lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sedia Tarik Pelabur Asing Teroka Industri Tani di Terengganu
Sedia Tarik Pelabur Asing Teroka Industri Tani di Terengganu
MARANG, 15 Julai – Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan para pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur ke Terengganu bagi melihat, membangunkan sektor pertanian berpotensi di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, namun begitu mereka perlu patuh kepada syarat-syarat yang  ditetapkan. Katanya, tiga soalan utama akan diberikan apabila ada pelabur yang datang mengemukakan ‘proposal’ atau cadangan projek iaitu nyatakan apa yang pelabur nak buat, kedua apa yang kerajaan negeri perlu bantu dan apa yang rakyat Terengganu boleh dapat manfaat. “Setiap negara kita tak boleh lari daripada foreign direct investment (FDI)sebab pelabur ini mereka datang bawa modal, teknologi, kemahiran baru dan juga membuka peluang pekerjaan. “Setakat ini alhamdulillah pelabur asing dalam pertanian kita berada di atas landasan yang tepat. Contohnya pelaburan asing daripada McCormick Global penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong seluas 600 hektar, mereka patuh kepada apa yang telah kita persetujui bersama dalam MoU. “Antaranya peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, syaratnya dibina kilang bagi kita tambahkan ruang dan peluang pekerjaan,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Ayam Dinsan, Kampung Temala, hari ini. Justeru itu katanya, dari konteks kerajaan negeri, rakyat tempatan, daripada kalangan kebanyakan disantuni, dalam masa yang sama pengusaha dan pelabur asing juga dialu-alukan sebab tidak boleh bergantung kepada satu sektor sahaja tapi perlu bergantung kepada banyak perkara cabang untuk membangunkan Terengganu. Dr Azman juga berkata, ini membuktikan bahawa rakyat tidak disisihkan sebaliknya kerajaan negeri menyediakan sokongan modal untuk rakyat tempatan melalui skim pinjaman modal tani dan pelbagai bantuan teknikal. “Kita bercakap dengan pelabur jangan campur aduk dengan fokus kita untuk bantu usahawan tempatan, kedua-dua ini kita tidak boleh abaikan dan mesti berjalan serentak,” ujarnya. Beliau juga menyatakan bahawa selain McCormick, kerajaan negeri kini sedang menerima beberapa pelabur yang genuine investor. “Kita sedang menerima beberapa pelabur yang saya istilahkan datang dengan proposal jelas tentang perancangan bisnes dan ada syarikat daripada Korea yang datang untuk buka ladang ternakan ayam bersekali dengan ladang solar yang kita panggil agrivoltaic termasuk pelabur yang datang untuk buat ladang lada besar-besaran pun kita tengah proses. “Yang terbaru ada satu syarikat yang datang untuk buat ternakan ikan talapia secara komersial di Tasik Kenyir dalam bentuk sangkar dan kita telah buat perbincangan awal lawatan tapak. "Kerajaan negeri dalam proses pengezonan sebahagian daripada kawasan di tasik kenyir sebagai zon industri aquaculture bagi kita memudahkan lagi untuk usahawan pelaburan masuk dan memanfaatkan keadaan geografi tasik kenyir itu bagi pengembangan industri aquaculture,”ujarnya.
15 Jul 24
989
Hanelang Ladies Lengkapkan 'Hatrik' Juara National 7s
Hanelang Ladies Lengkapkan 'Hatrik' Juara National 7s
KUALA NERUS, 15 Julai- Pasukan Ragbi Wanita Terengganu atau lebih dikenali Hanelang Ladies terus mempertahankan gelaran sebagai juara bertahan bagi kategori wanita bawah 21 tahun dalam Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan (National 7s), setelah membelasah Selangor 17-0 pada perlawanan akhir pada Ahad. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, pemain terbaik kejohanan, Nur Alya Nabila Samsu Bahari melakukan dua 'try' dan satu 'conversion' untuk Terengganu selesa, sebelum Nur Syamimi Atasha Samsubahari melakukan satu 'try' pada minit terakhir perlawanan bagi menggamatkan detik gemilang itu. Pengendali pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail berkata, kemenangan tersebut melakar sejarah apabila Hanelang Ladies terus mempertahan gelaran juara bagi kategori berkenaan bagi tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021. "Alhamdulillah atas kemenangan ini, ini satu kelebihan kita bermain di tempat sendiri. "Saya rasa para pemain menjalankan tugas dengan jayanya dan mereka berhak menang, walaupun kita memiliki dua pemain kebangsaan tetapi kuncinya adalah kerja berpasukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan dalam kejohanan yang berakhir pada Ahad. Secara peribadi, Nasharuddin menyifatkan penambahan kategori wanita dalam kejohanan National 7s membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk menceburi sukan itu. "Kategori wanita adalah penambahbaikan yang bagus yang diadakan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.  "Ia membuka mata dan ruang untuk wanita menceburi sukan ragbi di negeri ini. Alhamdulillah, dari satu segi Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) berjaya melaksanakan National 7s dengan baik di sini," katanya. Dalam kejohanan National 7s itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada juara-juara bagi setiap kategori. Hadir bersama ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad.    
15 Jul 24
196
ADUN Belia Agih 1,000 Bekas Bubur Asyura
ADUN Belia Agih 1,000 Bekas Bubur Asyura
Oleh : Syahida Mohd KUALA NERUS, 14 Julai - Sebanyak 1,000 bekas bubur asyura telah diagihkan kepada jemaah masjid dalam Program Kacau Bubur Asyura 2024 yang berlangsung dengan meriah di Masjid Tebauk, Bukit Tunggal. ADUN Belia Seberang Takir, Syukran Afifi, berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat keagamaan tetapi juga menyuburkan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama manusia. "Program ini bertujuan untuk memperingati hari kebesaran Islam dan sudah menjadi acara tahunan bagi masyarakat di Malaysia untuk menyediakan bubur Asyura serta mengagihkannya bagi meraikan ketibaan bulan Muharram. “Program ini merupakan satu bentuk solidariti dan kebersamaan dalam memperingati peristiwa penting umat Islam,” kata Syukran. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut baru-baru ini. Sementara itu, seorang lagi ADUN Belia, Muhammad Fakhruddin Nordin merupakan ADUN Belia Kemasik, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya yang telah diwarisi sejak sekian lama.  “Diharapkan agar Urus Setia Beliau Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) dapat memperluaskan program seperti ini di setiap DUN bagi menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” ujar Muhammad Fakhruddin. Beliau menambah, aktiviti yang dianjurkan oleh ADUN Belia Terengganu berkolaborasi beberapa pertubuhan antaranya Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, UBSNT, Masjid Tebauk dan JPKK Taman Perumahan Bukit Tunggal.
14 Jul 24
293
16 Pulau Buatan Dibina di Kawasan Hakisan Pantai
16 Pulau Buatan Dibina di Kawasan Hakisan Pantai
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerja-kerja membina 16 pulau buatan di kawasan hakisan pantai di Kuala Terengganu sedang giat dijalankan sebagai langkah proaktif untuk mengawal hakisan yang semakin kritikal. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kawasan pantai tersebut sering berdepan dengan masalah hakisan yang serius setiap kali tiba musim tengkujuh. "Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk melindungi pantai daripada terus terjejas," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengikuti taklimat Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus yang diadakan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, baru-baru ini. Taklimat tersebut turut dihadiri ADUN Batu Rakit, Shafizi Ismail, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus dan Ahli Lembaga Pengarah GPQ Sdn Bhd. Hishamuddin berkata, projek itu adalah harapan penduduk yang telah sekian lama menantikan langkah penyelesaian bagi masalah hakisan pantai. “Walaupun ia tidak akan memulihkan keadaan pantai seperti sediakala, ia dijangka memberi kesan positif kepada penduduk sekitar,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, menjelaskan bahawa bahan binaan untuk projek tersebut termasuk batu-batuan yang dihantar menggunakan tongkang kargo dari Kemaman serta jalan darat. “Beberapa pulau dijangka siap sebelum musim tengkujuh yang akan datang, khususnya di lokasi-lokasi yang paling kritikal,” katanya. Beliau juga menegaskan bahawa beberapa isu berbangkit yang telah merencatkan perjalanan projek telah dikenal pasti dan akan ditangani segera untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan. “Projek ini mendapat sokongan penuh dari penduduk setempat yang berharap ia akan memberikan perlindungan yang berkesan terhadap hakisan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. “Perkembangan lanjut mengenai projek ini akan terus dipantau dan diumumkan kepada orang awam dari semasa ke semasa,” ujarnya.  
14 Jul 24
2766
Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu
Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 JULAI - Projek industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang bakal dilaksanakan di Kerteh, Kemaman akan menghasilkan pulangan lumayan buat rakyat, negeri dan negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah segera bagi menjayakan perancangan itu telah diambil termasuk dengan mengadakan libat urus bersama Kementerian Ekonomi dan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat negeri dan persekutuan. Katanya, manfaat industri CCUS amat besar dan penting bagi Terengganu kerana ekosistem yang dibuat akan menjana pendapatan baharu. “Di peringkat kerajaan negeri melalui entiti GLC, kami telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas terlibat menjadi rakan kongsi dalam CCUS. “Tugas kita ialah pastikan kerajaan sediakan semua kerangka jadi pihak swasta melaksanakan,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Kerajaan negeri Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa CCUS adalah projek rintis dalam pelan peralihan tenaga negara, dengan Terengganu sebagai negeri peneraju kerana potensi besar dalam industri minyak dan gas  di Kerteh. “Di peringkat Kerajaan Persekutuan kami sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan dalam bulan November 2024 dan keputusan mengenai pelaburan dibuat selepas rang undang-undang itu dimuktamadkan. “Perbincangan dengan pelabur dan pelanggan antarabangsa sedang berjalan serta keputusan besar kemungkinan akan dapat dimuktamadkan dalam tahun 2025.   “Tetapi kita sedia maklum pelaburan untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap daripada terminal sampai ke luar pesisir pantai selalunya dalam lingkungan RM20 bilion.  “Jadi itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan kesat limpahan ekonomi kepada Terengganu, kalau kita berjaya susun dengan baik,” ujar Rafizi. Beliau menambah, empat buah negeri dikenal pasti berpotensi besar untuk memanfaatkan teknologi pembangunan sektor CCUS di negara ini. “Perancangan kita melibatkan empat tapak dan potensi yang ada adalah setakat ini melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak jadi Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan empat buah negeri untuk memastikan semua berjalan baik. “Kita memastikan dalam perancangan CCUS peringkat nasional semua berada dalam keadaan baik supaya pelanggan daripada luar negara boleh menilai kemajuan  dan potensi projek ini,” tambah beliau.
14 Jul 24
1176
Anak Syarikat Terengganu Diiktiraf Lima Syarikat Perladangan Terbaik
Anak Syarikat Terengganu Diiktiraf Lima Syarikat Perladangan Terbaik
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah tersenarai antara lima syarikat perladangan terbaik di Malaysia selepas mendapat penarafan tiga bintang dalam siri indeks FTSE Bursa Malaysia. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata pencapaian itu diumumkan susulan semakan separa tahunan yang dilakukan pada bulan Jun 2024. “Dalam penarafan ini, TDM berjaya mengungguli 39 syarikat perladangan lain yang tersenarai, sekaligus menempatkan diri sebaris dengan syarikat-syarikat ternama seperti KLK Berhad, IOI Corporation, SD Guthrie Berhad dan TH Plantations Berhad. “Pada bulan Disember 2023, TDM buat pertama kalinya disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan Indeks Shariah FTSE4Good Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini. Tambah Najman, semakan tersebut memberikan TDM penarafan dua bintang daripada empat bintang bagi penggredan untuk persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). Namun begitu, dalam semakan terbaru pada Jun 2024, TDM telah berjaya meningkatkan penarafannya kepada tiga bintang. “Penarafan ini amat penting bagi TDM dalam usaha mendapatkan kepercayaan dan keyakinan daripada pihak berkepentingan termasuk pelabur, pelanggan, pekerja dan komuniti yang lebih luas. “Pencapaian ini juga menjadi tanda aras untuk syarikat dalam mengejar kelestarian dan kejayaan jangka panjang dengan terus menambah baik amalan ESG sebagai teras perjalanan syarikat,” katanya. Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, termasuk kakitangan Kumpulan TDM, rakan niaga, pelanggan dan semua yang mendukung perjalanan kejayaan tersebut. “Kami komited untuk terus berusaha meningkatkan amalan ESG dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. “Pencapaian ini mencerminkan usaha keras dan dedikasi TDM dalam memastikan operasi perladangan mereka memenuhi standard tertinggi dalam aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus,” ujarnya.
14 Jul 24
3667
Gerai Kuih Gong Kapas 'Pinor' Mata Nak Buat Pilihan
Gerai Kuih Gong Kapas 'Pinor' Mata Nak Buat Pilihan
KUALA TERENGGANU,14 Julai - Perasan tak sejak kebelakangan agak susah untuk mencari kuih tradisional? Bila dah jumpa, selalunya cepat habis dijual. Bahkan, kuih tradisional lagi laris dari kuih yang biasa kita jumpa. Mungkin keistimewaannya terletak pada cara pembuatannya membuatkan ia sukar dicari. Kepelbagaian kuih-muih tradisional yang dijual di Gerai  Kuih Tradisional Terengganu, Gong Kapas membuat siapa saja menjadi rambang mata, bukan saja penduduk tempatan tapi juga orang luar dan juga pelancong termasuk daripada luar negara yang datang ke Terengganu. Lebih 100 jenis kuih-muih tradisional dijual di gerai milik Tengku Ahmad Tengku Mohamad, 56, yang terletak di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam, Antara kuih tradisional yang boleh diperoleh di situ jala emas, seri kaya, akok, nekbat, tepung pelita, puding raja dan ada sesetengah kuih tradisional sukar diperoleh di tempat lain dan hanya dijual di sini. Menurut Tengku Ahmad, perniagaan itu diwarisi dari moyangnya, arwahTengku Awang Tengku Mahmud yang memulakan bisnes tersebut awal tahun 1970 dengan hanya menjual kuih muih menggunakan beca roda tiga di lokasi sekarang. “Selepas itu, bapa-bapa saudara saya ‘upgrade’ sedikit dengan membuka meja di tepi jalan depan gerai ini pada tahun 1980 an dengan lebih banyak pilihan kuih. “Apabila saya mula mengambil alih tahun pada tahun 1986, kami membina gerai dan di situlah perniagaan kuih mula berkembang dan menjadi tumpuan ramai,”katanya. Ujarnya, sambutan menggalakkan terhadap lebih 100 jenis kuih di gerainya membolehkan dia menjana pendapatan dari hasil komisen ke atas setiap kuih yang dijual. Menurutnya, kebanyakan pembeli bukan sahaja dalam kalangan yang berusia, malah golongan muda turut mengambil peluang mencuba kuih-muih tersebut. “Generasi kini mungkin tidak kenal dengan kuih hati sukma, koleh lemak atau lok lik, jadi saya manfaatkan kesempatan ini supaya mereka dapat merasai keenakan hidangan warisan kita,"ujar Tengku Ahmad lagi. Beliau berkata kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda kini lebih cenderung membeli kuih muih moden mengikut trend selain peniaga juga semakin kurang untuk menerima dan menjual kuih-muih tradisional meski pun ia masih ada peminat tersendiri. Justeru itu, kuih tradisional mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor. Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikkan dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca kuih tradisional ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman.
14 Jul 24
514
Mahasiswa Terengganu Lapor Polis Terhadap Aktivis Politik
Mahasiswa Terengganu Lapor Polis Terhadap Aktivis Politik
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Video kontroversi yang melibatkan aktivis politik, Wan Hadi telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan mahasiswa di Terengganu, khususnya mereka dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Presiden Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) Terengganu, Ahmad Baihaqi Mohd Fadzil berkata GAMIS bersama-sama dengan Siswa PAS Terengganu dan wakil persatuan mahasiswa UniSZA, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Hadi. Kenyataan tersebut, yang tersebar luas melalui media sosial, didakwa sebagai tohmahan yang merosakkan nama baik golongan ulama serta menggunakan platform tersebut secara tidak wajar. “Kenyataan ini bukan sahaja mengapi-apikan masyarakat tetapi juga menimbulkan ketidakselesaan yang besar di kalangan mahasiswa, terutamanya ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir semester sekarang. “Laporan polis tersebut dibuat bagi memohon pihak berkuasa untuk menyiasat Wan Hadi di bawah Seksyen 499, 504, dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Baihaqi berkata pihaknya berharap agar tindakan segera diambil untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dengan adil dan tidak menjejaskan keharmonian serta imej institusi pengajian tinggi di negeri ini. Pihaknya turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap impak kenyataan tersebut. “Video ini telah mencetuskan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan mahasiswa dan orang awam. Kami mendesak pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap Wan Hadi. “Dengan laporan polis yang telah dibuat, GAMIS Terengganu dan Siswa Pas Terengganu berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya. Baihaqi turut menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini dengan baik. “Kes ini kini dalam siasatan pihak polis dan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa. “Mahasiswa UniSZA serta masyarakat umum diingatkan agar tidak menyebarkan spekulasi dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” jelasnya.
13 Jul 24
1423
Skim Baja Rintis Perlukan Penelitian Lanjut
Skim Baja Rintis Perlukan Penelitian Lanjut
DUNGUN, 11 Julai- Kerajaan perlu membuat penelitian lanjut terhadap Skim Baja Rintis termasuk dari sudut apakah kebaikan skim tersebut kepada petani. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan telah membuat keputusan bahawa tiada lagi Skim Subsidi Baja Padi di beberapa kawasan jelapang padi. Katanya, kawasan tersebut adalah IADA Ketara Besut, KADA serta IADA Semerak Kemasin Kelantan, IADA Pulau Pinang dan IADA Barat Laut Selangor bagi musim ini. "Ia diganti Skim Baja Rintis dengan sistem tender terbuka. Syarikat yang berjaya akan uruskan semburan dan kerja-kerja tabur baja, maknanya urusan sembur dan tabur baja bukan lagi urusan pesawah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, beberapa isu telah dibangkitkan pesawah di lapangan mengenai penggantian skim tersebut. "Antaranya siapa kontraktor yang dapat kontrak untuk sembur dan tabur baja dan berapa lama kontraktor dan pekerja mereka ada pengalaman 'buat padi'. "Selain itu, mereka turut bertanya apa jaminan kontraktor boleh buat campuran baja dan teknik tabur baja yang lebih baik berbanding pengalaman pesawah yang telah berpuluh tahun bergelumang selut dan lumpur," ujarnya. Katanya, para pesawah turut mempersoalkan mampukah kontraktor bagi jaminan mereka boleh menepati jadual pembajaan yang dikehendaki pesawah. "Berapa ramai mereka ada pekerja untuk menyelesaikan taburan baja kira-kira 5,000 hektar sawah padi IADA Ketara Besut, tidak termasuk lokasi lain lagi," ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Azman memberitahu, kenaikan harga diesel memberikan impak yang agak ketara kepada sektor pertanian.  "Contohnya kos untuk bajak seekar sawah dulunya RM120 tetapi kini telah naik kepada RM180, memang peningkatan yang agak mendadak. "Belum di kira kos-kos lain. Kita yakin kos lori padi, jentera-jentera pertanian yang menggunakan diesel turut meningkat," ujarnya.
11 Jul 24
247
Sasar Lepas 500,000 Benih Ikan Tahun Ini
Sasar Lepas 500,000 Benih Ikan Tahun Ini
DUNGUN, 11 Julai – Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) menyasarkan untuk melepaskan 500,000 benih ikan air tawar ke perairan umum di Terengganu pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program pelepasan benih ikan itu membabitkan lokasi yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing. “Bagi tahun ini, kerajaan negeri menyusun 16 siri program pelepasan anak benih ikan di sungai dan tasik seluruh negeri ini dengan sasaran lebih 500,000 anak benih ikan air tawar pelbagai spesis.  “Ia dilaksanakan secara berperingkat di semua daerah dan dijadualkan akan berakhir pada September depan, setakat ini kira-kira 300,000 anak benih telah selesai dilepaskan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini. Program pelepasan 15,000 benih ikan lampan itu merupakan salah satu projek kelestarian oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Berhad dengan kerjasama Perikanan bagi menjayakan program memperkayakan sumber perikanan darat. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, menerusi program pelepasan benih ikan dapat dilihat berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat. “Ia memberikan indikator dengan peningkatan hasil pendaratan pada tahun 2023 dalam 190 tan metrik berbanding tahun 2022 iaitu dalam 163 tan metrik,” ujarnya. Sementara itu katanya, program pelepasan anak benih ikan juga boleh dikembangkan menjadi produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dengan mewujudkan santuari ikan. “Ia boleh dilaksanakan dengan menggazetkan satu kawasan larangan menangkap ikan bagi tujuan melepaskan anak benih dengan pemuliharaan dan penjagaan yang secara tidak langsung ia boleh jadi satu sumber ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya. Tambah beliau, usaha tersebut setakat ini telah dilaksanakan di Lata Ulu Kasar, Setiu.  “Baru-baru ini kita telah lepaskan 700 anak benih ikan kelah merah di santuari tersebut dengan nama 'Santuari Ikan Sesohor Setiu' yang menjadi santuari ikan yang kedua selepas Tasik Kenyir. “Kita akan kembangkan lagi ke beberapa lokasi strategik di antaranya di Lata Tembakah, Besut yang strategik untuk diwujudkan santuari,” ujarnya.
11 Jul 24
430