lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pasangan Terengganu Berjuang Pertahan Rumah Tangga di Tengah Krisis Ekonomi
Pasangan Terengganu Berjuang Pertahan Rumah Tangga di Tengah Krisis Ekonomi
KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi, pasangan di Terengganu menunjukkan keteguhan dan kesetiaan dalam usaha mereka mempertahankan rumah tangga masing-masing. Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, Moktar Salleh berkata hal tersebut terbukti daripada jumlah pasangan yang datang untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), menunjukkan komitmen mereka dalam mencari penyelesaian dan sokongan. Menurutnya, ramai pasangan datang menceritakan masalah sama, dengan kebanyakan aduan berkisar tentang tekanan kewangan yang semakin membebankan mereka. “Kami mendapati bahawa isu kewangan adalah faktor dominan yang menyumbang kepada ketegangan dalam rumah tangga. “Banyak pasangan yang terpaksa berdepan dengan masalah seperti kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan, peningkatan kos sara hidup dan ada juga kes pengurusan kewangan tidak betul,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di pejabatnya baru-baru ini. Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Bahagian Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria. Moktar menambah bahawa Bahagian Undang-Undang Keluarga kini berusaha lebih untuk membantu pasangan yang menghadapi krisis tersebut. “Kami menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk nasihat dari segi perundangan islam dan bimbingan tentang pengurusan kewangan. “Kami juga berusaha untuk mengadakan sesi khidmat kaunseling bagi membantu pasangan mengatasi masalah mereka dan mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya. Beliau berkata khidmat bimbingan kaunseling yang diadakan memberi peluang kepada pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai masalah yang dihadapi. “Sesi-sesi ini bukan sahaja memberi panduan praktikal tetapi juga memberikan sokongan emosi yang penting, di samping membantu pasangan membina semula kepercayaan dan komunikasi dalam hubungan mereka. "Kami percaya bahawa dengan pendekatan yang menyeluruh, pasangan akan lebih mampu menghadapi cabaran yang mendatang dan mengekalkan keharmonian rumah tangga mereka walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu," ujarnya. Moktar berharap dengan usaha yang berterusan, dapat membantu pasangan-pasangan untuk kekal bersama di tengah-tengah cabaran ekonomi yang sukar itu.
26 Jul 24
562
Sekat Royalti : ‘Tidak Berasas Dakwa Terengganu Tak Telus Berbelanja’
Sekat Royalti : ‘Tidak Berasas Dakwa Terengganu Tak Telus Berbelanja’
BESUT, 25 Julai - Tuduhan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan Terengganu tidak telus dalam mengurus perbelanjaan dan menjadi alasan untuk menyekat royalti minyak negeri itu adalah tidak berasas. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyangkal tuduhan songsang berkenaan dengan menyifatkan ia hanya tindakan bermotif politik kumpulan tertentu. “Pada saya itu adalah pandangan yang tidak berasas, itu sahaja, ‘simple’. Saya boleh simpulkan begitu dalam satu perkataan mudah. ‘It's about politics’,” katanya ketika disoal media berhubung perkara terbabit hari ini. Terdahulu, ada pihak mendakwa, bayaran royalti tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri kerana bimbang dana khas milik rakyat Terengganu itu akan disalah guna. Namun semalam, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengisytiharkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan. Jelas IDEAS, pengiktirafan terhadap Kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.  Ujar IDEAS, dari sudut perbelanjaan, Terengganu paling terkehadapan kerana telah menerbitkan data tentang perbelanjaan operasi mengikut klasifikasi ekonomi. “Terengganu turut menyediakan data terperinci tentang perbelanjaan negeri sehingga ke peringkat program.  “Terengganu juga wajar dipuji kerana ia merupakan satu-satunya negeri setakat ini yang menerbitkan dokumen Cadangan Belanjawan Eksekutif (EBP) secara konsisten. Penerbitan dokumen EBP penting kerana ia mengandungi maklumat melibatkan dana awam dan keutamaan perbelanjaan negeri,” jelas IDEAS. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan soal integriti dan ketelusan telah menjadi perhatian pentadbiran beliau sejak bergelar Menteri Besar pada tahun 2018.  Katanya lagi, semua pihak sama ada di peringkat negeri atau persekutuan tidak perlu menjadikan semua perkara sebagai bahan politik. “Jika apabila (mainan) politik dijadikan asas utama, ia akan memberi kesan negatif kepada rakyat awam termasuk mereka yang tidak terlibat dalam politik parti. “Kita kena pastikan bahawa politik ada masa dan tempatnya, tetapi apabila sampai untuk membangunkan negara dan negeri, kepentingan awam perlu diutamakan lebih daripada kepentingan parti,” tambahnya. Sebelum ini, Ahmad Samsuri turut berkata, royalti petroleum adalah milik Terengganu, tidak ada sebab atau alasan untuk menafikan hak terbabit kerana ia akan menyusahkan rakyat.
25 Jul 24
697
JHEAT: Perkahwinan Tanpa Kebenaran Undang Masalah Besar
JHEAT: Perkahwinan Tanpa Kebenaran Undang Masalah Besar
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi peringatan terhadap perkahwinan tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah besar.  Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, Moktar Salleh berkata perbuatan tersebut melanggar Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 dan boleh didakwa.  Menurutnya, peringatan tersebut dikeluarkan kerana beberapa kes berkaitan telah berlaku di Terengganu, di mana pasangan menghadapi pelbagai masalah akibat perkahwinan tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan. "Seksyen 125 enakmen tersebut memperuntukkan bahawa perkahwinan tanpa kebenaran boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. "Kegiatan tersebut bukan sahaja pasangan boleh kena dakwa, tetapi jurunikah, wali, saksi dan semua terlibat boleh didakwa kerana bersubahat. "Kami ingin mengingatkan masyarakat tentang kesan buruk berkahwin tanpa kebenaran dan tidak didaftarkan. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pasangan dan anak-anak mereka," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di pejabatnya hari ini. Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Bahagian Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria. Moktar berkata berdasarkan rujukan kes-kes yang telah berlaku sebelum ini, terdapat pasangan yang telah berkahwin di Thailand tetapi tidak membuat pengesahan perkahwinan tersebut.  Beberapa bulan kemudian katanya, mereka pulang ke Malaysia dan berkahwin semula melalui proses kebenaran biasa tanpa memaklumkan bahawa mereka telah berkahwin di Thailand sebelumnya Namun begitu, mereka kembali ke Pejabat Agama setelah berkahwin bagi membuat pengesahan perkahwinan di Thailand balik kerana timbul masalah pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). "Ini kerana tempoh masa antara tarikh kelahiran anak dengan tarikh perkahwinan di Malaysia tidak cukup 6 bulan qamariah untuk mensabitkan nasab anak dengan si bapa.  "Oleh itu, mereka menghadapi kesukaran untuk mendaftar kelahiran anak dan terpaksa menjalani proses baru untuk mengesahkan perkahwinan di Thailand dan sekaligus membatalkan surat nikah Malaysia yang telah dikeluarkan," jelasnya. Moktar menjelaskan bahawa pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran berisiko terjebak dalam sindiket perkahwinan tidak sah. "Kesukaran juga timbul dalam proses pendaftaran kelahiran anak. Tanpa dokumen yang sah, anak-anak sukar untuk didaftarkan dan mendapat kemudahan asas seperti pendidikan dan rawatan kesihatan. "Terdapat juga kesulitan yang dihadapi oleh pasangan dalam menuntut hak di Mahkamah Syariah termasuk nafkah, mut'ah, pusaka, perceraian, dan harta sepencarian," jelasnya. Selain itu, pewalian nikah juga menjadi sukar tanpa pendaftaran yang sah dan urusan perbankanjuga terjejas, termasuk pengeluaran wang atau penutupan akaun bagi pemohon yang kematian pasangan.  Moktar turut menekankan kesukaran lain yang dihadapi oleh pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran, seperti mendapatkan kemudahan rawatan warganegara, memohon bantuan kerajaan, dan pendaftaran sekolah anak.  "Tanpa dokumen sah, proses ini menjadi rumit dan memerlukan masa yang lama dan urusan pasport dan visa juga menjadi rumit tanpa dokumen yang sah," jelasnya. Tambahan lagi, Moktar mengingatkan bahawa penjawat awam yang berkahwin tanpa kebenaran juga boleh menghadapi masalah dalam urusan pencen mereka.  "Beberapa usaha telah dilaksanakan oleh JHEAT untuk menangani isu ini, termasuk memasang billboard peringatan di beberapa daerah dan mengadakan kempen kesedaran di seluruh negeri.  "Kami mahu memastikan masyarakat mendapat maklumat yang betul dan memahami kepentingan mematuhi undang-undang perkahwinan," katanya. JHEAT mengajak masyarakat untuk menggunakan sistem permohonan perintah pengesahan dan pendaftaran perkahwinan E-Permohonan 4P yang disediakan. "Kami sedia membantu pasangan yang memerlukan bantuan dalam proses pendaftaran perkahwinan mereka. "Dengan ini, JHEAT berharap masyarakat akan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kebaikan bersama," ujarnya.  
25 Jul 24
597
Kerajaan Negeri, DPPMT Anjur Kolokium Bangun Usahawan Melayu
Kerajaan Negeri, DPPMT Anjur Kolokium Bangun Usahawan Melayu
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), telah berjaya menganjurkan Kolokium bagi membantu Usahawan Melayu di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata penganjuran kolokium tersebut bertujuan menghimpunkan suara usahawan dari pelbagai sektor ekonomi sekali gus memperkasakan daya saing usahawan Melayu. “Kelahiran para usahawan berskala kecil berpunca daripada cita-cita untuk memajukan diri melalui aktiviti yang memberikan pulangan lumayan berikutan perkembangan ekonomi setempat. “Mereka dikenali sebagai individu gigih yang mempunyai wawasan, sasaran, kreativiti, dan optimisme terhadap kejayaan usaha mereka,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kolokium Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Hotel Grand Puteri di sini, hari ini. Turut hadir, Yang Dipetua DPPMT, Ahmad Izani Abdul Ghani dan Timbalannya, Dr Tengku Khairi A.Rahman. Ariffin berkata kolokium tersebut bertujuan juga untuk membantu usahawan Melayu untuk terus bangkit dan mencapai kejayaan dalam perniagaan. “Kelihatan jelas bahawa cabaran dalam dunia perniagaan semakin hebat dari sudut persaingan dan aspek lain. “Terengganu kini giat membantu usahawan tempatan melalui inisiatif seperti Pasar Payang dan Payang Walk, serta pelbagai usaha lain. “Pulau Warisan juga akan dibangunkan dengan projek-projek besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan,” ujarnya. Mengulas lanjut mengenai program, berbeza dengan acara tahun-tahun sebelumnya yang menggunakan seminar dan forum sebagai platform, kolokium kali ini menawarkan pendekatan yang lebih interaktif. “Acara ini berjaya menarik pelbagai wakil penting dari agensi seperti Institut Penyelidikan dan Piawaian Industri Malaysia (SIRIM), Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MAIDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelbagai lagi agensi yang hadir untuk memberikan sumbangan kepakaran masing-masing. “Program yang dihadiri lebih 100 orang itu diberikan peluang khusus untuk mendalami dan memahami produk serta layanan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak,” jelasnya. Ariffin berharap agar kolokium berkenaan dapat memperkukuhkan jaringan dan daya saing usahawan Melayu, dengan matlamat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Tambahnya, pihak penganjur juga menggariskan pentingnya memupuk dan menyokong usahawan kecil agar mereka dapat bersaing dengan lebih efektif dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.  
25 Jul 24
163
Terengganu, JAKS Solar Power Bangunkan Projek Skala Besar
Terengganu, JAKS Solar Power Bangunkan Projek Skala Besar
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM-YT Plantation Sdn Bhd dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd (JAKS Solar Power) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek tenaga solar berskala besar di Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek tersebut akan menggunakan sebahagian daripada 2,600 hektar tanah di Ladang Bukit Bidong untuk pemasangan panel solar. Menurutnya, Projek Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) yang diusahakan itu akan melibatkan penawaran loji solar dan penyertaan dalam bidaan Ground Mounted & Rooftop 30-500MWac dalam pakej tiga mereka. “Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan. "Terengganu sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu dan kami percaya bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta, dan masyarakat setempat, kita mampu mencapai sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada MoU antara TDM-YT Plantation Sdn. Bhd. dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd. Bertempat di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu di sini semalam. Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berharap kerjasama tersebut akan membawa kejayaan besar dan memberikan impak positif yang berpanjangan kepada Terengganu.  “Dengan termeterainya MoU ini, kami percaya projek tersebut akan menyumbang kepada pembangunan tenaga bersih dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, "Pembangunan ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, serta penyediaan latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk tempatan," katanya. Pengarah Eksekutif JAKS Resources Berhad, Dato’ Razali Merican Naina Merican, menambah bahawa tujuan projek berkenaan adalah untuk memudahkan tawaran bidaan JAKS Solar Power Holdings sebagai pemajak. “Gabungan ini melibatkan Konsortium JAKS dan China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd., yang akan berperanan penting dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di Terengganu. “Projek ini diharapkan akan membawa perubahan signifikan dalam sektor tenaga di Terengganu, memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat," ujarnya. Sekali gus katanya, menyokong matlamat negeri dalam mencapai penggunaan tenaga yang lebih bersih dan lestari.      
25 Jul 24
967
KDNK Sektor Pertanian Meningkat di Terengganu
KDNK Sektor Pertanian Meningkat di Terengganu
BESUT, 25 Julai - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor pertanian di Terengganu menunjukkan peningkatan berbanding sektor lain sebanyak 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perancangan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 juga menunjukkan impak positif. "Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pertanian, penternakan, dan perikanan di Terengganu. "Tahniah kepada exco yang sentiasa turun padang, UPEN, jabatan-jabatan pertanian, perikanan, veterinar, LKIM, IADA Ketara, MARDI, FAMA, LPP dan lain-lain jabatan yang sentiasa membantu petani dan usahawan kita.  "Tidak lupa juga khusus ucapan tahniah dan terima kasih saya kepada semua petani, penternak dan nelayan Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi di sini hari ini. Tambahnya, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, dan daya saing hasil-hasil pertanian dan perikanan.  Dalam masa sama, beliau juga berkata semua pihak berkaitan perlu bersedia menghadapi perubahan iklim yang melanda global pada masa kini, menjadi cabaran termasuklah dalam sektor pertanian. "Perancangan lima tahun berikutnya perlu mengambil kira faktor perubahan iklim seperti El Nino, La Nina serta Monsun Timur Laut.  "Selain itu, pembangunan maksimum tanah-tanah pertanian harus diberi keutamaan termasuk tanah-tanah pertanian rata-ratanya berada dalam kawasan berisiko,"jelasnya. Ahmad Samsuri juga menegaskan pembangunan infrastruktur tanah pertanian wajar dipandang serius. "Ini bagi memastikan ia boleh dimanfaatkan untuk pengeluaran sumber makanan dalam negeri seterusnya merealisasikan visi menjadikan Terengganu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negara," ujar beliau. 
25 Jul 24
229
Usahawan Bumiputera Perlu Rebut Peluang Ekonomi Digital
Usahawan Bumiputera Perlu Rebut Peluang Ekonomi Digital
KUALA TERENGGANU, 25 Julai- Komuniti perniagaan Melayu di Terengganu perlu merebut peluang daripada revolusi ekonomi digital yang berpotensi besar melonjakkan pendapatan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ekonomi digital dan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) yang menjadi tumpuan sektor perniagaan menyediakan peluang luas buat usahawan bumiputera meneroka pasaran tanpa modal besar tetapi mampu menjana pulangan tinggi. Katanya, sektor berkenaan bukan hanya menyediakan pasaran lebih luas, malah boleh diusahakan di mana jua lokasi dengan syarat mempunyai akses internet yang stabil. “Apabila ekonomi berubah ke dunia digital, kita kena lebih peka apa yang berlaku secara dalam talian dan sebagai usahawan, kita perlu bersedia dari segi minda untuk melakukan perubahan. “Selain ekonomi digital, negeri kita juga mempunyai banyak peluang lain yang boleh diterokai usahawan contohnya teknologi hijau yang melibatkan industri silika bermutu tinggi. “Walaupun sektor tersebut melibatkan pelaburan agak besar itu tugas kerajaan untuk mencari pelabur dan sebagainya, tetapi kita sebagai usahawan perlu bersedia menyambut apa yang dibangunkan kerajaan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kolokium Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Hotel Grand Puteri di sini, hari ini. Dalam ucapannya, Nurkhuzaini turut merakamkan penghargaan kepada DPPMT atas inisiatif menganjurkan kolukium yang dapat menghimpunkan suara usahawan dari pelbagai sektor ekonomi. “Semoga DPPMT berupaya meneruskan misinya dalam memperjuangkan usahawan Melayu di negeri ini,” ujarnya. Sementara itu katanya, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan usahawan Melayu terus berdaya maju serta dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri. “Antaranya menyediakan peluang perniagaan, sokongan, pemberian insentif disamping bimbingan, khidmat nasihat dan lain-lain,” katanya. Tambah beliau, selain usaha gigih kerajaan untuk membangunkan usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan sendiri perlu berusaha meningkatkan keupayaan bersaing mereka. “Gabungan dan kerjasama antara mereka perlu diteruskan dengan meningkatkan kerjasama dan saling bantu membantu terutama di antara yang telah maju dan kurang maju,” ujarnya.
25 Jul 24
166
Hutang Negara Cecah RM1.22 Trilion – Amzad
Hutang Negara Cecah RM1.22 Trilion – Amzad
KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, mengkritik keras pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 kerana telah meningkatkan hutang negara paras RM1.22 trilion, kadar tertinggi dalam sejarah negara. Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memutarbelit fakta dengan mendakwa Kerajaan Madani berjaya mengurangkan pinjaman wang daripada RM93 bilion pada tahun lalu ke RM86 bilion tahun ini dan berbanding sekitar RM100 bilion pada 2021 dan 2022. “Justifikasi yang diberikan oleh Anwar adalah tidak munasabah kerana hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April tahun ini, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu. “Perbandingan dengan tahun 2021 adalah tidak adil kerana tahun tersebut adalah tahun pandemik COVID-19, di mana kerajaan terpaksa berhutang lebih untuk menangani krisis global yang melumpuhkan ekonomi seluruh dunia. “Kerajaan ketika itu berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat dan mengimbangi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Amzad juga mengkritik janji Kerajaan Madani untuk tidak menaikkan hutang, sedangkan jumlah kenaikan hutang bagi empat bulan pertama tahun 2024 adalah pada kadar paling laju dalam sejarah. Beliau menyatakan bahawa kenaikan kedua terbesar berlaku pada tahun 2023 di bawah Kerajaan Madani juga, iaitu sebanyak RM93 bilion. “Hutang tidak akan bertambah sekiranya kerajaan meminjam untuk membayar balik hutang lama,” jelasnya. Beliau mempertikaikan formula yang digunakan oleh Anwar dengan mengatakan bahawa hutang semakin bertambah. Selain itu, Ahmad Amzad turut mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa beliau terpaksa menanggung hutang-hutang lama termasuk 1MDB berjumlah RM48 bilion. “Skrip yang sama juga digunakan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Walaupun 1MDB mempunyai hutang RM42 bilion, ia mempunyai banyak aset bernilai dan tidak menyebabkan negara bankrap. “Namun, pinjaman RM50 bilion dalam tempoh empat bulan tidak pula dianggap membankrapkan negara. "Hutang naik tinggi ketika Kerajaan Madani membuat bajet perbelanjaan terbesar dalam sejarah, iaitu RM393.8 bilion, lebih tinggi dari perbelanjaan tahunan semasa pandemik COVID-19,” ujarnya. Beliau berkata apabila perbelanjaan sangat besar dalam keadaan bajet masih defisit, maka kenaikan hutang akan lebih laju. Amzad menegaskan bahawa jika kerajaan berhasrat untuk mengurangkan hutang, ia perlu mengawal perbelanjaan, bukan meningkatkan perbelanjaan ke tahap paling besar dalam sejarah. “Walaupun Kerajaan Madani berjaya menurunkan defisit ke 3.5 peratus pada tahun 2025, hutang tidak akan berkurang. "Hal ini kerana, defisit tersebut bermakna perbelanjaan kerajaan lebih tinggi berbanding hasil dan ini memerlukan kerajaan untuk terus meminjam,” katanya. Di samping itu, Amzad turut mengkritik tindakan Kerajaan Madani yang menghapuskan subsidi diesel, menyebabkan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 kepada RM3.35 seliter dengan alasan untuk menanggung ketirisan. “Kenaikan harga diesel turut menyebabkan harga barang naik, sementara tangga gaji masih di takuk yang sama, menambah bebanan kepada rakyat. “Saya menggesa PMX untuk berhenti menuding jari ke arah orang lain dan mengakui kelemahan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” ujarnya. Beliau memberi amaran bahawa jika keadaan ini berlarutan, ekonomi negara akan menjadi lebih teruk dan rakyat akan paling terkesan.
24 Jul 24
7521
MAIDAM Serah Wakalah Majikan Kepada 19 Institusi Pendidikan
MAIDAM Serah Wakalah Majikan Kepada 19 Institusi Pendidikan
KUALA NERUS, 24 Julai – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyerahkan wakalah majikan  bernilai RM302,955.85 untuk bayaran zakat kepada 19 institusi pendidikan di empat daerah di Terengganu bagi tahun 2023. Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan) Zakat MAIDAM, Nazli Amirri Ngah berkata, empat daerah tersebut adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. “Ia bertujuan untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di sekolah serta universiti untuk mendapatkan bantuan dari segi kewangan selain keperluan asas lain. "Wakalah Majikan ini juga sebagai galakan kepada guru-guru untuk membuat Potongan Zakat Berjadual dengan MAIDAM dan semakin ramai guru yang membuat potongan gaji, semakin ramai pelajar asnaf yang dapat dibantu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendidik Cakna MAIDAM di Dewan Utama Ar Riyadh Residence di sini semalam. Katanya, program tersebut turut dihadiri lebih 400 guru dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. “Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Fikri menerima Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM114341.20. “Selain itu, katanya Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 dimenangi  SMK Haji Abdul Rahman Limbong melibatkan seramai 52 individu,” ujarnya.
24 Jul 24
200
Pengiktirafan IDEAS Bukti Terengganu Telus Urus Duit Rakyat
Pengiktirafan IDEAS Bukti Terengganu Telus Urus Duit Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kejayaan Terengganu menerima pengiktirafan sebagai negeri paling telus dalam pengurusan Belanjawan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuktikan komitmen negeri dalam menjaga harta rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa ketelusan belanjawan yang diukur melalui Malaysia Open Budget Index (MYOBI) 2024 merupakan kunci utama dalam memajukan negeri. Menurutnya, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap tatakelola kewangan yang baik tetapi juga memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Terengganu. “Ketelusan belanjawan adalah asas kepada kepercayaan rakyat dan pelabur, dan ia memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan berterusan,” katanya dalam kenyataan tersebut. Ahmad Samsuri berkata pencapaian itu adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyediakan maklumat belanjawan yang terperinci. Di samping itu katanya, ia memperkuatkan mekanisme semak imbang, dan menyediakan saluran untuk rakyat memberi maklum balas. Beliau juga menekankan bahawa pengurusan kewangan yang telus membantu mengelakkan ketirisan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya. Ahmad Samsuri mengucapkan terima kasih kepada IDEAS atas pelancaran MYOBI kali kedua itu dan berharap dapat menjadi penanda aras kebangsaan bagi ketelusan belanjawan. “Adalah amat penting untuk semua kerajaan negeri menunjukkan komitmen tinggi terhadap ketelusan belanjawan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya," ujarnya. Beliau berharap, pengiktirafan itu akan terus mendorong kerajaan negeri Terengganu untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan negeri.                            
24 Jul 24
281