lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tandukan Akinade Bantu Kemenangan Terengganu
Tandukan Akinade Bantu Kemenangan Terengganu
KUALA NERUS, 19 Julai- Ismail Akinade muncul wira pasukan Terengganu FC apabila menjaringkan gol kemenangan ke atas Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA. Jaringan gol pemain kelahiran Nigeria itu membolehkan Terengganu FC membawa bekalan satu jaringan ke gelanggang lawan setelah tuan rumah menang tipis 3-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Pasukan pelawat kendalian Nidzam Jamil tampak garang di awal perlawanan dengan Allan Fernandez melakukan percubaan seawal minit ke-8. Pelawat kemudian nyaris mengejutkan tuan rumah apabila lorongan Allan disudahkan pemain kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang melambungkan bola melepasi penjaga gol, Syed Nasrulhaq, mujur Alif Zakaria sempat mengeluarkan bola di hadapan gawang pada minit ke -12. Alvin sekali lagi hampir merobek gawang Terengganu FC pada minit ke-27, tetapi tendangannya melambung tinggi. Pada minit ke-30, Safawi Rasid meletakkan Sang Penyu selesa di depan menerusi sepakan percuma untuk gol pertama perlawanan. Memiliki kelebihan jaringan, tuan rumah terus meningkatkan penguasaan bola di kawasan kubu lawan. Lima minit berselang, Nurillo Tuskhtasinov sekali lagi menggamatkan stadium dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan Sam Somerville untuk gol kedua Terengganu FC. Gergasi Merah yang tersentak dengan gol tersebut kembali mengatur serangan. Selangor FC kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat separuh masa melalui pelamin kelahiran Belanda, Alvin Fortes yang menyudahkan hantaran lintang Mukhairi Ajmal pada minit ke-38. Bersambung babak kedua, Gergasi Merah hanya memerlukan dua minit untuk mengikat kedudukan apabila kesilapan Alif membolehkan Alvin melorongkan bola kepada Mahmoud Al-Rawabdeh untuk gol penyamaan Selangor FC. Empat minit kemudian, Rawabdeh hampir mengejutkan tuan rumah, namun rembatannya tersasar. Pada minit ke-69, Nurillo melakukan lambungan ke arah kotak penalti sebelum disambut dengan tandukan Ismail Akinade yang melemaskan Sam Somerville untuk tuan rumah kembali di depan dengan jaringan 3-2. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan bekalan tipis, tentunya Terengganu FC mengharapkan sokongan padu peminat ketika berkunjung ke Petaling Jaya untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 3 Ogos nanti.  
19 Jul 24
889
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
Kerajaan Negeri Baiki Segera 96 Rumah Terjejas Ribut
MARANG, 19 Julai - Sebanyak 96 buah rumah yang dibadai ribut kelmarin mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memperhalusi segala kerugian dan kerosakan dialami mangsa bagi memudahkan proses penyaluran bantuan agar mereka yang terjejas dapat menduduki kembali kediaman itu dengan selesa. "Bagi tindakan segera dalam masa sehari dua ini adalah untuk memastikan mereka boleh masuk dahulu, sebab itu urusan membaiki atap dan sebagainya telah kita selesaikan dan hari ini dijangka selesai bahagian membaik pulih bumbung yang rosak. "Supaya kalau hujan tidak akan merosakkan barangan dalam rumah, yang lain daripada itu adalah untuk memastikan segala sisa-sisa kekotoran ini dapat dibersihkan secepat mungkin," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut bertempat di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, rumah terjejas akibat ribut mengalami kerosakan yang berbeza-beza justeru ia memerlukan kos dan bantuan berlainan. "Kesemuanya telah kita uruskan dan kini dalam proses, kediaman yang paling teruk rosak akan ambil masa sedikit untuk dilakukan pembaikan oleh sukarelawan, segala kerja baik pulih ini secara gotong royong dengan bantuan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan. "Insya-Allah kita akan bantu untuk memastikan mereka boleh masuk rumah terutama bagi rumah yang paling teruk terjejas dengan segera," ujarnya. Sementara itu katanya, gerai para peniaga Pulau Kekabu tidak mengalami kerosakan yang teruk kerana kebanyakan mereka menghentikan operasi apabila melihat angin yang kuat.  
19 Jul 24
719
TDM Dianugerahkan 'Company of the Year' Bagi Tahun 2024
TDM Dianugerahkan 'Company of the Year' Bagi Tahun 2024
KUALA TERENGGANU, 19 Julai– TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”), telah dianugerahkan 'Company of the Year' dalam kategori Perladangan dan Penjagaan Kesihatan untuk Anugerah Kepimpinan Kelestarian di majlis anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2024, di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin, berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada komitmen TDM dalam mengamalkan amalan kelestarian dan  tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.  "Ini adalah usaha dan dedikasi berterusan pasukan kami dalam menyokong serta menggabungkan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam operasi perladangan dan penjagaan kesihatan. "Selain itu, pengiktirafan ini juga bukan sahaja mengukuhkan reputasi TDM tetapi juga sebagai syarikat yang bertanggungjawab terhadap komuniti dan alam sekitar.  "TDM berhasrat untuk terus menerajui amalan kelestarian dalam usaha menjaga kelestarian bumi kita,” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau lagi,  TDM turut mendapat penarafan 3 bintang dalam siri indeks FTSE Bursa Malaysia, selepas semakan separa tahunan pada bulan Jun 2024.  "TDM telah tersenarai antara lima syarikat perladangan terbaik yang mendapat penarafan tinggi daripada 39 syarikat perladangan yang tersenarai.  "Pencapaian ini juga menjadi tanda aras untuk kami bergerak maju ke hadapan bagi mengejar kelestarian dan kejayaan jangka panjang dengan sentiasa menambah baik amalan ESG sebagai teras perjalanan kami," katanya. Sementara itu, KMI Healthcare juga telah memperoleh reputasi sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang  dipercayai dan menjadi pilihan dalam komuniti.  "Baru-baru ini, organisasi tersebut memenangi Anugerah ‘GlobalHealth Asia Pacific’ di Phuket, Thailand, sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia.  “Kejayaan ini bukan hanya menjadi pencapaian TDM, tetapi juga bukti kepada semua pihak berkepentingan  tentang tekad kami untuk terus berinovasi dan membangun program CSR yang bermanfaat serta mematuhi prinsip-prinsip ESG sebagai teras perjalanan kami,” tambah Najman. 
19 Jul 24
516
"Apa Yang Ditakutkan Dengan TikTok Saya?" - Dr Sam
"Apa Yang Ditakutkan Dengan TikTok Saya?" - Dr Sam
MARANG, 19 Julai - "Apa yang hendak ditakutkan dengan kandungan video TikTok saya yang memaparkan aktiviti saya memberi motivasi kepada pemain bola, menerima kunjungan dari luar (Duta Qatar) 'it's not political, its not 3R'," ujar Menteri Besar Terengganu. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya merasa sangat pelik kerana hampir 20 video di TiKTok beliau dipadam tanpa sebarang notis dan alasan. Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada paltform terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun masih bekum menerima jawapan. "Dalam masa yang sama kami juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). "Saya merasa pelik (dengan perkara ini) dan banyak pihak yang menghubungi saya menyatakan mereka juga hairan dengan apa berlaku. "Sehingga perkara ini keluar dalam media dan akhbar sama ada yang bukan Bahasa Melayu, seperti English media Mandarin. "Ini menunjukkan keprihatinan seluruh anggota masyarakat bahawa perkara seperti ini tidak boleh didiamkan, mungkin hari ini kena pada saya mungkin esok pada orang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung (kg) Seberang Marang, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, adalah penting untuk semua pihak terlibat menegur mengenai perkara yang dilihat cuba untuk menyekat kebebasan bersuara. "KIta perlu untuk sama-sama menegur supaya jangan jadi seperti ini lagi, kerana ia tidak akan membantu negara kita untuk terus maju ke depan," katanya. Beberapa hari lalu, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa mempersoalkan kebebasan bersuara di bawah kerajaan hari ini apabila hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu dipadam tanpa sebarang notis dan alasan. Beliau terkejut selepas melihat senarai video yang dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja). “Antara video yang dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, 'Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan)," katanya. Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang rakyat berkait kebebasan media di bawah kerajaan hari ini.
19 Jul 24
400
700 Peniaga Baru Mohon Berniaga di Pasar Payang 1
700 Peniaga Baru Mohon Berniaga di Pasar Payang 1
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Sebanyak 700 permohonan baru diterima daripada orang ramai yang berminat untuk  berniaga di Pasar Payang 1. Perkara tersebut disahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Rosli Latif dalam satu kenyataannya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam. Katanya, permohonan diterima sangat banyak berbanding hanya 50 kekosongan sahaja yang ada. "Permohonan telah dibuka pada 1 Julai dan ditutup pada 14 Julai lalu bagi kedai emas, kedai cenderahati, kedai pelbagai dan kedai makanan & minuman viral. "Selepas ini MBKT akan memproses borang tersebut dan memanggil pemohon untuk ditemuduga, proses ini mungkin mengambil masa dalam sebulan atau dua bulan dan dijangka selesai sebelum akhir tahun ini," katanya. Dalam pada itu, Rosli memaklumkan seramai 109 orang daripada 110 peniaga Pasar Payang 1 telah menerima kunci dan membayar deposit. Katanya, fasa pertama perpindahan di ruangan bahagian bawah itu melibatkan kedai emas, cenderamata, dan kedai terpakai.  “Setakat ini, hanya seorang peniaga yang belum membayar deposit dan mengambil kunci,” ujarnya. Rosli berkata, pihaknya juga telah memberi kelonggaran kepada peniaga untuk membolehkan mereka melakukan kerja-kerja renovasi sehingga 1 Ogos sebelum dikenakan kadar sewa baru. “Pada mulanya, peniaga dijadualkan berpindah pada 1 Julai, tetapi memahami keperluan mereka untuk bersiap sedia, kami menangguhkan tarikh tersebut. “Kadar sewa yang dikenakan bulan ini adalah kadar lama Pasar Payang 2. Apabila mereka berpindah pada 1 Ogos, kadar sewa baru akan dikenakan. Mereka kini sedang melakukan renovasi dan persediaan untuk berpindah,” katanya. Mengulas berhubung papan tanda yang digembar gembur mahal oleh sesetengah pihak, beliau berkata harga yang diletakkan akan berubah selepas proses sebut harga. “Harga papan tanda RM1,600 yang didakwa mahal itu hanyalah anggaran jabatan, harga sebenar akan ditentukan selepas proses sebut harga.  “Jika harga yang ditawarkan lebih rendah, peniaga hanya perlu membayar jumlah tersebut. Andai kata ada pembida masuk harganya RM1,200 kita akan cas mereka RM1,200 sahaja, baki itu kita debit dalam akaun sewa peniaga. “Mereka tidak rugi apa-apa pun, katakan bulan Ogos nanti sewa mereka RM800 mereka bayar RM400 sahaja kerana RM400 lagi diambil daripada baki bayaran papan tanda,” ujarnya. Selain itu, beliau berkata, pihaknya ingin menyeragamkan papan tanda di Pasar Payang 1 itu sebagaimana yang dilakukan di negara maju.
18 Jul 24
1796
Tiga Laras Meriam Berusia Lebih 100 Tahun Ditemukan
Tiga Laras Meriam Berusia Lebih 100 Tahun Ditemukan
KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Tiga laras meriam yang dipercayai berusia lebih 100 tahun ditemukan di dua daerah iaitu Dungun dan Setiu ketika kerja-kerja pembangunan dilakukan di lokasi tersebut. Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, bagaimanapun asal usul meriam itu belum dapat dipastikan sehingga selesai konsevarsi bagi mengetahui asal usulnya yang sebenar. Menurutnya, satu laras meriam dijumpai dengan kedudukan sedalam kira-kira satu meter dalam tanah di bekas tapak balai polis lama di Dungun ketika kerja-kerja pembangunan dilakukan pada 26 November 2023. Selain itu, katanya, dua laras meriam telah dijumpai oleh syarikat kontraktor pembinaan benteng pemecah ombak di Kuala Setiu, Setiu pada 21 Januari lepas. "Ada tiga laras meriam yang dipercayai lebih 100 tahun dijumpai baru-baru ini. Satu laras meriam berukuran kira-kira enam hingga tujuh kaki dijumpai di Dungun  dengan keadaan fizikal meriam masih berada dalam keadaan baik susulan dijumpai di atas darat namun ia agak berkarat pada sebahagian badannya. "Selain itu, dua laras meriam yang berukuran kira-kira enam hingga tujuh kaki itu dijumpai sedalam tiga meter dalam air di Kuala Setiu. Keadaan meriam itu sudah berkarat dan bersalut tebal. "Jadi dengan keadaan fizikal kedua laras meriam yang agak berkarat itu sudah tentu mengambil masa untuk dibuat konsevarsi," katanya ketika ditemui pemberita di Muzium Negeri Terengganu di sini pada Rabu. Mengulas lanjut, Che Muhamad Azmi berkata, tiga laras meriam yang dijumpai itu kini diletakkan di Muzium Negeri Terengganu untuk proses konsevarsi. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya setakat ini telah menemukan 10 laras meriam sejak tahun 2012. "Di Terengganu, kita menjumpai meriam buatan dari pelbagai negara termasuk Portugis, Belanda dan Perancis. "Jadi setakat ini tiga laras meriam yang dijumpai ini tidak menunjukkan lagi tanda-tanda (buatan dari negara mana). Insya-ALLAH... selepas kita buat pemuliharaan dan pembersihan mungkin dapat tahu asal usul ketiga meriam ini dari mana," ujarnya. Sementara itu, Konservator Muzium Negeri Terengganu, Alisa Abdul Wahab menyatakan proses untuk membersihkan meriam itu bergantung kepada ketebalan dan kerosakan sesuatu meriam tersebut.  "Konservasi ini pertama sekali melibatkan kerja-kerja pembersihan dahulu iaitu bersihkan keseluruhan permukaan meriam ini. Kita buang selaput karat yang ada pada besi. "Jadi proses itu akan bergantung pada ketebalan atau kerosakan meriam itu. Untuk proses membuang karat pada meriam itu mengambil masa lebih kurang dalam sebulan," jelas beliau.
17 Jul 24
733
MBKT Tutup, Kompaun Premis Urut Haram
MBKT Tutup, Kompaun Premis Urut Haram
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak menutup dan mengenakan kompaun kepada sebuah pusat urut di Dataran Emas, Jalan Sultan Sulaiman di sini kerana beroperasi secara haram. Datuk Bandar MBKT, Dato’ Rosli Latif  berkata, tindakan itu diambil selepas 11 penguatkuasa MBKT menyerbu premis urutan tradisional berkenaan sekitar jam 11 malam kelmarin. Kata beliau, pihaknya telah merampas dan menyita beberapa barangan termasuk enam buah tilam, tujuh helai cadar dan tuala, sehelai seluar pendek dan satu set alatan urut. “Dalam serbuan itu juga kita dapati ada enam warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan seorang penjaga kaunter. "Premis berkenaan dikenakan denda maksima berdasarkan kuasa kami, sebanyak RM1,000 di bawah undang-undang kecil perlesenan tred perniagaan dan perindustrian 2013.  “Sekiranya denda ini tidak dibayar, pemilik premis berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah.  “Pemilik premis juga diberi tempoh 30 hari untuk menuntut kembali barangan yang dirampas, jika tidak, barangan tersebut akan dilelong. Suka saya ingatkan, MBKT tak akan berkompromi terhadap sesiapa yang melanggar tatasusila dan undang-undang kerajaan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam. Tambah Rosli, premis milik bukan islam itu tidak akan dibenarkan beroperasi lagi.  Menurut beliau lagi, operasi kelmarin berjaya membuahkan hasil selepas dua bulan MBKT menjalankan intipan. “Pada malam serbuan, kebetulan terdapat pelanggan yang ingin memasuki premis, ini memberikan peluang kepada pihak penguatkuasa untuk bertindak. “Ketika serbuan ada tiga pelanggan yang berada di dalam premis tersebut,” katanya. Mengulas laporan Kosmo mengenai 14 wanita Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan didenda RM700 gara-gara menyalahguna pas lawatan sosial, beliau berkata kes berkenaan merupakan kes lama. “Saya sudah merujuk isu ini dengan Polis Kuala Terengganu, kes itu sekitar Mei lalu, yang keluar dalam Kosmo setelah selesai perbicaraan dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.  “MBKT juga sudah memeriksa premis itu dalam beberapa hari dan kami boleh sahkan bahawa premis berkenaan sudah ditutup sepenuhnya," ujarnya.
17 Jul 24
2089
Surah Al- Jumuah Beri Panduan Dalam Pembangunan Sosial
Surah Al- Jumuah Beri Panduan Dalam Pembangunan Sosial
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Pemilihan Surah Al-Jumuah dalam Program Terengganu Bertadabbur Siri II amat bertepatan dalam memberi panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat Islam pada masa kini. Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, dalam konteks semasa surah berkenaan memberikan makna yang cukup signifikan kerana berupaya mengubah kerangka fikiran dan karakter muslim dalam aspek sosial. “Surah Al-Jumuah ini sangat tepat untuk kita jadikan sebagai model ikutan kerana ayat pertama disebutkan kepada kita adalah tentang bertasbih dan berzikir kepada Allah, juga ayat ke-11 iaitu ayat terakhir surah menyebut sedemikian rupa. “Jadi isu sosial yang agak ketara dalam masyarakat pada hari ini adalah berkaitan dengan masalah mental termasuk kemurungan dan penagihan dadah kemungkinan disebabkan tidak beroleh ketenangan. “Antara yang disebutkan dalam ayat pertama surah ini jika sekiranya kita hendak mencari ketenangan, hendaklah kita dekatkan diri dengan al-quran dan banyakkan berzikir,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam. Mengulas lanjut katanya, ayat ini turut menyatakan mengenai kepentingan zikir kepada umat Islam dalam mencari ketenangan hakiki daripada Allah. “Dalam ayat pertama (surah) ini meminta kita banyakkan zikir, yang pentingnya zikir itu, kita hendak galakkan umat Islam dengan al-quran dan banyakkan berzikir supaya terus mendapat ketenangan dan insya-Allah segala penyakit mental, jiwa dan sebagainya akan terhapus. “Bukan saya katakan zikir sahaja boleh menyelesaikan masalah, tetapi antara amalan atau perkara yang boleh diusahakan,” ujarnya.  
17 Jul 24
125
Kenapa Padam, Apa Salah MB Terengganu?
Kenapa Padam, Apa Salah MB Terengganu?
Selepas tular berita video di Tiktok Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibuang daripada platform media terbabit tanpa sebarang sebab, timbul pelbagai tanda tanya daripada kalangan rakyat. Rata-rata mereka mempersoalkan mengapa ia dipadamkan, sedangkan semua video tidak memburukan atau memprovokasi pihak tertentu, apatah lagi menghina kaum, agama dan institusi diraja (3R). Lebih memeranjatkan, satu daripada belasan video yang dipadam adalah penceritaan berkait dengan perpaduan kaum dan agama yang wujud di Terengganu oleh seorang warga emas berbangsa cina. Warga emas yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, beliau sangat sedih apabila dimaklumkan video yang sudah mencecah 5.9 juta tontonan lesap sekelip mata. Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. "Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang. "Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit. Dalam video itu, Aunty Amy menegaskan, dia dan rakan-rakan bukan islam yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam. "Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini. "Agama kami bebas diamalkan. Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya. Hasil semakan juga mendapati video yang dipadam rata-rata mempunyai tontonan antara 500 ribu hingga 1 juta. Jelas sekali rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku? siapa yang baling batu sembunyi tangan? adakah Menteri Besar Terengganu menjadi ancaman kepada orang ramai? adakah ia sebab teknikal? Hanya pihak berautoriti yang tahu.  Saya percaya Kerajaan Persekutuan juga tidak merestui perbuatan ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak yang cukup lantang bercakap soal kebebasan media. Bahkan, Anwar juga mahu perpaduan kaum diangkat sejajar dengan dasar kerajaan madani. Justeru, apa yang dipaparkan dalam video di TikTok Ahmad Samsuri mengenai perpaduan yang wujud antara kaum melayu, cina dan india di Terengganu wajar disebarluaskan, bukan dipadam. Ini bagi juga bagi menutup mulut segelintir pihak yang mengatakan tidak wujud perpaduan kaum di bawah pemerintahan selain kerajaan madani. Akhir kata, perkara yang patut dipadam adalah tindakan ‘tangan-tangan’ ghaib yang cuba memadam fakta sebenar. Muhammad Husaif Mamat, Ketua Editor TRDI News.
17 Jul 24
568
Isu ‘Tiang Nabi Khidir Bersandar’ Tidak Dibawa Ke Panel Jawatankuasa Fatwa- Mufti Terengganu
Isu ‘Tiang Nabi Khidir Bersandar’ Tidak Dibawa Ke Panel Jawatankuasa Fatwa- Mufti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Isu dakwaan tiang yang menjadi tempat Nabi Khidir bersandar ketika bertemu ulama tersohor Terengganu, Tok Ku Paloh tidak akan dibawa ke Panel Jawatankuasa Fatwa. Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Pegawai Penguatkuasa Syariah telah pergi ke surau berkenaan yang terletak di Kampung Paloh, di sini untuk melakukan siasatan dan mendapati tiada bukti yang menjelaskan tiang surau itu pernah menjadi tempat bersandar Nabi Khidir seperti diviralkan. “Ada penguatkuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu yang telah pergi ke sana dan didapati bahawa perkara tersebut tidak benar. “Pada zaman Tok Ku Paloh dulu tidak timbul cerita ini, anak-anak ulama tersohor itu sendiri pun sudah meninggal dunia, jadi tidak ada saksi yang boleh menjelaskan perkara ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam. Mengulas lanjut katanya, video mengenai tiang surau dijadikan tempat bersandar Nabi Khidir itu dipercayai dirakam dan ditimbulkan pemandu pelancong yang membawa sekumpulan pengunjung dari luar Terengganu sehingga menimbulkan isu tersebut. Katanya, Jabatan Mufti negeri tidak boleh mengesahkan kerana tiada bukti yang menunjukkan perkara itu berlaku. “Dari sudut keluarga Tok Ku Paloh sendiri menafikan perkara ini dan kita tidak boleh hendak mengesahkan perkara ini kerana tidak ada bukti yang menunjukkan perkara tersebut berlaku. “Bagi pihak kita, sekiranya ada apa-apa isu yang di bawa ke jabatan mufti, akan ada panel jawatankuasa yang akan mengesahkan. “Tetapi dalam hal ini tidak perlu dibawa kepada Panel Jawatankuasa Fatwa kerana perkara ini sudah jelas dilihat bahawa dari sudut penguatkuasaan didapati tidak ada bukti-bukti yang menjelaskan tentang apa yang berlaku dalam viral tersebut,” ujarnya. Terdahulu, video berdurasi 2 minit 58 saat yang di muat naik seorang inivididu menerusi aplikasi Tik Tok bertajuk ‘Tabaruk Tiang Nabi Khidir Bersandar di Terengganu' kembali ditularkan baru-baru ini. Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau didakwa berada Makam Tok  Ku Paloh di Kuala Terengganu. Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta mengusap tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.
17 Jul 24
149