lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih 300 Polis Kawal Perlawanan Separuh Akhir Piala FA Jumaat Ini
Lebih 300 Polis Kawal Perlawanan Separuh Akhir Piala FA Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis  akan menempatkan seramai 351 orang pegawai dan anggota bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan  perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jumaat ini. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ia bagi memastikan perlawanan tersebut  berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan berlaku. Justeru itu katanya, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan  agar mematuhi sepenuhnya garis panduan dan S.O.P (standard operating procedure) terhadap kawalan keselamatan di stadium sepertimana yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) “Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium dengan melakukan pemeriksaan badan mahupun beg. “Penonton tidak dibenarkan sama sekali untuk membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti  mercun / bunga api / suar (flare) / dinamit,  topi keledar / botol air / botol kaca / tin minuman, laser / mancis / pemetik api / power bank. “Ini termasuk sebarang objek tajam sama ada besi, kayu atau sebagainya  seperti senjata tajam seperti pisau, parang, gunting dan sebagainya 2, minuman keras serta payung / tongkat atau dron,”ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau,  pihaknya juga tidak membenarkan sebarang penggunaan alat pembesar suara atau alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising. Dalam masa sama, turut memberi amaran keras kepada penyokong-penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dengan cara menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, merusuh atau nyanyian dalam bentuk sindiran / hinaan, membakar atau menyalakan suar (flare) dan sebagainya. “Tindakan keras akan diambil ke atas sebarang pelanggaran undang-undang yang sedia ada “Polis trafik juga akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan diingatkan juga kepada penonton yang berkunjung ke stadium untuk tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan / laluan ke kawasan pintu utama (grand stand) Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus,” ujarnya.
17 Jul 24
528
500 Peserta Sertai Terengganu Bertadabbur
500 Peserta Sertai Terengganu Bertadabbur
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Program Terengganu Bertadabbur Siri II anjuran Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) berjaya menarik 500 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pendidik dan masyarakat umum. Program yang membawa tema Surah Al- Jumuah itu menawarkan panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat dimana surah tersebut menggariskan pentingnya keseimbangan dan kesederhanaan pada individu dalam masyarakat. Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, ia merupakan inisiatif YPM untuk memupuk masyarakat yang berinteraksi dengan al-Quran dan menjadikan kalam Allah itu sebagai prinsip kehidupan harian. “Selain menyemai nilai insaniah dalam diri masyarakat yang mengetahui kepentingan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam kehidupan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam. Menurut Wan Ismail, program tersebut menterjemahkan salah satu fungsi YPM dalam menguruskan Dana Sumbangan Pendidikan ke arah mencapai objektif mempromosikan pembangunan pendidikan kepada masyarakat khususnya di negeri ini. “Diharapkan program ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memberi impak positif dalam meningkatkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai murni dalam agama dan kehidupan seharian,” ujarnya.
17 Jul 24
834
Program Jelajah DUN Terengganu : Dengar Rintihan, Keperluan Rakyat
Program Jelajah DUN Terengganu : Dengar Rintihan, Keperluan Rakyat
Oleh ; Fauzi Adam MARANG, 16 Julai – MARANG, 16 Julai – Program Jelajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berusaha mendengar rintihan dan keperluan rakyat bagi memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat, serta memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi kehendak penduduk. ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, acara tersebut bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan dan agensi kepada masyarakat setempat. “Saya menekankan kepentingan kerjasama antara pemimpin dan rakyat bagi mencapai kemajuan bersama dan program ini merupakan 'platform' terbaik untuk mencapai matlamat tersebut. "Penduduk sekitar diingatkan agar tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi terlibat." jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah ke DUN-DUN Terengganu bertempat di Dewan Terbuka, Pasar Pengkalan Berangan baru-baru ini. Menurutnya, beberapa agensi kerajaan dan swasta turut serta dalam program berkenaan termasuk Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan kredit (AKPK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan beberapa agensi lagi.  "Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat yang hadir untuk menyuarakan rintihan dan keperluan mereka. Melalui sesi interaksi yang diadakan, penduduk dapat berkongsi pandangan dan masalah mereka secara langsung dengan pihak kerajaan dan agensi-agensi terlibat. "Dengan kejayaan ini, kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk meneruskan program jelajah ini ke seluruh DUN bagi memastikan semua rakyat Terengganu mendapat perhatian dan perkhidmatan yang sewajarnya," ujarnya Beliau berharap agar Program Jelajah DUN Terengganu tersebut akan menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam usaha mendekatkan diri kepada rakyat dan mendengar serta memenuhi keperluan mereka.
16 Jul 24
172
MRL Utamakan Rakyat Terengganu Bagi 3,200 Peluang Kerja ECRL
MRL Utamakan Rakyat Terengganu Bagi 3,200 Peluang Kerja ECRL
KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan untuk mengutamakan rakyat Terengganu bagi 3,200 peluang pekerjaan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila memulakan operasi pada Januari 2027. Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Terengganu bagi menyediakan tenaga kerja dan sumber manusia khususnya di enam stesen ECRL di negeri tersebut. Katanya, Terengganu juga akan merasai limpahan ekonomi dan kemajuan sebaik ECRL beroperasi. "Jadi tentunya kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan keperluan tenaga kerja dan sumber manusia pada masa akan datang (fasa pengoperasian). "Saya rasa perkara ini perlu diperhalusi, diperbincangkan lagi dengan lebih mendalam," ujarnya ketika ditemui urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menerima kunjungan Kerajaan Negeri Terengganu di sini, semalam. Delegasi itu telah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman. Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu. Dalam pada itu, Ariffin Deraman pula berkata pertemuan yang diadakan itu sangat bermakna dalam usaha kerajaan negeri memastikan rakyat negeri Terengganu akan diberikan keutamaan untuk mendapat peluang pekerjaan. "Hasil pertemuan sangat memberangsangkan, kalau kita tidak berjumpa maka kita tidak tahu akan peluang pekerjaan begitu banyak untuk rakyat Terengganu. Besar harapan agar rakyat Terengganu diberikan peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ada," katanya. Justeru katanya, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan tenaga kerja yang akan mengisi segala peluang pekerjaan itu, rakyat Terengganu akan dilatih dengan kemahiran tinggi bagi mengisi kekosongan itu nanti. "Insya-Allah kita akan bertindak atas persetujuan bersama untuk membuat Memorandum Persefahaman (MoU) berdasarkan objektif utamanya, rakyat Terengganu akan mendapat pekerjaan di bawal MRL. Dari segi berapa jumlah pekerjaan yang akan diisi itu nanti  tidak dibincangkan lagi. "Apa yang pasti dengan adanya ECRL ini dia akan menjadikan kawasan di sekitar enam stesen di Terengganu ini akan mengalami pembangunan yang pesat dari Kemaman sehingga ke Besut," ujarnya.  
16 Jul 24
2471
'Aunty Amy' Kecewa Videonya di Tiktok Dr Sam Kena Padam
'Aunty Amy' Kecewa Videonya di Tiktok Dr Sam Kena Padam
KUALA TERENGGANU, 16 Julai -  Seorang warga emas berbangsa cina di daerah ini kecewa selepas video perkongsiannya di TikTok Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang perpaduan kaum di Terengganu dipadam tanpa sebab. Wanita yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, lebih menyedihkan video yang dibuang daripada TikTok Menteri Besar Terengganu tersebut sudah mencecah 5.9 juta tontonan itu. Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. "Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang. "Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit. Terdahulu, hasil semakan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati, 'Aunty Amy' mempromosi perpaduan kaum yang ada di Terengganu. Katanya dalam video itu, dia dan rakan-rakan yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam. "Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini. "Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya. Semalam, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa terkilan selepas melihat senarai video di TikTok Ahmad Samsuri yang dipadam tanpa sebarang alasan. Katanya, kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).
16 Jul 24
2827
Perumahan Terbengkalai Gong Chempedak dalam Perhatian Kerajaan
Perumahan Terbengkalai Gong Chempedak dalam Perhatian Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Isu perumahan terbengkalai di Kampung Gong Chempedak , di mana projek perumahan yang mencatat kemajuan 47.54 peratus itu tergendala akibat masalah dengan pihak pemaju kini dalam perhatian kerajaan negeri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri serta pihak kerajaan tempatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan pertemuan bersama dengan para pembeli Perumahan Swasta di Wisma Darul Iman petang semalam. Menurutnya, pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah penyelesaian bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi dalam projek perumahan tersebut  “KPKT melalui Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta (BPPS), telah mengambil langkah proaktif dengan merancang perlantikan kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek berkenaan. “Permohonan bagi proses kerja ini telah diajukan kepada YB Menteri KPKT pada bulan Mei 2024,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya semalam. Wan Sukairi berkata dengan jangkaan kelulusan yang diharapkan, BPPS, KPKT akan menjalankan penyelarasan antara kontraktor penyelamat, pihak bank, dan pembeli perumahan untuk memastikan penyelesaian projek dilakukan secara berkesan dan bersepadu. Beliau menegaskan komitmen untuk terus mengangkat isu berkenaan kepada YB Menteri KPKT bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi kepentingan semua pihak yang terlibat. “Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan berusaha sedaya upaya dalam menangani isu projek perumahan yang terbengkalai di Kampung Gong Chempedak, Marang itu. “Dengan harapan untuk membawa penyelesaian yang memuaskan bagi pembeli dan komuniti setempat,” ujarnya.              
15 Jul 24
1144
Kerjasama Dua Negeri dalam Pembangunan Wanita
Kerjasama Dua Negeri dalam Pembangunan Wanita
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Satu kerjasama dan penyelarasan di antara Kelantan dan Terengganu dalam hal ehwal berkaitan pembangunan wanita bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata beliau berhasrat untuk menyatukan antara negeri Terengganu dan Kelantan dan menggabungkan dua dasar untuk memudahcarakan dasar itu diperturunkan kebawah. "Jadi, kami telah mengadakan satu usaha sama dan perbincangan serta insya Allah, akan adakan program dipanggil projek untuk memudahkan cara dasar wanita di peringkat bawah (akar umbi) di dua buah negeri," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas lawatan kerja ke Terengganu di Kediaman Sri Iman, Batu Buruk, pada hari ini. Menurutnya, beliau turut membincangkan untuk penambahbaikan dan memperluaskan lagi isu berkaitan dasar tersebut ke dua buah negeri lagi iaitu Perlis serta Kedah yang dikenali SG4. "Insya Allah, semoga dasar yang kami rancang di Kelantan dan Terengganu dapat direalisasikan. "Bukan sekadar dasar sahaja, tetapi (juga) diperturunkan (ke peringkat) bawah dengan mempermudahkan ayat-ayat dasar untuk masyarakat serta merakyatkan dasar ini. Beliau menambah, di negeri Kelantan mempunyai tiga dasar utama iaitu pertama, dasar membangun bersama Islam, kedua, dasar rakyat bersama Islam dan ketiga, dasar penghayatan.  "Dasar-dasar ini telah diturunkan ke peringkat akar umbi dan, insya-Allah, akan dihayati serta dilaksanakan oleh rakyat Kelantan," tambah beliau.
15 Jul 24
248
Video Tiktok MB Terengganu Dipadam Tanpa Sebab
Video Tiktok MB Terengganu Dipadam Tanpa Sebab
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini terus menjadi tanda tanya apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan. Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja). “Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan). Antara video yang dipadam. "Selain itu, video majlis Perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park (900 ribu tontonan) dan meraikan kunjungan hormat Duta Qatar (300 ribu tontonan) turut dipadam. “Banyak lagi video lain yang dipadam terus, rata-rata tontonan sudah mencecah 500 ribu hingga 1 juta, ini kejadian sangat pelik dan saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku. “Tambah lagi semua video terbabit tiada unsur provokatif atau menyakitkan hati mana-mana pihak, ia hanya dengan fakta, harapan dan perkembangan negeri serta kerajaan negeri,” katanya kepada media hari ini. Program bersama Duta Qatar. Menurut Mohd Harun, beliau difahamkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar (SAMB) Terengganu telah memohon penjelasan rasmi daripada pihak TikTok, namun masih belum menerima sebarang jawapan. “Kita harap isu ini ada penjelasan segera daripada pihak berwajb, jangan baling batu sembunyi tangan,” tegasnya. Jelas beliau lagi, pihak SAMB turut memaklumkan bahawa penggunaan X (twitter) Ahmad Samsuri juga mengalami kesukaran akses. “Video yang dimuat naik hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dilihat oleh orang ramai, ini juga menghairankan saya,” ujarnya. Video perkongsian Aunty Amy Chua. Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media dalam memberi teguran dan kritikan, malah semangat itu kekal sejak prakemerdekaan negara. "Pendirian saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan. "Saya beri jaminan semangat (kebebasan media) itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita (kerajaan) tangani isu terkait dengan keselamatan, fahaman cauvinisme (patriotisme melampau) dan perkauman, atau aliran pelampau agama,” katanya.
15 Jul 24
13807
JKNT Nafi Peningkatan Kes Rotavirus
JKNT Nafi Peningkatan Kes Rotavirus
KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan yang tular kononnya terdapat peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ini berdasarkan siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu mendapati hanya dua kes sahaja yang telah disahkan mendapat jangkitan rotavirus di HSNZ pada Minggu Epidemiologi ke-28 (7 Julai 2024 hingga 13 Julai 2024). “Kedua-dua kes berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di HSNZ. “Sehingga kini, tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ seperti yang ditularkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, pihaknya  akan sentiasa memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan rotavirus serta penyakit-penyakit berjangkit yang lain, disamping meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan yang berterusan. Menurut Dr Kasemani, Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan sistem pencernaan. “Rotavirus boleh berjangkit apabila termakan najis individu yang dijangkiti (faecal-oral) sama ada melalui air atau makanan yang tercemar, sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti, atau melalui alat permainan, peralatan, dan permukaan yang tercemar. Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil makanan dan minuman yang selamat. “Pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, sebelum makan, dan sebelum menyediakan makanan dan minuman. “Orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya bergejala,”jelasnya.
15 Jul 24
234
Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan
Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan
Oleh : Fatimah Din  MARANG, 15 Julai - Memandangkan kos untuk menternak madu kelulut adalah rendah, seorang pemuda mampu menjana pendapatan sampingan sehingga menjadi usahawan muda. Mohd Sollehuddin Mohd Hussain, 38 yang bertugas sebagai jurutera di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) memulakan ternakan madu kelulut ini sejak lapan tahun lepas, tetapi mengusahakannya secara serius sejak setahun yang lalu. "Madu Kelulut ini kos penyelenggaraannya sangat rendah, sebab itulah boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan saya.  "Dengan bermodalkan RM10, 000, saya membangunkan perniagaan sampingan ini dengan 20 sarang dan perangkap yang dibuat sendiri," ujarnya. Beliau yang tinggal di Kampung Durian Guling, Binjai Rendah berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman (UPDI) Daerah Marang  baru - baru ini.  Katanya, dengan berbekalkan 20 sarang pada peringkat permulaan di Binjai Rendah, beliau merancang akan membuka dalam setahun, sebuah ladang di beberapa tempat lain lagi. "Saya pasarkan madu kelulut ini di media sosial iaitu 'facebook' dan juga kepada kenalan rapat ," katanya.  Beliau yang banyak menimba ilmu berkenaan menerusi pembacaan dan 'kumpulan'  di media sosial yang juga mengusahakan madu kelulut. "Bagi yang ingin memulakan perniagaan madu kelulut, bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan Jabatan Pertanian," jelasnya.
15 Jul 24
418