiran kerajaan persekutuan untuk menangani permasalahan yang timbul.
"Kesan berangkai daripada kenaikan mendadak itu, sedang kita lihat daripada beberapa pengumuman daripada penyedia perkhidmatan, pengeluar barangan dan lain-lain lagi.
"Ini cabaran yang sangat besar kepada sesebuah kerajaan terutama kerajaan pusat untuk menangani persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan jadi saya ucap 'good luck' kepada pentadbiran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Conference Of Head Of Academic Departments 2024 (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebenarnya juga telah dirancang oleh barisan kerajaan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata pada dasarnya ia dipersetujui tentang perkara tersebut.
"Namun, paling penting cara pelaksanaan, kaedah mana, cara untuk menangani bagaimana, perkara yang memerlukan cara yang cermat 'handle' perkara ini agak tidak membebankan rakyat.
"Perkara dasar, mungkin sama-sama buat keputusan tetapi yang menentukan berjaya atau tidak tu atau kesan yang terdapat tu dari segi pelaksanaan tu," ujarnya.
12 Jun 24
6173
Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Program Penyasaran Subsidi Diesel disifatkan bukan pada masa yang tepat.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu kurang sesuai dilaksanakan dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.
"Peningkatan satu hal tetapi dari segi jumlah itu memberikan kesan berangkai terhadap rakyat lebih besar dan ini yang perlu kita tengok...jadi kena lebih cermat tentang perkara tersebut.
"Sebelum pengumuman itu cara untuk menangani kepada rakyat harus difikir lebih mendalam termasuk jumlah peningkatan yang begitu mendadak sekarang ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program 'Conference Of Head Of Academic Departments 2024' (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini.
Tambah beliau, dicadangkan agar ia dibuat secara berperingkat jika kerajaan tetap ingin melaksanakannya.
"Saya tak pasti sama ada peringkat pentadbiran persekutuan telah mengkaji sedalamnya pelaksanaan yang terbaik," ujarnya lagi.
Menurut Ahmad Samsuri, beliau juga sedar bahawa mungkin pada satu masa subsidi diesel perlu dirungkaikan daripada kerajaan lama.
"Ini kerana kebocoran tanpa kita tanpa sedari membiayai syarikat-syarikat yang tidak kena mengena dengan kita, orang-orang luar daripada negara kita dan sebagainya," jelasnya.
12 Jun 24
4811
PAS Umum Calon Sungai Bakap 15 Jun
KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan secara rasmi pada 15 Jun (Sabtu) ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, calon yang dipilih itu adalah calon yang terbaik dipilih pucuk pimpinan parti dan mampu memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada rakyat di Sungai Bakap.
"Kita akan umumkan calon PRK DUN Sungai Bakap itu pada hari Sabtu nanti.Kalau saya bagi hint, dah tak ada kejutan la untuk hari Sabtu nanti.
"Insya-Allah kita ada peluang untuk menang dan kita doakan agar peratus yang keluar mengundi itu tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
12 Jun 24
177
Rakyat Resah Kenaikan Harga Diesel Sebabkan Barang Makin Mahal
MARANG, 11 Jun - Rata-rata pengguna kenderaan diesel menyuarakan pandangan bahawa kenaikan harga bahan mentah itu akan memberi impak terhadap kenaikan harga barang selain mengakui terbeban dengan pertambahan perbelanjaan.
Pemandu lori, Fazhli Ghazali, 52, mempersoalkan apa rasionalnya kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan semua golongan terpalit.
"Tergamak naikkan sehingga RM1.20, sepatutnya tak payah kacau subsidi itu kerana ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang.
"Selama ini pembekal barang-barang mentah dan keperluan rakyat tidak menggunakan kereta untuk menghantar barangan tersebut, semuanya menggunakan kenderaan diesel.
"Dia (Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang selama ini beria-ria menjanjikan harga minyak turun apabila jadi Perdana Menteri hanyalah auta.
"Sebaliknya bila berada di tampuk kekuasaan langsung tidak mengambil kisah apa akan jadi terhadap segala tindakan yang dibuat dibimbangi tidak lama lagi minyak petrol pula akan naik," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Sementara itu, bagi Mohd Faizudin Ishak, 30, yang turut menggunakan kenderaan diesel untuk perniagaan milik persendirian berkata, kenaikan harga bahan mentah itu memang mengejutkan.
"Saya ada mengisi permohonan untuk dapatkan Budi Madani bagi mendapatkan bantuan RM200 sama ada berupaya meringankan beban ataupun tidak memandangkan saya masih baru lagi memakai kenderaan ini untuk perniagaan sendiri.
"Tentang kenaikan harga barang itu kita tunggu sebulan ini apa kesan daripada kenaikan harga Diesel ini," ujarnya.
Bagi pengguna kenderaan diesel persendirian Malik Safrizan Umar, 38, menyatakan dia turut terkejut dengan kenaikan harga diesel itu.
"Rasanya macam tidak padan dengan bantuan RM200 itu dengan kenaikan yang agak ketara.
"Mengenai kenaikan harga barangan saya rasa ia akan terjadi kerana semua kebanyakan kenderaan perdagangan menggunakan diesel.
"Perjalanan dekat mungkin tidak akan terasa, tetapi kenderaan perdagangan yang memerlukan perjalanan jauh sudah tentu akan terpaksa menilai semula kos baru yang akan ditanggung," ujarnya.
11 Jun 24
1003
Tenaga Boleh Diperbaharui Nafas Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Terengganu sedang mengorak langkah baru dengan mengfokuskan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk memajukan ekonomi negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata sumber tenaga alternatif itu penting untuk mencapai visi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang 2030.
“Pengembangan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja memberi nafas baharu kepada ekonomi Terengganu, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar terjaga.
“Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menekankan pembangunan yang berterusan dan lestari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Resilient Terengganu Dialogue 2024 (RTD2024) di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini.
Tambah Dr Hanif, usaha itu termasuk bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional dengan menggunakan tenaga solar dan angin.
“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan hasil bukan cukai negeri sehingga 10 peratus setiap tahun.
“Tenaga boleh diperbaharui akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negeri, menyediakan peluang pekerjaan baharu, dan menarik pelaburan luar,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengkaji potensi nadir bumi sebagai sumber ekonomi baharu yang boleh meningkatkan daya saing Terengganu di peringkat global.
“Ini termasuk memperkukuh infrastruktur dan melaksanakan program latihan untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia untuk industri baru ini.
“Dengan fokus pada tenaga boleh diperbaharui dan nadir bumi, Terengganu optimis untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif, memberikan manfaat kepada seluruh rakyat negeri,” ujarnya.
11 Jun 24
1460