lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Tambah LRA Baharu Elak Ada Masalah Air
Terengganu Tambah LRA Baharu Elak Ada Masalah Air
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan Negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu bagi menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air bagi rakyat negeri ini.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia termasuk perancangan menyelesaikan masalah isu bekalan air yang berlaku di kawasan pulau di Terengganu.  “Untuk tahun ini ada dalam perancangan termasuk tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air di pulau-pulau. “Sekarang ini kita di peringkat untuk menentukan skop, spesifikasi, kalau tak sempat tahun ini awal tahun hadapan boleh mulakan pembinaan, setelah dokumen kontrak dan segala proses-proses ini diselesaikan,” jelasnya. Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, semalam. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata, perancangan penambahan LRA bagi memberi keselesaan berterusan berkenaan bekalan air untuk rakyat negeri Terengganu. “Buat masa sekarang di negeri Terengganu kita secara purata mengeluarkan 780 juta liter sehari, kita sasar 1 bilion liter sehari. “Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) syaratkan 15 peratus tak boleh kurang dan (sekiranya) kurang negeri tersebut perlu mencari jalan untuk meningkatkan simpanan margin. "Terengganu berada dalam zon selesa. Alhamdulillah dengan siap dan beroperasi Loji Bukit Berapit, kita mendapat tamnbahan 120 juta liter sehari, pengeluaran air di Loji Bukit Sah (Air Putih, Kemaman) pula meningkat kepada 275 juta, sekali gus meningkatkan simpanan margin kita kepada 25 peratus," ujarnya. Katanya, dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa ada beberapa halangan dan cabaran antaranya perubahan iklim berlaku di negeri Terengganu khususnya.   
24 Jul 24
500
Songket Kak Nah ‘Iringi’ Pertabalan Agong
Songket Kak Nah ‘Iringi’ Pertabalan Agong
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Tugas rumit namun rasa bangga mengatasi segala-galanya apabila diberi kepercayaan menenun songket untuk  membuat sampin, Tengkolok Diraja dan Bengkung Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim bagi upacara pertabalan yang telah berlangsung pada Sabtu, baru-baru ini. Apatah lagi ketika menyaksikan lintas langsung hari pertabalan Baginda Tuanku yang sudi mencemar duli menyarungkan hasil tenunannya, anak kelahiran Terengganu itu cukup teruja untuk berkongsi perasaan gembira bersama ahli keluarga tercinta. Berkongsi pengalaman, Maznah Mat, 62, yang lebih dikenali sebagai Kak Nah dari Chendering berkata dia tidak pernah menyangka kunjungan daripada beberapa pihak istana pada awal Mac, rupanya membawa perkhabaran gembira buatnya dan anak-anak. “Ketika itu, saya ditanya adakah sanggup  untuk menghasilkan satu persalinan songket terdiri dari sampin, bengkung serta Tengkolok bagi  pertabalan Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa berfikir panjang, terus bersetuju menerimanya. “Namun rasa takut mula muncul ketika proses menyongket kerana terlintas difikiran satu perasaan jika tersilap atau Tuanku Sultan tidak berkenan dengan sentuhannya tetapi semuanya berakhir apabila pihak Istana memaklumkan bahawa songket yang dihasilkan cukup cantik dan sempurna,”ujarnya. Menerangkan proses penghasilan songket, Kak Nah yang berpengalaman sejak berusia 14 tahun berkata, dia dibantu oleh anaknya Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22, yang berkelulusan  Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang bagi membuat lakaran graf berdasarkan corak  daun gambir dan lada hitam yang diberikan. Menurut ibu kepada tujuh anak itu, proses pembuatannya mengambil tempoh yang lama kerana ia adalah kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun. Katanya lagi, kerja penenunan songket membabitkan proses rumit selain memerlukan perhatian dan kesabaran tinggi namun keindahan setiap hasil memberi kepuasan buat dirinya. “Menggunakan benang sutera yang berkualiti, Kak Nah bekerja siang dan malam bagi menyiapkan persalinan Diraja itu dalam tempoh tiga bulan dengan pemantauan berkala  daripada pihak Istana. “Kita hanya mahukan yang terbaik dan sempurna. Apabila sesuatu istiadat telah selesai dan Tuanku berpuas hati, saya juga senang hati kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya yang turut dibantu seorang lagi anak perempuannya Syarifah Hazira Tuan Wook, 30. Tambah Kak Nah,dia juga sering menerima tempahan  kerabat Diraja Selangor dan pembesar-pembesar istana untuk menyiapkan persalinan untuk Hari Keputeraan Tuanku Sultan Selangor sejak tahun 2000.  
24 Jul 24
1893
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
Terengganu Terima Bayaran Royalti TNB RM16.51 Juta
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyerahkan pembayaran royalti penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud Kenyir dan Stesen Janakuasa Hulu Terengganu berjumlah RM16.51 juta bagi tahun kewangan 2024. Pembayaran royalti bagi penggunaan air dan lesen takungan air di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud sebanyak RM11,673,000 manakala untuk Stesen Janakuasa Hulu Terengganu berjumlah RM4,836,218. Penyerahan cek itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Pembangunan, TNB Power Generation Sdn Bhd, Shahrir Abdul Latiff kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis ringkas di Wisma Darul Iman di sini. Untuk rekod, TNB telah mula membuat bayaran itu setiap tahun sejak kedua-dua stesen berkenaan memulakan operasi.
24 Jul 24
4031
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
KUALA TERENGGANU, 24 Julai 2024 - Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan warga pendidik atas keputusan cemerlang yang dilakar Terengganu semalam. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan pelajar Terengganu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. "Alhamdulillah saya rasa itulah terkenalnya Terengganu bukan sahaja  SPM malah STPM kita turut mengungguli carta. “Saya ucapkan tahniah kepada anak Terengganu yang telah cemerlang, sekarang ini akan terbuka luas cabaran baharu dan bagaimana mereka harungi. "Saya percaya anak Terengganu boleh cemerlang lagi bila masuk alam universiti,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Menurutnya, negeri Terengganu mencatatkan keputusan terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 peringkat negeri dan kebangsaaan untuk tempoh lima tahun  berturut-turut apabila memperolehi min purata Nilai Gred Kumulatif PNGK 3.11 mengatasi peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.
24 Jul 24
202
Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat
Pemberian Air Percuma Diteruskan Walau Royalti Disekat
KUALA TERENGGANU,  23 Julai – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan B40 tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pembekalan air percuma kepada masjid di seluruh negeri. “Kita masih lagi mengikut perancangan apa yang dilaksanakan kepada (golongan) B40 berkenaan termasuklah kita teruskan walaupun berlaku sekatan pada royalti. “Kami masih berikan kepada masjid-masjid yang didaftarkan, kita tetap teruskan kerana kita rasa ini tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan juga,” jelasnya. Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat KOnvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, hari ini. Menurutnya program bekalan air percuma telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu dan sampai ke hari ini tiada pengurangan dari segi penerima bantuan tersebut. Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, usaha untuk bertahan walau menghadapi tekanan perlu diteruskan. "Seperti mana manusia perlu makan untuk hidup, usaha tidak boleh berhenti walaupun dalam keadaan sukar. “Jadi setakat ini kita boleh teruskan kehidupan walaupun dalam keadaan sedemikian tapi pada kerajaan negeri yang hak itu hak yang perlu diselesaikan,” ujarnya.
23 Jul 24
3159
Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima
Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima
BESUT, 23 Julai - Terengganu berjaya mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila berjaya mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 terbaik kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.11. Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, dalam masa sama Terengganu turut berjaya mengatasi PNGK nasional iaitu 2.84 dengan perbezaan 0.27 peratus. "Seramai 2,211 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2023 berbanding 2,178 orang pada tahun sebelumnya. "Pencapaian keseluruhan semua A penuh PNGK 4.0 adalah seramai 79 calon, manakala kombinasi A dan A- adalah seramai 172 calon ," katanya. Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini, hari ini. Menurutnya, pencapaian semua A (A penuh, kombinasi A dan A-) dalam mata pelajaran yang diambil pada 2023 meningkat kepada 251 orang berbanding 226 orang pada 2022. Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan sejak lima tahun berturut-turut bermula 2019 apabila mencatatkan PNGK 3.02 pada 2019, 2020 (3.03), 2021 (3.03), 2022 (3.04) serta 2023 (3.11). Beliau turut berkongsi, 36 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas. Katanya, seramai 11 calon SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu mendapat semua A Penuh (PNGK 4.0) manakala SMK Sultan Omar, Dungun menunjukkan peningkatan PNGK terbaik iaitu 3.15 berbanding 2.70 pada tahun lalu. Che Muhammad Hakimi Che Alias dari SMKA Durian Guling, Marang dipilih sebagai pelajar terbaik STPM Sains Sosial, manakala Nurin Dayini Mazlan (SMK Nasiruddin Shah) pula diumum sebagai pelajar terbaik STPM (kategori pelajar kelainan upaya). Berdasarkan rekod STPM, Terengganu mencatatkan keputusan terbaik kebangsaan pada 2014, 2015, 2016 dan lima tahun berturut-turut bermula 2019.
23 Jul 24
1298
Terengganu Kekal Negeri Terbaik Dalam Ketelusan Belanjawan - IDEAS
Terengganu Kekal Negeri Terbaik Dalam Ketelusan Belanjawan - IDEAS
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan menurut kajian badan bebas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS). Jelas IDEAS, pengiktirafan terhadap Kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.  “Indeks ini dibina mengikut tiga komponen utama iaitu kebolehancapaian awam terhadap dokumen belanjawan kerajaan negeri (termasuk laporan audit), kedua peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam memantau belanjawan dan ketiga peranan orang awam dalam proses belanjawan,” kata IDEAS dalam satu kenyataan rasmi hari ini. Hasil penilaian tersebut, Terengganu mencatatkan skor tertinggi sebanyak 76 mata bagi komponen kebolehcapaian awam terhadap dokumen penting belanjawan kerajaan negeri. Ujar IDEAS, dari sudut perbelanjaan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan menonjol kerana telah menerbitkan data tentang perbelanjaan operasi mengikut klasifikasi ekonomi. “Terengganu turut menyediakan data terperinci tentang perbelanjaan negeri sehingga ke peringkat program.  “Terengganu juga wajar dipuji kerana ia merupakan satu-satunya negeri setakat ini yang menerbitkan dokumen Cadangan Belanjawan Eksekutif (EBP) secara konsisten. Penerbitan dokumen EBP penting kerana ia mengandungi maklumat melibatkan dana awam dan keutamaan perbelanjaan negeri.  “Selain itu, hanya Terengganu yang menyediakan Rang Undang-undang Perbekalan sepanjang proses penilaian MyOBI kali ini. “Bagi dokumen Enakmen Perbekalan (EB) pula, hanya Terengganu memberi akses dokumen ini kepada orang awam di dalam laman sesawang rasminya ketika proses penilaian MyOBI ini, dokumen ini perlu ada kerana ia teks belanjawan autoritatif yang telah diluluskan sidang DUN,” kata kenyataan itu. Sementara itu, bagi skor pemantauan yang merujuk kepada peranan DUN dalam proses belanjawan, Terengganu juga unggul dengan markah tertinggi iaitu 67 mata. “Hal ini (berkait dengan proses) memantau ketepatan waktu untuk membentang belanjawan negeri supaya adanya masa yang cukup untuk menyemak dan membahaskan belanjawan tersebut.  “Selain itu, pemantauan juga dibuat terhadap bilangan persidangan DUN, maklumat yang boleh diakses oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) dan semakan menyeluruh terhadap Laporan Audit sebelum ini mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan,” kata IDEAS. IDEAS juga menegaskan, selepas para penyelidik menyelesaikan penilaian, pihak IDEAS akan menghantar hasil kajian kepada pewasit berpengalaman dan pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan ulasan lanjut. "Malangnya, hanya Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menjalankan semakan terhadap hasil soal selidik melalui badan pemikir negeri, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)," katanya. Tambah kenyataan itu lagi,  jika rakyat dapat memantau dan meneliti butiran perbelanjaan kerajaan, kebarangkalian untuk berlakunya masalah korupsi dan penyelewengan dana dapat dikurangkan.  “Hal ini kerana, para penjawat awam akan kurang terlibat dengan aktiviti korupsi jika mereka tahu bahawa mereka sedang dipantau,” jelas IDEAS.
23 Jul 24
2733
Kerajaan Terengganu Tamatkan Derita 18 Keluarga Hilang Tempat Berteduh
Kerajaan Terengganu Tamatkan Derita 18 Keluarga Hilang Tempat Berteduh
KEMAMAN, 22 Julai - Derita hilang tempat berteduh yang dihadapi 18 keluarga di Kampung Habib Mohsin di daerah ini berakhir selepas Kerajaan Terengganu berjaya mencari jalan penyelesaian. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memulakan pembinaan 18 unit rumah dalam ketegori rumah asnaf. Katanya, 18 unit kediaman di Paya Berenjut itu sudah dimulakan dengan kerja-kerja asas. "Termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan 'earth filling' sudah selesai dan minggu ini dijangka akan dipasang 'hoarding' dan 'cabin' serta akan dinaikkan papan tanda serta kerja-kerja berkaitan," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, khabar gembira itu diharapkan akan menamatkan segala kesukaran yang dihadapi mereka sebelum ini. "Berita baik buat mangsa perpindahan penduduk Habib Mohsin, Kuala Kemaman, deritamu mengalir di denyut nadiku.Bersabarlah, keselesaanmu adalah keutamaanku," tulisnya di platform facebook itu. Tapak rumah yang telah memulakan kerja pembinaan. Berkongsi mengenai status terkini berkenaan projek terbabit katanya ia telah mula memasuki tapak pada 18 Julai. "Kontraktor mula membersihkan tapak pada 16 Julai dan kemudian buat 'site survey' (pegging) pada 18 Julai," katanya lagi. Dalam pada itu ujarnya, masalah yang dialami penduduk di Habib Mohsin itu merupakan perkara lama yang membina kediaman sementara dengan menumpang tanah yang kini dituntut oleh pewaris. Bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk, Hanafiah berusaha sedaya upaya bagi memastikan penduduk terbabit mendapat kediaman yang selesa, hasil pertemuan dengan pihak MAIDAM telah memberikan kelegaan.
23 Jul 24
350
Dokumen 1978 Bukti Petroleum Milik Terengganu
Dokumen 1978 Bukti Petroleum Milik Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Dokumen antara Terengganu dan Petronas yang wujud sekitar tahun 1978 menjadi bukti petroleum sememangnya milik Terengganu. Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali menegaskan, disebabkan itu dari tahun 1978 sehingga 2000, Petronas telah membayar (royalti) kepada Terengganu mengikut perjanjian yang ditandatangani tanpa sebarang gangguan. "Respons Kerajaan Persekutuan berhubung halangan Akta Laut Wilayah 2012 terhadap pembayaran royalti petroleum Terengganu adalah sangat tidak bertanggungjawab. "Ini menunjukkan tindakan Kerajaan Persekutuan memperalatkan undang-undang bagi menghalang hak negeri, kerajaan dan rakyat Terengganu," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Pada hakikatnya kata beliau, tujuan penggubalan Akta Kemajuan Petroleum (Akta 144) adalah untuk perkongsian pembayaran tunai antara Petronas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan keuntungan yang dibuat oleh Petronas melalui penjualan petroleum. “Akta 144 tidak memberikan sebarang tafsiran bagi istilah ‘pantai’ (onshore) dan ‘luar pantai’ (offshore) dan kedua-dua istilah ini juga tidak pernah diikat dengan sebarang tafsiran dalam undang-undang yang lain. “Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) bagi menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) pula yang memperuntukkan had laut wilayah Malaysia sepatutnya menjadi instrumen untuk menjamin kedaulatan negara, bukannya menjadi alat bagi mencabuli sempadan wilayah negeri untuk merampas hasilnya,” ujarnya. Eikhwan Ali. Kerana itu katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan tegas telah menolak pemakaian Akta 750 ini. "Lebih awal menolaknya ialah Kelantan dan Sabah," katanya. Beliau juga menegaskan bahawa mentafsirkan subseksyen 3(3) Akta 750 dengan menetapkan had laut wilayah negeri pada takat tiga batu nautika dari garis air surut telah mengecilkan sempadan negeri. "Ia sepatutnya tidak boleh berkuatkuasa melainkan dengan persetujuan negeri dan perkenan Majlis Raja-Raja," katanya. Terdahulu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai pemakaian dan implikasi Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] ke atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] serta perjanjian-perjanjian berkaitan. Azalina berkata, Petronas hanya akan membuat pembayaran wang tunai sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu sekiranya petroleum didapati dan diperoleh di negeri itu. "Sekiranya tiada petroleum didapati dan diperoleh dalam sempadan lebar laut wilayah negeri Terengganu setakat tiga batu nautika, tiada pembayaran wang tunai berdasarkan PDA dan perjanjian wang tunai perlu dibuat oleh Petronas. "Persoalan sama ada TSA menjejaskan pemakaian PDA atau mana-mana surat cara dan perjanjian yang telah dibuat di bawahnya adalah tidak berbangkit," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.  
22 Jul 24
4407
Korea Selatan Minat Melabur Dalam Sumber Asli Terengganu
Korea Selatan Minat Melabur Dalam Sumber Asli Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Korea Selatan berhasrat untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan Terengganu dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen, dan ruang rantaian bekalan. Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae berkata, pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap Terengganu sebagai antara empat negeri utama dalam bidang CCUS serta pengetahuan Korea Selatan dalam sektor itu dilihat mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. “Terengganu mempunyai sumber asli yang banyak seperti gas dan minyak. Ia mempunyai ruang untuk menyimpan karbon dioksida, seperti telaga minyak bawah tanah dan kemudahan terminal yang tidak beroperasi. “Korea Selatan, dengan kepakaran teknologi bertaraf dunia dan pengetahuan dalam CCUS, mampu menjadi rakan kongsi dalam usaha Terengganu untuk menjadi pemain ekonomi utama dalam sektor ini,” katanya menurut laporan berita bernama semalam. Seung-bae dan delegasinya ke Terengganu adalah untuk menghadiri Forum Perniagaan Korea-Terengganu dan Festival K-Cultural. Beliau turut menekankan bahawa syarikat Korea Selatan memiliki teknologi terbaik dalam sektor hidrogen dan terdapat permintaan yang besar untuk hidrogen bersih. “Memandangkan kekuatan institusi Korea Selatan dalam bidang hidrogen dan dasar Terengganu, hidrogen dijangka menjadi satu lagi bidang kerjasama antara mereka. “Terengganu juga kaya dengan sumber mineral termasuk unsur nadir bumi. Syarikat Korea Selatan mula membeli sumber mineral seperti silika dari Terengganu, yang merupakan bahan penting untuk pembuatan kaca “Saya telah mencadangkan beberapa idea kepada kerajaan negeri seperti program perkongsian ilmu dan projek perundingan awal untuk pensijilan hidrogen bersih. Program-program ini boleh disokong sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan,” jelasnya. Seung-bae turut menyatakan bahawa beliau sedang berusaha untuk memudahkan kemasukan lebih banyak syarikat dari Korea Selatan ke Terengganu untuk menyertai syarikat sedia ada seperti LX International, CJ Chemical, dan Polaris. Beliau juga menekankan minat Korea Selatan dalam pembangunan sumber manusia di Terengganu, yang merupakan salah satu elemen penting untuk pembangunan ekonomi dan bakal memberi impak kepada generasi masa depan negeri itu. “Tahun lepas, 10 guru dari Korea Selatan dihantar ke lima sekolah di Terengganu selama tiga bulan untuk mengajar subjek kecerdasan buatan, maklumat, komunikasi, teknologi, dan mekanik. Bulan depan (Ogos 2024), sembilan guru lagi akan mengajar di empat sekolah di sini. “Oleh itu, Kedutaan Korea Selatan akan terus menggiatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan dengan Terengganu,” ujarnya.                    
22 Jul 24
1490